JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 September 2011

ISU KASIHAN GURUKU : PROGRAM SAPS YANG DIKATAKAN CANGGIH RUPA-RUPANYA LEBIH SUKAR DARIPADA KAEDAH MANUAL SAMPAI GURU TIDAK TIDUR MALAM UNTUK MEMASUKKAN DATA

Oleh Azrul Affandi Sobri
azr@bharian.com.my


Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) diperkenalkan baru-baru ini bagi membolehkan tugas pengumpulan data dilakukan dengan secara lebih sistematik dan praktikal berkaitan data mata pelajaran, enrolmen murid, data guru mata pelajaran dan profil sekolah. Semua guru sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah berasrama penuh perlu mengisi markah ujian Mac, peperiksaan pertengahan tahun, peperiksaan percubaan atau ujian Ogos dan peperiksaan akhir tahun di SAPS ini. Untuk menjadikan sistem ini lebih sistematik, tempoh masa ditetapkan dan guru perlu mematuhinya. Kebaikan sistem ini ialah selepas guru memasukkan data dan markah pelajar, ia akan secara automatik membuat analisis dalam pelbagai aspek, sekali gus menjimatkan banyak masa guru yang mungkin pada sedekad dulu terpaksa membuat pengiraan analisis secara manual.  Tekan mesin pengira setiap kali mahu mencari peratusan dan purata. Berpinar mata mencari berapa jumlah A yang murid peroleh dan pelbagai lagi. Malah, dulu guru kelas terpaksa meminta markah setiap mata pelajaran daripada guru yang mengajar dan mengisinya secara manual dalam borang khas.

Semua perkiraan dilakukan secara manual dan diisi pula dalam buku laporan kemajuan murid. Sistem dalam talian diakui lebih memudahkan dan lebih sistematik serta menjimatkan banyak masa. Namun, sistem yang sebenarnya dicipta untuk memudahkan mereka akhirnya menyebabkan lebih ramai yang terseksa. Ada guru terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi semata-mata untuk mengisi markah pelajar dan ada pula yang menghadapi masalah kerana tidak mempunyai komputer atau talian internet di rumah. Namun selepas menggunakan SAPS buat seketika, ramai guru merungut dan melepaskan kemarahan mereka dalam blog dan menulis surat kepada akhbar.  Antaranya, yang dipetik daripada blog adalah seperti berikut:  “Idea mewujudkan sistem ini memang baik tetapi program berkenaan susah untuk dicapai dan selalu terkeluar daripada talian dan ada banyak masalah lain.  “Sebagai guru yang terbabit dengan SAPS, saya sudah beberapa kali membuka sistem ini untuk memasukkan markah tetapi setiap kali markah mahu disimpan, sistem ini akan terkeluar daripada talian. Saya terpaksa mengisi semula markah dan ini ia berlaku beberapa kali.

