JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 November 2010

STPM 2007 SIRI 4

AYAT PASIF

01. Buku adik Fauzi belum lagi berbalut.
02. Pemburu itu tertembak oleh rakannya.

SUBJEK AYAT

Ayat
Dua deret kedai di pekan itu terbakar petang semalam

01. Subjek ayat ialah kedai

* Subjek ayat mesti kata nama.

FRASA KERJA DENGAN PELENGKAP

Maknanya : Tidak boleh berdiri sendiri

01. Ibu tua  itu masih berada di hospital.

* Kata kerja ialah berada (tidak boleh berdiri sendiri)

FRASA KERJA TANPA PELENGKAP

Maknanya : Boleh berdiri sendiri

01. Ayah masih belum pulang dari luar negeri.
02. Anak kecilnya sedang tidur di dalam buaian.
03. Pakar motivasi itu baru bertolak ke Langkawi.

AYAT DASAR

01. Terdiri daripada satu klausa
02. Terdiri daripada ayat penyata

AYAT YANG TIDAK BOLEH DIPASIFKAN

01. Motorbot itu meluncur laju ke selatan.

AYAT YANG BOLEH DIPASIFKAN

01. Perahu nelayan menghampiri pulau kecil itu.
02. Encik Majid menghadiahi Salim sebuah basikal.
03. Penari-penari itu mempersembahkan tarian tradisional kepada pelancong.

KATA KERJA TAK TRANSITIF DENGAN PELENGKAP KATA ADJEKTIF

Ayat
Setelah menjalani pembedahan itu, keadaan Sofia bertambah baik.

01. Kata kerja tak transitif = bertambah
02. Kata adjektif = baik

AYAT AKTIF TAK TRANSITIF YANG KETERANGAN TIDAK BOLEH DIGUGURKAN

01. Ibu saudara Hamka tinggal di Pulau Perhentian.
02. Ayah mentua Abdul Jabar berada di luar negeri.

AYAT YANG MENGALAMI PROSES PENGGUGURAN

Ayat 
Lamin akan berjaya sekiranya dibantu.

Keterangan
Ayat 1 : Lamin akan berjaya.
Ayat 2 : Lamin perlu dibantu.
Pengguguran : Subjek dan kata bantu.

Ayat
Mereka yakin akan memperoleh kejayaan yang cemerlang.

Keterangan
Ayat 1 : Mereka yakin akan memperoleh kejayaan.
Ayat 2 : Mereka yakin akan memperoleh kejayaan cemerlang.
Pengguguran : Subjek

AYAT YANG MENGANDUNGI DUA OBJEK

Ayat
Rahim membelikannya kereta terpakai.

Keterangan
Objek Tepat : nya
Objek Sipi : kereta terpakai

BINAAN AYAT

Ayat
Pokok bunga belum bersiram sejak semalam.

Keterangan
01. Subjek : Pokok bunga
02. Predikat : belum bersiram
03. Keterangan : sejak semalam

PERIBAHASA

01. Pepatah = Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
02. Perbilangan = Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat.

HOMOGRAF

01. "Tolong semak kertas kerjanya, kemudian hantar kertas kerja itu kepada Puan Rosni.
02. Kawasan sekeliling rumah peninggalan neneknya menjadi semak kerana sudah hampir satu tahun tidak dibersihkannya.

Keterangan
Kata semak ialah homograf

= ejaan sama
= bunyi lain
= makna lain

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN HOLISTIK


Pelaksanaan pendidikan secara holistik perlu bermula di peringkat awal membabitkan penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat sebagai usaha memastikan generasi muda memperoleh manfaat sepenuhnya. Ini kerana pendidikan holistik atau menyeluruh bukan menekankan kecemerlangan akademik semata-mata tetapi membabitkan perkembangan dan peningkatan potensi lain dalam diri setiap pelajar.


Pendidikan holistik sebenarnya membabitkan pelbagai aspek seperti proses pembelajaran, cara berfikir, kemahiran berkomunikasi, proses pengajaran lebih menarik seperti menerusi permainan dan pengendalian aktiviti luar, disiplin diri, keyakinan diri, tanggungjawab, pemikiran kreatif dan kebolehan menyelesaikan masalah. Setiap kanak-kanak mempunyai keunikan masing-masing dan berpotensi. Mereka perlu diasah serta dibangunkan kerana sebahagian besar kanak-kanak negara ini tiada keyakinan melahirkan pendapat. Justeru, mereka perlu diasuh supaya berani membuat keputusan, mengeluarkan pandangan serta mengesan kekuatan dan kelemahan agar tidak tersilap membuat pilihan terutama membabitkan bidang pengajian pada peringkat institusi pengajian tinggi kelak. Sistem pendidikan di negara ini adalah berasaskan peperiksaan dan banyak yang perlu diperbaiki. Pada situasi sekarang, pelajar diarahkan mendengar penerangan guru dalam kelas, bukan bertanya apabila tidak faham.

Keadaan ini menyebabkan pelajar berasakan bertanya soalan adalah satu kesalahan dan mereka cuma perlu mendengar, mengumpul seberapa banyak pengetahuan termasuk menunggu maklumat. Apabila berada di institusi pengajian tinggi, mereka terpaksa bekerja keras mencari maklumat sendiri, tanpa bantuan guru. Justeru, sebahagian besar pelajar tidak mampu berdikari dan akhirnya menemui kegagalan. Generasi muda bukan sekadar cemerlang dalam akademik sebaliknya disokong kemahiran berkomunikasi, kreatif, kebolehan berfikir, keupayaan menyelesaikan masalah dan cara belajar yang betul adalah penting untuk berjaya. Justeru, hanya pelaksanaan pendidikan holistik pada peringkat awal mampu melahirkan generasi muda serba boleh dan membantu perkembangan keseluruhan pelajar dalam pelbagai aspek dan bukan sekadar kecemerlangan akademik. Untuk mengubah sistem pendidikan sedia ada kepada pendidikan holistik, metodologi pengajaran sangat penting dan guru perlu dilatih melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran membabitkan penyertaan pelajar secara aktif, bukan sekadar pendengar dan menghafal apa yang diajar.

Cara pembelajaran setiap individu adalah berbeza jadi metodologi pengajaran juga perlu sesuai dengan keupayaan setiap individu bagi membantu mereka memperoleh pencapaian tertinggi. Selain itu, sektor pekerjaan juga memerlukan warga mahir yang bukan saja memiliki pengetahuan tetapi individu bersifat holistik yang mampu menyelesaikan permasalahan selain boleh berinteraksi dengan baik dan bekerjasama dalam satu kumpulan. Secara keseluruhannya, pendidikan holistik yang dilaksanakan secara bersepadu membantu negara melahirkan golongan yang bukan terpelajar, tetapi juga mempunyai pakej lengkap sekali gus penyumbang ke arah pembangunan negara

ISU SOSIAL : PELAJAR PERLU BIJAK PILIH RAKAN ELAK TERJEBAK JENAYAH


Pembangunan modal insan yang dihasratkan kerajaan bermula sejak alam persekolahan. Ia termasuk usaha membentuk peribadi mulia dalam kalangan murid yang mana semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing sama ada pada peringkat sekolah, ibu bapa serta pihak lain yang berkepentingan. Negara kita sedang menghadapi pelbagai masalah sosial contohnya seperti ancaman dadah yang serius seperti salah laku juvana, jenayah pembuangan bayi dan keganasan terhadap kanak-kanak. 


Semua ini petanda penurunan nilai murni yang jika tidak diatasi dengan berkesan akan menggugat aspirasi kita dalam menjadikan Malaysia negara maju. Dunia kini dibelenggu fenomena sangat membimbangkan. Di mana juga langkah pemodenan dan pembangunan ekonomi dilakukan yang seterusnya menghasilkan taraf kehidupan lebih baik, di situlah munculnya masalah sosial baru. Kita bukan saja perlu menangani masalah sosial dan cabaran ekonomi, tetapi juga isu lain lebih penting seperti integrasi kaum dan perpaduan. Apa yang membimbangkan ialah hampir tiada hari berlalu tanpa laporan mengenai masalah sosial dan jenayah. Kita perlu menyiasat punca berlaku jenayah ini dan mencari jalan penyelesaian. Sekiranya peningkatan kadar jenayah adalah berkaitan hasil pembangunan negara, maka aspek negatif pembangunan itu harus ditangani. Baru-baru ini, masyarakat di seluruh negara didedahkan dengan pelbagai perbuatan jenayah dan salah laku pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sejak Januari hingga Jun tahun ini, 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar sekolah di seluruh negara terbabit dalam lapan kategori kes disiplin ditakrifkan oleh Kementerian Pelajaran. Lapan kategori ialah salah laku berunsur jenayah, berunsur kelucahan, kurang sopan, laku musnah, kekemasan diri, ponteng sekolah, kenakalan dan tidak pentingkan masa. Salah laku mereka membabitkan berunsur jenayah (0.22 peratus), berunsur kelucahan (0.03 peratus), kurang sopan (0.19 peratus), laku musnah (0.06 peratus), kekemasan diri (0.2 peratus), ponteng sekolah (0.22 peratus), kenakalan (0.12 peratus) dan tidak pentingkan masa (0.23 peratus). Perlakuan jenayah pelajar ini berbentuk perbuatan mencuri, merosakkan harta benda sekolah, bergaduh, membuli, mencederakan murid lain, dan memeras ugut untuk mendapatkan wang.

Pembabitan murid sekolah dalam kegiatan salah laku disiplin adalah perbuatan yang perlu dilihat secara serius semua pihak, khususnya pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Gejala itu boleh memberikan impak negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani segera dan berkesan pada peringkat awal. Sekolah sepatutnya mempunyai persekitaran kondusif dan selamat agar setiap murid dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran mereka. Pendedahan media sejak akhir-akhir ini mengenai kegiatan negatif pelajar telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat umum dan memerlukan penyelesaian. Ada beberapa faktor menyebabkan masalah itu iaitu kemerosotan moral dan akhlak akibat daripada kesan kekurangan pengawasan, proses pemodenan, pembangunan negara dan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), keruntuhan institusi kekeluargaan untuk memainkan peranannya sebagai institusi pembentukan insan yang positif dan produktif.

Masalah lain ialah krisis rumah tangga yang dihadapi remaja sekolah dan pengaruh negatif rakan sebaya. Kemajuan sains dan teknologi sekarang begitu canggih, dengan adanya internet, televisyen satelit serta lebuh raya maklumat, kanak-kanak dan remaja mudah terdedah kepada pelbagai maklumat dan perhubungan berunsur positif atau negatif. Maklumat dan perhubungan negatif boleh mempengaruhi serta membawa kepada keruntuhan moral di kalangan remaja. Oleh demikian, remaja perlulah sentiasa berwaspada dan berusaha mempertingkatkan ketahanan diri seterusnya mengetepikan budaya negatif daripada mempengaruhi mereka. Pelajar jangan sekali-kali terbabit dengan apa juga perlakuan jenayah. Pelajar hendaklah sedar bahawa kesan dan implikasi perlakuan jenayah boleh menjejaskan masa depan mereka.

Pada usia remaja, remaja lebih rapat dengan rakan-rakan sebaya. Sikap pembawaan dan penampilan rakan sebaya banyak mempengaruhi tingkah laku seseorang remaja. Sering kali seseorang remaja terpaksa melakukan perbuatan tidak sihat seperti merokok untuk membolehkan ia diterima sebagai ahli kumpulan rakan sebayanya itu. Pelajar harus lebih berhati-hati memilih rakan. Jangan tersalah pilih rakan yang kelak menjerumuskan diri kepada jenayah. Rakan yang baik akan membantu anda menjadi insan baik dan berguna. Janganlah bersahabat dengan rakan yang seperti kata pepatah ‘sokong membawa rebah’. Pelajar juga perlu memainkan peranan berkesan membantu polis mencegah jenayah. Caranya tidak sukar, iaitu tidak terbabit dan tidak melakukan jenayah. Pelajar boleh bertindak mengawasi anasir dari luar dan rakan sekolah yang cuba melakukan perbuatan jenayah, membuli rakan, penyalahgunaan dadah dan salah laku jenayah.

Pelajar adalah aset berharga kepada negara kerana mereka jugalah yang akan menentukan corak kehidupan kepemimpinan pada masa depan. Pelajar harus sedar di samping belajar dan mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, mereka juga perlu bertanggungjawab kepada diri sendiri, ibu bapa, sekolah, masyarakat, negara dan seterusnya kepada harta benda awam. Kerajaan dan organisasi bukan kerajaan serta masyarakat secara keseluruhannya perlu mewujudkan suatu program pemupukan nilai murni untuk negara bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai kemanusiaan dan murni dalam masyarakat kita. Demi untuk masa depan generasi akan datang, rakyat Malaysia mesti mendukung nilai murni dengan teguh dan padu serta tidak meneladani budaya barat secara membuta tuli. Institusi kekeluargaan dan nilai murni perlu dipelihara dan dipupuk supaya dapat digunakan sebagai pendekatan berkesan menangani pelbagai masalah sosial yang mengancam masyarakat kini.

Apabila sekolah dibelenggu oleh peningkatan kadar kejadian melanggar disiplin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan lebih perhatian terhadap pentingnya kita kembali kepada prinsip asal mengenai amalan nilai murni dan kemanusiaan. Kita perlu mendidik anak dan memastikan supaya mereka menghargai nilai murni seperti sifat persefahaman, hormat-menghormati antara satu sama lain, kepatuhan kepada undang-undang, keyakinan diri dan sifat keterbukaan terhadap perbezaan agama, kepercayaan, adat dan budaya. Pelajar perlu membuat pilihan betul dalam hidup untuk menghindari daripada terjerumus ke kancah jenayah seperti dadah, lumba haram, pergaulan bebas dan jenayah. Pilihan hari ini akan menentukan hala tuju kita esok. Jika kita membuat pilihan yang baik, hasilnya baik dan produktif, tetapi apabila kita salah membuat pilihan, kemungkinan yang berlaku mungkin amat buruk sehingga merosakkan diri sendiri dan masa depan kita.

Tidak ada satu manusia di muka bumi ini yang bercita-cita menjadi penjenayah, malah semua bercita-cita ingin menjadi seseorang yang berguna kepada dirinya dan masyarakat. Namun, apabila kita tersalah pilih dalam perjalanan hidup kita, akibatnya amatlah buruk seperti menjadi penjenayah kerana mencari jalan mudah untuk hidup tanpa menghiraukan undang-undang dan peraturan. Pilihan menagih dadah akan merosakkan minda dan kesihatan badan yang akan mendedahkan kita kepada gejala penyakit seperti AIDS. Pilihan salah dalam hidup boleh mengakibatkan masa depan menjadi kelam dan kabur. Kita akan disisih masyarakat dan keluarga akibat salah pilih. Apabila kita salah pilih kita akan dicap sebagai sampah masyarakat dan perosak bangsa dan negara. Kita perlu memilih kecemerlangan dalam semua bidang yang di ceburi seperti bidang sukan, kerjaya dan kemasyarakatan. Kita hendaklah pilih perkara yang membawa kebaikan kepada diri kita, keluarga dan negara.  
 
Oleh Lee lam Thye 
Naib Pengerusi 
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia.
 
Berita Harian
08 November 2010

STPM 2007 SIRI 3

PENGGUNAAN KATA ADJEKTIF YANG BETUL

01. Perahu itu hanyut dibawa arus yang deras.
02. Suara penyanyi utama kumpulan nasyid itu sungguh merdu.
03. Gol itu dijaringkan melalui tendangan kencang penyerang pasukan itu.

PENGGUNAAN KATA SENDI NAMA YANG BETUL

01. Awak terima surat itu daripada siapa?
02. Kedai itu disewanya sejak dahulu lagi.
03. Kempen itu dijalankan dari rumah ke rumah.
04. Kepada siapakah anak-anak yatim itu akan mengadu nasib?

PENGGUNAAN KATA "DI ANTARA" YANG BETUL

01. Jarak di antara rumahnya dengan sekolah hanya sepelaung.

PENGGUNAAN KATA "ANTARA" YANG BETUL

01. Antara dia dengan adiknya, adiknya lebih berjaya.
02. Ada antara mereka berasa tidak puas hati dengan keputusan itu.
03. Masih banyak antara penduduk kampung itu yang belum celik komputer.

KATA MAJMUK YANG DIEJA BETUL

01. kaji selidik
02. bedah siasat
03. tandatangan

AKRONIM

01. Bernama = Berita Nasional Malaysia
02. Perhilitan = Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara

KATA -nya SEBAGAI KATA PENEKAN

01. Lereng bukit di tepi jalan raya itu nampaknya akan runtuh.
02. Dengan hormatnya kami mempersilakan para jemputan masuk ke dewan. 

KATA -nya SEBAGAI KATA PEMBENDA

01. Sejak seminggu yang lalu keretanya rosak. (merujuk kepada manusia)
02. Lopak-lopak jalan menuju ke Taman Sri Indah itu telah ditimbusnya dengan batu kerikil. (merujuk kepada manusia)

PERKATAAN EMPAT MORFEM

= menyelerakkan

01. Morfem 1 : meny-
02. Morfem 2 : el
03. Morfem 3 : serak
04. Morfem 4 : kan

KATA KERJA TAK TRANSITIF TANPA PERLENGKAP

AYAT
Perbincangan mereka telah melencong daripada agenda asal.

KETERANGAN

01. Kata kerja tak transitif tanpa pelengkap = melencong
02. Pelengkap ayat = daripada agenda asal
03. Tanpa pelengkap pun ayat ini masih boleh berdiri sendiri.

AYAT PASIF

01. Bersama-sama surat ini kukirimkan sekeping gambar tanda ingatan.

STPM 2007 SIRI 2

KONSONAN YANG DIHASILKAN DENGAN GETARAN PITA SUARA

01. [ d ]
02. [ g ]
03. [ b ]

LETUSAN LELANGIT KERAS BERSUARA [ j ]

01. Depan lidah dirapatkan pada lelangit keras-gusi untuk membuat sekatan.
02. Udara dilepaskan secara pelahan-lahan
03. Pita suara bergetar

BUNYI DIFTONG

01. Dihasilkan dalam satu nafas
02. Dalam tulisan, bunyi diftong dilambangkan oleh dua huruf vokal.

PERKATAAN GUGUS KONSONAN

01. Plastik
02. Struktur
03. Kompleks

ISTILAH DENGAN TAKRIF

01. Morfologi = Ilmu yang mengkaji perkataan dan pembentukannya.
02. Semantik = Ilmu yang mengkaji makna
03. Sintaksis = Ilmu yang mengkaji aspek yang berkaitan dengan ayat.
04. Fonologi = Ilmu yang mengkaji bunyi bahasa

AKHIRAN DARIPADA BAHASA SANSKRIT

01. biduanita
02. seniwati
03. sukarelawan
04. seniman

AWALAN DARIPADA BAHASA SANSKRIT

01. mahasiswa
02. tatasusila
03. prakata
04. swasta
05. tunakarya
06. ekabahasa
07. dwifungsi
08. tribulan
09. pancaindera

PERKATAAN YANG MENGALAMI PELEBURAN FONEM

01. mengecil = peleburan fonem /k/
02. mengeras = peleburan fonem /k/

PERKATAAN YANG TIDAK MENGALAMI PELEBURAN FONEM

01. mengecat
02. mengutus
03. mengumpan

STPM 2007 SIRI 1

KELUARGA BAHASA MELANESIA

01. Kepulauan Fiji
02. New Caledonia
03. Irian
04. New Guinea
05. Halmahera

KELUARGA BAHASA MIKRONESIA

01. Kepulauan Marianna
02. Marshall
03. Carolina
04. Gilbert

KELUARGA BAHASA POLINESIA

01. Bahasa-bahasa Hawaii
02. Tonga
03. Maori
04. Kepulauan Easter

BAHASA MELAYU KUNO

01. Vokal e pepet tidak digunakan dalam bahasa Melayu kuno
02. Fonem w dalam bahasa Melayu kuno berubah menjadi b secara tekal dalam bahasa Melayu moden

BATU BERSURAT MINYE TUJUH

01. Menggunakan huruf India
02. Menggunakan bahasa Melayu kuno
03. Batu bersurat pertama yang menunjukkan bahasa Melayu telah menerima pengaruh Islam

PERANCANGAN KORPUS BAHASA

01. Mengadakan usaha untuk memantapkan tatabahasa bahasa Melayu

TOKOH DAN KARYA

01. Za'ba = Ilmu Mengarang Melayu
02. R.J Wilkinson = Kamus Melayu-Inggeris
03. Raja Ali Haji = Bustan al-Katibin
04. Mohammad Said Haji Sulaiman = Buku Katan

VARIASI BAHASA DAN CONTOH AYAT

01. Bahasa Biasa = Dia tengah makan nasi.
02. Bahasa Formal = Isteri saya berkirim salam.
03. Bahasa Istana = Tuan puteri sedang bersiram di kolam

LARAS BAHASA

01. Variasi bahasa yang digunakan mengikut situasi
02. Ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidangnya

PENANDA WACANA UNTUK MENYATUKAN SEMULA

01. iaitu
02. dengan perkataan lain
03. yakni

HUBUNGAN SEMANTIK DARI SEGI KESIMPULAN DAN LATAR

Ayat : Danial sangat rajin. Dia selalu membantu ibunya semasa di rumah.

01. Dainal sangat rajin. = Kesimpulan
02. Dia selalu membantu ibunya semasa di rumah. = latar

GELARAN HORMAT

01. Yang Berhormat = Setiausaha Parlimen
02. Yang Arif = Hakim Mahkamah Tinggi
03. Yang Berusaha = Pegawai Pelajaran Daerah/Gabungan

GELARAN KURNIAAN

01. Datuk
02. Tun
03. Tan Sri
04. Puan Sri

GELARAN WARISAN

01. Wan
02. Sheikh
03. Syed
04. Nik

GELARAN IKHTISAS

01. Profesor
02. Ustaz
03. Doktor
04. Cikgu

ISU EKONOMI : KESTABILAN POLITIK DIIKTIRAF

 
Pengiktirafan Malaysia sebagai negara ke-20 antara negara terunggul dalam indeks pembangunan kewangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) tahun ini berasaskan kestabilan politik yang meyakinkan suasana pelaburan. Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, berkata ia tidak mengejutkan kerana Malaysia sebelum ini banyak menerima pengiktirafan dunia, terutama sistem kewangan Islam (Perbankan Islam) antara yang terbesar pada peringkat global. Keadaan dalam negara yang aman dan rakyat bersatu padu dan mesra pelaburan banyak menyumbang ke arah itu.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa Malaysia mencatat peningkatan mengagumkan sebanyak lima anak tangga dan menjadi antara 20 negara terunggul dalam indeks pembangunan kewangan WEF tahun ini, ekoran pertambahan besar pengumpulan matanya, terutama dari segi kestabilan kewangan hingga mengatasi Singapura. Kekuatan negara sebagai pusat perbankan Islam juga jelas berdasarkan indeks itu, kata laporan pembangunan kewangan tahunan ketiga WEF yang dikeluarkan di sini.  Malaysia meningkat daripada kedudukan ke-22 ke tangga ke-17 dalam indeks keseluruhan diterajui Amerika Syarikat dan United Kingdom. Beliau berkata, gagasan 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Tranformasi Ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipandang positif oleh dunia sebagai yang terbaik di rantau ini.