JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Ogos 2012

ISU SUKAN : BOLA SEPAK MALAYSIA PERLU PERUBAHAN

Rencana ini ditulis oleh :
MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK
Pensyarah sains politik di Pusat Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia.


Perjalanan pasukan bola sepak Malaysia masih jauh. Inilah hakikatnya, bukanlah kerana Malaysia tewas dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Manchester City, tetapi ia berdasarkan kepada prestasi keseluruhan pasukan bola sepak Malaysia. Pasukan senior 'Harimau Malaya' gagal dalam kelayakan Piala Dunia, sementara pasukan junior negara bawah pimpinan Ong Kim Swee pula gagal dalam kelayakan Olimpik dalam kelayakan Piala Remaja Asia di Myanmar baru-baru ini; manakala, pasukan bola sepak remaja Malaysia (sekiranya masih wujud) mungkin sedang 'bertatih' menuntut pelbagai jenis ilmu dan skil bermain bola sepak. Antara alasan yang selalu diberi apabila pasukan bola sepak Malaysia mencatat kekalahan sama ada dalam perlawanan rasmi ataupun persahabatan ialah 'nasib tidak menyebelahi kita', 'pasukan lawan lebih bernasib baik', dan kadang-kadang perlawanan membabitkan pasukan Malaysia seringkali dianggap sebagai 'perlawanan pemanas badan' bertujuan menguji semua pemain dalam skuad bola sepak tersebut sebelum menyertai sesuatu pertandingan antarabangsa. Persoalannya, sampai bilakah kita mesti disajikan dengan semua alasan sebegini?

Satu ketika dahulu, prestasi bola sepak Malaysia boleh dikatakan setanding dengan pasukan seperti Korea Selatan, Jepun, China dan beberapa negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait. Tetapi hari ini, semua pasukan tersebut sudah pun berjaya melayakkan diri ke kejohanan berprestij seperti Piala Dunia, Piala Asia dan Sukan Olimpik. Malaysia sebaliknya masih lagi ketinggalan dan terus berada di takuk lama. Apakah kita harus berasa bangga dengan pencapaian pasukan bola sepak Malaysia pada hari ini yang dahulunya pernah digeruni oleh banyak pasukan bola sepak di negara-negara Asia? Apakah kita patut bangga dengan keupayaan untuk mengekang pasukan Arsenal dengan jumlah jaringan satu gol kosong selama lebih 40 minit? Apakah kita boleh berbangga dengan beberapa 'komen positif' oleh pengurus dan jurulatih asing mengenai pemain Malaysia? Jika inilah yang kita agung-agungkan, tiada makna lagi sukan bola sepak di Malaysia. Bola sepak Malaysia mesti berubah untuk berjaya di peringkat antarabangsa. Perkara pertama yang mesti berubah dalam hal ini adalah persepsi kita mengenai sukan bola sepak itu sendiri. Persepsi kita, khasnya pihak pengurusan, pemain, serta mereka yang mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sukan bola sepak tidak pernah berubah.

Bola sepak di Malaysia selalu dianggap sebagai satu daripada aktiviti sukan semata-mata yang dilakukan untuk menyihatkan badan. Sementara penglibatan Malaysia dalam pertandingan bola sepak di peringkat antarabangsa serta perkembangannya di peringkat nasional mahupun negeri atau daerah adalah kerana ia telah menjadi satu budaya dan mengandungi elemen-elemen 'prestij' yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia sebagai sebuah negara anggota FIFA. Di sinilah silapnya. Bola sepak tidak seharusnya dianggap demikian. Ia bukannya semata-mata satu aktiviti sukan malah ia lebih daripada itu. Bolasepak sebenarnya adalah 'maruah negara'. Penglibatan negara-negara dunia dalam banyak pertandingan bola sepak antarabangsa anjuran FIFA seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik boleh diibaratkan sebagai 'peperangan' antara negara-negara bagi merebut 'mahkota' sebagai 'juara dunia'. Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila kita melihat negara-negara yang tersohor dalam sukan bola sepak seperti Brazil, Argentina, England, Jerman dan Itali bermatian-matian berjuang dalam banyak pertandingan antarabangsa.

Bola sepak juga boleh dilihat sebagai satu bentuk industri yang mampu menjana bukan sahaja keuntungan dari segi nilai imej dan prestij, tetapi juga nilai material dan ekonomi. Program bola sepak untuk satu jangka masa panjang boleh menghasilkan pemain-pemain muda yang berkaliber yang boleh 'dieksport' untuk bermain dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia seperti Manchester United, Real Madrid, Bayern Munich, dan lain-lain. Atau sekurang-kurangnya berpeluang bermain dengan kelab-kelab bola sepak profesional yang bertaburan di benua Eropah dan Amerika Latin. Selain daripada melatih bakat-bakat baru, pasukan bola sepak khasnya yang berstatus kelab boleh menjana sumber ekonomi menerusi promosi dan penjualan barang-barang merchandise berkaitan dengan pasukan atau kelab tersebut kepada para peminat dan orang ramai. Di negara-negara Barat, semua ini wujud dan berkembang dengan pesat sekali. Bola sepak di negara-negara Barat adalah satu bentuk industri yang berprestij dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Ia bukannya sukan untuk memanas badan semata-mata. Pemain bola sepak di negara-negara Barat bermain untuk 'hidup'. Bagi mereka, bola sepak adalah satu bentuk 'kerjaya profesional' yang mana sekiranya seseorang pemain itu bermain dengan bersungguh-sungguh, 'hasil lumayan' pasti menanti mereka.

Demikianlah berbezanya persepsi sukan bola sepak antara Malaysia dan negara-negara Barat. Maka tidak hairanlah kenapa pasukan bola sepak mereka mampu menyaingi dan menewaskan Malaysia walaupun terpaksa bermain dalam cuaca panas. Pun begitu, masih belum terlewat bagi Malaysia mengorak langkah baru ke hadapan bagi menghadapi persaingan bola sepak di peringkat serantau dan antarabangsa. Malaysia perlu merangka satu strategi dan program jangka panjang untuk membangunkan semula sukan bola sepak di negara ini. Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia mungkin boleh memperkenalkan satu idea baru dalam konteks pembangunan bola sepak Malaysia iaitu menjadikan semua pasukan dalam Liga Malaysia daripada berstatus negeri kepada status kelab. Sementara kelab-kelab bola sepak tempatan ini berkembang, persatuan bola sepak negeri pula boleh menjadi pentadbir sukan tersebut di negeri masing-masing sambil 'bernaung' di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia. Kelab-kelab bola sepak tersebut pula boleh menubuhkan syarikat bagi mengurus semua aktivitinya termasuklah penubuhan akademi bola sepak, kedai menjual merchandise untuk kelab, jualan tiket dan mungkin juga memiliki stesen radio atau televisyen sendiri untuk manfaat peminat dan penyokong.

Dalam hal ini, Jepun dan Korea Selatan boleh dijadikan contoh. Apabila liga-liga bola sepak di Jepun dan Korea Selatan dirombak secara menyeluruh, ia menjadi sebuah liga bola sepak yang benar-benar profesional sebagaimana di Barat. Kelab-kelab bola sepak di Jepun dan Korea Selatan ditukar kepada nama-nama yang unik dan komersial seperti Nagoya Grampus Eight, Yokohama Marinos, Albirex Niigata, Suwon Bluewings, Pohang Steelers, dan bermacam-macam lagi nama hebat. Seperkara lagi yang mesti diberi perhatian adalah aspek pengurusan bola sepak negara dan juga di negeri-negeri. Berilah tugas mengurus dan mentadbir sukan bola sepak ini kepada mereka yang 'ahli' dan tidak harus 'dipolitikkan'. Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia perlu kerap 'turun padang' ke segenap ceruk rantau di Malaysia untuk menjejaki dan mengenal pasti bakat-bakat baru yang boleh digilap dan diketengahkan sebagai 'bintang bola sepak negara'. Bola sepak bukanlah sekadar sukan semata-mata, ia lebih daripada itu. Bola sepak adalah industri dan maruah negara.

Sumber :
Utusan Malaysia
02 Ogos 2012