Untung Sabut Timbul
Ini cerita lama: kesesakan lalu lintas di semua bandar-bandar dan pekan-pekan kecil semasa menjelang dan ketika hari raya. Juga kesesakan lalu lintas ketika kenderaan keluar dari Lembah Kelang menjelang hari raya. Sama juga dengan kesesakan lalu lintas semasa kenderaan masuk ke dalam Lembah Kelang ketika habis hari raya. Selain itu, kesesakan lalu lintas pada hujung minggu sepanjang bulan Syawal di Lembah Kelang lantaran warga kota mengadakan rumah-rumah terbuka. Cerita barunya: kesesakan lalu lintas bertambah teruk tahun ini berbanding tahun-tahun dahulu. Walaupun kelihatan banyak jalan-jalan baru dan lebuh-lebuh raya baru yang telah siap dibina. Juga boleh dikatakan semua bandar dan pekan-pekan di seluruh negara tidak akan dapat selesaikan masalah kesesakan lalu lintas menjelang dan semasa hari raya. Adakah kesesakan lalu lintas menjelang dan semasa hari raya itu suatu masalah? Kalau kita anggap ia menyusahkan kita, maka ia menjadi masalah. Maka apabila kita berasa susah hati kerana tersangkut sangkut dalam kesesakan lalu lintas, ia benar-benar adalah masalah.
Tetapi jika kita anggap kesesakan lalu lintas itu tidak menyusahkan kita, maka ia tidak menjadi masalah. Umpamanya jika kita mempunyai perasaan sabar yang tinggi dan menganggap bahawa kesesakan lau lintas itu adalah takdir yang wajar kita terima dengan reda, maka ia tidaklah menjadi masalah. Kesesakan lalu lintas itu adalah takdir. Ia merupakan hukum alam yang telah ditetapkan Tuhan. Maka kita akan sabar dengan gejala itu apabila kita terima bahawa ia merupakan hukum Tuhan. Adalah jelas apabila kenderaan banyak menuju satu tempat yang kecil dengan laluan terhad, sudah pasti berlaku kesesakan lalu lintas. Ilmu matematik, fizik, geografi dan kajian perancangan bandar semuanya mematuhi hukum Tuhan bahawa dalam keadaan sedemikian pasti berlaku kesesakan lalu lintas. Dalam kesesakan lalu lintas begini, kalau kita bertafakur, maknanya berfikir, dan kemudian capai tasbih dan berzikir dalam kereta, insya-Allah kesabaran kita boleh ditingkatkan dan kita menjadi reda dengan takdir dan hukum Tuhan. Makanya kesesakan lalu lintas itu tidak menyusahkan dan justeru bukan masalah bagi golongan as-sabirin, atau orang-orang yang sabar.
Tetapi hukum Tuhan juga menunjukkan bahawa tidak semua orang boleh mencapai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi kesesakan lalu lintas sebegini. Maka orang kebanyakan ini tentulah merasakan bahawa kesesakan lalu lintas ini adalah suatu masalah. Seringkali apabila disebut masalah, maka difikirkan mengenai penyelesaian. Anggapannya ialah apabila ada masalah, tentulah ada penyelesaiannya. Hakikatnya tidak demikian. Dalam sejarah, banyak masalah tidak ada penyelesaian. Ia terus menjadi masalah walaupun dicuba pelbagai ikhtiar. Ada kalanya masalah itu hilang dengan sendirinya apabila berlaku perubahan keadaan persekitaran menjadikan sesuatu komponen masalah itu tidak relevan lagi. Sementara ada puila masalah yang semakin membesar dan membarah, hingga berkait-kait dan menjalar ke sana sini. Jadi, adakah masalah kesesakan lalu lintas ini boleh diatasi atau tidak? Pertamanya, ia kemungkinan besar tidak boleh diselesaikan. Untuk memahami masalah ini cuba lihat puncanya.
Punca utama ialah orang Melayu yang balik ke kampung pada hari raya setiap tahun semakin bertambah. Sementara jalan ke kampung-kampung walaupun bertambah tetapi tidaklah sepesat dengan bilangan orang yang pulang ke kampung saban tahun. Itu belum lagi dilihat punca kedua dan punca ketiga. Hal punca utama pun tidak dapat diselesaikan. Pertambahan penduduk orang Melayu memang tidak boleh disekat. Kehendak mereka mahu pulang ke kampung setiap hari raya juga tidak boleh disekat. Penambahan jalan juga tidak boleh dibuat lebih pesat lagi. Bukan saja soal belanja tetapi jalan itu tidak ada gunanya di luar musim hari raya. Tetapi menarik juga untuk diteliti mengapa orang perlu balik ke kampung pada hari raya? Ini kerana kebanyakan orang Melayu masih berasal dari kampung. Mereka bermastautin di bandar tetapi ibu bapanya masih ada di kampung. Tentulah mereka perlu balik kampung. Tetapi banyak juga yang ibu bapa mereka sudah meninggal dunia, tetapi mereka tetap mahu balik kampung masa hari raya. Ini kerana mereka masih mempunyai ibu bapa saudara dan adik beradik di kampung.
Ada pula mahu berhari raya di kampung kerana mahu ziarah pusara ibu bapa mereka. Tetapi adakalanya bukannya kerana sanak saudara itu. Mereka membesar di kampung dan mahu terus menikmati hari raya seperti masa mereka kanak-kanak. Pendek kata, mereka berhari raya kerana nostalgia dan cuba kembali pada zaman lalu. Tentulah suatu yang mustahil. Namun andai kata pada satu hari kebanyakan orang Melayu sudah tinggal di bandar-bandar, maka tidak lagi timbul keadaan balik kampung. Atau kampung-kampung sudah tidak wujud. Semuanya sudah menjadi bandar, maka tidaklah ada lagi gejala balik kampung. Tetapi kalau tiada kampung pun, tentulah orang masih bertumpu-tumpu di bandar-bandar asal mereka. Maknanya, bukanlah gejala balik kampung, tetapi balik ke bandar asal. Selagi orang bermastautin di luar dari tempat asal mereka, maka akan berlaku kesesakan lalu lintas juga pada hari raya. Jadi untuk atasi kesesakan lalu lintas masa hari raya, seseorang itu usah tinggal di bandar yang berasingan daripada ibu bapa mereka. Contohnya kalau seseorang itu bermastautin di Lembah Kelang, maka seharusnya dia pindahkan ibu bapanya ke situ.
Bukan itu saja, dia pun wajar pindahkan adik beradiknya ke Lembah Kelang. Tidak cukup dengan itu, mereka pula perlu mencari pasangan di Lembah Kelang. Anak-anaknya pula wajar bersekolah dan belajar universiti di Lembah Kelang juga, dan akhirnya bekerja di situ. Maka tiadalah kesesakan lalu lintas semasa hari raya di bandar dan pekan-pakan kecil di luar Lembah Kerlang. Yang sesak pula ialah Lembah Kelang. Begitu juga sebaliknya di negeri-negeri. Umpamanya orang yang lahir di Johor. Biarlah mereka bersekolah di Johor. Kalau masuk MRSM, biarlah yang ada di negeri itu. Bila masuk universiti pula, biarlah yang berhampiran di rumah. Begitu juga bila bekerja, dapatkanlah pekerjaan yang berhampiran dengan bandar asal. Maka begitu juga apabila berkahwin. Carilah pasangan berhampiran dengan rumah. Jika begini berlaku, maka apabila menyambut hari raya, tidaklah berasa tertekan untuk balik ke bandar lain beratus-ratus batu dan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Tetapi tentulah perkara itu mustahil. Manusia bukan pokok, ia ada kaki dan otak. Selain itu, ia juga ada kesabaran,
Dan reda dengan hukum Tuhan.
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 SEPTEMBER 2011