JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Julai 2011

ISU KENEGARAAN : PERHIMPUNAN HARAM "BENCANA BARU" MENYUSAHKAN RAKYAT

Pencetus ketegangan 
tidak syukuri nikmat kemerdekaan


Ramai kecewa kerana pihak penganjur terus berdegil untuk meneruskan perhimpunan haram di ibu negara, Kuching dan Kota Kinabalu, Sabtu depan. Polis sudah menutup ruang rundingan kerana penganjurnya, terutama Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) tidak mahu membatalkan hasrat itu. Wartawan Berita Minggu, MOHD AZIS NGAH dan NADIA HAMID mendapatkan pandangan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Dr Azman Amin Hassan dan pakar keselamatan, Kamal Affendi Hashim untuk membincang lanjut isu ini. Ramai mengatakan penganjuran perhimpunan kali ini dipengaruhi anasir asing yang memilih kaedah bantahan jalanan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati berbanding saluran betul seperti melalui pilihan raya. Adakah mereka ini sebenarnya berada di bawah telunjuk ‘tangan asing’ yang cuba merosakkan keamanan negara?

Ya, itulah yang kita nampak hari ini. Perhimpunan BERSIH jelas dipengaruhi keputusan dan amalan dunia luar untuk menggulingkan kerajaan seperti di Asia Barat, misalnya di Mesir yang cuba menukar kerajaan melalui cara lain, lihat apa berlaku di negara jiran, Thailand, sehingga kini masih bergolak akibat politik. Itulah mereka cuba lakukan saya percaya ia memang dipengaruhi hasutan pihak tertentu. Walaupun negara kita aman, masih ada tidak berpuas hati dan meluahkan perasaan dengan cuba mengheret rakyat melalui hasutan, itu sebenarnya amat berbahaya. Rakyat dihasut supaya menyertai perhimpunan, ada yang cuba menumpang seronok, sedangkan mereka tidak mengkaji kesannya secara mendalam. Sudah tentu kerajaan risau, memang akan ada yang cuba membuat kacau, cetuskan pergaduhan, ketegangan hingga ia boleh merebak menjadi perkara lain. Bahkan, tidak mustahil ia boleh mencetuskan isu perkauman. Semua itu patut dihindar sebab negara kita aman, jauh daripada bencana alam, kita patut bersyukur.

Kenapa perlu mencipta bencana baru dengan cetuskan huru-hara, sedangkan kita ada pilihan menukar kerajaan melalui pilihan raya. Jika betul mereka ingin adakan perhimpunan, kenapa tidak memilih tempat tertutup yang dibenarkan, misalnya di Stadium Bukit Jalil yang boleh memuatkan 100,000 orang. Jangan berhimpun di tempat awam, itu mengganggu orang ramai yang tiada kena mengena dengan perjuangan mereka. Jelas, mereka cuba buktikan Malaysia negara yang huru-hara, sedangkan hakikatnya kita selamat dan tenteram. Badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik ekstrem akan buat apa saja untuk mencabar kerajaan, mereka mendakwa perlukan demokrasi, tetapi kenapa tak amalkan demokrasi melalui saluran betul. Dalam situasi ini, kerajaan tersepit di celah-celah kenakalan anak Malaysia yang tidak tahu bersyukur. Saya percaya, mereka sebenarnya cuba ‘mencipta nama’ di persada antarabangsa dengan menjadi wira jalanan. Kerajaan sudah buat macam-macam, tetapi masih ada yang sangkal pelaksanaan dasar kerajaan. Dalam usaha pulihkan negara, kita sepatutnya bersatu, kerana melalui cara itu kita akan jadi hebat tetapi masih ada pihak tertentu cuba meracuni rakyat dengan mendakwa kerajaan tidak bersih.

Berdasarkan beberapa bukti ditemui polis, wujud kemungkinan, perhimpunan bantahan itu juga sebenarnya adalah cubaan menghidupkan semula fahaman komunis secara senyap?

Fahaman komunis sudah lama terpadam. Ideologi itu basi dan tidak lagi diterima rakyat. Negara China sudah moden dan berubah tetapi nampaknya di negara kita, cubaan menghidupkan semula fahaman komunis dan ada yang sebarkan gerakan sosialis. Kononnya, mereka cuba menuntut keadilan. Kita kena rujuk Perlembagaan Persekutuan yang dirangka hasil kesepakatan semua kaum. Semangat perpaduan itu perlu dilihat. Jangan gunakan alasan itu adalah sejarah lama, generasi baru kena cipta sejarah baru, itu tak betul. Kalau buat sejarah baru untuk memajukan negara, kita boleh terima. Negara kita amalkan sistem Raja Berperlembagaan, kita kena pegang dan jangan sesekali terpedaya dengan anasir komunis dan sosialis. Negara kita jelas berbeza. Contoh paling mudah, tanya rakyat Malaysia yang biasa ke luar negara, apa perbandingan yang mereka katakan berbanding negara lain. Nikmat perpaduan yang kita ada di sini cukup baik yang tidak ada di dunia lain kerana pelbagai kaum boleh bersatu dan hidup aman di Malaysia. Di sini, kita bersyukur kerana mudah mencari rezeki, sedangkan negara lain masih pada takuk lama, nak dapatkan kerja pun susah. Semua itu hasil ruang yang disediakan kerajaan. Bahkan, warga asing datang ke sini boleh hidup senang, ada kerja. Kenapa kita tak bersyukur dengan semua nikmat itu. Bulan lalu, 30 warga Korea Selatan datang ke sini. Mereka adalah wakil kerajaan dan NGO yang melawat Malaysia. Apabila pulang, mereka datang semula ke sini dengan 60 orang dan ucapkan tahniah kerana kita berjaya buktikan perpaduan. Bulan ini, 100 pemimpin negara itu akan datang ke sini. Kita perlu kaji, kenapa mereka suka datang ke sini. Mereka kagum dan kita dijadikan negara contoh. Kita tidak sedar betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia. Jangan besarkan isu kecil yang boleh diselesaikan.

Matlamat sebenar perjuangan pihak tertentu kononnya menuntut keadilan dilihat semakin terpesong. Semua bercampur aduk dengan kepentingan peribadi dan campur tangan pihak luar?

Memang tujuan itu sudah tersasar. Kalau nak hantar memorandum, bukan itu caranya. Banyak cara lain boleh buat dan semua itu ada pilihan. Dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tak telus juga dipersoalkan. Kalau tak telus, takkan pembangkang boleh tawan lima negeri ketika pilihan raya umum lalu. Jika dibandingkan dengan negara maju, misalnya di United Kingdom, kempen pilihan raya di sana cukup hebat. Calon hanya menyampaikan ceramah dan kempen mengenai manifesto parti, bukan cari kesalahan dan hentam lawan. Tetapi semua itu berbeza di sini, selepas lima tahun masih cakap hal sama. Politik cuma untuk pilih kerajaan, bukan berpuak, berpecah belah, bermusuh. Agama tak galakkan perpecahan tetapi menyuruh kita bermuafakat. Semua berbalik kepada asas agama, insya-Allah semua akan selamat. Banyak suara yang diam sebelum ini bersuara, menolak huru-hara. Logiknya tindakan kekerasan tidak boleh dilawan dengan agresif. Api tak boleh lawan api, bertambah meletup. Tindakan mencetuskan api kemarahan itu kerja orang kurang waras. Jelas, kekecohan itu dicetuskan kumpulan kecil yang mencari pengaruh dan menambah pengikut. Saya percaya kerajaan tahu bagaimana nak berunding.

Ketika rusuhan di ibu negara beberapa tahun lalu, ramai pengikut HINDRAF bertindak ganas merosakkan harta awam. Itu membuktikan, apabila ramai yang berkumpul, akan berlaku tindakan luar kawalan dan ia bertentangan dengan janji penganjur untuk berkumpul secara aman?

