JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Oktober 2010

ISU SOSIAL : KESEPAKATAN MORAL DEMI KESTABILAN DUNIA


Kehidupan yang indah adalah kehidupan yang disulami oleh nilai-nilai akhlak, moral dan etika yang menjadi asas kepada apa jua aktiviti kehidupan dan pergaulan. Pengajaran dan penghayatan nilai-nilai yang mulia ini dalam kehidupan, sebenarnya menjamin kewujudan keamanan dan kestabilan dalam masyarakat manusia. Sesungguhnya nilai-nilai moral diperoleh daripada ajaran agama dan ketuhanan. Manusia sebagai makhluk yang dijadikan Tuhan, mempunyai unsur ketuhanan dalam diri mereka dan lantaran itu akan sentiasa berpaling kepada agama dan kepada Tuhan walaupun hanya ketika di waktu ditimpa kesusahan dan kesempitan sahaja dan melupakan Tuhan apabila diulit kemewahan dan kesenangan.

Semua ajaran keagamaan menekankan peri pentingnya nilai-nilai ketuhanan, akhlak dan moral. Dalam Islam, nilai akhlak adalah nilai Samawi yang amat suci yang datang daripada Allah dan sebarang pencabulan merupakan penganiayaan terhadap hak-hak Allah oleh hamba-Nya.  Akhlak dalam Islam bersumberkan kepada wahyu dan ia mempunyai sifat-sifat kerohanian yang suci serta kekal abadi, ia mendatangkan kemurnian dan keharmonian bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga kepada orang lain. Akhlak Islam mencetuskan kesucian dan keikhlasan dalam kehidupan kerana pembentukan nilai-nilai diri berakar di dalam hati dan dibuktikan pada tingkah laku, sama ada ketika bersendirian mahupun berkumpulan. Etika dan moral juga bertujuan membentuk tingkah laku individu yang baik, dan bagi seorang individu Muslim sewajarnya mereka menjadikan etika dan moral dinaungi oleh nilai-nilai akhlak Islam.

Dalam dunia global ini yang melihat negara-negara Barat khususnya sebagai pencorak utama aktiviti kehidupan, manakala rata-rata umat Islam sebagai pemerhati dan pengguna, ini merupakan satu keadaan yang agak sulit untuk mencari kesepakatan nilai-nilai moral yang tulus dalam segenap kehidupan. Mungkin juga terdapat segelintir masyarakat Islam dan bukan Islam berpandangan sebegini rupa. Sudah tentu negara-negara yang berkenaan yang merasakan mereka lebih bertamadun daripada negara lain inginkan mereka diiktiraf sebagai pencetus dan pembawa kemajuan atau sebagai pembela demokrasi (dan sebagainya) serta mahu orang lain mengikut cara dan corak mereka.  Manakala penolakan oleh orang lain dilihat sebagai penentangan terhadap mereka. Keinginan mereka ini dipermudahkan lagi oleh kepintaran dan penguasaan mereka dalam teknologi maklumat dan komunikasi tanpa batasan atas nama globalisasi. Satu proses yang dibina dan dicorakkan oleh mereka yang sudah tentu akan memberi keutamaan kepada sikap dan nilai moral mengikut tafsiran sendiri, juga dengan hasrat supaya tafsiran sempit mereka tentang nilai moral itu akan diterima oleh masyarakat global, maka ini juga satu lagi pengiktirafan ke atas mereka.

Jika dianalisis secara mendalam, Islam itu lebih mendahului negara Barat dari segi globalisasinya kerana Islam bukanlah sesuatu yang asing bagi dunia ini. Umat Islam walaupun di mana mereka berada tetap bersaudara. Mereka mempunyai agama yang satu dan menyembah Tuhan yang satu. Mereka akan menuturkan kalimah assalamualaikum kepada sesama Muslim walaupun tidak mengenali sesama mereka dan kalimah ini dikongsi oleh sesiapa saja tanpa mengira negara asal mereka.  Konsep globalisasi ini mula diperkenalkan kepada tamadun kemanusiaan di dalam al-Quran sebagai mana menurut firman Allah surah al-Hujrat, ayat 13 bermaksud:  Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.

