Rencana ini ditulis
oleh :
Muhamad Farid Yusof
Pelajar Fakulti
Pengajian Bahasa Utama,
Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM).
Facebook (FB)
merupakan laman sosial paling popular dalam kalangan remaja sekarang. Ada
sokongan bagi menguatkan kenyataan ini adalah, 34 peratus daripada jumlah
pengguna FB di Malaysia adalah generasi muda yang berumur antara 18 hingga 24
tahun. Di peringkat dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB
sebagaimana dilaporkan oleh laman www.socialbakers.com.
FB yang dilancarkan pada 2004 diilhamkan oleh Mark Zuckerberg, ketika berumur
21 tahun seorang lulusan Harvard umumnya bertujuan memudahkan penggunanya untuk
bersosial secara aktif dengan kenalan mereka serta menyatakan pendirian
terhadap sesuatu isu secara cepat dan berkesan. Oleh demikian, FB mempunyai
kelebihan yang perlu digarap oleh umat Islam untuk meluaskan jaringan dakwah
serta menerokanya dalam ertikata untuk memperbaiki persepsi terhadap Islam itu
sendiri.
Namun, persoalannya,
sejauh mana laman sosial popular seperti FB ini boleh digunakan sebagai medium
dakwah dalam kalangan umat Islam dan bukannya sebagai satu alat yang melekakan
dan mengurangkan produktiviti masyarakat? Jawapan kepada persoalan ini
sebenarnya memanggil pendakwah zaman moden kini berdepan dengan cabaran baru
yang jauh lebih sengit daripada era media massa tradisional yang terbatas
kepada radio, televisyen dan akhbar sahaja apabila sesetengah masyarakat tidak
lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun
1970-an, 1980-an dan 1990-an. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mula
memikirkan jawapan kepada cabaran baru ini agar Islam tidak ketinggalan dalam
peredaran zaman globalisasi kini.
Antara langkah utama
setiap muslim dalam menyebarkan dakwah di FB adalah setiap informasi mestilah
bersandarkan ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijaksana agar mencetuskan
perubahan kepada diri manusia sebagaimana mafhum daripada Surah An Nahl ayat
125. Sebagai contoh, dakwah boleh disebarkan dengan kita mendisiplinkan diri
semasa 'berFB' iaitu menulis status menggunakan perkataan dan gaya bahasa yang
baik. Justeru, setiap muslim haruslah mengambil faedah dengan menggunakan
segala kelengkapan yang ada pada FB tersebut seperti Wall Post, Notes, Pictures
Sharing sebagai medium untuk menyampaikan fikrah dakwah kepada pengguna
Facebook.
Selain itu , kita
boleh kongsikan aktiviti harian dan pengalaman berbentuk pengajaran yang
disulami dengan ayat-ayat Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW sebagai bahan
dakwah yang berkesan kerana ia boleh di likes dan di-share kan oleh semua
pengguna FB serata dunia hanya dalam beberapa saat. Contohnya, status FB
berunsur dakwah yang diselitkan mafhum ayat al-Quran dan hadis oleh bekas Mufti
Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di-likes dan di-share oleh beribu-ribu
pengguna laman sosial itu. Bahkan "page Dr.Maza.com di-likes hampir 111
,000 pengguna laman sosial itu. Ini menunjukkan bahawa dakwah melalui FB juga
mendapat tempat di hati masyarakat namun ia memerlukan kaedah dan metod yang
sesuai.
Dr. Zaharuddin Abd
Rahman dalam laporan Utusan Malaysia Online yang bertajuk "Capaian dakwah
maya lebih meluas" berkata bahawa media baru kini umpama ribut tsunami
kerana ia berupaya mempopularkan seseorang serta menyebarkan pengaruh dalam
masa yang amat singkat. Beliau juga berkata hampir, semua orang mempunyai akaun
FB sendiri, semestinya mereka mempunyai jumlah rakan tersendiri dalam laman
sosial tersebut. Oleh itu, setiap status yang dikemas kini akan dibaca oleh
setiap rakan maka pendakwah perlu segera merancang dan mengambil kesempatan
daripada kemudahan ini untuk menyebarkan Islam melalui pendekatan yang santai
dan digemari tersebut. Strategi yang digunakan untuk menyampaikan dakwah
perlulah bersifat fleksibel dan praktikal agar relevan dengan peredaran semasa.
Sekiranya kita
sebagai pendakwah mampu memanfaatkan FB dengan memaksimumkan kreativiti,
pengisian serta gaya penulisan yang baik, maka ia akan menjadi tarikan kepada
pembaca serta medium berguna untuk kita sebarkan link blog dan mempromosikan
artikel dakwah yang ditulis. Sebagai contoh, laman web iluvislam.com mempunyai
pengikut hampir satu juta di laman sosial FB, bahkan setiap artikel dan hasil
penulisannya sering di-likes dan di-copy serta di-share oleh pengguna FB dalam
masa beberapa minit ia dikeluarkan. Kini, ia menjadi tempat rujukan utama oleh
pengguna FB untuk mendapatkan bahan-bahan dakwah. Penguasaan FB oleh umat Islam
mampu merubah fenomena 'kegilaan' masyarakat daripada perkara yang tidak
bermanfaat kepada pengetahuan ilmu agama dengan mengislamkan dunia siber.
Jika hal ini menjadi
kenyataan, maka aktiviti-aktiviti yang 'menjolok mata' dan melemahkan minda
seperti kenyataan yang melampaui batas, penyebaran hadis-hadis palsu,
penyebaran fitnah dan kongsi gambar-gambar yang bersalahan dengan syariat yang
berlaku dalam pengisian FB dapat dikurangkan. Sewajarnya, FB boleh dijadikan
medium untuk merapatkan lagi hubungan interaksi sesama kaum serta mendekatkan
masyarakat bukan islam dengan Islam itu sendiri. Buktinya, banyak 'status'
tentang hukum-hukum Islam tersebar dalam laman FB mereka, bahkan ia turut
dikongsi oleh mereka. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas dalam akaun laman
sosial seseorang yang mempunyai rakan pelbagai kaum sama ada Cina, India
mahupun Melayu dimana hubungan interaksi antara kaum menjadi semakin rapat
dalam FB, walaupun secara lumrahnya masing-masing segan untuk bertegur sapa. FB
menjadi tunjang dalam menyebarkan dakwah di era millennium ini.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
18 Mei 2012