JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Januari 2012

ISU SOSIAL : SINDIKIT PENGEMIS BUTA

“Derma encik”

Itulah kata-kata pengemis cacat penglihatan sambil menghulurkan tisu ataupun kalendar untuk ditukarkan dengan wang. Menjadikan restoran sebagai tempat meminta sedekah, pastinya pelanggan yang sedang menikmati hidangan yang enak- enak tidak sampai hati melihat golongan ini meminta-minta, lalu mereka menghulurkan derma. Bagaimanapun, niat ikhlas pemberi sumbangan ini membuatkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan. Itulah yang terjadi kepada golongan cacat penglihatan yang ditindas oleh golongan yang sempurna dan hanya mementingkan keuntungan. Namun, sindiket yang menggunakan golongan cacat penglihatan ini masih belum disahihkan kerana kebanyakan yang ditemui mengakui mereka melakukannya dengan kerelaan hati, membantu golongan cacat penglihatan ini meneruskan kelangsungan hidup. Tinjauan di beberapa kawasan di Shah Alam, Subang Jaya dan Bangsar menyelami nasib si pengemis buta yang dipercayai didalangi sindiket untuk mendapatkan keuntungan ataupun mereka ini mahukan wang dengan cara yang mudah.

Mengemis, menjual tambah pendapatan

Tinjauan mendapati orang cacat penglihatan dibawa oleh seorang lelaki ataupun perempuan sambil menjual barangan mereka seperti kalendar dan tisu di kawasan tumpuan orang ramai seperti kedai mamak, pasar malam dan sebagainya. Salah seorang yang hanya mahu dikenali sebagai Ali berkata, dia dan isterinya terpaksa menjual kalendar untuk menyara dua anaknya yang masih kecil. Ali yang cacat penglihatan dibantu seorang wanita yang diperkenalkan sebagai isterinya berasal dari Indonesia. Mereka tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk keluar menjual barangan mereka. “Kami tidak bekerja dan menjual kalendar ini untuk menyara kehidupan seharian dan setiap hari kami hanya memperoleh tidak lebih daripada RM100. “Kalendar ini kami tempah khas untuk dijadikan barang jualan kepada orang ramai dan mendapat simpati daripada orang ramai untuk membeli dan menderma,” katanya. Ali yang berusia 40-an dan isterinya berusia 30-an itu pergi selepas ditanya pelbagai soalan dan meneruskan aktiviti mereka meminta derma di salah sebuah restoran.

Boleh dikenakan tindakan

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Roslan Baba berkata, aktiviti mengemis yang menggunakan orang buta ada dilaporkan tetapi ianya merangkumi keseluruhan pengemis yang dikenalpasti. Menurutnya, ini juga dipercayai didorong oleh sindiket yang menggunakan orang buta bagi mendapatkan wang dengan cara yang lebih mudah. “Kaedah mendapatkan simpati orang ramai dan dibantu oleh pengiring yang sempurna sifat membantu mereka ini mendapatkan wang yang lebih. “Antara kaedah yang digunakan bukan sahaja mengemis dengan tangan kosong tetapi ditukarkan dengan menjual tisu, kerepek, kalender ataupun ayat-ayat suci al-Quran,” katanya. Roslan berkata, sekiranya ditangkap, mereka bersama pengiring juga menerima nasib yang sama kerana pengiring seolah-olah bersubahat dengan mendapatkan wang. Menurutnya, mereka ini dikategorikan di bawah Akta Orang Papa 1977 bagi menyelamatkan orang yang terlibat supaya tidak meneruskan aktiviti mengemis mereka.

“Berdasarkan laporan yang diterima mereka ini akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menjalankan aktiviti mereka. “Mereka akan ditemani seorang wanita atau lelaki celik yang membantu mereka bagi memastikan tidak ditipu orang ramai,” katanya. Beliau berkata, walaupun alasan mereka hanya menampung keperluan kehidupan seharian, golongan cacat penglihatan ini dipercayai berselindung di sebalik sindiket pengemis yang mengaut keuntungan berpuluh-puluh ribu sebulan bagi setiap seorang orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaan mereka. Menurutnya, kegiatan ini disifatkan sebagai satu manipulasi sindiket terancang yang berniat memeras kudrat OKU yang sama sebahagian besarnya adalah orang tempatan. “Dipercayai perolehan pendapatan daripada mengemis dibahagikan diantara OKU dan orang yang menemaninya. “Ada yang mendakwa, mereka ini memperolehi pendapatan mencecah RM20,000 sebulan dan ada kemungkinan juga, sindiket pengemis buta ini mendapat persetujuan daripada pengemis sendiri yang juga mahukan wang dengan cara dengan lebih mudah dengan menggunakan kekurangan yang ada pada mereka,” katanya. Roslan berkata, tindakan OKU yang meminta belas orang ramai merupakan tindakan pengemis dan ianya menyalahi Akta Orang-Orang Papa 1977.

Menurutnya, turut tidak menafikan keadah mengemis menggunakan orang buta ini dipercayai diselubungi sindiket tetapi pihaknya masih belum dapat membuktikan dakwaan tesebut. Bagi mengatasi masalah dan kegiatan mengemis ini, JKM akan mengadakan kempen ‘Berhenti Memberi, Kami Prihatin’ pada 31 Januari ini peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Menurutnya, jika sebelum ini operasi membersihkan pengemis sentiasa dilaksanakan tetapi kali ini memberi tumpuan kepada pemberi. Roslan berkata, pihaknya sering mengadakan operasi melalui tiga kaedah iaitu operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan, polis dan agensi yang terlibat, operasi berjadual dan operasi berdasarkan aduan. Beliau berkata, jumlah pengemis yang diselamatkan sehingga bulan Oktober 2011, lelaki 915 orang dan perempuan 359, jumlahnya, 1274. Bilangan operasi pengemis dan kutu rayau, operasi bersepadu, 57 orang , operasi berjadual, 417orang, aduan orang ramai, 275 orang, rujukan agensi dan persatuan, 60 orang dan lain-lain 102 orang.

MAD sedia membantu

Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) tidak menolak dakwaan terdapat pengemis buta yang mengemis menggunakan pengiring untuk menambah pendapatan mereka ataupun untuk menyara keluarga. Mereka ini ada diantaranya digunakan individu tertentu untuk mendapat simpati supaya orang ramai terus memberi sumbangan. Pelbagai kaedah yang digunakan seperti menjual tisu, kalendar dan menjual kerepek sebagai kaedah mereka untuk mengemis. Ini seolah-olah mereka menjalankan perniagaan bergerak bagi mengelakkan daripada mereka dikategorikan sebagai pengemis. Pemangku Pengarah Eksekutif MAB, Datuk S Ganesan berkata, pihaknya sebelum ini tidak menerima laporan mengenai orang buta yang dijadikan pengemis untuk satu sindiket tetapi tidak menolak dakwaan ada pengemis yang terdiri daripada orang buta. Menurutnya, beberapa tahun lalu, pihaknya ada menerima laporan mengenai orang cacat penglihatan ini dijadikan pengemis di Perak dan ditempatkan di beberapa kawasan. “Kita ada terima laporan tetapi tidak dapat membongkar mengenai isu ini dan pemantauan berterusan kita laksanakan kerana tidak mahu golongan ini ditindas oleh mereka yang hanya memikirkan keuntungan dengan mudah. “Sehingga kini, MAB sering terlibat dalam operasi dengan kerjasama daripada pihak berkuasa bagi mencegah kegiatan mengemis menggunakan orang cacat penglihatan kerana tidak mahu mereka ini dipandang rendah,” katanya ketika ditemui di pejabat MAB.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Oleh : Nooraizura Ahmad

SUMBER
SINAR HARIAN
30 Januari 2011

ISU ALAM SEKITAR : ANCAMAN RIBUT MATAHARI

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my


Awal minggu lalu, dunia digemparkan dengan fenomena ledakan di matahari atau disebut ribut matahari. Adakah ini ada rentetan ramalan ahli nujum terkenal Nostradamus mengenai kemusnahan Bumi? Sebelum ini penyelidik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pada Mac 2006 pernah meramalkan ribut matahari paling dahsyat atau dikenali dengan solar maksimum akan berlaku dalam setiap 50 tahun. Kajian yang diketuai oleh Mausumi Dikpati daripada Pusat Nasional bagi Penyelidikan Atmosfera (NCAR) menyatakan, kitaran matahari akan menjadi lebih kuat 30 hingga 50 peratus berbanding terdahulu. Jika ramalannya benar, tahun 2012 dan 2013 bakal menyaksikan aktiviti matahari lebih besar daripada tragedi Solar Max 1958. Ledakan atau aktiviti matahari terkini dicatatkan sebagai yang paling kuat sejak 2005, demikian menurut pakar astrofizik Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA), Doug Biesecker. Koordinator Observatori Negara Langkawi (ONL), Agensi Angkasa Malaysia, Mhd Fairos Asillam berkata, matahari merupakan bintang.

“Kitaran suria atau kitaran aktiviti magnetik matahari adalah perubahan berkala dalam jumlah pancaran atau sinaran dari Matahari yang menyirami Bumi “Kitaran suria mengambil masa secara purata 11 tahun dari satu solar maksimum ke solar maksimum berikutnya dan telah diperhatikan bahawa perubahan antara sembilan hingga 14 tahun bagi sebarang kitaran suria yang diberikan,” katanya semasa dihubungi Mingguan Malaysia. Bagaimana kita menentukan bila fasa aktif matahari? Mhd Fairos berkata, ahli astronomi yang memantau keadaan matahari setiap hari akan melihat banyak tompokan hitam di permukaan matahari. “Solar maksimum adalah tempoh yang mana aktiviti solar adalah tertinggi di dalam kitaran suria bagi matahari. Semasa solar maksimum, terdapat bilangan tompok matahari yang banyak di atas permukaannya iaitu melebihi angka 200,” katanya. Ini menyebabkan medan magnet matahari berpintal atau menyimpul. Akibatnya akan berlaku suar suria atau julangan bebola api yang bersaiz gergasi dari permukaan matahari dan juga ejeksi jisim korona (corona mass ejection atau CME).

Di Malaysia, Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa) dan Jabatan Metereologi Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Aktiviti Matahari bagi memantau aktiviti matahari di ONL dengan kerjasama International Space Weather Initiative (ISWI) bagi memantau aktiviti matahari. Bagi letupan yang berlaku di matahari 23 Januari lalu, jawatankuasa berkenaan akan memantau selama enam hari sehingga Isnin. “Ini kerana hanya letupan yang paling hampir dengan permukaan Bumi akan dikira kerana ia mengambil masa dua hingga enam hari untuk sampai ke Bumi,” katanya. Apabila berlakunya ribut solar, hanya bahagian matahari yang paling hampir dengan Bumi dan menyemburkan tenaga dipantau. “Apabila semburan banyak dan kuat melanggar lapisan atas dan dinding magnet Bumi ia mengakibatkan ribut geomagnetik. “Ribut berkenaan boleh memberikan gangguan pada lapisan ionosfera Bumi di mana terdapatnya komunikasi radio dan satelit,” katanya.

Bagaimanapun jelas Mhd. Fairos, ribut geomagnetik biasanya tidak memberikan kesan langsung kepada negara-negara di kawasan Khatulistiwa. Biasanya kawasan berhampiran Kutub Utara dan Kutub Selatan mendapat kesan langsung daripada ribut berkenaan. “Malaysia tidak terlibat secara langsung kerana negara tidak mempunyai banyak satelit tetapi kebanyakkan satelit mempunyai panel solar. “Ketika itu operator satelit akan memastikan satelit berada pada mod pasif supaya fungsinya tidak terganggu,” katanya. Mengambil contoh Kitaran Suria ke 22 yang berlaku pada 1989 menyebabkan transformer di Quebec, Kanada terbakar dan keadaan bergelap selama sembilan jam.

TRAGEDI

Bagaimanapun selepas apa yang berlaku di Quebec, Kanada, menurut Fairos, saintis semakin memahami aktiviti matahari dan kerugian daripada tragedi berkenaan dapat dikurangkan. Bagaimanapun jika ribut berkenaan amat kuat, negara yang berdekatan dengan kutub seperti Eropah, Jepun, Rusia akan mendapat kesannya. “Sebab itulah aurora juga hanya kelihatan di negara berhampiran kutub,” katanya. Negara yang berhampiran dengan Khatulistiwa lebih selamat dengan medan magnet yang melindunginya. Ini kerana zarah-zarah matahari datang ke Bumi dan masuk melalui Kutub Utara dan Kutub Selatan. “Walaupun negara kita tidak terlibat secara langsung dengan ribut solar tetapi aktiviti yang melibatkan satelit mungkin terganggu. “Bayangkan jika telefon bimbit, kereta, trak, kapal terbang, komputer, televisyen, radio atau permainan elektronik semua tidak berfungsi. “Tentu ini akan melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.

