JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 Mac 2011

ISU ICT : IMPAKS RANGKAIAN SOSIAL KESELAMATAN

Oleh Husin Jazri
UTUSAN MALAYSIA, 17 MAC 2011


Kemunculan perkhidmatan rangkaian sosial dilihat sebagai satu revolusi yang mengubah cara pengguna Internet bersosial dan berinteraksi di ruang siber. Para pengguna yang terdiri daripada golongan remaja dan dewasa begitu ghairah menggunakan rangkaian sosial tersebut seperti Facebook, Twitter dan pelbagai perkhidmatan lain seumpamanya bagi memenuhi pelbagai tujuan. Trend penggunaan laman sosial media ini semakin meningkat dan seolah-olah tiada petanda bahawa ia akan menurun. Persoalannya, mengapa isu-isu yang berkaitan rangkaian sosial begitu menarik perhatian masyarakat dunia terutama pakar-pakar keselamatan siber? Mengimbas kembali, pada Jun 2010 yang lalu, Twitter telah memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej protes golongan pembangkang Iran sewaktu kemelut pilihan raya di negara tersebut. Malahan, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meminta pengendali Twitter supaya menangguhkan proses menaik taraf perkhidmatannya agar tidak mengganggu penggunaannya oleh warga Iran.

Pada akhir Januari sehingga awal Februari yang lalu, seluruh dunia dikejutkan dengan krisis yang melanda Mesir sehingga membawa kepada keputusan pengunduran Presiden Hosni Mubarak. Gerakan protes rakyat di Mesir mula dicetuskan oleh sekumpulan aktivis muda yang menuntut agar proses pembaharuan politik dilakukan di negara tersebut. Ia merupakan rentetan kepada krisis politik yang telah melanda Tunisia sebelum itu. Ironiknya, revolusi di Mesir merebak ke negara-negara serantau dan mencetuskan pelbagai gerakan anti-kerajaan seperti di Algeria, Yemen, Bahrain dan Libya. Krisis di Timur Tengah juga menarik perhatian pakar-pakar keselamatan siber dan mereka menganggapnya sebagai satu fenomena. Kajian menunjukkan rangkaian sosial memainkan peranan penting dalam membantu golongan aktivis melancarkan propaganda siber mereka dan mempengaruhi persepsi rakyat untuk menentang kerajaan.

Perkhidmatan seperti Facebook dan Twitter telah digunakan sebagai platform dalam mencetuskan kebangkitan rakyat Mesir dan pengisytiharan tarikh 25 Januari 2011 sebagai hari pelancaran revolusi. Media juga melaporkan bahawa golongan aktivis ini mendapat bantuan dari seorang kakitangan Google warga Mesir bagi membolehkan semua bentuk komunikasi disalurkan secara selamat menerusi sistem pesanan segera (instant messaging system) Google. Apa yang wajar diberi perhatian adalah mengenai keupayaan rangkaian sosial dan impaknya terhadap sesebuah negara. Rangkaian sosial dijadikan platform oleh rakyat Mesir untuk mereka berinteraksi dan berkomunikasi sesama sendiri, dan melancarkan gerakan revolusi menentang kerajaan. Kerajaan Mesir mula menyedari perkara ini dan mereka mengambil tindakan terdesak pada 28 Januari 2011 untuk menyekat akses Internet menerusi keempat-empat Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) utama.

Namun, tindakan tersebut agak terlambat dan tidak mampu untuk mengubah persepsi rakyat Mesir yang begitu mendalam terhadap seruan revolusi. Malahan tindakan tersebut telah menimbulkan reaksi negatif oleh gergasi enjin perisian Google. Tanpa berselindung, pihak Google telah menyatakan sokongannya terhadap rakyat Mesir dan mengadakan kerjasama dengan pengendali Twitter bagi mewujudkan perkhidmatan baru yang dikenali sebagai ‘speak2tweet’. Secara khusus, perkhidmatan tersebut membolehkan rakyat Mesir menghebahkan situasi terkini menerusi Twitter dengan menggunakan telefon. Impak revolusi di Mesir ternyata tidak terhenti di negara tersebut sahaja. Malah ia telah merebak ke Algeria, Yemen, Bahrain, Libya dan Oman. Dalam krisis di Libya, kerajaan pimpinan Kolonel Muammar Gaddafi telah melaksanakan sekatan akses terhadap sejumlah laman web dan perkhidmatan Internet seperti Facebook, YouTube dan juga Hotmail.

Tampaknya, krisis di Mesir telah memberi pengajaran kepada Kerajaan Libya. Mereka berpendapat sekatan gerakan protes oleh rakyat Libya boleh dikekang hanya menerusi sekatan terhadap perkhidmatan Internet termasuk rangkaian sosial. Di sini wujud pelbagai persoalan yang perlu difikirkan oleh pihak-pihak tertentu yang pastinya memantau perkembangan krisis politik di Timur Tengah. Krisis yang melanda di Tunisia, Mesir, Algeria, Yemen, Bahrain, Libya dan Oman bukanlah sekadar kebetulan. Rangkaian sosial terbukti memainkan peranan yang amat penting dalam mempengaruhi persepsi rakyat, dan ledakan penggunaannya jelas sekali mampu memberi impak kepada suasana sosio-politik sesebuah negara. Rangkaian sosial yang pada awal penggunaannya berfungsi sebagai alat perhubungan, kini berubah menjadi satu platform yang efektif untuk menjana sesuatu revolusi.

Maklumat berbentuk fitnah, tohmahan, desakan, kutukan dan seruan kini semakin ghairah dipaparkan di ruang siber. Fenomena yang dicetuskan oleh rangkaian sosial sudah pasti memberi cabaran kepada negara. Pendekatan terbaik perlu diambil agar teknologi tersebut boleh digunakan secara seimbang terutamanya oleh pengguna. Mereka seharusnya dididik agar menggunakan rangkaian sosial secara berhemah. Adalah menjadi hasrat semua pihak agar penggunaan teknologi siber sebegini dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat, membantu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara. Kita semua tidak mahu teknologi tersebut digunakan secara tidak terkawal kerana ia bakal mencetuskan suasana yang boleh mengancam keselamatan negara.

Lt. Kol. (B) Husin Jazri
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia.

ISU ALAM SEKITAR : RISIKO KERACUNAN RADIASI GLOBAL

Oleh NURUL ANUAR KARI
UTUSAN MALAYSIA, 17 MAC 2011


Kerosakan reaktor nuklear di Fukushima, Jepun yang mula membebaskan bahan radioaktif ke udara pada minggu ini bukannya kemalangan pertama melibatkan loji tenaga nuklear dunia dan mungkin bukan yang terakhir. Walaupun telah banyak langkah pencegahan diambil, namun akhirnya benteng konkrit loji tersebut tewas di tangan alam semula jadi selepas gempa bumi dan tsunami membadai perairan negara itu, Jumaat lalu. Sungguhpun begitu, angka kematian yang dijangka jauh melangkaui 10,000 orang akibat bencana alam ini nampaknya tenggelam di sebalik bayangan bencana loji nuklear Chernobyl pada 1986. Letupan kuat loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986 menyebabkan 32 orang terbunuh akibat kesan langsung keracunan radiasi sementara 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif akibat bahan radioaktif tersebar ke udara sehingga ke barat Eropah.

Jika perkara sama berlaku di Jepun, bencana yang jauh lebih besar melibatkan pencemaran dan keracunan bahan radioaktif bakal menimpa semua bentuk hidupan di rantau Pasifik, mungkin juga seluruh dunia. Bagaimanapun, kemungkinan itu disanggah Setiausaha Jawatankuasa Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kesan Radiasi Atom, Malcolm Crick dengan alasan loji di Chernobyl dahulu tidak mempunyai sistem keselamatan moden terkini. Crick juga mendakwa Chernobyl menjadi padang jarak padang tekukur disebabkan loji tersebut sedang beroperasi ketika letupan berlaku seterusnya memudahkan penyebaran bahan radioaktif ke udara. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat masa ini melaporkan risiko kejadian di loji Fukushima ke atas kesihatan manusia masih rendah tetapi 140,000 penduduk di sekitar zon bencana telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Profesor Fizik Perubatan, Jabatan Radiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ng Kwan-Hoong, penduduk dunia akan didedahkan kepada dua jenis bahan radioaktif jika loji nuklear itu meletup iaitu Caesium-137 (Cs-137) dan Iodine-131 (I-131). "Cs-137 dengan separuh hayat (half-life) 30 tahun, larut dalam air dan toksik (kepada hidupan) walaupun pendedahan dalam jumlah kecil. Selepas masuk ke dalam badan, bahan ini akan merebak, terutamanya berkumpul dalam otot. "I-131 pula mempunyai separuh hayat lapan hari dan boleh diserap melalui makanan yang tercemar. Bahan ini akan terkumpul di dalam kelenjar tiroid kerana diserap seperti iodin biasa," jelasnya. Tambahnya, secara biologi (dalam badan) Cs-137 akan mula mengurai selepas 70 hari sementara penguraian I-131 pula membebaskan radiasi yang boleh merosakkan kelenjar tiroid serta meningkatkan risiko kanser tiroid dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, bukan sahaja warga Jepun dan penduduk negara jirannya cemas memerhatikan situasi di Fukushima, malahan rakyat Malaysia sendiri gempar apabila khidmat pesanan ringkas (SMS) mendakwa pencemaran radiasi akan sampai ke perairan kita mula disebarkan. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia telah memberi jaminan pembebasan bahan radioaktif di Jepun akan dipantau secara rapi melalui alat pengesan radiasi di Chuping, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuantan, Kudat dan Senai sementara kebanyakan pintu masuk negara juga dilengkapi pengimbas radiasi. Namun, persoalan yang bermain di fikiran semua pihak kini adalah tentang sebaran bahan radioaktif melalui udara kerana ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan hanya dapat dirasakan selepas gejala keracunan mula timbul.

Orang ramai di negara ini sebenarnya tidak perlu panik dengan kebarangkalian tersebut kerana jika berlaku bencana kebocoran bahan radioaktif yang teruk, ia pasti dapat dikesan lebih awal dan akan diumumkan kepada penduduk seluruh dunia terutamanya penduduk Jepun yang tinggal berhampiran tempat kejadian. Pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa juga akan memaklumkan kepada orang ramai tentang langkah pencegahan yang perlu diambil bagi mengelak atau mengurangkan kesan pendedahan bahan radioaktif ke atas diri dan keluarga. Sementara usaha menghalang bencana ini masih dijalankan, semua pihak perlu bertenang dan tidak panik tentang sesuatu yang belum tentu akan berlaku. Untuk mengurangkan kebimbangan umum melibatkan situasi di Fukushima itu, adalah lebih baik jika orang ramai terlebih dahulu memahami gejala keracunan radiasi dan langkah yang perlu diambil dalam kecemasan.

Pening dan muntah merupakan gejala utama dikaitkan dengan keracunan bahan radioaktif yang bermula beberapa jam selepas seseorang terdedah kepada radiasi tahap rendah atau tinggi. Gejala ini diiringi pening kepala, cirit-birit dan demam jika terdedah kepada jumlah radiasi yang tinggi sementara kesan melibatkan sistem saraf badan seperti lumpuh atau sawan secara tiba-tiba menandakan kesan radiasi yang amat tinggi. Pendedahan secara berpanjangan akan menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah, demam panas, serta muntah, pening kepala dan cirit birit yang teruk. Pendedahan kepada jumlah radiasi yang tinggi juga akan membawa maut dalam tempoh singkat tetapi mereka yang terdedah kepada radiasi yang rendah dalam jangka panjang atau pendek mungkin dapat diselamatkan jika menerima rawatan sewajarnya. Langkah pencegahan pula banyak bergantung kepada kemampuan kita untuk menjauhkan diri dari sumber radiasi dan mengurangkan tempoh terdedah kepada bahan tersebut.

Dari sudut jarak, kadar risiko kepada penduduk di Malaysia sebenarnya jauh lebih rendah berbanding penduduk di Jepun dan negara jirannya. Tempoh pendedahan pula dapat dikurangkan dengan menggunakan alat perlindungan khas serta mengikut arahan pihak berkuasa untuk berlindung di tempat khusus yang ditetapkan atau di dalam rumah dengan menghalang atau mengurangkan aliran udara masuk. Hakikatnya, jika bencana melanda loji nuklear Fukushima, tiada siapa di dunia yang dapat melarikan diri kerana hanya jarak yang membezakan bila sesebuah negara akan terdedah kepada bahan radioaktif yang dibebaskan ke udara. Selagi tragedi itu belum menjadi kenyataan, kita cuma mampu melihat serta mendoakan segalanya akan pulih dan semoga dunia diberi peluang mengambil iktibar daripada kejadian tersebut demi masa depan generasi berikutnya.

ISU UMUM : PERLUKAH LAGI INSURAN KENDERAAN?

Oleh Azman Anuar
UTUSAN MALAYSIA, 17 MAC 2011


Kenderaan baik motosikal, kereta, bas atau lori memang diperlukan. Ini kerana ia memudahkan banyak urusan seharian. Tetapi kenderaan itu juga boleh bikin kita pening kepala setiap bulan dan tahun. Semuanya kerana belanja yang perlu dikeluarkan untuk membolehkannya bergerak. Kita kena sediakan wang untuk beli bahan api, kos penyelenggaraan, saman dan polisi insurans tahunan. Hakikatnya, tahun demi tahun kosnya bukan bertambah murah. Harga kenderaan di negara kita juga bukanlah murah sangat. Kita akui ia mudah dimiliki kerana ada pelbagai skim mudah bayar. Tetapi jika silap atur bajet, ada yang diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar ansuran bulanan. Mana tidaknya kalau kos bayaran ansuran pinjaman kenderaan dicampur dengan kos bahan api secara bulanan boleh menelan satu pertiga gaji kita. Jadi ramai yang berasa pendapatan mereka sentiasa tidak cukup, apatah lagi berhadapan dengan kos harga barangan keperluan lain.

Masalah pembeli kenderaan (belum jadi pemilik kerana masih berhutang dengan bank) di Malaysia ialah terpaksa membeli kenderaan bersama polisi insurans pada harga mahal. Tiada insurans, kenderaan tak boleh berada di jalan raya. Bandingkan harga model kenderaan yang sama di negara kita dengan negara lain yang standard hidupnya sama dengan kita. Harganya boleh membuat kita terkejut besar. Kalau Toyota Camry misalnya di Malaysia dijual lebih RM120,000, kenapa di negara lain seperti Arab Saudi boleh dijual sekitar lebih RM80,000 sahaja. Dahulu kita mengimpikan selepas Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dilaksanakan dan Dasar Automotif Nasional diperkenalkan maka harga kenderaan akan lebih murah, tetapi rupa-rupanya masih mahal. Pembeli seperti kita tak boleh berbuat apa-apa kerana ini adalah dasar perlindungan kerajaan untuk menjaga industri kereta nasional.

Rakyat terpaksa berkorban mengeluarkan belanja lebih sedikit demi industri kereta nasional. Kalau rakyat boleh ‘berlebih kurang’, begitu juga diharap daripada kerajaan. Beban kewangan untuk mengurus kenderaan di negara ini patut diringankan. Memang kerajaan sudah membantu dari segi subsidi minyak, tetapi kita minta kaji semula kadar insurans yang tak masuk akal sejak dua tahun lalu. Kalau difikirkan, caj insurans boleh dikawal oleh kerajaan melalui Bank Negara Malaysia tetapi kenapa dibiarkan syarikat insurans memanipulasi keadaan. Memang patut pemilik-pemilik kenderaan yang berusia 10 tahun ke atas bising apabila mereka dikenakan kadar yang tinggi untuk membeli insurans.Tidak siapa mahu berlaku kemalangan dan semua pemandu mahu kenderaan mereka selamat dan berkeadaan baik serta boleh diguna lama. Selagi pemandu dapat menjaga keselamatan diri dan kenderaannya, maka perlindungan insurans rasanya tidak diperlukan. Insurans hanya terlibat jika berlaku kemalangan. Kita percaya majoriti pemandu kita berhemah. Mereka tahu jaga keselamatan diri dan penumpang kenderaannya.

