JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : GURU, SAKITNYA DAN DUKANYA, SIAPA PEDULI? HANYA TUHAN MAHA MENGETAHUI



Guru merupakan golongan yang paling istimewa kerana mereka selalu menjadi perhatian daripada masyarakat sekeliling. Jika seorang guru melakukan kesalahan, semua guru akan terkena tempiasnya, kerjaya perguruan akan tercalar maruahnya, imej guru akan disemburi dengan pelbagai cacian dan penghinaan. Jika seorang guru melakar nama di pentas antarabangsa kerana kejayaannya bersaing dalam pelbagai kejohanan atau pertandingan, pujian hanya akan terpancul daripada mulut kaum guru sahaja manakala masyarakat hanya akan memandang sepi. Mereka tidak berminat untuk melontarkan rasa kagum apatah lagi memberikan pujian walaupun guru itu telah banyak membantu melahirkan puluhan pelajar yang berjaya. Itulah nasib para guru! Ibarat senjata makan tuan, begitulah nasib mereka yang dipijak oleh orang yang mereka ajar membaca ABC, dididik dan diasuh hingga menjadi insan bijaksana dan dipenghujungnya balasan yang diterima amat memilukan.

Polemik memandang rendah terhadap kerjaya perguruan tidak pernah berakhir selagi masyarakat tidak bersikap matang terhadap tugas mendidik anak bangsa. Semakin ramai bijak pandai yang tampil untuk mengajar golongan guru tentang cara mendidik yang betul wahal mereka menjadi sebegitu pun hasil didikan guru-guru mereka dahulu. Apa salahnya didikan sekarang dan didikan zaman dahulu? Jika dahulu, rotan akan digunakan untuk memberikan pengajaran kepada pelajar-pelajar yang nakal dan menimbulkan masalah disiplin di sekolah. Kini, kenapa tidak boleh? Cadangan yang dikemukakan ialah rotan tidak sesuai dengan perubahan zaman. Pelajar yang bersalah harus diberikan kaunseling dan peluang kedua untuk berubah. Tindakan merotan hanya akan menyakiti pelajar. Tindakan merotan tidak berkesan. Betulkah tidak berkesan? Ataupun, andaian sebegini hanyalah andaian yang dibuat secara memandai-mandai orang golongan bijak pandai. Mereka tidak ingat, mereka didik oleh guru-guru mereka dengan cara sebegitu dahulu dan mereka berjaya!

GURU DIAJAR MENGAJAR

Apabila terlalu banyak campurtangan daripada sekelompok masyarakat yang suka mengancam dan menyelar tindakan guru dalam mendidik, semangat segelintir guru untuk memanusiakan anak-anak didik mereka kian pudar. Buat itu salah. Buat ini salah. Buat itu guru pula kena belasah. Buat ini guru diugut dengan tindaakan mahkamah. Sungguh malang nasib golongan pendidik. Ancaman merupakan santapan harian. Tugas mulia mereka hanya dipandang sebelah mata. Ada yang terlalu marah, sanggup susah payah datang ke sekolah, semata-mata mahu memarahi guru kerana menghukum anak tidak membuat kerja rumah. Mereka tidak mahu memaafkan langsung kesilapan guru. Kesalahan guru walau sekecil hama pun akan diungkit dan disebarluaskan ke seluruh alam. Bagi mereka, aib guru tidak perlu dijaga. Aib guru boleh ditendang ke kiri dan ke kanan, ke atas dan ke bawah. Aib guru boleh dilambung-lambung atau disepak terajang sesuka hati. Niat guru untuk mendidik selalu diperlekehkan. Jika anak mereka melaporkan tindakan seseorang guru, tanpa usul periksa mereka akan menggunakan media untuk menagih perhatian dunia, wahal cerita itu cuma suatu pembohongan bukannya kebenaran.