Manakala globalisasi yang kita kenali hari ini adalah satu istilah yang baru tetapi mempunyai konotasi yang sama yang telah diguna pakai sejak awal lagi oleh dunia Islam. Perkataan globalisasi ini yang dicetuskan oleh mereka hanya selepa munculnya kemajuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi, yang menjadikan dunia ini seolah-olah kecil sahaja akibat cepat dan mudahnya manusia berhubung sesama mereka.  Tetapi mengapa dunia kini baru melihat bahawa globalisasi ini seolah-olah sesuatu yang baru lahir? Bukannya serentak dengan lahirnya Islam di muka bumi lebih 1,400 tahun yang lalu? Sebenarnya inilah yang dikatakan kejayaan negara Barat dalam mencorakkan aktiviti kehidupan masyarakat dunia yang pada masa yang sama ingin melihat nilai moral dan pegangan hidup mereka mendominasi dunia.

Sememangnya inilah niat mereka pun, dan mereka berjaya kerana mereka mempunyai agenda tertentu. Tetapi apakah agenda umat Islam yang telah dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini untuk mengurus dan mentadbir dunia ini?  Memang benar Islam tidak akan memaksa mana-mana negara atau individu untuk menerima Islam dan ajarannya. Tetapi apakah peranan masyarakat Islam bagi memastikan keamanan dan kestabilan dunia dapat dipelihara berpandukan nilai moral mereka yang sejagat itu. Kesepakatan nilai-nilai moral antara sesama masyarakat global berbilang bangsa dan kepercayaan bukannya sesuatu yang tidak boleh dicapai. Tetapi mengapa perbezaan ini yang mendasari kemunculan perpecahan dan persengketaan sesama mereka? Tuhan yang mencipta agama sudah tentu tidak mahu masyarakat yang beragama ini berpecah-belah disebabkan oleh perbezaan atau pertembungan nilai moral dan kepercayaan mereka.

Mencari kesepakatan dalam nilai moral kehidupan global kini lebih memerlukan kepada sikap toleransi dan keterbukaan seluruh umat manusia dan para pemimpin memainkan peranan yang amat penting. Sikap toleransi akan melihat kesanggupan semua pihak menerima dan mengiktiraf peranan mereka (walau sesempit mana pandangan mereka atau sekecil mana sumbangan mereka) sebagai satu keperluan yang amat penting.  Inilah yang diharapkan agar bangsa dan negara yang mendominasi itu tidak akan merasakan mereka ditentang dan ditolak, manakala bangsa yang lemah pula tidak menganggap diri mereka dihina, dijajah atau dicabuli kedudukan, hak dan pentingnya peranan mereka dalam memastikan kestabilan dunia tercapai.


Oleh
Khairul Azhar Idris
Fellow
Institut Kefahaman Islam Malaysia

ISU SOSIAL : BAHAGIA YANG BERSINAR

"Sedamai taman firdausi,
Limpahan kasih sayang sejati,
Seharum semerbak kasturi,
Mewarnai hidup insani.

Indahnya damainya keluarga yang bahagia,
Itulah idaman impian setiap insan,
Yang dahagakan belaian,
Serta kasih dan sayang ".

Begitulah terucap dalam lagu, terluah oleh bibir mendayu perihal sebuah keluarga bahagia. Tiada insan yang lahir ke muka bumi ini mendambakan hidup yang sengsara, sukar dan sunyi bersendirian tanpa kasih sayang dan kebahagiaan. Allah s.w.t telah menciptakan manusia bersama-sama dengan fitrah kasih sayang yang tulus suci dan sejati. Ianya adalah untuk dikongsikan bersama insan-insan lain yang berada di sekeliling kita. Alangkah tenangnya jika dikasihi, disayangi, mengasihi dan menyayangi. Terasa diri dihargai serta mendapat perlindungan pastinya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang diriwayatkan oleh At Tarmizi yang bermaksud ;

"Bukanlah dari golongan kami mereka yang tidak mengasihi golongan yang muda antara kami dan tidak menghormati golongan yang tua di antara kami”.

Jelas terpatri bahawa manusia dan kasih sayang tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu, umpama roh dan jasad. Pastinya, bagi seorang anak, ibu bapa dan keluarga adalah tempat bermanja, tempat berkongsi tawa ria dan tangis duka. Bagi seorang suami, isteri adalah permaisuri hati yang menerangi hidupnya. Bagi seorang isteri pula, suami adalah arjuna hatinya yang perkasa untuk disandarkan sebuah impian. Kebahagiaan ini terpancar indah dan tersibak harum ke seluruh alam lantas melahirkan kasih sayang buat sanak-saudara, jiran tetangga, para sahabat mahupun kepada seluruh ummah dan insan di muka bumi ini. Betapa terkesannya jiwa yang lahir daripada keutuhan sebuah institusi keluarga sehingga mampu memberikan kedamaian buat seluruh semesta. Sudah pasti ia lahir oleh Rahmat Allah yang Maha Luas kepada hambaNya.

Namun, adakah rasa bahagia itu suatu realiti? Mengapa kasih sayang itu semakin sirna? Anak-anak tidak lagi rasa bahagia berada di rumah sendiri. Suami dan isteri pula sering berselisih faham, masyarakat juga mengamalkan sikap tidak menjaga tepi kain orang, manakala situasi sekolah pula begitu stereotaip menghabiskan silibus mata pelajaran. Lalu, di manakah letaknya keseronokan hidup ini?

“Ketika insan lain berbahagia bersama keluarga,
Namun kita, masih meniti titian rapuh perhubungan,
Mengapa kita terpisah daripada RahmatNya,
Mungkinkah kita seringkali melupakannya,
Ayuhlah bina semula, keluarga di redhai Allah.”

Jawapan yang paling tepat untuk pelbagai kes seperti penceraian, jenayah, masalah sosial, kezaliman dan tekanan yang melanda kehidupan pada hari ini ialah kealpaan manusia terhadap Pencipta Yang Maha Agung. Selama mana kita jauh daripada kasih sayang Allah, segala kekacauan dan simpulan masalah ini tidak akan terlerai. Tidak mungkin ada kuasa lain yang mampu mengatasi kuasa Allah Yang Maha Besar.

Manusia tidak berkuasa menentukan apa jua perkara sebaliknya kita hanya mampu merancang. Namun, kita dikurniakan akal yang waras dan kudrat yang sempurna untuk berfikir dan bertindak. Bersama-sama dua komponen ini juga wujud perasaan atau emosi yang menggambarkan tindakbalas manusia terhadap persekitaran. Sekiranya fitrah manusia tidak dicemari nafsu dan hasutan syaitan, sudah pasti kasih sayang bertakhta di sanubari setiap insan. Namun, apakan daya bagi mereka yang tewas dalam pertarungan melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Masakan kita tidak gusar dan bimbang akan kadar penceraian yang mencapai angka 13,465 orang pada tahun 2005, 32808 orang penagih dadah pada tahun 2005, 108 kes penderaan kanak-kanak dan 1561 kes rogol setakat Jun 2006 lalu, 1.... kes buang bayi pada tahun 2006 serta 7201 kes kesalahan juvana pada tahun 2005. Kes-kes seperti pelacuran, seks luar nikah, pengguguran anak, rempit, melepak dan minum arak juga tidak kurang hebatnya pada masa kini. Di kalangan remaja ini amat jelas bahawa sifat malu umpama sudah tidak ada lagi dalam diri. Sedangkan di dalam agama islam sendiri, malu itu sebahagian daripada iman.  Di manakah silapnya kita? Tepuk dada tanya hati kecil kita sendiri. Bagi ibubapa, cukupkah ilmu agama yang diajarkan kepada anak-anak, kukuhkah kasih sayang yang dicurahkan kepada ahli keluarga, halalkah sumber dan zat rezeki yang diberikan serta bagaimanakah keadaan diri anda sebagai pemimpin kepada ahli keluarga?

“Oh ayah, oh ibu,
Dengarlah rintihan dan luahan hatiku
Yang dahagakan kasih
Jiwaku merasa tersiksa ketandusan kasihmu,
Marilah kita bina bersama-sama keluarga bahagia”.

Menyalahkan pelbagai pihak sememangnya mudah. Menunding jari ke pelbagai arah juga telah menjadi tradisi amarah. Namun, selesaikah masalah dengan tindakan sebegitu? Pepatah ada mengatakan “guru pertama adalah ibu bapa”, “bapa borek anak rintik” serta hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud “anak yang dilahirkan itu putih, suci dan bersih, ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadi majusi, yahudi dan nasrani”. Lihatlah, segalanya bermula dari sebuah rumah, melalui didikan, asuhan dan bimbingan ibu bapa. Kasih sayang, perhatian dan ketegasan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mampu melahirkan anak yang mempunyai jatidiri unggul lantas berupaya menepis mehnah yang datang daripada persekitran.

Tidak dapat dinafikan lagi, keutuhan institusi kekeluargaan menjadi faktor utama kepada kestabilan sosial sesebuah masyarakat dan negara. Sebuah keluarga yang bahagia mampu melahirkan generasi yang sejahtera dari pelbagai sudut merangkumi aspek fizikal, mental, emosi, rohani serta sosial. Insan yang seimbang ini merupakan modal insan yang berupaya memberikan sumbangan kepada bangsa, agama dan negara. Maka, terbentuklah modal sosial dalam sesebuah masyarakat, institusi mahupun organisasi sekaligus dapat melonjakkan imej negara ke persada terbilang.

Namun, segalanya tidak bermakna seandainya konsep kasih sayang dan didikan yang sempurna tidak diharmonikan dalam sesebuah keluarga. Justeru, ibu bapa usahlah terlalu bersikap terbuka membiarkan pengaruh negatif globalisasi menguasi anak-anak mahupun menyekat terus kebebasan anak-anak sehingga tiada langsung keterbukaan dalam keluarga. Justeru, amat bersesuaian sekali ungkapan kata-kata hikmah oleh Dr H.M Tuah Iskandar iaitu “Rasa kasih, sayang dan cinta bukan satu perjudian untuk menentukan menang atau kalah tapi ia adalah ikatan hati yang menentukan nilai satu perhubungan, kesetiaan dan ketulusan”.

Justeru, kepada ibu bapa, beringatlah kerana anak-anak itu adalah amanah Allah kepada kalian. Bagi para suami pula mengertilah bahawa isterimu juga amanah untukmu. Jadikan setiap hari yang anda lalui umpama meniti jambatan kasih yang dihiasi cinta dan kemesraan. Hiduplah seperti mentari yang bersinar menerangi maya bukannya umpama duri yang mencucuk diri dan menyakiti orang lain. Dalam apa jua keadaan letakkan panggilan dan seruan Illahi itu pada tempat yang paling utama. Jadilah hambaNya yang bersyukur. Itulah sekukuh-kukuh pergantungan. Menurut Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud, “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapalah yang mencoraknya sama ada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.”

Demi survival bangsa dan agama, suburkanlah nilai-nilai murni dalam diri anak-anak kita dan jadilah contoh tauladan terbaik buat mereka. Didik dan bimbing mereka mendaki ke puncak syahadah, menjadi insan yang berbakti dan berjasa kepada masyarakat kerana kelak akhir hidup kita akan beroleh ketenangan, pergi menghadap Illahi dalam husnul Khatimah. Sesungguhnya, mati itu benar, sakaratul maut itu benar, syurga dan neraka juga benar, balasan terhadap dosa dan pahala juga benar. Janganlah menjadi insan yang lupa diri dan terlalu takbur dengan nimat milik Allah. Daripada Nya kita datang, kepada Nya jua kita kembali.

Hidup ini terlalu singkat. Usah dihabiskan dengan sengsara dan kesusahan. Isilah dengan SAKINAH, MAWADDAH dan RAHMAH. Tanpa kerjasama semua pihak, tidak mungkin lahir generasi berwawasan dan bertakwa yang mampu mendukung visi bangsa, agama dan negara. Marilah bersama-sama kita bersatu membina ummah terbilang melalui pengukuhan institusi kekeluargaan. Semoga kita akan terus meneguk kemanisan hidup biarpun jutaan mehnah yang melanda kerana kita berpegang pada taliNya.

