Jurulatih Utama Bahasa Melayu BM STPM Malaysia
Fotokopi merupakan proses membuat
salinan foto, bahan-bahan bertulis atau kerja-kerja grafik dengan menggunakan
mesin zeroks. Sejarah fotokopi ini bermula sejak sekian lama di dunia ini.
Senario fotokopi ini memang meluas terutama di sekolah, kolej, dan universiti.
Buku-buku rujukan ilmiah telah difotokopi dalam puluhan naskah untuk kegunaan
para pelajar. Alasannya, fotokopi ini lebih mudah, murah, dan menjimatkan masa.
Bayangkan buku yang setebal 200 halaman, yang dijual dengan harga RM30.00,
setelah difotokopi kosnya tidak sampai RM10.00. Ini amat menguntungkan. Bagi
mereka yang berniaga, mereka hanya memerlukan sebuah buku yang orginal dan
membuat salinan fotokopi sehingga 100 salinan. Jika setiap salinan fotokopi itu
dia untuk RM3.00 maka bagi sebuah buku dia boleh mengaut untung sebanyak
RM300.00. Fotokopi menguntungkan pelanggan dan peniaga. Alangkah bertuahnya
hidup mereka. Mereka meraih untung atas susah payah dan pengorbanan orang lain. Orang lain berhuma, berpanas, dan berhujan manakala mereka cuma datang mengambil beras untuk dimasak dan dimakan tanpa mengucapkan "Terima Kasih". Mudah hai mudah.
PENGALAMAN YANG MEMILUKAN
Saya pernah berhadapan dengan manusia
yang suka melakukan fotokopi ini. Saya sendiri menjadi saksi kepada Modul
Bahasa Melayu STPM yang saya tulis dan difotokopi oleh seorang guru untuk
kegunaan pelajar-pelajarnya. Modul itu mengandungi 100 buah karangan yang saya
tulis dengan memerah otak siang dan malam semata-mata untuk membantu para guru
dan pelajar yang masih tercari-cari teknik menulis karangan STPM yang betul.
Dengan segala pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, saya berusaha membuat
modul yang khusus untuk membantu mereka. Saya sebarkan modul itu untuk semua
secara percuma tanpa mengenakan bayaran walau satu sen pun. Pada suatu hari,
mungkin Tuhan hendak tunjukkan sesuatu yang salah berlaku di depan mata saya.
Semasa singgah di sebuah kedai fotostat, saya melihat modul saya itu sedang difotokopi oleh seorang pekerja
manakala seorang lagi pekerja sedang membuat binding kepada beberapa modul yang
telah siap di fotokopi. Saya yang pura-pura tidak mengetahui minta untuk
membeli sebuah. Tauke kedai itu menyatakan bahawa harga modul itu ialah
sebanyak RM15.00. Saya tanya, siapakah penulisnya? Tauke itu sebut penulisnya
merupakan seorang guru yang tekenal dan pandai bahasa Melayu. Nasib baik bukan
nama saya yang disebut tetapi nama guru lain yang saya kenal. Saya bukanlah
guru pandai bahasa Melayu seperti guru itu. Betapa hancurnya hati kita apabila
berhadapan dengan situasi seperti ini. Niat kita ikhlas untuk membantu tetapi
orang yang dibantu pula sewenang-wenangnya mencari duit dengan bahan yang kita
bagi. Dia tidak perlu bersusah payah menulis. Dia hanya perlu padamkan nama
kita dan gantikan nama kita dengan nama dia tanpa rasa bersalah.
Jurulatih Utama Bahasa Melayu Malaysia - Wanita
Pada tahun 2013, saya dijemput untuk
menyampaikan ceramah Bahasa Melayu STPM di sebuah sekolah. (Nama sekolah dan
lokasi sekolah biarlah rahsia) Semasa saya menyampaikan ceramah saya amat
terkejut apabila pelajar-pelajar yang berada di hadapan saya semua mengeluarkan
buku yang difotokopi. Buku itu pula merupakan buku yang ditulis oleh saya dan
rakan-rakan saya. Pelajar-pelajar ini, tanpa rasa bersalah merujuk buku-buku
fotokopi itu apabila saya mengaitkan isi ceramah dengan perkara yang ada dalam
buku itu. Saya mahu berhenti daripada memberikan ceramah tetapi disebabkan rasa
minat untuk membantu dan menolong saya teruskan juga sehingga ke penghujung.
Saya cuba bertenang dan memohon diri supaya tidak memarahi sesiapa pada masa
itu. Mereka tidak pernah memikirkan tentang susah payah kami menulis buku. Kami
membuat pelbagai rujukan dan mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk mengadakan
sesi panel dan membayar kos cetakan buku yang kami hasilkan. Niat kami menulis
cuma untuk membantu para guru dan pelajar di seluruh Negara demi meningkatkan
pencapaian mereka dalam peperiksaan STPM Penggal 1, 2, dan 3. Kami tidak
mengimpikan keuntungan berjuta-juta. Cukuplah hanya keuntungan yang sedikit
untuk membolehkan kami menerbitkan buku lain pula suatu masa nanti.
Terlalu banyak kisah sedih yang
tersembunyi di sebalik keghairahan orang yang suka melakukan fotokopi. Saya
gelarkan golongan ini sebagai perompak hak intelek orang lain tanpa sekelumit
pun rasa bersalah dalam diri mereka. Mereka mencari kesenangan dan menjana
keuntungan melalui hasil karya dan susah payah orang lain. Mereka tidak
menghargai perasaan orang lain. Mereka hanya mementingkan diri sendiri. Yang
penting bagi mereka ialah dapat duit untuk menyara hidup tanpa memperdulikan
rezeki itu halal atau tidak. Sememangnya bagi golongan ini hidup amat
mudah. Semudah memfotokopi! Beli sebuah buku, mereka mampu memfotokopi
berpuluh-puluh buku, mereka pun boleh menjana keuntungan beribu-ribu.
DOSA TANGGUNG SENDIRI
Semua agama di dunia ini menekankan
konsep halal dan haram bagi setiap rezeki yang kita peroleh saban hari. Orang
yang melakukan fotokopi tanpa kebenaran daripada penulis buku atau modul yang
sebenar, perbuatan itu adalah haram. Apatah lagi kalau orang tersebut tidak
menghalalkan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu. Kita harus ingat hati
mana yang tidak terluka, jiwa mana yang mampu bersabar, naluri mana yang sudi
merelakan apabila melihat hasil titik peluh sendiri difotokopi tanpa memohon
keizinan. Mereka mungkin tersenyum di hadapan kita kerana mereka merupakan
golongan professional dan berakal. Akan tetapi, jauh di sudut hati mereka
mungkin mendoakan agar perbuatan kita itu diberikan pembalasan yang sewajarnya.
Walau bagaimanapun, saya tidaklah beranggapan semua penulis buku akan berlaku
kejam sebegitu. Mereka tidak akan mendoakan yang buruk-buruk kepada pesalah
fotokopi ini. Saya sendiri selalu memanjatkan doa kepada Allah Yang Maha Esa
agar golongan yang suka melakukan fotokopi ini diberikan sinar keinsafan dan
keampunan agar mereka tidak mengulangi perbuatan itu lagi. Saya tidak menyimpan
dendam namun di sudut hati yang terluka saya amat berharap agar mereka sedar akan
kesalahan diri kerana perbuatan fotokopi ini boleh menutup pintu hati untuk
seseorang menulis lagi. Kenapakah kita perlu melakukan fotokopi jika kita tahu
perbuatan itu merupakan satu dosa besar? Jika ditangkap mungkin kita boleh
dikenakan tindakan mahkamah. Perbuatan yang salah memang salah dan hukuman akan
dikenakan terhadap kita. Itu hukuman yang kita terima di dunia. Bagaimanakah
dengan hukuman di akhirat pula? Adakah kita akan terlepas? Tepuk dada tanyalah
selera. Perbuatan kita melakukan fotokopi tanpa kebenaran memang salah di sisi
agama. Dalam agama kita tidak dibenarkan mengambil hak cipta orang lain tanpa
kebenaran. Perkara yang salah, jika kita lakukan juga maka di akhirat nanti
kita akan diadili atas setiap perbuatan yang kita lakukan itu.
"Kenapa apabila kita membaca sebuah buku yang kita fotokopi kita gagal mengingat segala fakta yang dibaca? Ada ketikanya kita telah hadam ilmu itu tetapi apabila berhadapan dengan soalan dalam peperiksaan kita tidak ingat jawapannya? Mungkin inilah bahana yang diterima apabila kita melakukan fotokopi"
"Kenapa apabila kita membaca sebuah buku yang kita fotokopi kita gagal mengingat segala fakta yang dibaca? Ada ketikanya kita telah hadam ilmu itu tetapi apabila berhadapan dengan soalan dalam peperiksaan kita tidak ingat jawapannya? Mungkin inilah bahana yang diterima apabila kita melakukan fotokopi"
TIDAK MAMPU MEMBELI BUKU?
Apabila melihat penampilan kita yang
mewah dan bergaya, ada rumah besar, kereta besar, telefon pintar jenama
terkenal sentiasa di tangan, tetapi sebuah buku yang berharga RM10 hingga RM30
pun kita tidak mampu beli, itu ‘pelik bin ajaib’. Bagi golongan pelajar juga,
pendapatan ibu bapa melebihi RM3000.00 dan semua kelengkapan di bawa ke sekolah
mahal-mahal belaka, tetapi apabila disuruh membeli buku, alasannya “Saya tiada
duit, Cikgu”. Ini merupakan suatu pembohongan yang tidak boleh dimaafkan.
Sebenarnya, fotokopi ini sudah menjadi suatu budaya yang dilakukan oleh semua
pihak yang terlibat. Soal mampu atau tidak mampu itu bukan persoalan tetapi
apabila perkara yang salah itu telah sebati dalam diri kita, maka kita akan
melakukannya tanpa rasa bersalah. Perkara ini merupakan suatu bencana yang
direlakan apatah lagi apabila guru-guru pula mencadangkan dan menguruskan
urusan fotokopi ini. Sukar untuk menjawab sama ada perbuatan fotokopi ini lebih
mudah atau membeli buku itu lebih mudah? Yang saya tahu, orang yang tergamak
melakukan fotokopi ini merupakan golongan yang ketagih untuk melakukan
fotokopi. Soal mampu atau tidak mampu itu bukan perkara utama yang difikirkan.
Jurulatih Utama Bahasa Melayu dari Perlis hingga ke Sabah
Bagi golongan pelajar pula, apabila
yang tua meminta supaya melakukan fotokopi mereka memang suka kerana boleh
menjimatkan wang belanja untuk membeli kad prabayar Internet. Mereka meminta
duit sebanyak RM30.00 daripada ibu bapa untuk membeli buku tetapi apabila
datang di sekolah, mereka cuma membayar RM10.00 sahaja manakala RM20.00 lagi
boleh dibelanjakan untuk tujuan lain. Kebanyakan ibu bapa mudah untuk
memberikan wang jika alasannya untuk membeli buku tetapi mereka akan marah jika
anak minta wang untuk membeli barang-barang yang tidak bersangkutan dengan
pelajaran. Pelajar-pelajar yang fotokopi ini tidak sedar mereka telah melakukan
dua dosa besar iaitu, membohongi ibu bapa mereka dan merompak hak cipta orang
lain. Saya tidak menafikan memang ada pelajar yang tidak mampu membeli buku
tetapi bukan semua. Yang tidak mampu ini bolehlah memikirkan cara lain untuk
mendapatkan buku tersebut. Namun begitu, para guru diingatkan supaya jangan
mengarahkan semua pelajar untuk tidak membeli buku dan membuat salinan
fotokopi.
“JOM CEGAH, JOM UBAH”
Perkara yang tidak elok apabila
dibudayakan akan membawa pelbagai malapetaka pada masa hadapan. Isu fotokopi
ini tidak akan habis sekiranya semua pihak tidak menanamkan kesedaran dalam
diri masing-masing untuk mencegah dan mengelakkan diri daripada melakukannya.
Ibu bapa harus menyediakan wang yang mencukupi untuk membeli segala keperluan
persekolahan anak-anak di sekolah. Guru-guru pula harus menyampaikan maklumat
yang betul kepada pelajar. Fotokopi merupakan suatu perubatan yang salah. Jadi,
tidak molek sekiranya kita mengajar perkara yang salah itu berulang-ulang kali
kepada pelajar-pelajar kita. Bagi golongan pelajar pula, perbuatan fotokopi ini
boleh menjadi suatu budaya yang tidak elok. Jika kita lakukannya terhadap orang
lain pada hari ini, tidak mustahil kita sendiri akan menghadapi situasi
tersebut, kalau bukan kita, perkara itu akan berlaku terhadap anak cucu kita
pula. Itulah namanya kehidupan!
Ceramah Bahasa Melayu STPM Penggal 3 di Mini Putrajaya Kota Kinabalu
Yang cantik itu namanya Cikgu Lily
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak