JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Ogos 2011

ISU KENEGARAAN : KEKEJAMAN KOMUNIS KEKAL DALAM LIPATAN SEJARAH

Oleh Ahmad Syah Ejaz Ismail


Kebelakangan ini wujud seakan-akan satu pakatan tersusun pihak tertentu yang cuba mengubah sejarah perjuangan tokoh kemerdekaan negara dengan meletakkan tokoh Parti Komunis Malaya (PKM) sebaris negarawan tanah air. Usaha halus bertopengkan kebebasan bersuara dan demokrasi hak asasi manusia ini jelas mengutarakan fakta yang diseleweng dengan niat merubah sejarah terkutuk perjuangan PKM yang hakikatnya banyak mengorbankan nyawa sehinggakan fakta penipuan yang dibuat-buat digambarkan sebagai benar yang harus diterima masyarakat moden Malaysia. Umum mengetahui, berdekad lamanya terlalu banyak kesengsaraan dan kematian direkodkan pasukan keselamatan atau orang awam yang tidak berdosa akibat keganasan PKM. Mungkin ramai tidak mengetahui fakta sebenar kaum Cina di Tanah Melayu paling ramai menjadi mangsa kekejaman PKM. Pada era Perang Dunia Kedua, kebanyakan kaum Cina di Tanah Melayu mendiami pinggir hutan bagi melarikan diri daripada pemerintahan Jepun yang kejam terhadap mereka.

Selepas perang tamat, demografi penduduk ini kekal dan PKM dengan mengambil kira bahawa sokongan Cina yang mendiami pinggir hutan adalah penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan di hutan, mereka tidak teragak-agak menyeksa dan membunuh kaum ini yang enggan membantu atau membekalkan maklumat serta makanan. Tun Tan Cheng Lock pernah cuba dibunuh dengan dilemparkan bom tangan ketika bermesyuarat di Ipoh, Perak awal 1950-an. Tindakan ini dilakukan kerana komunis khuatir kejayaan kerjasama Sino-Melayu dalam menuntut kemerdekaan daripada British bakal menenggelamkan perjuangan PKM yang sia-sia. Justeru, tidak hairanlah keganasan komunis pada darurat pertama (1948-1960) banyak direkodkan di negeri yang mempunyai populasi Cina teramai seperti Perak, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan berbanding di negeri majoriti Melayu seperti Kedah, Melaka, Kelantan dan Terengganu. Kekejaman tidak berperikemanusiaan PKM terhadap kaum Cina ini direkodkan pasukan keselamatan dan disaksikan pekerja estet.

Kaum Cina diseksa akibat enggan bekerjasama malah penyeksaan lebih teruk dibuat kepada mereka yang secara terang-terangan menentang perjuangan PKM (guru, profesional dan ahli perniagaan). Mungkin ramai juga tidak mengetahui kewujudan komunis berbangsa Tamil diketuai pemuda bernama Perumal yang mengganggu pekerja estet di kalangan kaum India di Sungai Siput dan Ipoh, Perak awal 1950-an. Semua kekejaman ini dilakukan atas nama perjuangan Marxist Communism kononnya memperjuangkan hak kesemarataan tanpa perbezaan kelas. Mungkin fakta dan rekod kekejaman pengganas PKM sukar diterima masyarakat hari ini, hakikatnya perkara itu benar-benar berlaku dan direkodkan pasukan keselamatan sebagai fakta kes. Semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama diancam PKM setiap hari. Mereka khuatir menaiki kenderaan awam kerana disabotaj pengganas komunis. Rakyat turut tidak selamat menaiki kenderaan sendiri menyusuri jalan raya kerana sering diserang hendap pengganas yang mencari mangsa tanpa mengambil kira perbezaan kaum dan agama kerana terlalu ingin merampas pakaian, makanan dan kad pengenalan orang awam bagi tujuan subversif.

