Rencana ini disediakan oleh
ROSMIZA KASIM, IZWAN ROZLIN,
MOHD AZLIM ZAINURY, HAZELEN LIANA
KAMARUDIN,
HIDAYAH HAIROM
Kita biasa dengar atau baca cerita pengemis yang kaya, menginap di
hotel atau dijemput dengan kereta selepas minta sedekah di kaki lima. Namun
satu kisah benar yang dibongkar di sebuah rumah kebajikan di Marang,
Terengganu, seharusnya membuka mata semua pihak.
Seorang penghuni rumah
kebajikan itu
(nama dirahsiakan) yang sering curi keluar untuk mengemis,
didapati menyimpan wang tunai lebih kurang RM15,000 di bawah katilnya selain
mempunyai tiga
akaun bank berasingan dengan nilai simpanan
RM60,000. Ini semua
ditemui selepas dia
meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.
Jadi, cerita pengemis kaya di negara kita bukan hanya kisah
dongeng atau cerita mulut ke mulut, sebaliknya suatu realiti yang menuntut kita
bersama-sama berfikir, bagaimana ini boleh terjadi? Bukan kita mahu menghalang
orang daripada membuat kebajikan, namun manipulasi dalam kegiatan mengemis ini
bukan cerita baru. Dengan adanya pengemis yang kaya, kita tidak mahu negara
bertuah ini dianggap sebagai negara yang kaya dengan pengemis. Lihat sahaja di
mana-mana, pengemis sekarang bukan sahaja berwajah tempatan, malah ada juga
yang 'diimport'. Ini terjadi kerana dalam keadaan kita dihadap dengan pelbagai
cerita hal pengemis, masih ramai mahu berbaik sangka dengan alasan "saya
ikhlas mahu buat kebajikan. Soal mereka menipu, itu antara mereka dengan
ALLAH."
Ya, memang benar namun sama ada kita sedar atau tidak, sikap mudah
percaya dan tidak usul periksa juga menggalakkan lagi bilangan pengemis yang
sekali gus menimbulkan banyak masalah dalam masyarakat kita. Kita bukan tidak
pernah dengar mengenai sindiket yang mengaut kekayaan dengan cara mudah
memperalatkan golongan kurang upaya untuk meminta sedekah bagi pihak mereka. Apabila
kita memberi sumbangan kepada golongan ini, kita bukan membantu mereka tetapi
menggalakkan lagi penganiayaan terhadap golongan ini kerana hasilnya bukan
kepada mereka tetapi kepada pihak sindiket. Ada laporan bahawa sindiket yang
tidak berperikemanusiaan ini malah tergamak mencederakan atau merosakkan
anggota tubuh pengemis yang diperalatkan bagi memudahkan lagi mereka mendapat
simpati.
Itu belum termasuk kumpulan memperalatkan kanak-kanak,
berselindung di sebalik penjualan produk, si celik yang kononnya membantu si
buta menjual tisu atau penanda buku, walhal tujuannya tidak lain tidak bukan
adalah untuk berkongsi hasil. Tidak kurang juga kehadiran pengemis dalam
masyarakat kita ada yang berakhir dengan jenayah seperti ragut atau samun. Soalnya,
kita bukan mahu menghalang orang membuat kebajikan atau membantu mereka yang
benar-benar memerlukan. Namun hakikatnya di negara kita, untuk golongan kurang
bernasib baik ini, mereka dilindungi dengan sebaik mungkin oleh kerajaan di
bawah undang-undang yang khusus untuk melindungi hak dan kepentingan mereka,
Akta Orang Papa 1997 (Akta 183).
Selain itu, terdapat agensi yang khusus untuk membantu mereka
seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan bukan sahaja
perlindungan malahan kursus kemahiran bagi membantu golongan kurang upaya
menjana pendapatan sendiri, rumah perlindungan bagi warga emas untuk mengelak
mereka jadi kutu rayau dan sebagainya. Di negeri-negeri, peruntukan bawah
bidang kuasa agensi pungutan zakat juga terbuka luas untuk golongan ini. Kerana
itu, berhadapan dengan golongan pengemis, tidak kira apa modus operandi, mereka
harus dicurigai.
Jika tidak, memberi sumbangan kepada mereka
yang kita anggap
sebagai sumbangan kebajikan, sebenarnya ia juga sumbangan untuk meningkatkan
lagi
masalah sosial dalam masyarakat kita.
Sumber
Sinar Harian
8 Oktober 2012