JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Disember 2011

ISU SBPA : JPA : SBPA SKIM TERBAIK BERBANDING NEGARA LAIN DI DUNIA INI


Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang berkuat kuasa bulan depan, adalah skim terbaik yang disediakan kerajaan untuk 1.4 juta kakitangan awam berbanding sektor awam negara lain. Kelmarin Cuepacs membuat pendirian membantah pelaksanaan SBPA termasuk soal opsyen. Ia akan mengadakan perhimpunan besar-besaran menerangkan pendirian membantah itu petang esok. Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Yeow Chin Kiong berkata, antara kebaikan yang terdapat dalam skim berkenaan ialah penjawat awam bertaraf pencen tidak perlu membuat caruman sepanjang perkhidmatan selain diberi kemudahan perubatan di hospital kerajaan seumur hidup termasuk tanggungan mereka. Di negara lain, penjawat awam perlu mencarum kepada dana sepanjang perkhidmatan... kos perubatan pun mereka bayar sendiri atau beli insurans sendiri berbanding di Malaysia. Dipetik Bernama Online, beliau menjelaskan kerajaan menyediakan skim persaraan dan memperuntukkan sejumlah besar wang untuk pembayaran pencen kerana tidak mahu penjawat awam bimbang keadaan kewangan selepas bersara.

Kita mahu (penjawat awam) tumpukan perhatian 100 peratus kepada kerja dan tugas semasa bekerja. Yeow turut menasihatkan penjawat awam agar tidak melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti dibuang kerja kerana ia akan menjejaskan faedah persaraan. Menjawab soalan mengenai penjawat awam yang menyuarakan tidak puas hati dengan skim saraan pencen di negara ini, beliau berkata mereka tidak wajar berbuat demikian kerana kerajaan telah merancang masa depan lebih terjamin buat mereka. Buat masa ini apa yang kita berikan lumayan sekiranya kita (penjawat awam) tidak ada apa-apa tanggungan semasa persaraan. Dengan menggunakan nilai gaji akhir yang paling rendah pun, kita dibekalkan dengan bekalan hidup RM1,000 sebulan. Isunya sekarang di mana kita bermastautin dan sama ada kita ada tanggungan-tanggungan kewangan yang berat. Ini semua hal ehwal rancangan untuk masa depan kita.

Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERNAMA
17 DISEMBER 2011

ISU SBPA : HANYA ANIAYAI KAKITANGAN AWAM


Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan BN diyakini bukanlah satu sistem yang baik, sebaliknya akan menganiaya kakitangan sektor awam. Keyakinan itu disandarkan kepada beberapa faktor, terutama berkaitan sistem pemarkahan prestasi kakitangan awam yang pasti terdedah dengan pelbagai bentuk manipulasi. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, menerusi sistem baru itu, pemarkahan prestasi kakitangan awam akan dinilai oleh kakitangan atasan, tetapi penilaian tersebut diyakini tidak akan berlaku dengan adil. Menurutnya, meskipun penilaian prestasi itu sesuatu yang baik bagi menggalakkan perkembangan prestasi di kalangan kakitangan awam, tetapi penilaian tersebut diyakini bukan sekadar berdasarkan prestasi, sebaliknya atas faktor-faktor lain. Katanya, situasi itu akan menjadikan mereka yang benar-benar berprestasi dan berintegriti tidak akan dinilai sebagai berprestasi, sebaliknya mereka yang bijak 'membodek boss' pula yang akan diutamakan.

Sistem SBPA yang akan dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunakan sekarang seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat baru-baru ini. Dalam SBPA itu banyak perubahan yang akan dilakukan dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya penjawat awam, dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan berasaskan prestasi kerja. Antara lain yang terkandung dalam sistem tersebut termasuk mewujudkan dasar pemisah bagi penjawat awam berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan jawatan. Dalam sistem baru itu juga, pembentukan gaji sebaris digunakan dengan diwujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lama selain gaji maksimum bagi gred yang lebih tinggi.

Bagi penjawat awam yang menerima opsyen SBPA akan menerima kenaikan gaji tahunan antara RM80 hingga RM320 dan faedah kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus. Kerajaan juga mengumumkan untuk melanjutkan usia persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Bagi golongan dalam kumpulan guru atau gred gaji DG dengan tempoh bagi kenaikan gred antara DG41 ke DG44 dan DG44 ke DG48 telah dikurangkan kepada 8 tahun sahaja, berbanding sebelum ini selama 10 tahun untuk kenaikan gred dalam jawatan perguruan. Menurut Mahfuz, setelah diteliti opsyen SBPA dengan menyeluruh, ternyata penilaian atau pemarkahan prestasi kakitangan akan dibuat dengan 3 peringkat, manakala mereka yang dicatatkan markah bawah 70 peratus akan dinasihatkan bersara atau dipersarakan.

Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARAKAH DIALY
15 DISEMBER 2011

ISU SBPA : BEBERAPA OPSYEN SBPA DI BANTAH


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam membantah pelaksanaan beberapa opsyen Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwanya kurang jelas, selain tempoh terlalu singkat diberikan kepada penjawat awam untuk menerima tawaran itu. Serentak itu, kongres berkenaan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatangani surat tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi SBPA sehingga mereka berpuas hati dan memahami sepenuhnya skim berkenaan. Keputusan itu dibuat hasil undian sebulat suara 125 perwakilan CUEPACS seluruh negara yang berhimpun selama dua hari membincangkan isu pelaksanaan SBPA pada Mesyuarat Kongres Khas yang berlangsung di Hotel Putra Brasmana. Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata keputusan membantah opsyen SBPA dibuat pada mesyuarat itu berdasarkan kepada pertimbangan wajar 125 perwakilan, sebagai mewakili isi hati 1.4 juta penjawat awam seluruh negara. Katanya, lima inti pati digariskan melalui bantahan untuk dimajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka ditemui pada 19 Disember ini, antara lain meliputi desakan pembatalan Exit Policy selain penjelasan kedudukan pelarasan gaji tujuh hingga 13 peratus seperti diumumkan melalui SBPA baru-baru ini.

Buat masa sekarang, kita membantah pelaksanaan beberapa opsyen SBPA dan meminta kira-kira 1.4 juta penjawat awam tidak menandatanganinya terlebih dulu sebelum rundingan antara CUEPACS dan Perdana Menteri diadakan. Kita akan tetapkan temu janji pada 19 Disember ini, yang mana semua 125 perwakilan kongres seluruh negara dijangka menemui Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan secara terperinci permintaan serta desakan CUEPACS dalam SBPA,” katanya. SBPA diumumkan Perdana Menteri pada 7 Oktober lalu dijangka membawa pelbagai faedah dan insentif kepada kakitangan awam yang dilaksanakan mulai tahun depan dengan beberapa perubahan seperti skim pencen, gaji dan elaun serta prospek perjawatan dengan tempoh perkhidmatan yang dilanjutkan sehingga usia 60 tahun. Ditanya mengenai lima tuntutan terbabit, Omar berkata selain pembatalan Exit Policy dan penjelasan mengenai kedudukan pelarasan gaji, CUEPACS turut mendakwa tiada sebarang rundingan bersama diadakan antara kongres itu dan JPA yang dilihat memungkinkan wujudnya unsur berat sebelah. “Kita juga nasihatkan pihak lain yang tiada kaitan dengan CUEPACS supaya tidak campur tangan dalam soal perjuangan kongres kerana ini hak kami untuk pertahankan kepentingan semua penjawat awam.

Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
16 DISEMBER 2011

ISU ALAM SEKITAR : PARADIGMA BARU KURANGKAN RISIKO KEMUSNAHAN BENCANA ALAM YANG MELANDA

Dr Ibrahim Komoo
Pengarah,
Institut Kajian Bencana Alam Asia Tenggara,
Universiti Kebangsaan Malaysia. 


Baru-baru ini berlangsung Sidang Kemuncak Pertama mengenai Peranan Institusi Penyelidikan dalam Mengurangkan Risiko Bencana Alam di Disaster Prevention Research Institute (DPRI), Universiti Kyoto, Jepun.  Selain Malaysia, persidangan dihadiri lebih 25 pengarah institusi penyelidikan itu turut dihadiri wakil dari Jepun, China, Indonesia, Amerika Syarikat, United King-dom, Kanada, Mesir dan Vietnam. Mereka berkumpul dan mencari pendekatan baru penyelidikan kerana merasakan cara dan pendekatan penyelidikan kini masih kurang berkesan mengurangkan risiko bencana. Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Landslides in Malaysia yang mana saya menyatakan dalam 100 tahun terakhir ini, lebih 600 orang terbunuh akibat bencana tanah runtuh. Seorang wakil dari China menyatakan: “Seramai 600 orang saja, ... negara anda sangat bernasib baik”. Di China, satu bencana tanah runtuh pada 2009 saja mengorbankan 1,950 orang. Sebenarnya, Malaysia hampir bebas daripada bencana alam, selain banjir dan tanah runtuh berskala kecil daripada perspektif global, kita hampir bebas daripada bencana gunung berapi, gempa bumi dan tsunami.

Persidangan kemuncak pertama antara institusi penyelidikan berkaitan bencana alam mempunyai makna besar dalam konteks pengurangan risiko bencana. Usaha penyelidikan selama ini masih belum berjaya mengurangkan kadar kematian dan kemusnahan harta benda. Peristiwa bencana terus meningkat dan angka kematian akibat bencana terus bertambah.  Walaupun kami menyedari antara sebab utama peningkatan peristiwa bencana berkait rapat dengan penambahan penduduk dunia dan proses perbandaran, di mana lebih banyak tempat berisiko tinggi dibangunkan untuk penempatan. Kami juga dapat melihat negara di Asia, terutama negara sedang membangun adalah kawasan paling teruk dilanda bencana. Lebih menyedihkan, kesedaran mengenai risiko di kalangan masyarakat awam masih rendah, dan pengetahuan sains masih belum mampu dimanfaatkan untuk mengurangkan risiko bencana.  Sidang kemuncak ini berhasrat mencari paradigma baru bagi mengurangkan risiko bencana. Ini suatu yang amat sukar dilakukan sekiranya set minda ahli akademik masih tertumpu kepada meningkatkan penyelidikan dalam kepakaran masing-masing. Perbincangan dan hubungan kerjasama antara pelbagai institusi penyelidikan yang berkaitan bencana boleh membuka ruang mencari paradigma baru ke arah pengurangan risiko bencana.

Dalam konteks ini, kami telah mengenal pasti isu dan beberapa pendekatan antaranya: Banyak ilmu dan teknologi telah terkumpul mengenai pendekatan pengurangan risiko bencana, tetapi terlalu sedikit disalurkan kepada pengamal pengurangan bencana. Agensi pelaksana dan masyarakat masih belum terdedah dengan pengetahuan baru yang telah dikembangkan di makmal penyelidikan. Keadaan ini tidak saja berlaku di negara sedang membangun, tetapi turut dirasai negara maju. Oleh itu, ahli akademik disarankan mengubah set minda tradisi yang mengutamakan penyelidikan kepada kepentingan ‘pemindahan pengetahuan’;  Pengalaman beberapa bencana besar yang berlaku sejak tragedi tsunami 2004, mengajar ilmuwan betapa kami masih jahil mengenai peristiwa bencana yang ekstrem. Untuk bencana yang sangat besar, dan mungkin berlaku hanya sekali dalam 1,000 tahun, adalah bencana yang telah mengorbankan banyak nyawa. Peristiwa seperti ini lazimnya melangkaui keupayaan manusia menyediakan mitigasi, di luar ingatan sejarah tamadun manusia, dan merentas sempadan negara. Saintis perlu meneroka ilmu baru mengenai bencana ekstrem begini dan mula memperkenalkan kepada masyarakat pendekatan adaptasi bagi mengurangkan risiko bencana; dan

Malaysia berada di tengah-tengah lingkaran api Asia Tenggara – di barat Sumatera, selatan Jawa, dan di timur kepulauan Filipina. Daerah ini adalah kawasan paling aktif dan berisiko tinggi. Dalam keadaan bencana yang ekstrem, kita akan terbabit sama – kita adalah komuniti Asia Tenggara yang akan berdepan dengan risikonya. Oleh itu, sama ada pada peringkat kerajaan, agensi awam atau ilmuwan di universiti, negara di Asia Tenggara perlu bekerjasama, saling membantu, dan membangun kekuatan serta tradisi tersendiri untuk mengurangkan risiko bencana.  Pada peringkat negara, pelbagai agensi awam dan institusi penyelidikan universiti perlu mewujudkan rangkaian pengurusan bencana alam dan menjadikan komponen pengurungan risiko bencana sebagai sebahagian daripada perancangan pembangunan negara. Kita seharusnya sudah boleh menilai berapa tinggikah risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda disebabkan bencana alam, serta menetapkan sasaran risiko yang boleh diterima. Dasar, strategi dan landasan untuk bertindak perlu dibangunkan sekiranya berhasrat menjadi pemimpin di rantau ini.  Jika ditinjau daripada perspektif sains, teknologi dan pengetahuan mengenai bencana, Malaysia sudah berupaya menerajui gagasan pengurangan risiko bencana di rantau Asia Tenggara. Apakah kita mempunyai iltizam politik dan kepimpinan, soalan yang masih perlu dijawab.

Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
17 DISEMBER 2011



ISU EKONOMI : SEKTOR KETIGA LENGKAPI TRANSFORMASI EKONOMI

MOHD. NAHAR MOHD. ARSHAD
Unit Ekonomi Islam dan Kajian Polisi,
Kuliah Ekonomi dan Sains Pengurusan,
Universiti Islam Antarabangsa


Krisis kewangan dan hutang global menjadikan usaha untuk memacu ekonomi negara menjadi semakin mencabar. Formula baru untuk menjana pertumbuhan ekonomi perlu dicari. Selama ini, ekonomi Malaysia banyak bergantung dengan peranan aktif yang dimainkan oleh sektor awam dan swasta. Tekanan kewangan dan hutang yang dihadapi kedua-dua sektor ini, terutama daripada tempias krisis kewangan dan hutang global menuntut kepada suatu transformasi baru dalam model pertumbuhan sosio ekonomi negara. Penglibatan menyeluruh masyarakat dalam menggerakkan kegiatan sosio ekonomi perlu dirangka. Untuk tujuan ini, sektor ketiga dilihat penting untuk lebih diberi perhatian dan diaktifkan. Sektor ketiga merupakan sektor voluntari atau sukarela di mana objektif utamanya tidak bersifat mencari keuntungan tetapi lebih kepada membela dan menjaga kebajikan dalam masyarakat. Sektor ketiga adalah unik kerana keberkesanannya berkait rapat dengan tahap sukarelawan dalam masyarakat. Semakin tinggi penglibatan orang ramai dalam kegiatan sukarela, semakin besar peranan sektor ketiga dalam membina sosio ekonomi sesebuah negara. Sektor ini biasanya melibatkan kegiatan sukarela seperti dalam penyediaan khidmat sosial, pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pendidikan dan pelbagai kegiatan lain yang lazimnya terlepas pandang oleh sektor awam dan swasta. Di negara-negara maju, sektor ketiga aktif melengkapi sektor awam dan swasta.

Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, peranan sektor ketiga menyumbang kepada 10 peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Agensi yang terlibat dalam sektor ketiga biasanya merupakan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menjalankan aktiviti kebajikan. Berikutan banyaknya organisasi bukan kerajaan seperti ini dengan pelbagai objektif kebajikan yang berbeza, impak sektor ini di Malaysia kurang dirasai meskipun diakui peranannya. Bagi negara Islam seperti Malaysia, peranan sektor ketiga turut digerakkan dengan elemen-elemen kebajikan yang sentiasa digalakkan dalam Islam. Antaranya, institusi wakaf yang sekarang ini semakin diberi perhatian dalam memastikan kebajikan umat Islam. Wakaf yang selama ini sering dikaitkan dengan pembinaan masjid dan wakaf tanah untuk kawasan perkuburan adalah sempit. Wakaf dalam bentuk tunai yang dikumpulkan dan kemudian digunakan untuk membina perniagaan yang dapat menjana keuntungan dan aliran tunai yang baik, dapat memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan memelihara kebajikan. Usaha transformasi ekonomi negara perlu memastikan peranan sektor ketiga mendapat lebih galakan. Usaha seperti menjalin kesefahaman antara sektor awam, swasta dan sektor ketiga dapat menjadikan ekonomi Malaysia lebih dinamik di mana setiap sektor saling melengkapi.


Sila beri komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 DISEMBER 2011



ISU SBPA : TANGANI SEGERA ISU BANTAHAN

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my


Di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Putrajaya di Presint Diplomatik pada 16 Disember 2011, pegawai pusat khidmat berkenaan menerima kedatangan tiga orang penjawat awam. Tidak seperti mana kebiasaannya didatangi isu-isu kecil, kali ini ia didatangkan tentang soal bantahan terhadap skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Salah seorang daripadanya berkata, jika dahulu penilaian kenaikan gaji berdasarkan prestasi, menerusi SBPA nanti, ia akan ditentukan oleh cadangan daripada bos mereka. "Kalau menerusi cadangan, dapatkah kami kenaikan gaji yang lebih baik, apa jaminan kepada kakitangan sokongan," katanya. Isu mengenai bantahan terhadap skim SBPA ini perlu diselesaikan segera. Ini memandangkan hampir 90 peratus daripada jumlah pengundi di Putrajaya terdiri daripada penjawat awam. Daripada keseluruhan 90 peratus itu pula, 90 peratus daripadanya adalah kumpulan sokongan. Kerajaan sejak kebelakangan ini telah bermula dengan baik dalam langkah-langkahnya yang cenderung memenangkan pihak rakyat dalam soal yang berupa kepentingan untuk rakyat.

Apatah lagi kepada penjawat awam. Imbuhan RM100 kepada pelajar sekolah sudah disalurkan, bantuan RM500 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun sedang diusahakan. Kemungkinan masih ramai yang tidak memahami terma yang terkandung dalam SBPA ini. Dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam perkhidmatan Awam (CUEPACS) juga membantah skim ini kerana menurut Presidennya, Datuk Omar Osman banyak perkara yang tidak jelas dalam tawaran berkenaan. Kesatuan tersebut yang mewakili 1.4 juta penjawat awam mahukan rundingan lanjut diadakan bagi membincangkan mengenai skim berkenaan. SPBA diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu yang menjanjikan skim gaji lebih baik berasaskan merit serta kenaikan tahunan di antara RM80 dan RM300. Dalam pengamatan kerajaan, skim ini baik untuk penjawat awam tetapi di sebelah pihak ia barangkali ada terma yang tidak bersesuaian.

Sewajarnya tidak ada unsur paksaan untuk penjawat awam menandatangani surat tawaran skim SBPA yang ditutup 30 Disember ini. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Abu Bakar Abdullah ketika mengulas mengenai tawaran skim itu baru-baru ini menyatakan, hanya penjawat awam yang mempunyai alasan yang munasabah dibenarkan memulangkan surat tawaran itu selepas tarikh berkenaan seperti sakit atau berada di luar negara. Dan mereka yang tidak menerima opsyen itu akan kekal kepada skim perkhidmatan lama sekali gus tidak akan menerima sebarang penambahbaikan terhadap skim tersebut. Apa pun, penulis berharap pertemuan Exco-exco CUEPACS dengan Perdana Menteri pada tengah hari 22 Disember ini bagi berunding mengenai bantahan skim SBPA tersebut, akan ada situasi 'menang-menang'.

Sila beri komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
17 DISEMBER 2011