JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN BUKAN KOMODITI DAGANGAN

Oleh BUDIMAN MOHD. ZOHDI
PENULIS ialah Naib Presiden MAYC Kebangsaan



Pendidikan merupakan salah satu aspek terpenting dalam mengurus bakat dan sumber manusia dalam sesebuah negara. Ia merupakan satu proses memperkembangkan dan menambah kemahiran individu yang akhirnya memberi faedah kepada dirinya, masyarakat dan negara. Dengan pendidikan peningkatan hidup rakyat bakal berubah dari sudut ekonomi, politik dan sosial. Lewat tahun 70, para pemikir di Selangor yang diketuai oleh Datuk Harun Idris (Menteri Besar ketika itu) bersama pegawai kanan kerajaan telah memikirkan idea penubuhan sebuah yayasan yang berteras kepada pendidikan. Sebagai sebuah negeri yang lokasinya tertumpu kepada pentadbiran negara sudah tentu strategi pendidikan menjadi keutamaan kepada rakyat Selangor terutama kepada masyarakat luar bandar. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang turut menitikberatkan keseimbangan peluang pendidikan maka lahirlah Yayasan Selangor pada 5 November 1970. Sejak penubuhannya, Yayasan Selangor banyak berjasa kepada para belia di Selangor. Penempatan pelajar di Asrama Tun Dr. Ismail (ATDI) dan Asrama Toh Puan Norasikin (ATPN) memberi peluang kepada ribuan anak-anak kampung dari Sabak Bernam, Tanjung Karang, Hulu Selangor dan Sepang belajar di Sekolah terkemuka di ibu kota seperti Victoria Institution, St. John Institution, Convent Bukit Nenas dan Sekolah Aminuddin Baki.

Hari ini mereka yang menerima jasa daripada Yayasan Selangor itu telah berada di tempat-tempat strategik dalam menerajui kemajuan negara. Tiga tahun kebelakangan ini, iaitu sejak kerajaan negeri Selangor dipimpin oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim aspek pendidikan menjadi satu kekeliruan kepada kepimpinan beliau. Yayasan Selangor yang dilihat sebagai alat membangunkan kemahiran teknikal dan akademik untuk anak-anak Selangor gagal berfungsi dengan sempurna. Ini termasuk penutupan Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap, Sungai Besar yang mula beroperasi pada Januari 2000 dipercayai berpunca daripada dakwaan tidak memberi keuntungan kepada Yayasan Selangor dan kerajaan negeri. IKYS dibina dengan kos RM25 juta. Penutupan IKYS telah memberi kesan kepada pertumbuhan sosio ekonomi penduduk setempat di samping tekanan kepada para pelajar dan ibu bapa yang majoritinya berpendapatan rendah. Para pelajar yang terlibat mendakwa mereka hanya mengetahui penutupan IKYS ketika menghabiskan cuti semester. Penutupan IKYS turut menjejaskan aktiviti kegiatan ekonomi penduduk. Laporan audit 2010 Yayasan Selangor mendapati kewangan yayasan mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta.

Pembaziran, salah urus tadbir dan salah laku sumber manusia merupakan bukti kegagalan sebuah institusi yang sepatutnya menumpukan kepada kemudahan pendidikan berbanding dengan perkara-perkara lain. Dalam masa sama, Yayasan Selangor menghadapi kes saman RM1 juta oleh bekas Timbalan Pengurus (Pendidikan) bersama 10 kakitangan lain. Baru-baru ini, Yayasan Selangor telah membuat keputusan untuk untuk merobohkan dua buah asrama pusatnya di Kampung Pandan atas tujuan pembangunan. Sedangkan matlamat asas penubuhan kedua-dua asrama tersebut adalah untuk memberi peluang kepada anak-anak kampung belajar di sekolah terkemuka di Kuala Lumpur. Dijangka lebih 450 pelajar Yayasan Selangor akan menerima kesan. Mereka kini terpaksa berpindah ke asrama sekolah masing-masing yang kini berhadapan dengan masalah kekurangan tempat bagi menampung pelajar terbabit. 


Tidak sampai tiga tahun memerintah, kerajaan Selangor mengambil pendekatan sangat mudah dalam isu pendidikan. Pendekatan 2T (Tutup & Transfer) digunakan dalam mengendalikan perihal IKYS dan Asrama Yayasan tanpa memikirkan kesan yang timbul akibat tindakan tersebut. Pendekatan 2T memang mudah jika dibandingkan dengan 2B (Bina & Buka). Namun niat asal penubuhan Yayasan Selangor adalah memberi kemudahan pendidikan dan bukan menyusahkan. Apa salahnya diperbanyakkan kemudahan pendidikan kerana akhirnya mereka ini yang akan mengisi peluang pekerjaan untuk memajukan negeri. Ingatlah dalam apa jua cita-cita bangsa, pendidikan merupakan alat perubahan yang paling utama. Pendidikan bukan bahan jual beli juga komoditi dagang yang menjadikan ukuran ringgit sebagai ukuran keuntungan. Keuntungan pelaburan sumber manusia bukan boleh dinilai dalam jangka pendek. Pembangunan bukan dicipta untuk menyusahkan rakyat dan rakyat perlu mendapat manfaat dari proses pembangunan tersebut.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 OGOS 2011