JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



27 Jun 2011

ISU SOSIAL : ATASI ISU BUJANG TERLAJAK

Oleh Abd Razak Raaf


Agak terkejut apabila mendapat tahu bahawa lelaki di Malaysia termasuk Pahang iaitu 14,112,667 orang melebihi 13,453,154 wanita. Perbezaan 659,513 orang ini menafikan tanggapan banyak pihak wanita di negara ini melebihi lelaki. Di Pahang, kajian menunjukkan lelaki berusia antara 20 hingga 34 tahun ialah 198,600 orang, lebih ramai berbanding 188,900 wanita dengan nisbah 113 lelaki berbanding 100 wanita, melebihi paras nasional iaitu 105 lelaki berbanding 100 wanita.Ketidakseimbangan pecahan jantina ini jika dibiarkan akan memberi kesan kepada institusi kekeluargaan kerana lelaki di Pahang perlu bekerja lebih keras menambah pendapatan, memantapkan personaliti dan lebih bergaya kerana akan berlaku persaingan bagi mendapatkan pasangan hidup. Ia akan memberi kesan positif kepada produktiviti majikan, meningkatkan kitaran ekonomi kerana ramai yang berbelanja untuk mengubah gaya hidup serta melonjakkan jualan hartanah dan kenderaan untuk menarik minat wanita.

Mungkin juga berlaku fenomena lewat kahwin bagi lelaki yang mengutamakan kerjaya, manakala yang tewas dalam persaingan akan menambah jumlah bujang terlajak. Wanita tentu terlalu memilih teman hidup serta meletakkan syarat kepada lelaki yang mahu mengahwininya sama ada dari segi material dan fizikal dan akhirnya menyebabkan lelaki terpaksa mengambil masa lebih lama sebelum berumah tangga. Kekangan ini dikhuatiri turut menyumbangkan peningkatan gejala sosial seperti jenayah terutama rogol apabila lelaki bertindak luar batasan mengikut telunjuk nafsu dan kurang iman jika cintanya tidak berbalas. Ia sekali gus menjadi punca kepada masalah seks bebas akibat lelaki lebih gemar bertukar pasangan dengan alasan tidak mahu berkahwin dengan memberi bermacam alasan termasuk tidak mampu menyediakan perbelanjaan perkahwinan jika wanita terus bersikap `demanding'.

Oleh itu, kerajaan Pahang perlu memberi perhatian serius ketidakseimbangan jantina dengan mengupas permasalahan yang akan berlaku dan mengenal pasti penyelesaiannya atau ia akan terus menjadi duri dalam daging kepada masyarakat untuk tempoh jangka panjang. Mereka boleh memperbanyakkan penerangan berkaitan perkara itu dengan memasuki setiap kampung dan FELDA supaya masyarakat dapat maklumat tepat seterusnya memikirkan apakah yang boleh dilakukan termasuk mengelak gejala sosial akibat ketidakseimbangan pecahan jantina di kawasan masing-masing. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) perlu membekalkan maklumat lengkap dan tepat mengenai perkara itu kepada kerajaan negeri supaya mudah untuk mereka menyebarkan kepada peringkat akar umbi. Pemimpin masyarakat seperti Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), imam, ketua parti politik juga boleh membantu memberi penjelasan berhubung perkara itu dan mereka boleh mengambil inisiatif mengedarkan risalah kepada orang ramai dalam setiap majlis.

Setiap sesi penerangan itu pula perlu dijelaskan punca ketidakseimbangan jantina antaranya ialah penghijrahan keluar wanita muda di Pahang bagi mencari pekerjaan, bilangan bayi lelaki melebihi jumlah bayi perempuan dan kemasukan pekerja asing.  Diharap menerusi tindakan itu, masyarakat tempatan mendapat gambaran lebih tepat dan boleh merancang langkah seterusnya untuk cadangan kepada lelaki dengan menggalakkan mereka tidak memilih bidang pekerjaan dan meningkatkan amalan menabung bagi persiapan untuk berkahwin. Lelaki tempatan masih ada kecenderungan memilih pekerjaan seperti sektor perladangan dan pembinaan menyebabkan kerajaan terpaksa membawa masuk pekerja asing dan menyebabkan mereka terpaksa bersaing untuk mencari pasangan hidup.  Begitu juga kepada wanita, mereka boleh mencadangkan supaya tidak terlalu memilih pasangan hidup serta tidak meletakkan wang hantaran tinggi. Kerajaan juga perlu memikirkan usaha mengurangkan penghijrahan wanita dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Justeru, ia memerlukan lebih banyak kemasukan pelaburan yang akhirnya menguntungkan banyak pihak dan akan memakmurkan lagi negeri ini.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian Pahang

