31 Oktober 2010

AMALAN MEROKOK MEMBAHAYAKAN KESIHATAN


Tabiat merokok menjadi panorama biasa dalam masyarakat kita. Tabiat buruk ini berlaku kerana kita terdedah dalam persekitaran yang tidak memberangsangkan. Sebenarnya, tabiat ini banyak memberikan kesan negatif kepada kita dan kebanyakan masyarakat tahu akan risiko yang dihadapi akibat merokok. Malangnya, masalah ini menjadi semakin serius dan diamalkan oleh sebilangan besar warganegara Malaysia. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan telah memperuntukkan RM17 juta untuk kempen “Tak Nak” demi menentang tabiat merokok di seluruh negara. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan juga menghadapi pelbagai halangan yang menyekat usaha tersebut dan trend ini amat membimbangkan semua pihak.

Amalan merokok sebenarnya menyumbang pelbagai masalah kesihatan dalam kalangan penduduk Malaysia. Merokok merupakan penyebab utama gangguan kesihatan serta kematian sebelum sampai masanya statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Statistik  telah menunjukkan bahawa bilangan kematian yang berpunca daripada barah paru-paru dianggarkan sebanyak 14733 orang bagi tempoh antara tahun 1995 hingga tahun 2000. Hakikatnya, perokok akan diserang pelbagai penyakit yang berpunca daripada tembakau. Mereka akan mengalami penyakit sekatan pulmonary kronik (COPD) yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas, batuk berkahak, dan memberikan kesan kepada jantung. Hal ini demikian kerana mereka akan menyimpan satu persepuluh partikel asap dalam jantung mereka dan menggandakan risiko mati. Tegasnya, seseorang yang kuat merokok lebih terdedah kepada risiko maut berbanding dengan orang lain yang tidak merokok. 

Selain memberikan kesan kepada perokok itu sendiri, merokok juga membawa kesan buruk kepada orang lain. Orang yang tidak merokok boleh juga diserang penyakit apabila terhidu asap tembakau rokok yang dihembus keluar oleh perokok. Hal ini demikian kerana kandungan asap tembakau ini mengandung bahan kimia yang beracun juga. Manakala, merokok dalam kalangan perempuan yang mengandung boleh mencacatkan proses pembesaran bayi di dalam rahim. Bahan kimia yang terkandung dalam asap rokok boleh memberikan kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan yang kurang daya tahan. Akibatnya, anak yang dikandung itu mungkin akan dilahirkan cacat tubuh badan.  Bayi-bayi berkenaan turut terdedah kepada serangan penyakit paru-paru, batuk-batuk, selesema, dan sakit kerongkong. Kesemuanya ini merupakan kesan-kesan perokok terhadap orang di sekelilingnya.

Memandangkan kesungguhan kerajaan terhadap kempen “Tak Nak” untuk mencegah tabiat merokok dalam halakah masyarakat, tetapi pihak kerajaan telah mengalami pelbagai halangan yang menyekat usaha ini. Antaranya ialah halangan daripada pengaruh media massa, terutamanya iklan. Pengaruh iklan paling susah dikawal oleh pihak kerajaan dalam usaha membanteras amalan merokok. Pihak kerajaan harus mengharamkan iklan rokok yang dipamerkan dalam media massa, sama ada dalam media cetak atau media elektronik. Pihak berkuasa juga harus menghalang iklan barangan lain atau perkhidmatan menggunakan jenama rokok dan restoran yang  mempamerkan iklan rokok dengan besar-besaran juga perlu dihalang. Iklan yang membawa mesej rokok bahawa merokok merupakan simbol imej dan kelelakian harus dicegah dengan secepat mungkin. Jadi, sudah terang lagi bersuluh, pengaruh iklan memang menghalang usaha dan perbelanjaan kerajaan. 

Selain itu, tabiat perokok sendiri turut menghalang usaha kerajaan dalam mencegah tabiat merokok. Sikap perokok yang lemah semangat untuk menghentikan tabiat tersebut menyebabkan usaha kerajaan mengalami kegagalan. Walaupun perokok sedar kebahayaan rokok, namun mereka turut tidak peduli akan kebahayaan merokok. Hal ini demikian kerana sesetengah bapa perokok juga menghisap rokok tetapi mereka masih boleh hidup sampai 80 tahun. Sementelahan, sesetengah perokok sudah tertagih terhadap rokok dan susah untuk berhenti walaupun telah cuba beberapa kali. Kebanyakan perokok pula tidak dapat mengawal nafsu mereka justeru mereka tidak berhasrat untuk menghentikannya. Dengan itu, keinsafan diri di peringkat tertinggi amat diperlukan kerana tiada cara yang paling berkesan untuk menghentikan ketagihan.

Bertitik tolak daripada itu, undang-undang yang kurang tegas juga merupakan halangan yang menyekat usaha kerajaan dalam menentang tabiat merokok. Seperti frasa yang sering diperkatakan, “ ada undang-undang yang ditetapkan, tetapi tiada polis yang melaksanakannya”. Senario ini telah menyebabkan amalan merokok menjadi semakin berleluasa. Misalnya, papan tanda yang menunjukkan “dilarang merokok” yang diletakkan di kawasan awam sering kali hanya untuk pameran sahaja. Hal ini demikian kerana tiada hukuman yang dijalankan bagi perokok yang menghisap rokok di kawasan awam. Dengan itu, hukuman yang berat harus dijalankan supaya penjual rokok akan takut. Tambahan pula, kekurangan pegawai yang membuat rondaan di tempat awam juga menyebabkan usaha kerajaan disekat. Tegasnya, undang-undang yang tidak dikuatkuasakan akan menyekat usaha kerajaan. 

