JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 September 2011

ISU PENDIDIKAN : TAK GELAP MASA DEPAN

Oleh Ruhaiza Rusmin dan Mohd Rifaat Abd Hamid

rencana@hmetro.com.my



Ketika ini, mahasiswa baru yang berjaya ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sudah memulakan pengajian dan mula menyesuaikan diri dengan kehidupan sebenar di menara gading. Bagaimana pula nasib pelajar mereka yang gagal memperoleh peluang itu? Lantaran mempunyai cita-cita dan impian serupa tapi gagal meneruskan perjuangan kerana keputusan kurang memberangsangkan atau tidak menepati syarat ditetapkan. Usaha dalam apa jua kejayaan, mestilah bermula dengan kesedaran, justeru tidak bermakna memasuki menara gading, masa depan sudah terjamin kerana persaingan globalisasi kini semakin hebat. Sekali gus terpaksa berputih mata melihat kejayaan rakan lain ke menara gading selain dibelenggu tanggapan masa depan mereka sudah berakhir.  Benarkah masa depan mereka sudah kecundang sebaik kerana gagal ke IPTA atau masih adakah lagi peluang bagi mengubah nasib? Benarkah mereka yang gagal memasuki IPTA dilabelkan golongan kelas kedua? Pengarah Pusat Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Salleh Ahmad Fadzillah, berkata tiada istilah gelap masa depan atau kelas kedua kepada golongan terbabit jika semangat pelajar berkenaan masih berkobar-kobar untuk menuntut ilmu.

Menurutnya, hanya yang mudah berputus asa, tidak berfikiran terbuka dan tidak mahu mengubah nasib berhak mendapat label berkenaan biarpun sedar peluang mengubahnya kepada kejayaan tetap ada. “Mengandaikan masa depan sudah punah hanya kerana tidak dapat memasuki IPTA atau bersama rakan lain di menara gading adalah andaian salah. Setiap orang ada peluang untuk berjaya jika mahu asalkan tidak terus berpeluk tubuh. “Malangnya, ramai yang kecundang dengan emosi, dibelenggu perasaan putus asa, kecewa selain terus meratapi kegagalan. Jika mereka bangkit, sudah pasti boleh berjaya sekali gus keluar daripada kekecewaan. “Jika orang yang pernah gagal berjaya melakukannya ia bukan sesuatu yang mustahil selain itu buktikan, golongan ini bukan kelas kedua,” katanya. Daripada 64,703 calon yang memohon hanya 41,267 berjaya memperoleh tempat dan ini bermakna pelajar yang gagal perlu mencari alternatif melanjutkan pelajaran. Meskipun sudah ada 20 IPTA namun jumlah itu masih tidak mampu menampung kemasukan saban tahun biar pun pada masa sama menggunakan sistem meritokrasi menggantikan kuota.

Menerusi sistem meritokrasi, hanya pelajar yang terbaik serta menepati syarat ditawarkan mengikuti pengajian iaitu mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum untuk menentukan nilai merit seseorang calon. Lantas menimbulkan polemik di kalangan masyarakat mengenai nasib mereka yang masih mencari tempat untuk melanjutkan pengajian selain tidak mampu untuk belajar di institusi swasta. Beliau berkata, mereka yang gagal tidak boleh mencipta alasan atau mempunyai pandangan skeptikal mengenai institusi selain hanya memilih IPTA sebagai sandaran masa depan. “Itu perlu diperbetulkan kerana bukan hanya IPTA pilihan untuk berjaya.  “Banyak lagi institusi lain disediakan bagi menampung pertambahan golongan pelajar selepas tamat peperiksaan utama. “Jangan terlalu taksub atau memilih sebaliknya perlu bijak merancang masa depan. Kejayaan bukan hanya bersandarkan sekeping ijazah atau IPTA  tetapi keinginan sendiri untuk berjaya. “Bagaimanapun, itulah sikap sebahagian besar pelajar hingga akhirnya rugi kerana banyak memberi alasan menyebabkan peluang di depan mata terbuang atau dikaut orang lain,” katanya mengakui kebanyakannya juga dihantui tanggapan institusi pendidikan lain selain IPTA tidak mampu melahirkan golongan
berjaya.

Beliau berkata itulah kesilapan terbesar kerana mensia-siakan masa depan hanya kerana terpengaruh tanggapan salah. Sama ada IPTA, institusi tempatan ataupun pilihan lain, jika mampu membawa perubahan yang baik ia sesuatu yang sangat berguna. “Zaman ini semuanya mempunyai peluang sama rata. membezakannya adalah kerja keras dan kehendak serta tidak bermakna apabila memasuki IPT, seseorang itu berjaya sebagai manusia. “Ada yang kecundang kerana tidak beringat. Pilihan terletak di tangan masing-masing kerana diri sendiri bakal menentukannya, bukan orang lain,” katanya. Antara pilihan untuk melanjutkan pengajian beliau mencadangkan Institut Kemahiran Mara, Institut Latihan Perindustrian, Maktab Perguruan, Kolej Bersekutu dan Komuniti selain memasuki alam pekerjaan. “Bagi memilih alam kerjaya, itu bukanlah penamat kerana boleh belajar sambil bekerja. Sistem pendidikan masa kini sangat mudah dan terbuka, justeru tidak perlu susah hati. “Melanjutkan pelajaran ke institusi swasta juga tidak menjatuhkan standard malah ada di antaranya lebih ke hadapan berbanding IPTA. Jika kewangan menjadi masalahnya, banyak badan boleh membantu, antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Justeru, di manakah alasan relevan, tidak berjaya ke universiti bererti sudah gelap masa depan? Kegagalan sebenar hanya akan berlaku jika kita asyik berpeluk tubuh dan bertindak menyalahkan diri sendiri,” katanya.  Pada masa sama, beliau berharap pelajar yang berjaya memasuki IPTA supaya menggunakan peluang diberikan dengan baik untuk menggenggam ijazah. “Mereka sudah terpilih dan perlu bijak menetapkan matlamat. Jadikan kegagalan rakan lain memasuki IPTA sebagai iktibar selain perlu beringat berada di menara gading bukan jaminan berjaya pada masa depan. “Persaingan globalisasi hari ini amat sengit. Tanpa mengira latar belakang, hanya mereka yang berusaha keras saja berjaya, justeru jangan rendah diri andai kata tidak mendapat tempat. “Kejayaan ada di mana-mana asalkan ada usaha dan kehendak, semua halangan boleh diharungi serta menjadi penawar kegagalan, “katanya.

SUMBER
HARIAN METRO
27 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : POLIS LEBIH STRES BERBANDING GURU.


Lambakan beban kerja dan kerap mendapat tugasan di luar waktu pejabat atau on call menyebabkan ramai anggota polis mengalami tekanan atau stres, berbanding penjawat awam di sektor lain, iaitu doktor, jururawat, guru serta bomba.Lambakan beban kerja termasuk kerja lebih masa yang perlu mereka lakukan kerana menyertai pelbagai operasi dan serbuan yang kebiasaannya dilakukan di luar waktu pejabat, iaitu antara jam 5 petang sehingga 6 pagi. Hasil kaji selidik Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) juga mendapati responden merasai tekanan apabila dihantar ke sesuatu lokasi untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman serta menyertai pasukan pengaman di luar negara atau sering diarahkan bertugas ketika cuti umum, termasuk musim perayaan. Kajian pada tahun 2007 hingga 2009 itu mendapati 53.7 peratus daripada 453 sampel kajian di enam balai polis di Wilayah Persekutuan, dipercayai mengalami stres di tempat kerja. Angka itu menunjukkan polis berada di kedudukan teratas mengatasi enam organisasi lain, iaitu bomba (47.3 peratus), guru (45.8 peratus), jururawat (42.3 peratus) serta doktor (40.7 peratus).

Hasil kajian juga menunjukkan 61.1 peratus anggota polis berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota pangkat rendah, iaitu koperal dan konstabel dengan peratusan masing-masing 56 peratus dan 51.3 peratus. Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar yang juga penganalisis jenayah, berkata stres yang dihadapi anggota polis berpunca daripada tiga sebab utama, iaitu profesion kepolisan, peraturan atau polisi dalam organisasi serta masalah individu. Bekerja tanpa ketentuan masa atau 24 jam sehari dengan panggilan on call pada bila-bila masa, selain perlu mengikut arahan pegawai lebih tinggi boleh mengganggu kesihatan dan kehidupan anggota polis. Malah, sesetengah kes yang disiasat seperti kes bunuh atau yang membabitkan golongan berpengaruh ada kalanya memberikan tekanan terutama tahap kerisauan yang harus diterima serta risiko ancaman terhadap diri dan keluarga, katanya.  Akhbar berkata, anggota polis yang mengalami stres boleh menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan mengakibatkan banyak perkara tidak diingini berlaku, termasuk pembunuhan sesama rakan atau bunuh diri serta salah guna kuasa sehingga menyebabkan nyawa orang lain terancam.

Malah, dikhuatiri, jika tahap tekanan yang dihadapi begitu kritikal, senjata yang dimiliki digunakan sebagai alat untuk melakukan ugutan atau sebarang aktiviti jenayah termasuk rasuah, katanya. Namun, katanya, stres dalam kerjaya kepolisan juga boleh berlaku kerana mereka sering dilabel sebagai perasuah dan prasangka negatif masyarakat terhadap mereka. Sedangkan mereka menjalankan tugas, tetapi tuduhan sesetengah pihak kononnya pasukan polis korup sama sekali tidak berasas kerana jumlah yang terbabit adalah kecil. Di Malaysia, masyarakat jarang memuji polis, sedangkan merekalah yang menjaga keselamatan sehingga kita selesa untuk bergerak ke mana-mana. Jika dibandingkan di Amerika Syarikat, ia tidak sama seperti apa pasukan polis kita nikmati di negara ini. Walaupun tidak dinafikan masih ada jenayah kecil berlaku di negara ini, keseluruhannya masih terkawal, mungkin disebabkan banyak rondaan polis di kebanyakan lokasi, termasuk yang menjadi tumpuan penjenayah, katanya yang pernah menginap dua tahun di Detroid, Amerika Syarikat, iaitu bandar yang mempunyai kadar jenayah tertinggi di negara itu.

SUMBER
BERITA HARIAN
27 SEPTEMBER 2011