JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Disember 2011

ISU ALAM SEKITAR : KESEDARAN URUS SAMPAH MASIH RENDAH

Oleh Mohd. Hazli Hassan


Setiap  hari kita akan berhadapan dengan sampah sama ada yang dihasilkan oleh kita mahupun yang dihasilkan oleh orang lain. Negara juga semakin hari semakin tidak dapat menampung pembuangan sampah yang dihasilkan oleh rakyat negara ini. Ini termasuk mengadakan pelbagai kempen dan penguatkuasaan undang- undang bagi mengekang perkara itu daripada terus berleluasa. Terbaru pindaan akta yang mahukan semua penduduk di negara ini mengasingkan sampah yang boleh dikitar semula dengan pelbagai sampah domestik yang lain. Pindaan akta ini akan membolehkan penguatkuasaan dilakukan kepada mereka yang ingkar dalam mengasingkan sampah mereka. Pada saya, ini merupakan satu langkah terbaik yang berjaya diwujudkan kerajaan dalam mendidik rakyat negara ini daripada tabiat membuang sampah yang tidak teratur.

Namun dalam pelbagai kempen dan pindaan akta dijalankan, masih ada lagi yang tidak sedar akan kepentingan pembuangan sampah secara teratur. Pada mereka sampah merupakan satu perkara remeh yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada mereka. Ini berlaku di depan mata saya sendiri beberapa tahun lalu ketika ditugaskan di tengah laut. Satu kejadian berlaku di tengah-tengah laut di mana petugas kerajaan berkenaan dengan selamba mencampak sampah yang dikumpul dan dibuang di dalam tong sampah ke laut. Dia mendakwa hanya sisa makan yang dibuang namun saya dapat melihat segala jenis plastik pembungkus, kertas dan tin turut terapung. Kedua, ketika bot sudah menghampiri jeti, kakitangan yang berlainan pula mencampak sebungkus sampah yang juga sudah dikumpul ke dalam muara sungai.

Yang hairannya mereka merupakan kakitangan kerajaan yang saya sudah pasti mempunyai protokol atau peraturan khusus tentang pembuangan sampah di laut. Lebih-lebih lagi mereka merupakan petugas yang berkaitan dengan kelautan. Mereka mahu kawasan mereka bersih namun membiarkan laut dicemari sampah yang dihasilkan mereka, sukar juga untuk saya menerima hakikat itu. Sepatutnya merekalah yang menjadi pelindung kepada khazanah negara dan bukan menjadi contoh buruk kepada masyarakat. Mereka sepatutnya lebih tahu mengenai apa yang patut dan tidak dilakukan lebih-lebih lagi di tengah laut. Mungkin mereka tidak mahu memenatkan diri membawa sampah-sampah yang sudah dikumpul di dalam tong sampah naik ke darat. Mungkin mereka juga merasakan tangan-tangan mereka akan busuk untuk membawa sampah-sampah yang dihasilkan mereka sendiri naik ke darat dan laut adalah jalan penyelesaian terbaik.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 DISEMBER 2011

ISU SOSIAL : ANAK-ANAK TERUMBANG-AMBING


Bagaikan  tidak lengkap setiap keluarga itu jika tidak mempunyai anak. Anak bukan sahaja permata keluarga tetapi penyambung zuriat. Seorang anak yang dilahirkan melalui ikatan perkahwinan, bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang antara suami dan isteri, malah akan terus dianggap sebagai harta yang tidak ternilai harganya. Namun bagi pasangan suami isteri yang bercerai anak-anak sering diabaikan, keadaan itu memberi kesan yang tidak baik kepada anak-anak yang sedang membesar. Keadaan tersebut memberi kesan negatif kepada anak-anak malah kehidupan anak-anak yang lahir hasil dari penceraian akan terumbang-ambing tanpa kawalan dan pegangan kukuh daripada kedua ibu bapanya. Oleh kerana pengawalan terhadap mereka telah berkurangan atau mereka tidak diambil perhatian langsung oleh kedua ibu bapa mereka, maka ketika itu tidak mustahil anak-anak tersebut akan bertindak melulu tanpa memikirkan sebab dan akibat yang akan menimpa mereka di kemudian hari.