Secara intihanya, tabiat merokok sememangnya merupakan tabiat yang buruk dan harus dihapuskan. Walter B.Pitkin ada berkata, “Jangan menyesali kegagalan yang dialami dengan menuduh atau menyalahkan orang lain, tetapi akuilah sesungguhnya kegagalan itu adalah kerana pembuatan sendiri.” Kata-kata itu sengaja dipetik untuk memberitahu bahawa mereka gagal untuk berhenti merokok ibarat orang yang gagal dalam melawan dengan nafsu. Hal ini demikian kerana tabiat merokok sendiri merupakan halangan yang susah disekat oleh kerajaan. Dengan kurangnya perokok di negara kita, maka kadar kematian rakyat kita akibat tabiat merokok dapat dikurangkan dan suasana yang bebas daripada pencemaran udara turut dihasilkan. Dengan ini, negara kita tidak akan kehilangan golongan yang produktif dalam pembangunan negara.

HASIL KARYA PELAJAR
Rasul Iman Ramzani
SMK Sacred Heart
2010

30 Oktober 2010

KATA ADJEKTIF

MENUNJUKKAN KESERASIAN MAKNA

1. cantik molek
2. lemah lembut
3. pucat lesi

MENUNJUKKAN MAKNA BERLAWANAN

1. tua muda
2. kecil besar
3. buruk baik

MENUNJUKKAN KEINDAHAN BUNYI RIMA

1. selang-seli
2. kusut-masai
3. terang-benderang

MENUNJUKKAN PERSAMAAN RUPA ATAU WARNA

1. kuning telur
2. hijau daun
3. merah darah

MENUNJUKKAN MAKSUD KIASAN

1. kepala angin
2. keras kepala
3. ringan tulang

                                                                                 

GELARAN KETURUNAN ATAU GELARAN WARISAN

KETURUNAN RAJA-RAJA YANG MEMERINTAH

1. Raja = Perak dan Selangor
2. Tunku / Ungku = Johor dan Kedah
3. Tengku / Engku = Kelantan, Pahang, Terengganu
4. Tuanku = Negeri Sembilan
5. Pangeran, Pangeran Anak, Pangeran Muda = Brunei

KETURUNAN ORANG BESAR-BESAR

1. Abang = Sarawak
2. Datu = Sabah
3. Awangku, Dayang = Brunei
4. Megat, Puteri, Meor = Perak
5. Nik = Kelantan
6. Tan = Kedah
7. Tuan = Terengganu
8. Wan = Kelantan dan Terengganu

KETURUNAN NABI MUHAMMAD SAW

1. Syed
2. Syarifah

KETURUNAN YANG BERASAL DARI LUAR MALAYSIA

1. Teuku, Teungku = Acheh
2. Raden = Jawa
3. Sutan, Sidi = Minangkabau
4. Daeng = Bugis

TEKNIK PENYAMPAIAN IDEA

TEKNIK DEDUKSI

1. Dimulai dengan penyatan umum
2. Ayat topik terlebih dahulu
3. Ayat topik diikutu dengan penyataan yang lebih khusus
4. Isi penting disampaikan dahulu
5. Diikuti dengan huraian dan kesimpulan

TEKNIK INDUKSI

1. Dimulai dengan khusus
2. Diikuti oleh penyataan umum
3. Huraian isi disampaikan dahulu
4. Huraian isi diikuti oleh isi penting dan kesimpulan
5. Ayat topik terletak pada bahagian akhir perenggan

TEKNIK ANALOGI

1. Merupakan kaedah perbandingan
2. Membandingkan topik utama dengan topik lain yang hampir sama
3. Untuk memudahkan khalayak memahami topik yang disampaikan

TEKNIK PENCERAKINAN

1. Dikenali juga sebagai teknik analisis
2. Mengembangkan topik yang telah dibincangkan kepada beberapa komponen
3. Kemudian, setiap komponen akan dihuraikan dengan jelas dan terperinci
                                                                                                                              
TEKNIK PENTAKRIFAN

1. menerangkan konsep, istilah atau pengertian tentang sesuatu perkara
2. digunakan dalam penulisan ilmiah yang berbentuk penerangan

TEKNIK PETIKAN

1. Digunakan bagi menyokong atau mengukuhkan perkara atau idea
2. Akan menambahkan keyakinan pembaca tentang sesuatu penulisan
3. Dua jenis petikan iaiatu Petikan secara langsung atau secara tidak langsung

ISU KANAK-KANAK : JANGAN KOMPROMI KESELAMATAN ANAK


Hari Kanak-kanak dipersetujui oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) pada 1954. Lima tahun kemudian, PBB mengisytiharkan Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November 1959. Namun sejak 1959, Malaysia menyambut Hari Kanak-Kanak pada mana-mana hari Sabtu dalam bulan Oktober. Sambutan berkenaan bertujuan memberi pengiktirafan kepada golongan kanak-kanak dalam menentukan kesejahteraan mereka sebagai aset negara yang paling berharga. Pada hari ini daripada 28 juta penduduk Malaysia, kira-kira 40 peratus atau 11.2 juta penduduk merupakan kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah. Biarpun kanak-kanak di negara ini hidup dalam persekitaran yang aman damai tanpa diancam kebuluran atau pergolakan bersenjata seperti beberapa negara lain, pelbagai gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Antara masalah sosial yang membawa impak negatif kepada kanak-kanak di negara ini adalah masalah keganasan fizikal dan seksual, penderaan, kes kehilangan kanak-kanak dan buang bayi. Masalah lain yang menimbulkan kebimbangan masyarakat mengenai keselamatan kanak-kanak di Malaysia sejak akhir-akhir ini termasuklah kes kanak-kanak yang didera sehingga mati oleh teman lelaki si ibu seperti kes yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari dan Allahyarham Aaliyah Aiman Hussin Abdullah serta kes bayi yang mati kerana pelbagai sebab di rumah pengasuh. Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM, Datuk Meme Zainal Rashid ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini berkata, antara kesedaran yang perlu ditingkatkan ialah sikap segelintir ibu tunggal muda mengenai keselamatan anak perempuan mereka yang dengan mudah meninggalkan anak perempuan bersama teman lelaki.

