JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Oktober 2011

ISU EKONOMI : GUNAKAN KUASA PENGGUNA KAWAL KENAIKAN HARGA BARANG

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


GLASIER MATANUSKA, ALASKA

Sungguh, memang benar berlaku kenaikan harga ayam. Ia terjadi di beberapa negeri ket ika ini. Malah bukan daging ayam sahaja. Produk-produk lain turut terpalit sama, antaranya susu pekat manis, Nestle dan Milo. Maka tidak hairanlah setiap waktu rehat tengah hari atau selepas waktu pejabat sekitar pukul 5 petang, Aras G Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Putrajaya yang menempatkan Kedai Rakyat 1Malaysia di situ diserbu orang - sebahagian besarnya penjawat awam. Yang 'menyerbu'nya bukan semuanya daripada kakitangan sokongan pun (kerani atau budak pejabat) tetapi yang berkereta mewah dari Camry dan Mercedez Benz. Kalau tidak percaya, cuba-cubalah lepak di situ waktu tersebut. Mana tidaknya, produk kicap kipas udang sahaja anda boleh jimat hampir RM2 berbanding membeli di luar. Itu belum lagi barang makanan lain. Permintaan terhadap produk yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia memang cukup hangat sehinggakan Mydin yang berperanan sebagai pengedar barangan tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan orang ramai.

Bukan setakat itu sahaja, Mydin juga dikatakan masih berusaha mencari lebih banyak setor untuk menempatkan produk Kedai Rakyat 1Malaysia yang kualitinya sama dan terjamin meskipun tidak berjenama dengan berlogokan 1Malaysia. Berbalik kepada kenaikan harga ayam yang menjadi sebab Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang, Utusan Malaysia difahamkan ia turut mendapat sokongan daripada kementerian. Meskipun kementerian berkenaan lebih gemar menggunakan istilah 'kuasa pengguna harus ditunjukkan untuk menggalakkan perniagaan beretika' manakala CUEPACS yang kini disokong Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Perkasa terarah kepada tindakan protes dan boikot, nadanya tetap sama - demi kepentingan pengguna. Sebenarnya, kenaikan harga ini dipantau oleh Majlis Harga Barang Negara (MHBN). Data dikumpul setiap minggu. Seorang jurucakap MHBN memberitahu Utusan Malaysia petang semalam, kenaikan harga ayam tersebut di luar skim kawalan musim perayaan memang berlaku.

"Barang-barang kawalan bagaimanapun tidak naik tetapi untuk barangan yang dikawal pada musim perayaan, kenaikan biasanya berlaku selepas ia di luar tempoh skim tersebut. "Untuk isu semasa ini seperti mana dituntut oleh CUEPACS, kita mengesahkan memang ada kenaikan harga ayam. Tetapi kenaikan berbeza-beza mengikut kawasan dan negeri antaranya mencecah RM9.30 sekilogram untuk ayam standard berbanding RM7.30 yang ditetapkan," menurut jurucakap tersebut. Seorang pegawai KPDNKK pula memberitahu akhbar ini, peniaga atau pihak tertentu tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang setelah kerajaan memberikan subsidi. Harga tidak boleh dinaikkan walaupun harga komoditi barang mentah yang diimport adalah tinggi kerana kadar perbezaannya ditanggung kerajaan. Yang pasti, sesuatu perlu diusahakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membendung kenaikan harga ayam. Di Johor pada Jun lalu, masalah anak ayam berpenyakit dikatakan menjadi antara faktor menyebabkan bekalan daging ayam berkurangan di negeri ini sekali gus mencatatkan peningkatan harga terlalu tinggi sehingga menghampiri RM9 sekilogram.

