JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Julai 2017

CATATAN CIKGU ZUL : ALKISAH GURU TAMPAR PELAJAR, MUDAHNYA MENGHUKUM, SENANGNYA MEMAKI HAMUN, BENARKAH GURU ITU BERSALAH?


Kisah guru yang menghukum pelajar apabila didedahkan di akhbar memang laku bagaikan pisang goreng panas yang menjadi rebutan di Warung Mak Kiah di Kuala Krai. Warga yang sentiasa dahagakan sesuatu kisah yang sensasi di media sosial akan berlumba-lumba meninggalkan komen yang menghentam, memaki, menghina, dan menyalahkan guru tersebut wahal kes itu masih dalam siasatan dan guru yang dituduh itu belum tentu bersalah. Apabila membaca satu persatu komen-komen yang dilontarkan saya berasa amat sedih dengan pandangan masyarakat mengenai guru. Mereka sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menghentam dan memperlekeh warga guru keseluruhannya sehingga mereka terlupa tanpa pengorbanan, asuhan, dan didikan guru  mereka akan “buta” untuk menikmati indahnya duniawi. Sewaktu menghayati dan meneliti setiap komen yang diberikan hati menjadi sayu dan pilu kerana segelintir daripada yang memberikan komen itu merupakan golongan dewasa yang berjawatan dan “berkarisma”. Namun begitu, sayang seribu kali sayang di gelanggang media sosial mereka nampak terlalu nazak dan terdesak untuk menjadi hero mengutuk dan mencaci.

LAPORAN “NASI TAMBAH”

Kebanyakan kes yang disensasikan di suratkhabar ini hanyalah menurut pandangan satu pihak sahaja. Komen daripada pihak polis hanyalah mengesahkan laporan yang dibuat itu sambil memaklumkan bahawa kes tersebut masih dalam siasatan. Frasa “kes masih dalam siasatan” bermaksud yang dituduh bersalah tidak semestinya bersalah. Semua cerita yang disampaikan oleh wartawan yang menulis hanyalah berdasarkan cerita daripada yang melaporkan kes. Biasanya, wartawan itu langsung tidak menyampaikan berita yang keluar sendiri daripada mulut guru yang terbabit. Ibu bapa atau penjaga yang melaporkan kes itu pun tidak berada dalam kejadian tetapi susunan kata-kata apabila menceritakan kejadian amat indah dan menarik, yang salah guru, yang tidak salah hanyalah anak mereka sahaja. Persoalannya, daripada siapakah mereka mendapat berita yang dilaporkan itu? Sudah tentu tukang cerita ialah anak mereka sendiri dan rakan-rakannya (mungkin). Bolehkah berita itu dipercayai? Tepuk dada tanya selera. Kebanyakan murid apabila bercerita sesuatu insiden sebegini kepada ibu bapa mereka akan sepakat menyalahkan guru kerana rasa marah dihukum. Ibu bapa pula terlalu mempercayai anak sehingga tergamak membuat keputusan yang akhirnya tidak menyebelahi mereka.

Kes sebegini kebanyakannya disensasikan dengan menokok tambah cerita supaya guru nampak amat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Golongan ini sanggup berdrama dengan mencipta skrip agar berita yang dikeluarkan di akhbar itu benar-benar menunjukkan bahawa mereka merupakan pihak yang teraniaya dan guru yang terbabit adalah jahat. Apabila berita tersebut menjadi tular, masyarakat pula tanpa berfikir panjang akan terikut-ikut dengan tindakan si tukang cerita sehingga sanggup melontarkan pelbagai komen yang berbentuk cacian dan makian terhadap guru tersebut dan profesion perguruan keseluruhannya. Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini kerana saya melihat sesuatu berlandaskan akal yang rasional. Pepatah Melayu ada mengatakan ‘tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi’, maknanya tanpa adanya sebab dan alasan yang munasabah hanya orang yang tidak ada akal sahaja yang akan bertindak tidak waras. Guru merupakan manusia dan cara mereka bekerja juga dikawal oleh pelbagai peraturan. Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mendidik memang ada yang tersasar tetapi saya yakin pihak pentadbir sekolah tidak akan membiarkan guru itu terlepas daripada hukuman. Walau bagaimanapun, ada kalanya hati dan jiwa guru remuk dan luluh dikerjakan dengan karenah biadab sebilangan pelajar yang memang tidak dapat dilentur dan dibentuk.

Kes yang sudah diselesaikan di sekolah dengan rundingan dan perdamaian, disebabkan rasa tidak puas hati serta didorong oleh rasa riak mencipta kontroversi demi meraih simpati masyarakat, sebilangan ibu bapa sanggup membuat laporan polis. Tindakan ini bukan suatu kesalahan malahan amat digalakkan jika pihak yang melaporkan kes itu benar-benar berdiri di atas lantai kebenaran. Akan tetapi, segelintir pihak yang terbabit sanggup melakukan ulang tayang kes seolah-olah tindakan itu dilakukan oleh guru wahal bukan. Drama mengada-adakan apa yang tiada ini ditayangkan tanpa mengira dosa. Dengan niat untuk meremehkan martabat guru dan memusnahkan masa depan guru terbabit, rasa insaf dan memaafkan sanggup diketepikan. Sumbangan guru dalam melakukan kebaikan dan berkorban dalam mendidik dan mengasuh anak mereka sengaja dipadamkan dari mata fikir dan mata hati mereka. Yang mereka mahu biarlah guru itu ditamatkan perkhidmatannya. Oleh sebab itulah, mereka sanggup memperbanyakan ramuan fitnah dalam laporan yang dibuat. Itulah cerita yang masyarakat selalu alpa apabila membaca kes yang melibatkan guru di media sosial atau di akhbar.

GURU ITU BERSALAH?

Cerita guru rotan pelajar hingga berdarah, guru tampar pelajar hingga bengkak, guru tendang pelajar, guru maki pelajar, guru tumbuk pelajar yang dipaparkan di akhbar memang mengundang rasa marah di hati kita apabila membacanya. Jika diturutkan hati, mahu sahaja rasanya kita ringankan tangan dan kaki untuk membalas balik perbuatan guru itu. Akan tetapi, kita jangan lupa bahawa berita yang kita baca dan gambar yang kita lihat itu tidak semestinya benar. Wartawan yang mengatur indah bahasa laras laporannya itu, tidak berada di tempat kejadian. Ibu bapa yang rancak bercerita dan petah berbicara itu juga tiada di tempat kejadian. Yang ada di tempat kejadian itu hanyalah murid dan guru dan di atas sana yang melihat perbuatan mereka tanpa jemu ialah Tuhan Yang Maha Esa. Untuk pengetahuan, kebanyakan kes sebegini pihak yang selalu menang ialah guru. Akan tetapi, kenapakah wartawan tidak menulis berita itu? Hal ini disebabkan wartawan-wartawan ini cuma menunggu berita jatuh ke riba dan kemudian pergi ke balai polis untuk mengesahkan kejadian. Selepas berita itu keluar dan mendapat perhatian mereka berasa puas kerana tugas telah disempurnakan dengan jayanya. Pernahkah mereka berjumpa sendiri dengan guru yang dituduh? Pernahkah mereka bertanya terlebih dahulu kepada kepala sekolah? Pernahkah mereka fikirkan kesahihan sesuatu berita sebelum menjajanya di media? Jawapannya, hanya mereka sahaja yang tahu.

Kemenangan selalunya berpihak kepada guru. Kasihan guru, mereka sanggup menelan segala cacian, makian, umpatan, dan hinaan masyarakat tetapi tugas hakiki tidak sesekali mereka ketepikan. Rasa pedih dan sakit yang menghiris sembilu hati terpaksa dilupakan apabila mengenangkan tugas wajib diri adalah untuk menyampaikan ilmu. Setiap kesalahan murid dan ibu bapa mereka guru maafkan tanpa rasa dendam. Guru tidak tergamak melakukan sidang media, mencari wartawan, atau membuat laporan polis akibat kesilapan ibu bapa dan pelajar sendiri. Semuanya tersimpan rapi di hati dan disusun baik dalam lipatan memori. Mungkin kita tertanya-tanya? Jika tidak bersalah, kenapakah guru tersebut tidak menyaman pihak yang membuat laporan itu? Biar saya lanjutkan perkongsian ini, bayangkan jika guru menyaman pihak yang terbabit? Berapa banyak masakah yang akan terbazir? Mampukah yang melaporkan itu membayar saman atau menanggung segala kos turun naik mahkamah? Sebenarnya, saya segan mahu menceritakan latar belakang keluar pelajar yang selalu melakukan tindakan sebegini. Rata-ratanya mereka merupakan golongan bependapatan rendah dan sederhana. Jiwa mereka amat sensitif sehingga perkara kecil pun sanggup diperbesar. Lantaran itu, bagi golongan guru yang memahami, mereka sanggup menyelesaikan kes sebegini di meja rundingan. Biarlah mereka dipandang serong. Biarlah diri mereka dimaki. Biarlah kerjaya mereka dihina. Tidak mengapa, suatu masa yang betul itu akan terselak juga.

AKAL BIAR BERAKAL


Masyarakat yang ketagihan berita dan suka melontarkan pandangan serta komen di media sosial harus rasional dengan setiap kata yang ditulis kerana semua orang akan membaca komen-komen tersebut. Kita mungkin sempurna pada penilaian diri kita sendiri tetapi di mata orang lain kesempurnaan itu tiada. Sebelum kita menghukum, menghina, dan mencaci orang lain kita harus cermin diri kita terlebih dahulu, apakah kita cukup bagus untuk memperlakukan orang lain sebegitu? Jangan terlalu ghairah untuk mendapatkan perhatian sehingga kita menghadam fitnah lantas menyemarakkan rasa amarah melulu. Kita jangan lupa setiap kata yang kita tulis mencerminkan keperbadian diri kita yang sebenarnya. Setiap fitnah yang kita tabur juga akan ada balasannya. Dunia mungkin mengiktiraf kemenangan kita ke atas pihak yang teraniaya tetapi di akhirat nanti kita perlu menjawab setiap kemungkaran yang telah kita lakukan itu. Semua masalah ada jalan penyelesaian dan setiap penyelesaian itu kadang-kadang melukakan tetapi andai kita terima dengan keikhlasan, insyallah semuanya akan menjadi indah dan manis. Sebelum kita sakiti hati orang lain, kita sakiti hati kita sendiri dahulu. Jika kita rasa kesakitan itu menyakitkan maka kita jangan lakukannya ke atas orang lain.

Budaya membenci golongan guru atau pendidik yang kian bercambah di jiwa masyarakat kita harus dikikis. Golongan guru kian matang dalam melaksanakan tanggungjawab. Jika segelintir guru melakukan kesalahan, percayalah mereka akan berhadapan dengan tindakan tatatertib dan akan diberikan hukuman yang setimpal dengan silap yang mereka lakukan. Jika kita membaca sesuatu berita tular baik berkaitan dengan guru atau apa-apa sahaja, sekiranya kita tidak tahu duduk perkara sebenar, kita jangan terlalu mudah merenjiskan kata-kata yang berbentuk cacian atau penghinaan kerana terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Hidup ini mudah untuk dilayari. Jika kita menghormati orang maka kita akan dapat penghormatan yang setimpal. Jika kita memuliakan semua manusia tanpa mengira darjat, keturunan, kelakuan, dan latar belakang maka kita akan mendapat keberkatan. Sejahat-jahat manapun insan, hatinya akan lembut jika disirami dengan kasih sayang sesama insan. Guru banyak berbakti kepada setiap insan. Mereka memberikan kita asuhan dan didikan sehingga kita menjadi seperti hari ini. Salah macam manapun seseorang guru, ingatlah jasa dan pengorbanannya tetap mengatasi kesilapan yang dilakukannya itu. Semuanya akan jadi indah jika kita saling memaafi dan menyanjungi.

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin

Sibu Sarawak.