''Saya ingin nasihatkan ibu tunggal supaya tidak terlalu mudah mempercayai orang lain untuk meninggalkan anak masing-masing ketika keluar bekerja. Sepatutnya, ibu tunggal mencari pendekatan lain seperti meninggalkan anak kecil dengan keluarga sendiri berbanding teman lelaki. ''Namun, mungkin keadaan itu berlaku disebabkan oleh tekanan hidup seperti masalah kewangan dan sebagainya yang menghalang ibu berkenaan daripada menghantar anaknya ke pusat asuhan kanak-kanak. "Walau apa pun masalah yang dihadapi oleh ibu berkenaan, aspek keselamatan anak mereka perlu diberi keutamaan," jelasnya.  Mengenai banyak kes bayi yang mati ketika dalam jagaan pengasuh pula, Meme berkata, kebanyakan pasangan bekerja memilih untuk meninggalkan anak mereka bersama pengasuh yang tinggal berdekatan rumah dan mengikut kemampuan masing-masing.

''Daripada maklumat yang JKM terima, terdapat pengasuh yang menjaga lebih seorang kanak-kanak, selain anak pengasuh itu sendiri. Bagaimanapun, di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, apabila seseorang pengasuh itu menjaga lebih daripada tiga orang kanak-kanak, mereka perlu berdaftar dengan JKM.  ''Jika pengasuh berkenaan gagal mendaftarkan diri, ibu bapa yang menghantar anak mereka kepada pengasuh itu perlu memastikan pengasuh anak mereka berdaftar. Pendaftaran boleh dibuat di talian Nur 15999. Ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan pengasuh anak mereka berdaftar," katanya. Meme menambah, apabila seseorang pengasuh itu berdaftar dengan JKM, pemantauan aspek kebersihan, makanan dan sebagainya akan dijalankan setiap enam bulan. Jika pengasuh berkenaan tinggal di rumah pangsa yang kecil dengan ruang terhad, mereka tidak akan dibenarkan menjaga terlalu ramai kanak-kanak.


''Setiap pengasuh yang mendaftar dengan JKM akan diberikan sebuah buku garis panduan perkhidmatan mengasuh kanak-kanak. JKM turut menganjurkan program Pengasuhan Prihatin yang disertai oleh 1,082 pengasuh sepanjang tahun lalu. Program berkenaan bertujuan membantu pengasuh yang kebanyakannya suri rumah meningkatkan pendapatan melalui khidmat asuhan yang berkualiti," katanya.  Kata beliau, mereka yang gagal mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.  Jelas Meme, sehingga kini belum ada pihak yang dihadapkan ke mahkamah di bawah akta berkenaan. Namun, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan sedang diambil untuk mendakwa beberapa pihak selepas ini.

Mengenai kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada JKM pula, beliau berkata, kes seperti penderaan fizikal, seksual, emosi dan sumbang mahram mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun lalu. ''Pada tahun 2007, sebanyak 2,279 kes dilaporkan, diikuti dengan 2,780 pada 2008, 2,789 pada 2009 dan sehingga April 2010 sebanyak 1,010 kes dilaporkan.  ''Semua ini adalah kes yang dilaporkan kepada JKM menerusi talian Nur 15999. Mungkin kes sebenar adalah lebih tinggi, namun tidak dilaporkan," katanya sambil menambah sebahagian besar daripada mereka yang mendera kanak-kanak ialah individu yang dikenali mangsa. Sementara itu, bagi kes kanak-kanak hilang pula, jelas Meme, sebanyak 1,064 laporan diterima pada 2007; 1,141 pada 2008 dan 1,050 pada 2009. Sejumlah 30 peratus hingga 40 peratus daripada kes berkenaan berjaya dikesan.

Antara kes kanak-kanak hilang yang menggemparkan negara ialah Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju. Mayatnya ditemui dalam sebuah beg pakaian sukan pada 17 September 2007 iaitu 27 hari selepas kehilangannya. Sehingga hari ini, penjenayah yang bertanggungjawab masih belum berjaya dikesan. Sementara Sharlinie Mohd. Nashar pula dipercayai diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermain bersama kakaknya, Sharliena di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2008. Jelas Meme, semua pihak perlu menjadikan kes yang dilaporkan sebelum ini sebagai pengajaran dan menganggap keselamatan kanak-kanak sebagai tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak di bahu ibu bapa, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan semata-mata.

''Semua individu dewasa bertanggungjawab mewujudkan persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak," katanya. Berdasarkan perkembangan semasa, sambutan Hari Kanak-Kanak pada tahun lalu dan tahun ini memberikan penekanan kepada keselamatan golongan tersebut. ''Tema sambutan Hari Kanak-kanak pada tahun lalu ialah Keluarga Selamat, Kanak-Kanak Terpelihara, sementara tema sambutan kali ini ialah Keselamatan Kanak-Kanak Tanggungjawab Setiap Individu," katanya.


Oleh
ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia
30 Oktober 2010


ISU PELANCONGAN : KERAJAAN NEGERI PROAKTIF TARIK PELANCONG ASING

Malaysia adalah antara destinasi pelancongan utama dunia. Fakta ini berasaskan rangking Pelancongan Dunia yang dikeluarkan oleh Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) yang menunjukkan seramai 23.6 juta pelancong antarabangsa melawat Malaysia pada tahun 2009. Angka ini meletakkan Malaysia di tempat kesembilan sebagai negara paling ramai dikunjungi pelancong antarabangsa. Jumlah pelancong pada 2009 menunjukkan peningkatan seramai 2.6 juta pelancong antarabangsa berbanding pada 2007. Tahun 2009 sahaja, sektor pelancongan menjana pulangan sebanyak RM53 bilion. Jumlah pengaliran wang masuk ini memberi pulangan kepada ramai pihak dengan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan perniagaan.  Ini menggambarkan bahawa sektor pelancongan mempunyai potensi yang amat besar sekali untuk dimajukan sebagai antara sektor utama negara.


