DR. AMINUDIN
MANSOR
Bekas
pendidik cemerlang dan pengamal media,
PhD.
Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Utusan
Malaysia Online, 25 Mac 2015
Pendidikan
sangat penting dalam kehidupan, justeru melalui pendidikan dan pemahaman yang
mendalam dan seimbang akan dapat melahirkan insan seimbang dengan iman dan
takwa. Al-Quran dan sunah adalah sumber ilmu utama yang seharusnya menjadi
rujukan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Perbincangan tentang falsafah
pendidikan dalam sebuah negara berbilang kaum sangat penting bagi mendedahkan
maklumat berkaitan landasan falsafah dan hala tujunya. Pendekatan dan usaha
yang sama telah diambil institusi pendidikan di Malaysia dalam memenuhi
keperluan pendidikan. Pembelajaran sepanjang hayat kini semakin penting. Hala
tuju pendidikan di Malaysia dari segi falsafah cukup jelas dan telah difahami
oleh warga pendidik. Dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), boleh
dikatakan semua guru merupakan komponen penting kerana perlu bertanggungjawab
dalam sebahagian besar kerangka falsafah tersebut.
Berteraskan
Falsafah Pendidikan Islam (FPI) pula jelas sekali Malaysia mempunyai matlamat
untuk menggilap potensi setiap pelajar mengikut kekuatan masing-masing. Apa
yang paling utama daripada matlamat ini adalah diharapkan mampu membina sebuah
masyarakat Malaysia yang sempurna dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani
dan intelek. Keseimbangan ini pula berakar umbi kepada keyakinan dan keimanan
kepada Tuhan, Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Melalui matlamat pendidikan
ini, perancangan, pelaksanaan dan kajian terus dilakukan untuk menghasilkan
sebuah masyarakat Malaysia yang mempunyai ilmu, ketokohan, budi, dan kemahiran
mengurus diri serta organisasi. Kekuatan setiap individu masyarakat seperti ini
pula mampu menjulang Malaysia untuk terus berdaya saing, berkembang maju,
makmur dan terkehadapan. FPK ini jelas selari dengan falsafah yang diutarakan
oleh tokoh pendidik di negara ini.
Selain
pendidikan berkaitan dengan perkembangan ilmu pengetahuan, pendidikan akhlak
juga penting kepada murid dan pelajar. Selain pembangunan akal, pembangunan
akhlak juga menjadi salah satu aspek utama dalam pembangunan pelajar yang
seimbang. Jika diperhalusi pernyataan dalam FPK itu, terdapat dua aspek penting
yang terkandung di dalamnya adalah wajah insan yang diingini dan kaedah untuk
mencapai wajah tersebut. Rupa bentuk wajah yang diingini ialah insan yang baik
dan cemerlang dalam empat aspek, iaitu intelek, rohani, emosi dan jasmani. Aspek
intelek penting kerana manusia yang baik ialah manusia yang berilmu, cintakan
ilmu, mempunyai daya intelek dan daya fikiran yang tinggi. Mereka tidak mudah
terpengaruh melainkan berlandaskan fakta dan ilmu yang tepat benar dan membawa
kebaikan kepada manusia.
Manakala,
aspek rohani pula merujuk kepada jiwa insan yang lebih tepat kepada kalbu yang
memberi pancaran kepada suara hati. Nilai yang dihayatinya dengan berkesan akan
menimbulkan kesedaran tentang apa yang betul dan apa yang salah, dengan rasa
simpati, prihatin dan seumpamanya. Aspek emosi pula menekankan tentang
perasaan. Seorang insan yang baik dan cemerlang ialah insan yang mempunyai
perasaan yang seimbang iaitu perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama
lain. Kasih sayang menjadikan insan tersebut cintakan kedamaian, perpaduan,
persaudaraan dan silaturahim serta pembangunan yang baik. Sifat ini sangat
penting, kerana insan yang hidup tanpa rasa kasih sayang akan mirip menjadi
insan yang kejam, ganas dan hanya mementingkan diri sendiri. Suka memusnahkan
pembangunan yang dibina, melakukan kekejaman dan huru-hara dan memusnahkan alam
sekitar.
Bagi aspek
jasmani memberi penekanan kepada kecergasan dan kesihatan mental dan fizikal.
Hanya insan yang sihat sahaja yang akan dapat berfungsi sepenuhnya secara
produktif. Justeru, keempat-empat aspek ini penting dalam diri seseorang untuk
menjadikan dan melahirkan insan yang seimbang dan harmoni. Malaysia terdiri
daripada pelbagai bangsa. Kepelbagaian ini diwarnai oleh budaya bangsa dan
agama yang berbeza-beza antara satu sama lain. Inilah keunikan negara kita yang
cemerlang di mata dunia. Keharmonian ini telah lama dipupuk dalam kalangan
rakyat sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya dan menjadikan rakyatnya bersatu
hati. Perbezaan fahaman politik bukanlah halangan untuk menjadikan perpaduan
sebagai agenda penting. Bagi mengekalkan perpaduan ini kita perlulah memahami
serta menghormati agama dan budaya rakyat pelbagai kaum dan keturunan di negara
ini.
Mengamalkan
sikap saling bertoleransi, menyayangi, melindungi dan menghormati hak orang
lain adalah antara ramuan penting untuk memupuk semangat perpaduan. Nilai-nilai
murni ini terdapat dalam instrumen Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang
sedang dilaksanakan. PBS yang bersifat holistik bertujuan menilai kemahiran dan
kecekapan murid dari aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani), dan
psikomotor (jasmani) selaras dengan FPK dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang merangkumi
pendidikan menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah tidak
terkecuali mengambil visi sistem pendidikan dan aspirasi murid yang dapat
memenuhi keperluan negara pada masa depan.
Melalui PPPM
ini enam ciri utama ditekankan yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya
bersaing di peringkat global. Ciri-ciri itu meliputi mempunyai pengetahuan yang
tinggi dan meluas; kemahiran berfikir; daya kepimpinan; penguasaan dwibahasa;
etika dan kerohanian; dan memiliki identiti nasional sejajar dengan FPK. Ibu
bapa pula wajar sederap mendepani transformasi pendidikan negara yang sentiasa
berubah. Perubahan juga mesti dilakukan oleh para pendidik yang bersedia untuk
bekerjasama bagi menyokong usaha murni ini. Apa yang lebih penting, murid dan
pelajar juga mesti berubah dan tabah menghadapi perubahan dengan ketrampilan
berbahasa dan berkomunikasi bagi memenuhi keperluan pada masa akan datang.