24 Oktober 2009

MESYUARAT PEMBINAAN MODUL PENGAJARAN KOMPONEN SASTERA DALAM MATA PELAJARAN BAHASA MALAYSIA DI HOTEL OLYMPIC KUALA LUMPUR PADA 06 - 09 OKTOBER 2009

Wakil Sarawak
Cikgu Zulkarnain Farihin Philip
SMK Sacred Heart, Sibu


Wakil Sarawak
Cikgu Suraini Binti Junaidi
SMK Bako










Kami dipanggil berkumpul di Hotel Olympic Kuala Lumpur untuk menggubal Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dan juga menyediakan Modul Pengajaran dan Pembelajaran KOMSAS Tingkatan 1 dan Tingkatan 4. Terima kasih diucapkan kepada Bahagian Perkembangan Kurikulum yang memberi penghormatan kepada kami semua. Sesungguhnya, sebagai wakil Negeri Sarawak saya berbangga kerana banyak pengalaman baru diperoleh dari guru-guru berpengalaman dari Semenanjung Malaysia dan Sabah. Walaupun masa amat singkat namun kemaslahatannya kepada kita tidak terhingga banyaknya.

22 Oktober 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

Tajuk : 1Malaysia dari sudut keikhlasan, persahabatan mahasiswa


MENYAKSIKAN keriuhan para pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) daripada pelbagai kaum menyambut tiga rakan mereka, Chew Kuan Khoon, 23; Steven Lim, 24 dan Seah Tiong Chai, 23 pulang dari London, kelmarin, membuatkan saya terfikir konsep 1Malaysia bukan omong kosong. Ketiga-tiga anak muda itu menjadi kebanggaan apabila menang lima anugerah utama pada pameran terbesar di United Kingdom – Invention, Innovation & Technology Show, The 9th British Invention Show. Gelagat mereka memberi keyakinan bahawa slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” menerusi 1Malaysia adalah gagasan yang betul. Acara sambutan itu diatur oleh para pelajar terutamanya dari kampus kejuruteraan di Nibong Tebal dengan bantuan Bahagian HalEhwal dan Pembangunan Pelajar.
Orang ramai yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas kelmarin tentunya dapat melihat keakraban para pelajar tersebut. Mereka bersorak riang ketika ketiga-tiga anak muda yang mewakili USM itu keluar dari Bilik Kenamaan di lapangan terbang itu. Sambutan tersebut seperti meneruskan citra pembangunan negara yang baru-baru ini menyaksikan perhimpunan lebih 2,500 pelajar dari seluruh negara dalam Perkampungan 1Siswa 1Malaysia di sini. Ia membuktikan anak-anak muda kita hidup bersepakat dan tidak ada tembok pemisah, khususnya dalam dunia pendidikan. Pihak yang selama ini ‘bising’ tentang masalah polarisasi dan kebimbangan terhadap perpaduan di kalangan anak-anak muda kita, patut melihat sendiri peristiwa itu. Anak-anak muda itu ke London bersama pensyarah mereka yang juga Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Prof. Abdul Latiff Ahmad dengan satu tekad.
Mereka mahu mengharumkan nama USM dan pastinya juga Malaysia. Hal ini sebenarnya bukanlah perkara luar biasa. Tradisi pelajar berlainan etnik tinggal sebilik di asrama telah dilakukan seawal penubuhan universiti ini. Pendekatan desasiswa yang menggabungkan antara desa dengan kehidupan mahasiswa selama ini menjadi teras untuk proses perpaduan yang berjaya mengurangkan sebarang jurang yang mungkin ada. Bukan sahaja di kalangan kaum tetapi juga daerah dan negeri. Malah dalam aktiviti akademik di dewan kuliah dan makmal mahu pun aktiviti berpersatuan, semangat 1Malaysia telah lama diterapkan. Apa yang merisaukan ialah apabila pandangan dari luar. Pihak inilah yang sering ‘mengusik’ dan menganggapnya sebagai satu masalah. Bagaimanapun sejak 40 tahun penubuhan USM, tidak pernah timbul hal-hal yang boleh menggugat semangat perpaduan.
Perhimpunan 1Siswa 1Malaysia di Pulau Pinang baru-baru ini yang menyaksikan sambutan cahaya dan persembahan pelbagai kaum serta sambutan kepulangan pelajar dari London itu meneruskan tradisi perpaduan yang kental di kalangan anak-anak muda, para mahasiswa mahu pun di kalangan ahli-ahli akademik. Anak-anak muda itu telah menterjemahkan makna “Pencapaian Diutamakan” melalui usaha bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama negara. Mereka juga menyambut kemenangan itu dengan semangat 1Malaysia tanpa mengira etnik ataupun agama. Sepatutnya semangat yang dibawa oleh anak-anak muda ini menjadi ikutan rakyat Malaysia. Terjemahkan erti perpaduan dengan penuh ikhlas.

KARANGAN PELAJAR TERPILIH

SOALAN

Anda telah diminta menyampaikan ceramah kepada persatuan ibu bapa dan guru sekolah anda tentang tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam menangani masalah ‘gangterisme’ dalam kalangan pelajar.
Sediakan teks ceramah tersebut.

JAWAPAN LENGKAP
Selamat pagi, saya selaku pengerusi majlis ucapkan kepada pengetua, Encik Vincent Liong Shuan Chuan, guru-guru, para ibu bapa, adik-adik pelajar, dan seterusnya hadirin dan hadirat sekalian. Gangterisme dalam kalangan pelajar boleh didefinisikan sebagai tindakan seseorang pelajar melanggar undang-undang dan peraturan sekolah dengan melakukan kesalahan jenayah dalam pelbagai bentuk. Menteri Pelajaran Malaysia iaitu Tan Seri Muhiddin Yassin menyatakan bahawa kemelut ini banyak melibatkan pelajar di sekolah menengah. Oleh itu, para ibu bapa diseru supaya dapat memainkan peranan dengan lebih aktif dalam menangani masalah ini. Dengan itu, pada pagi yang mulia lagi sejahtera ini, saya akan menyampaikan ceramah tentang tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam menangani masalah gangterisme dalam kalangan pelajar.

Hadirin sekalian,

Pada hemat saya, tanggungjawab dan peranan ibu bapa dalam mengatasi masalah ‘gangterisme’ adalah dengan memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka. Sesungguhnya, kehidupan kini menyebabkan masyarakat diburu oleh pelbagai urusan kehidupan yang tidak pernah berakhir. Hal ini disebabkan mereka hanya mementingkan kekayaan dan materialistik. Hasilnya, anak mereka akan terlibat dalam gangterisme seperti merompak, mencuri dan sebagainya untuk menarik perhatian daripada ibu bapa mereka. Dengan itu, ibu bapa seharusnya meluangkan masa menemani dan memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka. Hasilnya, mereka akan merasai kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak akan terjebak dalam gejala gangterisme. Tuntasnya, kasih sayang daripada ibu bapa dapat membantu kita dalam menangani masalah gangterisme.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memberi didikan agama kepada anak mereka untuk membendung masalah gangterisme. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, agama merupakan benteng yang kukuh untuk menahan segala nafsu jahat. Lebih-lebih lagi, anak-anak mereka dapat membezakan baik dan buruk dengan adanya asuhan agama yang kukuh. Dengan itu, ibu bapa perlu memberi asuhan didikan agama kepada anak mereka sejak kecil lagi. Pepatah Melayu mengatakan “melentur buluh biarlah dari rebungnya” amat bertepatan dengan situasi ini. Hasilnya, anak mereka tidak akan terjebak dalam gejala seperti memeras ugut, mencuri dan membuli. Jelaslah bahawa, didikan agama dapat membendung masalah gangterisme dalam kalangan pelajar.

Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada anak mereka. Sesungguhnya, ibu bapa yang terbabit dalam gejala gangterisme akan diikuti oleh anak mereka. Perkara ini dapat digambarkan dalam situasi peribahasa yang menyatakan “bapa borek, anak rintik”. Hal ini demikian kerana, anak-anak mereka dijaga, dibesar dan sentiasa bersama dengan ibu bapa mereka. Lantaran itu, ibu bapa harus mempunyai personaliti diri yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak mereka. Hasilnya, anak-anak mereka akan membesar dalam keadaan yang sihat tanpa dicemari oleh unsur-unsur negatif yang dangkal dan bobrok. Nyatalah di sini, ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik untuk mengatasi gejala gangterisme.


Bukan itu sahaja, ibu bapa seharusnya sentiasa peka dan prihatin dengan latar belakang kawan anak mereka. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, pelajar kini sering dipengaruhi oleh kawan sebaya mereka. Lebih-lebih lagi, mereka yang ingin menyahut cabaran kawan mereka untuk menyertai kumpulan gangter. Selain itu, mereka yang tidak mahu disish oleh rakan mereka akan terdorong untuk terjerumus ke pelbagai kancah permasalahan sosial seperti gengsterisme. Oleh itu, ibu bapa perlu mengenali semua kawan anak mereka. Lebih-lebih lagi, ibu bapa juga boleh menetapkan masa balik rumah anak-anak setelah keluar dengan rakan-rakan. Ibu bapa hendaklah selalau menghubungi anak-anak menggunakan telefon untuk mengetahui tempat mereka berada pada setiap masa. Dengan itu dapatlah dikatakan bahawa tabiat ibu bapa yang suka ambil tahu latarbelakang kawan anak mereka akan membantu kita untuk membendung masalah gangterisme.

Hadirin sekalian,

Selanjutnya, ibu bapa juga perlu menyelia dan menetapkan jenis rancangan televisyen yang sesuai untuk ditonton oleh anak mereka semasa berada di rumah. Pada hari ini, banyak rancangan televisyen yang ditayangkan berunsur negatif seperti memaparkan aksi bunuh-membunuh, meragut, mencuri, bergaduh dan sebagainya. Remaja pula sering terikut-ikut dengan aksi ditonton. Hal ini disebabkan, mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Dengan itu, ibu bapa perlu melarang anak-anak mereka menonton rancangan televisyen yang berunsur negatif. Hasilnya, minda anak-anak mereka tidak akan dicemari oleh unsur-unsur negatif negatif. Tegasnya, untuk menangani kemelut ini, ibu bapa perlu melarang anak mereka daripada menonton rancangan yang berunsur negatif.

Seterusnya, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk mewujudkan institusi kekeluargaan yang harmoni. Sesungguhnya, suasana keluarga yang porak-peranda akan menyebabkan anak tidak suka berada di rumah. Hasilnya, mereka akan selalu keluar dan keadaan ini akan mendorong mereka terbabit dalam gejala gangterisme. Oleh itu, ibu bapa seharusnya mewujudkan suasana rumah yang sentiasa aman dan damai. Sementelahan itu, ibu bapa perlu menunjukkan kemesraan dan meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak mereka. Dengan itu, hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak mereka dapat dirapatkan. Berdasarkan kenyataan yang diberi, jelas mengatakan bahawa institusi kekeluargaan yang harmoni dapat mengatasi masalah gangterisme.

Intihanya, ibu bapa memainkan tanggungjawab dan peranan yang penting untuk menangani masalah gangterisme dalam kalangan pelajar. Analoginya mudah, gangsterisme umpama penyakit H1N1, pelajar pula ialah pengidapnya. Jika penyakit H1N1 ini dapat dikesan lebih awal mangsanya pasti dapat diselamatkan dengan kepakaran yang kita ada. Walau bagaimanapun, andai kita lambat bertindak sudah pasti mangsanya akan menderita sehingga ada yang menemui maut. Sesungguhnya, dalam konteks gejala gangsterisme di kalangan pelajar ini kita harus mengamalkan prinsip “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Hal ini demikian kerana, merekalah merupakan generasi muda yang bakal memimpin negara, bak kata pepatah, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Ingatlah seruan Perdana Menteri Malaysia keenam, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam gagasan “Satu Malaysia”, yang berselogankan “ Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Sekian terima kasih.


KARANGAN INI DIHASILKAN OLEH :
Kong Mee Kiong, Tingkatan U6A1
JAWAPAN UNTUK SOALAN 1
PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2
STPM 2009

KARANGAN PELAJAR TERPILIH

SOALAN

Fenomena blog semakin mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini di negara kita. Pelbagai jenis blog wujud di alam maya, ada blog yang cenderung kepada kebaikan dan tidak kurang pula yang membawa keburukan.

Bincangkan kebaikan dan keburukan kewujudan blog dalam konteks negara kita Malaysia.

JAWAPAN LENGKAP
Blog boleh ditakrifkan sebagai satu situs atau portal maya yang mencatat pandangan penulis blog dalam bentuk jurnal. Fenomena blog semakin mendapat perhatian sejak akhir-akhir ini selepas kejayaan para “blogger” mengubah pendirian masyarakat dalam Pilihan Raya Umum tahun 2008. Blog kini sudah menjadi media alternatif yang memberi pandangan tentang sesuatu isu daripada sudut yang berbeza. Blog juga dapat berfungsi sebagai sumber rujukan kepada masyarakat. Kita haruslah bijak dalam menilai pandangan penulis blog kerana ada maklumat yang disampaikan hanya untuk menjaga kepentingan orang yang tertentu sahaja. Jadi, kita harus membicarakan tentang kebaikan dan keburukan blog dalam konteks negara Malaysia.


Pada hemat saya, blog dapat menjadi sumber rujukan bagi sesuatu perkara. Penulis blog dapat mengutarakan pelbagai jenis isu. Kita ambil contoh blog yang berkaitan dengan kesihatan. Blog ini menerangkan tentang tip-tip dan petua untuk menjaga kesihatan daripada segi permakanan, senaman dan gaya hidup. Jadi pembaca blog tersebut dapat mengetahui cara yang betul dalam menjaga kesihatan mereka. Selain itu, blog yang bertemakan penulisan dapat menerangkan cara penulisan yang betul terutamanya kepada pelajat yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi. Tuntasnya, fungsi blog sebagai sumber rujukan tidak dapat disangsikan lagi.

Seterusnya, blog juga berfungsi sebagai medium untuk bertukar-tukar pendapat. Penulis blog megutarakan isu yang akan beliau bahaskan. Penulis blog yang lain juga akan memberi pandangan mereka tentang isu tersebut. Hal ini akan mengalakkan penulis blog untuk berfikir dengan kritis dan kreatif. Kesannya, kita dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai daya pemikiran yang tinggi. Perkara ini selaras dengan seruan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 untuk melahirkan lebih ramai lagi modal insan yang berminda kelas pertama bagi menwujudkan masyarakat yang progresif. Jelaslah bahawa pertukaran pendapat para “blogger” dapat membentuk masyarakat yang memiliki tahap intelektual yang tinggi.

Selanjutnya, blog dapat mengalakan rakyat Malaysia untuk membaca. Tabiat membaca sangat penting dalam proses permatangan pemikiran masyarakat Malaysia amnya. Individu yang rajin membaca akan memperolehi pelbagai jenis informasi. Jadi mereka dapat menggunakan ilmu yang ada untuk dijadikan panduan hidup. Hal ini kerana penulis blog yang kreatif dapat menarik minat pembaca untuk membaca blog beliau. Kita sudah sedia maklum bahawa masyarakat yang membaca dapat melahirkan golongan intelektual yang ramai kerana membaca adalah nadi ilmu. Sudah terang lagi bersuluh, blog dapat menwujudkan masyarakat yang rajin membaca.

Pada pandangan saya, blog juga mempunyai keburukannya juga. Blog dapat memberi maklumat yang bias tentang sesuatu isu. Kita ambil contoh peperangan siber antara Malaysia dan Indonesia. Penulis blog yang tidak beretika akan menghasut rakyat di kedua-dua buah negara ini untuk membenci sesama sendiri. Kesannya, lebih ramai masyarakat yang mempunyai sentimen perkauman yang tinggi diwujudkan. Hal tersebut dapat mengeruhkan lagi ikatan silaturahim masyarakat dua serumpun ini. Situasi ini dapat digambar sebagai pisau yang ada di dapur, jika digunakan dengan niat yang elok maka hidangan yang lazat dapat disajikan. Jika niat penggunanya jahat maka binasalah jawabnya. Sesungguhnya, penulisan yang tidak beretika dapat membentuk masyarakat yang memiliki nilai yang negatif.

Selain itu, blog juga dapat melahirkan masyarakat yang baling batu, sembunyi tangan. Fenomena ini sering berlaku jika penulis blog tersebut memiliki niat yang bruk terhadap orang lain. Mereka akan menggunakan nama samaran untuk menjatuhkan imej seseorang. Mereka akan menyebarkan fitnah bahawa individu tersebut telah melakukan perkara yang terkutuk dan menjijikan. Kes ini sering berlaku untuk menjatuhkan imej artis atau ahli politik yang tertentu. Perkara seperti ini akan menjerat pembaca yang kurang matang dalam menilai sesuatu penulisan. Mereka akan percaya bahawa fitnah tersebut adalah nyata. Tegasnya, sikap baling batu, sembunyi tangan “blogger” yang tidak beretika dapat menjatuhkan imej individu lain.

Selanjutnya, pembaca blog akan membazirkan masa mereka dengan membaca blog picisan. Hal ini akan menyebabkan mereka akan lupa tentang tugasan dan tanggungjawab. Jadi kerja mereka kan berlambak dan ini akan mengganggu produktiviti mereka khusunya pekerja yang membaca blog pada waktu pejabat. Impaknya, sikap yang suka bertangguh akan membantutkan operasi sesebuah organisasi. Kita sudah sedia maklum bahawa masa itu emas. Jadi pembaca blog seharusnya bijak dalam menilai apa yang lebih penting untuk dilakukan pada masa yang tertentu. Terbuktilah bahawa pembaca blog akan membazirkan masa jika membaca pada waktu dan tempat yang tidak sesuai.

Konklusinya, blog merupakan serampang dua mata yang memiliki kebaikan dan keburukan yang tersendiri. Kita haruslah bijak dalam menilai sesuatu isu yang dibangkitkan dalam blog. Hal ini kerana tidak semua blog mempunyai penulis yang beretika. Hal ini kerana banyak garam, banyak udangnya, banyak orang, pelbagai ragamnya. Perkara ini selari dengan seruan Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 tentang gagasan Satu Malaysia yang bercogankan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Saya berharap fenomena blog dapat melahirkan individu yang berfikiran kreatif dan kritis untuk membina Negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
KARANGAN INI DIHASILKAN OLEH :
Mackartny Jampong Anak Ata, Tingkatan U6A1
JAWAPAN UNTUK SOALAN 1
PEPERIKSAAN PERCUBAAN 2
STPM 2009

21 Oktober 2009

PPSMI MUNGKIN DIMANSUHKAN LEBIH AWAL IAITU 2011

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

"Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu. "Namun ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010," katanya. Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI. Keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan. Komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

TAJUK : MENJADIKAN BAHASA MELAYU BAHASA DUNIA
PENULIS : SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

PERSIDANGAN Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru selama tiga hari dan berakhir Rabu lalu, menyemarakkan lagi keyakinan untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia suatu hari nanti. Pada masa ini terdapat lebih kurang 6,000 bahasa yang masih digunakan tetapi hanya 20 bahasa yang bertaraf bahasa rasmi yang penuturnya berjumlah lebih 50 juta orang. Dan bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu. Jika dicampur pengguna bahasa itu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura serta di negara lain maka jumlah penuturnya adalah hampir 300 juta orang, menjadikannya sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (lebih kurang 1.4 bilion penutur), Mandarin (1 bilion penutur), Hindi dan Urdu (700 juta penutur) dan Sepanyol (lebih 300 juta penutur).

Namun begitu, bukanlah bilangan jumlah penutur semata-mata yang sepatutnya dijadikan ukuran sebaliknya terdapat ciri-ciri lain yang perlu dipenuhi untuk melayakkannya dipanggil bahasa dunia. Apatah lagi, bahasa Melayu tidak terlepas daripada melalui pelbagai cabaran, hambatan dan krisis keyakinan hingga pada satu tahap ia cuba diperkecil dan dipinggirkan akibat putaran ganas politik, sosial dan ekonomi. Tokoh bahasa dan budaya, Datuk Dr. Hassan Ahmad memberi pandangan cukup menarik terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa dunia kerana jumlah penutur bahasa tidak begitu penting tetapi apa yang penting ialah pengaruh bahasa itu untuk memajukan sesuatu bangsa. Beliau berkata, sejarah menunjukkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa apabila pemerintah zaman dahulu terutama raja dan sultan tetap tegas menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan. Ia termasuk dalam soal diplomatik antara pedagang atau kuasa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Perancis.

Melalui bukti-bukti kukuh antaranya dalam Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang dan Hikayat Raja Pasai antara abad ke-14 hingga ke-17 jelas menunjukkan pemerintah tidak berkompromi dalam soal bahasa. Mengambil iktibar dalam aspek ini, kerajaan yang menjadi pemerintah kini perlu memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong usaha pengembangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk muncul sebagai bahasa utama dunia dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi jika semua pihak bersungguh-sungguh memastikan impian itu menjadi kenyataan.


20 Oktober 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

TAJUK : PERLUNYA DIDIKAN AGAMA DIBERI KEUTAMAAN
PENULIS : DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

KADANG-KADANG kita terfikir, adakah kita memberikan masa yang setimpal kepada pengajian agama jika dibandingkan dengan masa yang kita berikan kepada pelajaran biasa. Misalnya enam tahun untuk sekolah rendah, ditambah dengan lima tahun sekolah menengah, dicampur dengan dua tahun tingkatan enam dan tiga atau empat tahun untuk ijazah sarjana muda, dua tahun untuk sarjana dan mungkin empat tahun untuk ijazah kedoktoran. Antara 21 hingga 23 tahun tempoh masa dikhaskan untuk sekolah dan universiti. Sedikit sangat terdapat dalam 21 tahun itu dimasukkan pengajian agama kecuali kalau seseorang itu mencari sendiri guru yang boleh membimbing sehingga betul-betul memahami apa yang diperlukan untuk menjadi seorang insan yang beriman.

Masalahnya bermula dengan ibu bapa yang mungkin tidak mengambil berat tentang perlunya anak-anak mendapat pengajian agama yang lengkap bukan setakat pandai membaca al-Quran sahaja. Kalau ada pun kelas sebelah petang untuk sekolah agama selalunya hanyalah setakat sekolah rendah sahaja. Daripada keadaan dan suasana yang tidak memberikan keutamaan kepada pengajian agama yang betul inilah timbul bermacam-macam fahaman dan muncul pelbagai jenis orang seperti Ayah Pin dan Rasul Melayu yang mempunyai pengikut tapi baru-baru ini ditangkap pihak berkuasa. Mereka yang menjadi pengikut ini bukannya terdiri orang tidak berpelajaran tetapi mereka yang mempunyai ijazah dan sarjana. Misalnya sebelumnya al-Arqam diharamkan, ramai pengikutnya yang terdiri daripada golongan terpelajar yang sudah terpengaruh dengan pelbagai tuntutan ketuanya termasuk dikatakan dilantik oleh Nabi Muhammad.

Pernah juga terdengar penceramah daripada luar negara yang berceramah hanya untuk golongan ahli-ahli korporat dan mereka memberikan sumbangan berjuta ringgit kepada penceramah yang kononnya begitu mendalam ilmu agamanya. Mudahnya orang kita terpengaruh disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan tentang agama. Kebanyakannya asas keagamaan mereka begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan kumpulan yang mampu mempengaruhi dengan ilmu songsang. Mereka yang menjadi pengikut ini tidak mempunyai ilmu untuk menangkis fahaman yang tidak betul. Ekoran daripada sikap "tidak takut Tuhan" inilah berlaku macam-macam penyelewengan, penipuan, jenayah dan seribu satu macam kesongsangan tabiat yang dilakukan oleh orang yang berpelajaran tinggi. Ada juga yang mengaji tidak tamat, tetapi dengan sedikit ilmu menggunakannya untuk tujuan yang menyimpang.

Hari ini kita terbaca tentang "siang hari pakai tudung, malam jadi kupu-kupu malam" di kalangan pelajar kita yang tidak malu lagi menggadai tubuh mereka. Begitu juga kelab-kelab gay dan lesbian. Kesemua ini adalah ketidakmampuan mereka untuk menangkis pengaruh Barat yang mereka baca dan saksikan melalui televisyen, internet, majalah dan surat khabar. Desakan kehidupan juga menyebabkan ibu bapa tiada masa untuk mendidik anak-anak dalam bidang agama kerana kedua-duanya terpaksa bekerja untuk menampung keperluan kehidupan.
Ramai anak-anak yang ditinggalkan di rumah jagaan kanak-kanak atau dijaga oleh pembantu rumah yang kebanyakannya orang asing seperti rakyat Indonesia dan Filipina. Jarang sekali bagi mereka yang sedar perlunya ilmu agama membawa guru ke rumah atau menyuruh anak-anak mereka mengikuti kelas-kelas agama.

Di sinilah jabatan-jabatan agama sama ada berbentuk kerajaan atau badan-badan bebas yang disahkan untuk mengambil tindakan daripada peringkat kampung, daerah, bandar dan negeri bagi memastikan pengajian agama ini diberikan suatu keutamaan sama seperti yang diberikan kepada perkara-perkara berkaitan ekonomi dan politik. Tidak kurang juga masa yang terluang bagi ibu bapa ditumpukan kepada politik, baik di peringkat cawangan, bahagian. Kalau peringkat negeri, maka lagi kuranglah masa untuk anak-anak. Ini juga boleh menimbulkan macam-macam perkara yang kurang sihat seperti rebutan kedudukan, jawatan, dengki mendengki walaupun mempunyai pelajaran tinggi. Ini dapat kita saksikan sedang berlaku hari ini.

Kalaulah ilmu agama yang betul dapat diberikan secara percuma dalam pelbagai bidang dan peringkat, misalnya yang ingin tahu pasal belajar perkara yang asas, yang ingin mendalam misalnya dalam bidang tasawuf boleh mengikuti bidangnya. Kita sedia maklum memang ada ceramah agama lepas-lepas sembahyang di masjid-masjid tetapi ini tidak mencukupi kerana kadang-kadang mereka yang betul-betul berminat mencari guru boleh tersalah pilih. Kita perlu ingat bahawa ilmu yang pertama dituntut untuk kita pelajari ialah ilmu mengenal diri sebelum kita mengenali Allah.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

Mengiktiraf tanggal 16 September sebagai Hari Malaysia

SETELAH 46 tahun Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Persekutuan Malaysia, semalam adalah hari penuh sejarah bagi seluruh rakyat negara ini. Pengumuman yang dinanti-nantikan muncul jua.Berkat sabar, akhirnya tanggal 16 September diiktiraf sepenuhnya sebagai Hari Malaysia. Sejajar dengan itu ia diumumkan hari cuti umum yang bermula tahun 2010. Rakyat Malaysia berbilang kaum harus mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita amat bersetuju tarikh itu dipilih sebagai cuti umum. Selepas ini tiada alasan lagi untuk kita lupa daripada mengingati sejarah dan tarikh pembentukan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.

Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. Perdana Menteri ketika mengumumkannya di Dewan Rakyat semalam berkata, Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar iaitu Hari Merdeka pada 31 Ogos bagi mengingatkan rakyat akan perjuangan mencapai kemerdekaan dan Hari Malaysia yang akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan dan persefahaman antara kaum sejajar dengan semangat 1Malaysia.Kita percaya apabila Hari Malaysia diraikan pada tahun hadapan, banyak acara mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum menerusi aktiviti sukan, sosio-budaya dan kesenian diadakan bagi menyemarakkan lagi semangat 1Malaysia.

Dengan perisytiharan cuti umum Hari Malaysia maka diharapkan kecenderungan untuk melihat Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebagai entiti yang berada dalam wilayah yang berasingan akan terhakis. Jika tahun 1981 pemisahan itu dirapatkan melalui penyeragaman waktu dan kini dimantapkan dengan sambutan Hari Malaysia.Pengertian Hari Malaysia perlu disebar luaskan kepada rakyat supaya pemahaman mengenainya lebih mendalam. Kita perlu fahami, emosi menyambut Hari Malaysia adalah berlainan dengan perasaan menyambut Hari Kemerdekaan.Pengumuman Hari Malaysia sebagai cuti umum adalah dialu-alukan, pun begitu sambutan hari tersebut perlu ada pengisian yang bermakna dan berkesan.Tanggal 16 September diraikan sebagai memperingati hari bersejarah bagi rakyat Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak kerana pelbagai kaum dan etnik bersatu untuk mencapai kemerdekaan melalui pembentukan Malaysia.

Pada hari tersebut seharusnya rakyat di seluruh negara dapat merapatkan lagi hubungan antara kaum dalam suasana muhibah. Gagasan 1Malaysia akan bertambah mudah jika semua kaum dapat bersatu menjadi sebuah masyarakat yang kukuh jati dirinya. Di samping itu kita ingin menasihatkan kepada majikan di sektor swasta supaya menghormati hari cuti umum tersebut. Mereka mesti mematuhi keputusan terbaru kerajaan menjadikan 16 September sebagai Hari Malaysia mulai 2010.

19 Oktober 2009

DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA BOLEH DENDA

Dua akta akan dipinda elak penggunaan bahasa Melayu diperlekeh


KUALA LUMPUR: Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996 mungkin dipinda bagi memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka. Pejabat Peguam Negara sedang meneliti cadangan pindaan berkenaan yang akan membolehkan tindakan diambil jika pihak terbabit tidak menggunakan bahasa Melayu termasuk ketika mengendalikan mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat dan majlis rasmi.



Kertas cadangan pindaan akta itu sudah dibincangkan di Kementerian Pelajaran dan akan dibentangkan di Parlimen bagi membolehkan penguatkuasaan hukuman denda dilaksanakan. Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz, berkata sudah tiba masanya kerajaan memberi kuasa kepada agensi itu berbuat demikian sebagai tindakan terakhir terhadap pihak yang gagal memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai urusan mereka. Katanya, sebelum ini, pihaknya tidak ada kuasa berbuat demikian, sebaliknya hanya memberi nasihat kepada sektor awam dan agensinya supaya menggunakan bahasa Melayu.


Beliau berkata, jika DBP ada kuasa mendenda dan pelbagai pihak bersedia mematuhi peraturan yang keluarkan, martabat bahasa Melayu dapat diangkat dan diletakkan pada tahap tertinggi. "Ada segelintir pihak terlalu degil untuk patuh walaupun sudah diberi nasihat berkali-kali," katanya kepada Berita Harian. Termuzi berkata, surat pekeliling sudah dikeluarkan sejak 2006 yang mewajibkan majlis rasmi dikendali dalam bahasa Melayu di semua jabatan kerajaan. Katanya, ada beberapa negara sudah menguatkuasakan hukuman denda terhadap pelbagai pihak yang memperlekehkan bahasa ibunda mereka.


"Slovakia mengenakan denda sebanyak 5,000 Euro terhadap pihak yang gagal menggunakan bahasa rasmi mereka dalam majlis dan urusan tertentu," katanya. Beliau berkata, Malaysia perlu bangga dengan bahasa Melayu yang menduduki kedudukan kelima di dunia dari segi jumlah penutur.

18 Oktober 2009

INTEGRITI BAHASA MEMBINA INTEGRITI BANGSA

Integriti bahasa, membina integriti bangsa

Oleh Zubayry Abady Sofian

``Tidak hilang melayu di dunia.'' Kata-kata keramat Laksamana Hang Tuah ini mungkin hanya akan tinggal sebagai retorik semata-mata sekiranya bangsa Melayu tidak menjaga keunggulan ataupun integriti bangsa dan bahasanya.

Sejarah telah membuktikan bangsa Melayu merupakan satu bangsa yang gah suatu ketika dahulu. Melayu mampu menjelajah dunia dan Melaka itu sendiri telah menjadi pusat peradaban suatu bangsa bertamadun yang bernama Melayu.

Kegemilangan Melaka dahulu bukan sahaja di sekitar rantau sebelah sini (Asia) sahaja malahan menjangkau hingga ke sebahagian besar negara-negara di dunia melalui pedagang-pedagang mereka yang singgah di situ. Bahasa Melayu itu sendiri telah menjadi bahasa perdagangan utama dan dipertuturkan oleh pelbagai bangsa yang berdagang di Melaka.

Kini, setelah hampir 500 tahun zaman kegemilangan Melaka berlalu, bahasa Melayu seakan-akan makin tenggelam di bumi sendiri. Persoalan yang timbul bukan dari segi penggunaannya dalam pertuturan, penulisan mahupun status dan kedaulatannya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, tetapi persoalan tentang integriti bahasa itu sendiri. Bahasa Melayu itu sendiri telah dan semakin teruk tercemar dengan pelbagai virus perosak bahasa.

Kualiti

Martabat dan maruah bahasa Melayu direndahkan kerana rata-rata penuturnya sudah tidak mementingkan integriti bahasa Melayu itu sendiri. Penggunaan bahasa slanga yang melampau serta amalan merojakkan bahasa seperti sukar dibendung.

Jika kita merujuk kepada Pelan Integriti Nasional (PIN), integriti membawa maksud kualiti atau keunggulan yang wujud secara keseluruhan dalam diri seseorang individu atau organisasi dan ia berkait rapat dengan etika yang merupakan himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion.

Sebenarnya integriti itu adalah keseluruhan pembawaan kita dari segi peribadi, akhlak, tutur kata dan sopan santun. Integriti bahasa pula merujuk kepada keunggulan bahasa itu sebagai salah satu medium utama untuk membentuk pemikiran dan tindakan penuturnya. Tercemar integriti bahasa, maka tercemarlah pemikiran dan tindakan warga penuturnya.

Jika dahulu, sopan santun dan berbudi bahasanya seseorang itu banyak dapat dilihat dan didengar melalui cara pertuturannya. Sifat orang Melayu biasanya bertutur dengan nada yang lembut serta menggunakan perkataan yang ``sedap didengar'' dan berhemah. Berbicara dalam lembut tetapi penuh makna. Bukankah bahasa itu menunjukkan bangsa? Tetapi hal sebegini jarang atau boleh dikatakan hampir tidak kedengaran lagi. Anak-anak muda sekarang lebih fasih berbahasa slanga. Lebih fasih membahasakan diri mereka sebagai ``gua'' dan ``lu''. Ayat ``pecite beb?'' seakan-akan sudah menggantikan sapaan salam atau ``apa khabar?''

Permasalahan ini semakin parah dengan adanya manusia yang berbicara dalam bahasa, seperti yang digelar oleh Datuk Seri Dr. Rais Yatim, separuh ular separuh belut. Mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan anak-anak muda tetapi juga golongan profesional dan penjawat-penjawat awam yang sewajarnya menggunakan bahasa Melayu sebaik mungkin.

Integriti bahasa Melayu juga semakin lemah dengan munculnya ``bahasa SMS''. Sistem ejaan yang digunakan semakin haru-biru. Perkataan ``macam mana'' dieja ``camner'', ``dia'' dieja ``dier'', ``Apa cerita'' dieja ``pecite'' dan seumpamanya. Dan ejaan-ejaan ini secara sedar atau tidak telah pun digunakan oleh para pelajar kita di sekolah-sekolah sewaktu menjawab soalan peperiksaan.

Anjakan

Tugas mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu dan bangsa Melayu seperti yang pernah dikecapi suatu ketika dahulu mungkin agak sukar tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil. Langkah pertama yang mungkin boleh dimulakan ialah dengan membuat sedikit anjakan pemikiran dan sikap. Integriti bahasa Melayu perlu dibangunkan semula.

Semangat pejuang Melayu perlu diserap dalam jiwa anak remaja sekarang merangkumi setiap bangsa yang lahir dan berpijak di bumi Malaysia untuk mencintai bahasa Melayu. Dan semangat ini perlu dilestari dan disuburkan dari generasi ke generasi. Namun begitu, kecintaan terhadap bahasa Melayu ini tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kita untuk menerima bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Kebolehan kita menguasai bahasa Inggeris yang merupakan ``bahasa dunia'' akan menjadikan bangsa Melayu lebih megah dan berdaya saing. Sedangkan Jepun, sebuah negara yang cukup kuat mempertahankan bahasa ibundanya juga telah semakin sedar tentang kepentingan bahasa Inggeris untuk terus maju dalam semua bidang.

Ketamadunan sesuatu bangsa banyak dibentuk melalui falsafah dan pemikiran bangsa itu sendiri dan untuk menjelaskan falsafah dan pemikiran ini, medium bahasa dan penulisan perlu digunakan secara optimum. Penulisan karya seperti novel, cerpen, drama, puisi, sajak dan sebagainya perlu menggunakan pendekatan baru yang memfokuskan tema tentang etika dan integriti.

Ini penting untuk menyemai, memupuk dan menyuburkan semangat mencintai nilai-nilai murni dan semangat kecintaan terhadap bahasa dan bangsa. Ini kerana keutuhan pemikiran sesuatu bangsa banyak dicorak oleh keutuhan bahasa bangsa tersebut.

Agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Penerangan serta NGO bahasa boleh memainkan peranan yang besar dengan menganjurkan pelbagai bentuk pertandingan dan peraduan untuk menggalakkan masyarakat berkarya dengan tema ini dalam bahasa Melayu.

Industri penerbitan buku tempatan yang seakan-akan kelihatan suram perlu disemarakkan semula. Karya-karya dalam bahasa Melayu yang bertemakan integriti perlu menjadi keutamaan kepada penerbit-penerbit buku. Memperbanyakkan bahan-bahan bacaan seperti ini penting untuk membentuk jurus pandang golongan muda terutamanya, supaya berintegriti dalam segala aspek kehidupan mereka.

Apabila integriti atau keunggulan bahasa wujud dan integriti individu berjaya dibentuk maka secara tidak langsung integriti nasional akan terbina. Integriti nasional inilah yang merupakan anak kunci utama untuk membuka kembali pintu kegemilangan zaman dahulu. Ingatkah kita lagi dengan satu slogan Bahasa Jiwa Bangsa? Ketiadaan bahasa yang berintegriti, santun dan dijiwai akan mencacatkan malah akan menghancurkan sesebuah bangsa.

TEKS UCAPAN OLEH TPM SEMPENA PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009 PERINGKAT KEBANGSAAN 6 OKTOBER 2009, STADIUM PERPADUAN PETRA JAYA, SARAWAK

Bahasa Jiwa Bangsa

4. Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini ialah “Bahasa Jiwa Bangsa”. Tema ini mengajak kita warga Malaysia untuk menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai jiwa bangsa kita dan cerminan jatidiri kita. Sesungguhnya jiwa sesuatu bangsa itu dapat dilihat pada bahasanya. Pada bahasa itulah tergambar etos atau semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang dipunyai secara bersama.

5. Ini bermakna, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan membentuk jiwa kita sebagai satu bangsa. Sekiranya bahasa yang kita martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa kebangsaan kita, dan berjayalah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa yang bermaruah.

1Bahasa, 1Malaysia

6. Di negara kita, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan terhadap kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan istimewa ini kemudiannya diterjemahkan pula melalui penggubalan dan pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan yang memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Dasar Bahasa Kebangsaan misalnya mengiktiraf Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang mesti digunakan dalam setiap urusan rasmi kerajaan. Dasar pendidikan kita juga menetapkan bahawa Bahasa Kebangsaan adalah bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Dengan melaksanakan dasar-dasar ini, kita dapat memastikan bahawa kedudukan istimewa Bahasa Kebangsaan tidak hanya termaktub dalam Perlembagaan, tetapi dapat dihayati dan diamalkan secara meluas oleh rakyat.

7. Selain dari itu, tidak kurang pentingnya juga ialah hakikat bahawa Bahasa Kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, budaya dan bahasa ibunda. Ini menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai wahana perpaduan yang penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Dengan menggunakan satu bahasa, kita akan dapat memupuk dan menyuburkan perasaan kebersamaan antara kita dan sekaligus melupakan perbezaan. Sekiranya ini dapat kita lakukan secara bersama dan bersungguh-sungguh, gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak boleh kita jayakan melalui penghayatan dan penggunaan satu bahasa.

Memartabatkan Bahasa Kebangsaan

8. Dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan pelaksanaan dasar baru dalam sistem pendidikan kita iaitu dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Dasar ini bertujuan untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan pada masa yang sama memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar melalui penambahbaikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Dasar ini adalah seiring dengan matamat Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) kita yang menjadikan usaha memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai teras pertama program membina negara bangsa. Ia juga selari dengan hasrat Penyata Razak 1956 yang bercita-cita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia melalui sistem pelajaran kebangsaan dengan menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.

9. Selain daripada itu, komitmen kita untuk memartabatkan Bahasa Malaysia, baik dalam bidang pendidikan atau dalam bidang-bidang yang lain, adalah berdasarkan kepada keyakinan kita terhadap keupayaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Keyakinan ini berasaskan kepada bukti bahawa keluaran sistem pendidikan kita yang berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara selama ini. Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset. Pemartabatan sesuatu bahasa sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bukanlah semata-mata bergantung kepada sistem bahasa itu, tetapi turut berkait dengan faktor peradaban dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri.

10. Persoalannya, apakah sejarah peradaban berbahasa Malaysia itu sangat kerdil sehingga tidak mengizinkannya mencipta ilmu? Jika kita mengimbas sejarah, tradisi keilmuan dan persuratan bangsa kita cukup gemilang. Kalau di Barat ada Chaucer, di Alam Melayu ada Hamzah Fansuri dan kalau di Barat pada kurun ke 14 ada Canterbury Tales, di Alam Melayu ada Hikayat Raja-Raja Pasai. Ini menunjukkan bahasa kita pada ketika itu bukan sekadar digunakan sebagai alat pertuturan sahaja, tetapi telah berjaya mengungkapkan falsafah dan budaya tinggi yang menggambarkan tahap intelektual bangsa kita sejak zaman-berzaman. Hukum Kanun Melaka dan Hikayat Hang Tuah adalah antara contoh karya agung bangsa kita yang diungkapkan dalam bahasa Kebangsaan. Ini sekaligus membuktikan bahawa bahasa Kebangsaan kita telah mencapai tahap bahasa ilmu tinggi.

Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Imu

11. Maka, tanggungjawab kita sekarang ini ialah untuk mempertingkatkan fungsi bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kita tidak perlu terus bernostalgia tentang kegemilangan masa lampau, tanpa melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat ini. Kita perlu sedar bahawa jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi releven dengan keperluan semasa, dan akhirnya akan pupus.Tidak guna lagi kita bernostalgia dengan keagungan dan kehebatan lampau bahasa kita, jika ianya sudah tidak sesuai lagi dengan kemajuan zaman.

12. Justeru, usaha-usaha yang lebih agresif dan tersusun perlu dilakukan untuk meningkatkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Ini termasuklah dengan menghasilkan lebih banyak karya-karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan, terutama sekali dalam bidang sains dan teknologi. Institusi-institusi pengajian tinggi, agensi-agensi pelaksana dasar bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), serta para ilmuwan perlu mewujudkan sinergi bagi menghasilkan karya-karya ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa kebangsaan. Bagi saya inilah cabaran paling besar dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

13. Di samping itu, usahasama strategik dengan masyarakat penutur bahasa Melayu di Indonesia, Brunei Darussalam dan Singapura boleh diwujudkan untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu. Dengan kedudukan bahasa Melayu pada tempat kelima sebagai bahasa utama dunia dengan bilangan penutur seramai 300 juta orang, kita mempunyai peluang yang baik untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan kita dalam lingkungan yang lebih luas.

Kesedaran

14. Sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan pada hari ini, suka saya mengingatkan bahawa segala usaha kita untuk memartabat dan memperkasakan bahasa kebangsaan tidak akan berhasil sekiranya tiada kesedaran yang tinggi di kalangan rakyat untuk menghormati dan menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian. Segala usaha kita akan menjadi sia-sia jika kita tidak menanamkan kesedaran yang tinggi di dalam hati sanubari kita dan meyakini tentang kepentingan dan keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu yang utama.

15. Justeru, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengisytiharkan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Sehubungan itu, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan bermula pada tahun 2010 akan melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan pada peringkat masing-masing sepanjang bulan Oktober. Kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat kita.

16. Saya juga ingin mengumumkan bahawa mulai tahun 2010 kerajaan akan memperkenalkan Anugerah Tokoh ilmuwan Negara. Anugerah ini akan disampaikan kepada penerima yang layak sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada ilmuwan negara yang memberikan komitmen dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa budaya tinggi.

17. Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 ini, khususnya kepada Jawatankuasa Penyelenggara di peringkat urusetia pusat, kementerian-kementerian, kerajaan-kerajaan negeri dan wilayah. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebagai tuan rumah pada kali ini, Dewan Bahasa dan Pustaka dan semua pihak yang telah berpadu tenaga dan daya usaha untuk menganjurkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat Kebangsaan ini. Mudah-mudahan dengan adanya usaha-usaha seperti ini, kita akan lebih menghargai keindahan dan ketinggian nilai bahasa kita.

Yang kurik itu kendi, Yang merah itu saga,
Yang elok itu budi, Yang indah itu bahasa.

PUNCA-PUNCA DAN CARA-CARA MENGATASI PENYAKIT AIDS



SOALAN
AIDS merupakan sejenis penyakit berjangkit yang berbahaya dan jumlah kesnya kini semakin meningkat saban tahun. Jelaskan punca rebakab penyakit ini dan cara untuk mengelakkannya.


Pada era globalisasi ini, gejala AIDS yang sedang merebak dengan cepat bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Penyakit AIDS merupakan singkatan perkataan Bahasa Inggeris ‘Acquired Immune Defiency Syndrome’ iaitu Sindrom Kurang Daya Melawan Penyakit. Penyakit AIDS adalah disebabkan oleh HIV iaitu ‘Human Immuneodeficiency Virus’. Virus tersebut akan merosakkan sistem imun badan kita dan menyebabkan kita mudah dijangkiti penyakit lain. Kadar kematian penjangkit AIDS adalah sangat tinggi kerana belum terdapat penawar yang berupaya mengubati penyakit tersebut.




Faktor dominan yang menyebabkan penyakit AIDS berleluasa ialah kekurangan kesedaran tentang bahaya penyakit AIDS dan kurang mengamalkan amalan gaya hidup sihat. Golongan yang kurang berakhlak mengamalkan pergaulan seks bebas iaitu melakukan hubungan seks dengan ramai orang tanpa memikirkan kesudahannya. Selain itu, mereka juga melakukan hubungan seks dengan orang yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah. Misalnya, kegiatan pelacuran dan homoseksual telahpun menjadi gejala sosial yang tidak bermoral. Akibat daripada amalan-amalan tersebut, penyakit AIDS dapat merebak secara meluas kerana virus HIV akan dijangkiti melalui hubungan seks yang tidak terkawal. Jika seseorang pembawa HIV, maka sesiapa yang melakukan hubungan seks dengannya akan terdedah kepada bahaya HIV dan kadar jangkitan terhadap penyakit tersebut adalah tinggi.


Selain itu, penyakit HIV boleh merebak melalui perkongsian jarum suntikan yang sudah dicemar oleh darah pembawa HIV. Kejadian tersebut berlaku terutama dalam kalangan penagih dadah yang kekurangan wang untuk membeli jarum suntikan baru daripada pembekal dadah. Oleh hal yang demikian, mereka terpaksa berkongsi jarum dengan penagih dadah yang lain. Jadi, mereka mudah terdedah kepada risiko dijangkiti HIV. Darah yang mengandungi HIV akan dipindahkan ke tubuh orang lain melalui perkongsian jarum suntikan. Mereka hanya mementingkan kenikmatan semata-mata tanpa menghiraukan kesan jangka panjang yang akan berlaku terhadap mereka. Oleh itu, hampir 60 peratus daripada jumlah penjangkit AIDS atau pembawa virus HIV terdiri daripada golongan penagih dadah.


Seterusnya, kekurangan pengetahuan tentang penyakit AIDS juga menyumbang kepada peningkatan bilangan pesakit AIDS. Rakyat seharusnya dibekalkan informasi tentang penyakit AIDS supaya menjadi tanggungjawab mereka untuk melakukan pemeriksaan darah secepat mungkin. Tindakan ini adalah untuk mengetahui sama ada mereka ialah pembawa HIV yang berkemungkinan besar akan menyebarkan virus tersebut melalui hubungan seks rambang, pemindahan darah, ataupun melalui penyusuan ibu kepada anak. Jelaslah kepada kita betapa pentingnya bagi rakyat menyedari tentang bahaya penyakit AIDS yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan tetapi boleh juga mengancam nyawa seseorang.


Setiap jenis penyakit pasti ada ubatnya. Tetapi lain pula dengan AIDS. Penyakit ini tiada ubat yang khusus untuk mengatasinya. Oleh sebab masih belum ada penawar untuk AIDS, usaha terbaik untuk menangani penyakit ini adalah melalui usaha pencegahan. Usaha pencegahan yang dilakukan adalah mendidik orang ramai tentang AIDS. Mesej pendidikan AIDS perlu tertumpu kepada gaya tingkah laku seksual seperti menggunakan kondom, melakukan hubungan seks yang selamat, mengelakkan bertukar-tukar pasangan seks, atau mengelak daripada mengunjungi pekerja seks. Tambahan pula, perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah juga dapat dielakkan melalui pendidikan AIDS,.Tambahan lagi, usaha pendidikan AIDS membentukan nilai keperibadian dan kemujaraban yang akhirnya akan menjadi benteng yang kukuh untuk menangani jangkitan wabak.


Langkah yang tidak boleh dikesampingkan untuk mencegah perebakan AIDS ialah mengelakkan terus seks luar nikah, setia kepada pasangan serta menjauhi hubungan homoseksual. Pelbagai langkah pencegahan telahpun dilaksanakan oleh banyak pihak untuk mengawal penyakit ini daripada merebak. Kerajaan mewartakan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang mensyaratkan supaya semua penyakit jangkitan HIV dilaporkan di klinik berdekatan. Seterusnya, kerajaan harus mewajibkan semua bakal pengantin untuk menjalani ujian HIV sebelum berkahwin. Syarat ini dikenakan kerana status kesihatan pasangan adalah sangat penting sebelum mereka berkahwin. Sesi kaunseling akan diberikan kepada pasangan yang ingin meneruskan perkahwinan mereka walaupun setelah mengetahui pasangannya adalah HIV positif.


Kesimpulannya, AIDS merupakan penyakit yang belum ada ubatnya. ,Penyakit HIV AIDS ini mendatangkan kesan yang amat buruk dan kesan yang lama. Bagi golongan yang tidak berdosa seperti anak-anak yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai jangkitan yang berbahaya ini akan memberi impak kepada anak tersebut. Jadi, penyakit AIDS yang lama mengancam ketenteraman kehidupan manusia haruslah dibasmi demi kesejahteraan manusia sejagat. Kerjasama antara pelbagai pihak adalah sangat penting bagi menyelesaikan masalah AIDS yang merupakan peragut nyawa sebelum keadaan ini bertambah serius.

KESAN-KESAN DAN CARA-CARA UNTUK MENGATASI MASALAH PENGGUNAAN BAHASA ROJAK

SOALAN
Penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan yang berleluasa dikatakan telah mencemari martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bincangkan kesan- kesan dan cara-cara untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa.
Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Amalan bahasa rojak bermakna tabiat suka mencampur-adukkan perkataan bahasa Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu. Gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat sehingga mencemari martabat bahasa Melayu. Lebih memberatkan lagi ialah gejala ini menular dengan begitu meluas dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat. Tuntasnya, kesan–kesan yang timbul akibat daripada penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan perlu dikenal pasti supaya langkah–langkah yang pragmatik dapat diambil untuk mengatasinya.

Seperti yang telah dikatakan penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan mencemari martabat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak telah memberi gambaran wujud keadaan kebahasaan yang tidak stabil dalam masyarakat. Keadaan ini berlaku akibat daripada kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai serta ciri unggul bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan beberapa ciri bahasa Melayu akan pupus dan digantikan dengan beberapa ciri bahasa Inggeris. Lantaran itu, bahasa rojak akan menjadi bahasa ibunda orang Melayu sekiranya gejala ini terus terjadi. Secara perlahan-lahan kita mungkin akan melucutkan keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan melunturkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan. Natijahnya, penggunaan bahasa rojak merupakan tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa Melayu.
Semetelahan itu, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan boleh menjejaskan pembelajaran di peringkat sekolah. Kini, kebanyakkan pelajar sering menggunakan bahasa rojak untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa singkatan dalam penghataran sistem pesanan ringkas (SMS). Apabila gejala ini dijadikan sebagai amalan seharian mereka, keadaan ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan bagi seseorang pelajar, sekolah mahupun negeri. Hal ini demikian kerana, mereka tiada kemahiran dalam menulis karangan dengan menggunakan bahasa yang betul. Mereka telah biasa menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menulis tanpa menggunakan bahasa rojak. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa perbelajaran di peringkat sekolah akan terjejas disebabkan oleh bahasa rojak dan bahasa singkatan.
Tambahan pula, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan menyebabkan pengguna kelihatan tidak serius. Pengguna tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang dan mereka bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam. Biar kita ambil contoh, apabila seseorang pelayan menggunakan kata ganti nama “you” kepada pelanggannya, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh itu, dia akan berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting kerana tanpa pelanggan perniagaan tidak dapat dijalankan. Keadaan ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pelanggan kerana mereka merasa dirinya tidak dihormati. Sememangnya, pengguna akan kelihatan tidak serius ketika menggunakan bahasa rojak.
Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Gejala ini dapat ditangani dengan menyarankan kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam masyarakat. Selaku pemimpin masyarakat, mereka seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat. Mereka harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa dalam sesuatu majlis supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang betul, baik semasa menggunakan bahasa Melayu, mahupun Inggeris. Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan menjadi ikutan kepada rakyat dan lama–kelamaan seluruh masyarakat dapat menggunakan bahasa dengan betul. Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang betul oleh pemimpin masyarakat adalah penting dalam mengatasi gejala bahasa rojak.
Selain itu, bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan terus digunakan sikap pengguna sendiri perlu berubah. Sikap menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak standard harus dihapuskan. Alasan yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima. Hai ini demikaian kerana bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan Inggeris bagi menambahkan perbendaharaan katanya. Masyarakat seharusnya menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa rojak. Sesungguhnya bagi mengelakkan menggunakan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh. Tuntasnya, sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini dapat diatasi.
Peranan media massa juga penting bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan digunakan secara berleluasa. Kini, masyarakat amat dipengaruhi oleh media massa terutamanya bagi golongan remaja. Program television, filem dan drama yang menggunakan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan dipelajari oleh remaja. Keadaan ini disebabkan mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Seharusnya, program-program television yang mengandungi penggunaan bahasa rojak tidak boleh ditayang keluar. Sebagai contohnya, program “Gengstarz”, “One In A Million” dan “Akademi Fantasia” yang menggunakan bahasa rojak harus ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Natijahnya, gejala ini dapat diatasi melalui peranan yang dimainkan oleh pihak media massa.
Kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan yang berleluasa telah mencemari martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Oleh itu, semua pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus bekerjasama bak kata “berat sama dipikut, ringan sama dijinjing” untuk menangani gejala ini sampai ke akar umbinya. Diharapkan selepas usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dijalankan, martabat bahasa Melayu dapat dinaikkan sampai ke peringkat global.

GEJALA PEMBUANGAN BAYI - PUNCA DAN LANGKAH MENGATASI



SOALAN
Gejala pembuangan bayi merupakan fenomena jahiliah moden. Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa.


Hamka pernah mengungkapkan, “Anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita”. Setiap pasangan yang berkahwin sememangnya mengimpikan untuk mempunyai anak sama ada lelaki atau perempuan sebagai penyambung keturunan mereka di dunia ini. Anak yang dilahirkan akan dijaga dengan penuh kasih sayang sehingga ada yang sanggup berjaga siang dan malam demi anak tersayang. Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini kita selalu dihidangkan dengan berita pembuangan bayi yang dilakukan oleh segolongan manusia yang berjiwa binatang. Bayi yang dilahirkan dibuang bagaikan sampah di merata-rata tempat tanpa belas kasihan. Oleh sebab itu, punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah pembuangan bayi akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Pada pendapat saya, punca utama yang menyebabkan pembuangan bayi ialah keruntuhan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang merupakan ketua keluarga telah gagal melaksanakan tanggungjawab mereka mendidik anak-anak menjadi insan yang bersahsiah dan berkeperibadian mulia. Mereka sibuk dengan tugas-tugas seharian sehingga anak-anak terabai. Anak-anak yang kekurangan perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapa mereka lebih cenderung untuk mencari keseronokan di luar rumah. Akibatnya, mereka terjebak ke kancah permasalahan sosial seperti melakukan seks bebas sehingga mengandungkan anak luar nikah. Pada masa itu, barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terlanjur dan jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan tersebut adalah dengan membuang bayi yang dikandungkan. Mereka melakukan perbuatan terkutuk ini adalah untuk menyembunyikan perbuatan keji mereka daripada pengetahuan ibu bapa. Jelaslah bahawa kerapuhan institusi kekeluargaan merupakan punca perdana berlakunya masalah pembuangan bayi di negara kita.

            Seterusnya, masalah pembuangan bayi juga berlaku disebabkan golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Sewaktu bercinta semuanya indah belaka sehingga si wanita sanggup menyerahkan segalanya untuk membuktikan kesetiaan dan cinta kepada pasangan mereka. Mereka mudah lemah kepada pujuk rayu kekasih hati yang kononnya berjanji mahu sehidup semati dengan mereka. Akhirnya, mereka rela bersekedudukan dengan pasangan bagaikan pasangan suami isteri walaupun tiada ikatan perkahwinan. Setelah si wanita hamil maka berlakulah konflik dalam kehidupan kerana si lelaki mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab. Wanita yang hamil tersebut dipaksa untuk membuang atau menggugurkan bayi dalam kandungan demi menutup aib kerana mengandungkan anak luar nikah. Sekiranya tidak mahu berbuat seperti yang diarahkan, mereka akan ditinggalkan. Dalam situasi sebegini, si wanita tiada pilihan lain selain menurut kehendak pasangan mereka, bak kata pepatah, “ditelan mati emak, diluah mati bapa”.

            Selanjutnya, masalah pembuangan bayi semakin berleluasa di negara kita disebabkan bertambahnya pusat-pusat hiburan di negara kita terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur. Remaja lelaki dan perempuan biasanya berkumpul di pusat-pusat hiburan ini pada setiap hujung minggu. Mereka bergaul bebas antara lelaki dan perempuan sambil meminum minuman keras. Dalam keadaan separuh sedar, remaja perempuan biasanya mudah digoda oleh remaja lelaki. Golongan remaja sebegini tidak berfikir panjang dalam melakukan sesuatu kerana bagi mereka yang penting ialah keseronokan. Perlakuan seks bebas yang berleluasa di pusat-pusat hiburan menyebabkan ramai remaja yang terpengaruh sehingga ada dalam kalangan mereka yang mengandungkan anak luar nikah. Apabila sudah mengandung barulah mereka sedar kesilapan diri, ibarat kata pepatah, “sudah terhantuk baru nak terngadah”. Walau bagaimanapun, segalanya sudah tidak berguna kerana “nasi sudah menjadi bubur”. Akibatnya, mereka mengambil keputusan mudah iaitu membuang bayi yang dikandungkan.

Bagi mengatasi masalah ini, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperluas dalam kalangan remaja yang bermasalah. Remaja perempuan yang sudah terlanjur sehingga mengandungkan anak luar nikah hendaklah dibantu bukannya disisihkan dan dicerca. Ibu bapa hendaklah membawa mereke berjumpa dengan kaunselor untuk memulihkan semangat dan keyakinan mereka sehingga anak yang dikandungkan dilahirkan dengan sempurna. Kita harus tahu bahawa setiap insan melakukan kesalahan, ibarat kata pepatah, “bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora”. Jika kita prihatin terhadap permasalahan mereka, sudah pasti mereka tidak akan kehilangan arah dan hilang pertimbangan. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling hendaklah diperhebat dan lebih mesra remaja agar mereka tidak segan-segan menceritakan masalah dengan kaunselor apabila mereka berhadapan dengan situasi sebegini.

Selain itu, ibu bapa harus menilai semula peranan mereka sebagai ketua keluarga. Mereka tidak boleh terlalu materalistik sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak. Mereka harus meluangkan masa pada setiap hari untuk berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak kehilangan tempat untuk mengadu. Para ibu bapa harus sedar, wang ringgit yang diberikan kepada anak-anak tidak dapat dijadikan penganti diri kerana wang ringgit itulah yang boleh menghancurleburkan kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah ambil tahu segala aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka di luar rumah. Mereka tidak boleh lepas tangan kerana “malang tidak berbau”. Ruang kebebasan yang diberikan terlalu banyak boleh membuka ruang kepada anak-anak terpengaruh dengan pelbagai gejala sosial di luar rumah. Jika kita mahu mengatasi masalah pembuangan bayi hingga ke akar umbi, peranan ibu bapa hendaklah diperkasakan semula kerana pendidikan seharusnya bermula dari rumah.

Konklusinya, masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang memerlukan komitmen semua pihak untuk mengatasinya. Kita hendaklah berganding bahu membenteras masalah ini sehingga ke akar umbi ibarat kata pepatah, “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”. Pihak kerajaan hendaklah mengadakan pelbagai program yang bermanfaat untuk golongan remaja agar masa lapang mereka terisi dengan aktiviti yang bermaslahat. Remaja tidak boleh dibiarkan sendirian mengemudikan kehidupan mereka kerana mereka bukanlah nakhoda profesional. Apabila dihempas gelombang, mereka pasti akan karam. Oleh itu, didikan keagamaan hendaklah dipasak teguh dijiwa mereka pada setiap masa sebagai panduan yang berguna agar mereka tidak hidup bertuhankan nafsu nafsi semata-mata. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan remaja Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan masalah pembuangan bayi tidak lagi menghantui masyarakat kita. 


17 Oktober 2009

PUNCA-PUNCA DAN CARA-CARA MENGATASI MASALAH TEKANAN MENTAL




Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak, selaras dengan pembangunan yang semakin gah di persada dunia, semakin berbagai-bagai punca yang telah mencetuskan tekanan mental. Tekanan mental dapat ditakrifkan sebagai sejenis desakan atau paksaan yang berkaitan dengan akal, pemikiran atau proses intelektual. Tekanan yang terlampau akan menyebabkan penyakit psikologi dan berlakunya jenayah. Cara-cara yang efektif harus digunakan agar tekanan mental dapat ditangani. Oleh itu, pelbagai faktor dan cara mengatasi masalah tekanan mental yang mewarnai focus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci.


Faktor pertama yang menyebabkan seseorang berhadapan dengan tekanan mental ialah masalah personality yang sempurna. Keinginan memajukan diri adalah berfaedah kepada orang sekiranya tidak keterlaluan. Keinginan yang keterlaluan pula akan mendatangkan tekanan sehingga menyusahkan dirinya. Seseorang yang terlalu menitikberatkan kesempurnaan tidak akan berasa puas hati dan sentiasa ingin berjaya dalam semua aspek yang terlibat. Golongan ini sering mempunyai hasrat atau cita-cita yang menggunung. Mereka berasa kecewa apabila hasil tidak mengikut standard kesempuraan berdasarkan kaca matanya. Oleh itu, masalah personalitI yang sempurna akan menyebabkan tekanan mental yang berat.

Masalah kehidupan dari segi kekeluargaan, pekerjaan atau pelajaran akan mendorong wujudnya tekanan mental. Masalah keluarga dan kemiskinan menyebabkan jiwa manusia sentiasa kecewa dan tertekan. Mereka berasa tekanan kerana sukar mencari nafkah untuk keluarga. Kerja yang berat dan rumit menyebabkan tekanan untuk mengekalkan prestasi di tempat kerja. Tekanan pelajaran pula berlaku kerana berusaha mencapai kecermelangan. Tekanan dalam kalangan pelajar biasanya berpunca daripada ibu bapa yang ingin anak mereka berjaya dalam pelajaran atau pihak guru yang ingin memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran (P&P) mereka tercapai. Jadi, masalah kehidupan mengakibatkan tekanan mental yang cenderung mendorong penyakit psikologi.


Selain itu, pengalaman lampau yang ngeri juga merupakan salah satu faktor kepada tekanan mental. Keadaan ini biasanya wujud pada mangsa tragedi ngeri atau menakutkan. Akibat daripada tragedi tersebut, mangsa sering dihantui perasaan bercampur-campur. Jika mangsa merupakan seseorang yang diam dan tidak suka meluahkan perasaan, maka dia akan mengalami depresi dalam jangka panjang. Mereka akan berasa fobia, takut dan boleh bertindak terburu-buru tanpa keupayaan untuk berfikir dengan nasional. Pengalaman yang terlampau seperti dirogol atau dibuli mungkin menyebabkan seseorang hilang kewarasan kerana terlalu tertekan. Dengan itu, pengalaman yang dashyat mungkin menyambung kepada desakan mental.


Namun begitu, masalah tekanan mental boleh diatasi melalui amalan gaya hidup yang sihat. Amalan kehidupan yang harmonis boleh mengurangkan kegeraman dan tekanan hidup. Pengalaman sikap bertoleransi, sabar dan ceria dalam pergaulan seharian mampu mengelakkan pertelingkahan. Pengurusan masa secara teratur dan pembahagian kerja pula dapat mengurangkan beban kerja. Individu boleh bersenam dan berekrasi agar melepaskan tekanan mental. Dari segi penjagaan pemakanan seharian pula, kita perlu mengelakkan makanan berlemak dan berkanji tetapi menambahkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Jadi, amalan gaya hidup yang sihat adalah berkesan untul mengelakkan masalah tekanan mental yang berat.


Langkah mengatasi tekanan mental boleh dilakukan dengan bimbingan kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi. Perkhidmatan psikoterapi merupakan sejenis rawatan gangguan mental melalui kaedah psikologi. Kaunseling mampu membantu individu yang bermasalah agar mengurangkan konflik hidup mereka. Perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Setelah pendengaran masalah, pihak kaunseling memberikan nasihat agar membantu individu tersebut menyelesaikan masalahnya. Kaunseling juga diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental.


Di samping itu, pendidikan agama atau moral juga mampu mengatasi masalah tekanan mental. Agama dipandang sebagai unsur penting untuk menanam ciri-ciri kemanusiaan yang mulia. Ibu bapa harus member pendidikan agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana “anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya”. Individu yang mempunyai asas nilai-nilai murni mampu menguasai nafsu mereka. Pendidikan moral dan agama boleh mengatasi masalah jiwa kosong dan memberikan kesedaran melawan nafsu yang keterlaluan. Dengan kesedaran tersebut, seseorang akan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Pendidikan agama atau moral dapat mengurangkan tekanan mental melalui kawalan keinginan.


Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, tekanan mental tidak akan memudaratkan seseorang sekiranya ditangani dengan hati yang tenang dan relaks. Analogi mudah bagi tekanan mental ialah “pengambilan vitamin”. Pada prinsipnya, tekanan mental sama seperti pengambilan vitamin. Pengambilan vitamin yang seimbang akan meningkatkan sistem immunisasi individu. Walaupun begitu, pengambilan vitamin yang berlebihan pula akan mendatangkan kesan sebaliknya! Begitu jugalah dengan tekanan mental kerana tekanan mental yang optimum akan memajukan seseorang tetapi tekanan mental yang terlampau akan membebankan dirinya.


ADA MAKNA DI SEBALIK TAWA


SELOKA MERISIK DARA


EH, SILAP TU!


" Peruangan" sepatutnya ditukar
kepada "Perjuangan"

ADA MAKNA DI SEBALIK TAWA








CARTA BAHASA ROJAK


PERIBAHASA KARAM SINGH WALIA

01. Kemana tumpahnya kuah kalau tidak ke bawah
02. Tak lapuk dek hujan, tak lekang macam rambutan
03. Tiada rotan, pelempang berguna juga
04. Biar lambat asalkan tak cepat
05. Biar putih tulang, jangan kuning gigi
06. Di mana ada gula di situ adalah gula-gula
07. Kalah jadi abu, menang jadi arang, seri jadi abu bakar
08. Carik-carik bulu ayam, lama-lama jadi shuttlecock
09. Secupak takkan jadi 18 cupak
10. Gajah mati meninggalkan gading, udang harimau mati meninggalkan kulit, manusia mati meninggal dunia
11. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula makanan didalam mulut.
12. Harapkan pagar, pagar tidak boleh diharap
13. Alang-alang mandi biar guna sabun
14. Berapa berat mata memandang, berat lagi seguni beras
15. Cubit paha kanan, paha kiri tak rasa apa-apa pun
16. Diam-diam ubi berisi, diam-diam orang… bisu
17. Hidup segan mati di tanam
18. Ikut hati mati, ikut rasa merasa
19. Lembu punya susu cap teko dapat nama
20. Sehari selambar benang lama-lama benang habis
21. Jika kail panjang sejengkal, beli le yang panjang sikit kalaunak ngail di laut. (beli la pukat tunda lagi baik)
22. Hendak seribu daya, tak hendak tak apa
23. Membujur lalu melintang pukang
24. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri,lebih baik hari tak hujan
25. Sebab pulut santan binasa, sebab mulut habis pulut
26. Kecil-kecil cili padi, kecil lagi biji cili
27. Kalau sudi katakan sudi, kalau tak sudi boleh blah!! muhaha~~~


NOTA
Peribahasa ini tidak boleh digunakan dalam penulisan ilmiah atau karangan.

BAHASA MELAYU BAHASA ILMU DALAM KONTEKS SEBUAH NEGARA MERDEKA - PROFESOR DR. SIDEK BABA




Memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, malah bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk menghadapi cabaran perubahan amatlah penting. Ia menuntut pendekatan pengajaran-pembelajaran yang dinamik dan kreatif di bilik darjah dan kuliah supaya kesan penguasaannya terserlah. Kemajuan teknologi dan modul-modul terkini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan ketiga terbuka luas untuk diaplikasikan supaya tidak saja penguasaan bahasa ibunda menjadi teguh dan kukuh tetapi dalam masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik. Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam menguasai ilmu dan mendakap bahasa kedua menjadi bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Orang-orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju dan membangun. Strategi Malaysia untuk terus tidak mengubah peruntukan perundangan mengenai status bahasa ibunda baik dalam Perlembagaan atau Akta Pendidikan adalah sesuatu yang bijak. Memberi keutamaan untuk memperkasa bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa yang lain adalah langkah strategik untuk terus maju. Psikologi ini harus diperkukuhkan dengan teguh dan mantap sebagai warga Malaysia tidak saja dalam dasar tetapi juga dalam amali dan aplikasi. Memberi fokus tentang sains dan matematik adalah penting dari sudut ilmu dan akademik. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar boleh memberikan dua implikasi besar. Pertama, bidang sains dan matematik amat rapat hubungannya dengan corak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkembang pada masa kini dan depan. Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menyebabkan jangka panjangnya meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga menyentuh tentang persoalan integriti kerana bahasa itu dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa.

Melaksanakan strategi memperkasa bahasa Inggeris tanpa melakukan projek perintis, persiapan guru-guru dalam penguasaan bahasa, prasarana pembelajaran yang tidak kondusif di luar bandar menyebabkan wujudnya jurang pencapaian yang berbeza dan boleh menyebabkan keciciran yang melebar. Keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji dasar ini adalah suatu langkah bijaksana dan ia tidaklah terlalu lewat. Pertanda yang ada dalam keputusan yang lalu menjadi bukti bahasa pelajar-pelajar akan lebih mudah menguasai ilmu dan kemahiran menggunakan bahasa ibundanya dan dalam masa yang sama pemerkasaan bahasa Inggeris memerlukan perancangan dan strategi pembelajaran-pengajaran yang lebih berkesan. Sekiranya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengekal dan mengembalikan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai wibawa mempertahan dan mengembangkan faktor-faktor teras sebagai bangsa merdeka dan dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai elemen-elemen luar lingkungan untuk maksud
keilmuan dan kemajuan menggunakan bahasa-bahasa penting dunia.


Tidak timbul isu patriotik atau tidaknya dalam soal penggunaan bahasa Inggeris dan kurang patriotiknya apabila tidak menggunakan bahasa Melayu. Umat Melayu bersetuju bahawa memperkasa bahasa kedua dan ketiga yang kaitannya dengan ilmu adalah penting. Tidak timbul umpamanya bahasa Inggeris tidak penting atau bahasa Cina kurang penting. Dalam tradisi Islam tidak wujud masalah linguistic chauvinism iaitu pembatasan terhadap penguasaan bahasa. Ilmuwan Islam yang tersohor yang mampu mencetus tamadun menguasai banyak bahasa. Menguasai sesuatu bahasa adalah menguasai ilmu yang ada pada bangsa itu. Dalam masa yang sama sesuatu bahasa itu akan menjadi bahasa yang matang, bahasa ilmu sains dan teknologi apabila ia digunakan dalam penghasilan karya, kerja-kerja penyelidikan, pengajaran dan pelajaran. Sejak merdeka bahasa Melayu mampu di martabatkan di universiti-universiti di Malaysia dan memerlukan tekad politik yang tinggi bahawa tidak harus wujud psiki rendah atau rasa ketinggalan untuk menguasai sekiranya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam penerokaan ilmu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa penting untuk dipelajari dan dikuasai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...