Atas hakikat ini, kerajaan telah menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang akan mengubah landskap ekonomi negara ke arah berpendapatan tinggi. Strategi ini tepat dan sesuai untuk negara kita yang mempunyai pelbagai produk pelancongan seperti pulau-pulau yang diiktiraf sebagai antara yang tercantik di dunia. Bayangkan, melalui sektor pelancongan, negeri seperti Melaka telah berjaya mengubah asas ekonominya sehingga diisytiharkan sebagai negeri maju. Usaha yang dilakukan selama 10 tahun oleh kerajaan negeri Melaka telah membuahkan hasil. Tidak mustahil dalam tempoh 10 tahun akan datang, sasaran untuk menjadi sebuah negara maju dapat direalisasikan jika sektor pelancongan sentiasa diberi nilai tambah agar lebih istimewa berbanding negara-negara lain. Melaka berada pada kelasnya tersendiri sebagai sebuah negeri yang bersih, ditambah lagi dengan pelbagai produk pelancongan yang sentiasa diberi nilai tambah. Suatu ketika dahulu landskap Melaka tidaklah sebersih sebagaimana yang boleh kita lihat pada hari ini.

Namun, setelah pelbagai tindakan proaktif diambil seperti memastikan segala sampah sarap dicari oleh pencari sampah dan bukannya sekadar mengutip sampah di tong-tong sampah, akhirnya tindakan proaktif ini berjaya menyerlahkan keindahan dan kebersihan negeri ini.  Tahap kebersihan boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan utama untuk menggamit kedatangan lebih ramai pelancong ke negara kita. Strategi-strategi yang dilaksanakan di negeri Melaka seharusnya diperluaskan lagi di negeri-negeri lain. Memajukan sektor pelancongan negara memerlukan tindakan proaktif dan bukannya tindakan reaktif yang tidak membawa sebarang kebaikan. Mengambil kira keuntungan yang melimpah ruah dari sektor pelancongan untuk negara dan rakyat, pelbagai inisiatif bakal dilaksanakan pada tahun depan sebagaimana yang diumumkan dalam Bajet 2011. Antaranya, projek membangunkan resort bersepadu eco-nature berlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi. Malaysia mempunyai tarikan dari segi keindahan alam semula jadi. Usaha untuk mempromosi produk-produk alam semula jadi, taman dan kebun botani boleh mengasyikkan dan menarik perhatian pelancong yang melawat Malaysia.

Mungkin kita boleh mempelajari serba sedikit bagaimana Fontainebleau Forest boleh menjadi destinasi paling ramai dikunjungi pelancong di Perancis dengan mengekalkan keindahan alam semula jadinya. Umum mengetahui, Perancis menduduki tangga pertama di dunia dari segi bilangan ketibaan pelancong. Sudah tentu negara itu mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Strategi-strategi yang digunakan Perancis seharusnya dipelajari oleh pihak-pihak berkaitan di negara ini. Ini kerana Malaysia juga seperti Perancis, mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Mempunyai flora dan fauna yang masih terpelihara, bangunan-bangunan bersejarah dan mercu tanda kebanggaan negara seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang menjadi antara tempat tumpuan utama pelancong luar dan domestik. Justeru itu, pembangunan projek Menara Warisan Merdeka seperti yang diumumkan Perdana Menteri akan menjadi produk pelancongan terbaru negara.

Yang menariknya, bangunan-bangunan bersejarah seperti Stadium Merdeka dan Stadium Negara dikekalkan identitinya meskipun diadun dengan pembinaan menara moden 100 tingkat. Berkonsepkan bangunan hijau, produk pelancongan terbaru ini bakal menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia. Selain itu, pelbagai acara, program, pesta dan karnival yang diadakan setiap tahun boleh menggamit kedatangan pelancong. Misalnya, program pelancongan seperti pelancongan Ramadan juga boleh menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancong. Suasana Ramadan berbeza sama sekali berbanding bulan-bulan lain. Ketika ini, pelbagai juadah dan kuih muih dapat dilihat di bazar-bazar Ramadan. Kemeriahan Ramadan di Malaysia secara tidak langsung mampu mempesonakan pelancong luar untuk datang ke negara kita. Mereka sanggup berbelanja lebih demi merasai kelainan di negara kita.

Malahan, pengumuman pemansuhan duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan dijangka meningkatkan lagi perbelanjaan pengguna pada bulan Ramadan tahun depan. Dengan menggunakan pelbagai strategi ampuh untuk memikat kedatangan pelancong ke Malaysia, tidak mustahil pada tahun depan, angka kedatangan pelancong luar ke Malaysia bakal mencatatkan peningkatan yang membanggakan, seterusnya mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di dunia.


Oleh
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan 
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia

Utusan Malaysia
30 November 2010

ISU RASUAH : DI MANA SILAP KEJATUHAN INDEKS PERSEPSI RASUAH (CPI) ?


Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2010 yang diumumkan pada 26 Oktober 2010 memperlihatkan skor Malaysia jatuh 0.1 mata dari 4.5 pada 2008 ke skor 4.4. Dari segi kedudukan pula, Malaysia kekal di kedudukan 56 berbanding 178 negara yang terlibat. Walaupun kejatuhan skor 0.1 dianggap kurang signifikan, namun merenung pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, timbul persoalan apakah lagi penambahbaikan yang perlu dibuat oleh kerajaan untuk menjadikan CPI ini kembali ke takuk 5.0 sebagaimana pada 1995 hingga 2001. Berbanding negara jiran tetangga, khususnya Hong Kong, Singapura dan Brunei, langkah dan inisiatif yang kita laksanakan jauh lebih banyak dan lebih baik, namun di mana kurangnya lagi?