Semakin moden masyarakat kita, semakin kurang rasa hormat terhadap guru. Semakin kurang rasa hormat terhadap guru maka semakin banyak masalah yang berlaku di sekolah. Puncanya bukan mereka tetapi guru. Mereka akan menggali segala kepincangan yang dilakukan oleh pihak sekolah jika pencapaian sesebuah sekolah dalam peperiksaan awam mendukacitakan. Salah mereka langsung tidak nampak. Mereka umpama malaikat manakala guru umpama penjahat. Saya pernah mengalami pengalaman yang melucukan apabila duduk semeja dengan masyarakat bukan guru di kedai-kedai kopi. Cerita yang menjadi topik perbualan jika berkaitan dengan gaji guru, yang diulas ialah gaji guru kecil. Jika soal gaji saya masih terima. Akan tetapi, apabila menyentuh hal-hal sekolah, guru dituduh pemalas, tidak pandai kerja, makan gaji buta, saya memang panas hati. Tindakan menghukum tanpa bukti begini apabila keluar dari mulut kawan sendiri, saya memang akan tentang habis-habisan. Apabila masuk pula isu sekolah ini baik, sekolah ini tidak baik, hati memang panas mendengarnya. Orang bijak pandai pun bercakap sebegitu. Dia sendiri tidak sedar asal usulnya, berasal dari pedalaman atau tinggal di kampung yang serba kekurangan. Kini dia berjaya, apabila dia belajar di sekolah yang pandai itu atau di sekolah yang tidak pandai itu?

SUATU KEPUASAN

Saya melihat trend mencari salah guru ini sudah menjadi hobi bagi segelintir pihak. Golongan ini akan berasa puas selepas bersemuka dengan guru semata-mata untuk melontarkan kata-kata cacian dan penghinaan. Mereka akan jadi lebih bersemangat apabila guru yang diperlakukan sebegitu pula hanya diam membisu walaupun dia tahu dia tidak bersalah. Yang peliknya, apabila terbukti guru tidak bersalah tidak pula dia bersemangat untuk meminta maaf, riaknya tetap sama. Dia lupa bahawa Tuhan sedang mengadilinya di atas sana. Bagi segelintir yang kononnya berani dan bijaksana pula, nama guru akan diperdagangkan di media sosial. Silap-silap muncul dalam surat khabar! Mereka riak memberikan komen yang memihak kepada mereka, dan berbondong-bondong pula komen menyokong untuk sama-sama menuai dosa. Itulah nasib golongan guru di mata masyarakat. Mereka akan dihukum sebagai persalah walaupun tidak semestinya bersalah. Kadang-kadang hukuman dijatuhkan hanya daripada cerita si anak yang kecewa sehingga pelbagai laporan dibuat, tetapi akhirnya semua itu hanya rekaan.

Kesabaran insan yang bernama guru amat tinggi. Hanya mereka sahaja yang memahami kerana mereka sama-sama merasai. Walaupun ada sebilangan guru yang hilang pertimbangan namun mereka masih berdiri di atas neraca keadilan dan kewarasan. Guru akan membiarkan hal-hal itu berlalu. Tugas mendidik tetap dipikul sebaik-baiknya. Mereka tidak menyimpan dendam. Jauh sekali bermusuhan. Mungkin dihati timbul rasa benci kerana mereka juga manusia tetapi di dunia realiti mereka tetap tersenyum seolah-olah awan hitam semalam sudah berlalu jauh meninggalkan. Memang tidak dapat dinafikan ramai ibu bapa dan masyarakat yang masih menghormati guru terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Guru masih dianggap segala-galanya bagi mereka. Tugas untuk mendidik anak bangsa diserahkan sepenuhnya kepada guru. Rasa hormat tidak pernah hilang. Guru sentiasa dihormati dan disanjung tinggi. Masyarakat pedalaman masih tebal dengan tradisi kesopanan dan kesusilaan. Jika ada masalah, jalan rundingan akan digunakan. Nasib guru-guru di pedalaman lebih baik daripada mereka yang mengajar di bandar.

ADAKAH JALAN PENYUDAH?

