JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Disember 2010

ISU ALAM SEKITAR : KOMITMEN LINDUNGI HARIMAU


Hari ini tahun 2010 akan melabuhkan tirainya. Esok bermulalah lembaran baru tahun 2011. Sudahkah kita penuhi segala perancangan kita pada tahun ini dengan jayanya? Atau ia ditinggalkan dengan seribu satu rasa terkilan dek kerana masih ada saki baki perancangan tahun ini yang tidak sempat dilaksanakan sepenuhnya. Walau apa juga pengakhiran tahun ini, usahlah dikesali. Usah juga berputus asa sekiranya ada di antara perencanaan kita tidak tercapai. Sebaliknya, segala kelemahan dan kekurangan pada tahun ini seharusnya dijadikan iktibar dan pendorong kepada kita untuk terus mengorak langkah dengan tekad dan azam yang lebih tinggi bagi menyempurnakan segala perancangan yang tertangguh dan juga perancangan baru yang ingin direalisasikan.

Begitu juga dengan pelan dasar negara yang meliputi semua aspek pembangunan dan masyarakat termasuklah pelan pemuliharaan alam sekitar yang mungkin masih lagi belum mencapai tahap seperti yang diharapkan. Salah satu pelan yang begitu serius diberi perhatian di bawah pelan pemuliharaan alam sekitar ialah misi antarabangsa untuk melindungi populasi harimau yang saban hari kian dihimpit kepupusan. Pendirian Malaysia untuk terus memberi komitmen bagi melindungi dan memulihara populasi harimau semasa Sidang Kemuncak Harimau yang diadakan di St. Petersburg, Rusia baru-baru ini jelas mencerminkan keprihatinan dan kesungguhan kepimpinan negara dalam menangani masalah kepupusan populasi tersebut.


Malah, menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas, tindakan berani dan tegas yang diambil akan membolehkan populasi harimau liar di peringkat global berganda menjelang tahun 2020 dalam usaha mengatasi masalah kepupusan haiwan tersebut. Keputusan serta tindakan yang berani dan tegas yang diambil oleh pemimpin melalui program Pemuliharaan Harimau Global (GTRP) merupakan satu momentum penting dalam usaha menyelamatkan harimau liar, di samping memastikan jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa. Ia juga merupakan antara langkah wajar yang diambil oleh negara bagi meneruskan kesinambungan daripada Pelan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) yang digunapakai oleh Malaysia bermula pada tahun lepas. 

Antara objektif utama NTCAP ialah untuk memastikan negara mempunyai sebanyak 1,000 harimau liar menjelang tahun 2020. Persoalannya, mampukah kita mencapai sasaran itu untuk tempoh tersebut? Jika diamati kepada 80 pelan tindakan yang telah digariskan di bawah NTCAP, adalah tidak mustahil untuk negara mencapai objektif tersebut. Lebih-lebih lagi, ia turut dilaksanakan dengan usahasama pelbagai pihak baik di peringkat nasional mahupun di peringkat global. Dengan kolaborasi yang melibatkan penyertaan ramai pihak, ia pastinya memudahkan lagi pelaksanaan dilakukan secara lebih menyeluruh. Cuma, apa yang penting adalah komitmen dan kerjasama yang konsisten dan berterusan daripada semua pihak bagi merealisasikannya.


Objektif NTCAP juga dilihat mempunyai potensi yang besar untuk dicapai apabila Malaysia tidak hanya seratus peratus bergantung kepada pelan-pelan yang telah digariskan semata-mata. Sebaliknya, kepimpinan negara lebih bersikap optimis dengan turut mengambil pelbagai langkah sampingan secara proaktif yang jelas mempamerkan kesungguhan negara dalam menyokong matlamat peningkatan populasi harimau liar. Antara salah satu tindakan sampingan yang diambil ialah moratorium yang telah dibuat di seluruh negara terhadap kegiatan memburu spesies harimau liar bermula pada tahun lepas. Ia merupakan langkah awal sebagai penggerak kepada langkah-langkah yang seterusnya untuk melindungi populasi harimau daripada mengalami kepupusan. 

Walau bagaimanapun, langkah ini diharap tidak hanya bermusim sahaja, sebaliknya ia perlu diteruskan untuk tahun-tahun yang berikutnya bagi memastikan kegiatan pemburuan ke atas spesies harimau dapat dihentikan sepenuhnya. Tindakan ini penting agar populasi harimau tidak terus dieksploitasi dengan sewenang-wenangnya sehingga boleh mengakibatkan populasi tersebut menerima nasib yang sama sebagaimana spesies-spesies yang telah pupus sebelum ini. Lebih membimbangkan lagi apabila Tabung Hidupan Liar Dunia mengeluarkan kenyataan bahawa hanya terdapat kira-kira 3,200 ekor harimau berbanding kira- kira 100,000 ekor seabad lalu di seluruh dunia. Bayangkan telah berapa banyak populasi harimau yang telah kita sia-siakan begitu sahaja sehingga memperlihatkan jurang yang begitu besar daripada jumlah asal. 


Pernahkah kita fikir apa akan terjadi kepada ekosistem jika populasi ini pupus? Sedangkan, kita seharusnya sedar bahawa harimau merupakan antara komponen yang cukup penting di dalam ekosistem. Misalnya, ia merupakan pemangsa utama kepada babi hutan (Sus barbatus) yang membiak dengan cepat dan menyebabkan kerosakan yang besar dengan mengorek dan memakan tanaman dalam hutan, kebun dan juga dusun. Dengan adanya spesies harimau, ia dapat membantu mengurangkan populasi babi hutan. Apabila populasi babi hutan terkawal, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan populasi perosak terhadap tanaman manusia. Ini sekali gus akan membantu meningkatkan hasil pertanian negara ekoran kurangnya pemangsa terhadap tanaman pertanian. Menyedari hakikat pentingnya populasi ini, ia mesti dipulihara dan dilindungi sepenuhnya walau apa pun kekangan yang menghambat. 

Jika diimbas perancangan di bawah Rancangan Malaysia ke-10, didapati kerajaan telah meluluskan projek penyelidikan khas mengenai pengawasan harimau dalam usaha mengawasi pelaksanaan NTCAP dan juga untuk melihat sejauh mana perkembangan jumlah sebenar harimau di hutan. Ini juga merupakan antara usaha bersepadu yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Dengan data-data yang dikumpul daripada projek penyelidikan tersebut kelak, ia diharap dapat membantu menyalurkan maklumat dari semasa ke semasa bagi memastikan objektif NTCAP mampu dicapai untuk tempoh yang disasarkan. Selain itu, dalam memastikan pelaksanaan NTCAP berjalan lancar dan sempurna, ia juga menuntut peruntukan yang tinggi terutama dari segi kos, modal insan dan juga teknologi. 

Justeru, tindakan Malaysia yang menyokong penuh cadangan Wildlife Premium Market+ REDD merupakan satu langkah yang bijak. Ini memandangkan, kita harus akui bahawa bukan sedikit kos yang diperlukan bagi pemuliharaan harimau dan habitatnya. Ia melibatkan kos yang agak besar. Oleh itu, dengan sokongan padu terhadap Wildlife Premium Market+REDD, negara maju akan lebih komited dan boleh memainkan peranan yang lebih banyak dalam pemuliharaan harimau di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa usaha ini tidak akan berhasil jika ia tidak dikuatkuasakan dan disokong oleh kerjasama yang mantap di peringkat antarabangsa bagi membanteras perdagangan rentas sempadan yang melibatkan haiwan liar secara haram. Di samping itu, usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan untuk pemuliharaan populasi harimau juga perlu disambut baik oleh setiap lapisan masyarakat agar populasi ini dapat digandakan. Setidak-tidaknya dengan sokongan padu semua pihak, ia akan melancarkan lagi usaha pemuliharaan harimau yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia pada hari ini.  

Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Pegawai Penyelidik 
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar

ISU SOSIAL : PENYALAHGUNAAN FACEBOOK MUSNAHKAN UMAT ISLAM


Umat Islam sepatutnya menghargai masa jika mereka ingin membangun dan berjaya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudahan teknologi komunikasi jika disalah gunakan akan mengundang pelbagai risiko dan kesan negatif dalam kehidupan umat Islam. Peristiwa perceraian melalui pesanan ringkas telefon bimbit sudah menjadi lumrah suami melafazkan talak kepada isteri. Perkahwinan merupakan satu institusi yang mulia di mana melalui perkahwinan, manusia dapat menyalurkan hubungan kasih sayang secara bermaruah. Adat dan cara umat Islam menyambut hari perkahwinan dengan begitu meriah menunjukkan bahawa hubungan suami isteri merupakan simbol kebahagiaan. Bagi membina kebahagiaan rumah tangga, tanggung jawab dan peranan suami isteri perlu difahami secara jelas. Jika seorang lelaki mempunyai kewibawaan dan bertanggungjawab, beliau tidak akan melafazkan talak melalui SMS kepada isterinya.

Perceraian merupakan satu perkara diharuskan walaupun dibenci oleh Allah. Apabila wanita dilamar dengan pelbagai adat dan istiadat, maka perceraian juga perlu mengikut adat dan istiadat. Sejauh manakah lelaki Islam dapat menghayati konsep hidup berumah tangga merupakan persoalan yang sering terukir dalam minda wanita masa kini. Konteks kehidupan masa kini memerlukan satu reformasi minda di kalangan lelaki dan wanita supaya perubahan zaman dapat menjamin kebahagiaan rumah tangga. Apabila isteri keluar rumah mencari nafkah dan menunaikan tanggungjawab masyarakat dan negara, maka suami sepatutnya merenung dan berfikir betapa penat dan letihnya isteri membantu beliau mencari nafkah kehidupan. Ketika ini, terdetik dalam hati nurani suami bahawa pengorbanan isteri perlu dihargai dengan cara membantu isteri melaksanakan tugas rumah tangga, bukan asyik melayan internet mencari rakan melalui Facebook dan seumpamanya.


Penat dan lelah kerana bekerja tidak memungkinkan wanita menunaikan kehendak naluri suami secara sempurna. Lelaki Islam masa kini sepatutnya melihat perubahan zaman dan konteks kehidupan masyarakat Islam secara rasional, bukannya memaksa isteri akur kepada budaya yang memenatkan dan meletihkan. Dalam konteks kehidupan masyarakat Islam di Malaysia kini, wanita yang bekerja di luar rumah membantu suami mencari nafkah, hidup mereka lebih terbeban berbanding dengan wanita yang menjadi suri rumah tangga sepenuhnya. Mencari nafkah dan menentukan kesempurnaan hidup berumah tangga merupakan tanggungjawab khusus suami mengikut perspektif Islam. Oleh itu, hak talak diberi kepada lelaki secara mudah berdasarkan kepada beban tanggung jawab mereka terhadap ahli keluarga.

Tetapi hari ini, tugas menentukan nafkah kehidupan keluarga turut dikongsi oleh isteri. Struktur sosial masyarakat Islam dalam negara kini memberi peluang kepada suami berhibur dan menghabiskan masa lapang dengan pelbagai kegiatan menyeronokkan. Kecanggihan teknologi komunikasi memberi banyak peluang kepada suami yang tidak bertanggung jawab menghabiskan masa mencari rakan dan teman untuk berceloteh melalui Facebook dan melayari laman web yang menyeronokkan, sedangkan para isteri dengan tenaga yang lemah memaksa diri melayani anak-anak dan menyediakan makanan untuk ahli keluarga. Facebook juga boleh dianggap sebagai racun jiwa atau kerohanian jika seseorang itu tidak prihatin terhadap masa. Teknologi komunikasi sepatutnya digunakan untuk mendapat maklumat yang boleh membina pemikiran dan ilmu pengetahuan. Malangnya, ramai di kalangan umat Islam masa kini menggunakan teknologi tersebut untuk menghabiskan masa lapang dengan berceloteh dalam Facebook sehingga terlupa tanggungjawab dan tugas sebagai suami atau isteri. 


Seorang lelaki bergelar suami sepatutnya menggunakan masa sebaik mungkin untuk menambah nafkah hidup keluarga dengan melakukan kegiatan yang boleh memberi sumber rezeki. Sikap gemar berceloteh melalui Facebook dan SMS boleh menyebabkan seseorang itu menjadi malas dan terbantut akal fikiran. Apabila fikiran tidak didedahkan kepada suasana yang boleh memberi kesedaran tentang tanggungjawab dan amanah maka ia boleh mendorong lelaki menjadi penggemar hiburan melalui teknologi komunikasi. Sikap begini bukan sahaja boleh menyebabkan lelaki menjadi cuai terhadap rumah tangga, malah ia juga menggoncang kebahagiaan rumah tangga. Jika seorang wanita gemar berceloteh di dalam Facebook dan SMS, beliau juga akan cuai terhadap tugasnya sebagai seorang isteri. Sikap gemar meluahkan perasaan kecewa dan kesunyian di dalam Facebook bukan sahaja boleh menyebabkan rahsia rumah tangga terbongkar tetapi juga mengundang orang yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan untuk menghancurkan rumah tangga. Hal ehwal rumah tangga sepatutnya dibincang bersama ahli keluarga kedua belah pihak seperti mana dianjurkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Konsep perkahwinan di dalam Islam adalah berasaskan kepada tanggungjawab dan amanah, bukan hanya sekadar untuk menunaikan tuntutan hawa nafsu. Perkahwinan yang tidak berasaskan kepada amanah dan kasih sayang sejati sering kecundang apabila tuntutan hawa nafsu tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Keresahan jiwa jika tidak dipandu mengikut fitrah ciptaan roh/kerohanian boleh menyebabkan suami atau isteri mencari jalan hidup berunsurkan hedonisme (keseronokan) yang boleh menyebabkan mereka lalai terhadap tugas dan tanggungjawab. Hasilnya, rumah tangga yang dibina di atas dasar cinta yang diwarnai dengan impian indah hancur berkecai dan kasih sayang bertukar menjadi kebencian. Fitrah ciptaan manusia ialah berkomunikasi dengan masyarakat dan bekerjasama untuk menjayakan kehidupan di dunia dan di akhirat. Realiti kebanyakan umat Islam masa kini dalam negara ini lebih cenderung ke arah yang boleh menyeronokkan diri sehingga terlupa asas dan fitrah kehidupan mereka. 


Kemudahan komunikasi sepatutnya digunakan untuk menyelami pelbagai ilmu dan pelajaran supaya corak pemikiran umat Islam menjadi lebih terbuka dan matang dalam memahami konteks kehidupan dalam era globalisasi. Hakikatnya, kecanggihan teknologi komunikasi disalah gunakan untuk tujuan keseronokan dan keghairahan. Facebook juga boleh memberi peluang yang besar kepada penjenayah untuk mengesan mangsanya secara mudah. Setiap maklumat berkaitan dengan mangsa dapat diperoleh dengan mudah. Wanita Islam yang menjadi mangsa kepada pengedar dadah antarabangsa dan penipuan adalah hasil daripada berkenalan dengan orang asing melalui Facebook. Facebook sepatutnya digunakan untuk memperkembangkan karier seseorang melalui pertukaran fikiran dalam bidang masing-masing. 

Di negara barat, masyarakatnya menggunakan Facebook untuk memajukan kehidupan mereka seperti berurusan dalam perniagaan dan seumpamanya. Banyak pergerakan dan organisasi bukan kerajaan menggunakan Facebook untuk menambah ahli persatuan dan menghubungkan persatuan mereka dengan persatuan antarabangsa. Nampaknya, kemudahan dan teknologi komunikasi yang berkembang di negara ini tidak difahami masyarakat Islam. Mereka lebih cenderung menggunakannya sebagai sumber hiburan sehingga berlaku perpecahan rumah tangga. Ini terjadi akibat daripada kejutan teknologi komunikasi. Oleh itu, kesedaran terhadap faedah dan keburukan teknologi komunikasi perlu diperjelaskan kepada masyarakat supaya mereka memahami akibat salah guna teknologi komunikasi.

Dr. Saodah Abd Rahman
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

ISU KESIHATAN : PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN KESIHATAN BUKTI KEPRIHATINAN KERAJAAN


Kesihatan adalah keperluan asas manusia dan rakyat mengharapkan pihak kerajaan menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan yang baik secara percuma ataupun pada kadar kos yang paling minimum. Dalam hal ini, kita amat tertarik dengan beberapa inisiatif dan langkah yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Semuanya bermula dengan pelancaran Klinik 1Malaysia yang telah diwujudkan mulai Januari lalu bertujuan menyediakan perkhidmatan rawatan perubatan ringan kepada penduduk di kawasan bandar sesuai dengan pendekatan kerajaan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' pada kadar bayaran serendah RM1 sahaja.

Ia disusuli pula dengan pelancaran Inisiatif Klinik Bergerak 1Malaysia pada awal bulan ini, yang menawarkan perkhidmatan penjagaan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma ke kampung di kawasan pedalaman. Melalui Klinik Bergerak 1Malaysia ini, bas- bas yang telah disediakan akan membawa doktor, jururawat dan staf sokongan untuk merawat mereka yang sakit dan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di tempat yang tidak ada kemudahan klinik dan hospital terutama di kawasan pedalaman. Terkini Najib mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan klinik bot bergerak hibrid untuk memberikan perkhidmatan kesihatan ke kampung yang dihubungkan melalui sungai di Sabah dan Sarawak.


Tambah Najib, langkah ini bertujuan memastikan rakyat dapat menikmati kesihatan lebih baik dan menerima pemeriksaan perubatan, ubat dan nasihat yang sewajarnya. Komitmen dan pelbagai inisiatif seperti ini jelas membuktikan tahap keprihatinan dan keikhlasan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, membela nasib golongan yang kurang mampu serta membuka ruang akses kepada masyarakat luar bandar untuk turut sama menikmati kemudahan kesihatan yang berkualiti sama seperti masyarakat di kawasan bandar. Hal ini amat signifikan kerana dengan adanya klinik-klinik bergerak seperti ini, ia dijangka mampu mengurangkan beban pesakit di klinik kesihatan di kawasan bandar yang sedia ada dan ini juga dapat memudahkan serta mempertingkatkan akses rakyat untuk mendapatkan rawatan ringan terutama di kawasan luar bandar.

Kita perlu sedar bahawa masih ramai penduduk luar bandar berpendapatan rendah dan sederhana. Golongan ini sering menghadapi masalah kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan perubatan di klinik mahupun hospital swasta. Tambahan pula hospital ataupun klinik kesihatan kerajaan yang sedia ada agak jauh dari lokasi penempatan mereka dan jumlah pesakit pula ramai yang jelas akan melambatkan proses mendapatkan rawatan yang dikehendaki dengan segera. Keprihatinan pihak kerajaan dalam aspek kesihatan rakyat memang tidak perlu diragui ataupun dinafikan kerana buktinya bagi tahun 2010 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telahpun diperuntukkan bajet berjumlah RM14.8 bilion yang merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM11.2 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM3.6 bilion.


Peruntukan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7.6 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13.2 bilion. Malah, peruntukan yang diterima oleh KKM ini juga merupakan antara yang tertinggi berbanding kementerian lain. Data ini sudah cukup untuk menjelaskan rasa tanggungjawab kerajaan terhadap aspek kesihatan rakyat negara ini terutamanya bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan. Dalam pada itu, kerajaan juga dilihat amat serius dalam mengekang tindakan beberapa klinik dan hospital swasta yang mengenakan caj rawatan melampau dan tidak munasabah sehingga pesakit mengalami kesukaran untuk menjelaskan bil tersebut. Ini terbukti apabila pihak KKM melalui mesyuarat bersama Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia (MMC), ketua pegawai eksekutif dan orang bertanggungjawab bagi hospital swasta, wakil Organisasi Jagaan Yang Diuruskan (MCO), syarikat insurans, kumpulan profesional serta profesional perseorangan baru-baru ini telah memutuskan agar hospital swasta kini perlu memaklumkan secara terperinci dan telus mengenai caj profesional serta caj anggaran dan di luar jangkaan sebelum pesakit diberi rawatan atau dimasukkan ke wad.

Penulis berharap agar pihak kerajaan akan meneruskan lagi inisiatif-inisiatif murni seperti ini agar seluruh rakyat Malaysia mampu akses kepada kemudahan rawatan perubatan yang berkualiti demi melahirkan sebuah masyarakat yang sihat and cergas.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Penolong Pendaftar Kanan 
Pusat Kesihatan Universiti, 
Universiti Putra Malaysia