Apakah tidak cukup inisiatif, dasar, program dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia selama ini? Bagaimana dan apakah bentuk, kaedah mahupun pendekatan lain yang harus diguna pakai bagi meningkatkan tahap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap negara ini? CPI merupakan indeks persepsi rasuah yang telah dikeluarkan oleh Transparency International (TI), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Berlin, Jerman sejak tahun 1995. Indeks ini hanya mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara di mana kedudukan sesebuah negara akan disenaraikan mengikut skor yang diperoleh dan bukannya berdasarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara terbabit. CPI dikeluarkan berdasarkan pengumpulan kajian-kajian oleh pelbagai pihak, terutamanya berdasarkan soal selidik yang dijalankan ke atas ahli-ahli perniagaan luar negara dengan penekanan diberi kepada elemen rasuah.

Namun begitu, hasil kajian yang dijalankan oleh TI dan metodologi yang digunakan menimbulkan persoalan dan ketidakpuasan banyak pihak termasuk beberapa tokoh dalam TI sendiri. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan CPI merupakan satu bentuk western cultural imperialism. Jeremy Pope yang mengasaskan TI pada 1993 menyatakan: ''...agak jelas dalam laman web Transparency International bahawa anda tidak boleh membandingkan pencapaian satu tahun dengan tahun yang sebelumnya dan ada pelbagai alasan teknikal untuk menjelaskan perkara ini. Sampel yang digunakan berbeza dan senarai soalannya juga berbeza. Kesemuanya bersifat anggaran kasar dan sudah bersiap sedia kerana ia adalah kaji selidik yang bercampur-campur di mana orang yang terlibat tidak pernah ditanya tentang rasuah. Mereka hanya pernah ditanya tentang sesuatu yang agak hampir dengan rasuah tetapi bukan rasuah yang sebenar. Ini adalah satu pendekatan yang tidak tepat dan tidak mengikut turutan waktu."

Persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini masih banyak tidak terjawab, malah oleh pihak TI sendiri. Bahkan pada 2004, Frederik Galtung, antara orang yang bertanggungjawab memperkenalkan CPI telah mempertikaikan kaedah atau metodologi kajian tersebut dan penggunaannya. Kajian yang dijalankan oleh TI tidak berasaskan kajian dan pengumpulan data oleh mereka sendiri. Sebaliknya, TI mengitar semula kajian atau kerja yang dilakukan oleh organisasi-organisasi lain dalam membentuk indeks komposit. Menurut kenyataan TI, sumber kepada penghasilan CPI pada tahun ini diambil daripada 13 kajian yang telah dijalankan oleh 10 institusi bebas. Bagi Malaysia, sebanyak sembilan kajian telah digunakan sebagai sumber utama dalam penetapan CPI pada tahun ini, iaitu:

1. Bertelsmann Transformation Index 2009
2. Country Risk Service 2010
3. Global Risk Service 2010
4. Asian Intelligence by Political and Economic Risk Consultancy 2009
5. Asian Intelligence by Political and Economic Risk Consultancy 2010
6. World Global Competitiveness Report 2009
7. World Global Competitiveness Report 2010
8. Global Competitiveness Report 2009
9. Global Competitiveness Report 2010


Apabila CPI diperkenalkan pada 1995, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 negara yang dikaji dengan skor mata 5.28. Kedudukan negara dalam CPI mula menurun ke tangga 26 (1996), tangga 32 (1997) dan terus merosot ke kedudukan 56 dalam tempoh 15 tahun sejak CPI diperkenalkan. Dari segi skor pula, skor terbaik yang pernah dicapai adalah pada tahun 1996 iaitu 5.32 manakala skor paling rendah pada tahun ini, iaitu 4.4. Walaupun Malaysia merosot dari segi kedudukannya, namun secara umumnya skor Malaysia masih berada di peringkat pertengahan. Di samping itu, bilangan negara yang dikaji perlu juga diambil kira yang mana sebanyak 178 negara terlibat dalam CPI 2010 berbanding hanya 41 negara pada 1995.

Dalam pada itu, terdapat inisiatif kerajaan bagi memerangi rasuah di negara ini. Seperti yang diakui oleh Presiden Transparency International (Malaysia) Datuk Paul Low, kerajaan Malaysia tidak pernah berdiam diri dalam hal ini, malah telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi rasuah. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

* Penubuhan Institut Integriti Malaysia
* Pelan Integriti Nasional
* Menaiktaraf BPR kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
* Menubuhkan lima panel/lembaga dan jawatankuasa bebas untuk menasihati dan memantau perjalanan SPRM agar wujud ketelusan dan kebebasan
* Mewujudkan Mahkamah Khas bagi membicarakan kes-kes rasuah
* Mewujudkan Unit Pematuhan di setiap agensi kerajaan berisiko
* Mewujudkan pangkalan data pesalah rasuah
* Mewujudkan undang-undang berkaitan perlindungan saksi

Kejatuhan CPI wajar direnungi

Pelbagai sasaran ditetapkan untuk memastikan CPI berada di skor yang lebih baik. Antaranya, Pelan Integriti Nasional yang menetapkan sasaran menaikkan skor ke tahap 6.5. Manakala NKRA menetapkan sasaran untuk memperbaiki CPI 2010 ke tahap 4.9. Kesemua sasaran ini tersasar dan tidak mencapai objektif yang dihasratkan. Kenapa dan di mana silapnya?

Antara kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti adalah seperti berikut:

Usaha untuk menaikkan skor CPI ini hanya diletakkan di bawah tanggungjawab entiti tertentu sahaja seperti SPRM, Institut Integriti Malaysia (IIM) dan NKRA;

Untuk mencapai sasaran skor CPI yang ditetapkan, IIM dan NKRA dilihat tidak fokus kepada usaha mengenal pasti, menganalisis dan mendekati sembilan bentuk kajian yang digunakan oleh CPI untuk dijadikan asas bagi membentuk strategi dan pendekatan meningkatkan persepsi serta imej negara;

Strategi dan pendekatan yang diguna pakai IIM dan NKRA wajar dikaji semula;

Kumpulan sasaran iaitu golongan peniaga dan pelabur domestik dan antarabangsa yang merupakan sampel kajian tidak pernah didekati dan dijelaskan berhubung inisiatif dan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan;

Keseriusan kerajaan dalam memerangi rasuah dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif tidak disambut secara bersungguh-sungguh oleh sebahagian besar agensi kerajaan.

Terlalu banyak publisiti berhubung kes-kes rasuah di media massa menyebabkan wujud persepsi bahawa rasuah amat berleluasa di negara ini;

Tindakan segelintir ahli politik yang suka memburuk-burukkan Malaysia di luar negara turut mempengaruhi tahap persepsi ini;

Perlakuan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika membentangkan kertas kerja di persidangan antarabangsa mengkritik dan memburuk-buruk kerajaan;

Cadangan penambahbaikan CPI

Sekiranya pihak terbabit benar-benar serius dengan usaha untuk menaikkan CPI pada masa akan datang, berikut adalah antara cadangan yang boleh diambil untuk dijadikan panduan:

Menganalisis secara menyeluruh kesembilan kajian yang digunakan oleh TI untuk menghasilkan CPI;

Mengenal pasti secara spesifik apakah permasalahan rasuah yang berlaku, sektor-sektor yang terlibat, peraturan-peraturan yang berkaitan berdasarkan hasil kajian tersebut;

Mengadakan pertemuan dengan institusi-institusi terlibat bertujuan mendapatkan gambaran dan menjelaskan inisiatif-inisiatif yang telah diambil kerajaan Malaysia;

Mendekati NGO yang memperjuangkan integriti, hak asasi manusia dan ahli-ahli akademik agar diberikan pendedahan dan maklumat secukupnya bagi membantu menjelaskan peranan Malaysia dalam memerangi rasuah dalam forum atau persidangan antarabangsa.


Oleh KHOO CHAI LEE
Utusan Malaysia
30 Oktober 2010

29 Oktober 2010

RANGKA KARANGAN

SOALAN KARANGAN

Malaysia memiliki infrastruktur kelas pertama tetapi pemikiran kebanyakan rakyatnya masih berada pada kelas ketiga. Berikan bukti-bukti tentang hal ini dan cadangkan beberapa langkah yang sesuai bagi mengatasinya.

KEHENDAK SOALAN

Calon-calon diminta mengemukakan bukti-bukti yang memperlihatkan pemikiran kebanyakan rakyat Malaysia masih berada pada kelas ketiga serta cadangan-cadangan bagi mengatasi masalah ini.

PENGENALAN

1. Negara kita memiliki insfrastruktur kelas pertama
2. Mentaliti rakyat masih berada pada kelas ketiga
3. Mentaliti sebegini akan menghalang kita untuk maju ke hadapan
4. Masyarakat maju perlu memiliki minda kelas pertama
5. Bukti-bukti dan langkah-langkah untuk mengatasi akan dibincangkan.

BUKTI PERTAMA

1. Masih ada masyarakat yang mengabaikan kebersihan alam sekitar
2. Membuang sampah sarap sesuka hati
3. Longkang tersumbat dan sungai dipenuhi oleh timbunan sampah sarap
4. Pembuangan sisa toksik masih lagi menjadi masalah
5. Sedar tentang bahayanya tetapi tetap jua melakukan
6. Sikap mementingkan diri dan mengejar keuntungan berganda

BUKTI KEDUA

1. Sikap tidak menghargai kemudahan awam
2. Melibatkan masyarakat pelbagai peringkat umur
3. Tandas, pondok telefon, pondok bas, pusat rekreasi dirosakkan
4. Dinding tandas dan pondok bas selalu diconteng
5. Tidak ada kesedaran untuk menjaga dan menggunakannya dengan baik
6. Mengakibatkan kerugian yang banyak kepada negara

BUKTI KETIGA

1. Mentaliti subsidi masih menebal
2. Sentiasa meminta bantuan dan sokongan kerajaan
3. Azam dan ikhtiar untuk memajukan diri sangat rendah
4. Tidak berusaha hendak memajukan diri sendiri
5. Kerajaan bagaikan ibu bapa kepada mereka
6. Hilang bantuan subsidi – tamatlah perjuangan untuk mara ke depan

LANGKAH MENGATASI PERTAMA

1. Mewujudkan kelompok intelektual yang aktif
2. Berperanan untuk menyuarakan permasalahan masyarakat
3. Memupuk pemikiran dan kesedaran kolektif dalam masyarakat
4. Bijak dalam menyelesaikan masalah
5. Pandai mencari peluang untuk memajukan diri
6. Tidak menjadi masyarakat subsidi

LANGKAH MENGATASI KEDUA

1. Menyemai budaya membaca
2. Membaca jambatan ilmu
3. Mengasah minda menjadi kreatif dan inovatif
4. Bahan bacaan ilmiah hendaklah diperbanyakkan
5. Terjemahan dan penghasilan karya ilmiah harus dipergiatkan
6. Konsep “pembelajaran sepanjang hayat” harus dijadikan budaya

LANGKAH MENGATASI KETIGA

1. Forum untuk mengubah pemikiran rakyat perlu digiatkan
2. Medan untuk rakyat bersuara dan menjana minda
3. Suara dan cadangan dapat diluahkan secara formal
4. Membawa manfaat untuk memajukan bangsa dan negara
5. Pemimpin negara perlu aktif melibatkan diri dalam berforum
6. Mampu membawa anjakan paradigma dalam kalangan rakyat

PENUTUP

1. Masyarakat maju mesti memiliki minda kelas pertama
2. Penting untuk merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020
3. Sanggup menerima perubahan dan bersikap terbuka dengan kritikan
4. Sikap yang boleh menghalang kita untuk maju hendaklah dinyahkan
5. Mudah-mudahan kita akan menjadi bangsa Malaysia glokal yang cemerlang, gemilang, dan terbilang di arena global.