“Kami terpaksa menunggu sehingga pagi semata-mata untuk mengisi markah ujian satu, peperiksaan pertengahan tahun, menentukan nilai letak kerja (TOV) dan jangkaan hasil sasaran akhiran (ETR) setiap pelajar. Bayangkan, jika ada enam kelas yang markah pelajarnya perlu diisi dan setiap satu kelas pula ada 40 pelajar. “Yang peliknya dalam taklimat kami diberitahu ketika menggunakan SAPS, kami tidak boleh menekan butang ‘enter’ pada papan kekunci kerana akan mengganggu sistem. Ini adalah kali pertama saya mendengar satu sistem yang direka akan rosak jika tertekan butang ‘enter’.  “Masalah lain yang dihadapi ialah ada pelajar yang tiada dalam senarai kelas tetapi apabila didaftar, jawapan yang diterima ialah ‘pelajar telah didaftarkan’ tetapi jika telah didaftarkan kenapa nama pelajar tiada dalam senarai?” Di mana silapnya? Apakah sengaja kementerian mencipta satu sistem untuk menyusahkan guru sedangkan perlu diakui guru sudah terlalu banyak dibebankan. Rasanya bukan itu alasannya kerana yang paling tepat ialah sistem itu masih terlalu mentah dan perancangan untuknya tidak mengambil kira banyak perkara. Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Razak Hamdan, berkata kebanyakan sistem dalam talian (online) di negara ini tidak stabil pada peringkat permulaan dan menyebabkan masalah kepada pengguna, namun ia akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Kebanyakan sistem dibangunkan menggunakan teknologi sedia ada dan dirasakan memadai untuk kegunaan pada masa itu tetapi selepas digunakan secara meluas, ia tidak mampu menampung keperluan semasa dan perlu peningkatan. Masalahnya, untuk mempertingkatkannya memerlukan kos tinggi dan itu yang menjadi halangan banyak pihak. “Kita rujuk kepada sejarah Unit Pusat Universiti (UPU) pun pada mulanya ada masalah. Selalu tidak stabil tetapi selepas dipertingkatkan, ia sudah semakin baik dan stabil. Ia membabitkan sistem itu sendiri dan talian komunikasi. Jika salah satu tidak stabil atau lembab, ia akan menyusahkan pengguna. “Kebanyakan sistem menggunakan talian terbuka (public). Jika ia sudah ditentukan untuk menerima sebanyak dua megabait (MB), tetapi yang menggunakannya melebihi jumlah itu, ia pasti akan menyebabkan sistem itu perlahan. “Setiap sistem juga ada had penggunaan pada satu masa. Jika dihadkan sebanyak 1,000 pengguna tetapi pada satu masa pengguna melebihi jumlah itu, ia juga akan menyebabkan sistem menjadi lembab. “Selalunya, pembangun sistem akan membuat anggaran berapa ramai pengguna akan gunakan sistem itu terutama pada waktu puncak dan menetapkan jumlah tertentu.

Penetapan ini perlu kerana semakin besar ruang penggunaannya, semakin mahal sistem itu untuk dibangunkan. Malangnya, ada ketika berlaku, ramalan mereka tidak tepat dan pengguna melebihi anggaran,” katanya. Beliau berkata, ada sistem yang menggunakan kaedah ‘server balancing’ iaitu membolehkan ia dipindahkan ke pelayan lain jika kuota dalam satu pelayan sudah penuh. Ia membolehkan sistem tidak perlahan jika melebihi kuota yang sudah ditetapkan tetapi membabitkan kos yang tinggi. Masalahnya, katanya, kebanyakan pengguna akan menggunakan sistem itu secara maksimum pada waktu puncak terutama ketika tarikh tamat tempoh semakin dekat. Ia pasti menyebabkan sistem itu tidak mampu menampung penggunaannya yang banyak. Justeru, pemantauan pada waktu itu perlu dipertingkatkan. “Selalunya, masalah utama bermula daripada sistem komunikasi. Jika talian internet yang digunakan perlahan, ia juga akan memberi kesan. Masalah lain ialah kebanyakan pembangun sistem salah membuat perkiraan jumlah pengguna. Mereka boleh tinggikan had pengguna asalkan mampu memperuntukkan kos yang tinggi. “Dalam kes ini, sewajarnya mereka buat percubaan tekanan (stress test) sebelum dilancarkan.

Pastikan ia mampu menangani seramai mungkin pengguna termasuk guru terutama ketika waktu puncak. Perlu buat perkiraan secara tepat berapa banyak had diperlukan untuk menangani seberapa ramai guru dan sekolah. “Selain itu, tidak semua sistem sesuai digunakan bagi semua negeri dengan kapasiti yang sama. Sudah pasti tidak sama jumlah pengguna di Perlis dan Selangor. Pelayan yang digunakan perlu stabil. “Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah adalah untuk memasukkan data. Ia sewajarnya gunakan sistem simpanan secara automatik (autosave). Maksudnya, setiap kali data dimasukkan, ia disimpan secara automatik dan tidak hilang jika tiba-tiba berlaku masalah talian. Kosnya tinggi tetapi perlu dalam kes pengendalian data,” katanya lagi. “Kelemahan utama kebanyakan sistem di negara ini ialah ambil mudah dan jadikan pengguna sebagai bahan ujian. Asalkan ia nampak berkesan di sesetengah kementerian, ia secara mudah digunakan pula di kementerian yang lain. Cara ini salah kerana tidak semuanya sama,” katanya. Justeru, adalah wajar kementerian lebih peka dalam hal ini dan memastikan apa saja sistem yang mahu dibangunkan tidak menjadi beban kepada pengguna, sekali gus menambahkan tekanan mereka.

SUMBER
BERITA HARIAN
21 SEPTEMBER 2011


APA KOMEN GURU?

ISU KESIHATAN : ORANG YANG MENGIDAP PENYAKIT NYANYUK PERLUKAN BELAIAN KASIH SAYANG YANG SECUKUPNYA

Oleh Liow Tiong Lai
www.liowtionglai.com/blog


Mereka  tidak faham kenapa bapa yang tua itu sudah tidak ingat nama mereka. Kenapa dia masih bertanyakan di mana isterinya yang meninggal dunia 10 tahun lalu? Kenapa dia berdegil mahu pergi ke pasar raya berseorangan sedangkan dia tidak ingat bagaimana mahu pulang ke rumah? Kesabaran mereka semakin tipis dengan bapa, manakala keadaan orang tua itu semakin teruk. Ketika ingatan bapanya kembali seperti sedia kala semakin jarang berlaku dan lama-kelamaan dia perlukan bantuan untuk melakukan tugas biasa seperti memakai baju, mandi dan makan. Apabila pakar geriatrik menjelaskan mengenai penyakit Alzheimer atau nyanyuk kepada mereka, barulah mereka faham keadaan yang menyebabkan mereka kehilangan bapa yang dikenali.  Seandainya mereka dapat mengenal pasti tanda penyakit Alzheimer sejak awal, mereka pasti dapat melihat bagaimana ia meresap dalam kehidupan bapa mereka sejak lima atau enam tahun lalu.  Ini ialah kisah dialami beribu-ribu rakyat Malaysia, yang terpaksa melihat orang tua mereka mengalami penyakit Alzheimer yang menurut anggaran semasa, berjumlah kira-kira 63,000 orang di negara ini.  

Penyakit Alzheimer ialah satu bentuk dementia yang paling kerap berlaku, keadaan degeneratif atau kemerosotan mengakibatkan perubahan kimia dan struktur sel dalam otak. Keadaan ini biasanya dialami mereka berumur 65 tahun ke atas, dan sering disalah anggap sebagai nyanyuk atau penyakit ‘orang tua’. Keadaan bertambah buruk apabila keluarga dan anak hilang kesabaran ketika mereka hilang ingatan dan tingkah laku mereka berubah kerana menyangka orang tua mereka sengaja mahukan perhatian atau melalui semula fasa kanak-kanak. Bagaimanapun penyakit ini menguasai minda dan merampas erti hidup sebagai insan. Ia juga merampas maruah diri sebagai orang tua sehingga individu itu hilang segala-galanya.  Alzheimer amat mengerikan bagi waris pesakit kerana mereka tidak faham bagaimana penyakit itu boleh mengubah keadaan seseorang dari segi asasnya, hingga personalitinya berubah secara drastik (sel penting dalam otak membentuk fikiran, tindakan dan personaliti seseorang sudah mati).  Jika ibu bapa anda disahkan menghidap Alzheimer, diagnosis itu hanya sebahagian daripada jawapan. Yang paling penting anda perlukan ialah bimbingan pakar untuk membantu memahami kenapa ibu bapa anda melalui proses ini dan bagaimana anda boleh menguruskan keadaannya dan memberikan sokongan terbaik.

