Penulis : ROHAMI
SHAFIE
Jawatan : Pensyarah
Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Sumber : Utusan
Malaysia
Tarikh : 1 Julai 2013
Menurut Presiden
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Datuk
Omar Osman, kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam
masih tidak mampu memiliki rumah. Faktor utama penjawat awam tidak memiliki
rumah adalah kerana faktor harga rumah yang terlalu tinggi. Meneliti kepada
angka ini, sesuatu tindakan yang benar-benar konkrit dan realistik perlu
dirancang dan dilaksanakan dengan baik agar ia tidak menjadi masalah yang
meruncing dalam sektor awam negara. Kakitangan awam negara yang diiktiraf
antara yang terbaik di dunia tidak boleh berhadapan dengan masalah kewangan
sampaikan tidak mampu memiliki keperluan asas dalam hidup iaitu memiliki rumah.
Sebagai golongan
pelaksana dasar-dasar kerajaan, nasib mereka ini perlu dibela dengan
sewajarnya. Sememangnya kerajaan telah melakukan pelbagai manfaat kepada
kakitangan awam, namun melihat situasi terkini, rata-rata harga rumah yang
terlalu tinggi merunsingkan kakitangan awam untuk memiliki rumah. Ini tidak
termasuk kos sara hidup yang semakin menekan hidup mereka terutamanya di
bandar-bandar besar. Segala-galanya memerlukan wang dalam menjalani kehidupan
seharian. Natijahnya, memungkinkan kakitangan awam terlibat dalam kerja-kerja
sampingan untuk memastikan kelangsungan kehidupan mereka dan keluarga agar
dalam keadaan yang lebih baik. Rata-rata juga, kebanyakan penjawat awam bergred
rendah dan gaji mereka tidak mencukupi untuk membeli rumah.
Cuba bayangkan harga
rumah yang melebihi RM250,000 pun mereka tidak mampu membelinya, bagaimana pula
untuk membeli rumah yang melonjak tinggi sehingga berjuta-juta ringgit di
bandar-bandar besar. Senario ini jugalah yang menyebabkan ada antara mereka
terpaksa meminjam dengan ah long dan sudah tentu implikasi negatif yang lebih
teruk lagi akan berlaku kepada mereka dan juga perkhidmatan sektor awam. Mahu
tidak mahu, penyelesaian jangka masa panjang wajar dilaksanakan segera. Penulis
berasakan bagi Bajet 2014, kerajaan wajib menumpukan kepada perumahan bukan
sahaja untuk penjawat awam tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang masih tidak
mampu memiliki rumah. Penyelesaian ini termasuklah kerajaan wajib campur tangan
dalam pasaran hartanah Malaysia dan bukan sekadar mengenakan kadar cukai
hartanah yang lebih tinggi tetapi juga perlu berani untuk mengawal harga rumah.
Alasan-alasan yang
diberikan oleh pemaju perumahan tidak boleh lagi diterima kerana mereka ini
sudah lama mengaut keuntungan ke atas rakyat. Tindakan mengawal harga rumah
seperti mengenakan harga siling adalah antara tindakan terbaik. Kerajaan tidak
perlu gentar untuk mengawal harga rumah kerana sebelum ini terdapat banyak
barangan terutamanya makanan dikawal harganya oleh kerajaan. Apa bezanya rumah
dengan makanan sedangkan kedua-duanya adalah barangan keperluan asas manusia? Penulis
juga melihat sektor pembinaan negara sudah menjadi lubuk untuk sektor korporat
mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Bayangkan ada syarikat yang sememangnya
terkenal dalam pertanian juga terlibat dengan sektor hartanah dan pembinaan,
sudah tentu ia menunjukkan sektor ini memberi keuntungan yang amat tinggi. Umum
mengetahui hakikat ini.
Keberanian kerajaan
untuk mengawal harga rumah dengan menggenakan harga siling pastinya akan
disokong oleh majoriti rakyat. Percayalah rakyat akan sentiasa berada di
samping kerajaan jika kerajaan benar-benar membela nasib rakyat. Sudah
tentunya, penjawat awam yang merupakan agen pelaksana dasar dan polisi kerajaan
akan berasakan nasib mereka terbela jika mereka dapat memiliki rumah seawal
perkhidmatan mereka dalam sektor kerajaan. Kerajaan perlu mengutamakan rakyat
terlebih dahulu dan bukannya pemaju-pemaju perumahan yang tidak mempedulikan
nasib rakyat. Siapa lagi yang akan menjaga nasib rakyat kalau bukan kerajaan
yang dipilih oleh rakyat itu sendiri? Kerajaan juga perlu memikirkan dasar
menjual harga rumah kepada warga asing sebagaimana kerajaan negeri Johor yang
mula ingin bertindak agar harga rumah berada dalam paras yang benar-benar mampu
milik. Usah terlalu memberi pelbagai insentif kepada warga asing yang berwang
semata-mata inginkan pelaburan mereka, sedangkan rakyat sendiri pun tidak mampu
memiliki rumah.
Perlu diingat, harga
rumah bagi warga asing adalah cukup murah tetapi bagi rakyat Malaysia harganya
amat mahal. Faktor utamanya, gaji rakyat Malaysia tidak langsung seiring dengan
peningkatan harga rumah. Sebaliknya, warga asing ini pula dibayar dengan gaji
yang tinggi melebihi rakyat Malaysia. Bukan semua warga asing ini bagus-bagus
belaka sehinggakan mewajarkan mereka dibayar gaji yang melebihi rakyat
Malaysia. Ada antara mereka tidak menunjukkan kepakaran dan kemahiran dalam
bidang masing-masing namun oleh kerana mereka ini datangnya dari Barat, maka
mereka ini dianggap lebih hebat daripada warga tempatan itu sendiri. Pemikiran
sebeginilah yang perlu dibuang jauh-jauh. Ini kerana jika mereka ini terlalu
hebat sudah tentu mereka dapat menyelesaikan krisis hutang negara mereka dalam
tempoh yang lebih pantas dan bukannya berpanjangan sehingga kini.
Justeru, gaji yang
lebih baik wajar dibayar kepada rakyat Malaysia berbanding warga asing dan pada
masa yang sama perketatkan undang-undang agar warga asing tidak begitu mudah
untuk membeli rumah. Barulah isu perumahan ini dapat diselesaikan dalam jangka
masa panjang dan bukannya sekadar penyelesaian jangka masa pendek yang akhirnya
memburukkan lagi keadaan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Inilah yang
sebenarnya yang rakyat mahukan.