Juga, punca kenaikan harga ayam disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik di ladang pembekal serta penternak dan pengurangan subsidi diesel untuk pengangkutan lori membawa ayam. Tetapi lebih ramai yang merasakan ia lebih kepada sikap tamak pembekal yang mahu berbuat demikian menjelang musim cuti sekolah dan Hari Raya Haji (di mana ayam mendapat permintaan tinggi). Tambah lagi, seperti mana kata CUEPACS, kenaikan harga seperti satu fenomena apabila kerajaan mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam pada pembentangan bajet tahunan. Ini menyebabkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang walaupun kakitangan awam belum menerima imbuhan tersebut. Ketika ini kerajaan sudah membuat apa sahaja untuk membela nasib rakyat yang terus berhadapan dengan kenaikan harga barangan sehingga menjejaskan kualiti kehidupan mereka. Antaranya mengambil langkah proaktif mengawal harga beberapa jenis barangan asas seperti petrol, diesel, gula, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair (LPG) dan beras yang memberi kesan langsung terhadap kos barangan akhir yang lain. Kawalan harga ini dibuat melalui pemberian subsidi oleh kerajaan dimana perbezaan di antara harga pasaran dan harga kawalan ditampung oleh pemberian subsidi yang bertambah setiap tahun. Jadi, mengapa harga ayam di sesetengah kawasan di Pulau Pinang sahaja kini sudah mencecah RM12 sekilogram.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2011


ISU SOSIAL : TERUSKAN USAHA JADIKAN BELIA KEKAL BAIK

Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian Syariah dan Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


SOSSUS VLEI, NAMIBIA

Imam Al-Ghazali pernah berkata: "Jika kita ingin tahu corak dan rupa masa depan maka lihatlah kepada generasi muda hari ini." Justeru agak menakutkan apabila baru-baru ini akhbar melaporkan bahawa lebih enam juta belia negara menghadapi krisis kecelaruan identiti disebabkan terpengaruh dengan gaya hidup Barat. Dapatan ini telah diperolehi oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) melalui media alternatif seperti laman sembang sosial Facebook dan Twitter yang dihoskannya bermula Januari tahun ini. Masalah ini dikatakan pada tahap yang membimbangkan kerana bakal mendorong belia terbabit ke arah pemikiran secara liberal. Sehingga kini terdapat kira-kira 11.65 juta belia di Malaysia iaitu 40.28 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini. Tidak dinafikan golongan belia kini terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran. Namun ke mana hilangnya jati diri mereka sebagai orang Islam? Sebaik-baiknya semua pihak harus bermuhasabah dan memikirkan usaha yang boleh dilakukan demi memastikan golongan belia berada pada landasan yang betul.

Cuba lihat diri kita sendiri, adakah kita menghayati hidup beragama dalam kehidupan atau sekurang-kurangnya berusaha sedaya upaya mengikuti syariat Islam? Jika kita lalai dan leka, janganlah pula kita sewenang-wenangnya menyalahkan golongan belia. Jika kita sendiri memandang sepi agama Islam serta lebih bangga dengan budaya Barat, maka kita yang harus dipersalahkan dalam hal ini. Umpama ketam yang hendak mengajar anaknya berjalan betul. Hakikatnya memang terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mengikis agama dalam kehidupan orang Islam. Islam dilihat hanya sebagai agama ritual di mana ia tiada apa-apa peranan dalam urusan negara. Kita dapati pemikiran liberal demokrasi cuba diserapkan ke dalam negara ini walaupun Islam adalah agama negara. Sesungguhnya cabaran dihadapi umat Islam kini amatlah besar apatah lagi dengan internet yang semakin canggih. Masa depan anak cucu sebagai generasi pelapis terumbang ambing jika dibiarkan belia berterusan dengan kecelaruan identiti.

Tidak usah kita menuding jari menyalahkan orang lain dalam hal ini atau terus menerus dibuai dengan isu yang kecil sehingga perkara yang lebih penting diketepikan. Setiap orang dari kita harus berperanan agar generasi masa depan terus berada di landasan yang betul. Agama Islam harus diangkat dan dimartabatkan agar ia menjadi nur dan menyinari kehidupan semua orang. Jangan hanya kita pandai bercakap untuk memartabatkan agama Islam tetapi dari segi perlaksanaannya tidak ada. Seminar demi seminar yang diadakan tidak akan mendatangkan apa-apa hasil jika sekadar bercakap saja tanpa ada usaha-usaha yang berterusan ke arah itu. Tidak cukup juga dengan mengadakan sambutan Maulidur Rasul atau mengadakan tilawah Al-Quran setiap tahun agar dilihat sebagai menghayati agama Islam itu. Sebagai orang dewasa kita patut menjadi contoh yang terbaik kepada golongan belia. Namun apa yang terjadi hari ini amat mendukacitakan. Contohnya kini sudah menjadi kebiasaan waktu solat Jumaat masih ramai kaum lelaki yang berkeliaran sana sini menjamu selera dan sebagainya.

Sedangkan waktu itu sepatutnya mereka sudah berada di masjid mendengar khutbah dan bersolat Jumaat. Apa yang lebih menyedihkan apabila kita tidak berupaya menegur mereka yang tidak bersolat Jumaat ini. Oleh itu wajarkah kita menyalahkan belia jika contoh yang di sekeliling mereka juga memperlekehkan agama? Kita sering bergaduh dan berselisih pendapat sesama sendiri. Segala ketidak puasan hati disuarakan dengan nada yang keras seolah-olah hendak bergaduh. Sebaiknya kita menyuarakan pandangan dalam nada yang harmoni dengan semangat bertukar-tukar pendapat. Semua perkara boleh dibawa berbincang tetapi harus bersedia mendengar dan menerima pendapat orang lain. Jika kita terus bercakaran sesama sendiri, dikhuatiri belia kita akan mendapat gambaran yang negatif dan mereka juga akan bersikap serupa dan tidak mudah mendengar nasihat. Kaum belia merupakan harta negara maka seharusnya mereka dijaga dan dipelihara agamanya. Mereka merupakan pemimpin masa hadapan dan perlu dipersediakan untuk menggalas cabaran negara pada masa akan datang. Dekatilah mereka, dengarkan luahan hati dan pendapat mereka, jadikan belia seperti rakan untuk berbincang dan bertukar-tukar pendapat. Dengan cara ini mereka tidak akan ragu-ragu untuk meluahkan segala kemusykilan dan permasalahan yang dihadapi.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2011


ISU EKONOMI : PERTANIAN LUBUK KEKAYAAN GENERASI BARU

Oleh NORDIN ABDUL MALEK
Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech


DANAKIL, DESERT, ETHIOPIA

Warren Buffett, seorang pelabur hartanah dan antara manusia paling kaya di dunia kini sanggup berpanas di gurun Futuo, Ghana bagi projek mega tanaman soya dan jagungnya yang bernilai lebih AS$38 juta. Projek-projek pertanian beliau kini diamanahkan kepada anak lelakinya, Howard Buffett untuk diberikan perhatian yang lebih serius. Di sebalik label diktator, Muammar Gaddafi pernah melakukan dasar drastik untuk mengubah landskap ekonomi Libya dan bagi menggelakkan kebergantungan dunia luar dengan membina sistem saliran air paling efisien di dunia bagi disalurkan ke tanah-tanah kontang Libya bagi tujuan pertanian. Walaupun Libya merupakan negara pengeksport minyak kelapan terbesar di dunia, sebahagian besar pendapatan negara disalurkan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan pertaniannya. Semua fakta di atas sebenarnya menggambarkan persiapan untuk berdepan dengan krisis yang paling digeruni oleh lebih enam bilion penduduk dunia yang bakal melanda pada tahun 2050 kelak iaitu krisis makanan dunia. Peningkatan suhu dan perubahan iklim dunia, pertambahan penduduk dan keluasan tanah pertanian yang semakin berkurangan merupakan petanda-petanda awal bahawa teori krisis makanan ini perlu diambil perhatian dengan lebih serius oleh semua pihak.

Namun, di sebalik kekalutan ini, ia juga merupakan rahmat kepada sesiapa yang bijak mengambil peluang terutamanya kepada golongan petani untuk mencipta kekayaan. Bagi para petani di Malaysia khususnya, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa merekalah golongan yang paling bertuah jika dunia dilanda krisis makanan nanti, kerana bumi Malaysia sememangnya dicipta subur untuk pertanian tanpa perlu jutaan ringgit bagi pembinaan saliran canggih dan tidak perlu untuk kita sampai ke Afrika mengintai peluang bertani di sana seperti yang dilakukan sesetengah negara lain. Dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), sektor pertanian diberikan perhatian yang khusus dan diangkat menjadi salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Bajet 2012 pula memperlihatkan keseriusan negara dalam memajukan sektor ini apabila peruntukan keseluruhan bagi pertanian ditambah kepada RM29.8 bilion berbanding RM3.8 bilion tahun lalu. Peluang sudah terbentang luas, bantuan sudah dihulurkan oleh pihak kerajaan, tapi persoalannya, sejauh manakah masyarakat petani sedia ada di Malaysia bersedia untuk berdepan dengan tekanan yang amat tinggi dari seluruh dunia dan masih berkesankah teknik serta minda pertanian konvensional generasi petani terdahulu?