Sikap memandang rendah terhadap kerjaya perguruan tidak akan berakhir terutama dalam kalangan masyarakat di bandar yang dikatakan maju, intelektual, dan berstatus tinggi. Dengan kuasa, pangkat, dan harta yang mereka ada, kerjaya sebagai guru ini kelihatan amat tidak setaraf dengan mereka. Golongan ini sentiasa mendesak guru supaya melayan anak-anak mereka setimpal dengan kedudukan mereka dalam masyarakat. Tindakan sebegini akan menyekat proses pendidikan yang berkesan. Jika mahu merobohkan banteng penghalang ini, semua pihak harus bersikap bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat. Masyarakat terutamanya ibu bapa harus faham bahawa tugas mendidik bukannya mudah tanpa sokongan mereka. Tugas mendidik memang tanggungjawab guru tetapi sokongan ibu bapa amatlah perlu. Jika niat kita sama iaitu ingin lahirkan golongan pelajar yang berjaya, maka satu persefakatan murni dan berkesan harus diwujudkan. Pendidikan di rumah amat penting kerana lahirnya anak-anak yang berkeperibadian mulia akan membantu melonjakkan kejayaan sesebuah sekolah baik dalam bidang kurikulum mahupun dalam bidang kokurikulum. Jika tidak, semuanya hanya mimpi di siang hati atau bagai si luncai yang terjun dengan labu-labunya.


Guru bukan bekerja untuk seorang individu. 
Walau maruahnya dipersenda. 
Walau namanya dijaja. 
Sabarnya tetap setinggi Gunung Kinabalu. 
Tabahnya tetap sehebat Gunung Mahameru. 
Sakitnya dipendam dihati. Lukanya diubati sendiri. 
Liku-liku hidupnya sentiasa diuji.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

CATATAN CIKGU ZUL : SELAMAT HARI WANITA, ANUGERAH TERINDAH DARI ALLAH UNTUK LELAKI.


Tanggal 8 Mac pada setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Wanita Antarabangsa atau Hari Wanita Sedunia. Tema tahun 2017 ialah “Inilah Kuasa Wanita”. Tema ini membawa makna yang sungguh mendalam kepada semua wanita dan kaum adam yang menjadi penghuni bumi ciptaan Allah ini. Wanita merupakan ciptaan Tuhan yang sinonim dengan kelembutan, keayuan, kecantikan, dan keperibadian mulia. Kita tidak boleh membayangkan apa yang akan berlaku jika dunia ini tiada wanita? Keturunan kita mungkin akan pupus. Populasi dunia tidak akan bertambah. Itulah kuasa wanita. Hanya wanita yang boleh mengandung, melahirkan, dan menyusukan anak. Mereka dikurniakan hati yang sungguh suci dan belaian serta sentuhan ajaib yang penuh nikmat dan kasih sayang untuk mendodoikan setiap anak yang dilahirkan. Lelaki tidak mampu menandingi keistimewaan ini. Kini, kuasa wanita semakin hebat menggegar dunia. Pepatah Melayu yang berbunyi, “tangan yang menghayun buaian, boleh menggoncang dunia” memang benar-benar terbukti kerana di era globalisasi ini kuasa wanita begitu meledak melata di bumi ciptaan Ilahi.

IBU WANITA TERHEBAT

Kita dilahirkan ke dunia ini dari rahim seorang ibu. Ibulah yang mengandungkan kita selama sembilan bulan. Ibulah yang berjaga siang malam tanpa mengenal penat dan jemu. Ibulah penasihat yang terbaik, pendengar yang setia, dan penyembuh yang paling mujarab setiap kali kita memerlukan khidmatnya. Dia tidak pernah mengungkapkan kata tidak. Dia tidak pernah mengungkapkan kata tiada. Dia akan berusaha untuk memenuhi segala permintaan kita. Walaupun terpaksa bersengkang mata dan bekerja tanpa mengira waktu, dia akan berusaha juga untuk menunaikan keinginan anak-anaknya. Dia tidak pernah menangis walaupun hatinya terguris. Dia tidak pernah luahkan kekecewaan walaupun hatinya kita lukakan. Dia tidak pernah menyesal melahirkan kita ke dunia walau kita lawan arahan dan kata-katanya. Segala susahnya dipendam. Segala marahnya disimpan. Demi anak tersayang, biar jiwanya sengsara, dia sanggup asalkan anaknya tidak menderita. Terima kasih Ibu!

