JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Oktober 2012

ISU GLOBAL : LEBIH 12 JUTA HALIMUNAN HIDUP TANPA IDENTITI KERANA TIADA NEGARA


Rencana ditulis oleh:
SHARIFAH NURULAINI


Bayangkan anda tidak memiliki negara...

Menetap di sebuah tempat merdeka dan maju, tetapi tidak boleh bersekolah, bekerja atau mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Anda tidak mempunyai kad pengenalan atau lesen memandu dan tidak boleh ke luar negara, sepanjang hayat anda. Menakutkan? Itu juga perasaan lebih 12 juta orang yang kini hidup menumpang di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Orang tanpa negara ini seolah-olah tidak wujud di muka bumi, tiada kewarganegaraan, tiada rekod kelahiran dan kematian. Hanya datang dan pergi begitu sahaja. Mungkin ramai tidak faham mengapa seseorang itu tidak mempunyai negara?

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ada individu kehilangan kewarganegaraan kerana masalah infrastruktur atau konflik di negara sendiri. Faktor kedua: Diskriminasi. Ini termasuk kes kaum Kurdish Faili di Iraq dan orang Rohingya di Myanmar yang dikecualikan status warganegara oleh kerajaan masing- masing kerana mereka daripada etnik berbeza. Punca lain adalah pembubaran negara, pembentukan negara baru dan penetapan semula garisan sempadan.

Siapa mereka?

Untuk mengenali siapa dikatakan individu tanpa negara, kes terbaru yang boleh dirujuk adalah kaum Rohingya di Rakhine, Myanmar. Rohingya adalah antara kumpulan minoriti terbesar di dunia tanpa kewarganegaraan selepas kerajaan Myanmar menarik balik taraf itu bermula 1962 kerana budaya berbeza dengan etnik Burma. Malangnya, orang Rohingya bukan satu-satunya kaum yang ditindas kerajaan sendiri kerana masalah sama turut berlaku di Iraq, Nepal, dan Eropah. Menurut Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), masalah orang tanpa negara paling banyak berlaku di Asia Tenggara, Asia Tengah, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika.

UNHCR sendiri tidak mempunyai data tepat kerana golongan ini tidak didaftar dan hidup bersembunyi tetapi mengikut jangkaan agensi itu, Estonia, Iraq, Kenya, Latvia, Myanmar, Nepal, Syria dan Thailand mempunyai jumlah orang tanpa negara paling ramai di dunia. Amerika Selatan pula menjadi contoh jumlah orang tanpa negara paling sedikit kerana kebanyakan negara di wilayah itu memberikan kewarganegaraan secara automatik kepada sesiapa sahaja yang lahir di negara mereka. Sehingga kini, UNHCR masih cuba untuk membawa keluar golongan ini daripada terus menjadi halimunan, dalam kempen yang dilancarkan sejak setahun lalu. Kata Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian, Antonio Guterres.

“Jika kita tidak selesaikan isu orang tanpa negara ini sekarang, masalah ini akan berterusan sampai bila-bila kerana ibu bapa yang tidak mempunyai warganegara tidak boleh mewariskan kewarganegaraan kepada anak mereka. Pengasingan dan penindasan ke atas satu kumpulan manusia secara berterusan buat beberapa generasi akhirnya akan menimbulkan tekanan hebat dalam masyarakat dan menjadi punca konflik,”

Namun usaha untuk menyelesaikan masalah ini sukar kerana orang tanpa negara adalah antara isu yang paling kurang mendapat perhatian masyarakat dunia. “Dalam media, hanya sedikit perbincangan mengenai hal ini, di universiti pun terlalu sikit kajian. Di PBB sendiri sebelum ini, tidak banyak dibincangkan mengenai isu orang tanpa negara,” kata Mark Manly, ketua unit untuk orang tanpa negara di UNHCR kepada agensi berita kemanusiaan AlertNet milik Reuters. Apa dikatakan Manly itu terbukti apabila hanya 38 negara telah menandatangani Konvensyen Mengurangkan Orang Tanpa Negara walaupun perjanjian itu telah wujud sejak 51 tahun lalu.

Apa nasib mereka?

Kehadiran orang tanpa negara memburukkan masalah sosial di sesebuah tempat. Dalam kes lebih dahsyat, ia turut mencetuskan peperangan apabila orang yang diketepikan ini mula mengangkat senjata, seperti di Ivory Coast dan Congo. Golongan ini tidak boleh membuka akaun bank atau berkahwin secara sah. Ada yang ditahan bagi tempoh lama kerana tidak boleh membuktikan siapa diri mereka dan dari mana mereka datang. Timbalan pesuruhjaya tinggi untuk perlindungan di UNHCR, Erika Feller berkata, orang tanpa negara menjadi mangsa mudah jenayah pemerdagangan manusia, perhambaan, pelacuran, dan buruh paksa kerana tidak dilindungi undang-undang di negara tumpangan mereka. Persoalannya, sampai bila mereka akan menjadi seolah halimunan sama ada di negara sendiri, atau di negara lain di mana mereka kini menetap? Apakah kemanusiaan sudah pudar sehingga pihak berkuasa sanggup membiarkan golongan yang menjadi mangsa keadaan ini terus tertindas?

“Amat memalukan apabila jutaan manusia dibiarkan hidup tanpa kewarganegaraan, iaitu hak paling asas bagi seorang manusia. Masalah ini seolah-olah tidak diendahkan. Kita mesti mengubah sikap ini,”

Sumber
Sinar Harian
1 Oktober 2012

ISU IPT : TERIMALAH HAKIKAT DENGAN HATI TERBUKA


Rencana ini ditulis oleh
Oleh Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my24 September 2012


Ternyata pilihan raya kampus yang berlangsung minggu lalu membuktikan kematangan dan kedewasaan sebahagian mahasiswa sebagai golongan terpelajar sekali gus membawa angin perubahan baru dalam politik kampus. Tanpa dicemari insiden tegang atau isu keterlaluan, golongan mahasiswa ternyata cukup tenang dan berdisiplin ketika menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai calon bertanding atau pengundi. Meskipun akur wujudnya isu terpencil, namun keseluruhan proses pilihan raya kampus yang berlangsung boleh disifatkan antara terbaik pernah diadakan. Pro-Aspirasi masih tetap unggul di hati mahasiswa di kebanyakan universiti sementara Pro-Mahasiswa juga tetap bertahan di beberapa kubu kuat.

Senario itu sekali gus menyangkal tanggapan segelintir pihak yang mengatakan sokongan terhadap calon prosspirasi sudah merudum. Kini persoalan utama pula adakah kedua pihak berpuas hati dan reda dengan keputusan diterima? Apakah mereka akur dengan pilihan dibuat pengundi serta apakah janji dibuat mampu ditunaikan? Calon umum Pro-Mahasiswa, Universiti Putra Malaysia, Ahmad Meseiry Abd Hakim Amir berkata, pengundi sudah membuat pilihan dan calon sama ada menang atau tewas perlu diterima dengan hati terbuka. Menurutnya, apa yang perlu dilaksanakan ketika ini adalah menunaikan janji serta mandat diperjuangkan dengan penuh dedikasi bagi membalas jasa pengundi.

“Mereka yakni pengundi membuat keputusan, kami sebagai calon yang bertanding perlu akur dan menerimanya dengan hati terbuka. Sama ada tewas atau menang, bukan pokok persoalan kerana lebih penting adalah memastikan manifesto dilunaskan. Pengundi sudah tentu mahu melihat hasilnya. Bagi saya, kekalahan Pro-Mahasiswa di universiti ini juga sebagai proses pembelajaran dan penambahbaikan strategi. Mungkin ada kekurangan yang perlu diperbaiki bagi menambat hati pengundi pada masa depan,”

Sepanjang tempoh kempen, manifesto menjaga kebajikan mahasiswa adalah paling popular diperjuangkan calon selain isu kebajikan asas seperti kemudahan kolej dan keselamatan. Berbanding tahun lalu yang hangat dengan pelbagai isu panas, pilihan raya tahun ini juga dikatakan sedikit hambar dan ‘lesu’ kecuali beberapa kes terpencil yang berlaku di beberapa institusi pengajian tinggi awam ( IPTA). Selain itu, kebangkitan calon yang berdiri atas tiket bebas juga semakin ketara sekali gus mengundang pertandingan tiga penjuru. Medium berbentuk maya turut digunakan sebagai alternatif kempen berbanding medium konservatif iaitu kempen secara nyata. Calon Pro-Aspirasi Universiti Pendidikan Sultan Idris, Ain Mawarnin Mohd Nadzir berkata, pilihan raya tahun ini juga menjadi penanda aras sejauh mana kemampuan Pro-Aspirasi dalam melaksanakan ‘serangan’ terhadap propaganda Pro-Mahasiswa.

“Ramai beranggapan kami (Pro-Aspirasi) sudah tidak mempunyai senjata ampuh dalam melaksanakan manifesto perjuangan. Namun itu semuanya adalah andaian semata-mata.Biar apa jua manifesto perjuangan, pengundilah paling berhak membuat keputusan dalam menentukan pilihan masing-masing. Justeru kemenangan besar Pro-Aspirasi di kebanyakan IPTA tidak perlu disangsi atau disensasikan kerana pengundi lebih tertarik dengan manifesto diperjuangkan sekali gus memberi kepercayaan kami untuk mengemudi,”

Bagaimanapun beliau mengakui kemenangan itu bukanlah untuk bermegah atau bersenang lenang kerana tanggungjawab yang dipikul berat untuk dilaksanakan. “Kami tidak boleh terlalu leka dengan kemenangan itu kerana ia datang dengan tanggungjawab. Justeru kami perlu pastikan segala kepercayaan pengundi dibalas dengan baik sekali gus mengukuhkan lagi sokongan,” katanya. Rakannya yang juga calon umum Pro-Aspirasi, Mohd Fadlillah Mukhatar, berkata kempen agresif yang dijalankan secara menyeluruh dan menepati kehendak pengundi adalah antara resipi kejayaan Pro-Aspirasi. Menurutnya, pengundi sudah semakin bijak membuat pilihan dan kurang selesa dengan agenda tertentu yang mahu memporak perandakan keharmonian kampus.

“Kami (calon Pro-Aspirasi) memang cukup berpuas hati dan berterima kasih dengan pilihan pengundi. Biarpun dihambat kontroversi, mereka akhirnya membuat pilihan secara matang. Ini membuktikan keamanan dan keharmonian masih menjadi keutamaan. Hakikatnya, sesiapa pun tidak suka disogokkan dengan berita palsu atau provokasi melampau. Saya berharap calon yang menang mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik selain menjadikannya sebagai medan melaksanakan amali sebelum berdepan situasi dunia pilihan raya sebenar,” katanya. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, berkata sama ada Pro-Aspirasi, Pro-Mahasiswa atau bebas, pilihan raya kampus adalah medan menilai keupayaan mahasiswa sebagai bakal pemimpin.

Menurutnya, tidak perlu menggembar-gemburkan atau mencipta isu sensasi semata-mata untuk meraih undi, sebaliknya perlu menunjukkan kematangan dalam menangani apa jua situasi. “Ramai pihak melihat mahasiswa dan pilihan raya kampus sebagai ‘isyarat’ terhadap perkembangan serta perjalanan politik negara. Ini satu tanggapan kurang tepat. Mahasiswa adalah kelompok tersendiri, jadi biarlah mereka membuat acuan terhadap pilihan diingini tanpa campur tangan orang luar yang seharusnya bertindak sebagai pemerhati saja. Pilihan raya kampus boleh menjadi landasan ilmu termasuk belajar berkenaan senario politik tanah air selain tanggungjawab sebagai warga negara. Tidaklah nanti mereka mengabaikannya,” katanya. Beliau juga beranggapan secara dasarnya parti diwakili sebagai label semata-mata dan bukan penanda aras terhadap kemenangan, kekalahan atau keupayaan calon. “Tidak perlu mempertikaikan keupayaan calon menerusi kemenangan atau kekalahan kerana ini hanya platform kepada mereka untuk belajar dan membina pengalaman dalam aspek demokrasi.

“Paling penting mereka berjaya mencorak dan menjayakan proses demokrasi di kampus sekali gus lebih matang dan berpengetahuan. Parti diwakili bukan jaminan kukuh mereka boleh mengemudi dengan baik, justeru tunjukkan kewibawaan sebenar sebagai seorang pemimpin yang dipercayai,”

Sumber
Harian Metro
1 Oktober 2012