Tugas dan tanggungjawab ini seharusnya digalas oleh generasi baru, terutamanya graduan-graduan berteraskan pertanian kerana kepesatan industri pertanian dunia ini memerlukan minda yang segar dan nilai inovasi yang tinggi selaras dengan peredaran zaman agar industri pertanian kita tidak terus ketinggalan. Generasi muda pertanian ini pula perlu berani dan diberikan galakan untuk menjadi usahawan kerana adalah mustahil untuk memiliki kekayaan seperti yang digambarkan selain menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Hal ini bersesuaian dengan Hadis Rasulullah SAW iaitu 9 daripada 10 pintu rezeki adalah daripada perniagaan. Mungkin ia satu kebetulan apabila ketika kecil Nabi Muhammad juga dilatih untuk menjadi pengembala kambing. Keusahawanan pertanian seolah-olah sunnah sebagai karier wajib kebanyakan Nabi. Namun, di samping peluang dan bantuan pelbagai pihak, faktor paling penting penentu kejayaan graduan dalam bidang perniagaan ialah jati diri masing-masing kerana kualiti seorang usahawan berjaya bukan semata-mata dilihat daripada pencapaian akademik dan pensijilan.

Mengumpul kekayaan dalam bidang pertanian berbeza daripada bidang lain kerana bidang ini kelihatan kotor, susah dan kadang kala berbahaya atau lebih dikenali sebagai bidang 3D (dirty, difficult, dangerous). Oleh sebab inilah, pembentukan jati diri dan sahsiah yang menepati keperluan serta keazaman spiritual yang tinggi diberikan penekanan khusus di Institut Skill-Tech (IST). Subjek Jati Diri juga dijadikan subjek wajib kepada semua pelatih di IST. Pendekatan ini terbukti berjaya apabila sehingga kini hampir 300 usahawan yang dilahirkan IST masih bertahan dan majoritinya sedang menuju kepada perusahaan berskala besar. Resipi unik dalam pembentukan usahawan tani berjaya yang digunakan oleh IST sebenarnya hasil garapan buah fikir dan real-life practice yang disumbangkan oleh lebih 300 syarikat berteraskan pertanian di Malaysia, bermula daripada syarikat Industri Kecil Sederhana (IKS) hinggalah kepada syarikat-syarikat konglomerat besar seperti Felda, IOI dan Borneo Samudera.

Berdasarkan penilaian dan kajian yang dilakukan oleh IST sendiri terhadap usahawan-usahawan mereka, di samping jati diri yang mantap, mereka juga perlu memiliki cita-cita yang tinggi dan jiwa yang besar supaya dapat mengusahakan pertanian yang lebih bersifat komersial dan berskala besar. Nilai-nilai inilah yang membezakan antara usahawan tani 'belakang rumah' dengan mereka yang berpendapatan lumayan sehingga mampu menembusi pasaran global dan menjadi juara dalam transformasi 'pertanian' kepada 'industri pertanian' dan daripada sekadar 'petani' kepada 'usahawan tani'. Hari ini kita boleh menghela sedikit nafas lega apabila melihat 400 orang lagi generasi muda bakal bergelar pemain utama dan pemangkin transformasi industri pertanian Malaysia setelah tamat latihan di IST. IST telah pun memainkan peranan sebagai peneraju latihan kemahiran sumber manusia berteraskan pertanian di Malaysia. Jika momentum sedia ada diteruskan, IST pasti menjadi institusi latihan kemahiran bertaraf dunia suatu hari nanti.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
28 OKTOBER 2011