SUMBER
BERITA HARIAN
27 JUN 2011

ISU EKONOMI : MENJELMA "KONSENSUS MALAYSIA"


Transformasi atau perubahan berlaku dalam pelbagai bentuk. Kita melakukan perubahan pada diri sendiri untuk menambah baik pencapaian dalam kerjaya, pelajaran, penulisan dan lain-lain. Cara kita berfikir juga sentiasa berubah mengikut situasi. Kerajaan turut mengambil beberapa langkah melaksanakan transformasi ini untuk membawa kemajuan dari segi pembangunan dan ekonomi lalu muncul Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Baru-baru ini, media massa heboh memperkatakan mengenai Kelab Taat Suami berikutan kontroversi yang timbul apabila pengerusinya mencadangkan isteri patut melayan suami seperti pelacur kelas pertama. Ini juga adalah transformasi sosial.  Transformasi juga berlaku di seluruh dunia. Jika sebelum ini negara Barat dilihat sebagai contoh pembangunan yang terbaik, kini keadaan sudah berubah.

Dunia sudah mula beralih daripada memberi tumpuan kepada model ekonomi liberal yang dipelopori Amerika Syarikat atau ‘Konsensus Washington’ kepada cara China membangunkan ekonominya.  Dengan kemunculan ‘Konsensus Beijing’ ini, model perdagangan liberal Amerika bukan lagi sesuatu yang menarik untuk diikuti.  Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Forum CEO 2011, di Kuala Lumpur, baru-baru ini: “Ekonomi Amerika sudah merudum teruk dan nilai mata wangnya juga tiada nilai menyebabkan negara itu terpaksa mencetak lebih banyak wang kertas bagi menampung defisitnya.” Beliau berucap atas tajuk ‘Politik di Malaysia: Patutkah ia Berubah berikutan Perubahan Ekonomi?’ pada forum anjuran Yayasan Kepemimpinan Perdana itu. Katanya, konsep pembangunan yang dibawa oleh negara Tembok Besar itu sebenarnya didorong oleh keinginannya yang mendalam untuk melakukan inovasi tanpa menjejaskan kedaulatannya dan kini ia menawarkan pengharapan baru kepada negara sedang membangun seperti Malaysia, Korea Selatan dan lain-lain.

Malah menurut Joshua Ramo, bekas editor majalah Time, berdasarkan lebih 100 perbincangan ‘off record’, Konsensus Beijing itu berjaya menarik perhatian banyak pihak. Ia memberi paradigma baru kepada dunia mengenai pengurusan politik dan ekonomi. Peralihan kuasa tetap berlaku di China, walaupun ia mengamalkan sistem ala demokrasi primitif. Seperti kata Dr Mahathir, kerajaan China sedang berusaha keras membabitkan semua rakyatnya dalam pembangunan ekonominya, termasuk mereka dari kawasan pedalaman. Ketika Amerika dan sebahagian besar negara di Eropah sedang bergelut dengan masalah kewangannya, adalah wajar Malaysia, sebagai sebuah negara perdagangan, meninjau pendekatan diguna pakai di negara yang baru mengalami kebangkitan ekonomi seperti China. Justeru, Konsensus Beijing kini dilihat sebagai lebih relevan untuk dicontohi daripada Konsensus Washington atau Eropah. Pada forum CEO itu, seorang peserta dari Sweden mengajukan pertanyaan kepada Dr Mahathir mengapa Malaysia di bawah kepemimpinan beliau dulu memilih untuk memandang ke Timur, iaitu Jepun sedangkan negara Matahari Terbit itu dan Korea Selatan lebih cenderung untuk melabur di Barat.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa negara Eropah sememangnya mengalami pembangunan pesat pada masa lampau. Ketika rakyat di negara ini masih kolot, negara di Eropah mengalami revolusi dan arus perubahan besar. Tetapi pembangunan di negara berkenaan kemudian menjadi lebih perlahan berbanding negara di Timur seperti Jepun, yang mampu bangkit membangunkan rakyatnya selepas Perang Dunia Kedua. Perubahan bagaimanapun, tidak harus dilakukan kerana perubahan semata-mata.  “Kita hanya patut berubah hanya jika sesuatu perlu diubah. Sistem kita bukanlah teruk sangat. Kita boleh berusaha untuk mencapai kedudukan di antara Konsensus Beijing dan Konsensus Washington. “Kita kena mengambil formula yang sesuai agar masyarakat kita tidak hilang identitinya. Formula pembangunan ini harus dipegang sampai bila-bila kerana ia menjamin kerjasama semua rakyat dalam bidang politik dan ekonomi,” tegas Dr Mahathir. Malaysia juga kini menawarkan Program Transformasi Kerajaan yang dilaksanakan di negara ini sebagai model untuk diikuti oleh negara lain.

Pemimpin mesti berusaha melaksanakan transformasi, walaupun ia bukan mudah. “Memang ada orang yang akan menentang perubahan kerana sudah selesa dengan cara biasa. Sesetengah orang takut dengan ketidakpastian yang dibawa oleh perubahan, yang lain berasa terancam kerana melakukan sesuatu dengan cara berbeza. “Transformasi memerlukan keberanian kerana ia memaksa kita mengakui bahawa amalan lama kita tidak begitu baik,” demikian ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Dialog Antarabangsa Langkawi, baru-baru ini. Dalam melakukan transformasi ini, adalah penting cara pemikiran kita juga berubah, di samping kesanggupan untuk melakukan perubahan. Justeru, wajar kita menimba yang terbaik daripada kedua-dua model Konsensus Beijing dan Konsensus Washington itu dan mewujudkan Konsensus Malaysia sendiri. Sudah tentu dalam usaha berkenaan, perhimpunan haram bukan contoh atau cara terbaik yang patut diikuti atau disokong.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
27 JUN 2011

ISU SOSIAL : PERATURAN PINJAMAN WANG WAJAR DIUBAH BELA NASIB PENJAMIN


Kesengsaraan dilalui penjamin yang terpaksa menanggung beban pinjaman tidak dibayar kerana terperangkap dengan hutang orang lain sudah lama menghantui pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Sering kali pihak yang ingin memohon pinjaman berjanji tidak akan melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan masalah kepada penjamin. Pemohon juga selalunya cuba menampilkan wajah yang jujur dan muka manis ketika hendak meminta bantuan penjamin tetapi selepas pinjaman diperoleh, timbul cerita lain di sebaliknya. Peminjam yang dulunya kawan boleh bertukar menjadi musuh, saudara mara terputus hubungan dan pelbagai lagi kerenah ditimbulkan orang yang gagal melangsaikan hutang. Akibatnya, kira-kira 10,064 penjamin diisytiharkan muflis dalam tempoh 2005 hingga Mac lalu. Lazimnya ada dua kategori penjamin iaitu penjamin sosial bagi pinjaman kenderaan atau peribadi dan penjamin korporat.

Mengikut Akta Kebankrapan, bagi penjamin sosial, bank diwajibkan mengambil tindakan ke atas peminjam terlebih dulu sebelum bertindak ke atas penjamin, tetapi bagi penjamin korporat, tindakan serentak boleh diambil ke atas peminjam dan penjamin. Dari segi peraturan, setakat ini masih belum ada sebarang bentuk perlindungan yang boleh mengelakkan penjamin daripada dikenakan tindakan muflis kerana terikat dengan perjanjian yang ditandatangani sebelumnya. Justeru, seperti kata Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, kelmarin, penjamin hendaklah tahu hak mereka sebelum menandatangani dokumen dan tidak mengambil mudah tanggungjawab mereka serta sekadar mengharapkan kejujuran pemiutang untuk menjelaskan pinjaman dengan teratur dan sempurna. Namun ada beberapa pihak, termasuk Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang mahukan institusi kewangan mengubah peraturan atau syarat yang mewajibkan peminjam mengemukakan penjamin kerana ia boleh menyebabkan pemiutang terbabit mengambil kesempatan dan tidak memenuhi janjinya untuk membuat bayaran bulanan seperti yang ditetapkan.

