Oleh Shamsul Amri Baharuddin
bhnews@bharian.com.my
TAMAN LAGENDA, LANGKAWI, KEDAH
Ilmu pengetahuan untuk sekian lama dinilai dan diukur dengan penanda aras yang idealistik kerana ia dikaitkan dengan pencapaian intelek tertinggi. Istilah menara gading, melukiskan idealisme ini yang tersimpul dalam kewujudan sesebuah universiti. Justeru, universiti adalah simbol, sekali gus abstrak dan nyata, idealisme yang bernilai sangat tinggi dan tiada tolok bandingnya. Dengan gelombang besar perubahan yang menghempas dan merubah landskap pantai kehidupan manusia sejagat sejak Revolusi Industri di Eropah pada abad ke-8, kedudukan ilmu pengetahuan dalam masyarakat pun sudah berubah. Bak kata pepatah, sekali air bah, sekali pasir berubah. Ilmu pengetahuan kini adalah komoditi yang boleh didagang, dijual beli dan dipasarkan, seperti sepasang kasut, sekotak rokok atau sebungkus serunding. Proses menghasilkan sesuatu komoditi, penentuan harganya dan pemasarannya ditentukan suatu kerangka piawaian global. Misalnya, setiap bahan makanan yang dijual mesti ditentukan tarikh luputnya untuk melindungi pengguna daripada mudarat memakan makanan yang sudah lama tersimpan.
Ilmu pengetahuan dalam konteks semasa, biar di universiti sekali pun, telah dikenakan kawalan kualiti, seperti komoditi lain di pasaran untuk memastikan pelajar atau pelanggan memperoleh komoditi berkualiti dan dipertanggungjawab kelayakan yang diperoleh. Dalam kata lain, integriti produk atau komoditi yang didagangkan, termasuk ilmu pengetahuan mestilah terjamin. Maka ciri fundamental sesuatu produk itu adalah integriti. Wujudnya badan seperti SIRIM Malaysia adalah semata-mata untuk tujuan ini bagi produk pengguna, mekanikal dan sistem/proses pengurusan. Di universiti pula, integriti akademik adalah ‘tiang seri’ fundamentalnya. Dulu diwujudkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) pada 2005 untuk tujuan itu. Kemudian ditubuhkan pula Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), pada 2007 untuk menilai kualiti program dan kursus yang ditawarkan bukan saja dengan skop lebih luas tetapi lebih mendalam dan rapi. Namun badan seperti ini hanya mampu menilai integriti akademik dalam pengertian khusus berkait dengan produk pengajian, iaitu kursus dan program pengajian.
Sedangkan skop kefahaman dan tindakan berkaitan integriti akademik adalah jauh lebih luas skopnya dan bukan terfokus terhadap produk pengajian semata-mata. Integriti akademik mempunyai tiga komponen utama. Komponen pertama ialah integriti individu seseorang tenaga akademik yang dinilai dari segi moral, etika, etiket dan pegangan pribadinya: amanah, jujur, ikhlas, berkata benar, sedia bekerjasama, telus dan tunduk mengikut resmi padi. Daripada pengucapannya sehinggalah kepada cara dia menulis nota kaki dalam kertas kerjanya, nilai ini terbuhul jelas. Dia tidak berpegang pada prinsip the end justifies the means, maknanya untuk mencapai matlamatnya dia sedia berbuat apa saja asalkan matlamat itu tercapai, termasuk memplagiat dan salah laku akademik. Ini mesti dihindari. Komponen kedua ialah integriti sistem, yang bermaksud bahawa sesebuah universiti adalah suatu sistem yang mengandungi pelbagai bahagian yang saling bergantungan dalam satu keseluruhan.
Seseorang ahli akademik mesti tahu keseluruhan sistem ini: bahagian tadbir urus akademik dan pengurusan sumber manusia, sistem dan peraturan kewangan, pekeliling pengurusan dan kewangan, perpustakaan, stor simpan kertas dan bahagian pengangkutan. Kalau dia seorang ahli akademik yang tinggi integriti individunya tetapi malap kefahamannya mengenai perjalanan sistem universiti, beliau tidak akan dapat berfungsi sepenuhnya dengan berkesan. Malah dia akan sering marah, salahkan sistem dan tidak pernah melihat diri mereka dalam cermin bahawa mereka sendiri yang hodoh dan bermasalah. Komponen ketiga ialah integriti produk akademik yang dihasilkannya, seperti setakat mana tulisannya yang berasaskan penyelidikan serius telah diterima dan diiktiraf oleh jurnal berwasit (ISI atau SCOPUS). Maka kalau dia mempunyai integriti individu dan sama-sama pula mendukung integriti sistem, tentu pada akhirnya integriti produk akademik yang tinggi akan dihasilkan oleh pensyarah berkenaan.
Kalau kita teliti dalam sistem ranking universiti dunia, yang bermotivasikan falsafah pemasaran, yang dipentingkan adalah integriti produk terakhir atau outcome. Integriti produk hanyalah satu daripada tiga komponen dalam integriti akademik. Ukurannya ialah jurnal berwasit yang bertaraf ISIS dan/atau SCOPUS. Tanpa integriti individu dan kefahaman mengenai integriti sistem sesebuah universiti, besar kemungkinan seseorang ahli akademik yang didorong semata-mata menghasilkan artikel dalam jurnal berwasit lagi berimpak tinggi bersedia membuat apa saja, termasuk menipu atau ditipu, untuk mendapatkan artikelnya diterbit dalam jurnal berwasit bertaraf ISI/SCOPUS. Dalam kata lain, ciri fundamental sesebuah universiti terletak kepada kekuatan, kadar kukuh rapuhnya integriti akademiknya, yang mengandungi tiga komponen utama tadi. Menguasai hanya satu daripadanya tidak cukup membina asas fundamental sesebuah universiti. Apa yang kita dengar dan saksikan akhir-akhir ini ialah fokus berlebihan diberikan kepada integriti produk, tidak integriti individu dan integriti sistem oleh beberapa universiti penyelidikan tempatan untuk memanjat tangga ranking global. Tidaklah menghairankan kalau ada universiti tempatan yang tidak mahu membabitkan diri dalam sistem ranking dunia kerana masing-masing berasakan ciri fundamentalnya, iaitu integriti akademiknya masih belum kukuh.
Penulis ialah Profesor Ulung dan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), UKM, merangkap Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara
SUMBER
BERITA HARIAN