JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Oktober 2012

ISU SOSIAL : HANYA MEMUDAHKAN BERPOLIGAMI, BUKAN MISI PENYELAMAT


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Apabila bercakap pasal wanita yang lanjut usia tetapi masih belum berkahwin atau digelar andartu, nampaknya orang lelakilah yang paling sibuk atau suka sangat mengetengahkan isu ini, bukan wanita, tuan yang empunya badan. Kebanyakannya menyatakan kerisauan terhadap apa sudahnya nasib golongan wanita yang berusia 35 tahun ke atas yang belum bertemu jodoh ini. Ternyata orang lelaki amat bimbang. Dalam hal ini mereka cukup prihatin. Jadi bila membaca saja pendapat yang bertajuk ‘Longgarkan syarat berpoligami untuk bantu atasi masalah wanita lanjut umur belum berkahwin’ di ruangan Forum akhbar ini semalam tanpa melihat siapa penulisnya, saya sudah mengagak pendapat itu ditulis oleh seorang lelaki.

Maka menderulah wanita-wanita yang mengaku bukan ‘andartu’ menelefon marah-marah. Mempersoalkan kenapa perlu menyiarkan pendapat sebegitu. Kritikal sangatkah trend andartu di negara ini, sengsara sangatkah golongan ini sampai perlu melonggarkan syarat-syarat bagi lelaki untuk poligami? Ruangan Forum akhbar ini adalah tempat untuk menyatakan pendapat masing-masing dalam sesuatu isu untuk difikirkan bersama dan pada masa sama menyiarkan aduan-aduan daripada orang ramai untuk diambil tindakan oleh pihak berkaitan. Maka tiada salahnya jika pendapat melonggarkan syarat berpoligami itu disiarkan untuk renungan bersama dan kita boleh memberi respon untuk pendapat-pendapat yang disiarkan.

Membaca habis pendapat Syed Abdullah Syed Osman Jamululail itu, kita semua pasti setuju dan tak perlu disanggah pun, perkahwinan dalam Islam adalah sunnah Rasullulah SAW. Kita juga tidak menentang poligami, dalam Islam poligami itu boleh. Kita juga setuju perkahwinan adalah untuk dapat menyambung zuriat, meramaikan umat Nabi Muhammad SAW, mengelakkan diri daripada melakukan maksiat dan mengelakkan wanita hidup keseorangan di waktu tua nanti apabila tiada siapa untuk menjaganya. Bagaimanapun cadangan agar dilonggarkan syarat bagi lelaki untuk berpoligami untuk mengatasi isu andartu ini, itu yang menjadi persoalan. Perlukah? Ramai wanita di luar sana berpendapat, tidak semestinya melonggarkan syarat-syarat lelaki untuk berpoligami, isu andartu boleh selesai atau dapat mengurangkan trend hidup membujang sampai ke tua ini.

Kenapa perlu melonggarkan syarat tanpa surat akuan kebenaran isteri pertama dan tidak perlu diisyaratkan untuk mendapatkan salinan slip gaji atau pengesahan pendapatan? Adakah syarat-syarat itu terlalu ketat dan sukar untuk dipenuhi? Dalam Islam ada syarat lain yang lebih ketat untuk berpoligami perlu dipatuhi, iaitu berlaku adil. Antara aspek yang perlukan keadilan seperti pembahagian giliran, pembahagian nafkah dan sebagainya. Jika prosedur yang ringkas untuk berpoligami seperti itu pun tidak boleh diikuti, apatah lagi hal yang besar-besar. Kebanyakan andartu terdiri dalam kalangan wanita yang berkerjaya dan teguh ekonominya. Namun terdapat juga yang berpendidikan rendah tetapi sukar juga bertemu jodoh.

Bagi saya bukan soal mereka ini ego sangat atau terlalu memilih. Tetapi mereka berhak untuk mencari lelaki yang berkualiti untuk dijadikan pasangan sehingga akhir hayat mereka. Hingga akhir hayat - satu tempoh masa yang cukup lama. Mereka tidak mahu mencari jalan mudah. Mencari pasangan hidup bukan boleh dibuat secara main tangkap muat, asalkan ada pasangan tidak kiralah bujang, duda atau suami orang, asalkan tidak berseorangan di hari tua, itu sudah cukup. Sedangkan, perkahwinan kelak yang memberi warna-warni dalam hidup. Putih atau hitam, ia akan dilalui dalam tempoh yang panjang. Dan sudah pastinya, wanita lanjut usia ini bimbang dan amat berhati-hati, elok-elok semasa zaman bujangnya, tidak ada banyak masalah, apabila berpoligami timbul banyak masalah dari segi kewangan, perasaan dan lain-lain lagi. Kata orang, elok-elok tak ada pasal, cari pasal pula. Inilah yang mereka takut.

