JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Ogos 2011

ISU SOSIAL : HARI KELUARGA BESAR MALAYSIA

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.


Pertamanya, segala ucapan tahmid dipanjatkan ke hadrat Allah SWT justeru selesai sebulan kita melaksanakan ibadah puasa dalam satu perjalanan spiritual mentarbiyyah rohani dan menguji fizikal. Maka, dengan tibanya fajar Syawal yang mulia, umat Islam hari ini dengan penuh rasa kesyukuran menyambut satu kemenangan mujahadah yang tertinggi pengertiannya seperti disifatkan oleh Rasulullah SAW yakni jihad bagi melawan nafsu. Pada tahun ini, ditakdirkan sesuatu yang bitara dan unik, sebagai rakyat Malaysia kita bertuah dapat menyambut gema Aidilfitri berselang sehari dengan ulangtahun sambutan kemerdekaan negara yang ke-54. Kedua-dua perayaan ini mempunyai signifikan begitu besar kepada negara yang mempunyai kemajmukan amat kompleks seperti Malaysia di mana bukan sahaja wujud perbezaan daripada segi etnik tetapi juga teranyam indah dengan kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan taraf sosioekonomi. Pucuk pangkalnya, rakyat Malaysia yang berlainan agama, anutan dan kepercayaan mempunyai banyak sebab untuk bersyukur dan berterima kasih.

Hakikat bahawa, Malaysia telah dan sedang dirahmati nikmat keamanan juga kemakmuran tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak. Jelas sekali, kita ibarat sebuah oasis di tengah-tengah dunia berkecamuk sedang dilanda badai politik dan kegoncangan ekonomi yang bertali arus. Hari ini, seperti yang kita maklum, ketika gergasi ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan beberapa negara anggota Kesatuan Eropah yang dikelompokkan sebagai ekonomi maju sedang bergelut dengan krisis kewangan serius sehingga memerlukan penyelamatan atau "bailout", sebaliknya, Malaysia hasil pengurusan yang berhemah serta cekap, masih mampu bukan sahaja untuk mengembangkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baru tetapi juga untuk memberikan setengah bulan bonus kepada 1.4 juta kakitangan awam yang menelan belanja RM2 bilion menjelang sambutan istimewa perayaan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan. Sungguhpun demikian, kita tidak boleh sekali-kali terbuai dan berpuas hati dengan ehwal kejayaan tersebut. Untuk itu, sepanjang tempoh dua tahun yang lepas, pancang-pancang telah dipasak oleh kerajaan bagi memastikan penciptaan kekayaan baru, pertumbuhan ekonomi berterusan dan penciptaan pekerjaan berganjaran tinggi selaras dengan kemahiran yang semakin meningkat.

Apa yang diimpikan adalah sebuah negara yang makmur dan sejahtera di mana setiap individu sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak agar dapat mencorak sebuah kehidupan bahagia berkelangsungan hingga cucu cicit kita kelak. Peri pentingnya, setiap seorang daripada kita hendaklah mengetahui bahawa, matlamat tertinggi kerajaan adalah untuk mendahulukan kebajikan seluruh rakyat, sebagai suatu urutan keutamaan yang telah menjadi wawasan nasional semenjak negara mencapai kemerdekaan. Dari itu, sebagai kerajaan yang merasai denyut nadi rakyat, lagi prihatin terhadap kegundahan serta resah gelisah warganya dan memahami kebimbangan mereka, kita sedar tentang fenomena kos kehidupan semakin meningkat sekali gus kita maklum terhadap harga bahan makanan yang semakin naik. Lantaran itu, kerajaan telah dan akan terus mengambil tindakan memperbaiki dan memperelok keadaan ini secara berperingkat serta menyeluruh demi kepentingan rakyat. Pokoknya di sini, sekalipun fenomena kenaikan harga bahan makanan bersifat global, namun sebagai kerajaan bertanggungjawab kita tidak akan berpaling daripada menghadapi sebarang cabaran.

Misalannya, sebagai langkah awal kita telah menjadikan matlamat menangani kos kehidupan yang semakin meningkat sebagai satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA yang terbaru. Satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang juga telah ditubuhkan dengan dipengerusikan sendiri Timbalan Perdana Menteri. Sememangnya, langkah-langkah ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan program yang bakal digubal serta dilaksanakan akan benar-benar mampu membantu rakyat. Selain itu, kerajaan akan meneruskan dasar memberi subsidi secara langsung atau tidak langsung. Ini terutamanya, subsidi bahan makanan yang terpilih seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan gula. Begitu juga bahan bakar seperti Petrol RON95, Diesel dan LPG serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan. Akan tetapi, kita berhasrat melakukannya dengan lebih cermat dan bijaksana tanpa menjejaskan kesihatan fiskal negara dengan mendukung prinsip bahawa mereka yang lebih memerlukan dan berkelayakan akan didahului serta diutamakan.

Sehubungan itu, baru-baru ini saya telah mengumumkan beberapa inisiatif awal bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung. Antaranya, Kedai Rakyat 1Malaysia di mana barang-barang keperluan berjenama 1Malaysia mampu dibeli dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran. Di klinik-klinik 1Malaysia pula rawatan asas boleh diperolehi dengan bayaran seringgit dan yang mutakhir melalui Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau singkatannya Kar1sma sejumlah RM1.4 bilion akan diperuntukan kepada 500,000 warga emas, orang kelainan upaya, ibu tunggal serta balu polis atau tentera yang berkelayakan. Sesungguhnya, usaha kerajaan tidak terhenti sekadar itu sahaja. Selanjutnya, insya-Allah melalui Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada awal Oktober nanti, saya akan mengumumkan pula langkah-langkah susulan bersifat lebih komprehensif bagi menangani masalah yang memberi kesan kepada isi keluarga yang berpendapatan rendah dan pertengahan. Dalam syiar meriahnya perayaan dan besarnya jiwa kemerdekaan, saya menyeru kepada semua agar tidak sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata bapa-bapa kita para pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang.

Beringatlah yakni semuanya tidak terjelma dengan berwenang-wenang ataupun kekal lestari jika bahtera keramat kemerdekaan Malaysia tercinta ini terbiar hanyut tidak dikemudi dengan tulus, tidak dihargai dan musnah tanpa dipelihara. Oleh yang demikian, kita dengan ini menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang pernyataan dan usaha oleh mana-mana pihak yang ingin mempersenda atau memperlekeh pengorbanan mulia para wirawan dan wirawati negara serta keluarga mereka. Kita berasa kesal kerana mereka sebaliknya pula memperagungkan Parti Komunis Malaya yang anti Tuhan, anti agama dan anti Nasional. Jadi, di atas segala-galanya, bagi memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan bumi Malaysia kekal berkesinambungan, maka perpaduan nasional perlu terus dibajai dan diperkukuhkan. Mudah-mudahan jua atas keinsafan ini makin tersepuh dan menebal semangat patriotisme dan kecintaan yang kukuh kepada pertiwi di setiap nubari kita.

Bertolak dari situ, pada hemah saya, dua sambutan yang bersesekali ini sewajarnya membawa makna dan pengertian yang mendalam tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada Malaysia yang makmur, bebas dari sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan sama ada keselamatan diri kita mahupun keluarga di samping dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan kecukupan dan kelimpahan. Kata orang dulu-dulu, sempena hari baik bulan baik ditambah pula hembusan Merdeka, kita buanglah yang keruh, kita ambil yang jernih. Di musim perayaan ini, marilah kita bersatu sebagai sebuah keluarga besar Malaysia supaya dapat menjadi contoh kerukunan hidup kepada seantero dunia. Lantas, sempena bulan yang mulia dan semangat sambutan Hari Kebangsaan ini, ayuhlah kita terus menyemarakkan tradisi murni kunjung mengunjung dan mengadakan rumah terbuka. Seperti yang sering dinyatakan, bukalah pintu rumah dan pintu hati seluasnya dengan menjemput rakan-rakan berlainan kaum, kepercayaan dan agama ke rumah masing-masing.  Di sinilah tergubah dan terlukisnya sebuah citra Malaysia yang kita damba-dambakan. Akhir kata, saya dengan rasa kerendahan hati bagi pihak diri, isteri, anak-anak dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini menyusun jari nan sepuluh memohon kemaafan zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang dilakukan. Turut dihulurkan salam istimewa Hari Kemerdekaan kepada seluruh rakyat Malaysia dimana jua tuan-tuan dan puan-puan berada. Semoga Tuhan sentiasa merahmati kita semua.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillah hil Hamd.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Hari Kemerdekaan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 OGOS 2011

ISU UMUM : MENANG ATAU KALAH DAN PILIHANRAYA, SPR BUKAN PENENTUNYA

DATUK WAN AHMAD WAN OMAR,
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)


Sejak  penubuhannya pada 4 September 1957, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menjalankan 12 pilihan raya umum (PRU) dan lebih 150 pilihan raya kecil (PRK). PRU yang terakhir adalah yang Ke-12 yang diadakan pada 8 Mac 2008, di mana daripada 222 kerusi Dewan Rakyat yang dipertandingkan, 140 dimenangi calon-calon Barisan Nasional (BN), manakala 82 kerusi lain dimenangi calon-calon Pas/PKR/DAP, iaitu 31 Parti Keadilan Rakyat (PKR), 28 Democratic Action Party (DAP), dan 23 Parti Islam Se-Malaysia (Pas). Bagi Dewan-Dewan Undangan Negeri (DUN), daripada 505 kerusi yang dipertandingkan (tidak termasuk DUN Sarawak), BN memperoleh 307 , manakala 196 kerusi lain di menangi Pas (83), DAP (73) dan PKR (40). Dua kerusi dimenangi calon Bebas. Bagi DUN Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, pakatan Pas/DAP/PKR mendapat jumlah kerusi melebihi BN dan menubuhkan kerajaan di negeri-negeri berkenaan. Bagi DUN Perak, BN bagaimana pun telah mengambil alih pemerintahan apabila tiga ADUN (2 PKR dan 1 DAP) keluar dari parti masing-masing dan menyokong BN.

Tiga tahun pertama selepas PRU Ke-12, SPR telah menjalankan 16 PRK ekoran kekosongan luar jangka yang berlaku di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan. Daripada 16 PRK tersebut, 8 dimenangi calon-calon BN manakala 8 yang lain dimenangi calon-calon Pas/PKR/DAP. Keputusan setiap pilihan raya berkenaan (dari PRU Ke-12 hingga kepada PRK terakhir N. 27 Merlimau dan N. 28 Kerdau pada 6 Mac 2011, jelas mencerminkan proses pilihan raya di negara ini adil dan saksama. Sebagai badan yang mengendalikan pilihan raya, SPR terbukti telah menjalankan tanggungjawabnya secara berkecuali. Setiap peringkat proses pilihan raya dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Apabila menjalankan sesuatu pilihan raya, SPR menyediakan gelanggang pertandingan dengan kelengkapan logistik, menyediakan tenaga pegawai dan petugas dan pelbagai peralatan lain yang diperlukan. Pada hari pengundian, hak rakyat selaku pengundi dijamin di bawah Perlembagaan. Rakyat bebas membuat pilihan dan pilihan rakyat melalui peti undi akan dikira secara telus dan adil.

Proses pengundian dan pengiraan juga dipantau dan diteliti oleh ejen-ejen yang mewakili calon masing-masing. Dakyah pihak tertentu yang menuduh SPR memanipulasikan proses pengundian dan pengiraan undi adalah satu fitnah dan pembohongan. Pernah semasa PRK N.29 Batang Air, Sarawak, ada pihak tertentu yang mendakwa kononnya "terdapat peti undi yang diangkut melalui helikopter telah dibuang ke dalam laut dan digantikan dengan peti undi lain". Pihak yang membuat pembohongan tersebut 'terlalu bijak' hinggakan tidak menyedari bahawa pembohongannya itu tidak berasas kerana SPR tidak menggunakan pengangkutan helikopter dalam PRK tersebut. Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak April lalu, tohmahan dibuat mengatakan berlaku di beberapa kawasan penipuan dan perbuatan menukar kertas-kertas undi di tempat mengundi. SPR menyiasat dakwaan tersebut melalui pegawai-pegawai SPR dan anggota-anggota polis yang bertugas di tempat-tempat yang berkenaan, terbukti semuanya pembohongan dan cerita rekaan sebagai alasan kekalahan mereka yang terbabit.

Pihak yang membuat tuduhan tersebut telah terlupa bahawa setiap tempat mengundi dipantau dari awal hingga tamat pengiraan oleh ejen-ejen calon yang hadir. Manakala di tempat-tempat lain ada pihak yang kalah mendakwa berlaku rasuah 'membeli undi' dengan sogokan wang dan sebagainya. Yang peliknya mengapa mereka berkenaan tidak membuat laporan kepada pihak polis atau SPRM untuk disiasat dakwaan tersebut. Untuk pembaharuan dan penambahbaikan, SPR terdiri daripada tujuh anggota panel dilantik di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Untuk melaksanakan fungsi-fungsinya, SPR melantik sebuah urus setia yang diketuai oleh seorang setiausaha selaku ketua pentadbir. Pada masa ini, Urus Setia SPR mengandungi pegawai-pegawai dan kumpulan staf yang berpengalaman sama ada di ibu pejabat atau pun di pejabat-pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara. Dalam urusan pilihan raya, SPR sentiasa berusaha membuat penambahbaikan. Pelbagai inovasi dan pembaharuan telah diperkenalkan di peringkat proses pelaksanaan sama ada urusan pengundian atau pendaftaran pemilih.

Dalam konteks ini, apa-apa cadangan ke arah penambahbaikan sistem atau proses yang dikemukakan oleh parti-parti politik dan pihak-pihak lain, SPR perlu mengkajinya secara teliti dari setiap sudut dan implikasinya. SPR perlu berhati-hati dan perlu mendapat pandangan dari pihak-pihak lain yang berkaitan. Jika perkara-perkara yang dicadangkan itu melibatkan pindaan Perlembagaan atau Akta-Akta berkaitan, maka SPR perlu mendapat nasihat pihak Jabatan Peguam Negara. Dalam bidang urusan pilihan raya, semua pihak harus faham bahawa sesuatu perkara yang difikirkan baik oleh satu pihak itu mungkin tidak dipersetujui oleh pihak lain. Kadang-kala, terdapat cadangan yang dianggap baik untuk dilaksanakan, tetapi jika dihalusi dari sudut-sudut lain ia mungkin belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini. Apa-apa perkara berkaitan urusan pilihan raya, semua pihak yang berkepentingan perlu positif dan berfikiran terbuka serta bersedia menerima penjelasan dan keputusan SPR. Lazimnya, parti-parti politik membuat penilaian dan keputusan berasaskan kepada kepentingan masing-masing yang selalunya pendirian yang berbeza-beza antara satu dengan lain.

Ini yang menyebabkan kedudukan SPR menjadi sukar dalam usaha untuk membuat sesuatu keputusan yang akan memberi kepuasan kepada semua pihak. Selain parti-parti politik, SPR juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat selaku pengundi dalam pilihan raya. Justeru, apa- apa isu yang berbangkit atau cadangan-cadangan yang dikemukakan, demi untuk menjaga kepentingan semua pihak supaya keputusan yang dibuat itu adil dan saksama, SPR perlu melihat semua isu yang dicadangkan itu secara berkecuali supaya apa- apa keputusan yang diambil akan diterima baik dan memberi kepentingan semua pihak yang terbabit. Ada pihak yang bersikap prasangka dengan menuduh SPR mengamalkan double-standard dalam hubungannya dengan parti-parti politik di negara ini. Tanggapan pihak-pihak berkenaan yang menuduh SPR berpihak kepada parti pemerintah adalah tidak benar. Dalam menjalankan tanggungjawabnya, fokus utama SPR ialah untuk mengadakan suatu pilihan raya yang bebas, telus dan adil. Menang atau kalah dalam pilihan raya di negara ini bukan ditentukan oleh SPR tetapi rakyat selaku pengundi yang membuat pilihan.

SPR menguruskan pilihan raya bersandarkan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan serta prosedur dan tatacara yang ditetapkan. Misinya adalah untuk menguruskan suatu pilihan raya yang terbaik, lancar dan terkawal. Pilihan raya ialah proses demokrasi politik (political democracy) untuk memilih perwakilan dan menentukan kerajaan. Justeru, sesuatu pilihan raya itu perlu berjaya dan mencapai tujuannya iaitu rakyat membuat keputusan dalam memilih perwakilan dan parti politik untuk menubuh kerajaan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 OGOS 2011

ISU KENEGARAAN : TATANEGARA DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

DATUK RUHANIE AHMAD
Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor


Perlembagaan  Persekutuan mengandungi pelbagai peruntukan mengenai susunan sosial, atau adat-susila dan amalan ketatanegaraan, untuk menjamin keharmonian, perpaduan, kemakmuran, keselamatan serta kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk. Susunan ini merangkumi aneka cabang kehidupan, termasuk mengenai Islam dan lain- lain agama; kesamarataan; kebebasan; kewarganegaraan; keselamatan negara, keistimewaan bangsa Melayu dan bumiputera, serta kepentingan-kepentingan sah rakyat bukan Melayu. Peruntukan ketatanegaraan ini penting untuk dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan kerana warganegara Malaysia berbilang bangsa, daripada lingkungan sosio- budaya dan agama yang berlainan, dan memiliki warisan serta sejarah yang berbeza. Ia juga penting kerana menurut Martin Marger (2003:6), konflik etnik adalah ciri-ciri asas dalam sesuatu negara majmuk; dan menurut Stuart Kaufman (2008:201), konflik inilah yang menyebabkan keadaan tidak selamat atau insecurity sejak berzaman lamanya. Menyedari hakikat inilah maka antara aspek penting yang dititikberatkan dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perlindungan kepada kedudukan istimewa bangsa Melayu dan bumiputera serta perlindungan kepada kepentingan-kepentingan sah bukan Melayu.

Perlindungan ini, menurut Zelman Cowen (1958:52), adalah kesinambungan kepada peruntukan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang telah dipersetujui oleh wakil seluruh bangsa di era sebelum merdeka. Pemberian perlindungan ini mencerminkan keprihatinan Raja-Raja Melayu dan kepimpinan Perikatan (mutakhir ini Barisan Nasional) terhadap perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival negara. Oleh sebab itulah Tunku Abdul Rahman Putra (1987:18) menyifatkan Perlembagaan Persekutuan sebagai lambang semangat muhibah dan kebijaksanaan yang dimeteraikan secara erat dan penuh takzim oleh semua bangsa di Malaysia. Datuk Prof. Shad Saleem Faruqi (22 September 2010) menegaskan, perlembagaan ini mencerminkan kesederhanaan, keikhlasan serta persefahaman yang berlandaskan semangat tolak-ansur orang Melayu dan bukan Melayu terhadap keistimewaan serta kepentingan masing-masing. Tan Chee Beng (1987:245) pula berpendapat, perlembagaan tersebut memaktubkan pelbagai elemen yang menseimbangkan kepentingan-kepentingan pelbagai etnik sebagai panduan kepada proses pembangunan negara.

Berasaskan keseimbangan kepentingan inilah majoriti warganegara Malaysia memilih hidup penuh muafakat, rukun dan damai, walaupun di era penjajah mereka diasingkan secara terancang oleh pihak British. Tindakan positif ini selaras dengan pendapat Birte Siim dan Judith Squires (2008:2) bahawa kewarganegaraan adalah status yang dianugerahkan dengan hak-hak dan tanggungjawab seseorang untuk menyuburkan perasaan cintakan negara. Bagaimanapun, permuafakatan, kedamaian dan keharmonian ini terjejas apabila mulai 1964 muncul seorang individu yang meniupkan propaganda Malaysian Malaysia yang kemudiannya diumumkan secara rasmi di Singapura pada 6 Jun 1965 oleh enam parti politik, lima daripadanya penentang pembentukan Malaysia. Intipati propaganda ini, kata Ghazali Ismail (1990:11), ialah "seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, berhak memperolehi layanan yang sama, berhak menuntut hak yang sama, berhak menikmati apa jua keistimewaan yang sudah diberikan kepada orang-orang Melayu." Sama ada disengajakan atau sebaliknya, propaganda ini menggugat susunan sosio- ekonomi, agama dan siasah yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan sejak tahun 1957.

Menurut Ooi Kee Beng (2006:157), propaganda ini menyebabkan hubungan kaum di Singapura jadi tegang. Patrick Keith (2005: 187) pula menegaskan, Tunku Abdul Rahman pun mengeluarkan kata dua bahawa Singapura mesti disingkirkan daripada Malaysia. Singapura dipisahkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 untuk mengelakkan susunan sosio-ekonomi, agama dan siasah dalam Perlembagaan Persekutuan seperti dihuraikan di atas terus terancam. Tetapi, ancaman ini terus menyemarak apabila sebuah parti baru yang diwujudkan pada ketika itu mewarisi propaganda Malaysia Malaysia setelah pemisahan Singapura. Deklarasi Setapak 29 Julai 1967 membuktikan hakikat ini. Maka, inilah sebabnya Majlis Gerakan Negara (1969:xi) menegaskan, tindakan mempolitikkan beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya Perkara 153 mengenai keistimewaan Melayu dan bumiputera, menjadi salah satu punca tragedi 13 Mei 1969. Tetapi, walaupun tragedi ini adalah titik hitam dalam sejarah yang perlu dijadikan iktibar ke arah pengukuhan survival negara, mutakhir ini wujud warganegara yang bertindak menggugat susunan sosial Malaysia.

Mereka mencabar susunan ketatanegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi tuntutan dan tindakan yang berasaskan prinsip kebebasan dan kesamarataan sejagat - termasuk atas tajaan asing - serta dengan mengenepikan kemajmukan negara. Antara contoh mutakhir termasuklah sokongan kepada kes murtad Lina Joy, perbuatan mempersendakan Perlembagaan Persekutuan kononnya sebagai undang-undang menindas kaum tertentu, dan mengeksploitasikan kebebasan berpersatuan untuk menggugat kerajaan dan ketenteraman awam. Segolongan rakyat Malaysia yang tidak memahami hakikat susunan sosial dalam Perlembagaan Persekutuan dikelirukan untuk menyokong gerakan dan tindakan seperti ini. Perkembangan ini berbahaya dan perlu diatasi segera. Rumusannya, Perlembagaan Persekutuan adalah sumber susunan sosial bagi menjamin keharmonian, perpaduan, kemakmuran, keselamatan dan survival Malaysia sebagai negara majmuk. Peruntukan ketatanegaraan dalam perlembagaan ini boleh mencetuskan konflik jika dipolitikkan dan ditakrifkan berasaskan konsep kebebasan dan kesamarataan sejagat tanpa mengira kemajmukan negara. Namun Malaysia boleh jadi negara mantap, kukuh, harmoni, selamat dan maju jika peruntukan ketatanegaraan dalam Perlembagaan Persekutuan ini diterima sepenuhnya sebagai realiti di negara majmuk sejak 1957.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 OGOS 2011