Memang itulah yang akan berlaku. Peniaga sekitar perhimpunan jadi mangsa sebab mereka berdemonstrasi di tempat tumpuan umum. Ramai yang takut keluar sedangkan penganjur tahu, mereka sebenarnya ada pilihan untuk menyalurkan bantahan, bukan demonstrasi, itu budaya ganas. Walaupun tak mungkin berlaku darurat, ia sebenarnya menjejaskan emosi rakyat. Mereka timbulkan suasana tidak baik. Kalau betul mahu hantar memorandum, kerajaan boleh benarkan 10 orang serah memorandum atau berbincang dengan SPR. Kalau mereka tidak diberi ruang, kerajaan akan bermasalah. Apabila sudah tahu apa mereka mahu, barulah boleh bertindak. Memang tidak semuanya boleh dipenuhi, tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat peluang. Ada gimik mengatakan kalau kerajaan tak boleh tumbang melalui pilihan raya, kena guna cara jalanan, buat bantahan. Itu sebenarnya tak betul, sedangkan ramai yang memprotes adalah cendekiawan. Tentu mereka tahu bagaimana nak buat, tak perlu ikut orang yang berfikir mengikut emosi. Kalau mereka bijak, kenapa tak ubah prinsip ‘kenapa tak boleh setuju dengan apa yang kita tak setuju.’

'Tarik kerakyatan pengkhianat negara'

Penganjur perhimpunan kali ini seolah-olah mengulangi tayang propaganda rusuhan yang pernah berlaku sebelum ini. Bagaimanakah pandangan saudara mengenai trend ini?

Penganjuran perhimpunan bakal mencetuskan pelbagai masalah. Empat tahun dulu, saya pernah menyatakan transisi jenayah semasa seperti rompakan, curi, samun, kerosakan keperluan barang runcit dan samun kargo akan berubah kepada jenayah kebencian. Ternyata ia benar terjadi lima tahun selepas itu, dan kekacauan yang berlaku pada hari ini disebabkan transisi jenayah kebencian. Pengacau di sana-sini menimbulkan kebencian dan menyemarakkan kemarahan kepada mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan kepada mereka, sekali gus berusaha menganjurkan demonstrasi jalanan bagi menyemarakkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pemerintah. Malah, mereka membahaskan mengenai hak kebebasan bersuara tanpa mematuhi isi kandungan artikel 10 Perlembagaan Persekutuan seperti tidak sewenang-wenangnya menggunakan bahasa yang boleh merendahkan sesuatu kaum dan mencetuskan ketegangan.

Difahamkan, penganjur mempunyai matlamat bagi menuntut keadilan dalam pilihan raya namun, tidakkah mereka berfikir bahawa tindakan mereka hanya akan membahayakan orang awam keseluruhannya?

Seharusnya, sebuah perhimpunan mahupun demonstrasi yang sah perlu memiliki permit, sekali gus berkumpul di tempat tertutup bagi mengelak timbul masalah kepada individu tidak berkenaan. Jika diperhatikan, pihak berkuasa sudah menawarkan pilihan terbaik seperti diadakan di stadium tertutup, hadkan bilangan, elak orang awam dan jangan mencetuskan kekangan perkauman sekiranya masih mahu mengadakan demonstrasi berkenaan. Bagaimanapun, sikap angkuh menyebabkan BERSIH enggan menimbangkan tawaran berkenaan, malah tanpa ragu-ragu berdegil mahu meneruskan rancangan mengadakan demonstrasi di jalanan. Justeru, ia secara langsung akan membabitkan penyertaan orang awam. Kempen apabila dilakukan di tepi jalan dikhuatiri mengundang lebih ramai penyertaan dan penyokong membuta-tuli.

Ada penyokong BERSIH terutama peniaga mengambil kesempatan membantu mengiklankan demonstrasi jalanan itu, bagaikan mahu menghangatkan keadaan?

Kepada peniaga yang cuba mengaut untung di atas perniagaan sempena perhimpunan haram ini harus sedar tindakan mereka seolah-olah tidak menghormati perlembagaan negara dan institusi raja-raja dan harus faham maruah diri mereka terhadap negara. Saya rasa malu dengan pejuang tanah air yang terkorban kerana mempertahankan kedaulatan dan memastikan kemerdekaan pada negara.

Ahli dan penyokong parti pembangkang menunjukkan secara terang-terangan sokongan mereka terhadap perhimpunan haram?

Isyarat yang diberikan mengelirukan kerana mereka enggan menyuarakan rasa tidak puas hati masing-masing kepada Ahli Parlimen mahupun menggunakan saluran yang betul. Jika betul mereka sayangkan negara, guna saluran yang betul untuk suarakan rasa tidak puas hati masing-masing. Memetik peristiwa di bazar malam uptown Shah Alam, polis mengadakan sekatan jalan raya apabila ada laporan berlaku demonstrasi. Walhal, maklumat itu tidak tepat sebaliknya, propaganda bagi mencetuskan ketegangan antara penduduk dan pihak berkuasa. Polis bertugas bagi memastikan keselamatan dan keamanan. Justeru, apabila segelintir masyarakat merungut, saya berpesan supaya menghalau penganjur bukannya pihak yang memastikan keselamatan kita, baru masyarakat faham tujuan tugas polis.

Benarkah dakwaan bahawa tindakan segelintir pihak memprovokasi pihak berkuasa, mempunyai niat jahat yang tersembunyi?

Jika diperhatikan, ada pihak sengaja melakukan kekacauan supaya tindakan diambil dan apabila ditangkap serta dikenakan tahanan seperti ISA, mereka akan menuduh dan menyambung tohmahan serta bangkangan kepada pemerintah. Ia sekali gus mengukuhkan dakwaan mereka ditindas sedangkan ia dirancang pihak pengacau. Kenapa pengacau memulakan serangan hanya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM)? Situasi ini sama ketika reformasi dan HINDRAF. Seperti berlaku pada zaman komunis apabila persatuan sekerja dan orang Melayu diguna untuk menggulingkan pemerintah. Hasutan digunakan untuk kucar-kacirkan keadaan.

Pesanan dan ingatan saudara kepada orang awam supaya menghindari perhimpunan haram?

Jika tidak berpuas hati, nyatakan melalui peti undi bukannya mengamuk tidak tentu pasal. Niat mengadakan perhimpunan sudah melencong kerana negara Malaysia tidak mengamalkan keganasan. Pengkhianat terbabit perlu malu dan segan dengan pejuang tanah air yang sudah berkorban dan terkorban memperjuangkan tanah air kerana ada pihak agungkan ideologi komunis kerana ia tamparan kepada sejarah bangsa. Sekiranya masih mahu menyertai demonstrasi itu, ia sahkan bahawa mentaliti 1970-an masih menebal. Justeru, tarik saja kerakyatan dan tinggal di negara lain yang mahu menerima anda. Masyarakat yang sayangkan negara seharusnya celik undang-undang, perlembagaan dan tanggungjawab terhadap negara. Penduduk Malaysia ramai 'kaki tengok'. Semua akan ditengok, namun elakkan jadi mangsa dan jangan sertai perhimpunan ini, hormati diri sendiri. Faktor diperalatkan seperti 'kerbau dicucuk hidung', api dalam sekam dapat dilihat dalam perhimpunan HINDRAF. Ramai orang awam ditahan, tiada siapa mampu menjamin. Berhenti kerja, diberhentikan kerja dan kehilangan maruah diri, sedangkan penganjur dan dalang tetap hidup mewah. Keganasan ideologi (era baru) berbahaya kerana keganasan wujud secara senyap-senyap namun, tidak mampu dikekang. Untuk cetus keganasan amat mudah. Cuma perlukan kayu api (masyarakat dipesongkan), bahan bakar (tok dalang) dan mancis (ambil kesempatan). Justeru, fenomena 'mass histeria' berlaku dan keamanan negara bakal bergolak seperti negara jiran.

SUMBER
BERITA MINGGU
10 JULAI 2011

ISU UMUM : TUNTUTAN HALAH DAN HARAM

Oleh Mior Kamarul Shahid



Setiap manusia mahukan kebebasan untuk menjalani kehidupan seharian. Mereka bukan saja tidak suka dikongkong, malah tidak gemar kepada orang yang ‘suka menjaga tepi kain orang lain’. Jika boleh mereka mahu melakukan apa saja tanpa diperhati, apatah lagi larangan dan sekatan. Kalau boleh, mereka tidak mahu adanya undang-undang walaupun mereka tahu tanpa undang-undang kehidupan manusia menjadi huru-hara dan dunia tidak akan aman. Jika melakukan dosa sekalipun, mereka sanggup mengatakan ‘kubur lain-lain’. Begitulah kuatnya pegangan manusia terhadap kebebasan. Di negara Barat, kerana mahukan hidup bebas, apa juga tindakan yang dianggap sebagai kawalan dan sekatan, ditentang.  Mereka mempertahankan hak mereka sebagai manusia – lelaki memperjuangkan hak mereka. manakala perempuan pula mempertahan dan menuntut hak mereka. Gay juga mahu mereka diiktiraf sebagai rakyat dan manusia yang berhak diberi kebebasan termasuk hubungan seks.

Disebabkan kumpulan ini juga ramai dan mempunyai kuasa undi dalam sistem demokrasi, mereka dilayan sama rata. Manusia, walau apa pun juga matlamat hidupnya, tidak boleh berjuang bersendirian. Mereka terpaksa membuat tuntutan dengan bernaung di bawah kumpulan masing-masing. Ini bermakna mereka juga mempunyai hak kebebasan berpersatuan. Maka wujudlah pelbagai persatuan dan kesatuan. Daripada sekecil-kecil persatuan hinggalah kepada kesatuan sekerja ditubuhkan dengan matlamat tertentu khasnya untuk menjaga kepentingan ahli masing-masing. Lebih ramai orang dalam kumpulan itu, adalah lebih baik. Bagi yang memperjuangkan hak diri, mereka menubuhkan pertubuhan hak asasi untuk memperjuangkan kebebasan manusia. Apa juga ditakrif sebagai hak mereka sebagai manusia diperjuangkan. Jika terpaksa memperjuangkan hak menghirup udara bersih, mereka menuntut supaya kilang-kilang menutup operasi kilang mereka.

Perjuangan mereka mendapat sambutan kerana matlamat pertubuhan mereka selari dengan naluri manusia yang mengejar kebebasan. Kebebasan di Barat tidak ada batasannya, ada kalanya melampaui batasan budaya. Walaupun begitu, disebabkan Barat dianggap sebagai model kemajuan fizikal dan pemikiran dunia, perjuangan mereka cepat merebak ke serata dunia. Apa juga dilakukan di Barat ditiru oleh masyarakat negara lain walaupun di negara yang mempunyai tamadun dan jati diri serta budaya sendiri. Lelaki dan wanita yang belum berkahwin duduk serumah sudah dianggap biasa, melahirkan anak luar nikah tidak siapa yang hiraukan malah dihebahkan, perkahwinan sejenis sudah menular dan pelbagai lagi perbuatan luar biasa manusia yang diamalkan di Barat.  Tidak semua pembawaan Barat yang buruk dan tidak boleh digunakan. Ada yang baik dan sesuai, boleh digunakan manakala ada yang perlu diubah suai.

Amalan sistem demokrasi, umpamanya, adalah satu cara memilih kerajaan yang boleh digunakan, tetapi ia perlu diubah suai mengikut keperluan tempatan. Demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan bukan budaya rakyat negara ini.  Demonstrasi, piket dan bantahan berlaku atas pelbagai alasan. Jika kebajikan mereka diabaikan, mereka berkumpul beramai-ramai dan membantah untuk menunjuk perasaan di tepi-tepi jalan. Dengan sepanduk tertera mesej bantahan, mereka melaungkan tuntutan mereka itu. Mereka berbuat demikian kerana mereka adalah badan berdaftar dan melakukannya mengikut peraturan yang ditetapkan. Keadaan seperti ini berlaku hampir setiap hari. Ini tentunya tidak sama dengan perhimpunan yang diatur pertubuhan tidak berdaftar. Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tidak memenuhi ciri-ciri ini kerana ia bukan badan berdaftar dan tujuannya pula bermotif politik. Perhimpunan itu dilarang kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dan boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Perhimpunan haram adalah terma undang-undang mengenai sekumpulan manusia dengan niat tertentu melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kekacauan dan menjejaskan keamanan.  Jika kekacauan mula berlaku ia dianggap sebagai ‘rout’ di mana keadaan mulai kecoh tetapi apabila ia sudah berlaku dan tidak terkawal ia dianggap sebagai ‘riot’ apabila ia sudah berada pada tahap huru-hara. Polis atau pasukan keselamatan terpaksa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan perkara buruk berlaku. Huru-hara mungkin berlaku dalam tempoh yang singkat tapi kesannya kepada negara akan berkekalan dan tercatat dalam sejarah negara. Ia menjejaskan imej negara seterusnya menjejaskan suasana ekonomi dan pelaburan. Industri pelancongan juga terjejas. Jika perhimpunan haram ini dianggap sebagai tuntutan kebebasan politik ia adalah tanggapan yang salah kerana di Malaysia kebebasan sememangnya wujud dengan kebenaran mereka menganjurkan pelbagai kegiatan politik, menerbitkan menerbitkan media sendiri dan paling penting membenarkan sesiapa juga menyertai pilihan raya sekiranya mematuhi syarat yang ditetapkan.

SUMBER
BERITA MINGGU
10 JULAI 2011

ISU WANITA : TANGAN YANG MENGGEGAR DUNIA

oleh Hafizahril Hamid


Thailand menempa satu perkembangan politik bersejarah apabila buat pertama kali seorang perdana menteri dari kalangan wanita terpilih memegang tampuk pemerintahan. Yingluck Shinawatra, seorang wanita jelita yang hanya berusia 44 tahun kini mencipta nama di puncak dunia. Bersama partinya, Pheu Thai, beliau dijangka tidak berhadapan sebarang masalah untuk dilantik sebagai perdana menteri sekaligus menaikkan taraf wanita Thai ke peringkat yang lebih baik. Namun masalah besar juga dijangka dihadapinya memandangkan namanya kini terpalit dengan imej abangnya, bekas Perdana Menteri yang disingkirkan dan kini hidup dalam buangan di Dubai, Thaksin Shinawatra yang dikatakan bakal memainkan peranan penting di belakang tabir.

Perjuangan

Berdasarkan sejarah, golongan wanita terpaksa melalui pelbagai kesukaran untuk menuntut hak-hak mereka dalam pelbagai sudut dari hak untuk mengundi, mendapat layanan yang lebih adil, taraf pekerjaan yang lebih baik dan pelbagai lagi. Malah berdasarkan sejarah juga yang tidak terlalu lama lebih kurang 150 tahun lalu, wilayah Wyoming di Amerika Syarikat (AS) menjadi negeri pertama yang membenarkan wanita mengundi dalam pilihan raya. Kebanyakan negeri lain di AS seperti Arizona, Illinois, Oregon dan lain-lain hanya membenarkan wanita mengundi selepas 1911. Sebelum itu kebanyakan wanita hidup dalam keadaan yang tertekan akibat ditindas hak mereka kecuali wanita yang dilahirkan dari keluarga berada.

Demokrasi

Menurut sejarah lagi New Zealand merupakan negara pertama yang membenarkan wanita hak untuk mengundi pada 1883. Namun negara itu tidak diiktiraf kerana ia masih berada di bawah jajahan British. Negara merdeka pertama yang memberi hak sepenuhnya kepada wanita dalam pengundian adalah Finland pada 1906 malah 19 dari 200 ahli Parlimen mereka adalah wanita. Bagi wanita di Britain yang berusia 21 tahun ke atas, mereka hanya dibenarkan mengundi pada tahun 1928.

Pertama

Namun kejayaan besar yang membuktikan wanita juga mampu melaksanakan tugas memerintah negara seperti mana lelaki hanya bermula 61 tahun lepas apabila Sirimavo Bandaranaike dilantik sebagai Perdana Menteri Sri Lanka (dikenali sebagai Ceylon ketika itu). Sejarah yang tercipta ini bermula selepas kematian suaminya Solomon Dias Bandaranaike yang merupakan perdana menteri sebelum beliau di bunuh. Ini menyaksikan beliau mengetuai Sri Lanka Freedom Party (SLFP) dalam pilihan raya pada 1960 dan seterusnya mencipta sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama di dunia. Bandaranaike telah dipilih sebagi perdana untuk tiga penggal iaitu pada 1960-65, 1970-77 dan 1994-2000.

Dibunuh

Negara jirannya, India juga mencatat sejarah apabila Indira Gandhi telah terpilih sebagai perdana menteri pada 1966. Beliau memegang jawatan tersebut selama 10 tahun dan sekali lagi berjaya dalam pilihan raya 1980. Malangnya beliau dibunuh pada 1984. Indra Gandhi mencatat sejarah sebagai perdana menteri wanita paling lama memerintah di dunia iaitu selama 15 tahun dan beliau juga mencatat sejarah tersendiri apabila pernah disumbat di dalam penjara selain satu-satunya pemimpin wanita yang pernah mengeluarkan arahan pelaksanaan darurat.

Presiden

Seterusnya sejarah tercatat apabila Presiden pertama dari kalangan wanita terpilih pada 1974 apabila Isabel Martínez de Perón dilantik menggantikan suaminya sebagai presiden Argentina. Namun malang baginya kerana beliau dianggap sebagai tidak berkeupayaan kerana dikatakan hanya menjadi boneka kepada orang kanannya López Rega. Beliau akhirnya digulingkan pada 24 Mac, 1976 dan dikenakan tahanan rumah selama lima tahun sebelum di buang negeri ke Sepanyol.

Wanita besi

Sejak kemunculan pertamanya dalam politik pada tahun 1950 wanita ini telah mencipta auranya yang tersendiri. Dilantik sebagai Ahli Parlimen pada 1959, Setiausaha Pelajaran dan kemudian pemimpin pembangkang, Margaret Thatcher sememangnya nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Memegang jawatan Perdana Menteri pada 1979 hingga 1990 beliau telah meningkatkan imej Britain sebagai antara negara terhebat walaupun ia diketuai oleh seorang wanita.

Kuasa rakyat

Wanita ini akan dikenali dalam sejarah sebagai wanita hebat yang memimpin rakyat dalam Revolusi Kuasa Rakyat pada 1986 walhal sebelum ini Corazon Aquino mengaku bahawa dirinya hanyalah seorang wanita biasa yang menjadi surirumah sepenuh masa. Namun sejarah tercipta selepas pembunuhan suami Benigno Aquino, Jr. pada 1983 yang cuba pulang ke Filipina setelah hidup dalam buangan di AS. Beliau yang mengetuai parti United Nationalist Democratic Organization (UNIDO) bertanding dalam pilihan raya 1986 tetapi diisytiharkan kalah. Namun beliau bersama jutaan rakyat merusuh di jalanan sekaligus menggulingkan pemimpin diktator, Ferdinand Marcos yang akhirnya membuka lembaran baru kepada rakyat negara itu.

Islam

Benazir Bhutto akan tercatat sejarah sebagai pemimpin negara Islam pertama di dunia yang terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan. Walaupun dua kali terpilih sebagai perdana menteri iaitu pada 1988-1990 dan 1993-1996, beliau tidak sempat menghabiskan penggal pemerintahan apabila disingkirkan dari kuasa atas alasan rasuah. Namun percubaan ketiganya membawa padah apabila dibunuh dengan kejam dalam satu insiden letupan ketika sedang berkempen pada 27 Disember 2007. Seorang lagi pemimpin wanita yang kini digelar sebagai antara pemimpin paling berpengaruh di dunia adalah Canselor Jerman, Angela Merkel. Beliau yang juga wanita pertama dilantik mengetuai Jerman turut memegang jawatan sebagai Presiden Kesatuan Eropah. Menarik untuk diperkatakan di sini walaupun semua wanita yang dinyatakan di atas ini memegang tampuk kuasa tertinggi di negara masing-masing, namun pada masa sama tetap memainkan peranan penting sebagai ibu dan isteri kepada pasangan mereka dengan cemerlang.

Malang

Namun malang bagi negara yang dianggap kuasa besar dunia dan merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kecuali United Kingdom, empat lagi negara iaitu Perancis, Rusia, China dan pastinya AS tidak pernah mempunyai pemimpin tertinggi daripada kalangan wanita. Rusia dan China yang berbangga dengan sistem komunisnya walaupun sudah semakin pudar 'warnanya' masih terlalu jauh untuk menobatkan wanita sebagai pemimpin utamanya. Manakala Perancis dan AS yang berbangga menunjang sistem demokrasi dunia masih belum kearah itu, 'mungkin' dalam Pilihan raya Presiden akan datang. Waima apa pun, peranan wanita kini semakin signifikan dalam kehidupan rumpun manusia walaupun pada masa yang sama tetap sama menghayunkan buaian dan bermanja dalam dakapan suaminya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
10 JULAI 2011