26 April 2015

PhD PALSU CUMA BERHARGA RM10,500 SAHAJA.

Akhbar Satar
Presiden Transparensi International Malaysia
Berita Harian Online, 23 April 2015

Beberapa hari lalu, Majlis Profesor Negara (MPN) melancarkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bagi mengangkat kredibiliti profesion dan imej ahli akademik di Malaysia bertujuan menjelaskan penyalahgunaan gelaran profesor pada pangkal nama atau kad nama. Bahkan sudah ramai menyalahgunakan ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) sama ada dibeli menerusi online, diplagiat atau mengupah orang menyediakan tesis bagi tujuan penipuan dan komersial. Banyak kes seperti ini sama ada di Malaysia ataupun luar negara termasuk negara maju yang menjadi hab pengajian tinggi.


Beberapa tahun lalu, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Laura Callahan meletak jawatan selepas didapati membeli Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD secara dalam talian. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak menyemak latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. AS mengeluarkan 50,000 ijazah PhD seluruh dunia, bernilai RM3.6 bilion (AS$1 bilion) setahun. Di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor kelulusan PhD palsu dan ia menjejaskan kredibiliti universitinya. Pembabitan 'profesor segera' ini merosakkan imej dan mutu pengajian terutama bidang perubatan. Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000.

Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu atas nama Universiti Harvard - pusat pengajian tinggi terbaik di dunia, dengan harga RM120,000. Sedia khidmat ijazah palsu Malah, sebuah laman sesawang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu, termasuk PhD dari pusat pengajian tinggi dengan bayaran RM240. Tawaran ini jadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa sahaja bidang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi dalam ijazah palsu itu. Ijazah palsu membabitkan universiti Malaysia mula dikesan susulan kes penipuan untuk mendapat kelulusan Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu.

Selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara. Pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri. Syarikat mengenakan harga RM6,500 bagi ijazah Sarjana Muda, RM8,500 (Sarjana) dan RM10,500 (PhD) dalam pelbagai jurusan kononnya diiktiraf lima universiti luar negara, antaranya Universiti Rockhampton, Universiti Harvey International, Universiti Cannington Brook dan Universiti Charles Molnar. Ramai orang 'sakit jiwa', pemalas dan suka menipu mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah, dalam tujuh hari sedangkan pelajar universiti menghabiskan tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma dan ijazah. Bukan mudah untuk mendapat PhD kerana memakan masa lama. Perlu berkorban wang ringgit, keluarga dan masa.

Perbuatan segelintir mereka ini adalah tidak adil kepada pemilik ijazah sebenar. Mereka yang terbabit dalam kes pemalsuan ijazah, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong dan hanya boleh dikesan sesetengah pakar apabila dibandingkan dengan kelulusan diperoleh. Selalunya orang yang gagal dalam pelajaran dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk. Perdaya orang Mereka bangga memperkenalkan diri sebagai 'Dr' dan profesor memperdayakan orang sedangkan hanya tamat Tingkatan Tiga ataupun Tingkatan Lima. Kadangkala dengan gelaran 'Dr' dan profesor yang dijaja sebagai pakar motivasi, MLM, penjual produk kosmetik dan ahli perniagaan, mereka dapat lebih peluang dan keutamaan menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam organisasi serta senang mendapat kontrak projek. Ditambah pula dengan sikap orang ramai mudah percaya dengan kepetahan bercakap tanpa meneliti latar belakang pengajiannya, selain kelemahan majikan di Malaysia yang hanya melihat rekod jenayah pemohon pekerjaan tanpa menitikberatkan status pendidikan menyebabkan kegiatan membeli ijazah sarjana dan PhD palsu semakin berleluasa.


Satu pusat menyimpan data graduan mesti ditubuhkan untuk mengelak kes pemalsuan ijazah dan semua sijil dicetak Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti tinggi. Seseorang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi tidak berintegriti dan patut merasa jijik memiliki ijazah palsu serta sanggup menggunakan gelaran doktor atau profesor. Mereka patut malu kepada masyarakat bahkan kepada ahli keluarga yang mengetahui taraf pendidikan dimiliki. Adalah wajar sesiapa yang menggunakan sijil palsu dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya. Penipuan sijil palsu perlu dibendung agar tidak merebak dan kelak disalah guna warga asing ketika Malaysia mengambil pelbagai usaha menjadikan negara sebagai hab pengajian tinggi. 