Dalam situasi sedemikian, mereka mudah terpengaruh dan mencari keseronokan dengan cara sendiri bagi memindahkan 'kelukaan hati' yang dilalui dalam keluarga mereka. Hasil kajian yang dibuat didapati punca jenayah adalah tinggi di kalangan anak-anak yang mengalami perpecahan rumahtangga. Ini kerana pasangan yang bercerai menghadapi kesukaran untuk mengawal anak-anak mereka dan ramai yang menunjukkan sikap memberontak terhadap tindakan ibu bapanya yang bercerai. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan kadar jenayah di kalangan Bangsa Melayu adalah tinggi berbanding bangsa lain iaitu 5,556 kes pada tahun 2006 meningkat kepada 5,876 pada tahun 2007 da merosot kepada 4,760 orang pada tahun 2008. Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata anak-anak yang menghadapi perpecahan ibu bapa biasanya akan memberontak.

Semua ini adalah natijah daripada kurang perhatian serta perpisahan orang tua mereka. Tegas beliau, keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan memudaratkan diri remaja tersebut dan berlarutan apabila dia besar nanti. Beliau juga memberitahu, pasangan bercerai seharusnya bijak berkomunikasi dan mengutamakan hak serta pendapat anak. Ibu bapa dinasihatkan untuk berkongsi pendapat dan perasaan yang dialami anak mereka sebelum mahu pun selepas perceraian supaya kanak-kanak dapat menerima dan sedia meluahkan pendapat mereka dalam meneruskan jadual harian. Interaksi antara ibu bapa juga perlu supaya anak tidak dibayangi dengan pemikiran mahupun emosi negatif kesan daripada perceraian.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 DISEMBER 2011

ISU UMUM : BERFIKIR LUAR KOTAK RAHSIA PEMIMPIN BERWIBAWA

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my


Angkasawan Negara Mejar Dr. Faiz pernah dinobatkan oleh Oxcell.

Individu yang mahu berjaya dalam bidang yang diceburinya perlu berfikir 'di luar kotak' dan mempunyai pengurusan masa yang strategik. Kedua-dua aspek itu penting supaya perancangan masa hadapan dapat dibuat sebaik mungkin, malah berupaya menonjolkan bakat dengan lebih cemerlang. Bagi penerima Anugerah Inovasi Pusat Kecemerlangan Oxford (Oxcell), Asisten Supritendan Nek Abd. Rahman Salleh, 55, meskipun tugas hakikinya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sebagai pegawai polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur, ia bukan alasan bagi beliau untuk tidak mencuba sesuatu di luar skop tugasnya. Anak kelahiran Melor, Kelantan itu tetap aktif menjalankan aktiviti berkaitan ekuin di Taman Pameran Pertanian Serdang (MAEPS) dengan mengadakan modul ekuin kepada mereka yang minat. Modul tersebut yang diiktiraf oleh beberapa universiti dari Australia dan United Kingdom (UK) turut menggamit beberapa pengamal sukan berkuda untuk mendalami bidang tersebut secara teori.

Namun kegigihan beliau tidak berhenti setakat itu sahaja. Beliau turut terjun ke dalam bidang bioteknologi dengan menghasilkan kapsul anti barah yang diperbuat daripada susu kuda, Niemans Feramilch Capsule. Produk dalam bentuk kapsul itu mengandungi serbuk susu kuda liar tulen yang diperoleh daripada lebih 10,000 ekor kuda yang diternak di sebuah ladang di Irian Jaya, Indonesia. Ia yang dikelaskan sebagai makanan tambahan yang boleh menjadi alternatif perubatan moden telah diuji secara saintifik di makmal oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan hasilnya menunjukkan sel kanser yang dititiskan susu kuda liar berkurangan kira-kira 60 peratus. Jelas Nek Abd. Rahman, dalam mengimbangi masanya, perkara utama yang menjadi pegangannya adalah keghairahan dalam mengejar ilmu serta mewujudkan anjakan paradigma terhadap kehidupannya dan seterusnya kepada orang di sekelilingnya. Banyakkan membaca, menghadiri seminar yang membangunkan potensi anda. Jangan mengharapkan sesebuah anjakan paradigma akan wujud sekiranya kita cuma duduk menggoyang kaki.

"Anugerah daripada Oxcell dapat memberi pendedahan yang luas kepada saya dalam membina rangkaian perniagaan saya di peringkat global," ujarnya. Perkara sama turut ditekankan penerima Anugerah Ahli Perniagaan Tahunan Oxcell, Lawrence Tee Cheng How, 31, yang menegaskan bahawa pemikiran luar kotak akan menghasilkan pemimpin yang kebal menempuh dugaan dan kerumitan di dalam segala bidang yang diceburi. Beliau yang memiliki hampir lima premis makanan kelas antarabangsa menekankan kriteria utama untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang terkemuka adalah kepercayaan yang tinggi terhadap diri sendiri dan organisasi yang dipimpinnya. "Pertamanya, niat kena baik. Ini termasuk menetapkan diri bahawa segala yang dilakukan kita hanya untuk kesenangan ahli keluarga, dirahmati tuhan dan sentiasa pandang ke hadapan. "Menerima anugerah ini merupakan kebanggaan saya. Ia sebuah pengiktirafan antarabangsa terhadap segala usaha saya dalam membangunkan ekonomi negara.

"Berada di atas pentas menerima anugerah ini sudah memadai membuatkan keluarga dan rakan-rakan bangga terhadap saya. Saya turut berterima kasih kepada pimpinan Oxcell yang terus menghargai usaha usahawan negara ini," kata anak kelahiran Muar, Johor itu. Sama seperti Nek Abd. Rahman, penganugerahan tersebut turut membuka ruang seluas-luasnya bagi beliau untuk melebarkan perniagaan beliau ke peringkat global di samping mempertingkatkan persepsinya terhadap persaingan perniagaan antarabangsa. Sambil memberitahu, bidang pemakanan zaman kini amat mencabar dan penuh dengan persaingan, beliau mengingatkan kepada mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang itu supaya tidak berputus asa dan optimis dalam menempuh segala cabaran yang mendatang. "Ambil peluang ini untuk merealisasikan impian anda. Jangan biarkan ia berlalu kerana jika dibiarkan, semestinya kita akan menyesal pada masa hadapan. "Turut menjadi ciri utama seorang pemimpin adalah mempercayai nalurinya. Sekiranya naluri anda berkata 'ya', teruskan dan jangan pandang belakang lagi. "Seperti yang ditekankan Pengarah Oxcell UK, Dr. Mike Kearsley, kepimpinan kreatif dan bermatlamat itu lahir ketika berlakunya krisis. Justeru, jadilah seorang yang sentiasa bersedia dalam menempuh cabaran yang mendatang secara proaktif," tambah beliau.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 DISEMBER 2011


ISU PELANCONGAN : MALAYSIA DI TANGGA KE-28 ICCA PADA TAHUN 2010



Tarikan persekitaran dan budaya masyarakat tempatan melayakkan Malaysia kekal dalam senarai 10 destinasi perniagaan pelancongan terbaik di rantau Asia Pasifik. Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, Malaysia juga menduduki tangga ke-28 dunia dalam kategori Persatuan Antarabangsa Kongres dan Konvensyen (ICCA) pada tahun 2010. Jumlah ketibaan delegasi perniagaan pelancongan telah mengalami peningkatan daripada 1.25 juta pada tahun 2009 kepada 1.28 juta tahun 2010. Bilangan mesyuarat antarabangsa yang diadakan di negara ini juga meningkat sebanyak 24 peratus dari 96 mesyuarat pada tahun 2009 kepada 119 (2010), katanya ketika berucap pada majlis perasmian Viva Malaysia Batik 2011 pada 1 Disember 2011. Tambah Yen Yen, ketibaan pelawat perniagaan telah menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara sebanyak RM17.6 juta tahun lalu dengan purata setiap mereka membelanjakan sebanyak RM7,418. Setiap RM192,450 yang dijana menerusi perniagaan pelancongan akan mewujudkan satu peluang pekerjaan manakala sebanyak 16,700 pekerjaan baru menjelang 2020. Sementara itu, Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah memberitahu, program Viva Batik itu dianjurkan sebagai langkah awal pihaknya bersama Kementerian Pelancongan dalam menyambut Tahun Melawat Malaysia 2012/2013. Pelbagai aktiviti akan diadakan bagi mempromosikan batik Malaysia ke peringkat antarabangsa dan memperkenalkannya kepada pelancong asing. Antara program ialah Batik XChange, Batik Fun Walk, Pertandingan Mereka Batik Piala Seri Endon serta Pameran dan Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala Lumpur.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 DISEMBER 2011