Pada hari ini ada juga dakwaan yang berani daripada mereka yang buta sejarah dengan menyatakan kemerdekaan yang diperoleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 bukan kemerdekaan sepenuhnya dan turut mendakwa jika bukan disebabkan perjuangan PKM, sukar untuk British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Fakta ini diseleweng untuk menutup perjuangan sia-sia di hutan oleh PKM. Hakikatnya Tanah Melayu ketika itu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan bukan selepas ancaman komunis dihapuskan sepenuhnya pada 1960. Ini jelas menunjukkan British yakin dengan kepemimpinan Tunku yang dilihat mampu membawa kestabilan berkekalan kepada Tanah Melayu serta rantau Asia Tenggara walaupun British ketika itu turut diancam teori domino di Indochina. Ini membuktikan betapa masalah keganasan komunis bukan faktor British memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu lebih awal daripada jangkaan iaitu pada 1960. Mengikut rekod, Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British yang dilantik oleh Winston Churchill, Perdana Menteri Britain pada ketika itu diberikan mandat seawal 1952 iaitu menjadi dasar kerajaan kolonial British bahawa Tanah Melayu diberi kemerdekaan dan hak memerintah seawal 1960.

Jika bukan disebabkan pengorbanan orang awam menggadaikan barang kemas dan menderma wang ringgit sendiri, delegasi Tunku Abdul Rahman tidak cukup dana untuk menghadiri perbincangan Kemerdekaan ke London bersama wakil MCA dan MIC. Hakikatnya yang lebih jelas pada 28-29 Disember 1955, ketika rundingan Baling, Setiausaha Agung PKM, Chin Peng ketika itu secara jelas menyatakan jika kerajaan pimpinan Tunku berjaya mencapai kemerdekaan, PKM tetap meneruskan perjuangan bersenjata menentang kerajaan Tunku yang dipilih rakyat kerana dia melihat tiada ruang untuk kerjasama antara parti komunis dan parti pemerintah (komunis adalah sistem satu parti memerintah). Ketika rundingan, Tunku berkali-kali menawarkan pengampunan kepada anggota PKM untuk meletak senjata dan menjadi anggota masyarakat yang sama-sama membangunkan negara yang bakal merdeka. Peristiwa ini direkodkan pada hari kedua rundingan dengan Tunku meminta Chin Peng memikirkan nasib tujuh juta penduduk Tanah Melayu ketika itu yang menerima kesan buruk akibat perjuangan bersenjata 3,000 pengganas komunis yang aktif di hutan. Chin Peng sekali lagi menolak tawaran ini berikutan terlalu taksub dengan kejayaan Parti Komunis di China tanpa mengambil kira perbezaan politik di Tanah Melayu.


Rundingan Baling walaupun gagal, terus kekal dalam sejarah sebagai bukti cukup jelas pendirian perjuangan komunis yang sia-sia dan menyimpang daripada perjuangan kemerdekaan; hakikat ini tidak dapat dipadam sampai bila-bila oleh sesiapa sekalipun. Jika diteliti rekod tulisan Chin Peng melalui memoirnya, My Side of Story, jelas menunjukkan dia tiada pendirian berkenaan objektif perjuangan PKM di Tanah Melayu dan lebih terikut-ikutkan situasi di China di bawah Mao Zedong.


INFO
Keganasan komunis

Kaum lelaki Cina dipotong badan depan keluarga menggunakan cangkul atau parang berbanding senjata api kerana khuatir pasukan keselamatan Home Guard dan Gurkha menyiasat bunyi tembakan. Pengganas komunis mengeluarkan isi perut atau hati mangsa lalu memaksa keluarga atau isteri mangsa meletakkan organ ini di atas bara api. Mangsa yang dipotong anggota badan dibiarkan mati terseksa di depan keluarga dan pekerja estet dibiarkan menyaksikan tragedi malang ini sebagai peringatan jika enggan bekerjasama dengan PKM. Kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman komunis seperti di Estet Kamuning, Perak pada 1948 apabila mereka menyalib seorang kanak-kanak atas sebatang kayu. Pelbagai seksaan dilakukan terhadap kaum India di Perak oleh kumpulan Perumal, antaranya mengikat mangsa di pokok getah dan menyeksa mereka sehingga mati dan ada mangsa dipotong jari kerana kekal bekerja di ladang getah walaupun diberi amaran.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 OGOS 2011

