JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



31 Januari 2012

ISU BAHASA : PENGABAIAN BAHASA MELAYU TERUS BERLELUASA DI KUALA LUMPUR

Oleh Imlan Adabi
imlanadabi@bharian.com.my


The Peak, Tivoli Villa, Atmosfera, Vista Millennium, Casa Prima dan Park Avenue bukan di New York, London atau Toronto. Ia sebahagian daripada taman perumahan dan kondominium di Kuala Lumpur yang menyambut ulang tahun ke-38 sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari. Jangan hairan jika ayah dan ibu dari kampung susah nak sebut nama sesetengah kawasan perumahan kerana sebutannya terlalu aneh dan tidak mencerminkan identiti Melayu. Barangkali kerana takdir sejarah yang meletakkan Yap Ah Loy sebagai peneroka Kuala Lumpur, maka nama Melayu semakin bersaing dengan nama asing untuk taman perumahan dan bangunan awam.  Kalau ada pun nama Melayu mungkin di kawasan separa tradisional seperti di Kampung Baru, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi dan Kampung Datuk Keramat.

Kawasan urban dan elit lebih mesra menggunakan nama aneh, mungkin kerana keanehan cara berfikir penghuninya sendiri. Mimpi juga berbeza kerana Wilayah Persekutuan tonggak pembangunan negara menjelang 2020.  Jangan salahkan pemaju perumahan yang ghairah menggunakan nama asing untuk taman perumahan. Mereka tidak membuat kesalahan kerana tiada peruntukan daripada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur atau mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) yang melarang penggunaan nama asing untuk kawasan kediaman. Pemaju hanya menjalankan tugas membina kediaman, sekali gus mengaut keuntungan.  Mereka tidak terikat mendaulatkan bahasa Melayu kerana tiada peruntukan berbuat demikian. PBT pula lebih selesa meluluskan projek, hatta di kawasan berisiko di lereng bukit dan tadahan air semata-mata atas nama pembangunan Wilayah Persekutuan. Tidak kisah premis nama Melayu atau tidak, asalkan pembangunan diteruskan.

Sama ada Kuala Lumpur, Putrajaya atau Labuan yang semuanya dikelompokkan sebagai Wilayah Persekutuan, tiada peruntukan undang-undang atau akta yang boleh mensabitkan kesalahan terhadap ‘pelanggar’ bahasa Melayu. Sesiapa saja boleh berucap, menulis papan tanda dan memperkenalkan nama jalan dengan nama yang aneh.  Pada 2000, ada segelintir pejuang bahasa Melayu yang melatah penggunaan perkataan ‘presint’ yang diubah daripada ‘precint’ di Putrajaya. Mereka mencadangkan penggunaan nama yang lebih sesuai dengan budaya setempat. Namun apalah yang ada pada budayawan dan ahli bahasa, termasuk juga pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ahli PENA dan GAPENA, kerana suara mereka tenggelam di sebalik keghairahan politik nasional yang lebih mencaturkan kerakusan kuasa dan agihan ekonomi. Pencinta bahasa Melayu sentiasa di belakang dan perkataan ‘presint’ dikekalkan walaupun mengikut mykamus.com bermaksud ‘kawasan terkepung terutama di sekeliling gereja, larangan bagi lalu lintas dalam sesebuah pekan’.

Kamus Dwibahasa terbitan DBP pula menjelaskan ‘precint’ bermaksud ‘ruang yang berpagar (di gereja), batasan sesuatu daerah’. Pedulikan maksud dalam kamus kerana kehidupan sekarang jarang merujuk kamus, apatah lagi bagi sebuah Wilayah Persekutuan yang menyambut perayaan pada 28 Januari lalu bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Wilayah Persekutuan Maju.’  Barangkali demi memenuhi impian kemajuan, penggunaan ungkapan aneh semakin berleluasa. Terbaru laluan pejalan kaki berhawa dingin yang menghubungkan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Bukit Bintang sepanjang 1.173 kilometer dikaitkan dari aras concourse Pusat Konvensyen Kuala lumpur. Tiada ungkapan lain selain concourse?

Sebelum ini kita tidak kisah menyebut nama ‘Jalan Pekeliling’ yang sepatutnya Jalan Berkeliling mengambil ungkapan asalnya ‘Circular Road!’ Sekali lagi, kita tak kisah menggunakan ungkapan salah, seperti juga kita tidak rasa janggal menyebut Kuala Lumpur Sentral, Putra World Trade Centre (PWTC), The Mall, Lot 10 (baca Lot Ten), Ampang Point, Central Market dan bermacam lagi.  Tidak jauh dari Jalan Pekeliling tertera papan tanda di sebuah premis; Ah Fatt tukang jahit wanita. Kita tidak pasti berapa ramai wanita yang sudah dijahit oleh Ah Fatt!  Yang kita pasti nasib bahasa Melayu semakin celaru di buminya sendiri. Ketika kita ghairah mencapai negara maju dan Wilayah Persekutuan sebagai daerah selamat dihuni, kita kekal celaru dan hilang jati diri. Bahasa dan budaya dipersenda, nilai murni sekadar sandiwara dan kita pun kekal dengan prasangka pembangunan, keliru antara angka ekonomi dan nasib marhaen di lorong belakang Chow Kit. Barangkali inilah wajah kita yang terkini!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
31 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : MENGAPA PELAJAR ALIRAN SAINS KURANG?

Oleh JOHAN YUSUF


Kita maklum bahawa Malaysia sedang menggapai matlamat bergelar negara maju pada tahun 2020, yang cuma berbaki lapan tahun lagi. Namun, realitinya pelajar-pelajar kita yang diharap memberi impak kepada matlamat ini semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan wawasan tersebut. Untuk menjadi negara maju, sains mesti ditekankan di kalangan rakyat, seiring dengan pemikiran kritikal, rasional dan analitikal. Persoalannya mengapa pelajar tidak mahu mengambil jurusan sains? Dasar pendidikan oleh kerajaan selalunya berubah sebaik sahaja menteri pelajaran bertukar tangan dan hasilnya tiada kesinambungan. Jadi adalah lebih baik sekiranya cadangan yang asal itu ditambah baik dari tahun ke tahun, berbanding menukar keseluruhan idea tanpa kajian menyeluruh. Itu di peringkat sekolah, di peringkat tinggi, keadaan menjadi lebih teruk lagi. Pelajar-pelajar cemerlang ini, malah kami yang sedang belajar ini merasakan bahawa tiada guna mengambil jurusan yang lebih sukar ini, sedangkan tangga gaji dalam kerajaan dan swasta tidak banyak bezanya dengan pelajar aliran sastera yang lain.

Gaji permulaan dalam kerajaan, jika dibuat perbandingan antara golongan sains dan pentadbiran cuma lebih 100-200 bagi gaji permulaan dan gaji siling berbanding golongan sastera (Sila rujuk tangga gaji SPA dari T1 - T20 sebelum SBPA). Ini amatlah tidak setimpal dengan pengorbanan dan perit jerih bergelar pelajar sains. Untuk pengetahuan, tidak ramai pelajar sains yang mampu tamat diploma atau ijazah mengikut masa yang ditetapkan kerana terpaksa mengulang akibat gagal dalam subjek tertentu yang jauh lebih sukar daripada mereka yang mengambil subjek sastera. Berbalik kepada soal di atas, kita akhirnya dapat menyimpulkan mengapa pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara di luar negara terutamanya bidang perubatan, ramai yang tidak pulang berkhidmat di Malaysia setelah tamat belajar, sebaliknya memilih untuk berkhidmat di luar negara. Mengapa?

Ini kerana gaji di luar negara selama 3-4 tahun saja sudah mampu membayar semula tajaan kerajaan kepada mereka, berbanding jika mereka terpaksa berkhidmat dengan kerajaan selama beberapa tahun dengan gaji yang relatifnya sangat kecil. Sistem biasiswa dan pinjaman pelajaran juga seolah-olah tidak adil kepada pelajar sains. Jika kita perhatikan, kebanyakan daripadanya (ambil PTPTN sebagai contoh) hanya menukar pinjaman kepada biasiswa sekiranya pelajar berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama iaitu CGPA 3.50 dan ke atas bagi kebanyakan universiti. Dan hal ini sama kepada semua pelajar, tidak kira jurusan sains atau sastera. Jika beginilah keadaannya, sudah tentu pelajar sastera yang akan beroleh banyak manfaat berbanding pelajar sains kerana tidak ramai pelajar sains yang memperoleh keputusan tersebut berbanding pelajar sastera.

Hal ini lebih adil sekiranya pelajar sains diberikan kayu ukur yang lebih rendah berbanding pelajar sastera dalam penentuan Ijazah Kelas Pertama. Saya yakin, sebabnya lebih banyak. Mungkin ia berbunyi remeh, namun sekiranya hal ini tidak diberikan perhatian, maka kita bakal melihat lebih banyak brain drain dan kekurangan bijak pandai yang berlatarbelakangkan jurusan sains di Malaysia. Mereka ialah orang yang bijak, jangan sia-siakan kebolehan mereka untuk menyumbang kepada negara ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
31 Januari 2011