Mereka juga bimbang, ada segelintir lelaki yang hanya mengambil kesempatan, berkahwin dengan mereka untuk mendapatkan kesenangan. Maka terjebaklah menjadi isteri kedua yang terpaksa menanggung diri sendiri dan juga keluarga isteri pertama secara tidak langsung. Dan pada saya, soal yang dibangkitkan iaitu menjaga maruah diri dan keluarga, tidak semestinya perlu ditujukan kepada wanita lanjut usia yang belum berkahwin ini. Semua kategori wanita dan lelaki bertanggungjawab menjaga maruah diri dan keluarga. Tidak salah juga memilih untuk hidup membujang jika jalan itu lebih memberikan kebahagiaan dan tidak memudaratkan hidup sendiri dan orang lain.

Memegang status andartu bukan bermakna kehidupan mereka tidak normal. Mereka juga menjalani kehidupan yang normal seperti orang lain, malah adakalanya lebih bahagia, cuma mereka belum berkahwin. Dalam pada itu, statistik penceraian juga semakin meningkat di negara ini. Hari-hari ada saja orang yang bercerai. Tidak kiralah yang mengamalkan poligami atau tidak. Penderaan fizikal dan emosi, curang, penganiayaan, tidak bertanggungjawab antara faktor-faktor penceraian. Ini mungkin memberi rasa gerun pada wanita lanjut usia ini untuk berkahwin. Maka, cadangan melonggarkan syarat-syarat berpoligami ini tidak banyak membantu mengatasi masalah wanita lanjut usia lewat berkahwin di negara ini. Cadangan ini sekadar memudahkan urusan untuk berpoligami bukan bersifat misi penyelamat.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : MEMAHAMI TUGAS ORANG BERILMU


Rencana ini ditulis oleh :
PROF. DATUK OMAR OSMAN
PENULIS ialah Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia


Sekarang adalah musim konvokesyen dalam kalangan hampir semua universiti awam di negara ini sehingga sebulan dua akan datang. Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya baru selesai melahirkan kira-kira 6,000 orang siswazah dalam pelbagai bidang pada tahun ini. Sehingga kini USM melahirkan kira-kira 110,885 orang siswazah ijazah pertama dan kira-kira 20,000 orang siswazah ijazah tinggi, satu jumlah besar yang mampu melakukan pelbagai perubahan dalam masyarakat dan negara. Lalu banyaklah harapan disandarkan kepada siswazah yang dilahirkan hasil daripada perjuangan mereka yang ingin melihat universiti di negara ini menghasilkan anak-anak muda yang berilmu untuk faedah nusa dan bangsa.

Seperti titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail selaku Canselor USM dalam Sidang Pertama Konvokesyen USM, - ''Buktikanlah bahawa para siswazah adalah insan yang benar-benar berilmu dan berpengetahuan tinggi serta dapat berkongsikan ilmu yang dimiliki bersama orang lain." Tambah baginda, pastinya seseorang yang berilmu dapat menggunakan kebijaksanaan dan hikmah dalam memimpin dan para siswazah seharusnya pula dapat menjadi benih yang amat berkualiti kepada negara, seperti kata orang, kalau sesuatu benih itu berkualiti, dicampak ke laut menjadi mutiara, dilambung ke langit menjadi kejora, ditabur di darat menjadi permata yang berharga.

Untuk menjadi permata yang berharga, seseorang itu perlu memahami hakikat menjadi seorang yang berilmu. Tugas, tanggungjawab dan amanah yang dipikul oleh orang berilmu adalah berat yang memerlukan kesungguhan dan minat mendalam kepada apa yang diusahakan. Sama juga dengan kerjaya lain, komitmen inilah yang akan memastikan sesuatu bidang dan disiplin itu akan dihormati dan dipandang tinggi jika setiap kita menjaganya dengan baik sebagai maruah dan amanah yang tidak boleh dipermainkan.

Para siswazah kini memasuki gerbang hidup yang berteraskan ilmu, bersaing sebagai orang berilmu, bercakap sebagai orang yang lahir dari sebuah menara ilmu, bertindak dan berfikir dengan fakta dan data sahih yang jelas dan tepat dan tentunya berpegang teguh dengan nilai-nilai yang dipelajari di universiti sebagai orang yang berilmu. Dalam budaya kita, tidak ramai yang menjadikan ilmuan sebagai idola dan pengikut kepada pemikiran besar yang ada. Sesetengah siswazah tidak pernah kenal pun dengan dekat mereka yang mengajar dan mendidik di dewan kuliah, bilik tutorial, makmal dan kerja-kerja akademik lain.

Tidak ramai yang sedar betapa yang mereka kenali ialah sebenarnya pensyarah, pendidik, penulis kertas kerja untuk dunia akademia dan memperkayakan ilmu di seluruh ceruk rantau, penyelidik, penghubung dalam libat sama industri dan masyarakat dan pelbagai lagi. Nama mereka terukir dalam perpustakaan-perpustakaan utama, jurnal-jurnal akademik terkemuka dan bekerja bersama ahli-ahli akademik tersohor dunia. Mereka menyelia calon ijazah tinggi dan sesetengahnya adalah pentadbir dan pengurus yang perlu membahagikan masa dan memerah pemikiran dalam memastikan tadbir urus universiti berjalan sempurna.

Hati budi, komitmen dan kesungguhan mereka yang bersengkang mata untuk meletakkan nama universiti pada kedudukan yang tinggi dan menara ilmu sentiasa dimuliakan untuk generasi hari muka perlu difahami dan dirasai. Bebanan dan kesukaran yang mereka hadapi sebagai ahli akademik yang sentiasa ingin melihat para siswazah menjadi seorang yang berupaya meneruskan kelangsungan akademia dan ilmu untuk masa hadapan bangsa dan negara perlu dihargai, seperti mana yang ditunjukkan melalui pelbagai pengiktirafan kerajaan seperti Majlis Profesor Negara dan Anugerah Akademik Negara. Sebenarnya tidak ramai yang memahami amanah yang berat yang dipikul oleh para akademia sekarang ini termasuk untuk memastikan anak-anak muda memahami makna menjadi seorang yang berilmu dan bertindak sebagai seorang yang berilmu.

Sama seperti seorang guru, para pendidik di universiti turut terasa kesedihan dan tercalar dengan sikap segelintir anak-anak muda, siswa-siswi mahu pun para siswazahnya yang bertindak mengikut perasaan, marah-marah dengan pelbagai perkara, menuding jari sana dan sini dan hanya menyalahkan segala-galanya kecuali diri sendiri dalam banyak tindakan yang dapat kita lihat kebelakangan ini, yang jika tidak dibendung akan menjadi masalah kepada masyarakat dan negara. Tentunya siswazah yang ada sebahagian besarnya tidak tergolong dalam mereka yang cepat dan mudah lupa dengan apa yang diperolehi dan dinikmati selama ini. Para siswazah sebagai orang berilmu wajar bersyukur dengan peluang yang diperolehi, ilmu yang diterokai dan perlu diteruskan lagi, melalui kemudahan yang ada dan kebebasan yang dinikmati.

Orang berilmu tahu bagaimana untuk bersyukur dan bertindak. Orang berilmu sentiasa bijaksana dan berhemah dalam tindakan, sentiasa kaya dengan kasih sayang dan tidak pernah lupa di mana bumi dipijak. Dia tahu tentang makna akal budi, bijak menggunakan budi bahasa dalam komunikasi dan perundingan, merendah diri tetapi berpada-pada bukan untuk dibuli, dan dipandang rendah. Tunjukkan kebijaksanaan dan kearifan dalam usaha memenangi sesuatu perjuangan. Orang berilmu sentiasa menjadi padi yang makin berisi makin tunduk ke bumi, tidak memandang rendah orang lain apatah lagi para marhain malah menyanjungi mereka dan menggunakan ilmunya untuk mengubah nasib dan kehidupan yang ada kerana dia tahu dan sedar dari mana bermula. Orang berilmu sentiasa berfikir panjang dan menggunakan kekuatan akal budi dan iman, bukan hanya perasaan dan kekuatan fizikal.

Ini agaknya seakan-akan retorik dan ideal, namun jika ini pun tidak mampu dilakukan, maka ilmu pengetahuan yang ada dan pengalaman bertahun-tahun di universiti selama ini tidak berupaya mengubah siswazah sepanjang berada di kampus universiti. Fikirkanlah apakah perubahan yang berlaku selama ini, transformasi diri yang seharusnya menjadikan para siswazah sebagai generasi berilmu yang lebih matang dan bersedia memasuki dunia yang luas terbentang. Dalam menghadapi cabaran masa hadapan, orang yang berilmu juga perlu kuatkan iman dan keyakinan kepada Tuhan. Tidak kira siapa pun, apa jua pegangan agama dan kepercayaannya, tanpa keyakinan yang kukuh kepada agama, maka seseorang akan hanya menjadi perahu kecil yang terumbang ambing dipukul ombak dalam lautan dan pusaran ganas yang akhirnya akan mudah tenggelam dan lemas.

Seseorang itu akan cepat putus asa dan akan menjadi sebahagian daripada penambahan statistik mereka yang menghadapi tekanan, penyakit kemurungan dan sebagainya yang akan mengheret kepada pelbagai masalah lain. Agama juga mengajar erti keikhlasan seperti pesanan tangan kanan memberi, tangan kira tidak ketahui. Ikhlas dalam tindakan dan ikhlas juga dalam melakukan perubahan, biar bermula dengan kecil tetapi sentiasa istiqomah atau konsisten. Agama juga sentiasa mengajar untuk mensyukuri tiap nikmat yang diperolehi, menjaga baik hubungan dengan orang seperti aur dengan tebing dan menghargai mereka yang berjasa kepada kita. Lihat wajah ibu bapa kita. Lihat titisan air mata gembira mereka yang menyayangi dan berkongsilah suka duka bersama.

Kasih sayang perlu ditunjukkan dan dikongsi dengan hati yang tulus ikhlas dan tindakan yang jelas. Kasih sayang juga perlukan bukti dan pengorbanan. Peluklah ibu bapa saudara-saudari dan tunjukkan kasih sayang sebenar dari hati nurani saudara-saudari. Seseorang yang mencari kebahagiaan seorang diri tidak akan menemuinya, selagi tidak dizahir dan dikongsikan dengan orang lain. Kerana itu, dalam mengejar teknologi dan kebendaan yang pantas berubah, kehendak dan keinginan yang tidak pernah puas dan keghairahan mencapai kejayaan mengikut ukuran ekonomi, seseorang siswazah yang berilmu harus juga seimbangkan dengan usaha yang dapat mengisi jiwa dan rohani.

Seperti mana universiti yang menyeimbangkan antara sains dan teknologi dengan sastera, kemanusiaan, kemasyarakatan dan ilmu seni dan budaya, begitu jugalah dengan orang berilmu harus bijak mengadunkan dengan baik kedua-duanya dalam memastikan keupayaannya untuk memimpin dan membawa masyarakat dan negara untuk mempertahankan apa yang ada dan meningkatkan kualiti pemikiran dan kehidupan dalam kerangka pembangunan yang holistik pada masa hadapan.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012

ISU SOSIAL : PEMBANTU RUMAH ASING LARI, MAJIKAN YANG BANYAK TANGGUNG AKIBATNYA


Rencana ini ditulis oleh :
DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Lari lagi, itulah perkataan yang sering diungkapkan oleh majikan di Malaysia yang sudah bosan dan lali dengan perkara itu. Lari sehelai sepinggang pun menyebabkan majikan rugi dengan wang pendahuluan dan apatah lagi ada pembantu rumah asing turut membawa lari barang yang bernilai ribuan ringgit. Manakan tidak majikan menjadi fobia, jika tiada jaminan oleh agen dan jika ada jaminan sekalipun bagaimana mahu memastikan mereka tidak lari. Jika dikunci pintu rumah dikatakan majikan kejam. Apabila diberi kunci rumah, lari pula. Entah mana silapnya, majikan sering dipersalahkan jika pembantu rumah mereka lari. Macam mana mereka lari? Siapa yang mengambil mereka? Ke mana mereka pergi? Adakah agen pembantu rumah asing juga terlibat dalam hal ini?

Ada cakap-cakap yang mengatakan jika mereka lari, apabila memohon bekerja kali kedua maka gaji mereka akan lebih tinggi sebab sudah dikira majikan kedua. Saya bukan menuding jari kepada sesiapa tetapi kemungkinan tetap ada dan dalam beberapa kes yang telah berlaku semacam menjadi satu trend. Presiden Persatuan Ejen Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Alwi Bavutty menyatakan: "Jangan jadikan pembantu rumah asing sebagai hamba dengan menyuruh mereka membuat pelbagai kerja tidak sepatutnya bagi membendung kes pembantu rumah asing lari dari rumah." Memang benar pembantu rumah perlu diberi layanan baik tetapi bagaimana jika majikan yang baik dipijak kepala dan pembantu rumah hendak samakan tarafnya dengan majikan manakala kalau ditegur dan tegas sikit dikatakan majikan garang.

Saya melihat kepada kedua-dua pihak, sama ada majikan dan pembantu rumah asing. Tentu ada salah dan silapnya kerana kita hanya manusia biasa tetapi rata-rata apa yang dilihat dan didengar tentang kisah ini, tuduhan ke atas majikan sememangnya tidak adil. Majikan memberi gaji sehingga RM700 sebulan dengan menanggung tempat tinggal dan segala keperluan tetapi masih dikatakan kurang baik. Mudahnya pembantu rumah asing lari, walaupun pasport dan permit dipegang majikan tetapi mereka tetap berani lari . Alasan hendak mencari kebebasan. Kebebasan yang macam mana sehingga lari dengan bertarung nyawa seperti kes di Putrajaya pada 3 Januari lalu apabila seorang pembantu rumah asing yang cuba melarikan diri maut akibat terjatuh dari tingkat 12, Kuarters Kerajaan, Fasa 12. Begitu juga dengan kejadian di kondominium Paya Terubong, Georgetown apabila seorang pembantu rumah Indonesia ditemui mati selepas jatuh dari tingkat lapan kerana cuba lari untuk bersama kekasih. Adakah semua ini salah majikan atau dikatakan mereka diberi kerja yang terlalu berat.

Kesibukan kita pada hari ini memang memerlukan pembantu rumah jika suami isteri bekerja. Laporan dari Dewan Negara 2011, statistik pembantu rumah asing (PRA) dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), bagi 2011, jumlah PRA Indonesia di Malaysia mencatat jumlah tertinggi berbanding negara-negara PRA lain iaitu seramai 124,746 orang, diikuti oleh PRA dari Kemboja seramai 33,102 orang, Filipina , 14,574 orang. Tahun 2012, pembantu rumah asing Indonesia sukar dicari, dari Kemboja dibekukan dan yang mudah dicari kini ialah pembantu rumah dari Filipina. Menurut agen, pembantu rumah dari Filipina memang mahal tetapi kurang kes lari manakala dari negara Indonesia memang statistik kes larinya paling tinggi.

Segelintir pembantu rumah asing cenderung untuk mencari teman dan ada pula yang ingin memiliki telefon bimbit sendiri. Mereka mahu ada peraturan sendiri di rumah. Walaupun majikan mementingkan kebersihan menyuruh mereka memotong rambut pendek, mereka membantah dan mendakwa mereka mengalami penderaan emosi.Apa yang mereka mahukan sebenarnya?

Bukankah niat sebenar mereka untuk mencari rezeki di sini dan kenapa mereka tidak pernah bersyukur apabila diberi segalanya sehingga ada yang makan semeja dengan majikan. Apabila ditunaikan segala permintaan maka akhirnya mereka lupa diri dan mula dipengaruhi kawan-kawan dan terjebak dengan perkara-perkara negatif. Majikan mengeluh kerana sibuk dengan kerja di pejabat mengharapkan pembantu rumah dapat meringankan tugas di rumah tetapi akhirnya mengundang banyak masalah seperti lari. Duit pendahuluan hangus, kena repot polis dan prosedur memohon pembantu rumah lagi.

Sesetengah pembantu rumah asing pula menyatakan mereka mendapat majikan yang garang dan tidak pernah bertegur sapa dengan muka masam mencuka. Majikan bukannya tegas sepanjang masa namun mereka perlu meletakkan jurang supaya pembantu rumah menghormati mereka. Jika mereka mengalami masalah, maka majikan akan prihatin tetapi janganlah pula pembantu rumah berbohong sehingga berani menjunjung al-Quran tetapi akhirnya semua terbongkar dan hanya dusta belaka. Berdasarkan pengalaman beberapa majikan memang agak menakutkan dan ada juga cerita yang tidak masuk akal, tidak cukup ruangan ini untuk kita berkongsi cerita.

Kisah pembantu rumah asing ada facebook, kisah lari kerana cinta dan kebebasan, lari kerana tidak mahu pulang setelah kontrak tamat dan banyak lagi alasan sudah terlalu biasa kita dengar. Ada juga beberapa majikan memberi peringatan supaya jangan membenarkan pembantu rumah pulang jika ingin menyambung kontrak lagi kerana selepas pulang ke kampung mereka akan berubah kerana terpengaruh. Selepas pulang untuk tahun ketiga mereka akan mula demand, maklumlah dah ada pengalaman. Jika demand gaji, kita faham tetapi ada yang demand hendak buat dua kerja dan duduk di luar. Kalau benar mahu mencari rezeki yang halal maka buatlah kerja dengan sebaiknya dan bersyukur dengan nikmati yang diberi. Janganlah lari daripada tanggungjawab dan berbuat dosa pula. Salam 1Hati.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012

ISU KESIHATAN : MASALAH OBESITI, KESIHATAN DAN MENGERJAKAN IBADAH


Rencana ini ditulis oleh :
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Obesiti bukan lagi perkara biasa yang dapat diterjemahkan sebagai sihat secara fizikal. Namun ia telah menjadi masalah yang sinonim dengan penyakit tidak berjangkit yang lain. Obesiti merupakan satu masalah kesihatan awam yang serius kerana boleh melibatkan komplikasi penyakit lain yang dikategorikan sebagai penyakit moden. Paling membimbangkan, obesiti menular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Walaupun bukan penyakit berjangkit tetapi pola pemakanan dan gaya hidup seseorang menyebabkan permasalahan terus merebak dalam sesebuah komuniti. Jika sedari kecil lagi telah mengalami masalah obesiti, tidak dikawal dan tidak mengambil usaha pencegahan, maka tidak mustahil Malaysia akan melahirkan lebih ramai generasi yang gebu, gemuk dan gempal (3G) pada masa akan datang. F

Fenomena 3G ini sudah pun berlaku tetapi ia mungkin akan berterusan sekiranya tiada langkah pencegahan yang mampu dirintis oleh masyarakat. Malah, lebih memburukkan lagi jika individu yang tidak memiliki kesihatan yang baik, tidak mampu menunaikan tanggungjawab untuk beribadah kepada Allah dengan sempurna. Umum mengetahui bahawa badan yang berat akan memenatkan. Beban berat badan akan memberi kelelahan kepada diri sendiri. Beribadah turut menjadi berat. Tidak mustahil kemalasan akan datang seiring dengan kepenatan dan terhadnya pergerakan. Penyakit akibat obesiti juga membataskan kemampuan untuk beribadah dengan sempurna. Jadi, obesiti memang memberi impak yang mendalam kepada ibadah dan tuntutan hidup yang lain.

Abu Hurairah pernah menukilkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Pada hari kiamat, akan datang seorang yang berbadan besar lagi gemuk. Namun, di sisi Allah timbangannya tidak melebihi berat sayap seekor nyamuk". Seiring itu, wajar kita mengambil iktibar bahawa beban membawa berat badan yang berlebihan akan menyebabkan kemalasan bersarang dalam diri seseorang. Ia menjadi penghalang untuk melaksanakan suruhan Allah dengan lebih sempurna, berkualiti dan optimum.

Namun, barangkali ada yang berpendapat, sekiranya makan dengan banyak maka akan menghasilkan tenaga dan stamina yang tinggi untuk beribadah. Malangnya, sifirnya tidak pernah sebegitu. Ramai di antara kita, apabila makan pasti berlebihan. Makan bukan sekadar untuk menguatkan diri malah akan membebankan perut dan diri secara fizikal. Ibn Hajar menyatakan dalam Fath al-Bari: "Kerana kebiasaan orang yang gemuk lemah kefahamannya dan berat untuk beribadah." Tambahan pula, The Annals of Neurology 2010 telah membuktikan bahawa wujudnya hubungkait antara saiz otak yang lebih kecil dan peningkatan risiko demensia dengan aras lemak yang lebih tinggi dalam badan. Maka, tidak dapat disangkal wujud kemungkinan jika seseorang mengalami masalah berat badan, daya ingatan dan penumpuan juga akan berkurangan.

Bukanlah menafikan bahawa faktor genetik juga menjadi punca obesiti. Namun, yang menjadi permasalahan kini ialah kebanyakan kita tidak mengamalkan gaya hidup sihat sedangkan ia merupakan tuntutan dalam ajaran Islami. Akhirnya menyumbang kepada masalah dan kemudaratan diri sendiri. Kadangkala kita menyedari tentang hal tersebut, namun masih lagi bertangguh untuk melakukan perubahan. Pada satu sudut lain, berapa ramai di antara ibu bapa pada hari yang menjadikan "electronic babysitter" seperti televisyen dan komputer menjadi teman rapat kepada anak-anak? Kajian menunjukkan bahawa semakin lama anak-anak meluangkan masa menonton televisyen, kecergasan otot mereka akan semakin berkurangan dan ukur lilit pinggang semakin meningkat disebabkan kegemukan apabila menghampiri usia remaja. Ia berpotensi menyebabkan masalah kesihatan apabila menginjak dewasa.

Dalam mendidik anak-anak, kadangkala ibu bapa tidak perasan bahawa mereka telah menyediakan satu spektrum pendidikan gaya hidup tidak sihat secara tidak formal. Antaranya membiarkan anak-anak menghabiskan masa di hadapan televisyen, tidak mempedulikan aktiviti kecergasan di luar dan tidak prihatin kepada apa jua jenis makanan yang anak-anak makan. Secara tidak sedar sebenarnya ibu bapa pada hari ini telah pun memulakan usaha mewujudkan generasi yang tidak sihat pada masa akan datang.

Anak-anak yang mengalami obesiti dan berlebihan berat badan akan cenderung untuk diejek oleh rakan sebaya. Ini akan memberi kesan kepada jati diri, menyebabkan tertekan dan kurang keyakinan terhadap penampilan diri. Dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan korelasi antara obesiti dan tekanan mental. Jika dilihat pada perangkaan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan mendapati masalah tekanan mental kanak-kanak dan remaja meningkatkan sebanyak 20% pada tahun 2011 berbanding 13% pada tahun 1996.

Mungkinkah peningkatan statistik yang membimbangkan dan sering diperbahaskan ini adalah salah satunya berpunca daripada masalah obesiti yang berlaku dalam kanak-kanak dan remaja pada hari ini? Maka, kita wajar menilai semula apakah makanan yang dijamah dan disuapkan ke mulut pada setiap hari sama ada untuk diri mahu pun keluarga di bawah tanggungan kita. Sejauhmana ia memberi nilai tambah kepada kesihatan? Atau lebih buruk lagi kita tidak mampu mengubah pola pemakanan dan gaya hidup selama ini walaupun telah menyedari akan peri pentingnya menjaga kesihatan.

Ketahuilah bahawa walaupun berdikit-dikit dalam membuat perubahan ke arah kesihatan yang lebih baik akan memberi kesan yang besar daripada langsung tidak melakukan apa-apa tindakan. Mengawal berat badan, pemilihan makanan yang terbaik dan berkat, mengambil langkah-langkah pencegahan penyakit, adalah komitmen kita untuk memerangi obesiti dan penyakit tidak berjangkit lain daripada terus bermaharajalela. Semua usaha ini adalah untuk merangka dan merancang bagi mencapai kesihatan yang optimum agar ibadah yang kita laksanakan lebih baik dan berkualiti serta diterima oleh Allah.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012

ISU ALAM SEKITAR : MALAPETAKA ALAM DAN PEMBANGUNAN


Rencana ini ditulis oleh :
SENATOR DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH,
Anggota delegasi Malaysia dalam Persidangan ASEP 7 di Vientiane juga ialah
Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya


Ada tiga masalah besar dunia yang mendapat perhatian utama dalam persidangan antarabangsa di Vientiane, Laos pada 3 dan 4 Oktober lalu. Tiga masalah yang merunsingkan itu ialah perubahan iklim dan bencana alam, pembangunan mampan dan masalah-masalahnya, serta jurang yang semakin melebar antara yang kaya dan yang miskin.

Persidangan yang diadakan di ibu negara yang pernah dilanda perang berpanjangan itu dihadiri oleh lebih 200 orang ahli Parlimen dari 27 buah negara yang bergabung dalam ASEP (Asia-Europe Parliamentary Partnership) termasuk perwakilan dari negara-negara China, Rusia, Jepun dan Jerman. Hadir sama, perutusan khas Setiausaha Agung PBB dan wakil IMF. Perwakilan Malaysia diketuai oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang. Saya sendiri juga mendapat penghormatan sebagai seorang anggota delegasi Parlimen Malaysia.

Ketiga-tiga masalah di atas tentu sahaja saling berkaitan. Dan natijahnya, yang menjadi tumpuan keprihatinan para perwakilan dan pemerhati dalam persidangan itu, ialah: kelaparan atau keupayaan (kekurangan upaya) menyediakan makanan secukupnya untuk keperluan seluruh manusia yang mendiami buana ini. Pada tahun 2050 nanti, bilangan penghuni bumi ini memerlukan makanan sebanyak dua kali ganda daripada yang diperlukan sekarang. Sehubungan dengan kesukaran untuk menghasilkan makanan dua kali ganda itu ialah harga makanan yang semakin meningkat. Satu laporan yang dibentangkan dalam persidangan itu mengingatkan bahawa zaman makanan berharga murah (the era of cheap food) sudah berlalu. Semuanya itu adalah ancaman yang sangat gawat terhadap ekonomi dunia, terutama di negara-negara yang berpendapatan rendah.

Kerana itulah maka pembangunan mampan (sustainable development) amat diperlukan untuk memastikan pengeluaran makanan mencukupi dan kesejahteraan hidup terjamin. Maka, persidangan itu memilih tema "Perkongsian Asia-Eropah untuk Pembangunan Mampan" (Asia-Europe Partnership for Sustainable Development) Daripada ucapan-ucapan utama sidang pleno dan perbincangan-perbincangan khas sidang kelompok serta kertas-kertas maklumat yang diedarkan, jelaslah bahawa pembangunan mampan itu menghadapi banyak masalah. Ada masalah berpunca daripada bencana alam , terutama perubahan iklim dan mala petaka lain seperti tsunami, banjir besar, gempa bumi dan musim kemarau yang berpanjangan.

Semua itu bukan sahaja mengancam pembangunan mampan - dan dengan sendirinya mengancam usaha-usaha pengeluaran makanan yang mencukupi - malah juga telah mengakibatkan ratusan juta penduduk miskin di serata dunia mengalami korban nyawa dan harta benda. Hakikat itu diperjelaskan lagi oleh Utusan Khas Setiausaha Agung PBB, Ms Margareta Wahlstrom yang memaklumkan fakta dan angka berikut: Sepanjang 12 tahun lalu, bencana alam mengorbankan tidak kurang daripada 1.1 juta nyawa di serata dunia, terutama di negara-negara yang kurang maju. Harta benda yang musnah bernilai tidak kurang daripada 1.3 trilion Dolar Amerika (AS$1.300,000,000,000). Dan bilangan manusia yang menerima akibat secara langsung atau secara tidak langsung ialah 2.7 bilion orang.

Sepanjang 2011 sahaja kerugian ekonomi yang dialami oleh negara Asia-Pasifik akibat pelbagai bencana alam itu mencapai angka AS$294 bilion.

Contoh yang lebih khusus lagi ialah pengalaman pahit tuan rumah persidangan. Sepanjang tahun lalu sahaja, akibat bencana alam terutama banjir, Laos mencatat korban nyawa manusia seramai 30 orang dan kemusnahan serta kerosakan harta benda bernilai 1,764 bilion kip > AS$220.500.000. Banjir itu memusnahkan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, kawasan pelancongan serta loji-loji bekalan air dan elektrik. Satu contoh lain yang disebut ialah nasib malang Pakistan yang dilanda banjir besar berulang-ulang sejak beberapa tahun terakhir dan mengakibatkan 50 juta penduduk kehilangan rumah tempat tinggal. Tentu sahaja turut musnah pelbagai infrastruktur yang lain.

Itulah antara contoh bencana alam yang berpunca daripada perubahan iklim yang menjadi rintangan utama pembangunan mampan. Selain itu disentuh pula masalah yang berpunca daripada tingkah dan kerenah manusia: tamak haloba, bongkak dan angkuh serta perilaku yang tidak rasional termasuk kecenderungan bertindak semata-mata kerana dorongan emosi. Jika perubahan iklim mengakibatkan eko-sistem yang tidak stabil, maka kerenah manusia menyebabkan sistem politik tidak stabil dan kehidupan sosial menjadi kacau bilau. Ini termasuklah pengurusan kewangan, termasuk hutang awam. Dan semuanya itu adalah rintangan terhadap pembangunan mampan yang menyukarkan usaha menyediakan makanan secukupnya untuk umat manusia.

Berkait rapat dengan kerenah manusia itu adalah masalah jurang yang semakin melebar antara yang miskin dan kaya yang turut mendapat perhatian dalam ucapan beberapa perwakilan. Umpamanya perwakilan dari Indonesia, Haryono Isman, menyebut tentang pertumbuhan ekonomi dunia daripada AS$34 trilion 20 tahun lalu kepada AS$64 trilion pada masa sekarang. Begitu juga dalam masa 20 tahun itu perdagangan antara bangsa berkembang menjadi tiga kali ganda kepada AS$28 trilion. Tetapi pertumbuhan ekonomi dan perkembangan perdagangan semata-mata tidaklah memadai dan tidak akan menyelesaikan keseluruhan masalah jika tidak diikuti dengan pembahagian atau pengagihan yang merata dan saksama. "Ketidaksetaraan sekarang semakin menjadi-jadi sama ada antara satu negara dengan negara lain atau antara satu golongan dengan golongan lain dalam sesebuah negara," tegas Haryono.

Sehubungan dengan ketidaksetaraan itu, perwakilan juga diingatkan bahawa lebih satu bilion orang, iaitu satu per enam daripada seluruh penduduk dunia, sekarang sedang diancam oleh bahaya kelaparan tegar. Demikianlah masalah dan rintangan yang dihadapi dalam usaha merealisasikan pembangunan mampan itu. Justeru menyedari pelbagai masalah itulah maka perwakilan dalam persidangan tersebut sepakat untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa yang lebih produktif. Sehubungan itu, Abu Zahar menyarankan supaya persidangan tersebut dimanfaatkan "untuk terus memupuk persamaan hasrat dan meneroka saluran-saluran kerjasama baru demi merealisasikan matlamat dan kepentingan bersama.

Selaras dengan saranan Abu Zahar itu, Persidangan ASEP di Vientiane tersebut dapat dianggap sebagai satu langkah positif "memupuk persamaan" dan "meneroka saluran-saluran kerjasama yang lebih kreatif dan produktif." Persidangan itu memberi kesempatan kepada para perwakilan bertukar-tukar nota dan pengalaman serta memperluas horizon dan perspektif. Dan bagi saya secara peribadi kehadiran dan penyertaan dalam persidangan itu, telah menimbulkan sejenis keinsafan dan sekali gus rasa syukur. Pendedahan kepada pelbagai masalah dan mala petaka yang di alami oleh negara-negara lain menyedarkan saya tentang betapa beruntungnya penduduk dan negara Malaysia yang secara relatif bebas daripada bencana alam, rata-rata bebas daripada kebuluran dan bebas daripada belenggu kemiskinan tegar.

Sehubungan itu, dalam sesi perbincangan mengenai isu-isu pengeluaran makanan, antara lain saya nyatakan: "Untuk masa ini, Malaysia tidak mengalami sebarang masalah kelaparan. Ekonomi negara kami masih berjaya membekalkan makanan untuk 28 juta orang rakyat tempatan dan untuk dua juta orang lagi pendatang asing yang mencari nafkah di negara kami". Secara berkias saya bayangkan bahawa Allah masih melindungi Malaysia daripada ditimpa pelbagai mala petaka alam. Yang membimbangkan sekarang adalah mala petaka buatan manusia yang mengancam kestabilan politik dan mengugut kerukunan hidup sosial dalam negara yang kami cintai.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Oktober 2012