ISU BAHASA : NASKAH BAHASA MELAYU SAHIH DI MAHKAMAH

Teo Kok Seong
teokok@ukm.my


Pelaksanaan Dasar Bahasa Negara dalam bidang perundangan mempunyai kaitan rapat dengan penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam bidang perundangan Malaysia. Sehubungan ini, menurut Seksyen 6 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971), naskhah dalam bahasa Melayu adalah sahih dalam bidang perundangan negara ini, melainkan ditetapkan sebaliknya. Dengan ini, mulai 1 September 1967, dalam penggubalan undang-undang Malaysia, naskhah dalam bahasa Melayu saja dianggap sahih. Dengan penetapan ini, walaupun penggubalan rang undang-undang yang rata-ratanya ikut dilakukan serentak dalam bahasa Inggeris, hanya naskhah bahasa Melayu yang dianggap sahih.  Dengan ketetapan ini, undang-undang yang digubal dalam bahasa Inggeris sebelum 1967, yang tidak mempunyai naskhah bahasa Melayunya, diusahakan penterjemahnya ke dalam bahasa Melayu. Dalam hal ini, naskhah bahasa Melayu dilabelkan sebagai Terjemahan kerana tidak dihasilkan dan diluluskan melalui proses perundangan.  Walaupun begitu, ia masih dianggap sebagai sahih berdasarkan peruntukan Seksyen 7(1) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971).

Ini berlaku setelah maksudnya dalam bahasa Melayu, didapati tepat dengan pengertian asalnya dalam bahasa Inggeris. Sehubungan ini, ratusan undang-undang induk dan cabang yang digubalkan dalam bahasa Inggeris sebelum 1967, diterjemah dan diwartakan.  Dalam bidang perundangan antarabangsa, walaupun bahasa Inggeris digunakan sebagai naskhah sahih, bahasa Melayu tidak sekali-kali diketepikan. Ia tetap digunakan sebagai bahasa negara ini, yakni bahasa kebangsaan dan rasmi rakyat Malaysia yang menjadi antara pihak yang terbabit, misalnya dalam sesuatu Perjanjian Antarabangsa. Dengan penggubalan undang-undang negara yang perlu melalui dan lulus proses perundangan dalam bahasa Melayu, dan diwartakan di dalamnya pula, sepatutnya perbicaraan di mahkamah dalam bahasa Melayu sepenuhnya, tidak menjadi masalah lagi. Untuk ini, Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971) dipinda bagi memperuntukkan bahawa segala perbicaraan mahkamah, selain pemberian keterangan oleh saksi, hendaklah dikendalikan dalam bahasa Melayu.  

Walau bagaimanapun, untuk kepentingan keadilan yang menjadi unsur utama dalam bidang perundangan dan kehakiman, perbicaraan mahkamah boleh dikendalikan sebahagiannya, dan bukan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini, budi bicara mahkamah adalah bukan saja penting, tetapi satu amanah besar. Ia adalah untuk bukan saja melindungi keluhuran undang-undang negara, tetapi untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.  Sudah tentu, budi bicara ini tidak boleh sekali-kali disalahgunakan oleh mana-mana pihak. Sehubungan ini, setelah lebih daripada 40 tahun, yakni sejak 1967 yang memperlihat ketetapan mula dibuat secara tegas, untuk menjayakan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan negara, tidak dapat disangkal lagi bahawa semua perbicaraan, sama ada kes jenayah atau sivil, boleh dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini antaranya kerana dengan tergubalnya Kaedah Mahkamah dalam bahasa Melayu yang merangkumi pelbagai peringkat, prosedur menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah Malaysia menjadi lebih nyata.  

Ekoran penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah, segala apa jua dokumen yang perlu digunakan di mahkamah hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu. Sehubungan ini, terjemahan dalam bahasa Inggeris boleh disertakan, tetapi ia bukan dokumen sahih melainkan eksibit semata-mata, yakni barang kes saja. Sesungguhnya kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah Malaysia tidak boleh dipertikai lagi. Penggunaannya dari segi urusan pentadbiran, yakni dalam bentuk surat pekeliling dan surat-menyurat mahkamah, didapati memuaskan. Tetapi untuk urusan kehakiman, selain surat-menyurat dan dokumen, perbicaraan tidak selalunya dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini dilakukan atas alasan kepentingan keadilan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 8 itu. Peruntukan ini nampaknya tidak banyak digunakan di Mahkamah Rendah. Alasan yang diberikan ialah perbicaraan di sini boleh dengan mudahnya dikendalikan dalam bahasa Melayu kerana kebanyakan kesnya adalah tidak rumit. Justeru, ia tidak memerlukan keadilan yang perlu dikendalikan dalam bahasa Inggeris.

