JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Disember 2010

ISU ANTARABANGSA : KENAPA SINGAPURA TERUS MEMPERLEKEH MALAYSIA?

Perwatakan Melayu dianggap sering beralah memakan diri
 
Apakah masalahnya dengan kepemimpinan negara jiran kita, Singapura dan sesetengah rakyatnya berterusan memperlekeh negara ini. Terakhir ialah pandangan yang sungguh mencemuhkan kita, khususnya oleh pimpinan agungnya, Lee Kuan Yew, mahu pun tiga diplomat kanannya yang sedikit pun tidak menunjukkan perangai sebagai diplomat. Pendedahan oleh WikiLeaks awal bulan ini memberi gambaran bagaimana jeleknya pandangan ketiga-ketiga diplomat kanan republik itu terhadap kita dan juga beberapa negara lain, termasuk Jepun dan India. Mereka terdiri daripada Peter Ho (bekas Setiausaha Tetap Kementerian Luarnya), Bilahari Kausikan (Setiausaha Tetap Kementerian itu), kebetulan berada di sini sekarang mengetuai perwakilan republik itu dalam rundingan lanjut mengenai tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di republik itu) dan duta kelananya, Tommy Koh. 
 
 
Mereka semua diberitakan berpandangan begitu rendah sekali terhadap kita dan pimpinan negara seperti Thailand, India, Jepun. Apakah agaknya dalam pemikiran mereka sehingga menunjukkan bahawa bongkak dan angkuhnya mereka terhadap kita dan beberapa negara lain itu. Begitu menghina sekali pandangan Kausikan terhadap kita yang dianggapnya sebagai ‘keliru dan berbahaya’ dengan ‘kemungkinan besar tercetus pertelingkahan kaum yang boleh membawa kepada penghijrahan beramai-ramai rakyat berketurunan Cina ke Singapura hingga menenggelaminya.’ Kausikan menambah lagi: “ketandusan pimpinan yang cekap adalah satu masalah benar yang dihadapinya”.

Beginilah pandangan seorang diplomat kanan republik itu terhadap negara ini dan pimpinan kita dan kini sibuk mengepalai rombongan untuk berunding mengenai tanah kepunyaan KTM. Saya tidak hairan pimpinan ulung mereka, Kuan Yew bersikap kiasu dan memandang rendah terhadap negara ini dan rakyatnya, khususnya orang Melayu serta pimpinan beberapa negara lain seperti Myanmar yang dianggapnya bodoh dan Korea Utara katanya sebagai tidak berfikiran waras dengan mempunyai seorang pemimpin tua menggeleber dan gilakan sanjungan. Walaupun sudah lebih 45 tahun Singapura dikeluarkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 1965, tetapi, Kuan Yew masih tidak boleh melupakan peristiwa yang amat pahit baginya.  Tunku ketika itu berterusan tidak mahu melayan usahanya supaya beliau mengetepikan MCA yang dipimpin Tun Tan Siew Sin yang diremehkan Kuan Yew sebagai seorang yang bukannya boleh mewakili orang Cina sebab tidak boleh berucap dalam bahasa Cina.
 
 
Baginya hanya parti pimpinannya, PAP sajalah yang boleh mewakili orang Cina. Ini adalah daripada ketaksuban kebolehannya bahawa Singapura adalah terlalu kecil bagi seorang yang ‘geliga’ sepertinya. Sememangnya ketika negara ini diwujudkan pada 1963 dengan gabungan tiga negeri baru, Singapura, Sabah dan Sarawak, Lee mempunyai harapan menjadikan negara yang baru wujud itu sebagai landasan baginya berperanan besar pada peringkat Pusat.  Oleh itu, pada Pilihan Raya Umum 1964 partinya PAP bertanding bermati-matian memainkan soal perkauman dengan laungan ‘Malaysian Malaysianya’ untuk mempengaruhi pengundi Cina memaling sokongan daripada MCA kepada partinya.  Alangkah terkejutnya apabila PAP hanya memenangi satu kerusi saja di Bangsar ketika itu dengan orang kuatnya, Devan Nair berjaya dipilih.

Saya masih teringat bagaimana dia keluar dari biliknya di Pesuruhjaya Singapura di Jalan Tun Razak (ketika itu Jalan Pekeliling) bersebelahan Kelab Golf Diraja untuk menemui kami (pemberita) pada pagi hari selepas keputusan menunjukkan rakyat Malaysia menolak partinya. Mukanya merah padam dan jelas sekali dia tidak dapat menerima penolakan partinya oleh rakyat Malaysia, khususnya pengundi Cina yang terus menyokong MCA. Walaupun rakyat negara ini menolaknya, dia masih meneruskan dengan laungan ‘Malaysian Malaysia’ hingga mewujudkan suasana yang amat cemas hingga Tunku membuat keputusan mengeluarkan republik itu dari Malaysia. Inilah suatu hal yang tidak dapat diterimanya, khususnya daripada pimpinan Melayu dan dengan itu berterusan berusaha meremehkan negara ini dalam serba-serbi rundingan untuk menyelesaikan pelbagai masalah akibat daripada perpisahan pulau itu dari Malaysia pada 1965. 
 
 
Sebenarnya, Malaysia nampaknya sudah banyak mengalah dengan Singapura dalam berbagai-bagai hal, termasuk perpecahan MSA (Malaysia-Singapore Airlines) menjadi dua syarikat penerbangan dengan penubuhan Singapore Airlines dan MAS – Malaysia Airlines System yang mana jelas Singapura mendapat yang terbaik, termasuk semua hak penerbangan ke luar negara dengan MAS hanya mempertahankan hak penerbangan dalam negara saja. Bahkan hingga sekarang ini masalah bekalan air Johor ke republik itu dan kemahuannya supaya kita membenarkan jet pejuangnya berlatih di ruang Johor, misalnya masih berlarutan tanpa penyelesaian hanya kerana mereka ini begitu bongkak dan tidak mahu beralah dengan pemimpin Melayu.

Masalahnya ialah perwatakan Melayu yang sering saja beralah kerana tidak mahu menimbulkan perasaan tidak selesa dengan puak yang mereka berbalah atau berunding. Tempias pandangan yang begitu rendah terhadap kebolehan pemimpin negara ini, khususnya orang Melayu juga mempengaruhi pemimpinnya yang lain, termasuk rakyatnya. Maka tidak menghairankan anggapan rakyatnya terhadap negara ini sebagai sebuah negara ‘gila’ oleh sekumpulan rakyatnya. Peristiwa jelek ini diceritakan rakyat Malaysia, Lim Chai Heng dari Batu Pahat yang ‘menemui’ sekumpulan rakyat negara itu ketika beliau melancong ke Taiwan pada November lalu.  Apa yang dihadapinya dihuraikan dalam tulisannya kepada The New Sunday Times, Ahad lalu. Beliau hairan dengan anggapan tidak bersopan itu bahawa Malaysia adalah sebuah negara tidak siuman. Lim dengan megahnya berkata: “Saya berbangga datang dari Malaysia ‘gila’ ini”. Syabas kita ucapkan kepada Lim.
 
 
Rejal Arbee 
Felo Kanan UKM

Berita Harian
23 Disember 2010

ISU SOSIAL : PELUANG MEMILIKI RUMAH SENDIRI


Tanyalah kepada sesiapa sekali pun, pasti tidak ada yang menafikan antara yang menjadi impian ialah untuk memiliki rumah sendiri. Namun berapa ramai pula daripada kita yang mampu berbuat demikian? Ini adalah antara dilema yang wujud dalam sektor hartanah negara apabila banyak projek perumahan yang dibangunkan tidak terjangkau oleh kelompok masyarakat majoriti. Sebaliknya, projek-projek perumahan itu hanya mesra kumpulan mewah apabila harganya terlalu tinggi sehingga boleh disifatkan tidak munasabah. Keadaan itu semakin ketara terutamanya di kawasan-kawasan bandar seperti di sekitar Lembah Klang. Adalah sesuatu yang mustahil ketika ini untuk mencari projek-projek perumahan yang ditawarkan di bawah RM150,000 di sekitar kawasan Lembah Klang. 

