Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
Warga asing, pendatang haram, PATI dan pelbagai lagi gelaran diberikan kepada kumpulan ini. Walaupun rakyat Malaysia telah lali dengan kehadiran mereka, namun ia terus menghantui kehidupan harian masyarakat negara ini. Hakikatnya, warga asing yang masuk secara sah masih diperlukan dalam sektor-sektor tertentu terutamanya yang tidak mahu diceburi rakyat tempatan. Disebabkan rakyat negara ini tidak mahu gaji yang kecil, kerja kotor, berbahaya dan berpanas, kebanyakan kekosongan itu kini diisi warga asing termasuklah yang masuk secara haram. Apabila permintaan meningkat dan peluang kerja bertambah, semakin ramai pendatang asing yang masuk membanjiri bandar, kampung hinggalah ke kawasan-kawasan pedalaman. Malangnya, ada di antara pendatang asing ini mengambil jalan mudah masuk dengan tujuan menjalankan kegiatan jenayah sementara ada juga yang dipaksa ke arah itu akibat gagal mencari kerja dengan pendapatan yang cukup untuk menampung keluarga masing-masing. Sememangnya Malaysia bukan sahaja negara majmuk dari segi rakyatnya tetapi 'majmuk' juga dari segi kumpulan pendatang asing yang menyusup masuk.
Maka, tidak menghairankan antara jenayah yang paling biasa berlaku adalah pergaduhan dan pembunuhan di antara warganegara berbeza ini sama ada kerana berebut pekerjaan, kawasan penempatan haram, perempuan mahupun disebabkan ego dan 'maruah' puak masing-masing. Tidak kurang juga yang terlibat dengan jenayah kekerasan dan vandalisme akibat mabuk kerana ada di antara mereka yang meneruskan amalan tradisi suka meminum arak selepas sehari bekerja atau ketika hari cuti. Bagi rakyat Malaysia pula, jenayah yang paling dibimbangi adalah rogol dan bunuh terhadap wanita tempatan tanpa mengira usia atau status akibat warga asing yang kemaruk asmara, paling nyata dari sikap mereka membuat gangguan seksual mana-mana wanita setiap kali berkumpul dengan rakan sebangsa. Namun, kini terdapat sesetengah jenayah yang makin khusus kepada warganegara tertentu seperti mana media kini banyak melaporkan penipuan Internet yang didalangi warga Afrika atau 'awang hitam' yang semakin membanjiri bandar-bandar utama Malaysia. Bukan sahaja menipu belajar di institusi pendidikan tinggi swasta, 'awang hitam' turut menipu golongan wanita kaya dan individu lain menggunakan pelbagai skim dan rancangan halus melalui Internet khususnya laman sosial yang digilai penduduk negara ini sehinggakan mereka mampu menjadi jutawan segera.
Tidak ketinggalan, warga Iran yang semakin kerap tumpas di beberapa lapangan terbang negara dengan membawa masuk dadah dalam jumlah yang besar dan menggunakan pelbagai taktik licik menyorokkan bahan terlarang itu daripada pihak berkuasa. Warga Indonesia yang telah sekian lama membanjiri Malaysia berterusan ditangkap terlibat dalam kes rompakan, samun, pecah rumah dan bunuh terutamanya yang dikaitkan dengan ilmu hitam dan senjata berbahaya. Dari China pula, ribuan kes penipuan pas lawatan terus dicatatkan untuk menjadi gadis pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur terutamanya di rumah-rumah urut yang kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Tidak kurang juga warga China yang bersubahat dalam penyeludupan produk dari negara tersebut di samping bersubahat dalam 'industri' cetak rompak yang terus maju di setiap pelosok negara ini. Dari India, Pakistan dan Bangladesh pula lebih banyak dikaitkan dengan mengganggu wanita tempatan, merusuh dan terbaru, beberapa kes pembunuhan kejam termasuk melibatkan pembunuhan kanak-kanak dan mengerat badan mangsa. Dalam pada itu, warga Myanmar yang rata-ratanya merupakan pelarian politik, lebih banyak menjalankan perniagaan secara haram tetapi bilangan mereka yang semakin ramai, kian membimbangkan penduduk setempat.
Tidak lupa juga kepada jiran di utara dan selatan Semenanjung di mana rakyat Thailand menyeludup minyak (diesel) dan barang-barang terkawal yang harganya lebih murah. Rakyat Singapura pula dikesan melanggar undang-undang jalan raya, tidak membayar saman dan mungkin terlibat dengan penipuan laporan kecurian kenderaan di Malaysia. Walaupun mengeluarkan nada seolah-olah membenci warga asing, hakikatnya rakyat Malaysia yang ramah mesra hanya membenci kepada segelintir mereka yang mencemar dan mengganggu ketenteraman hidup di negara ini. Jenayah sebenarnya tidak mengenal bangsa dan kerakyatan tetapi jumlah penjenayah pendatang asing akan melonjak sejajar dengan peningkatan mendadak warga asing ke negara ini. Kebelakangan ini juga, rakyat Malaysia sudah mula mengambil tindakan sendiri terutamanya terhadap warga asing yang mabuk dan mengganggu wanita tempatan. Jika golongan pendatang seperti ini terus dipandang enteng pihak berkuasa, akhirnya rakyat pasti akan bangkit dan bertindak sendiri demi menjaga keluarga, bangsa dan negara tercinta ini.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 DISEMBER 2011