JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Januari 2012

ISU DUNIA : PENGAJARAN DARIPADA POLITIK AFRIKA SELATAN



Jason, salah seorang pemandu MPV yang membawa sekumpulan wartawan Malaysia memperlahankan kenderaannya di sebatang lebuh raya lurus, kira-kira 200 kilometer lagi sebelum kami tiba di Bloemfontein. Ingatkan apa sebabnya, memandangkan MPV yang dinaiki kami kelajuannya sampai mencecah 180 kilometer sejam dan kalau tidak pun 160 km sejam. Rupa-rupanya, tidak jauh dari situ kelihatan dua anggota polis Afrika Selatan sedang mengacu-acukan teropong had lajunya. “Di sini, denda yang dikenakan cukup tinggi kira-kira R6,000 (bersamaan RM3,000). Kalau anda didapati memandu di bawah pengaruh alkohol, ia boleh mencapai R12,000,” kata Jason sambil menunjukkan panorama padang ragut saujana mata memandang di sebalik cuaca nyaman yang berkabus. Afrika Selatan hakikatnya masih baru sebagai sebuah negara ‘merdeka’. Kalau dikatakan mengecap kemerdekaan, ulang tahunnya pun baru mencapai 19 tahun sejak pilihan raya pertama selepas era aparteid pada 1994. Golongan kaum kulit hitamnya pula masih tercangak-cangak meniti kehidupan bebas dalam erti kata sebenar, mengecap nikmat makanan Barat, bekerja di pejabat berhawa dingin dan bertebaran di pusat-pusat membeli-belah seperti Sandton City berdekatan Nelson Mandela Square.

Situasi itu sungguh mustahil untuk dinikmati sebelum 1990-an. Di sebalik penguasaan kulit hitam dan etnik-etnik pribumi lain, ada pula cakap-cakap golongan kulit putih pula kini merasai bahang ‘apartheid’ yang mereka perkenalkan sebelum itu. Simon Le Rich, 32, ketika ditemui berdekatan Hotel Michelangelo, tempat penginapan penulis memberitahu, dia merupakan seorang banker pada 1994. Tetapi sebaik sahaja peralihan kuasa dengan Nelson Mandela diangkat Presiden, African National Congress (ANC) mula menempatkan orang-orangnya di sektor-sektor terpenting negara. Antaranya sektor perbankan tidak lagi menyaksikan dominasi kulit putih di bahagian pentadbiran tertinggi dan pertengahan. Setelah dua bulan berusaha ‘merebut’ kembali jawatannya, Simon mengalah. Dia berhenti kerja dan mengusahakan perniagaan kafetarianya sendiri. Sama ada Simon bercakap benar tetapi itulah reaksinya sama dengan beberapa rakannya sambil merenung pancuran air di depan patung Nelson Mandela, setinggi 20 kaki di situ. Itulah antara cabaran yang terpaksa ditempuh oleh Afrika Selatan. Di Stadium Ragbi Mangaung, dekat Bloemfontein kelmarin, Presiden Jacob Zuma berucap lebih sejam pada majlis sambutan ulang tahun ke-100 ANC.

Antaranya, beliau menarik perhatian bahawa ANC bukannya parti untuk segelintir pihak tetapi ia parti yang menjadi teras untuk semua bangsa di Afrika Selatan. Kaum terbesar di Afrika Selatan kini adalah kaum pribumi berkulit hitam iaitu 77 peratus yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang boleh diklasifikasikan kepada empat kumpulan etnik berdasarkan kepada bahasa masing-masing. Kumpulan terbesar iaitu 50 peratus penduduk Afrika yang berbahasa Nguni termasuk bangsa Ndebele, Swazi, Xhosa dan Zulu. Kumpulan kedua terbesar adalah yang berbahasa Sotho-Tswana, termasuklah beberapa bangsa Sotho, Pedi dan Tswana dan merupakan majoriti di kebanyakan kawasan Highveld. Dua kumpulan yang terakhir adalah Tsonga atau Shangaan yang tertumpu di Utara dan Wilayah Mpumalanga dan Venda, yang juga tertumpu di wilayah utara Afrika Selatan. Kaum kulit putih terdiri daripada 11 peratus penduduk yang berbangsa Belanda, Perancis, Inggeris dan Jerman. Kebanyakan orang Eropah di negara itu adalah keturunan peneroka-peneroka awal di koloni Cape. Terdapat juga kumpulan minoriti Portugis iaitu kumpulan pertama daripada keturunan peneroka Eropah yang terawal, manakala kumpulan kedua keturunan hamba abdi Belanda yang datang dari Indonesia.

Sembilan peratus penduduk Afrika Selatan pula terdiri daripada bangsa berwarna (coloured) termasuklah kumpulan peranakan dan juga pendatang Asia, termasuk orang Melayu dan Indonesia (dipanggil Cape Malays) yang dibawa masuk untuk bekerja sebagai kuli di Natal. Tiga peratus lagi adalah berbangsa India yang merupakan pedagang-pedagang India. Semasa pilihan raya demokrasi yang pertama pada April 1994, dua parti Islam muncul iaitu Parti Muslim Afrika (AMP) dan Parti Islam. Pada pilihan raya tersebut, AMP memperoleh 47,690 undi, kurang daripada satu peratus daripada jumlah undi keseluruhan. Orang Islam memilih untuk mengundi Parti Nasionalis dan ANC. Pada pilihan raya 2004, AMP mencuba nasib sekali lagi tetapi hanya mampu meraih 34,446 undi iaitu lebih kurang 0.2 peratus daripada jumlah undi keseluruhannya. Parti Islam pula dibubarkan dan ada sebahagian ahlinya menganggotai Parti Keamanan dan Keadilan (Peace and Justice Party) yang juga gagal meraih kemenangan pada pilihan raya tersebut. Kegagalan mereka berpunca daripada ahli teologi Muslim yang juga ahli Jamiat ul-Ulama (Persatuan Ahli Teologi Muslim) dan Majlis Kehakiman Muslim menyokong idea agar penduduk Islam mengundi Kongres Nasional Afrika.

Ekoran keputusan pilihan raya 2004, terdapat empat menteri Islam dilantik menganggotai Kabinet Afrika Selatan iaitu Naledi Pandor dan Enver Surty manakala Dr. Essop Pahad dan Abangnya, Aziz Pahad dilantik mengetuai kementerian luar. Cape Utara adalah satu-satunya wilayah yang mempunyai ahli Parlimen beragama Islam iaitu Ebrahim Rasool. Mandela diangkat sebagai Presiden Afrika Selatan pada 1994 beliau melantik Dullah Omar mengetuai Kementerian Keadilan dan kemudiannya sebagai Menteri Pengangkutan semasa pemerintahan Presiden Thabo Mbeki. Di Stadium Mangaung semalam, nada ucapan Zuma banyak berbaur kempen pilihan raya. Sama seperti Malaysia, Afrika Selatan juga akan menghadapi pilihan raya umum, selewat-lewatnya 2013. Meskipun dikatakan banyak janji masih belum tertunai termasuk ada cakap-cakap ‘era pentadbiran kulit putih lebih baik dalam aspek mengotakan janji di sebalik aparteid yang kejam’, itulah senario mencabar yang dihadapi Afrika Selatan. Banyak pengajaran berguna yang boleh ditimba oleh orang kita di Malaysia dalam meniti sejarah Afrika Selatan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 Januari 2012

ISU UMUM : TEGAS TANPA TERBURU-BURU

Oleh NURUL ANUAR KARI


Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sikap suka menangguhkan sesuatu kerja sehingga ke minit akhir dan kemudian memberi pelbagai alasan bila urusan tersebut gagal diselesaikan mengikut syarat. Contoh terbaik adalah ketika musim mengisi borang cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saman, pendaftaran kenderaan komersial dan terbaru di kalangan majikan dalam pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P). Hakikatnya, rakyat tidak boleh disalahkan sepenuhnya apabila mereka terlalu dimanjakan dengan penangguhan tindakan perundangan dan lanjutan tempoh untuk menyelesaikan saman serta urusan berkaitan oleh kementerian, agensi kerajaan mahupun majlis perbandaran. Langkah kerajaan mengambil kira aduan dan pandangan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu keputusan atau dasar baru memang sepatutnya dipuji. Namun, sikap berlembut itu juga boleh menjadi serampang dua mata, bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan malahan mungkin menunjukkan kurangnya ketegasan dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu keputusan, peraturan dan dasar baru.

Isu pendatang asing dan program 6P menjadi contoh kegusaran rakyat yang masih menunggu hasil konkrit dalam mengurangkan jumlah pendatang asing di negara ini dengan kebimbangan tarikh tindakan perundangan dilanjutkan lagi. Kini, laporan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula turut menimbulkan tanda tanya sesetengah pihak sama ada perancangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dibuat secara terburu-buru sehingga menerima banyak aduan. Bagi Setiausaha Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Durrishah Idrus, tidak menjadi isu besar jika wujudnya sokongan dan tentangan terhadap penangguhan sesuatu dasar atau keputusan kerajaan. “Bila sesuatu dasar itu diumumkan dan diketahui rakyat, tentu akan ada yang memberi pendapat masing-masing. “Jika dasar yang telah diketahui umum itu ditangguhkan pula, tentu akan wujud dua kumpulan iaitu yang menyokong dan menentang,” jelasnya. Tegasnya, sesuatu dasar baru itu adalah polisi jangka panjang atau jangka sederhana yang bakal memberi kesan kepada ramai pihak jika dilaksanakan.