Jika ada sekali pun, kekangan lain pula dihadapi oleh pembeli apabila perlu menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus. Mengambil contoh rumah berharga RM150,000, pembeli perlu menyediakan wang sendiri sebanyak RM15,000 bagi bayaran pendahuluan. Itu belum ditambah dengan bayaran lain seperti yuran guaman dan sebagainya yang mana pembeli mungkin mengeluarkan wang sendiri sehingga RM20,000. Jumlah ini bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta mereka yang baru bekerja adalah terlalu besar. Ini menyebabkan impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya hanya boleh dipenuhi oleh golongan kaya yang bukan sahaja memiliki sebuah rumah, malah lebih daripada itu. Justeru apabila kerajaan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan pinjaman 100 peratus, ia membuka peluang yang lebih luas kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah sendiri.

Skim itu yang berkuatkuasa bermula Januari ini diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011, Oktober lalu. Skim itu akan menawarkan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000 dan dibuka untuk pembelian rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) adalah antara syarikat terawal yang menyahut saranan kerajaan itu apabila menawarkan kira-kira 11,000 unit rumah yang sudah siap sepenuhnya kepada pembeli bermula 1 Januari ini. Rumah yang berharga antara RM35,000 hingga RM220,000 itu ditawarkan kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Daripada jumlah itu, kira-kira 6,300 unit akan ditawarkan tanpa dikenakan bayaran deposit sebanyak 10 peratus iaitu menepati dengan program Skim Rumah Pertamaku. 

Jumlah itu tidak termasuk kira-kira 1,200 unit rumah mampu milik yang akan dibina di bawah projek-projek baru SPNB mulai tahun depan. Projek baru itu meliputi beberapa kawasan di sekitar Selangor, Johor, Kedah dan Sabah. Menurut Pengarah Urusan SPNB, Prof. Dr. Kamarul Rashdan Salleh, SPNB sehingga kini sudah pun menerima beberapa permohonan untuk dipertimbangkan di bawah skim tersebut.  Begitu pun, tidak semua rumah kos rendah boleh ditawarkan di bawah Skim Rumah Pertamaku. Sebaliknya ia hanya dibuka kepada kumpulan sasar yang benar-benar layak seperti golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta golongan yang tidak bernasib baik. Golongan muda, mereka yang baru bekerja, warga emas dan keluarga dengan isi rumah yang besar juga antara yang akan dipertimbangkan untuk membeli rumah mampu milik tanpa deposit itu. ''SPNB bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengenalpasti mereka yang benar-benar layak untuk membeli rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku ini,'' kata beliau. 

Namun di sebalik kemudahan pemilikan rumah yang ditawarkan menerusi skim itu, masih ada beberapa perkara yang perlu diperincikan. Ia terutama berkait dengan keuntungan dan kelebihan secara keseluruhan kepada golongan sasaran tersebut. Antaranya ialah lokasi rumah kos rendah dan sederhana itu yang terletak di pinggir bandar dan agak jauh daripada infrastruktur serta prasarana yang sempurna. Ini menyukarkan pembeli terutama mereka yang bekerja di bandar untuk berulang-alik ke tempat kerja. Malah jika dibuat perhitungan, pembeli rumah mampu milik ini masih perlu menanggung perbelanjaan yang tinggi terutamanya kos perjalanan seperti minyak dan tol. Begitu pun dalam hal ini, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh SPNB kerana tanggungjawab menyediakan prasarana dan infrastruktur yang sempurna terletak di bawah agensi kerajaan yang lain. Namun SPNB turut mengakui, ia adalah antara yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dalam memastikan program pemilikan rumah bagi setiap penduduk benar-benar memberi manfaat secara menyeluruh.

