JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 September 2010

PENGETAHUAN AM : ISU ALAM SEKITAR : DUNIA BERDEPAN BANYAK BENCANA


NEW YORK 16 Sept. - Ketua baru misi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa selepas bencana tsunami Asia, gempa bumi besar di Haiti dan banjir teruk di Pakistan, dunia perlu bersedia untuk berhadapan dengan peningkatan bilangan bencana alam, yang memerlukan kempen baru untuk menanganinya. Valerie Amos, Setiausaha Rendah Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, menyeru supaya dicari kaedah baru bagi mengendalikan bencana alam yang besar ketika merayu lebih banyak sumbangan dana untuk membantu mangsa banjir Pakistan, esok. "Ini adalah krisis yang sangat besar dan masih belum diselesaikan. Ia semakin besar dan besar dan besar mengikut masa.



"Banjir ini adalah satu bencana terbesar yang pernah kita alami. Jadi pada masa depan kita perlu mencari jalan baru untuk bekerja, mengumpul dana dan memperluas rangkaian sumbangan," kata bekas menteri Britain itu pada sidang media di ibu pejabat PBB, di sini. Amos menegaskan bahawa banyak yang perlu dipelajari daripada bencana dahsyat sejak beberapa tahun kebelakangan ini bermula daripada tsunami 2004 yang meragut lebih 220,000 nyawa di beberapa negara sekitar Lautan Hindi hingga kepada gempa bumi besar Haiti pada Januari lalu yang mengorbankan 250,000 orang. Pegawai PBB berkata, skala bencana di Pakistan adalah lebih besar kerana 21 juta penduduk terjejas dengan kediaman musnah dan kerugian hasil pertanian serta haiwan ternakan akibat banjir.



Pakistan juga menghadapi masalah penempatan populasi pelarian terbesar dunia, kebanyakannya dari Afghanistan. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam mengumumkan bantuan kecemasan bernilai AS$451 juta (RM1.4 bilion) untuk Pakistan. Kesatuan Eropah (EU) juga sedang mencari jalan untuk menghulurkan bantuan. - AFP

PENGETAHUAN AM : ISU ALAM SEKITAR : BUMI CATAT SUHU PALING PANAS

Imej yang dikeluarkan oleh NASA merakamkan fenomena La NiƱa dikesan
semakin meluas di Lautan Pasifik seperti yang dirakamkan oleh satelit Jason-2.

WASHINGTON 16 Sept. - Dalam tempoh lapan bulan sejak awal tahun ini, bumi mencatat suhu purata paling panas, sekali gus memecahkan rekod suhu panas purata yang dicatat dalam tempoh yang sama pada 1998. Dalam tempoh lapan bulan itu, bumi mencatat suhu purata 14.7 darjah Celsius iaitu suhu yang sama pernah dicatat dalam tempoh yang sama pada 1998, kata Pentadbiran Hidupan Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA). Ketika 1998 mencatat suhu purata paling panas dalam tempoh lapan bulan itu, 2005 pula mencatat suhu paling panas sepanjang tahun. Dalam pada itu, NOAA turut mendapati suhu pada bulan lalu merupakan suhu ketiga paling panas bagi bulan Ogos selepas 1998 dan 2009, apabila mencatat suhu mencecah 16.2 darjah Celsius.



Selain itu, suhu musim panas antara Jun hingga Ogos tahun ini merupakan suhu kedua paling panas selepas 1998 apabila ia mencecah 16.2 darjah Celsius. Dalam satu laporan berasingan, Pusat Data Salji dan Ais Kebangsaan berkata, litupan ais pada musim panas tahun ini di Artik merupakan yang ketiga terkecil berbanding ketika kali pertama saiznya diukur melalui satelit pada 1979. Saiz bongkah ais yang meliputi laut Artik semakin mencair dan keluasannya yang dicatat seluas enam juta kilometer persegi pada bulan lalu adalah 22 peratus lebih kecil daripada yang pernah dicatat antara 1979 hingga 2000, lapor NOAA. Bongkah ais yang semakin cair berpunca daripada perubahan cuaca akibat pemanasan global yang menyebabkan suhu bumi semakin meningkat sejak beberapa dekad lalu.



Kecairan ais turut dilaporkan di Greenland dan Antartika yang dibimbangi akan menyebabkan beberapa masalah seperti peningkatan kadar paras laut, pengurangan glasier dan perubahan cuaca dunia. Satu laporan baru iklim dunia mendapati, beberapa kawasan di timur Eropah, timur Kanada, dan di timur Asia mencatat suhu panas luar biasa, manakala di Australia, tengah Rusia serta selatan Amerika Selatan dicatat mengalami suhu paling sejuk dalam sejarah. - AP