Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2010 yang diumumkan pada 26 Oktober 2010 memperlihatkan skor Malaysia jatuh 0.1 mata dari 4.5 pada 2008 ke skor 4.4. Dari segi kedudukan pula, Malaysia kekal di kedudukan 56 berbanding 178 negara yang terlibat. Walaupun kejatuhan skor 0.1 dianggap kurang signifikan, namun merenung pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan, timbul persoalan apakah lagi penambahbaikan yang perlu dibuat oleh kerajaan untuk menjadikan CPI ini kembali ke takuk 5.0 sebagaimana pada 1995 hingga 2001. Berbanding negara jiran tetangga, khususnya Hong Kong, Singapura dan Brunei, langkah dan inisiatif yang kita laksanakan jauh lebih banyak dan lebih baik, namun di mana kurangnya lagi?
Apakah tidak cukup inisiatif, dasar, program dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia selama ini? Bagaimana dan apakah bentuk, kaedah mahupun pendekatan lain yang harus diguna pakai bagi meningkatkan tahap persepsi masyarakat antarabangsa terhadap negara ini? CPI merupakan indeks persepsi rasuah yang telah dikeluarkan oleh Transparency International (TI), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Berlin, Jerman sejak tahun 1995. Indeks ini hanya mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara di mana kedudukan sesebuah negara akan disenaraikan mengikut skor yang diperoleh dan bukannya berdasarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara terbabit. CPI dikeluarkan berdasarkan pengumpulan kajian-kajian oleh pelbagai pihak, terutamanya berdasarkan soal selidik yang dijalankan ke atas ahli-ahli perniagaan luar negara dengan penekanan diberi kepada elemen rasuah.
Namun begitu, hasil kajian yang dijalankan oleh TI dan metodologi yang digunakan menimbulkan persoalan dan ketidakpuasan banyak pihak termasuk beberapa tokoh dalam TI sendiri. Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyatakan CPI merupakan satu bentuk western cultural imperialism. Jeremy Pope yang mengasaskan TI pada 1993 menyatakan: ''...agak jelas dalam laman web Transparency International bahawa anda tidak boleh membandingkan pencapaian satu tahun dengan tahun yang sebelumnya dan ada pelbagai alasan teknikal untuk menjelaskan perkara ini. Sampel yang digunakan berbeza dan senarai soalannya juga berbeza. Kesemuanya bersifat anggaran kasar dan sudah bersiap sedia kerana ia adalah kaji selidik yang bercampur-campur di mana orang yang terlibat tidak pernah ditanya tentang rasuah. Mereka hanya pernah ditanya tentang sesuatu yang agak hampir dengan rasuah tetapi bukan rasuah yang sebenar. Ini adalah satu pendekatan yang tidak tepat dan tidak mengikut turutan waktu."
Persoalan-persoalan yang ditimbulkan ini masih banyak tidak terjawab, malah oleh pihak TI sendiri. Bahkan pada 2004, Frederik Galtung, antara orang yang bertanggungjawab memperkenalkan CPI telah mempertikaikan kaedah atau metodologi kajian tersebut dan penggunaannya. Kajian yang dijalankan oleh TI tidak berasaskan kajian dan pengumpulan data oleh mereka sendiri. Sebaliknya, TI mengitar semula kajian atau kerja yang dilakukan oleh organisasi-organisasi lain dalam membentuk indeks komposit. Menurut kenyataan TI, sumber kepada penghasilan CPI pada tahun ini diambil daripada 13 kajian yang telah dijalankan oleh 10 institusi bebas. Bagi Malaysia, sebanyak sembilan kajian telah digunakan sebagai sumber utama dalam penetapan CPI pada tahun ini, iaitu:
1. Bertelsmann Transformation Index 2009
2. Country Risk Service 2010
3. Global Risk Service 2010
4. Asian Intelligence by Political and Economic Risk Consultancy 2009
5. Asian Intelligence by Political and Economic Risk Consultancy 2010
6. World Global Competitiveness Report 2009
7. World Global Competitiveness Report 2010
8. Global Competitiveness Report 2009
9. Global Competitiveness Report 2010
Apabila CPI diperkenalkan pada 1995, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 negara yang dikaji dengan skor mata 5.28. Kedudukan negara dalam CPI mula menurun ke tangga 26 (1996), tangga 32 (1997) dan terus merosot ke kedudukan 56 dalam tempoh 15 tahun sejak CPI diperkenalkan. Dari segi skor pula, skor terbaik yang pernah dicapai adalah pada tahun 1996 iaitu 5.32 manakala skor paling rendah pada tahun ini, iaitu 4.4. Walaupun Malaysia merosot dari segi kedudukannya, namun secara umumnya skor Malaysia masih berada di peringkat pertengahan. Di samping itu, bilangan negara yang dikaji perlu juga diambil kira yang mana sebanyak 178 negara terlibat dalam CPI 2010 berbanding hanya 41 negara pada 1995.
Dalam pada itu, terdapat inisiatif kerajaan bagi memerangi rasuah di negara ini. Seperti yang diakui oleh Presiden Transparency International (Malaysia) Datuk Paul Low, kerajaan Malaysia tidak pernah berdiam diri dalam hal ini, malah telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memerangi rasuah. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:
* Penubuhan Institut Integriti Malaysia
* Pelan Integriti Nasional
* Menaiktaraf BPR kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
* Menubuhkan lima panel/lembaga dan jawatankuasa bebas untuk menasihati dan memantau perjalanan SPRM agar wujud ketelusan dan kebebasan
* Mewujudkan Mahkamah Khas bagi membicarakan kes-kes rasuah
* Mewujudkan Unit Pematuhan di setiap agensi kerajaan berisiko
* Mewujudkan pangkalan data pesalah rasuah
* Mewujudkan undang-undang berkaitan perlindungan saksi
Kejatuhan CPI wajar direnungi
Pelbagai sasaran ditetapkan untuk memastikan CPI berada di skor yang lebih baik. Antaranya, Pelan Integriti Nasional yang menetapkan sasaran menaikkan skor ke tahap 6.5. Manakala NKRA menetapkan sasaran untuk memperbaiki CPI 2010 ke tahap 4.9. Kesemua sasaran ini tersasar dan tidak mencapai objektif yang dihasratkan. Kenapa dan di mana silapnya?
Antara kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti adalah seperti berikut:
Usaha untuk menaikkan skor CPI ini hanya diletakkan di bawah tanggungjawab entiti tertentu sahaja seperti SPRM, Institut Integriti Malaysia (IIM) dan NKRA;
Untuk mencapai sasaran skor CPI yang ditetapkan, IIM dan NKRA dilihat tidak fokus kepada usaha mengenal pasti, menganalisis dan mendekati sembilan bentuk kajian yang digunakan oleh CPI untuk dijadikan asas bagi membentuk strategi dan pendekatan meningkatkan persepsi serta imej negara;
Strategi dan pendekatan yang diguna pakai IIM dan NKRA wajar dikaji semula;
Kumpulan sasaran iaitu golongan peniaga dan pelabur domestik dan antarabangsa yang merupakan sampel kajian tidak pernah didekati dan dijelaskan berhubung inisiatif dan pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan;
Keseriusan kerajaan dalam memerangi rasuah dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif tidak disambut secara bersungguh-sungguh oleh sebahagian besar agensi kerajaan.
Terlalu banyak publisiti berhubung kes-kes rasuah di media massa menyebabkan wujud persepsi bahawa rasuah amat berleluasa di negara ini;
Tindakan segelintir ahli politik yang suka memburuk-burukkan Malaysia di luar negara turut mempengaruhi tahap persepsi ini;
Perlakuan wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika membentangkan kertas kerja di persidangan antarabangsa mengkritik dan memburuk-buruk kerajaan;
Cadangan penambahbaikan CPI
Sekiranya pihak terbabit benar-benar serius dengan usaha untuk menaikkan CPI pada masa akan datang, berikut adalah antara cadangan yang boleh diambil untuk dijadikan panduan:
Menganalisis secara menyeluruh kesembilan kajian yang digunakan oleh TI untuk menghasilkan CPI;
Mengenal pasti secara spesifik apakah permasalahan rasuah yang berlaku, sektor-sektor yang terlibat, peraturan-peraturan yang berkaitan berdasarkan hasil kajian tersebut;
Mengadakan pertemuan dengan institusi-institusi terlibat bertujuan mendapatkan gambaran dan menjelaskan inisiatif-inisiatif yang telah diambil kerajaan Malaysia;
Mendekati NGO yang memperjuangkan integriti, hak asasi manusia dan ahli-ahli akademik agar diberikan pendedahan dan maklumat secukupnya bagi membantu menjelaskan peranan Malaysia dalam memerangi rasuah dalam forum atau persidangan antarabangsa.
Oleh KHOO CHAI LEE
Utusan Malaysia
30 Oktober 2010