ISU KEBUDAYAAN : PELIHARA BUDAYA MALAYSIA

Warga New Zealand, Victor Ronald Johnson, 67, pernah bertugas di Malaysia pada tahun 1963 hingga 1965 ketika Konfrontasi Malaysia-Indonesia. Pada waktu itu beliau menganggotai angkatan Tentera British Negara-Negara Komanwel dan ditugaskan di Pontian, Johor serta Sarikei, Sarawak. Bagi beliau kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika berkhidmat di Malaysia ialah sewaktu berada di Sarawak. ''Di Sarawak saya berpeluang bergaul dengan kaum Dayak dan menyaksikan pelbagai keunikan budaya dan cara hidup mereka. Semua itu sangat menarik bagi saya," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Pelancongan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya pengalaman bertugas pula, Johnson menyifatkan bertugas di Pontian dengan sebahagian dari kawasannya dipenuhi hutan bakau agak mencabar. Namun selepas berjaya membiasakan diri dengan kawasan hutan beliau tidak menghadapi banyak masalah. ''New Zealand juga mempunyai kawasan hutan dan pengalaman di negara sendiri membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan hutan di Malaysia. ''Ketika terlibat dalam konfrontasi tersebut keadaan hutan banyak membantu saya. Dengan hanya mendengar dan mengamati keadaan hutan saya boleh mengagak pergerakan musuh," jelas beliau. Tambah Johnson dalam konfrontasi tersebut, pihak Indonesia tidak begitu profesional berbanding pasukan Tentera British terutamanya dari segi logistik dan koordinasi.

''Kelemahan pihak Indonesia yang kurang berkemahiran memberikan kelebihan kepada kami. Tentera British sentiasa mengutamakan intergrasi dan koordinasi ketika berhadapan dengan mereka dalam konfrontasi tersebut," katanya. Johnson merupakan salah seorang dari lapan veteran perang dari New Zealand, Australia dan United Kingdom yang dijemput Kementerian Pertahanan untuk menerima Pingat Jasa Malaysia pada 30 Ogos, baru-baru ini. Pingat berkenaan sebagai menghargai pengorbanan dan sumbangan yang mereka berikan sehingga membantu Malaysia mencapai kemerdekaan. Kesemua mereka berkhidmat di Malaysia antara 1957 hingga 1963 iaitu ketika darurat dan Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Selain menerima pingat, veteran perang berkenaan turut diberi peluang menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 di Stadium Putra, Bukit Jalil, melawat Tugu Negara dan Kem Terendak, Melaka. Konfrontasi Malaysia-Indonesia berlangsung dari 1963 sehingga 1966. Ia timbul apabila Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia pada tahun 1963 yang melibatkan kemasukkan Borneo Utara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura. Presiden Soekarno menganggap bahawa penubuhan Malaysia sebagai satu percubaan kolonial Inggeris untuk meneruskan kekuasaaan di Asia Tenggara dan melancarkan gerakan Ganyang Malaysia pada 27 Julai 1963. Sepanjang konfrontasi berkenaan banyak peristiwa serang menyerang berlaku di antara tentera kedua-dua negara sehinggalah konfrontasi ditamatkan secara rasminya pada 28 Mei 1966 dalam sebuah persidangan di Bangkok, Thailand.

Johnson yang pernah bercuti di Pulau Pinang beberapa kali selepas meninggalkan negara ini pada tahun 1965 melahirkan rasa gembira dan kagum dengan pembangunan yang dikecapi Malaysia pada hari ini selepas 53 tahun kemerdekaannya. ''Pembangunan Malaysia pada hari ini begitu menyeluruh terutamanya di bandar raya Kuala Lumpur. Bidang industri, bangunan tinggi dan infrastruktur lain membangun dengan begitu pesat dan moden.  ''Saya sentiasa mengharapkan Malaysia akan kekal harmoni, masyarakatnya mengekalkan cara hidup yang lama dan menjadi sebuah negara yang kaya-raya pada masa akan datang," katanya.

Seorang lagi veteran perang warga New Zealand yang turut menerima Pingat Jasa Malaysia ialah James Broughton, 70 yang bertugas di Kem Terendak dan Borneo dari 1963 hingga 1965.  ''Saya tertarik dengan masyarakat Malaysia yang begitu bersopan-santun dan kaya dengan pelbagai budaya. Saya berharap masyarakat Malaysia memelihara budaya mereka supaya tidak menjadi seperti masyarakat New Zealand yang sudah kehilangan sebahagian besar daripada budaya dan tradisi kami. ''Saya gembira melihat Malaysia membangun dengan begitu pantas sejak konfrontasi dulu dan semoga Malaysia terus berjaya pada masa depan," jelasnya.


Oleh
ROHANI IBRAHIM
Utusan Malaysia
3 September 2010

ISU ALAM SEKITAR : MALAPETAKA SUNGAI RAJANG MULAI DIRASAI

Tiga kejadian membabitkan sungai di Sarawak menjadi tajuk berita sejak kebelakangan ini. Pertama, kemalangan membabitkan bot ekspres yang mengorbankan nyawa di Sungai Anap, Tatau. Kedua, air di Sungai Rajang yang semakin surut. Ketiga, usaha kerajaan negeri di bawah pelan induk untuk membersihkan semua sungai dan cabangnya bermula dengan Sungai Sarawak.

Sungai menjadi nadi kegiatan ekonomi, sistem pengangkutan dan kehidupan sebahagian besar daripada 2.5 juta penduduk Sarawak, terutama mereka di sepanjang Sungai Rajang, Sungai Baram, Batang Sadong, Batang Tatau, Batang Lupar dan Sungai Limbang. Sarawak mempunyai 55 batang sungai. Jika sungai mati, maka segala kehidupan dan kegiatan mereka akan turut mati. Sungai mempunyai peranan signifikan dan kesan besar dalam kehidupan seharian mereka. Sungai bukan saja perlu dipelihara tetapi dilindungi daripada segala kegiatan yang mengancam hayatnya.
 
Jika sungai sudah tercemar dan mati, ia tentu merugikan manusia dan mendatangkan malapetaka yang tidak sukar dibayangkan. Tidak ada gunanya menyesal apabila nasi sudah menjadi bubur. Jadi, sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi, pelbagai langkah perlu diambil untuk mengelakkan kejadian buruk menimpa kita. Usaha menyelamatkan sungai daripada pencemaran bukan saja memakan masa dan tenaga, tetapi memerlukan peruntukan besar. Sebenarnya, semua itu tidak perlu jika kita sensitif dan prihatin terhadap sungai dan tidak mengambil ringan dengan membuang segala sampah ke dalamnya sehingga mencekik dan mematikan sungai. Tidakkah kita berasa berdosa dan kesal melihat sungai yang mengalir lancar dan begitu bersih suatu ketika dulu, kini tidak lagi bergerak, berbau busuk dan dipenuhi sampah dan keladak?

Jadi, apabila Sungai Rajang dicemar oleh sampah sarap dan balak dua minggu lalu, tidak hairan ramai yang memperlihatkan keprihatinan mereka. Sungai Rajang perlu segera diselamatkan dan dibersihkan daripada sebarang ancaman angkara perbuatan manusia yang rakus dan tidak mempedulikan alam sekitar. Kini, kita wajar berasa risau dengan kejadian yang menimpa Sungai Rajang. Sungai Rajang yang menarik perhatian ramai baru-baru ini kerana fenomena balak dan sampah sepanjang 50 kilometer sehingga menggemparkan penduduk di sepanjang sungai terbabit, kini berdepan dengan ancaman lain yang tidak kurang risikonya.

Kerajaan memang sedar peranan sungai berkenaan sebagai laluan kapal dan bot. Pada 2002 misalnya, kerajaan Pusat menyumbang peruntukan RM4 juta bagi tujuan khas untuk melaksanakan Program Pencegahan Pencemaran dan Peningkatan Kualiti Air Batang Rajang. Program itu bertujuan untuk membantu memastikan setiap aktiviti pembangunan dilaksanakan di kawasan Lembangan Batang Rajang, termasuk Projek Bakun, tidak menjejaskan kualiti air, serta kegunaan berfaedah Batang Rajang.

Sungai Rajang semakin kering. Air semakin susut dan akibatnya, penduduk di Sibu, Kanowit, Song, Kapit dan Belaga dicengkam kebimbangan yang bukan kepalang. Ini berita buruk kepada mereka yang sekian lama bergantung kepada sungai sebagai nadi kehidupan dan pengangkutan. Malah, sungai berkenaan menjadi mangkin kehidupan sejak zaman-berzaman lagi. Bayangkan tanpa jalan raya, bagaimanakah penduduk dari kawasan terbabit dapat bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan juga pergi ke Sibu? Apakah yang menjadi sebab air semakin kering? Adakah kerana langkah menakung air di Empangan Bakun setinggi 205 meter? Hakikatnya, satu pertiga daripada sumber air yang mengalir ke dalam Sungai Rajang dinafikan dengan langkah penakungan air berkenaan. Puncanya bukan kerana ketiadaan hujan kerana sebelum itu pun hujan tidak pernah turun untuk beberapa hari tetapi tidaklah seperti sekarang. Kali ini air cepat susut di dalam sungai sehingga mendedahkan tebing dan segala kemudahan prasarana berkaitan dengan sistem pengangkutan.

Kerisauan penduduk di sepanjang sungai berkenaan memang beralasan kukuh. Penduduk dari Kanowit mungkin tidak begitu risau kerana mereka dihubungkan dengan jalan raya ke Sibu, tetapi bagaimana dengan mereka di Song, Kapit, Belaga dan kawasan sekitarnya? Sungai Rajang satu-satunya sistem pengangkutan yang memungkinkan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Jika sungai itu sudah kering kontang, ini satu malapetaka yang pasti mendatangkan kesulitan yang luar biasa kepada petani, penangkap ikan, pembalak, pengendali bot dan sebagainya.

Oleh Dr Jeniri Amir
Berita Harian
29 Oktober 2010

PENANDA WACANA

PENANDA TAMBAHAN

1. Selanjutnya
2. Seterusnya
3. Selain itu
4. Di samping itu
5. Demikian juga
6. Begitu juga
7. Tambahan lagi

PENANDA PENEGASAN

1. Lebih-lebih lagi
2. Tambahan pula
3. Malah
4. Malahan
5. Bahkan
6. Lagipun

PENANDA PERTENTANGAN

1. namun begitu
2. namun demikian
3. bagaimanapun
4. walau bagaimanapun
5. walaupun demikian
6. akan tetapi
7. sungguhpun begitu

PENANDA SEBAB DAN KESAN ATAU LANJUTAN

1. Oleh sebab itu
2. Oleh itu
3. Dengan demikian
4. Oleh yang demikian
5. Sebagai akibatnya
6. Sebagai hasilnya
7. Dengan ini

PENANDA PERKAITAN

1. Sehubungan dengan itu
2. Dalam hal ini
3. Berhubungan dengan
4. Seiring dengan
5. Merujuk kepada
6. Sejajar dengan
7. Dari segi

PENANDA WAKTU

1. Sebelum itu
2. Kini
3. Pada masa ini
4. Selepas itu
5. Lama-kelamaan
6. Lambat-laun
7. Pada mulanya

PENANDA PERBANDINGAN

1. Lain halnya
2. Dalam hal yang demikian
3. Sebagaimana
4. Serupa dengan
5. Sesuai dengan
6. Sama juga dengan
7. seperti
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails