Oleh Mustafa Kamal Basri
SUDAH sampai masanya kempen memerangi pengganas di Asia Barat dan di bumi Afghanistan dan Pakistan dihentikan serta-merta. Amerika Syarikat (AS) dan sekutu baratnya kini sudah tidak ada alasan lagi untuk terus bertapak di Iraq dan Afghanistan serta Pakistan setelah musuh utama AS, Osama bin Laden terbunuh dalam serangan komando elit AS di bandar Abbotabat di Pakistan,2 Mei lalu. Kehadiran tentera AS di Iraq dan tentera AS serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan dan Pakistan tidak lagi diperlukan, kerana ia lebih membawa mudarat dan korban yang tinggi di kalangan penduduk awam. Kehadiran AS di kedua-dua negara itu jauh sekali membawa keamanan, sebaliknya rakyat semakin terdedah kepada ancaman maut berikutan tindakan rangkaian al-Qaeda dan militan Taliban meningkatkan serangan di kedua-dua negara itu sebagai membalas dendam atas kematian ketua mereka.
Bukan sahaja pasukan keselamatan Afghanistan dan Pakistan kini terdedah kepada serangan al-Qaeda dan Taliban yang menjadikan kemudahan-kemudahan tentera seperti pangkalan tentera dan balai polis sebagai sasaran serangan mereka, tetapi penduduk awam di kedua-dua negara itu turut terdedah kepada serangan pesawat tanpa pemandu AS dan NATO ke atas kubu al-Qaeda dan Taliban. Ini tidak termasuk beribu-ribu lagi penduduk Afghanistan dan Pakistan yang cedera dalam serangan berani mati yang dilancarkan militan al-Qaeda dan Taliban serta serangan jet tanpa pemandu AS dan NATO, manakala beribu-ribu lagi menjadi pelarian kesan operasi tentera yang dilancarkan oleh AS dan tentera kerajaan ke atas sarang dan kubu militan. Presiden Afghanistan, Hamid Karzai pada 29 Mei lalu mengeluarkan kenyataan keras tidak lagi membenarkan tentera NATO di Afghanistan melancarkan serangan udara ke atas pemberontak selepas jumlah orang awam yang terkorban akibat serangan itu semakin meningkat.
Katanya, rakyat Afghanistan tidak lagi boleh bersabar dengan serangan udara NATO yang menyebabkan ramai orang awam terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak. Presiden AS, Barack Obama perlu menyegerakan pengunduran tenteranya di bumi Iraq, Afghanistan dan Pakistan. Kempen perang ke atas pengganas bukan agenda dunia Islam. Kerajaan Iraq, Afghanistan dan Pakistan mampu menyelesaikan masalah dalaman mereka tanpa pertumpahan darah. Dunia perlu mengenakan tekanan ke atas AS dan Barat bagi menghentikan kempen memerangi pengganas yang telah meragut beribu-ribu nyawa penduduk awam termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak.
UTUSAN MALAYSIA, 7 JUN 2011