Sekiranya tabiat gagal membayar pinjaman ini berterusan, sudah tentulah penjamin yang menjadi mangsa dan terpaksa menanggung bebanan hutang itu. Oleh itu, diharapkan hak penjamin ini dilindungi sepenuhnya agar institusi kewangan tidak berpaling kepada mereka dengan mudah tanpa terlebih dulu berusaha untuk mendapatkan balik bayaran daripada peminjam sebenar. Adalah tidak wajar pihak penjamin dihalang daripada melakukan lawatan ke luar negara, asetnya dirampas atau diisytiharkan muflis semata-mata kerana orang lain tidak membayar pinjaman. Pihak kementerian bertanggungjawab seharus mengkaji semula peruntukan yang ada dalam undang-undang bagi melepaskan penjamin daripada menanggung hutang peminjam yang dengan sengaja enggan membayar balik hutang mereka. Sewajarnya kerajaan mengubah peraturan yang ada agar institusi kewangan tidak memerlukan penjamin bagi sebarang pinjaman yang dibuat, sebaliknya memperketatkan syarat kelulusan pinjaman. Institusi kewangan juga tidak harus terlalu ghairah untuk memberi pinjaman semata-mata kerana adanya penjamin sebagai sandaran yang boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku masalah.

UTUSAN MALAYSIA
27 JUN 2011

ISU KESIHATAN : HAMPIR 350 JUTA ORANG DEWASA DI SELURUH DUNIA MENGHIDAP DIABETES


Hampir 350 juta orang dewasa di seluruh dunia dilaporkan menghidap diabetes, iaitu dua kali ganda sejak 1980, berdasarkan satu kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet bertarikh 25 Jun 2011. Saintis dari Kolej Imperial London dan Universiti Harvard menganalisis gula dalam darah 2.7 juta orang berumur 25 tahun ke atas di seluruh dunia dan menggunakan keputusan itu untuk menganggarkan jumlah pesakit diabetes. Kajian itu menyatakan jumlah penghidap diabetes meningkat dua kali ganda dari 153 juta orang pada 1980 kepada 347 juta orang pada 2008. Tahap gula yang tinggi dalam darah dan diabetes membunuh tiga juta orang di seluruh dunia setiap tahun. Pengkaji kajian itu berkata, dua faktor utama yang mengakibatkan peningkatan penghidap diabetes adalah hidup yang lama dan berat badan terutama bagi wanita. Ia berbeza dengan tekanan darah tinggi dan kolesterol yang menurun di kebanyakan rantau. Diabetes sukar untuk dibendung dan dirawat berbanding penyakit lain, kata ketua pengkaji bersama, Majid Ezzati dari Kolej Imperial London. Kajian itu menunjukkan seorang daripada tiga wanita dan seorang daripada empat lelaki menghidap diabetes di Kepulauan Marshall. Ia berkata, peningkatan jumlah penghidap diabetes di negara-negara barat Eropah pula hanya kecil.

UTUSAN MALAYSIA
27 JUN 2011

ISU PENDIDIKAN : SUBJEK VOKASIONAL DIMANSUHKAN MULAI 2012


Kementerian Pelajaran akan memansuhkan pengajaran mata pelajaran Vokasional (MPV) di semua sekolah harian secara berperingkat mulai sesi pengajian 2012. Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu dibuat sejajar dengan proses transformasi pengajian teknik dan vokasional seperti yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini. Semua sekolah harian selepas ini tidak lagi diajar MPV. Bagi mereka yang berminat belajar dalam bidang tersebut, kerajaan akan menyediakan peluang di Kolej Vokasional menerusi Program Asas Vokasional (PAV). PAV dikhususkan untuk pelajar peringkat tingkatan 1 hingga 3 dan mereka turut diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap I dan II apabila tamat. Mohd. Puad memberitahu, berdasarkan perancangan, semua peralatan untuk pengajaran dan pembelajaran MPV serta Kemahiran Hidup di sekolah harian sedia ada akan dikumpulkan dan diserahkan kepada Kolej Vokasional kelak. Selain itu, katanya, kementerian turut bercadang melanjutkan tempoh pengajian peringkat menengah atas kepada tiga tahun berbanding dua tahun di Sekolah Menengah Teknik atau Vokasional sebelum ini. Selepas pelajar menamatkan peringkat pengajian menengah atas di Kolej Vokasional selama tiga tahun, mereka layak diberikan SKM Tahap IV. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM262.4 juta untuk tujuan pemberian biasiswa kepada pelajar sekolah di seluruh negara tahun ini. Bantuan terbabit dinamakan Biasiswa Kecil Persekutuan, Biasiswa Sukan dan Biasiswa Pra Universiti. Bantuan pertama dan kedua diberikan berdasarkan kes-kes tertentu dan kecemerlangan dalam bidang sukan. Sementara Biasiswa Pra Universiti diberikan kepada pelajar tingkatan enam yang layak mengikut kadar RM114 sebulan bagi pelajar aliran Sains dan RM90 aliran sastera.

UTUSAN MALAYSIA
27 JUN 2011