JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Julai 2011

ISU EKONOMI : ANGKA DAN KEHIDUPAN


Ketika mengemukakan cadangan mengurang dan memansuhkan subsidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengemukakan banyak angka. Angka-angka ini diberikan untuk memudahkan orang ramai faham dan membuat perbandingan.  Dengan melihat angka orang ramai dapat mengetahui implikasi subsidi kepada negara. Paling penting, orang ramai diberi peluang untuk membuat komen berpandukan kepada fakta yang diberikan menerusi angka, bukan emosi. Angka tidak ada emosi, tetapi dalam hal tertentu ia mungkin boleh dimanipulasi. Namun, dalam soal subsidi, angka sukar dimanipulasi sewenang-wenangnya kerana ia boleh dikira. Semua angka ini adalah diaudit. Angka boleh memberi gambaran sebenar mengenai sesuatu keadaan. Tanpa angka, ia menyebabkan berlaku kekaburan. Bagaimana seseorang boleh membandingkan kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau pertumbuhan ekonomi negara ini dengan negara lain tanpa angka.

Tidak ada sesiapa yang boleh membayangkan sesuatu keadaan dengan hanya mengatakan secara umum bahawa ekonomi negara adalah lebih kukuh daripada sesebuah negara lain tanpa mengemukakan sebarang angka. Kenyataan seperti ini memerlukan angka yang boleh dikira bagi menunjukkan perbandingan.  Tanpa angka, ia ibarat mengatakan besar atau kecil, tinggi atau rendah, berat atau ringan sesuatu benda tanpa menyatakan ukuran saiznya atau mahal atau murah sesuatu barang tanpa menyebut harganya serta tebal atau nipis sesebuah buku tanpa menyebut jumlah muka suratnya.  Usaha yang dilakukan Idris sangat dialu-alukan kerana ia memberi pemahaman yang jelas terhadap kedudukan subsidi. Menerusi angka-angka yang membabitkan jangkaan kenaikan harga, rebat dan diskaun serta penjimatan yang boleh diperoleh dalam rancangan rasionalisasi subsidi yang dibentangkan Idris kelmarin, memberi peluang kepada orang ramai membuat perbandingan, di samping menilai buruk dan baiknya amalan subsidi yang diamalkan sejak sekian lama di negara ini.

Berapakah keseluruhan subsidi yang sudah diberikan sejak ia diperkenalkan? Tanpa angka, tidak ada sesiapa yang boleh meneka dengan tepat. Dasar pemberian subsidi mungkin sesuai ketika itu dan sudah dianggap lapok hari ini. Hari ini, beberapa barang dan perkhidmatan ditampung oleh subsidi. Orang yang kaya dan mampu juga menikmati subsidi, sama seperti orang miskin. Ini adalah elemen ketidakadilan dalam pemberian subsidi. Subsidi boleh membantu mengurangkan harga sesuatu barang atau perkhidmatan kerana ia menggunakan mekanisme yang mana lebihan harga ditampung oleh kos subsidi. Subsidi adalah wang rakyat. Logik akal, apa gunanya subsidi jika ia datangnya daripada wang rakyat. Dalam cadangan rasionalisasi subsidi ini ada cara lain yang boleh mengurangkan tekanan rakyat sekali pun subsidi dimansuhkan. Angka yang disediakan oleh Idris amat meyakinkan menerusi rebat tunai atau diskaun yang akan diberikan kepada rakyat nanti.

Hakikatnya, angka amat penting dalam kehidupan manusia. Itulah sebabnya kerajaan menjadikan matematik sebagai subjek utama di sekolah. Ramai yang boleh membaca, tetapi tidak ramai yang gemar kepada angka. Mereka yang tidak gemar kepada angka biasanya golongan yang gagal matematik. Mereka tidak berminat menjadi akauntan yang sentiasa bergelumang dengan angka. Angka menjadi ukuran kepada apa saja yang berlaku dalam dunia ini. Seorang pelajar akan berusaha sedaya upaya untuk mendapat kedudukan nombor satu dalam peperiksaan atau mendapat A1 bagi semua mata pelajaran yang didudukinya. Mereka akan malu jika menduduki ujian daripada tempat ke 20 hingga 40 kerana dianggap lemah. Adalah sukar diketahui jarak sesuatu perjalanan tanpa menyebut jumlah angka dalam kiraan kilometer atau angka jumlah jam perjalanan atau angka kelajuan meter kenderaan. Usia seseorang juga adalah angka bermula daripada tarikh lahir, tarikh berkahwin sehinggalah kepada usia matinya.

Itulah sebabkan ketika menziarahi jenazah, ramai yang bertanya usia sebenar orang yang meninggal dunia itu. Seseorang juga dibezakan dengan angka yang dicatatkan dalam kad pengenalan diri masing-masing. Mahal atau murah sesuatu barang atau nilai sesuatu harta ditentukan dengan perbandingan angka. Kaya atau miskin seseorang turut ditentukan oleh angka. Siapa orang paling kaya di Malaysia atau di dunia ditentukan oleh angka harta dan wangnya. Seseorang akan berbelanja mengikut jumlah pendapatan bulanannya berasaskan kepada angka gaji yang diperolehnya. Lebih banyak, lebih bagus. Sesuatu keputusan pilihan raya juga ditentukan oleh angka. Dalam sistem demokrasi, calon atau parti yang menang akan mendapat undi lebih banyak daripada pencabarnya. Calon dan parti yang bertanding terpaksa bekerja kuat dan mencari pengaruh untuk mengejar angka.

Pada masa ini, rakyat seluruh dunia teruja dengan kehadiran kejohanan bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan. Kemenangan kejohanan ini akan ditentukan oleh angka, iaitu menerusi bilangan gol. Setiap pemain berhempas pulas untuk mendapatkan angka kemenangan.  Bagi penganalisis, mereka bukan saja melihat angka gol tetapi juga angka tendangan penalti, tendangan sudut, tendangan yang gagal menghasilkan gol dan sebagainya. Mereka akan membuat kiraan setiap perkara yang berlaku seperti mereka mengira berapa banyak tumbukan yang tepat ke muka Mike Tyson ketika bertinju dan sebagainya. Bagi peniaga di Afrika Selatan, mereka menunggu jumlah angka keuntungan yang boleh mereka peroleh sepanjang kejohanan. Bagi pengusaha stadium, mereka mengharapkan angka kutipan tiket yang besar.

SUMBER
BERITA HARIAN
3 JULAI 2011

ISU SOSIAL : MUDAHNYA BURUH ASING BERTAPAK DI MALAYSIA

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


Shahul (bukan nama sebenar) ialah pemuda Bangladesh yang sejak bertahun lalu sering ke pejabat rakan penulis untuk membaiki lampu rosak atau terbakar.  Dia yang berusia lingkungan 30-an bekerja dengan syarikat peralatan elektrik, tetapi kakitangan pejabat rakan menelefonnya, bukan syarikat itu. Dia pasti datang lewat sehari dengan pelbagai alasan.  Shahul hanya tahu menukar dan memasang lampu yang baru dan jika ada masalah seperti lampu tidak menyala walaupun diganti baru, dia akan memberi pelbagai alasan tidak logik seperti pejabat itu tiada elektrik. Penulis bukan hendak menceritakan kisah Shahul, tetapi kebanjiran buruh asing, termasuk yang tiada kemahiran. Hari ini, sebaik keluar dari pintu rumah untuk bekerja hingga pulang, hidup kita diselubungi pekerja asing. Pergi ke kedai runcit, juruwangnya juga warga asing. Pergi mencuci kereta, wajah buruh asing turut menerpa kita.

Pernah pada majlis makan malam di sebuah hotel Port Dickson, penulis bertanyakan sesuatu kepada pelayan yang wajahnya seperti Melayu, tetapi dia minta maaf kerana tidak boleh berbahasa Melayu. Apabila ditanya, pelayan itu memberitahu dia dari Filipina. Di sebelah pejabat penulis di Kemayan Square pula ada projek terbengkalai yang semakin hari semakin ramai didatangi buruh Indonesia. Berdasarkan pemerhatian, ada beberapa isu berkaitan kehadiran pekerja asing yang tiada kemahiran. Bagaimana pula dengan kehadiran warga asing yang tiada pekerjaan, sedangkan kedatangan mereka mesti berdasarkan keperluan di negara ini. Ketika sebuah kereta terjunam ke longkang besar di Seremban dua tahun lalu, penulis berbual dengan saksi berasal dari Indonesia.  “Kamu buat apa di sini,” tanya penulis. Kata pemuda itu, dia mahu mencari pekerjaan. Timbul tanda tanya bagaimana dia boleh ke negara ini untuk mencari pekerjaan semudah itu.

