Oleh
Ruhaiza Rusmin
Ketika
kerajaan berusaha mencapai status cemerlang dan profesional dalam industri
pendidikan, imejnya sedikit tercalar dengan isu ijazah dan graduan palsu,
baru-baru ini. Biarpun dianggap kes terpencil, isu berkenaan masih dianggap
besar dan perlu ditangani segera bagi memastikan imej institusi pendidikan
tinggi lain tidak terjejas atau dipersoalkan. Penipuan itu juga menimbulkan
tanggapan lebih memalukan dengan memperlihatkan betapa terdesaknya masyarakat
memperoleh status tinggi walaupun melalui jalan salah. Mengapa ia berlaku
sedangkan pengawalan ketat diberikan tanpa kompromi. Adakah pihak berkenaan
hanya memikirkan keuntungan dan kepentingan diri semata-mata hingga melanggar
tatasusila serta undang-undang?
Timbalan
Rektor Perancangan dan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),
Profesor Datuk Dr Md Tahir Md Azhar berkata, persoalan perlu ditekankan ialah
soal etika yang menjadi kata kunci terhadap segala tindakan. Beliau berkata,
jika seseorang mempunyai nilai etika yang tinggi, mereka tidak mungkin tergamak
melakukan kesalahan dengan mengambil jalan pintas bagi memperoleh ijazah
ataupun menyediakan institusi palsu. “Malangnya, mereka yang ‘terdesak’ ini
tidak mahu memikirkan soal itu, sebaliknya bersikap ambil mudah dan sanggup
melanggar etika, nilai moral serta melakukan kesalahan undang-undang demi
memuaskan kehendak hati. Yang penting, keuntungan, mempunyai kelulusan hebat
setara orang lain hingga mampu mengagumkan masyarakat dan dipandang tinggi
kerana kelebihan pada diri,” katanya.
Beliau
mengakui, fenomena itu ada kaitan dengan persaingan sengit dalam kerjaya
sehingga mendorong seseorang itu melakukan apa saja, apatah lagi dengan sikap majikan
yang terlalu memilih. Kebiasaannya, katanya, ijazah dari luar negara selalu
dipandang tinggi menyebabkan ada yang mengambil kesempatan untuk menawarkan
sesuatu secara mudah. “Mereka menggunakan peluang ini untuk meraih keuntungan
manakala pihak terdesak pula tidak peduli latar belakang institusi yang
dipilih. Asalkan ada bukti kelayakan luar negara sudah memadai. Adanya
permintaan dan penawaran ini menyebabkan perkara ini berlaku biarpun apa
ditawarkan itu ada kalanya tidak masuk akal, ia salah di sisi undang-undang
selain ‘mengotorkan’ nama industri pendidikan,” katanya. Enggan mengaitkannya dengan kesalahan pihak
tertentu, apa lebih dibimbangi ialah ijazah atau graduan palsu itu boleh
memberi kesan tidak terduga terhadap profesionalisme sesuatu institusi.
Memberi
contoh institusi pengajian tinggi, katanya, mereka yang ‘palsu’ ini boleh
menjejaskan kredibiliti, nama baik juga kewibawaan institusi juga warga
keseluruhannya terutama mahasiswa. “Misalnya, pensyarah palsu biarpun mempunyai
kelayakan berjela-jela atau gah, belum tentu mampu menjadi pensyarah berwibawa
dan memenuhi standard universiti. Pensyarah palsu biasanya gagal menjalankan
tugasan dengan baik tetapi lebih bahaya kesannya kepada pelajar yang mereka
didik. Justeru, ia bukan perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata kerana
kesannya sangat besar dalam mempengaruhi sistem sedia ada,” katanya mengakui
kes pemalsuan ijazah atau graduan bukanlah baru di negara ini namun lebih
ketara berlaku di negara luar. Di sini, ia boleh dianggap terpencil dan masih
dalam kawalan namun di negara luar, keadaannya berbeza terutama jika pemohonnya
datang dari negara yang mempunyai universiti tidak dikenali. Bagaimanapun,
setiap negara ada polisi sendiri bagaimana menanganinya dan kepekaan itu
penting bagi memastikan penipuan dilakukan itu mampu disekat,” katanya.
Katanya,
bidang bukan profesional antara berpotensi tinggi melakukan penipuan kerana
kurang mempunyai badan profesional yang memantau. “Bidang yang mempunyai badan
profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perundangan jarang dipalsukan
kerana mereka mempunyai polisi ketat dan sentiasa dikawal. Yang sering menjadi
mangsa ialah bidang seperti pengurusan dan pentadbiran kerana bukan saja
penawaran terhadap program sangat luas, malah membabitkan banyak institusi. Jadi,
pemantauan sukar dilakukan dan membolehkan bidang berkenaan ‘diceroboh’ mereka
yang tidak bertanggungjawab,” katanya. Bagi memastikan kesahihan dan ketulenan
ijazah atau graduan, ada pendekatan tertentu boleh digunakan. Kami sentiasa
peka, berhubungan dengan universiti asal, menyertakan sijil kelayakan asli
selain mendapatkan maklumat daripada rakan terdekat juga pandangan ahli
profesional sealiran. Jika ia dilakukan dengan tegas, saya percaya masalah ini
boleh dibendung dan mereka yang bersalah tentu tidak yakin mahu melakukan
kesalahan. Masalahnya, bukan semua bersikap seperti itu dan mudah percaya pada
kelayakan yang tertera pada sekeping kertas,” katanya.
Pada
masa sama, beliau juga berpesan agar majikan tidak terlalu taksub jika
disogokkan dengan kelayakan berjela-jela. “Jangan ada sikap ambil mudah dan
taksub dengan kelebihan calon. Selidik dulu kebenaran terutama jika disertakan
dengan kelayakan tidak masuk akal. Jika ada pencegahan dan pengawalan ketat,
saya percaya mereka ini juga tidak berani meneruskan langkah sumbang menggunakan
ijazah atau menjadi graduan palsu,” katanya.
Bahan
ini diperoleh dari :
Akhbar
Harian Metro,
Isnin,
6 Ogos 2012