“Bahagia itu dari dalam diri, terpendam bagai permata di dasar hati,
Bahagia itu ada pada hati, terpendam bagai mutiara di lautan nurani,
Bahagia itu ada di jjwa, mahkota di singgahsana rasa,
Bahagia itu adalah ketenangan.”

Sesungguhnya bahagia itu semakin hampir andai kita semakin dekat dengan Pencipta. Semoga kebahagiaan yang terpancar daripada ibu bapa akan membiaskan sinar bahagia buat seisi keluarga, lantas menjana masyarakat yang sejahtera dan negara yang terbilang dan berdaya upaya.


ARTIKEL INI DIAMBIL DARI
LAMAN WEB RASMI
YAYASAN PEMBANGUNAN KELUARGA
JOHOR DARUL TAKZIM
http://www.ypkdt.org.my/ypkdt/articles.php?id=336

KATA-KATA UNTUK MENGINDAHKAN LAGI PENULISAN KARANGAN

WILLIAM OF WYKEHAM
Adab membentuk manusia menjadi baik

PHILIP DOMER STANDHOPE

Apa saja yang berfaedah untuk dilakukan
adalah wajar dilakukan dengan sebaik-baiknya.

THOMAS HENRY HUXLEY

Berfikirlah seperti orang yang bertindak,
bertindak seperti orang yang mempunyai fikiran.

ABRAHAM LINCOLN

Buku adalah universiti yang
boleh dibawa ke mana sahaja.

PERIBAHASA CINA

Berikan seseorang seekor ikan,
anda memberikannya makanan untuk sehari.
Ajarkan dia bagaimana menangkap ikan
dan anda memberikannya
makan seumur hidup.

ENGKAU TIDAK KESEORANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Hidup ini suatu perjuangan. Perjuangan memerlukan semangat juang yang tinggi. Semangat juang yang tinggi perlukan sokongan. Tanpa sokongan semangat mudah luntur dan lebur bagai ketulan ais yang semakin lama semakin mengecil dan akhirnya lenyap tanpa dapat dikesan. Begitu jua dengan hidup seseorang pelajar. Kejayaan seseorang pelajar memerlukan sokongan daripada ibu bapa, guru-guru, rakan-rakan dan sesiapa sahaja.

Sokongan yang diberikan akan menjadikan mereka lebih mudah berhadapan dengan cabaran dan rintangan yang mendatang. Sokongan daripada ibu bapa dan ahli keluarga akan menjadikan seseorang pelajar lebih kuat dan sentiasa ceria menghadapi hari-hari yang mendatang. Segala keluhan dan permasalahan akan didengari dan diselesaikan. Dengan ini segala batu-batu penghalang yang bergelimpangan di sepanjang perjalanan perjuangannya dapat dikuis ke tepi dengan mudah sehingga segala yang susah menjadi mudah. Sokongan daripada guru-guru akan menjadikan seseorang pelajar lebih mudah menguasai ilmu. Guru ibarat tangkal azimat kepada pelajar. Walaupun kehadiran mereka dalam hidup seseorang pelajar dalam pelbagai rupa, sifat, saiz dan perwatakan yang berbeza, namun kata-kata sokongan yang diberikan oleh setiap orang guru amat besar maknanya. Sokongan rakan-rakan pula akan menjadikan segalanya lebih mudah. Perjalanan mereka menuju ke mercu kejayaan akan lebih ceria dan indah dengan adanya sokongan rakan-rakan sebaya yang sehati sejiwa.

Oleh itu, dalam menghadapi hari-hari yang semakin hampir dengan hari peperiksaan sebenar, pelajar-pelajar sekalian memang memerlukan sokongan padu. Janganlah berjuang secara berseorangan kerana banyak yang ingin membantu berada disekeliling anda. Jika anda keliru mintalah sokongan ayah dan ibu, jika anda lesu mintalah bantuan guru, jika anda buntu mintalah bimbingan rakan-rakan yang sudi membantu. Percayalah, anda tidak berseorangan di dunia yang luas ini.

Sekian, terima kasih.