Sebagai anak kita tidak boleh menyakiti hati ibu.
Kita tak boleh ingkar setiap nasihat ibu.
Setitis air mata ibu jatuh membasahi pipi, 
dosanya kita tanggung hingga ke mati. 


Nasib semua ibu di dunia ini tidak sama. Apabila membaca cerita-cerita tentang ibu di laman media sosial dan akhbar hati kita selalu tersentuh. Orang yang masih ada ibu sanggup membuang ibu mereka. Ibu tersayang dibiarkan hidup merempat dan dibalut kemiskinan hingga ke akhir hayat. Ibu yang banyak berjasa dibiarkan hidup sebatang kara, tidak dijaga malah ada yang tergamak menjadikan ibu mereka sebagai orang suruhan yang tidak bergaji. Mereka tidak pernah bertanyakan khabar berita dengan ibu yang jauh. Apabila ibu menelefon, mereka menjawab sekadar berbasa basi, dengan alasan banyak kerja dan sibuk, talian telefon dimatikan tanpa mengakhirinya dengan salam. Itulah nasib segelintir ibu yang disisihkan oleh darah daging sendiri. Terdapat juga anak-anak derhaka yang menyusahkan ibu hingga ke tua. Ibu yang tidak berdaya terpaksa bekerja untuk menyara hidup anak yang diibaratkan bangkai bernyawa. Kasihan sungguh nasib wanita yang bernama ibu.

Saya tumpang gembira melihat ibu-ibu yang menikmati hari-hari tua mereka dengan limpahan kebahagiaan dan kesejahteraan serta kemewahan. Anak-anak yang dilahirkan semuanya berpendidikan dan berjawatan tinggi. Mereka sentiasa menyayangi ibu mereka. Mereka melayan ibu dengan penuh kasih sayang. Segala permintaan ibu ditunaikan. Kebajikan ibu terjaga. Keinginan ibu sentiasa dipenuhi. Setiap waktu dihabiskan bersama ibu tersayang. Ibulah kawan. Ibulah teman. Ibulah kekasih. Mereka sentiasa meletakkan ibu ditakhta teratas dalam hidup mereka. Tahniah ibu! Anak-anakmu sentiasa ingat dan tidak lupa akan jasa-jasamu. Jika diperhatikan, perjalanan hidup anak-anak yang sentiasa memuliakan kehadiran ibu mereka disisi, sentiasa indah. Walaupun mereka tidak berpendidikan tinggi dan bergaji rendah, rezeki mereka datang bagai air mengalir. Hidup mereka sentiasa bahagia  dan diberkati. Allah tidak pernah biarkan mereka menangis.

Orang yang derhaka kepada ibu mereka lain 
pula ceritanya. Walaupun berpendidikan tinggi, berpangkat, berharta,  dan menjadi sanjungan 
seantero dunia, hidup mereka sentiasa berhadapan dengan masalah. Gaji puluhan ribu tetapi hutang 
keliling pinggang. Segala-galanya 
tidak pernah cukup. Rezeki datang berguni-guni 
tetapi habis tidak sampai sehari. 

SAYANGI WANITA

Hidup kita sentiasa dikelilingi wanita. Kita mempunyai adik beradik wanita. Kita mempunyai rakan sekerja wanita. Kita mempunyai anak-anak wanita. Mereka hadir untuk disayangi. Jangan sesekali dikasari. Jika seorang lelaki sanggup mengasari seorang wanita sehingga luruh air matanya menahan kesakitan dan derita, lelaki itu merupakan lelaki pengecut yang amat berdosa. Saban hari kita selalu melihat pelbagai cerita mengenai wanita yang dirogol, didera, dijadikan hamba seks, pelacur dan sebagainya. Perbuatan kita yang tergamak memperlakukan golongan wanita sebegini wajar dihentikan. Wanita perlukan layanan dan kasih sayang daripada orang yang berada di sekeliling mereka. Janganlah kita menganggap kehadiran mereka menyusahkan. Janganlah kita mempergunakan kelemahan mereka untuk kepentingan diri kita. Hormatilah hak mereka sebagai wanita. Suatu ketika, kita akan diberikan ganjaran dan pahala berganda kerana menjaga maruah dan kehormatan seorang wanita.