Hal ini tidak sama di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang rata-ratanya mengendalikan kes yang lebih rumit sifatnya. Oleh sebab kerumitan inilah, prinsip kepentingan keadilan menjadi keutamaan semua pihak. Dalam memastikan keadilan ini, semua pihak mendapatinya lebih mudah dipertahankan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Alasan yang diberikan ialah kekurangan bahan rujukan dalam bahasa Melayu, istilah perundangan dalam bahasa Melayu yang kurang tepat, dan latar pendidikan perundangan yang tidak diperoleh dalam bahasa Melayu. Dengan ini, penghujahan oleh pendakwa dan peguam bela dibuat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Begitu juga dengan alasan keputusan oleh hakim. Sesungguhnya, bukan semua kes rumit ini tidak boleh dibicarakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Sesetengah daripadanya, baik ketika perbicaraan secara lisan mahupun pada penghujahan dan alasan keputusan secara bertulis, didapati dikendalikan dalam bahasa Inggeris yang mudah saja, yang sering juga sarat dengan kesalahan. Sebenarnya ia boleh pun dengan mudah dikendalikan dalam bahasa Melayu, dalam bentuk yang lebih kompleks dan tanpa sebarang kesalahan pula! Yakinilah kemampuan bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

SUMBER
BERITA HARIAN
3 OGOS 2011

ISU EKONOMI : CONTOHI INDUSTRI HALAL THAILAND

Oleh NIZAM YATIM
rencana@utusan.com.my


Industri  halal dunia kini dianggarkan bernilai lebih AS$2 trilion setahun. Dengan jumlah yang sebegitu besar, ia sudah tentu dapat menghasilkan pulangan lumayan kepada mana-mana negara atau syarikat yang berkecimpung secara serius bagi menghasilkan produk berstatus sedemikian. Menyedari hakikat itu, Thailand turut mengambil langkah agresif untuk memastikan produk yang dikeluarkan syarikat negara berkenaan adalah halal selaras dengan kedudukannya sebagai pengeksport produk makanan halal yang keenam terbesar di dunia dengan pendapatan sebanyak AS$5 bilion setahun. Daripada 30,000 kilang mengeluarkan makanan halal yang terdapat di negara itu sekarang, sebanyak 8,000 telah mendapat sijil pengesahan halal. Negara itu kini sedang meningkatkan bilangan syarikat yang mendapat sijil halal bagi memastikan ia mencapai sasaran menjadi negara pengeksport produk makanan halal ketiga terbesar di dunia selepas Brazil dan Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Selain bagi membolehkan produk berkenaan dijual kepada 1.5 bilion umat Islam, kerajaan Thailand berharap barangan berstatus halal yang sentiasa diyakini sebagai produk yang bersih, berzat dan baik untuk kegunaan manusia akan menarik minat seluruh penduduk dunia yang berjumlah kira-kira tujuh bilion orang untuk menggunakannya. Produk dan perkhidmatan halal yang sedang dipromosikan oleh negara itu bukan hanya terhad kepada makanan dan minuman sahaja, malah ia turut melibatkan kosmetik, ubat-ubatan, bahan kimia, barangan kulit, rawatan spa, perhotelan, hospital, perbankan dan takaful Islam. Kesungguhan negara jiran itu terbukti apabila ia menubuhkan Pusat Sains Halal di Universiti Chulalongkorn (HSC-CU), Bangkok pada 1995 dan Institut Halal di Universiti Prince of Songkhla, beberapa tahun selepas itu. Menurut Pengarah HSC-CU, Dr. Winai Dahlan, penubuhan pusat dan institut halal berkenaan telah membolehkan Thailand melakukan pelbagai inovasi baru termasuk menghasilkan sabun dan cecair pencuci daripada tanah liat untuk memudahkan proses menyamak.

Beliau berkata, pihaknya turut mencipta dapur khusus yang mempunyai zon penampan bagi mengasingkan antara produk halal dan haram yang telah digunakan secara meluas termasuk ketika Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand. "Pakar-pakar daripada kedua-dua universiti turut terlibat memberikan latihan kepada petugas Thai Airways dan kakitangan sektor perkilangan di negara ini mengenai kaedah betul bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah halal," katanya. Terbaru, jelas beliau, ia melibatkan penciptaan sistem logistik dan pengesahan halal menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dikenali dengan nama Shariah-Compliant ICT Logistics Control (SILK). ''SILK yang boleh diakses secara percuma menggunakan kemudahan Internet berkelajuan tinggi membolehkan syarikat di seluruh dunia membuat permohonan sijil halal. Bakal pembeli juga boleh menyemak status halal sesuatu barangan dengan pantas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Persidangan Antarabangsa Perniagaan, Industri dan Sains Halal Sedunia (Whasib) 2011 di Universiti Prince of Songkhla, Hat Yai pada 27 Julai lalu.

Persidangan sehari berkenaan telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan. Bekas Menteri Luar Thailand yang beragama Islam itu dalam ucapan perasmiannya menyeru negara-negara Asia Tenggara supaya bekerjasama bagi memastikan sasaran menjadikan rantau itu pengeksport produk halal terbesar dunia tercapai. Mengulas mengenai kesungguhan pihak Thailand itu, Naib Presiden 1, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Dr. Abd. Latiff Awang yang berkesempatan menjadi peserta Whasib 2011 berkata, selain peranan yang dimainkan oleh pihak universiti, kerajaan Thailand juga terlibat aktif dalam mempromosi industri halal. Beliau berkata, perkara itu terbukti apabila ramai usahawan Malaysia termasuk 10 delegasi DPIM telah ditaja kerajaan negara itu untuk menyertai persidangan halal berkenaan dengan harapan akan terjalin kerjasama erat antara peniaga kedua-dua negara. ''Kita kagum kerana Duta Besar Thailand ke Malaysia, Thana Duangratana dan dua pegawai kanan daripada kedutaan berkenaan iaitu Makawadee Sumitmor dan Montri Nathananan turut meluangkan masa untuk mengiringi delegasi Malaysia," katanya. Kekaguman yang diluahkan oleh Abd. Latiff memang berasas jika dilihat kesungguhan Duangratana, 60, yang sanggup turun padang untuk menjelajah wilayah yang mempunyai ramai penduduk Islam iaitu Songkhla dan Satun yang bersempadan dengan Kedah dan Perlis selama empat hari.

Selain menyertai Whasib 2011, delegasi yang turut disertai Setiausaha Agung DPIM, Mohammad Sahar Mat Din dan Penasihat Syariah KFC Holdings (Malaysia) Bhd., Mohd. Roslan Mohd. Saludin turut dibawa melawat Kawasan Perindustrian Wilayah Selatan di Wilayah Songkhla. Duangratana yang bertindak sebagai penterjemah turut membawa rombongan berkenaan bertemu dengan Gabenor Satun, Dr. Sumeth Chailertvanitkul dan melawat ladang kambing yang diusahakan usahawan Muslim di wilayah berkenaan. ''Saya berharap diplomat Malaysia mencontohi rakan sejawatan mereka yang bukan beragama Islam yang sanggup turun ke bawah bagi membawa pelabur berpotensi untuk melabur dalam industri halal di negara berkenaan. ''Jika kita terus leka, tidak mustahil Malaysia akan ketinggalan dalam industri ini terutama jika pegawai atasan yang dilantik oleh kerajaan tidak bekerja bersungguh-sungguh," ujarnya. Nasihat yang diberikan Abd. Latiff yang juga bekas Exco kerajaan negeri Terengganu memang kena pada masanya berikutan tidak ramai peneraju agensi yang berkecimpung dalam industri halal di Malaysia menghadiri Whasib 2011, sedangkan banyak inovasi baru yang dihasilkan Thailand yang boleh dicontohi mereka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 OGOS 2011