ISU ALAM SEKITAR : TSUNAMI CETUS RISIKO BENCANA TEKNOLOGI BARU

Oleh Dr Ibrahim Komoo
bhnews@bharian.com.my
BERITA HARIAN, 17 MAC 2011


Gempa bumi Tohoku berukuran magnitud 9.0 berlaku pada 11 Mac 2011, jam 2.46 petang waktu tempatan yang berpusat di perairan timur laut kepulauan Jepun adalah suatu gempa mega luar dugaan, walaupun bagi masyarakat Jepun. Bukan kerana mereka tidak menduga, tetapi gempa bumi ini adalah yang terbesar pernah dialami Jepun sejak manusia mempunyai peralatan moden mengukur kekuatan gempa. Ia juga adalah gempa bumi keempat terbesar di dunia sejak 1900. Gempa bumi tercetus apabila kepingan Lautan Pasifik yang bergerak dengan kadar 83mm/tahun menusuk masuk ke bawah kepulauan Jepun sepanjang jalur pertemuan dua kepingan, iaitu zon subduksi. Pergerakan berterusan dan halangan oleh kepingan Eurasia menyebabkan patahan atau sesaran berlaku, membebaskan tenaga gempa (seismos) yang sangat besar. Patahan pada kepingan lautan yang menghasilkan gempa bumi ditafsirkan sepanjang lebih 500km dengan anjakan ke atas antara dua hingga tiga meter.

Pergerakan serta-merta kepingan lautan mengangkat badan air sehingga menghasilkan tsunami bersifat global. Oleh kerana, kedudukan punca gempa (epipusat) hanya sekitar 130km dari pantai, tsunami bergerak dan melanda pesisir Jepun kurang 30 minit selepas kejadian gempa bumi.  Melihat fotografi impak tsunami di persisiran pantai yang terhampir, seperti di bandar Sendai dan Minamisanriku, kemusnahan sangat dahsyat dan amat menyayat hati. Tinggi ombak tsunami dianggarkan mencapai 10 meter dan apabila bergerak di kawasan lembah, ia mampu menenggelami bangunan kurang daripada empat tingkat. Tsunami membawa bersama dan memusnahkan apa saja objek sepanjang laluannya.  Ke arah Lautan Pasifik, tsunami bergerak dengan kelajuan lebih 500km sejam. Dalam tempoh sekitar enam jam saja, ia sudah sampai di kepulauan Hawaii dengan ketinggian ombak sekitar 1.7 meter.

Laporan dari Taiwan dan kepulauan Filipina menjelaskan ketinggian ombak tsunami semakin mengecil dan impaknya sudah berkurangan. Walaupun, ombak tsunami sampai ke pesisiran Amerika Utara dan Selatan, Australia dan New Zealand, ombak tsunami semakin kecil dan tidak meninggalkan impak ketara. Malaysia bernasib baik, di samping terkawal kerana pentas Sunda yang cetek, kita turut dilindungi kepulauan Filipina.  Gempa bumi juga diikuti gegaran kuat, membabitkan bangunan tinggi di bandar besar, khususnya Tokyo dan bandar berhampiran epipusat. Bagi kebanyakan yang tinggal di Tokyo, ini adalah gegaran paling menakutkan pernah mereka alami. Walaupun, banyak kerosakan kecil seperti cermin dan hiasan bangunan pecah dan beberapa bangunan kecil runtuh, sebahagian besar bangunan tinggi yang dibina dengan mengambil kira impak gegaran gempa bumi, dapat bertahan tanpa kerosakan strukturnya.

Ini adalah satu kejayaan masyarakat moden Jepun yang beradaptasi dengan bencana alam. Gempa bumi sangat besar seperti ini turut diikuti gempa bumi susulan. Dalam masa 72 jam selepas gempa bumi ini, lebih 150 gempa bumi susulan berlaku dan yang terbesar direkodkan berukuran magnitud 6.8. Dalam keadaan biasa, ini adalah gempa bumi besar yang boleh mencetus bencana tersendiri. Kejadian gempa bumi susulan adalah maklumat sains penting dan lazimnya dikaitkan dengan keadaan kepingan lautan yang mengalami patahan masih aktif untuk mencari keseimbangan. Gempa bumi susulan boleh berlarutan beberapa minggu hingga bulan lamanya.  Gempa bumi yang diikuti tsunami ini mencetus risiko bencana teknologi baru, iaitu kerosakan dan letupan reaktor nuklear di Fukushima Daiichi. Empat daripada reaktor mengalami letupan kerana sistem penyejukan gagal. Gempa bumi menyebabkan bekalan elektrik terputus sehingga menjejas sistem penyejukan loji.

Tsunami pula merosakkan sistem penyejukan sokongan. Akibatnya reaktor menjadi terlalu panas, penghasilan hidrogen daripada wap air yang menjadi punca letupan. Ketidakstabilan reaktor nuklear di Fukushima masih pada tahap kritikal dan boleh mengundang bencana radiasi dahsyat. Pembinaan reaktor nuklear yang lazimnya mampu bertahan gegaran gempa bumi besar ternyata masih kurang selamat. Gempa bumi Tohoku ini ternyata meninggalkan impak sangat hebat kepada masyarakat Jepun, iaitu sebuah masyarakat yang sangat berpengalaman dan bersedia menghadapi bencana gempa bumi dan tsunami. Sehingga catatan ini ditulis, lebih 2,000 nyawa dilaporkan terkorban, lebih 10,000 orang hilang dan kemungkinan turut terkorban, lebih 500,000 penduduk dipindahkan dan lebih 1.5 juta penduduk dalam keadaan tertekan akibat ketiadaan bekalan elektrik dan air. Keseluruhan rakyat Jepun masih dalam keadaan bimbang sekiranya tragedi radiasi nuklear berlaku.

Ini tidak termasuk beberapa bandar di pesisiran pantai musnah dilanda tsunami. Bencana, kematian dan kerosakan harta masih terus meningkat. Anggaran awal menunjukkan kerugian harta benda melebihi RM500 bilion. Apa yang dapat kita pelajari daripada bencana gempa bumi ini? Walaupun bagi masyarakat Jepun yang berpengalaman menghadapi bencana alam gempa bumi masih dapat memberikan beberapa maklumat baru. Umpamanya:  Gempa bumi masih sukar diramal, khususnya magnitud, kedudukan epipusat dan bila akan berlaku. Gempa bumi mega berukuran 9.0 pada skala Richter memang tidak diduga. Ini pertama kali masyarakat Jepun berhadapan gempa bumi sebesar itu. Oleh itu, impaknya kepada komuniti, harta benda dan keselamatan awam adalah situasi baru yang mereka sedang hadapi; Ternyata tsunami besar, melebihi ketinggian 10 meter dan apabila bergerak di kawasan lembah yang dibangunkan sebagai penempatan, impaknya sangat luar biasa.

Tiada apa yang dapat bertahan daripada kemusnahan tsunami. Sebuah bandar seperti Minamisanriku musnah sama sekali dilanda tsunami;  Gempa bumi mencetuskan tsunami dan kedua-duanya pula boleh bertindak mewujudkan bencana teknologi seperti kegagalan reaktor nuklear dan kebakaran. Bencana alam lazimnya mencetus bencana lain – gempa bumi mencetus tsunami dan gegaran akibat gempa bumi serta tsunami menyebabkan kerosakan loji nuklear dan gegaran juga menyebabkan runtuhan bangunan, kebakaran dan kemusnahan pelbagai infrastruktur awam. Bagi masyarakat Malaysia, kita harus berdoa agar bencana ini dapat diharungi dengan tabah oleh masyarakat Jepun. Semoga tragedi ini diatasi segera, dapat mengurangkan risiko bencana sebaik mungkin dan membangun negara mereka ke arah masyarakat bersemangat kental. Bagi masyarakat Malaysia, jadilah rakyat yang sentiasa bersyukur kerana sentiasa dilimpahi rahmat dan dilindungi bencana alam.

Penulis ialah Pengarah, Institut Kajian Bencana Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)