Oleh itu, katanya, sebuah dasar baru seboleh-bolehnya perlu dikaji dengan teliti dan mendalam terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai. “Jika sudah dikaji dan diteliti dengan mendalam, mungkin penangguhan dapat dielakkan kerana masalah tidak timbul jika keputusan itu menggembirakan rakyat. “Penangguhan pula akan menimbulkan tanda tanya kepada sesetengah pihak sementara pihak lain menyokong. Ini perkara biasa bila berlaku penangguhan dan tidak menjadi isu besar,” katanya. Durrishah menjelaskan, jika SBPA dilaksanakan tanpa diteliti semula, sebilangan golongan sederhana dan bawahan dalam perkhidmatan awam mungkin berasa tidak puas hati dalam jangka panjang. “Jika dahulu, perbincangan diadakan dahulu pihak berkaitan dengan kerajaan dan hanya diumumkan jika semua isu berbangkit sudah selesai. “Saya harap kerajaan akan semakin matang kelak dalam mengendalikan situasi seperti apa yang berlaku dengan SBPA,” ujarnya. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat penangguhan SBPA bukannya menunjukkan kelemahan tetapi menonjolkan keberanian Perdana Menteri bertindak pantas terhadap keresahan mereka yang terlibat.

“Mungkin ada pihak akan mengambil kesempatan dalam isu penangguhan dasar ini tetapi tindakan segera Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan responsif terhadap isu-isu tulen dan perkara berbangkit selepas menerima maklum balas pihak yang sedar diri mereka akan terjejas. “Bukannya kerajaan tidak bertegas dalam pelaksanaan sesuatu dasar tetapi ada isu yang tidak mendapat maklum balas di peringkat awal yang sepatutnya telah melibatkan kumpulan pembuat keputusan dan pihak berkepentingan,” katanya. Tambahnya, sesuatu dasar baru juga perlu melihat kepada maklum balas umum dan ini boleh dicapai dengan kemajuan teknologi semasa. Menurut beliau, Perdana Menteri sendiri mengakui kerajaan tidak mengetahui semua perkara tetapi bersedia menerima pendapat orang ramai yang boleh membawa kebaikan kepada semua. “SBPA perlu dikaji semula bila majoriti kakitangan awam tidak berpuas hati walaupun sesetengah pihak gembira dengan apa diterima mereka. “Kelemahan di sini adalah dari sudut pelaksanaan apabila perbincangan tidak dibuat JPA dengan pihak-pihak berkaitan terlebih dahulu sehingga mungkin menjejaskan sekitar 500,000 pekerja,” ujarnya.

Tegasnya, semakan semula yang diumumkan menunjukkan hasrat Perdana Menteri yang mahu memberi penambahbaikan dalam pelbagai aspek agar memberi manfaat dan boleh diterima baik oleh majoriti, jika tidak kesemua kakitangan awam sekalipun. “Mengumumkan penangguhan adalah satu langkah berani dan tegas demi memberi perhatian kepada isu yang timbul dan mengelakkan masalah lain kelak. “Perdana Menteri juga mungkin tidak menerima gambaran tepat sebelum mengumumkan SBPA dan kerana itu kakitangan awam perlu memberi maklum balas agar semua pihak dilindungi dan tiada yang menerima kesan buruk, di samping menutup peluang pihak yang mahu menangguk di air keruh,” jelasnya. Mohamed Mustafa berpendapat matlamat skim tersebut sangat baik tetapi pelaksanaannya yang seperti tergesa-gesa mungkin menjadi punca masalah. “Walaupun sesuatu dasar baru mempunyai matlamat yang baik, tiada maknanya jika kumpulan sasaran tidak menerima manfaatnya. “Baguslah Perdana Menteri mendengar masalah yang dibangkitkan dan sedia menangguhkan SBPA demi kebajikan mereka yang terlibat,” katanya.

Adalah lebih baik untuk berhadapan dengan seorang yang menentang selepas memahami isu sebenar daripada dibiarkan ramai membantah tanpa memahami tujuannya. Kewajaran penangguhan sesuatu keputusan sewajarnya dinilai demi kepentingan dan masa depan kesemua pihak yang terlibat atau sekurang-kurangnya kumpulan majoriti. Walaupun kerajaan sewajarnya bertegas dalam pelaksanaan dasar baru agar rakyat lebih berdisiplin dan yakin dengan komitmen pentadbiran negara, kesan jangka panjang serta baik dan buruk keputusan tersebut perlu diutamakan. Penerimaan rakyat terhadap sebarang keputusan kerajaan juga akan berubah sejajar dengan pemahaman dan perubahan yang berlaku, sama ada menerima jika kesannya positif atau membantah jika sebaliknya. Apa yang perlu diutamakan kini adalah pemahaman rakyat terutamanya mereka yang berkepentingan dalam sesuatu keputusan tentang punca dan sasaran pelaksanaan, mahupun penangguhan, sesebuah dasar baru.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 Januari 2012