07 April 2015

MELONJAK PRESTASI TAHAP GLOBAL : SEMPENA PELANCARAN PPPM (PT) 2015-2025 OLEH PERDANA MENTERI

NORIZAN ABDUL MUHID

Utusan Malaysia Online, 7 April 2015


Tanggal 7 April 2015 mencatat satu lagi sejarah dalam transformasi pendidikan negara apabila pelan induk pembangunan pendidikan peringkat pengajian tinggi dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) 2015-2025 itu membawa hasrat untuk meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan tinggi sekali gus memperkukuh kewujudan Malaysia di pentas du­nia. Pelan induk ini juga dijangka mampu menarik minat pelajar, penyelidik serta organisasi berkaitan untuk menyertai sektor pendidikan tinggi yang di tawarkan di dalam negara kita. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz berkata, kecemerlangan dalam bidang pendidikan tinggi penting demi memperkukuh kewujudan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia seterusnya menjadi destinasi tumpuan pelajar dan golongan akademik untuk melanjutkan pengajian mahupun menjalankan penyelidikan mereka.

Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga kesembilan sebagai destinasi dunia yang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa menimba ilmu di menara gading. “Di bawah lonjakan kelapan PPPM (PT) iaitu Kesohoran Global, kita akan kembangkan perkara ini antaranya termasuklah meningkatkan hasil penyelidikan di lima buah universiti penyelidikan di samping memperkenalkan program pengajian baharu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. PPPM (PT) menyenaraikan 10 lonjakan untuk menyaksikan transformasi pendidikan dalam tempoh 10 tahun. Sembilan lonjakan lain ialah Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang; Kecemerlangan Bakat; Masyarakat Yang Belajar Sepanjang Hayat; Graduan TVET (Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional) Berkualiti; Kelestarian Kewangan; Tadbir Urus Perkasa; Ekosistem Inovasi; Pembelajaran Dalam Talian Secara Global, dan; Penyampaian Pendidikan Tinggi yang Ditransformasi.

Kesohoran Global yang merupakan lonjakan kelapan bertujuan melonjakkan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ke tahap tertinggi, dihormati masyarakat antarabangsa dan diiktiraf terbaik di peringkat antarabangsa. Menurut Mohd. Ismail, terdapat lebih 30 pelan strategik yang di­rangka bagi pelaksanaan PPPM (PT) ini namun tiga dianggap penting dan perlukan tindakan segera di bawah Agenda Kesohoran Global. “Tiga pelan strategik itu adalah menarik minat lebih banyak pelajar asing menimba ilmu dengan mengikuti pengajian di Malaysia, penjenamaan sistem pengajian tinggi negara dan meningkatkan pa­saran baharu antarabangsa,” katanya. Bagi memenuhi hasrat itu, ujarnya, usaha yang berterusan perlu digerakkan bagi mengubah pembangunan pendidikan tinggi melalui peningkatan kemahiran, kerjasama dengan universiti luar negara dan mempelbagaikan hasil penyelidikan universiti. “Pada masa sama, universiti melalui komuniti alumni perlu menjalin hubungan kerjasama akademik atau penyelidikan antarabangsa, mewujudkan rakan kongsi industri atau perkongsian kemahiran sama ada pelajar ataupun tenaga kerja dengan universiti luar,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, di UTM sendiri, pelbagai usaha kerjasama strategik sudah lama digerakkan dengan universiti luar negara dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan universiti tersohor dunia antaranya University of Cambridge, United Kingdom; University de Nantes, Perancis; Harvard University, Ohio State University, Amerika Syarikat; University of Bologna, Itali dan Meiji University, Jepun. Beliau yang terlibat merangka PPPM (PT) iaitu bertindak sebagai Pengerusi Kritikal Agenda Projek (Pengantarabangsa) Sektor Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan memberitahu, usaha menarik minat pelajar antarabangsa ke negara ini boleh dilakukan melalui pengalaman yang positif pelajar terdahulu. “Strategi kita adalah untuk mencipta pengalaman belajar yang menyeronokkan dalam kalangan pelajar asing yang datang ke negara ini kerana kita mahu kesinambungan pengajian dan jangka panjang dengan memastikan pelajar akan datang semula menyambung pengajian di negara ini pada masa depan,” ujarnya.



Bagaimanapun, katanya, uru­san berkaitan imigresen perlu di­tambah baik agar lebih mudah dan selamat untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di negara ini. “Daripada aspek pembiayaan pengajian, Malaysia masih menyediakan kemudahan universiti yang menawarkan yuran pengajian pada harga berpatutan berbanding negara maju,” katanya. Tambah beliau, pelaksanaan PPPM (PT) penting untuk direalisasikan demi memastikan sasaran mencapai 200,000 pelajar antarabangsa me­ngikuti pengajian di negara ini menjelang tahun 2020 dan 250,000 pada 2025 menjadi kenyataan. “Di samping itu, pengajian ting­­gi negara perlu membina masyarakat yang berpengetahuan dan menyokong pembangunan ekonomi dengan mewujudkan banyak peluang perniagaan domestik sekali gus memberi keuntungan kepada masyarakat setempat,” katanya.

02 April 2015

KE MANA MEDIA SOSIAL BAWA KITA?

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Penganalisis politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia.

Utusan Malaysia Online, 2 April 2015


Media sosial kini menjadi tarikan utama untuk menyalurkan, menyampai dan mempengaruhi kepercayaan dan keyakinan serta persepsi terhadap pelayar alam maya ini. Namun, ada juga yang menyoal sejauh manakah ‘agenda setting’ media ini bertanggungjawab ke atas lontaran idea, isu mahupun berita yang mahu diketengahkan atau disensasikan serta menerokai penanda aras untuk menilai potensi kepercayaan dan keyakinan ke atas apa sahaja yang dimuat naik di alam maya ini.


Pengaruh media sosial amat besar dan tiada sesiapa yang mampu menyatakan bahawa dalam dunia tanpa sempadan ini, media ini tidak relevan ataupun perlu sekatan. Adakah pengendali media bertanggungjawab atau pengamal media terutama mereka yang aktif menggunakan platform media sosial menggunakannya dengan tujuan dan matlamat yang mempunyai kecenderungan untuk meningkatkan fahaman ke atas sesuatu isu atau landasan untuk menyebar, mendekati dan menanam nilai-nilai songsang yang boleh mengganggu keselamatan, kesejahteraan dan kehidupan berukun terbina sekian lama dalam kalangan sesetengah daripada kita, sebagaimana kritikan ke atas media ini.

Sejarah media sosial menunjukkan tidak bermula dengan Facebook walaupun ramai mengandaikan sedemikian. Media ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden sejak lewat 1970-an dengan penggunaan ‘usernets’ terutama untuk menghantar artikel atau berita ke ‘newsgroups’. Selepas itu, kita melihat berbagai inovasi dan reformasi industri teknologi media sosial sehingga lahirnya perbualan di alam maya melalui IRC (Internet Relay Chat) serta instant messaging, melayari halaman untuk mencari pasangan dan forum online yang dianggap antara evolusi jaringan sosial.

Pada awal tahun 2000, pembangunan besar di dalam jaringan sosial dan media sosial menjadi semakin ketara. Lahir Friendster, Hi5, Linkedln, MySpace dan pada 2008, Facebook menjadi yang paling popular sebagai halaman jaringan sosial untuk pelajar, ahli perniagaan dan akhirnya untuk semua. Media sosial tidak terhenti sekadar untuk perkongsian jaringan hubungan sosial kerana kemudiannya sudah menjadi tempat perkongsian gambar, video dan kandungan multimedia lain yang dianggap sebagai antara aktiviti yang sangat digemari dalam amalan pengamalnya. Ini termasuk Photobucket, Flickr, Instagram dan pada 2005,

YouTube menjadi halaman yang popular untuk berkongsi video. Revolusi media sosial tidak terhenti di sini kerana pada 2006, muncul Twitter yang diguna untuk mengemaskini berita terkini yang menjadi norma baru media sosial. Ada pelbagai aplikasi muncul dan sama ada menjadi popular atau sebaliknya, namun media sosial kini dianggap mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kebanyakan aktiviti sehingga memadam ruang peribadi dan memperluaskan ruang awam.

Persekitaran, pendidikan dan rasa tanggungjawab memberi makna ke atas pengaruh media sosial ini. Dalam berhadapan persekitaran yang berubah, media sosial berhadapan dengan dilema keadaan di luar kawalan ruang yang bersifat peribadi kerana andaiannya adalah bebas digunapakai untuk sebarang berita. Kebebasan mutlak sukar untuk media sosial walaupun itu adalah realiti sebagaimana dalam lingkungan Malaysia melainkan wujud etika saringan sendiri tanpa menggunakan elemen keselesaan sendiri sebagai penanda aras.

Mereka yang melakukan kajian bersifat etnografi barangkali faham bagaimana untuk meneliti sesuatu nilai atau norma dari sudut pandangan kumpulan sasar yang dikaji dan bukan dari sudut pengamatan pengkaji semata-mata; sepatutnya itu juga menjadi asas amalan pengamal media sosial. Ilmu dan pembinaan tanggungjawab akan mendasari perkembangan media sosial ini. Ini kerana pengaruh media sosial semakin hari semakin kuat dan dikhuatiri satu hari nanti kita tidak dapat mengawalnya terutama dari sudut apa yang dilontarkan dan reaksi dalam ruangan-ruangan yang tidak membina tetapi melahirkan kebimbangan ke manakah arah tuju pengaruh media sosial ini? Ada kumpulan ditugaskan untuk bertanggungjawab dalam membina dan mempengaruhi persepsi sebagaimana pendekatan ‘cybertroopers’ ataupun ‘keyboard warriors’; nama jolokan yang diberi oleh mereka yang melihat tindakan dan gerak balas kumpulan ini.

Tidak dinafikan media sosial merupakan antara mekanisme atau alat yang terbaik untuk mendalami ilmu, melayari pelbagai tuntutan persekitaran serta rutin harian kita, namun ia tidak boleh menggadai maruah, jati diri dan identiti seseorang. Pembunuhan karakter, kritikan ke atas agama dan etnik, sifat perjuangan songsang dan lebih daripada itu kesediaan untuk meninggalkan fitrah manusia dilahirkan untuk saling kenal, hormat dan faham seolah-olah semakin luntur akibat desakan persekitaran yang bertujuan membentuk apa yang dinamakan oleh Benedict Anderson sebagai ‘imagined community’ tetapi kini di alam maya. Ada yang mahu menukar identiti diri yang tidak dapat dinikmati di alam realiti sebagaimana ada yang menunjukkan keberanian luar biasa di alam maya dari alam sebenar.

Sebagai pelayar atau pengamal media sosial, kita harus boleh melakukan yang terbaik demi mempertahankan kesejahteraan dan kehidupan berukun terutama dalam konteks masyarakat rencam Malaysia. Kita harus boleh bersama dalam pelbagai isu termasuk isu bagaimana media sosial diguna untuk berkomunikasi dan akhirnya wujud pelbagai salahlaku seperti penipuan mencari pasangan, pemerdagangan, amalan songsang, pengambilan anggota ajaran radikal dan ekstremis, urus-niaga dadah dan barangan haram, pengkaderan anggota geng, kegiatan jenayah walaupun waktu yang sama, media sosial membolehkan pelbagai aktiviti sihat dalam pembentukan jaringan perniagaan dan perhubungan serta perkongsian maklumat.

Lihat apa yang berlaku kepada beberapa berita yang tidak mendapat kesahihannya terlebih dahulu seperti pembunuhan karakter ke atas Perdana Menteri dan keluarga; pemimpin parti pemerintah mahupun pembangkang dan terbaru berita kematian bekas Perdana Menteri Singapura yang didahulukan dari tarikh sebenar kematian beliau. Terlalu banyak untuk disenaraikan terutama tatkala pilihan raya dan kini seolah-olah sudah menjadi rutin biasa di mana yang benar boleh menjadi palsu dan yang palsu boleh menjadi benar dari kreativiti pemikiran dan cara pengolahan.

Begitu juga dengan apa yang sedang dilalui oleh watak dalam video pendek keluaran BFM berhubung dengan hukum hudud serta penggunaan semula beberapa video dari ceramah lama politik untuk sama ada mengaibkan pemimpin ataupun parti politik. Jika semuanya dibuat dari garis mata politik, maka di manakah hala tuju sebenar negara bangsa ini? Apakah kita masih menguji kematangan walaupun tahu sebenarnya isu berkaitan agama dan etnik tidak akan dikompromi.

Alam maya boleh mempengaruhi kehidupan dan keputusan yang seringkali kita buat; tetapi biar alam realiti mendahului alam maya kerana pembentukan komuniti alam maya juga perlu memahami nilai sebenar alam di luar media sosial supaya kita boleh bertanggungjawab bersama ke arah pembinaan negara bangsa yang dihuni oleh masyarakat kelas satu di negara kelas pertama yakni dengan kemudahan dan infrastruktur sebagaimana negara maju termasuk peralatan canggih komunikasi dan teknologi; masyarakat kelas satu dirujuk kepada masyarakat yang ada ilmu, kemahiran dan kebolehan tetapi kesemuanya diselaputi dengan nilai karakter mulia.



ROTAN SEBAGAI ALAT PENCEGAHAN

OLEH SITI AIRUNNISA ALAUI
Utusan Malaysia Online, 2 April 2015

Satu masa dahulu, jika gagal menyiapkan kerja sekolah, pasti tapak tangan merah dirotan guru, di rumah pula, jika culas bersolat, punggung atau betis pasti disinggah sebatan sama ada menggunakan rotan, penyangkut baju, tali pinggang dan dawai sebagai satu cara guru dan ibu bapa memberi pengajaran atas kesalahan yang dilakukan. Namun begitu, pada era ini, soal hak asasi manusia pula hebat diperdebatkan bukan sahaja di negara yang sangat mengutamakan hak asasi manusia seperti Sweeden, malah turut memberi tempias kepada negara ini. Ini kerana, baru-baru ini, tatkala isu pasangan suami isteri rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang telah dihadapkan ke mahkamah di Sweden kerana merotan anak mereka yang tidak menunaikan sembahyang hangat diperkatakan.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan kementerian itu pula mahu tindakan merotan anak oleh ibu bapa dianggap menjadi satu kesalahan jenayah. Natijahnya, kementerian itu dikritik pelbagai pihak, malah cadangan itu seolah-olah menyimbah api pada minyak apabila masyarakat pula memberi komen dan pandangan negatif. Hakikatnya, masyarakat tidak sedar bahawa telah termaktub peruntukan sedia ada, iaitu di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjadikan memukul dan merotan itu satu kesalahan. Jika menilai dari pandangan dan sudut agama Islam pula, tidak salah merotan anak-anak untuk tujuan mendidik atau sebagai memberi pengajaran.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan pada istilah merotan kerana dibimbangi ada ibu bapa mengambil kesempatan menggunakan rotan sebagai alat untuk mendera. Hakikatnya, fungsi sebenar merotan adalah sangat pelbagai, tetapi dalam konteks mendidik, rotan hanya merupakan satu alat pencegahan, peringatan dan pengajaran kepada pesalah dan keberkesanannya bergantung kepada si perotan. Mengulas perkara itu, Ketua Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zuria Mahmud beranggapan, dalam konteks kekeluargaan, tiada salah menggunakan rotan dalam mendidik anak-anak bagi mengelakkan mereka melakukan kesalahan.

Namun, mekanisme terbaik adalah melalui interaksi dua hala yang berkesan antara ibu bapa dan anak-anak. Katanya, pendekatan merotan tidak harus menjadi kaedah pertama dalam mendidik anak-anak kerana dikhuatiri memberi kesan psikologi kepada mereka pada masa depan. Pun begitu, beliau tidak menolak merotan mampu mendidik anak-anak untuk peringkat awal seperti mana yang disarankan agama Islam. Hakikatnya, pendidikan terbaik 12 tahun pertama anak-anak ialah melalui contoh yang baik dan didikan yang betul ibu bapa di rumah kerana ketika itu kanak-kanak seusia berkenaan akan mencontohi apa sahaja perlakuan ibu bapa mereka. Jadi, jika didikan dan pembentukan sahsiah diri yang diterapkan ibu bapa pada jalan yang betul, adalah mustahil anak-anak akan berperangai buruk dan penggunaan rotan perlu dalam mendidik anak-anak.

Ibu bapa harus menyelami jiwa dan perasaan anak-anak agar melalui perkongsian itu mereka dapat mengetahui keinginan atau perasaan anak mereka,” katanya dalam Bicara Persada bertajuk Rotan: Mendidik atau Mendera? di UKM, Bangi, baru-baru ini. Antara ahli panel lain yang terlibat ialah Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat dan pengasas Kompleks Darul Thibbun Nabawi, Ahmad Dusuki Abdul Rani. Tambah Dr. Zuria, setiap peraturan termasuk penggunaan rotan perlu dilaksanakan selepas melalui fasa perbincangan bersama-sama anak-anak agar setiap hukuman yang dilaksanakan itu akan difahami anak-anak bagi mengelakkan salah faham dan fobia kepada mereka. “Jika perlu rotan, ibu bapa harus menerangkan kepada anak-anak mengapa mereka perlu dirotan, barulah anak-anak tidak salah faham dan tindakan merotan atau sebarang hukuman yang dikenakan perlu adil iaitu dilaksanakan kepada semua anak-anak dan bukan memilih bulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Anwar menyifatkan penggunaan rotan perlu dikekalkan sebagai bentuk pengajaran kepada anak-anak dalam proses mendidik kerana merupakan satu elemen penting untuk mendisiplinkan anak-anak. Katanya, penggunaan rotan sebagai mendisiplinkan diri telah menjadi tradisi dalam mendidik anak-anak sejak dahulu lagi dan tiada salahnya elemen itu dikekalkan pada era ini. “Pada saya, merotan tidak perlu dibicarakan atas nama hak asasi kemanusiaan seperti mana yang dilaksanakan di sesetengah negara kerana apa yang penting ibu bapa perlu bijak dan tahu bila masa untuk menggunakan rotan pada anak-anak. “Penggunaan juga rotan tidak boleh digunakan ketika penuh emosi dan amarah. Seharusnya rotan hanya sebagai alat untuk mendidik kerana jika merotan tidak membantu, ibu bapa tidak lagi boleh terus-menerus merotan sehingga anak-anak itu cedera kerana itu adalah salah dari sudut undang-undang dan agama,” jelasnya.

Dalam konteks agama Islam pula, merotan merupakan satu kaedah dalam mendidik anak-anak yang disarankan, malah riwayat Abu Daud menyatakan, Rasulullah bersabda: “Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun.” Menurut Ahmad Dusuki, setiap apa yang disarankan Islam, sudah pasti ada hikmah di sebalik pelaksanaannya, namun setiap tindakan yang dilaksanakan perlu ada batas dan perkiraannya. Katanya, keberkesanan penggunaan rotan bergantung kepada siapa yang memegang rotan itu. Jika yang memegangnya adalah pendidik, maka alat itu digunakan dengan betul, namun jika yang memegangnya adalah pendera, maka sebaliknya berlaku.


Ketika ini, terlalu banyak pertembungan berlaku di antara perintah syariat dan kehendak manusia yang menyebabkan masyarakat mula mendidik anak-anak tidak berdasarkan atur cara yang dikehendaki agama Islam tetapi lebih gemar merujuk kepada pandangan orang. “Sebagai hamba, kita perlu akur dengan perintah Allah, jika Allah minta kita rotan anak-anak pada usia tertentu, maka kita kena buat kerana kesannya dapat kita lihat selepas kita laksanakannya. Selagi mana kita tidak buat, maka tidak ada kesan yang dapat dilihat. “Hukuman rotan bukan disarankan untuk anak-anak sahaja kerana suami boleh merotan isteri yang berbuat dosa. “Rotan adalah perkara sunnah dan sebagai umat Nabi Muhammad kita perlu laksanakannya, malah menggantung rotan dalam rumah juga mendapat pahala. Begitu indah ajaran Islam pada manusia dan paling penting bagaimana kita melaksanakannya. “Biarlah dengan merotan itu kita mendapat ganjaran pahala dan jangan pula menyebabkan kita ke neraka,” jelas beliau.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...