KATA ADJEKTIF DARJAH PENGHABISAN

se- + kata adjektif + gandaan + kata nama

1. sepandai-pandai tupai
2. setinggi-tinggi gunung
3. sekeras-keras batu
4. sebaik-baik manusia
5. secantik-cantik bunga

ter- + kata adjektif

1. terpandai
2. tertinggi
3. terbaik
4. tercantik
5. termasyhur

paling + kata adjektif

1. paling pandai
2. paling tinggi
3. paling cantik
4. paling baik
5. paling mesra

kata adjektif + sekali

1. buruk sekali
2. garang sekali
3. ramah sekali
4. masyhur sekali
5. baik sekali

ter- + amat + kata adjektif

1. teramat pandai
2. tersangat tinggi
3. teramat baik
4. teramat mesra
5. teramat manis

ter- + sangat + kata adjektif

1. tersangat masin
2. tersangat teliti
3. tersangat lancang
4. tersangat bisa
5. tersangat rindu

amat + kata adjektif + sekali

1. amat manis sekali
2. amat jahat sekali
3. amat garang sekali
4. amat lemah sekali
5. amat licin sekali

sungguh + kata adjektif + sekali

1. sungguh rajin sekali
2. sungguh manis sekali
3. sungguh pintar sekali
4. sungguh kasar sekali
5. sungguh kemas sekali

sangat + kata adjektif + sekali

1. sangat mudah sekali
2. sangat tenang sekali
3. sangat kasar sekali
4. sangat halus sekali
5. sangat mahal sekali

KATA ADJEKTIF DALAM BENTUK PERBANDINGAN


Kata adjektif dapat digunakan untuk menyatakan tiga darjah perbandingan.

1. Darjah Biasa
2. Darjah Perbandingan
3. Darjah Penghabisan

DARJAH BIASA

Kata adjektif jenis ini dapat digunakan bagi menunjukkan darjah biasa.

Contoh Ayat

1. Hidup Cikgu Zul dengan isteri-isterinya sederhana sahaja.
2. Malam ini bulan terang.
3. Perangai cikgu baru itu baik.
4. Tubuh budak itu kurus.
5. Laut tenang ketika waktu pagi.

DARJAH PERBANDINGAN

BANDINGAN YANG SAMA

1. Rumah Lady Gaga sebesar Rumah Madonna
2. Anak Brad Pitt secantik anak Tom Cruise
3. Suara Ricky Martin semerdu suara  Adam Lambert
4. Masakan Colin Farrel sesedap masakan Leonardo De Caprio

BANDINGAN YANG BERBEZA

1. Rumah Lady Gaga lebih besar daripada Rumah Madonna.
2. Anak Brad Pitt lebih cantik daripada anak Tom Cruise.
3. Suara Ricky Martin kurang merdu daripada suara Adam Lambert.
4. Masakan Colin Farrel kurang sedap daripada masakan Leonardo De Caprio

KATA ADJEKTIF PANCAINDERA

DERIA RASA

1. sedap
2. manis
3. lazat
4. masam
5. kelat
6. pahit
7. tawar

DERIA PANDANG / LIHAT

1. cantik
2. molek
3. hodoh
4. ayu
5. buruk
6. kacak
7. tampan

DERIA DENGAR

1. merdu
2. mersik
3. nyaring
4. bising

DERIA BAU

1. harum
2. wangi
3. busuk
4. hapak
5. tengik
6. hancing
7. hanyir

DERIA SENTUH

1. halus
2. licin
3. keras
4. kasar
5. lembut
6. lembik
7. mengerutu

PENGIMBUHAN KATA MAJMUK

KATA MAJMUK MENERIMA IMBUHAN AWALAN

1. campur aduk = bercampur aduk
2. litar selari = berlitar selari
3. ambil alih = mengambil alih
4. temu bual = ditemu bual

KATA MAJMUK MENERIMA IMBUHAN APITAN

1. daya serap = daya serapan

KATA MAJMUK MENERIMA IMBUHAN APITAN

1. campur aduk = mencampuradukkan
2. daya serap = kedayaserapan
3. garis pusat = menggarispusatkan
4. satu padu = menyatupadukan
5. urus niaga = diurusniagakan

PENGGANDAAN KATA MAJMUK

Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsur pertama kata sahaja.

CONTOH

01. alat-alat tulis
02. balai-balai raya
03. suku-suku kata
04. jirim-jirim organik
05. Menteri-Menteri Besar
06. Naib-Naib Canselor
07. Ketua-Ketua Menteri
08. kapal-kapal terbang
09. gambar-gambar rajah
10. Penolong-Penolong Pendaftar

KEKECUALIAN

Penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap.
Penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur.

01. pesuruhjaya-pesuruhjaya
02. warganegara-warganegara
04. tandatangan-tandatangan
05. jawatankuasa-jawatankuasa
06. setiausaha-setiausaha

KATA MAJMUK MANTAP

CIRI-CIRI

1. Sudah mantap sebagai satu perkataan yang utuh
2. Bentuk kata kata majmuk mantap terdiri daripada dua kata dasar
3. Kata majmuk mantap dieja sebagai satu perkataan

SENARAI KATA MAJMUK MANTAP

01. antarabangsa
02. beritahu
03. bumiputera
04. jawatankuasa
05. kakitangan
06. kerjasama
07. olahraga
08. matahari
09. setiausaha
10. sukarela
11. suruhanjaya
12. tandatangan
13. tanggungjawab
14. warganegara
15. pesuruhjaya

KITA SELALU KELIRU

PERKATAAN LAIN YANG TERGOLONG DALAM KATA TERTENTU YANG LAZIMNYA DIEJA SECARA BERCANTUM

KATA NAMA

1. peribadi
2. peribahasa
3. haribulan
4. dinihari
5. perikemanusiaan

KATA ADJEKTIF

1. sukacita
2. dukacita

KATA SENDI NAMA

1. kepada
2. daripada

KATA HUBUNG

1. apabila
2. manakala
3. padahal
4. darihal
5. barangkali
6. kadangkala
7. apakala
8. walhal

KATA TANYA

1. bagaimana

ISU PENDIDIKAN : KIRA-KIRA 600 ORANG GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH (GSTT) BAKAL KEHILANGAN PUNCA PENDAPATAN


Kira-kira 600 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di negeri ini bakal kehilangan punca pendapatan setelah kontrak mereka ditamatkan oleh Kementerian Pelajaran secara berperingkat bermula 10 Oktober lalu. Seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gulau di Sik, Amir Hamzah Harun, 33, berkata, setiap hari dia menunggang motosikal sejauh 150 kilometer dari Gurun untuk mengajar bagi menampung kehidupan bersama isteri, anak dan ibunya. Kalau kontrak ini ditamatkan, susah untuk dia menyara keluarga. Dia merayu kementerian agar menyambung kontrak guru GSTT kerana kebanyakan kami mempunyai pengalaman mengajar yang agak lama.

PENDAPAT CIKGU ZUL

Ramainya jumlah guru sandaran di negara kita pada masa ini. Jika di negeri Kedah sahaja jumlah GSTT ini mencecah ke angka 600 orang, jumlah GSTT di negeri lain pun lebih kurang sama. Bagi saya isu GSTT ini ditamatkan perkhidmatan mereka setelah mengajar begitu lama merupakan suatu kerugian kerana mereka telah lama menimba pengalaman dan merasai asam garam dunia pendidik. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan hak guru-guru terlatih yang beru berkhidmat bagi menggantikan GSTT tersebut. Mereka juga mempunyai kemahiran walaupun baru memasuki dunia perguruan. Bagi KPM, situasi ini ibarat diluah mati bapa, ditelan mati emak. Namun begitu, bagi mendapatkan keadilan semua pihak terutamanya GSTT sepatutnya merujuk kepada surat kontrak perkhidmatan mereka. Kita harus tahu kedudukan diri dan sedar bahawa nikmat yang diperoleh hari ini, tidak akan selama-lamanya dapat kita nikmati. Carilah penyelesaian yang terbaik melalui musyawarah, insya-allah permasalahan ini akan berakhir dengan penyelesaian yang memuaskan hati semua pihak yang terlibat.