Adakah kemasukannya atas tiket pelancong atau melalui pintu haram. Kehadiran warga asing, terutama secara haram perlu dipandang serius. Kehadiran mereka di sesuatu tempat seperti taman perumahan hingga mewujudkan koloni menimbulkan masalah.  Tanyalah penduduk di Taman Semarak, Nilai atau sekitar Senawang dekat Seremban. Melayan kerenah pekerja asing memang menyakitkan hati. Mereka membuang sampah sesuka hati, bising, bergaduh, minum arak dan pergaulan bebas. Inilah sifat manusia apabila berada dalam kelompok besar. Pergaduhan antara pekerja warga Vietnam dan Bangladesh di Nilai baru-baru ini, tidak begitu mengejutkan.  Pada 1990-an ratusan pekerja Indonesia di Nilai merusuh selepas polis menahan rakan mereka dipercayai memiliki dadah.  Justeru, pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, minggu lalu, mengenai penghantaran pulang pekerja haram antara strategi yang dialu-alukan untuk mengurangkan mereka.

Majikan harus menghantar mereka pulang, malah pekerja secara sukarela perlu pulang kerana tidak dikenakan tindakan undang-undang. Tidak seperti dakwaan sesetengah negara dan disokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pekerja asing dilayan buruk di negara ini, kerajaan bertimbang rasa dengan melancarkan program ini. Cuma selepas tamat, tindakan tegas perlu diambil. Kehadiran pekerja asing sepatutnya dengan jaminan majikan, iaitu selepas mereka mempunyai pekerjaan. Majikan sektor perkilangan juga perlu memastikan pekerja diberi asrama. Amalan menyewa di taman perumahan atau flat perlu dihentikan kerana menimbulkan konflik dengan penduduk. Pekerja juga perlu berkemahiran kerana amat menyedihkan apabila majikan mendakwa pekerja tempatan tidak berminat dengan pekerjaan tertentu, tetapi realitinya dakwaan itu tidak benar. Ada lulusan institusi kemahiran mempunyai kemahiran yang dapat melakukan kerja Shahul, tetapi majikan lebih rela mengambil pekerja asing yang boleh dibayar gaji lebih rendah walaupun perkhidmatannya tidak memuaskan. Jangan sampai kera di hutan disusukan, anak di rumah menangis kelaparan.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Negeri Sembilan

SUMBER
BERITA HARIAN
01 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : CIKGU AMERIKA DAYA PENARIK UTAMA PELAJAR BELAJAR BAHASA INGGERIS


Walaupun dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan, ia tidak bermakna kerajaan mengetepikan usaha mengukuhkan penguasaan bahasa itu di kalangan pelajar. Pada masa sama, kerajaan juga terus memperkasa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini. Kedua-duanya dilakukan seiring menerusi dasar baru yang diwujudkan iaitu Memperkasa Bahasa Melayu Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Tidak dapat dinafikan, menguasai lebih satu bahasa, terutama bahasa Inggeris mampu meningkatkan keterampilan dan daya saing pada peringkat antarabangsa. Ini kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu yang dipertuturkan hampir di seluruh dunia dalam pelbagai forum antarabangsa. Kebanyakan bahan bacaan, rujukan serta sumber ilmu sains dan teknologi adalah dalam bahasa Inggeris. Mempelajari dan seterusnya menguasai bahasa Inggeris wajar dimulakan pada peringkat awal terutama sejak di sekolah rendah.

Justeru, langkah kerajaan mengambil seramai 300 tenaga pengajar lepasan ijazah dari Amerika Syarikat untuk mengajar bahasa itu di sekolah pastinya dapat membantu guru meningkatkan kemahiran pelajar menguasai bahasa itu. Langkah itu dilihat mampu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris dengan berkesan kerana mereka diajar sendiri oleh guru penutur asal bahasa berkenaan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu di Washington, kelmarin menjelaskan program yang dinamakan Fulbright itu akan dimulakan tahun depan. Keputusan itu adalah kesinambungan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton, di New York dan di Kuala Lumpur sebelum ini. Kita percaya kerjasama itu memberi banyak manfaat kepada pelajar dalam jangka panjang dan pada masa sama ia mengeratkan hubungan dua hala kedua-dua negara. Apapun, usaha itu tidak bermakna kita menafikan keupayaan bahasa kebangsaan.

Kita mempelajari bahasa Inggeris untuk mendalami ilmu daripada bahasa sumber itu sendiri. Tidak timbul soal pelajar kita akan terpengaruh dengan budaya, adat resam atau cara hidup yang diamalkan Barat apabila guru Amerika mengajar bahasa Inggeris di sini. Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran harus memantau guru bahasa Inggeris itu agar program Fulbright mencapai matlamat seperti yang diharapkan. Adalah lebih baik tenaga pengajar asing itu diberikan pendedahan sewajarnya agar mereka memahami budaya rakyat tempatan sebelum memulakan tugas di sini.  Kita tidak mahu mereka turut menerapkan budaya negatif kepada pelajar disebabkan tiada penjelasan mengenai perbezaan budaya dan amalan masyarakat di sini. Kita yakin tenaga pengajar AS ini dapat menjadi daya penarik baru kepada pelajar di negara ini meningkatkan usaha mereka mempelajari bahasa Inggeris. Kita percaya tenaga pengajar ini dapat menggunakan pendekatan lebih menarik serta menyeronokkan dan aktiviti mereka tidak hanya terbatas di dalam kelas semata-mata. Sebagai penutur asal, tenaga pengajar ini juga dapat berkongsi ilmu dengan guru bahasa Inggeris tempatan. Dengan program pengajaran yang terancang dan berkesan, kita yakin penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan. 

SUMBER
BERITA HARIAN
01 JULAI 2011

ISU EKONOMI : LELAKI JEPUN IKAT PERUT


Lelaki Jepun menyaksikan kadar elaun mereka berkurangan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga dekad lalu ketika isteri mereka semakin berusaha berjimat dari segi perbelanjaan isi rumah disebabkan keadaan ekonomi yang terperangkap dalam deflasi. Dikenali di Jepun sebagai golongan lelaki bergaji, mereka menerima 36,500 yen (RM1,374.09) sebulan untuk wang saku, berjumlah AS$15 (RM45.74) sehari dan itu adalah jumlah terkecil sejak 1982, menurut tinjauan Shinsei Financial Co yang disiarkan baru-baru ini. Bagi wanita Jepun yang sudah berumah tangga dan berkeluarga, adalah sesuatu yang biasa bagi mereka untuk menguruskan pendapatan suami.  Tidak hairanlah, pertumbuhan ekonomi Jepun kurang satu peratus setiap tahun sejak 10 tahun lalu menjerut kadar bayaran, memaksa suri rumah mengurangkan wang saku suami dan memburukkan lagi deflasi yang melingkari ekonomi selama lebih sedekad.  Kadar gaji semakin berkurangan sejak gempa dan tsunami 11 Mac lalu hingga menjejaskan sentimen isi rumah menghampiri paras terendah sejak dua tahun lalu, menjadikan ekonomi dipacu pengguna kurang mendapat dorongan.

Elaun pekerja mencapai kemuncaknya pada 1990, iaitu detik aset dan hartanah negara Matahari Terbit itu melambung dengan lelaki menerima wang saku bulanan 76,000 yen (RM2,847.83), lebih dua kali ganda berbanding yang mereka terima sekarang, menurut tinjauan.  Dalam laporan terbaru itu, responden berkata, mereka paling banyak berbelanja wang saku itu untuk makan tengah hari, menghabiskan secara purata 490 yen (RM18.36). Ia bersamaan harga burger keju dengan kentang goreng kecil dan minuman ringan di McDonald’s.  Untuk menyimpan wang, pekerja berkata, mereka membawa bekal sendiri ke tempat kerja dan kurang makan di luar. Lelaki keluar makan 2.9 kali sebulan selepas kerja dan membelanjakan purata 3,540 yen (RM132.63) setiap kali, menurut tinjauan.  Ia jauh lebih rendah berbanding 2009 apabila kadarnya mencapai lebih 6,000 yen (RM224.76).  Rangkaian perniagaan kedai minuman dan pub, Watami Co, antara perniagaan terjejas akibat cubaan pengguna untuk kurang berbelanja. Jualan syarikat sama menurun 6.4 peratus Mei lalu berbanding tahun sebelumnya, menandakan penurunan bulan kelima berturut-turut.

SUMBER
BERITA MINGGU
3 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : LARIAN SERENTAK 1 MURID 1 SUKAN


TAIPING 2 Julai - Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang berlangsung di seluruh negara berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai larian terbesar yang disertai oleh 4,137,126 pelajar daripada 9,980 buah sekolah. Larian yang diadakan sempena pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan di Padang Dataran Perbandaran Taiping itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin sewaktu berucap pada majlis tersebut menegaskan, sukan merupakan satu platform pembentukan sahsiah pelajar dan memupuk integrasi sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara. Beliau amat berharap acara ini akan menjadi pemangkin ke arah pembudayaan sukan di kalangan semua murid di setiap sekolah di seluruh negara. Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah untuk merealisasikan aspirasi ini dalam masa terdekat. Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran pada Mac 2011 antara lain bertujuan melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
3 JULAI 2011