Apabila kita sanggup menjadikan seorang wanita
sebagai isteri, kita harus berjanji untuk tidak
menyakitinya hatinya dan menyeksa jiwanya.
Jangan sewenang-wenangnya berlaku curang dan
menduakan kasih sucinya. Poligami memang hak
tetapi hati yang terluka akibat kasih dikhianati
itu bukan hak. Kita harus faham hati dan 
perasaan seorang wanita.


Maruah seorang wanita dalam keluarganya adalah tanggungjawab orang lelaki. Seorang lelaki yang baik akan menjadi pelindung kepada wanita-wanita yang berada disampingnya. Mereka sanggup berkorban demi wanita yang disayangi. Mereka sentiasa memandang tinggi kedudukan wanita di sekeliling mereka. Lelaki yang penyayang akan sentiasa membelai wanita yang disayanginya dengan kata-kata indah dan sentuhan lembut pada setiap masa. Mereka sanggup berkorban untuk memberikan yang terbaik untuk wanita yang disayangi. Mereka akan menyediakan rumah kediaman yang lengkap dan selesa ikut kemampuan demi wanita yang disayangi. Mereka tidak akan biarkan wanita yang mereka kasihi mengeluh kesakitan atau merintih kesengsaraan. Itulah kewajiban bagi golongan lelaki kepada wanita-wanita yang ada disisi mereka.

SELAMAT HARI WANITA

Buat semua wanita, saya ucapkan “Selamat Hari Wanita” terutamanya buat arwah ibu saya yang telah menghadap ilahi dan adik-adik wanita saya yang amat saya sayangi. Salam kasih sayang ini juga istimewa ditujukan buat permaisuri hati dan anak-anak yang amat saya sayangi. Hidup ini penuh dengan ujian. Ada masanya ujian itu sukar untuk dilepasi sehingga terhambur kata-kata yang menyakitkan. Percayalah, tiada niat langsung untuk melukakan. Setiap silap yang berlaku, sesal akan menerjah diruang hatiku. Kemaafan kupohon daripada Allah nan satu. Saya mungkin bukan seorang suami, ayah, abang, atau adik yang terbaik namun sebagai seorang lelaki yang punya perasaan dan impian, saya sentiasa berusaha untuk memberikan yang terindah sehingga ke akhir hayat saya. Buat semua lelaki, wanita merupakan segala-galanya untuk kita. Jagailah wanita-wanita yang hidup bersama kita. Jangan guris hati mereka. Jangan sakiti mereka. Jangan jadikan mereka hamba abdi. Jangan jadikan mereka mangsa ‘tangan’ dan ‘kaki’. Sekali kita memilih mereka sebagai teman, biarlah hubungan itu terjalin hingga ke hujung nyawa. Langit kehidupan kita bersamanya jangan diwarnai dengan titisan warna gelap dan suram. Sesungguhnya, mereka tidak kuat untuk menghadapi penderitaan dan kesengsaraan. Hadiahkan kebahagiaan dan kesenangan buat mereka. Jadilah lelaki sejati untuk mereka. Jadilah lelaki yang dirindui. Jadilah lelaki yang disayangi. Jadilah lelaki yang dikasihi. Jadilah lelaki yang dirindui. Lelaki yang terbaik ialah lelaki yang tahu hak seorang wanita.

Jika suatu hari kita kehilangan wanita yang paling kita
sayangi, kasihi dan cintai. Kita akan rasa betapa
kosongnya hati dan sunyinya jiwa. Kita akan
merindui saat-saat indah bersamanya tetapi
semua itu tidak bisa berulang kembali
kerana dia telah pergi buat
selama-lamanya. 

Hargailah Wanita selagi hayatnya ada!








Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak