Pelayaran saya dalam dunia perguruan ini
amatlah indah dan manis sekali, sedar tak sedar sauh pelayaran khidmat bakti
saya sudah belabuh di SMK Sibu Jaya selama setahun 3 bulan. Saya semakin
mengenali dan memahami kehadiran diri ke alma meter ini dan berusaha
bersama-sama warganya untuk menaikkan martabat sekolah yang tercinta ini.
Walaupun terpaksa memandu kira-kira 40 minit sehari dari bandar Sibu, hati dan
jiwa saya amat tenang dan riang, sepanjang jalan saya memutarkan lagu-lagu
indah sambil menyanyi sehingga pemandu di kiri dan kanan saya tertawa apabila
alunan suara merdu saya menerjah masuk ke halwa telinga mereka. Ingatan saya
menerawang ke waktu awal kemunculan saya di SMK Sibu Jaya. Dalam tempoh tidak
sampai 2 bulan berkhidmat, saya berhadapan dengan cabaran yang amat besar apabila
sekolah saya dicalonkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Sibu untuk menyertai
Anugerah Sekolah Cemerlang Kokurikulum Kategori Luar Bandar. Saya tidak mampu
untuk menolak pencalonan itu. Saya anggukkan kepala sambil memikirkan apakah
SMK Sibu Jaya mampu atau tidak?
Kenangan itu merupakan pengalaman yang
paling indah tetapi mendebarkan. Saya umumkan bersama Tuan Pengetua berkenaan
dengan pencalonan itu dalam taklimat staf dan perhimpunan sekolah. Bukannya
sedikit persediaan yang perlu kami lakukan kerana kami terpaksa bermula dengan ‘kosong’
terutamanya dalam aspek pemfailan. Yang lebih membimbangkan ialah kami cuma ada
masa seminggu sahaja untuk bersedia. Mulai saat inilah rasa cinta dan sayang
saya kepada warga SMK Sibu Jaya semakin menebal, bayangkan semua guru sanggup
bersekang mata untuk membuat persiapan sehingga sanggup berkampung di sekolah.
Komitmen yang diberikan amat mengharukan terutamanya daripada dua orang
Setiausaha Kokurikulum iaitu Puan Julina Labang dan Puan Mujalifah Binti
Kassim. Mereka sanggup meninggalkan anak-anak yang perlukan penjagaan di rumah
demi membantu pihak sekolah membuat segala persiapan bersama-sama dengan
pelajar-pelajar. Saya tidak dapat lupakan jasa dan pengorbanan mereka sampai
bila-bila. Walaupun pada tahun itu kami cuma mendapat tempat keempat tetapi
bagi saya kami merupakan juara yang sebenarnya kerana daripada tiada kami mampu
adakan hasil kesungguhan dan kesepaduan jiwa kerjasama antara kami warga SMK
Sibu Jaya.
TAHUN 2017, KAMI BERTANDING LAGI
Penyertaan kami dalam pertandingan yang
sama pada tahun 2017 bukanlah kejutan tetapi telah diduga. Sekolah kami
merupakan satu-satunya sekolah menengah yang dicalonkan oleh Jabatan Pendidikan
Sibu untuk menyertai pertandingan ini pada tahun ini. Walaupun kami agak sibuk
membuat persiapan tetapi kedaifan kami tidaklah seperti tahun lalu. Kini, kami
sudah mula memahami serba sedikit perkara yang perlu dilakukan. Keterbatasan
masa itu tetap menjadi kekangan utama tetapi semangat kerjasama dan setiakawan
serta rasa cinta dan sayangkan sekolah SMK Sibu Jaya menyebabkan kami
beranggapan tiada yang mustahil untuk dilaksanakan. Setiap orang memainkan peranan
seperti yang diarahkan. Semuanya lancar dan membuahkan hasil yang amat
membanggakan. Saya amat beruntung kerana dapat bekerjasama dengan dua orang
Setiausaha Kokurikulum yang serba tahu dalam semua perkara. Mereka dibantu oleh
lapan orang penyelaras yang amat komited dengan tugas dan tanggungjawab. Mereka
ialah Cikgu Mickencidy Bujang (Penyelaras Unit Beruniform Sesi Pagi) dan Cikgu Lenya Anak Ko (Penyelaras Unit
Beruniform Sesi Petang), Cikgu Nyabong Anak Ganen (Penyelaras Sukan dan
Permainan Sesi Pagi) dan Cikgu Felecia Wong (Penyelaras Sukan Permainan Sesi
Petang), Cikgu Emi Ewat (Penyelaras Kelab dan Persatuan Bukan Akademik Sesi
Pagi) dan Cikgu Ngu Leh Sung (Penyelaras Kelab dan Persatuan Bukan Akademik
Sesi Petang), dan Cikgu Zuraina Bt Arifin (Penyelaras Kelab dan Persatuan
Akademik Sesi Pagi) dan Cikgu Sii Tieng Ing (Penyelaras Kelab dan Persatuan
Akademik Sesi Petang), Puan Ainulriza binti Sadiro (Penyelaras Pendidikan Khas)
dan Puan Jeniffer Anak Entayang (Penolong Setiausaha).
Saya amat bangga dengan usaha dan
kesungguhan yang dipamerkan oleh semua warga sekolah dalam memberikan sokongan
padu terhadap perkara ini. Saya tidak mahu bebankan warga guru dengan tugas
yang terlalu banyak, saya cuma minta mereka menyiapkan fail kokurikulum
masing-masing mengikut senarai semak yang diberikan. Saya juga amat berterima
kasih atas komitmen dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada Tuan
Pengetua Encik Mohd. Yusri Azhar bin Abdullah @ Leo Takip, Penolong Kanan
Pentadbiran, Encik Mohd Sufian bin Hapni, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Encik
Friday Anak Biju, Penolong Kanan Tingkatan Enam, Puan Victoria Toyad Binti
Benjamin, dan Penolong Kanan Petang, Cik Paula Paulus. Rasa terima kasih yang
tidak terhingga tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata . Saya hanya mampu
memanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa agar semuanya diberikan kesihatan
dan kesejahteraan hidup. Saya mohon kepada Tuhan Yang Maha Mengetahui agar
hubungan silaturrahim antara kami akan kekal abadi hingga ke jannah. Sesungguhnya,
setiap perjuangan dalam sesebuah pertandingan sebegini akan lebih mudah andai
semuanya bersatu hati dan berkongsi jiwa menghayati dan memahami matlamatnya.
HARI PENILAIAN 16 OGOS 2017
Hari penilaian yang dinanti pun tiba.
Cuaca pada hari itu amat indah. Semua guru dan pelajar tiba awal di sekolah
untuk membuat persiapan yang terakhir sementara menunggu panel penilai tiba di
sekolah. Pada pukul 7:00 pagi, semua guru dan pelajar yang terlibat dalam
persembahan telah pun bersedia di ruang legar sekolah. Dalam kesibukan itu,
satu dugaan kecil muncul apabila bekalan elektrik di Bilik Mesyuarat terputus.
Ya Allah, saya jadi panik kerana dalam jadual panel penilai akan tiba pada
pukul 8:00 pagi. Saya hubungi pihak pihak Pejabat Pendidikan Sibu agar
menangguhkan masa penilaian sehingga bekalan elektrik pulih. Rombongan panel
penilai datang ke sekolah tepat pukul 9:00 pagi. Mereka terdiri daripada Encik Alta
Abang Katum, Ketua Unit Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Encik
Abit Hong, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Santubong, dan Puan Saraminah
Singkiu, UPPK Lawas. Kedatangan mereka disambut dengan paluan kompang oleh
pelajar Tingkatan 2 di bawah pimpinan Cikgu Annetta Alicia Guillan. Selepas
itu, panel penilai dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada “Anak-anak
Syurga” di bawah pimpinan Cikgu Ainulriza Binti Sadiro.
Kemuncaknya pula ialah Persembahan Kawad
Kaki War Cry SMK Sibu Jaya di bawah pimpinan Cikgu Mickencidy Bujang dan Cikgu
Randy Kembaren bin Zulfri. Persembahan kawad ini mendapat pujian kerana
disiplin yang ditunjukkan amat tinggi. Pasukan ini cuma belatih dalam tempoh
tidak sampai sehari kerana kesibukan menghadapi ujian sekolah. Akan tetapi,
kualiti kawad yang dipamerkan amatlah mengagumkan terutamanya daripada Ketua
Komenden, adik Johnnycal Muyang Anak Anthony. Saya berasa amat terharu dengan
kesungguhan dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh setiap ahli pasukan itu. Hati
saya berkata, tidak mengapalah jika sekolah kami tidak berjaya kerana kami
sebenarnya telah berjaya menunjukkan semua yang mampu kami lakukan dalam
keadaan yang serba kekurangan dan ketiadaan. Kami sedar bahawa kami bukanlah
yang terbaik kerana kami masih bertatih tatkala yang lain sudahpun berlari jauh
meninggalkan kami. Sesungguhnya, itulah kejayaan kami yang sebenarnya. Setiap
pertandingan memang akan ada pihak yang menang dan pihak yang kalah namun jika
kami kalah kami puas kerana kami telah memberikan yang terbaik. Itulah wajah
SMK Sibu Jaya yang sebenarnya. Insyallah, sedikit demi sedikit imej sekolah
kami akan meningkat dari sehari ke sehari, bak kata pepatah sedikit demi
sedikit, lama-lama jadi bukit. SMK Sibu Jaya baru berusia 14 tahun, dalam
tempoh itu banyak kejayaan yang dicapai dalam bidang kokurikulum. Tahniah diucapkan!
Suasana di bilik penilaian dimulai dengan
ucapan daripada Tuan Pengetua, Encik Mohd. Yusri Azhar bin Abdullah @ Leo
Takip, kemudian ucapan daripada Panel Penilai, Encik Alta Abang, dan
pembentangan oleh saya sendiri selaku Penolong Kanan Kokurikulum. Selepas
penyampaian cenderamata kepada Panel Penilai, maka tibalah sesi penilaian.
Penilaian dimulai dengan Pembentangan Inovasi Sekolah iaitu Projek Multi
Purpose Bag oleh tiga orang ahli PBSMM iaitu Mohammad Haris, Liong King Teck,
dan Alexson Ajah. Pembentangan mereka lancar dan mereka mampu menjawab soalan
yang ditanya oleh Panel Penilai walaupun ada ketikanya saya tersenyum mendengar
jawapan yang diberikan. Pujian harus diberikan kepada mereka kerana tidak
gentar dan takut apabila diajukan dengan soalan oleh Panel Penilai. Percubaan
mereka menghasilkan inovasi tersebut wajar berikan penghargaan kerana guru
hanyalah menasihati dan memantau perkara yang mereka lakukan. Yang menghasilkan
inovasi tersebut ialah mereka sendiri.
Sesi penilaian oleh Panel Penilai
bermula. Walaupun masih ada kekurangan dan kekhilafan yang kami lakukan tetapi
tidaklah seperti suasana penilaian pertama pada tahun 2016. Saya amat tertarik
dengan kesungguhan para penyelaras dan setiausaha kokurikulum sekolah kami yang
bertungkus lumus menyediakan segala yang diminta oleh Panel Penilai. Suasana
berlangsung dalam keadaan yang amat santai. Yang kurang kami diberikan tunjuk
ajar oleh Panel Penilai untuk ditambahbaik pada masa hadapan. Yang baik kami
diberikan pujian terutamanya dalam aspek Pengurusan Kewangan Kokurikulum.
Terima kasih diucapkan kepada Puan Jacqueline Anak Andreas Jampie dan Cik
Hellen Anak Alo yang mempersembahkan pengurusan kewangan yang telus kepada
Panel Penilai. Kelemahan kami yang ketara ialah dalam merekodkan aktiviti
kokurikulum di peringkat sekolah yang seharusnya ada kertas kerja dan laporan
aktiviti. Akan tetapi, kelemahan itu ditutup oleh Persatuan Bulan Sabit Merah
dan Pendidikan Khas yang mempunyai rekod yang mantap dan memenuhi kehendak
Panel Penilai. Keseluruhannya, proses penilaian berjalan dalam suasana yang
amat tenang dan tidak kelam kabut kerana kami banyak belajar daripada
kekurangan pada tahun lepas.
MENANG ATAU KALAH
Rasionalnya, apabila kita menyertai
sesebuah pertandingan kita melakukan persediaan untuk memperoleh kemenangan
tetapi bagi diri saya kami telah pun memang kerana banyak pengalaman yang kami
peroleh. Tunjuk ajar daripada Panel Penilai amat berharga buat kami yang masih
baharu dalam perkara sebegini terutamanya diri saya yang boleh diibaratkan “umur
setahun jagung, darah setampuk pinang” sebagai Penolong Kanan Kokurikulum. Saya
memang banyak kelemahan yang harus diperbaiki dalam menguruskan sekolah yang
sebesar SMK Sibu Jaya. Alhamdulillah, Allah permudahkan setiap urusan yang saya
lakukan dengan adanya guru-guru yang sentiasa bersedia memberikan komitmen
terhadap setiap arahan yang diberikan. Saya mengarahkan tanpa meninggikan
suara. Saya mengarahkan tanpa memaksa. Saya tidak perlu bersengketa. Saya tidak
perlu berbalas kata. Saya umumkan semuanya dengan bersahaja dan difahami oleh
semua. Mereka bertindak melaksanakannya dengan jaya. Itulah keistimewaan
guru-guru di SMK Sibu Jaya.
Persembahan Anak-anak Syurga
Saya tidak pernah tertekan memikirkan karenah
guru-guru kerana mereka tidak pernah menyuarakan kata ‘tidak’ baik di hadapan
mahupun di belakang saya. Dalam keadaan terdesak kami masih bergurau senda.
Yang paling saya kagumi ialah dua orang Setiausaha Kokurikulum SMK Sibu Jaya,
mereka berdua merupakan wanita yang bersemangat waja dan terlalu komited
terhadap tugas-tugas mereka sehingga saya terkedu untuk berkata-kata. Jauh di
sudut hati saya mendoakan agar mereka terus maju dalam bidang perguruan ini
pada masa hadapan kerana mereka masih muda dan mempunyai peluang yang cerah pada
masa muka.
Penilaian kokurikulum kami akhiri dengan
rumusan daripada Panel Penilai. Selepas menikmati Nasi Ayam Penyet yang
dibungkus kemas dengan daun pisang, kami mendengar rumusan daripada Panel
Penilai dengan mencatat setiap teguran dan pujian yang diberikan. Secara
peribadi, saya simpulkan kami berjaya. Kami berjaya menyediakan semuanya dengan
bekerjasama. Kami berjaya menyediakan semua yang diminta oleh Panel Penilai.
Adat pertandingan, kekurangan memang tidak boleh disembunyikan tetapi kami
sedaya upaya meminimumkan kelemahan dan memaksimumkan kelebihan kepada Panel
Penilai. Apa-apapun keputusan daripada Panel Penilai kami terima dengan tangan
terbuka. Yang terbaik pasti akan menjadi Juara. Akan tetapi, pengalaman yang
diperoleh daripada penilaian ini nilainya amat tinggi bagi kami. Kami akan
belajar dan terus belajar. Kami akan terus membaiki diri tanpa jemu dan bosan.
Sesungguhnya, kecemerlangan itu adalah hak bagi mereka yang terbaik. Untuk
memperoleh kecemerlangan kita mesti berusaha. Ya, kami sedang melangkah ke arah
itu.
Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Encik Wong Chong Kung atas pencalonan ini, terutamanya kepada Encik Inggol Anak Utek, Penyelia Kokurikulum, PPD Sibu. Dengan rasa rendah diri kami mohon maaf jika ada kekurangan dan kekhilafan. Sesungguhnya, yang terbaik itu datang daripada Allah Yang Maha Esa, yang kurang itu daripada kami hamba-Nya yang hina.
Cetusan pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
Sibu, Sarawak
GALERI KOKURIKULUM