Pujangga pernah
mengungkapkan, “Ada dua keuntungan daripada sebuah kegagalan. Pertama, jika
kamu gagal, kamu belajar membezakan
perkara yang tidak bekerja dalam dirimu.
Kedua, kegagalan memberikan peluang agar mencuba cara lain”. Berpegang kepada
kata-kata itu, Cikgu Zul mahu semua pelajar yang gagal mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan STPM yang diumumkan pada 2 Mac 2015 dan SPM yang
diumumkan pada 3 Mac 2015, kembali membuat refleksi diri. Pertama, jangan
salahkan orang lain menjadi punca penyebab kegagalan kita. Guru dan ibu bapa
telah melakukan yang terbaik untuk memberikan ilmu dan mengorbankan waktu untuk
kita. Teruskan untuk berterima kasih dan menghargai pengorbanan mereka.
Insyallah, kita akan mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya. Allah akan
tunjukkan jalan yang lebih indah untuk kita. Kadang-kadang, kita yang empunya
badan mudah hanyut dengan pelbagai godaan sekeliling sehingga lupa untuk
belajar dan mengulangkaji pelajaran. Itulah penyebab kegagalan kita.
Walau bagaimanapun, Cikgu
Zul nasihatkan anak-anak sekalian, usah lagi menoleh kepada kegagalan itu.
Bangkitlah dan atur strategi untuk terus mara ke hadapan. Banyak lagi jalan
yang terbentang untuk kita lalui. Carilah jalan yang sesuai dengan kebolehan,
kelulusan dan keinginan. Cikgu Zul percaya, anda semua sudah terlalu matang
untuk menentukan arah tuju hidup. Jika anda berminat dalam bidang elektrik,
pilihlah laluan meneruskan pengajian di Institut Latihan Perindustrian. Jika
anda meminati bidang masakan, pilihlah institut yang mampu melatih anda
sehingga menjadi Chef yang terkenal dan bergaji tinggi macam Chef Wan.
Tempat-tempat melanjutkan pelajaran pula, pilihlah ikut kemampuan ibu bapa.
Jangan memaksa ibu bapa menghantar kita ke kolej-kolej berprestij jika mereka
tidak mampu. Seboleh-bolehnya, jangan meminjam wang daripada mana-mana
institusi kewangan sebab masa depan kita belum tentu lagi. Pilihlah Institut
Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan lain-lain.
Jangan suka menyusahkan ibu bapa. Kasihanilah mereka!
Anak-anak sekalian, Cikgu
Zul berharap agar kegagalan itu menjadikan kalian lebih matang dalam menentukan
laluan hidup. Hargailah masa muda. Jangan sesekali memilih laluan yang mudah
sehingga menghancurkan masa depan kita. Hidup ini tidak mudah. Kos hidup di
negara kita semakin meningkat. Gaji bulanan sebanyak RM3000.00 belum tentu
cukup untuk menyara hidup!. Ingatlah, suatu masa kalian akan berkahwin dan
mempunyai anak yang perlu disara, diberikan pelajaran, dan dibiayai kehidupan.
Oleh itu, Cikgu Zul mohon, pandanglah jauh ke hadapan. Jangan pilih jalan yang
salah. Yang paling penting dalam hidup ini hanya 3 perkara. Pertama, jangan
jauhkan diri daripada Tuhan. Kedua, harus bersikap positif. Ketiga, mesti rajin
untuk memajukan diri sendiri. Kita harus sedar asal usul kita dan berkeinginan
tinggi untuk mengubah nasib kita. Ingatlah, “Sesungguhnya Allah tidak akan
mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang
pada diri mereka”.
JANGAN MALU JIKA KITA
GAGAL
Cikgu Zul mohon agar
kalian menerima kegagalan itu dengan minda yang positif. Jangan malu.
Percayalah, SPM dan STPM itu merupakan permulaan bagi perjalanan hidup.
Sehingga kini tiada bukti yang boleh dikemukakan bahawa orang yang gagal dalam
kedua-dua peperiksaan itu, gagal dalam hidup. Banyak yang berjaya sebagai
peniaga sehingga menjadi usahawan dan jutawan terkenal. Mereka tidak lulus SPM
tetapi mereka mampu membina sebuah empayar perniagaan yang dikagumi. Kenapa
kalian tidak boleh jadi seperti mereka? Mengapakah mereka berjaya? Apakah
bezanya anda dengan mereka? Pokoknya, jika anda melihat kegagalan itu dari
sudut yang positif maka positiflah masa depan anda. Jika anda terus putus asa
dan asyik menangisi kegagalan itu, anda akan terus gagal dan gagal dalam hidup.
Yang sudah siapa? Anda jugalah. Bukan orang lain. Mengapakah harus meletakkan
diri dalam situasi begitu? Percayalah, jika anda sentiasa dekatkan diri dengan
Tuhan, jalan akan dibuka untuk anda.
Perjalanan manusia penuh
dengan lika-liku
Selalu berbeda tanpa batas
ruang dan waktu
Kegagalan kadang kala
menyakitkan kalbu
Jika tiada pembimbing bagi
hati yang pilu
Ketika akhir dari tujuan
tidak menjadi milik anda
Hanya keikhlasanlah yg
menolong pedihnya jiwa
Tatkala kegagalan terus
membayangi langkah kita
Pasrahkanlah segalanya
pada Sang maha Bijaksana
Percayalah bahwa Sang
Pencipta maha mengetahui
Sehingga sanubari
senantiasa berdzikir tanpa henti
Renungkanlah makna hidup
setiap insan di dunia ini
Niscaya kebahagiaan akan
merasuk dalam ruang hati
Kegagalan bukan akhir dari
suatu perjalanan
Karna ia hanya sebatas
ujian dalam kehidupan
Kerinduan akan kebahagiaan
selalu didapatkan
Bagi seorang yg berfikir
bahwa hidup adalah ujian
Jadilah hamba Allah yang
baik saat menyikapi segala cobaan
Sehingga jiwa yang tenang
menghampiri nuansa kebahagiaan
Tataplah masa depan
melalui doa dalam langkah kemenangan
Karna tiada hal yang
sia-sia dalam setiap jalan pengorbanan.
DENGAR NASIHAT, MINTA
NASIHAT
Setelah gagal, dengarlah
nasihat daripada orang lain. Jangan terus berdegil dan kepala batu. Datanglah
kepada orang-orang tertentu yang boleh membetulkan balik laluan hidup anda.
Minta pendapat dan pandangan. Jumpalah guru-guru di sekolah. Insyallah, mereka
akan berikan pandangan dan pendapat. Guru bukan musuh anda. Guru itu penyampai
ilmu yang paling memahami dan mengerti naluri insan yang bernama pelajar.
Mereka telah lama membaca potensi dan kebolehan anda. Mereka tahu dan boleh
membantu apabila diperlu. Berbincanglah secara matang dengan ibu bapa. Ubatilah
rasa kecewa mereka dengan kematangan kita bertindak. Jika mereka marah, itu
perkara biasa bagi insan yang bergelar ibu bapa. Yang penting kita sebagai anak
jangan menderhaka. Jangan melawan. Kita terus atur strategi. Percayalah, jika
anda positif, anda juga mampu berjaya.
Daripada;
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart
Sibu, Sarawak.