Peranan ini paling baik dilakukan pakar geriatrik yang mengetuai sepasukan pakar yang boleh menyelia rawatan holistik untuk pesakit. Sebagai pakar dalam penjagaan dan rawatan untuk pesakit sedemikian, tugas pakar geriatrik bukan sekadar mengagihkan pil tidur atau mendengar rungutan pesakit yang nyanyuk saja.  Peranan penting mereka ialah membantu keluarga pesakit melalui proses sokongan. Saya amat sedar bahawa negara kita sangat memerlukan lebih ramai pakar geriatrik, kerana kita mengalami kekurangan dari segi nisbah ideal 1:50,000 pakar geriatrik berbanding jumlah penduduk, seperti disarankan Kesatuan Geriatrik Britain. Untuk jumlah penduduk 28 juta di Malaysia, kita perlukan kira-kira 560 pakar geriatrik. Dengan hanya 13 pakar geriatrik di negara ini, empat daripadanya dalam perkhidmatan kesihatan awam, kita masih jauh ketinggalan.  Bagaimanapun, melalui program latihan dijalankan Kementerian Kesihatan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya serta Singapura dan Australia, kita dapat melahirkan lebih ramai pakar terlatih dan menyediakan khidmat mereka di seluruh negara.  Saya juga amat prihatin bagaimana keluarga pesakit Alzheimer menangani keadaan dialami.

Sebilangan mereka mungkin lebih bernasib baik dan mampu menggaji jururawat sepenuh atau separuh masa untuk menjaga ibu bapa atau ahli keluarga mereka. Ini belum lagi disentuh mengenai tekanan emosi yang terpaksa mereka lalui.  Namun, bagaimana pula nasib beribu-ribu yang lain, yang tidak mampu menyediakan kemewahan seperti itu? Berhenti kerja untuk menjaga pesakit itu bermakna mereka kehilangan sumber pendapatan.  Ada di antaranya tidak mempunyai pilihan kecuali menghantar orang tua mereka ke rumah orang tua atau pusat jagaan walaupun mereka berasa malu kerana dianggap tiada perasaan kekeluargaan. Walaupun begitu, saya berpendapat masih ada harapan lagi. Apa yang kita perlukan ialah kesedaran mengenai penyakit ini. Dengan lebih banyak maklumat disediakan, kita dapat menarik lebih banyak perhatian dan pembiayaan untuk menjalankan penyelidikan bagi rawatan penyakit ini dan penerimaan lebih meluas di kalangan pesakit Alzheimer ini dan keluarga mereka. Buat masa ini, banyak kemajuan sains perlu dilakukan untuk mengkaji penyakit ini, sementara itu kita hendaklah melayani pesakit dengan rasa hormat dan kasih sayang – ceritakan kepada mereka mengenai pencapaian cucu mereka, bawa mereka bersiar-siar di taman, mainkan muzik kegemaran mereka. Mungkin mereka tidak faham kata-kata atau tindakan anda, tetapi mungkin di satu sudut fikiran mereka masih wujud hubungan sesama insan yang dapat membangkitkan ingatan dan membawakan ketenangan.

Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia.
www.liowtionglai.com/blog
atau Twitter (@liowtionglai)

SUMBER
BERITA HARIAN
21 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : USAH BIARKAN ISU PEMBEKUAN AMAH TERUS BERLANJUT


Indonesia membekukan sementara penghantaran pembantu rumah ke negara ini pada awal 2009, ekoran beberapa laporan kes penderaan terhadap rakyatnya. Selepas hampir dua tahun dibekukan, kerajaan kedua-dua negara memeterai perjanjian persefahaman (MoU) pada 30 Mei lalu, untuk menamatkan pembekuan berkenaan dan melaksanakan semula pengambilan pembantu rumah dari Indonesia. Namun hingga saat ini, isu penghantaran pembantu rumah Indonesia belum menampakkan penyelesaiannya kerana Jakarta seolah-olah belum menarik balik pembekuan berkenaan. Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam yang menandatangani MoU berkenaan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, kelmarin mengaku beliau sendiri tertanya-tanya sebab Jakarta masih tidak berbuat demikian. Walaupun demikian difahamkan isu itu berkemungkinan berkisar kepada kadar bayaran membawa masuk pembantu rumah ditetapkan di bawah MoU itu, iaitu sekitar RM4,500 seorang. Ejen penghantar pembantu rumah dari Indonesia dan ejen pengambilan dari Malaysia, kedua-duanya tidak senang dengan kadar dianggap terlalu rendah untuk menampung kos ditanggung.  Walaupun ejen kedua-dua negara berusaha menyemak kadar bayaran berkenaan, difahamkan Jakarta dijangka mengumumkan penamatan pembekuan itu akhir bulan ini.

Apa sekali pun penyelesaian, isu ini sudah terlalu lama tertangguh sehingga membuatkan sesetengah majikan di Malaysia memikirkan alternatif lain daripada pembantu rumah dari Indonesia. Bagi majikan di Malaysia, isu pembekuan ini sebenarnya lebih kepada cubaan mendapat upah lebih tinggi. Memang benar isu ini dicetuskan oleh beberapa kes penderaan, namun jika diteliti bilangan kes berkenaan dengan jumlah pekerja Indonesia di sini, ia amat kecil. Kebanyakan majikan di sini rasa bertanggungjawab terhadap pembantu rumah mereka sehingga ada yang menganggap mereka sebagai sebahagian keluarga. Malah pelbagai kemudahan disediakan, termasuk satu hari rehat dalam seminggu dan pasport dipegang oleh pembantu rumah sendiri. Namun, agak terkilan juga apabila ada yang masih menganggap semuanya ini masih tidak memadai dan ingin pula menuntut gaji lebih tinggi. Soalnya, apakah mutu perkhidmatan disediakan berbaloi dengan gaji yang dibayar? Sebenarnya, majikan di sini tidak terikat dengan pembantu rumah dari negara tertentu saja. Mereka mempunyai pilihan untuk mengambil pembantu rumah daripada beberapa negara, malah dari Malaysia sendiri. Kita yakin jika upahnya berbaloi tinggi, rakyat tempatan sendiri mungkin juga sanggup membuat kerja berkenaan seperti pernah diamalkan sebelum zaman kemasukan pekerja asing ini yang menyaksikan ramai di antara kita mengambil orang kampung yang miskin untuk bekerja sebagai pembantu rumah di bandar.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
21 SEPTEMBER 2011

ISU UMUM : AKTA KESELAMATAN MASYARAKAT MAJMUK!

DATUK RUHANIE AHMAD
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Joho              r
Bekas pelajar pasca siswazah bidang strategi dan keselamatan di UKM.


Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA yang dimansuhkan baru-baru ini perlu digantikan dengan satu undang-undang baru yang khusus untuk melindungi kesejahteraan rakyat majmuk di Malaysia. Negara memerlukan undang-undang baru ini untuk mencegah sensitiviti agama, kaum, bahasa, budaya dan ekonomi supaya tidak dijadikan punca konflik etnik (kaum) dan identiti (jati diri). Undang-undang ini perlu bagi mengelakkan pertembungan minat yang boleh mencetuskan persengketaan agama dan kaum sehingga menggugat keselamatan nasional dan kelangsungan negara seperti yang pernah terjadi pada 13 Mei 1969. Malaysia memerlukan undang-undang seperti ini kerana negara-negara membangun, termasuk di Asia, adalah "dibentuk untuk keselamatan dan kelangsungan (survival) negara tersebut" (Sity dan Zarina 2005:18). Undang-undang ini juga penting kerana konflik etnik dan identiti adalah punca utama yang menyebabkan umat sejagat berasa terancam (Kaufman2008:201). Ini terbukti bila tahun 1990-an tercetus 50 konflik etnik berbanding dua sahaja konflik antarabangsa di serata dunia.

Contohnya adalah konflik etnik dan identiti di Bosnia Herzegovina yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik tahun 1990-an, dan di Somalia yang menyebabkan ratusan ribu manusia kebuluran dan terkorban hingga ke hari ini. Lantaran inilah mulai awal 1990-an, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta beberapa sarjana kajian keselamatan memperluaskan konsep keselamatan supaya merangkumi pelbagai ancaman bukan tradisional, termasuk ancaman keselamatan insan, khususnya keselamatan masyarakat di negara majmuk. PBB dan sarjana Eropah merangkumkan aspek keselamatan masyarakat ini di bawah konsep keselamatan insan dan keselamatan nasional kerana kebanyakan negara mutakhir ini lebih diancam oleh masalah dalaman, bukannya ancaman ketenteraan luaran. Berdasarkan realiti inilah konsep keselamatan insan versi PBB memfokus kepada ancaman kronik seperti kebuluran, penyakit dan penindasan; dan ancaman serius terhadap kehidupan manusia di rumah, tempat kerja atau di dalam masyarakat (Paris 2000:89). Konsep keselamatan insan versi Eropah, pula adalah berbeza dengan versi PBB.

Walaupun ia menghuraikan aspek keselamatan ketenteraan, keselamatan ekonomi, keselamatan politik, keselamatan alam sekitar dan keselamatan masyarakat, huraian versi Eropah ini adalah dalam konteks keselamatan nasional dan kelangsungan sesebuah negara, khususnya negara majmuk. Oleh itu, jika ISA mahu digantikan dengan akta baru, akta tersebut perlulah berasaskan konsep keselamatan insan, terutama sekali keselamatan masyarakat. Kerana keselamatan masyarakat adalah membabitkan masalah kaum dan jati diri yang boleh mengancam keselamatan nasional serta kelangsungan negara Malaysia. Undang-undang keselamatan masyarakat ini wajar berpaksikan Perkara 10 (4) bagi mengawal isu-isu sensitif, termasuk mengenai kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11(4), Bahasa Melayu dalam Perkara 152, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang keselamatan masyarakat ini juga wajar bersandarkan kepada Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya bertujuan menentang tindakan "menggalakkan permusuhan antara kaum" yang mungkin menyebabkan keganasan di Malaysia sehingga mengancam ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat.

Cadangan ini selaras dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 15 September 2011, bahawa dua akta baru yang akan menggantikan ISA adalah "bermatlamatkan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara." Cadangan ini juga tidak bertentangan dengan prinsip serta amalan demokrasi di Malaysia kerana prinsip ini tidak akan bermakna dan amalan ini akan terancam jika keselamatan masyarakat diabaikan dan keselamatan nasional serta kelangsungan negara tidak dipelihara sepanjang masa. Hakikatnya demikian sebab negara-negara maju yang kini cuba memaksa negara-negara membangun supaya mengamalkan prinsip hak asasi manusia sejagat dan prinsip demokrasi liberal pun pernah menindas umat manusia dengan dahsyatnya berasaskan kepada warna kulit serta mempunyai undang-undang yang disifatkan kurang demokratik. Contohnya, Amerika Syarikat (AS) pernah mengamalkan perhambaan serta penindasan ke atas rakyatnya yang berketurunan Afrika dan berkulit hitam. Dalam tahun 1950-an, AS juga mempunyai Internal Security Act (ISA) 1950 yang juga dikenali sebagai Subversive Activities Control Act atau The McCarran Act.  Mutakhir ini, AS mempunyai Patriot Act (Akta Patriot) yang disifatkan sebagai mencanggahi prinsip hak-hak asasi manusia yang dikuatkuasakan demi keselamatan negaranya berikutan tragedi 11 September, di samping melakukan ethnic profiling terhadap umat Islam yang menjadi warganegaranya.

Britain pula mempunyai pelbagai undang-undang pencegahan bagi menjamin keselamatan negaranya termasuk Broadcasting Act (Akta Penyiaran) 1981 dan 1990 serta Official Secret Act (Akta Rahsia Rasmi)1989. Maka, rakyat Malaysia tidak wajar terpengaruh dengan konsep kemanusiaan, keadilan dan kesamarataan yang dipropagandakan oleh Barat, khususnya AS. Konsep ini adalah taktik mempengaruhi rakyat asing melakukan pertukaran kepimpinan supaya AS boleh menjadikan negara-negara terbabit sebagai satelit atau proksinya atas kepentingan geopolitiknya di abad ke-21. Kesimpulannya, setelah ISA dimansuhkan, Malaysia memerlukan undang-undang baru untuk menjamin keselamatan masyarakat atau societal security di kalangan warganegaranya yang berbilang agama, bangsa, sosiobudaya dan tahap ekonomi. Kerajaan Malaysia perlu menghimpunkan pakar keselamatan negara dan sarjana kajian keselamatan bukan tradisional daripada institusi pengajian tinggi tempatan untuk menghalusi, memperincikan serta menggubal undang-undang ini secara menyeluruh dan berkesan. Pembentukan undang-undang ini penting untuk mengelakkan masalah kaum dan jati diri sebab masalah ini adalah antara ancaman keselamatan insan yang serius dalam era selepas Perang Dingin, terutamanya di negara majmuk seperti Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 SEPTEMBER 2011

ISU EKONOMI : PERANAN KERAJAAN PERMUDAH CARA BISNES

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan,
Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.


Sering kali apa-apa keputusan perniagaan syarikat swasta terutamanya melibatkan pelaburan, ramai beranggapan kerajaan mempunyai peranan yang signifikan. Memang benar, kerajaan mempunyai peranan yang amat penting untuk menjadikan suasana perniagaan lebih kondusif supaya ekonomi negara lebih berdaya saing dan maju ke hadapan. Tanpa sokongan kerajaan, mana mungkin ekonomi negara melalui pelaburan langsung asing (FDI) mahupun pelaburan langsung domestik (DDI) boleh berkembang lebih pantas lagi. Namun demikian, perlu diingat, peranan kerajaan tidak boleh jauh sehingga mencampuri urusan perniagaan syarikat swasta. Apabila kerajaan dilihat terlalu mencampuri urusan perniagaan syarikat swasta, para pelabur akan mendapat isyarat seolah-olah bisnes dan ekonomi "diikat" oleh kerajaan tanpa ada kebebasan untuk membuat keputusan. Implikasinya cukup besar sama sekali. Antaranya para pelabur akan takut melabur dalam negara tersebut. Tidak kira sama ada FDI dan DDI, kedua-dua jenis pelaburan ini akan semakin berkurangan. Kerajaan yang campur tangan dan terlibat dalam urusan perniagaan syarikat swasta juga akan dilihat tidak properniagaan.

Oleh yang demikian, apabila keputusan atau perjanjian yang termeterai sebagaimana keputusan yang telah dibuat oleh ExxonMobil untuk menjual Esso Malaysia Bhd. kepada syarikat asing, banyak iktibar perlu dipelajari. Antaranya, sebelum sesebuah syarikat dijual kepada syarikat asing, syarikat tempatan perlu membuktikan kepada mana-mana syarikat induk (penjual) bahawa mereka adalah yang terbaik untuk menjadi pembeli kepada syarikat yang ingin dijual. Tentu sahaja, bagi mana-mana ahli perniagaan dan korporat, mereka akan memikirkan pilihan yang terbaik apabila sesuatu urus niaga bakal dilaksanakan. Hakikatnya Esso telah dijual kepada syarikat asing. Untuk mengambil alihnya semula, biarlah dengan transaksi perniagaan di kalangan sektor swasta tanpa adanya campur tangan kerajaan. Dengan menekan kerajaan untuk mencampuri urus niaga jual beli Esso, ia bakal memberi implikasi negatif ke atas ekonomi negara. Apabila kerajaan kelihatan mencampuri urus niaga jual beli Esso, ia seolah-olah boleh menggambarkan kerajaan bertindak terlalu mengawal sektor swasta. Imej Malaysia juga akan terjejas di mata pelabur. Walhal, peranan besar kerajaan adalah sebagai pemudah cara bisnes.

Beri ruang seluas-luasnya kepada tokoh-tokoh korporat dan profesional menjalankan tugas mereka dalam urusan perniagaan. Campur tangan kerajaan juga boleh dianggap bagi sesetengah pihak sebagai campur tangan politik. Pemudah cara di sini bermakna, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif kepada sektor ekonomi umpamanya galakan cukai. Malahan, suasana yang baik dalam ekonomi negara sejak kerajaan memperkenalkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam tempoh sebelas bulan lalu memberi kesan positif kepada FDI sehingga mencatatkan lonjakan 76 peratus kepada RM21.3 bilion bagi separuh pertama tahun ini berbanding hanya RM12.1 bilion untuk tempoh sama pada tahun lalu. Melalui suasana yang kondusif jugalah, Malaysia telah berada di tangga ke-21 berbanding di tangga ke-26 pada tahun lalu dalam Laporan Daya Saing Global. Ini menandakan Malaysia sentiasa menjadi destinasi pelaburan yang cukup menarik bagi syarikat asing. Buktinya, syarikat gergasi Jerman, Bosch dan syarikat pengeluar telefon bimbit pintar Blackberry, Research in Motion (RIM) telah memilih negara kita untuk membina kilang masing-masing.

Di sini, nampaklah bahawa keyakinan pelabur perlu "dijaga" rapi. Pandangan pelabur yang positif kepada suasana persekitaran perniagaan negara akan mengukuhkan lagi keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara. Apabila dikaji secara mendalam apa yang sedang berlaku kepada kuasa ekonomi dunia, Amerika Syarikat (AS), kini, adalah kerana krisis keyakinan yang membelenggu AS. Pada dasarnya, sejak krisis subprima 2007, kerajaan AS terlalu mencampuri urusan syarikat-syarikat AS dengan menyelamatkan (bail-out) syarikat-syarikat yang tenat. Campur tangan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada krisis keyakinan terhadap ekonomi AS, yang sebelum ini melaung-laungkan bahawa mereka mengamalkan pasaran bebas secara total. Sebenarnya, apa yang dikehendaki oleh pelabur dan ahli-ahli perniagaan ialah bantuan-bantuan signifikan daripada kerajaan yang berbentuk pemudah cara yang tidak melibatkan campur tangan dalam urusan perniagaan. Sebagai contoh, usaha kerajaan untuk mengadakan Karnival Usahawan Desa (KUD) bermula hari ini sehingga Ahad ini di Putrajaya merupakan satu bantuan yang berbentuk pemudah cara untuk memajukan usahawan desa.

Pengumuman penting akan dibuat oleh kerajaan di KUD nanti, yang mana penulis jangkakan ia merupakan pengumuman yang ditunggu-tunggu usahawan desa untuk memajukan lagi perniagaan mereka. Di sinilah peranan kerajaan bagi merangsang ekonomi desa. Dengan kata mudah, baik syarikat-syarikat besar, syarikat-syarikat bersaiz sederhana mahupun perusahaan desa, kerajaan berperanan sebagai pemudah cara untuk mempertingkatkan lagi aktiviti ekonomi pada tahap terbaik. Lebih-lebih lagi, fokus kerajaan kini lebih terarah untuk merancakkan ekonomi domestik dan ini merupakan berita baik kepada syarikat-syarikat tempatan. Peluang terbentang luas ini melalui bantuan kerajaan sebagai pemudah cara bisnes menjadikan Malaysia sebagai destinasi perniagaan yang cukup menarik bukan sahaja untuk syarikat asing tetapi juga untuk syarikat-syarikat tempatan. Kesan akhirnya, rakyat akan meraih keuntungan dalam tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
21 SEPTEMBER 2011