Sebagai penyelesaian yang lain, SPNB melihat adalah lebih baik sekiranya syarikat itu boleh menyediakan rumah kos rendah dan mampu milik di kawasan bandar terutamanya di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur. Ia sememangnya kedengaran tidak munasabah kerana adalah mustahil untuk mendapatkan tanah pada harga yang murah di tengah-tengah bandar. Namun Dr. Kamarul tetap berkeyakinan ia boleh dilaksanakan antaranya dengan membangunkan tanah-tanah milik kerajaan yang terdapat di sekitar bandar. Kerjasama juga boleh dijalankan dengan mendapatkan tanah-tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di lokasi strategik untuk dibangunkan rumah kos rendah dan mampu milik. Malah, SPNB juga tidak menolak sekiranya ada tuan tanah yang mahu membangunkan tanah wakaf mereka dengan projek rumah kos rendah dan mampu milik dengan keuntungan secara bersama. 

Kaedah lain yang difikirkan sesuai oleh SPNB juga ialah menerusi kerjasama dengan DBKL untuk membaikpulih flat-flat lama untuk dijadikan kediaman yang lebih selesa dan mampu milik. Bagi SPNB, usaha seperti itu bukanlah satu halangan kerana ia masih meliputi skop tanggungjawab syarikat berkenaan yang turut mengambilalih projek-projek terbengkalai untuk dibaikpulih. SPNB sehingga kini misalnya, sudah membaikpulih kira-kira 77 buah projek terbengkalai sehingga boleh didiami dengan enam projek lain sedang dalam proses baik pulih. Begitu pun bagi Dr. Kamarul, usaha memenuhi impian setiap rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di atas bahu agensi kerajaan seperti SPNB. 

Sebaliknya, semua pihak yang terbabit secara langsung dalam industri hartanah perlu bekerjasama untuk menyediakan satu persekitaran perniagaan hartanah yang boleh disertai oleh setiap kelompok masyarakat. Dari sudut pakej pinjaman misalnya, apa yang boleh dicadangkan ialah tawaran pinjaman diberi berdasarkan pendapatan atau kemampuan individu. Sebagai contoh ialah dengan menawarkan skim bayaran berkala yang murah pada tahun-tahun awal dan ditingkatkan sesuai dengan kenaikan gaji peminjam. Selain bank, pihak-pihak lain yang terbabit dalam sektor pembinaan juga perlu dikawal supaya tidak berlakunya monopoli yang menyebabkan harga rumah meningkat. 

''Begitu juga dengan pihak-pihak lain dalam sektor ini yang tidak seharusnya menjadikan keuntungan sebagai agenda perniagaan semata-mata. Ini kerana pada akhirnya, meskipun SPNB sedaya upaya membina rumah kos rendah, sederhana dan mampu milik kepada orang ramai, ia tidak dapat dimanfaatkan oleh kumpulan sasar kerana tidak sealiran dengan pihak-pihak lain dalam sektor hartanah yang lebih berorientasikan keuntungan dan komersial," katanya.

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL 
Utusan Malaysia
23 Disember 2010

ISU PENDUDUK : JUMLAH PENDIDIK MALAYSIA KINI IALAH 27.6 JUTA ORANG


Malaysia kini mempunyai 27,565,821 penduduk dengan lelaki melebihi wanita pada nisbah 105:100. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, statistik itu berdasarkan laporan kiraan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010. Katanya, penduduk lelaki kini adalah 14,112,667 orang dan wanita 13,453,154 orang. Purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan dalam tempoh 2000 hingga 2010 ialah 2.17 peratus, menurun berbanding 2.60 peratus dari 1991 hingga 2000. 

ISU PENDIDIKAN : AKADEMIA NEGARA KHAZANAH DUNIA


Penganugerahan Professor Ulung telah melonjakkan martabat dan penghargaan yang tidak ternilai diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terhadap golongan akademia. Penjenamaan dan pengiktirafan ini juga setaraf dengan Anugerah Nobel walaupun diperkenalkan di peringkat negara. Ini menambah amanah, tanggungjawab dan peranan golongan pensyarah di universiti tempatan untuk menghasilkan bilangan modal insan yang cemerlang, berwibawa, berilmu, berwawasan jauh dan berupaya menandingi kepakaran antarabangsa. Peringatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada komuniti pensyarah muda patut dijadikan penggerak dan pemaju untuk mencapai peningkatan yang lebih progresif dan tidak hanya terbatas di peringkat lokal. Kepakaran mereka perlu dikomersialkan dan diperdagangkan supaya Malaysia dikenali sebagai pusat akademia sedunia.

Ternyata KPT mempunyai barisan ahli akademik yang terdiri daripada pelbagai disiplin dan kepakaran ilmu. Tidak terkecuali sasaran akademia muda yang sentiasa mendapat perhatian daripada semua pihak dalam era globalisasi ini yang dilihat sebagai the new generation academia era. Kerajaan Malaysia tidak perlu berharap kepada bantuan kepakaran luar kerana negara sudah berjaya melahirkan seramai 28,571 orang ahli akademik. Daripada jumlah itu, sebanyak 28.1 peratus memegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dan 56 peratus berkelulusan Sarjana. Angka ini akan bertambah menjelang 2020.
Memandangkan Malaysia kini sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dan menyasarkan 75 peratus pensyarah IPT berkelulusan PhD pada 2020, pelbagai program dan pelan transformasi pendidikan diperkenalkan bagi menggalakkan golongan ini mengasah ilmu mereka mengikut kepakaran masing-masing. Seharusnya golongan akademik muda menyahut seruan daripada dasar negara sebagai cabaran untuk terus melangkah lebih jauh ke hadapan. 


Bukan sekadar mendapatkan sijil atau kelulusan tetapi menjadikannya sebagai sebahagian daripada masyarakat 1Malaysia yang berinovasi tinggi, bermatlamat produktif dan pakar rujuk ilmu yang terulung dalam segala lapangan ilmu. Amanah ilmu kepada masyarakat merupakan amanah yang dituntut oleh setiap agama. Ilmu perlu dikongsi dan bukan dijual beli. Ilmu adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan oleh para pendidik hingga ke akhir hayat mereka. Keikhlasan mencurahkan ilmu adalah tonggak utama dalam institusi pendidikan tinggi negara. Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN), tenaga akademik akan bekerja lebih gigih apabila Malaysia menjadi titik tumpu pusat gedung ilmu menjelang 2020. Kebanjiran penuntut dari luar negara yang sanggup menjelajah jauh dari seluruh pelusuk dunia membuktikan bahawa universiti-universiti tempatan di Malaysia diiktiraf dan menawarkan pengajian yang menarik minat mereka untuk menjadikan universiti tempatan sebagai hab ilmu. Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berada dalam kelas dunia tersendiri kerana kesungguhan dan kewibawaan warga akademia yang sentiasa berusaha memartabatkan nama negara di peringkat lokal dan antarabangsa.

Mereka harus dinobat, diberi kredit, dipuji dan diberi pengiktirafan daripada sumbangan yang dizahirkan. Ini kerana pelbagai 'dugaan' perlu ditempuhi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka di IPT terutama dalam era yang sangat mencabar ini. Sokongan penuh golongan akademia muda kepada KPT dan negara perlu diukur melalui prestasi para akademik muda yang mempunyai tahap kecemerlangan yang membanggakan. Serta memberi peluang kepada mereka untuk terus melonjak lebih tinggi supaya mereka dapat mengembangkan kepakaran ilmu masing- masing. Sekiranya usaha untuk mengiktiraf golongan akademia muda ini disukat berdasarkan kepada pencapaian dan merit, ia mampu membentuk persaingan yang sihat untuk mencipta atau membentuk model yang bakal dimartabatkan sebagai Profesor Ulung masa depan.

Galakan, sokongan, motivasi, pendekatan positif serta penyeragaman perlu diberi perhatian yang berterusan bagi mengkaji kekuatan dan kerelevanan sumbanagan golongan akademia muda ini bukan sahaja diiktiraf di peringkat universiti. Malah melangkaui garis sempadan negara bagi mewujudkan persaingan dan persekitaran yang lebih mesra akademik, sihat dan sempurna dalam kalangan ahli akademik. Golongan akademia muda hari ini merupakan generasi ilmuwan dan harus mencabar kehebatan diri dan ilmu untuk menjadi yang terbaik antara yang paling baik. Melalui sistem akademik yang mesra ilmu ini, IPTA dan golongan akademia muda berada di landasan yang betul. Penubuhan Majlis Profesor Negara (MPN) adalah contoh terbaik kerana majlis ini bukan sahaja dibentuk untuk para Profesor di seluruh negara. Tetapi pusat 'tabung uji' para pelapis kepada bakal Profesor masa depan yang merujuk kepada para akademia muda hari ini. Siapakah bakal Profesor masa depan? Sudah tentu ahli akademia muda yang ada di seluruh negara akan mengambil tempat mereka sebagai masyarakat MPN tidak lama lagi. Semangat beginilah yang diperlukan di dalam setiap individu yang bergelar akademia muda. 

Sebelum bergelar pakar ilmu, golongan ini perlu mempersiapkan diri dengan ilmu, pemikiran yang lebih matang, sentiasa bersedia untuk bersama membantu KPT dan negara dalam segala pelan dan program yang dijalankan demi memartabatkan ilmu. Sebagai contoh, Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (Akept) merupakan antara akademi yang sangat aktif dalam melengkapkan barisan akademia yang berkualiti pada masa depan. Gelaran Dr., Profesor Madya, Profesor dan sebagainya bukanlah laluan untuk mendabik dada. Tetapi kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar gelaran tersebut. Usaha ini perlu disemai dengan benih yang bergred tinggi, barulah hasilnya juga berkualiti tinggi.

Sehubungan itu, profesion pensyarah adalah sebuah kerjaya yang 'multi-tasking' kerana seorang pensyarah adalah agen kepada semua pihak seperti pelajar, ibu bapa, universiti, badan bukan kerajaan (NGO), negara dan seluruh masyarakat umum. Merekalah pakar rujuk utama yang sentiasa dicari untuk mendapatkan kepastian dan jawapan akademik yang melangkaui aspek sosial, ekonomi, politik, pemikiran dan lain-lain. Dengan usaha yang diperkenalkan oleh negara melalui Pelan Transformasi Negara di mana Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Malaysia bakal menambah bilangan ahli akademik menjelang 2020 dan profesion ini akan menjadi antara pilihan utama tanpa mengira jantina.

Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad
Pensyarah Kanan 
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Panel Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya 
Universiti Malaya (UMCEDEL)

Utusan Malaysia
23 Disember 2010

ISU PERPADUAN : BUDAYA ETNIK PATUT JADI JAMBATAN KUKUHKAN PERPADUAN

 
Minggu lalu saya diminta untuk bercakap tentang peranan budaya etnik dalam konteks 1Malaysia di hadapan sekumpulan penulis dan budayawan. Sarawak dengan komposisi 30 etnik sering dijadikan suri teladan hubungan etnik yang harmoni. 1Malaysia bertujuan untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum. Saya menekankan konsep 1Malaysia mengenai sikap penerimaan rakyat berbilang kaum iaitu sesuatu kaum menerima keunikan kaum lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan aman, damai dan harmoni. Inilah dimaksudkan dengan kesatuan dalam kepelbagaian.

Kita perlu saling menghormati dan bertolak ansur, serta saling memahami budaya masing-masing. Kemajmukan atau pluraliti sepatutnya diterima sebagai satu realiti. Kemajmukan tidak harus menjadi tembok penghalang perpaduan dan kemajuan, sebaliknya sebagai keunikan dan sumber kekuatan bagi melonjakkan negara ini ke hadapan sebagai negara maju. Budaya etnik dapat memberikan jati diri kepada sesuatu kumpulan etnik. Budaya memberi sesuatu kumpulan etnik bukan saja untuk melihat dunia dan masyarakatnya, tetapi juga dunia luar, selain membantu mereka melihat dan mentakrif diri sendiri dan masyarakatnya. Ia menyemai, membentuk dan menentukan sikap, nilai, persepsi, malah perlakuan dan tindakan kumpulan etnik itu ketika berinteraksi, berkomunikasi dan bekerja dengan etnik lain sama ada di pasar, di tempat kerja atau di sesuatu majlis.
 
 
Kita boleh menyifatkan budaya etnik sebagai pengikat yang menyatupadukan anggota masyarakat bersama menerusi pemikiran, bahasa, adat resam, kepercayaan, kesenian, agama, pakaian, makanan, aspirasi dan pelakuan yang dikongsi bersama demi survival. Masyarakat kita juga dikenali dengan pluralisme bahasa dan budaya. Pluralisme adalah satu realiti hidup yang perlu kita terima dan kepelbagaian itu tidak seharusnya menjadi masalah dalam usaha kita mencapai perpaduan dan kemajuan. Namun, masalah pasti akan timbul jika ada pihak tertentu menjadikannya sebagai agenda politik sempit. Setakat ini, rakyat Malaysia sudah menerima kebudayaan kebangsaan dan bahasa kebangsaan sebagai antara tonggak perpaduan rakyat, manakala budaya etnik masing-masing pula dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. 
 
 
Namun, sejauh manakah rakyat pelbagai kaum di negara ini sedar dan saling memahami budaya etnik lain, selain etnik mereka sendiri? Sejauh manakah rakyat Malaysia di Semenanjung dan Sabah faham budaya etnik penduduk di Sarawak dan sejauh mana pula penduduk di Sarawak sedar dan faham budaya etnik di Semenanjung dan Sabah? Adakah kita umpama jiran yang tidak mengenali jiran sebelah-menyebelah? Tidaklah keterlaluan dikatakan, meskipun pelbagai langkah diambil untuk mewujudkan perpaduan dan integrasi, namun ia lebih bersifat top-down. Pengalaman saya mengajar kursus Hubungan Etnik di universiti mengesahkan hakikat ini apabila didapati sebahagian besar pelajar dari luar Sarawak tidak pun tahu kewujudan kebanyakan etnik di Sarawak, apatah lagi untuk mengenali budaya mereka. Keadaan sedemikian tentu tidak baik untuk masa depan generasi muda dan negara ini.
 
Polarisasi kaum dan polarisasi budaya berasaskan etnik tidak harus dibiarkan terus berlaku. Harus dicari jalan berkesan bagi memungkinkan berlakunya komunikasi silang budaya melalui pelbagai pendekatan dan kaedah bagi mengikiskan segala unsur negatif yang dapat menghambat kesepaduan dan perpaduan sosial. Kita bagai terkurung di dalam kepompong etnik, wilayah atau negeri kita sendiri disebabkan oleh pelbagai faktor segregasi, termasuk tempat tinggal dan sistem persekolahan. Budaya dapat memainkan peranan sebagai jambatan penghubung bagi pelbagai etnik di negara ini. Elemen budaya dapat dimanfaatkan sebagai unsur pemersatu rakyat daripada pelbagai etnik dan negeri.

Dengan kerencaman dan kepluralitian, tidak dapat tidak kita berdepan dengan pelbagai hambatan untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Sesuai dengan kelaziman, setiap etnik pasti memiliki sikap etnosentrisme yang tinggi, iaitu rasa bangga terhadap budaya etnik sendiri. Memang tidak ada salahnya dengan sikap sedemikian, tetapi sikap menanggapi dan melihat kelompok etnik lain menerusi kaca mata etnik sendiri tentu boleh mendatangkan masalah. Dalam usaha kita merealisasikan 1Malaysia, segala unsur negatif perlu diminimumkan atau dihapuskan, misalnya unsur prejudis dan stereotaip terhadap etnik lain akibat daripada pelbagai faktor termasuk jurang komunikasi dan tempat tinggal yang terpisah. Prejudis dan stereotaip terhadap etnik lain berlaku apabila timbul tanggapan negatif terhadap etnik berkenaan.
 
 
Oleh : Janeri Amir
pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak
 
Berita Harian
22 Disember 2010