JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : JANGAN BERTELAGAH LAGI, TOLONG HENTIKAN!!!


Sekian lama berdebat dan menyalahkan antara satu sama lain, akhirnya keputusan kajian dilakukan University Virginia, Amerika Syarikat diharap mampu menutup mulut pihak bertelagah supaya berhenti bercakaran dan mengaku kesilapan diri. Berdasarkan kajian, didapati ibu bapa dan gurulah yang sangat berkuasa dalam menentukan tahap pencapaian pelajar, sekali gus memainkan peranan paling penting terhadap pembinaan masa depan mereka. Ia sekali gus bagaikan penyelamat kepada pelajar yang selama ini sering menjadi tohmahan masyarakat yang menganggap sengaja mencipta masalah untuk menarik golongan dewasa. Kajian ini diharap berjaya membuka mata dan menutup tuduhan pihak yang suka bertelagah agar berhenti menyalahkan antara satu sama lain. Dalam konteks memberi pendidikan dan memikul tanggungjawab, tiada benar atau bersalah. Sudah terbukti ibu bapa dan guru adalah golongan penting yang memegang kuasa utama dan sebenar yang berupaya mencorakkan segalanya diperlukan pelajar.

Pengaruh itu pula sangat besar yang menjadi asas kepada segala tindakan dan penilaian. Jadi, hentikanlah sikap saling menuding jari, ego serta penuh keraguan kerana ia merugikan. Apa salahnya berdamai untuk memperlihatkan betapa teguhnya mereka di belakang pelajar.  Sudah tentu pelajar akan lebih menghargai, menghormati dan bersemangat meneruskan kehidupan seraya mengubat kelukaan mereka kerana asyik dihentam masyarakat atas kesalahan yang mungkin kecil, tapi sengaja diperbesarkan,  kata koordinator kajian berkenaan, Prof Madya Timothy Konold.  Hakikatnya, di sebalik setiap kesalahan pelajar, ibu bapa dan guru sering kali menjadi barisan paling hadapan dikritik atau dipersalahkan, malah pelajar dilabel sengaja mengambil kesempatan. Sebarang masalah yang terpalit pula sengaja diperbesar-besarkan bagi menunjukkan kelemahan pihak berlawanan juga mendapat sokongan daripada masyarakat.

Keadaan bertambah parah apabila masing-masing tidak mahu mengakui kesalahan, sebaliknya lebih tegar menghukum orang lain dengan hujah tersendiri sebagai jalan melepaskan diri daripada memikul tanggungjawab. Sambil menyelar tindakan itu sebagai ‘pengecut’, Konold berkata, keadaan itu bukan saja akan menyebabkan kedua-dua golongan itu bertelagah, malah menjadikan pelajar mangsa yang serba salah membuat keputusan. Persoalannya, ketika sedang bertelagah itu, adakah mengambil kira perasaan pelajar yang menjadi penonton? Adakah sedar bahawa mereka sedang diperhatikan untuk dijadikan contoh? Sangat menyedihkan apabila pelajar yang hanya mempunyai masalah kecil akhirnya tidak mampu menahan diri daripada terus mencetuskan masalah lebih kerana melihat contoh tidak baik ditunjukkan ibu bapa dan guru. Pelajar tersepit dan kebingungan memilih siapakah pihak yang benar serta mampu membantu keluar daripada kemelut permasalahan. Apa yang pasti, mereka akan memilih pihak lebih mendominasi biarpun salah, katanya.

Konold berkata, guru lebih baik berbanding ibu bapa dalam proses pemantauan, pemerhatian dan penilaian di sekolah manakala ibu bapa adalah kelompok paling sesuai menyelidik keperluan emosi yang terbentuk di luar lingkaran institusi. Katanya, kedua-dua kelompok itu perlu sedar peranan serta dominasi yang dipamerkan mampu menjadi ikutan kerana pelajar akan melakarkan imej paling dominan sebagai idola. Pelajar hanya akan memilih contoh paling ketara untuk dijadikan model, justeru, tidak hairan apabila mereka menganggap ibu bapa atau guru yang gagal tidak boleh memberi contoh yang baik. Jurang konflik juga akan terbina dan pelajar mungkin memanipulasikannya untuk menyampaikan maksud tertentu. Bagi ibu bapa dan guru pula menganggap ia titik mula pelajar bermasalah. Sebenarnya, pelajar bukan mahu melihat siapa benar atau salah, sebaliknya mahukan jawapan selain bimbingan bagi menunjukkan kebenaran bukan melihat pertelingkahan ‘orang dewasa’, katanya mengakui formula terbaik bagi melahirkan kejayaan ialah kerjasama antara ibu bapa dan guru.

Inilah asas paling teguh untuk mencapai maksud itu, malangnya ia sering dilupakan kerana masing-masing ‘besar diri’ kerana menganggap sudah berjaya memainkan peranan. Pelajar pula terkial-kial membuat keputusan.  Guru atau ibu bapa, peranan mereka sangat diperlukan sebagai pembimbing bukan pemberi tekanan. Kedua-duanya perlu bekerjasama demi kebaikan masa depan pelajar, katanya. Kajian berkenaan bukan saja membabitkan ibu bapa dan guru, malah 562 institusi pendidikan seluruh negara. Ia turut dibentangkan kepada Pertubuhan Penyelidikan Pendidikan Amerika Syarikat (AERA) selain sokongan Profesor Robert Pianta, pakar pendidikan yang menjalankan kajian mengenai sistem sosial dan pendidikan selama 15 tahun. Pianta mengakui ibu bapa mempunyai kekuatan dan lebih kemahiran dalam pembinaan aspek emosi dan fizikal sama ada berbentuk nyata atau imaginasi.

Guru pula lebih bijak menangani aspek agresif, bakat dan potensi kerana pelajar selalunya ingin memotretkan diri sebagai yang terbaik di kalangan rakan sebaya. Diri pelajar adalah gabungan unik kerana mereka memperoleh pelbagai pendedahan dalam suasana berbeza sama ada di rumah yang dikelilingi keluarga atau sekolah bersama rakan. Justeru, perlunya satu mekanisme hebat untuk mencungkil ‘rahsia’ itu. Pelajar boleh menjadi ‘pengikut’ yang baik atau ‘pemberontak’ hebat berdasarkan situasi semasa. Ibu bapa dan guru pula adalah mentor yang boleh menjadi contoh atau musuh, maka pilihan yang tepat perlu dilakukan kerana ia penentu masa depan pelajar, katanya. Sikap pelajar juga, akui Pianta, adalah acuan sebenar sikap ibu bapa yang boleh memberi gambaran kepada guru untuk menilai kewibawaan mereka di rumah. Manakala profesionalisme guru pula dinilai berdasarkan kredibiliti dan kemampuan mereka menterjemahkan proses pendidikan sama ada peka kepada keperluan semasa. Tidak perlu pelbagai alasan, fokus sebenar adalah kejayaan melahirkan pelajar cemerlang sama ada akademik, diri dan sebagainya. Itu sudah pasti dapat menutup mulut atau pandangan yang selama ini cuba disensasikan. Untuk itu, bersatulah demi kebaikan bersama, bantulah mereka yang sedang berhempas pulas cuba meneruskan perjuangan hidup lebih baik, katanya.


INFO
Mengapa berlaku konflik antara ibu bapa dan guru?

Tekanan guru sewaktu mengajar selain dihantui kepenatan melampau kerana terpaksa menghabiskan sebahagian besar masa di sekolah berbanding keluarga. Dikritik kerana kegagalan membantu pelajar atau institusi memperoleh keputusan diharapkan. Standard terlalu tinggi diletakkan kepada guru dan sekolah. Faktor ekonomi dan gaya hidup ibu bapa yang terlalu fokus pada kerjaya hingga melepaskan tanggungjawab kepada guru. Ego.

SUMBER
HARIAN METRO
8 JULAI 2011

ISU BAHASA : MENGAPA ORANG TIDAK FASIH BAHASA INGGERIS DIPERLEKEH?

Oleh Rejal Arbee

Kita patut lebih malu 
jika tak pandai bahasa Melayu


Sungguh menghairankan apabila terdapat sebahagian daripada rakyat negara ini yang berterusan menghina dan memandang rendah mereka yang kurang fasih berbahasa Inggeris. Mereka memberi gambaran seolah-olah orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mampu berfikir atau pun tidak mempunyai intelek tinggi. Inilah kesimpulan yang boleh dibuat daripada apa yang dikatakan oleh ahli politik veteran DAP, Karpal Singh dalam Parlimen minggu lalu ketika membahas Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2011.  Beliau memang diakui berpengetahuan dalam selok-belok perundangan negara tetapi dengan angkuhnya telah mengkritik hakim kita yang tidak fasih berbahasa Inggeris.  Sambil memandang rendah kebolehan hakim kita yang didakwanya tidak sebaik rakan mereka di Singapura, negara jiran kita yang amat disanjungi anggota DAP itu, hanya kerana ada antara hakim kita yang tidak boleh berbahasa Inggeris dengan baik.  

Beliau membuat tohmahan kononnya kelemahan berbahasa Inggeris adalah tidak praktikal bagi seorang hakim kerana kebanyakan, kalau pun bukan semua, laporan undang-undang masih ditulis dalam bahasa Inggeris.  Sungguh menghairankan apa kena-mengena kefasihan berbahasa Inggeris dengan corak kehakiman yang dibuat. Apakah seorang hakim yang kurang mahir berbahasa Inggeris tidak boleh memberikan keputusan adil dan terbaik dalam mahkamah?  Karpal mempersoalkan hakim yang dikatakannya tidak fasih berbahasa Inggeris, bukan persoalkan keputusan hakim itu. Apa sebenarnya ada kena-mengena kepetahan berbahasa Inggeris dengan penghakiman yang dibuat? Apakah Karpal tidak sedar dia berada di Malaysia yang mana bahasa rasminya adalah bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris.  Apakah jaguh DAP itu hendak memberi gambaran bahawa orang yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak mempunyai tahap pemikiran setanding dengan mereka yang fasih berbahasa Inggeris?

Nampaknya masih wujud segelintir rakyat negara ini yang berterusan dikongkong penjajah. Seorang pegawai dagang dari Jerman hairan kenapa orang Malaysia begitu menyanjungi bahasa Inggeris hingga memperkecilkan bahasa negara sendiri. Hal ini katanya tidak mungkin akan berlaku di Jerman kerana semua rakyatnya berbangga dengan bahasa negara sendiri walau pun mereka juga belajar bahasa Inggeris.  Beliau menganggap orang Malaysia masih terkongkong dengan mentaliti berterusan dijajah British.  Benar kita harus belajar bahasa Inggeris supaya fasih dan memahaminya dengan baik. Tetapi usaha ini tidak seharusnya dengan mengabaikan bahasa Malaysia hingga ada yang tidak menggunakannya langsung malah masih terdapat sebilangan besar rakyat yang tidak faham langsung bahasa Malaysia.  Bahkan ada antara mereka yang berterusan memandang hina bahasa rasmi negara sendiri.

Ini boleh dilihat di kalangan rakan peguam pemimpin DAP itu sendiri yang hingga kini merangkak-rangkak dan kekok bertutur bahasa Malaysia dalam mahkamah. Mereka ini kalau berhijrah ke Perancis misalnya sudah tentu terpaksa belajar bahasa Perancis kerana mereka tidak akan diterima penduduk tempatan kalau berterusan berdegil tidak mahu belajar bahasa negara berkenaan.  Kenapa ada warga kita terlalu mendewakan bahasa Inggeris hingga tergamak mengecilkan rakyat negara ini yang tidak fasih berbahasa Inggeris? Anehnya mereka sedikit pun tidak berasa malu kalau tidak faham dan tidak tahu berbahasa Malaysia.  Sebagai warga negara ini, seharusnya mereka mampu bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan lebih yakin menggunakannya. Malah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga pernah menyatakan kebimbangannya terhadap kemunduran penggunaan bahasa Malaysia di kalangan masyarakat yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris.

Beliau menyorot kepada perlakuan pada majlis kerajaan yang mana penghormatan kepada bahasa asing lebih diutamakan sekiranya tetamu yang hadir terdiri daripada rakyat asing, walaupun bilangannya amat kecil.  “Cuba lihat dalam majlis kerajaan, walaupun pada majlis itu ada dua tiga kerat orang bangsa asing, pihak penganjur akan mengatakan minta maaf kerana terpaksa bercakap dalam bahasa Inggeris. Sedangkan hanya ada dua tiga ‘mat saleh’ tetapi kita pula nak tukar bahasa kerana nak ikut kerenah mereka.  “Adakah kerana bila kita menggunakan bahasa Malaysia, tidak ada orang hendak berlanggan atau berurus niaga dengan kita dan dianggap ia tidak boleh membawa keuntungan,” kata Muhyiddin baru-baru ini. Beliau juga mengakui kurangnya tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar kesalahan berkaitan bahasa kebangsaan adalah antara faktor menyebabkan bahasa Malaysia dipinggirkan.

Jika Timbalan Perdana Menteri sendiri telah menyatakan hal ini, apa lagi yang hendak ditunggukan. Semua yang bertanggungjawab menentukan penggunaan bahasa Malaysia tidak diremehkan termasuk semua pihak berkuasa tempatan harus segera bertindak terhadap semua pesalah laku demikian. Ini termasuk penganjur Festival Georgetown yang tidak menghormati langsung bahasa Malaysia dalam laman webnya, begitu juga Suruhanjaya Komunikasi dan MultiMedia Malaysia (SKMM) dan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDec) yang hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam laman web mereka.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

SUMBER
BERITA HARIAN
7 JULAI 2011

ISU ALAM SEKITAR : BEKERJASAMA RAPAT TANGANI PERUBAHAN IKLIM GLOBAL


Penggiat sains tulen dan sains sosial di Malaysia dinasihat bekerjasama rapat dalam menangani isu perubahan iklim global kerana ia turut memberi kesan kepada pembangunan negara. Menurut Profesor Penyelidikan Konflik Persekitaran Stony Brook Southampton, United Kingdom (UK), Prof. Dr. Nay Htun, kedua-dua golongan itu saling memerlukan dan hasil jalinan kerjasama antara mereka diyakini boleh menyelamatkan kehidupan alam untuk tempoh jangka panjang. Beliau memberitahu, berdasarkan kajian apabila wujud isu melibatkan persekitaran, ia akan membabitkan perkara lain yang berkaitan kehidupan manusia sejagat. Antara isu yang dijangka timbul ialah cabaran pemanasan global, gangguan dasar laut, krisis ekonomi dan sudah tentu berlaku krisis kewangan. Sehubungan itu, penggiat sains tulen dan sains sosial digalak bekerjasama mencari cara mengatasi isu itu.

Beliau  berkata demikian ketika memberi syarahan utama bertajuk Hubungan Sains Tulen dan Sains Sosial pada Kongres Profesor Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 7 Julai 2011. Nay Htun berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kira-kira 30 tahun lalu turut mencadangkan perkara sama supaya Malaysia lebih berdaya tahan dalam menghadapi isu itu. Kata beliau, dengan mengekalkan pembangunan mapan juga membantu mengatasi isu perubahan iklim global. Katanya, kaedah tersebut telah diamalkan Malaysia sejak 20 tahun lalu dan ia diterima oleh sektor kerajaan dan swasta walaupun ia belum diaplikasikan secara keseluruhannya. Kekuatan untuk terus mengekalkan sistem persekitaran yang menjamin sistem ekonomi teratur dan struktur sosial yang baik mestilah bersandarkan kepada idea dan konsep yang berdaya tahan. Malaysia mampu menangani semua isu itu tetapi mestilah dengan adanya kurikulum yang terbaik dan kongres ini adalah permulaan yang memberangsangkan ke arah itu.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
8 JULAI 2011

ISU PENDIDIKAN : GURU PERLU TEKANKAN PEMBANGUNAN PROFESIONALISME


Guru perlu mengenal pasti kekuatan masing-masing dan memberi penekanan terhadap aspek pembangunan profesionalisme, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurutnya, peningkatan standard kualiti pengajaran menjadi fokus utama kerana ia amat penting dalam melahirkan modal insan yang berdaya saing bagi memacu negara ke arah negara berpendapatan tinggi. Guru bahasa Inggeris perlu mengetahui keperluan mereka bagi memperbaiki dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika berucap pada majlis pelancaran Standard Pedagogi Pengajaran Bahasa Inggeris. Standard pedagogi telah digubal oleh Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kualiti pendidikan mata pelajaran tersebut. Bahasa Inggeris merupakan subjek pertama yang membangunkan standard berkenaan, selaras dengan aspirasi dasar dan strategi Kementerian Pelajaran.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
8 JULAI 2011