ISU SOSIAL : PERANGI MODUS OPERANDI SINDIKET PENYELUDUPAN MANUSIA

Oleh ARIF ATAN


Sampai bila kita harus terus mendengar angka demi angka berhubung pelbagai kisah di sebalik limpahan pendatang asing di negara ini? Pendedahan terbaru bahawa sindiket pemerdagangan manusia khususnya dari Bangladesh memperoleh untung lebih RM5 bilion dengan seorang warganegara itu dijual pada kadar RM10,000 amatlah mengejutkan. Kisah bertambah 'hebat' apabila puak pelampau politik di Sri Lanka juga adalah antara dalang utama yang terlibat dalam sindiket berkenaan! Sungguhpun aktiviti pemerdagangan manusia dikatakan fenomena antarabangsa tetapi di negara lain tidaklah menyaksikan jutaan orang asing seramai ke negara ini. Kita perlu mencontohi negara lain dalam menangani jenayah tersebut. Perjanjian kerajaan Malaysia dengan Australia baru-baru ini dalam usaha membanteras sindiket "jual orang" hanya benar-benar nampak hasilnya jika langkah-langkah praktik yang segera dan konsisten dilakukan. Begitu juga halnya dengan pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing yang telah bermula sejak 1 Jun lalu yang kemudian dilanjutkan tempohnya bagi memberi ruang kepada majikan untuk berbuat demikian.

Niat dan penjelasan yang jujur perlu dilakukan agar rakyat tidak keliru dengan sistem biometrik yang dicadangkan ingin digunakan juga oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Memandangkan modus operandi sindiket penyeludupan manusia berkait rapat dengan faktor peluang dan ruang, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Pertama, pegawai penguat kuasa di lapangan terbang utama negara iaitu di KLIA dan LCCT mesti lebih serius dalam bertugas. Usah begitu mudah memberi pelepasan terutama untuk penerbangan yang tiba di Malaysia pada lewat malam. Kedua, tingkatkan kekerapan pemeriksaan terhadap seluruh hotel bajet murah di sekitar Lembah Klang yang menjadi pilihan popular sindiket untuk menyorok buat sementara waktu pendatang asing sebaik-baik tiba di negara ini. Namun, apa yang pasti "pagar" yang diharapkan menjaga "padi" mesti benar-benar kukuh. Pagar yang rebah mesti segera diganti. Tindakan menahan sembilan orang pegawai imigresen termasuk pegawai kanan sejak tiga tahun sehingga 24 Mei lalu patut diteruskan dengan siri siasatan dan tangkapan seterusnya terhadap mana-mana pegawai imigresen lain yang terlibat.

Rakyat Malaysia yang sudah tidak tahan dengan lambakan orang asing kini tidak lagi mahu mendengar ada pihak penguat kuasa yang jadi dalang yang berkongsi ketawa dengan sindiket jual orang. Jutaan ringgit yang diperoleh beberapa kerat "pengkhianat" negara sebenarnya tidak berbaloi dengan kerugian ekonomi dan kemuflisan sosial yang kita telah, sedang dan akan kita semua sebagai rakyat tempatan alami. Penubuhan dua unit khas iaitu Unit Risikan dan Unit Pematuhan dalam Jabatan Imigresen adalah suatu usaha baik dalam memantau dengan teliti setiap langkah dan prosedur kerja para pegawai penguat kuasa berkenaan. Apa pun, setiap pegawai imigresen harus ditanam dalam benak akal mereka bahawa jika mahu cepat bergelar jutawan maka segeralah keluar daripada perkhidmatan awam, lalu terjun dalam dunia perniagaan yang sah di sisi agama dan undang-undang. Kesedaran dan tanggungjawab mereka juga mesti "dibasuh" sejak awal lagi sebelum pengesahan jawatan bahawa setiap sen wang yang diterima hasil daripada bersubahat menyeludup manusia ke negara ini adalah haram bagi diri, keluarga dan keturunannya serta satu bentuk pengkhianatan besar kepada tanah air yang sama sekali tidak dapat dimaafkan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 OGOS 2011