Malah beberapa syarikat penerbangan di Eropah terpaksa mengubah laluan penerbangan daripada melalui kawasan kutub yang terdedah kepada radiasi. Bagaimanapun ribut solar yang diukur adalah pada skala G1 yang paling rendah atau minor kerana biarpun terdapat letupan kuat di matahari tetapi jarak yang jauh memperlahankan impak yang tiba ke Bumi. Mhd Fairos menegaskan ribut solar tidak memberikan sebarang kesan kepada manusia serta tidak berkaitan dengan perubahan cuaca. Sementara itu, ahli astronomi amatur tempatan, Shahrin Anuar berkata, selain Bumi, planet-planet yang berada di sekitar matahari turut merasai kesan fenomena daripada ledakan tersebut. “Jika Bumi menerimanya pada awal minggu lalu, planet Marikh pula merasai kesan tersebut sehari selepas itu,” katanya. Partikel bertenaga tinggi akan tiba ke Bumi dalam jangka masa satu hingga dua hari sementara radiasi elektromagnetik akan mencecah Bumi dalam masa lapan minit. CME yang tercetus bergerak dengan halaju 6.4 juta kilometer sejam menuju Bumi.

Jumlah bahan yang terbebas dalam proses tersebut dianggarkan mencapai berjuta-juta kilogram. Partikel-partikel yang terhasil daripada letusan matahari itu tidak membahayakan nyawa manusia kerana dihalang oleh medan magnet. Kesan aktiviti matahari yang mencetuskan ledakan yang paling buruk pernah direkodkan berlaku pada abad ke-19. Ketika itu kesan ketara yang berlaku adalah gangguan sistem telegraf. Pada 1859, Bumi menghadapi fenomena ribut solar yang terbesar dan mengejutkan. Tindakbalas di atas permukaan matahari teramat marak sehingga menyebabkan sistem wayar telegraf di United Kingdom (UK) dan AS terganggu dan dalam kes tertentu, terbakar secara tiba-tiba. Sehingga rencana ini ditulis pada 27 Januari, laman web Angkasa melaporkan :Rantau aktif 1402 yang menyebabkan letusan suar matahari dan ribut geomagnetik pada awal minggu ini kembali aktif dengan penyemburan jisim korona di kutub utara Matahari. Bagaimanapun letusan CME ini tidak memberikan ancaman kerana tidak menghala ke Bumi. Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai ribut Matahari setiap hari boleh layari http://www.angkasa.gov.my

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 Januari 2011

ISU ANTARABANGSA : TRAUMA BERTERUSAN KAUM CINA INDONESIA


Trauma yang dilalui oleh kaum Cina di Indonesia masih belum pulih sepenuhnya. Biar sudah lama mendiami Indonesia, masyarakat ini berpendapat mereka masih belum mendapatkan keadilan seperti mana warga negara Indonesia lainnya. Hakikat kepada kesan pemerintahan Orde Baru oleh Presiden Suharto itu sebetulnya masih terus berlanjutan sehingga kini. Presiden kedua negara itu ketika memimpin Indonesia dilihat telah melakukan diskriminasi kepada masyarakat Tionghua. Kaum Cina terpaksa melalui liku yang bukan sedikit sehingga nama mereka juga harus diwajibkan memiliki identiti Indonesia. Tiada nama Cina yang dibenarkan diguna pakai. Kaum ini juga harus memiliki Surat Bukti Kewarganegaraan Republik Indonesia atau SBKRI yang merupakan tanda pengenalan diri bahawa mereka warganegara Indonesia. Keperluan memiliki SBKRI merupakan salah satu syarat yang harus dipenuhi seseorang untuk mengurus berbagai keperluan, seperti Kad Tanda Penduduk (KTP) bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan, membuat permohonan pasport antarabangsa atau pendaftaran pilihan raya.

Bahkan untuk mendirikan rumah tangga sehingga menutup nyawa juga, SKBRI merupakan dokumen yang paling penting. Bagaimanapun, selang perubahan masa ketika Orde Reformasi tercetus, hal yang disifatkan sebagai perlakuan diskriminasi dihapuskan. Sekalipun perubahan dilaksanakan, namun kebimbangan terhadap masalah perkauman (khususnya di kalangan kaum Cina) masih menjadi isu yang belum menemui titik penyelesaian. Masalah perkauman di kalangan kaum Cina tegas seorang anggota Komuniti Gelodok, Hermawi F. Taslim masih ada disebabkan golongan ini masih lagi dibelenggu oleh pemikiran silam. Trauma yang dilalui oleh nenek, moyang atau ibu dan ayah mereka terhadap diskriminasi perlakuan kepimpinan terdahulu menyebabkan kaum Cina di Indonesia masih belum keluar dari kepompong mereka. Taslim yang juga Timbalan Pengerusi parti politik yang berasaskan perjuangan Islam, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) menegaskan, ekoran daripada trauma itu juga, masyarakat Cina Indonesia hari ini memilih untuk mengasingkan diri dalam kelompok mereka sendiri.

"Orang Cina yang kaya menetap di Gelodok, Jakarta Barat iaitu berbeza dengan kelompok yang hidup di Tangerang, Banten iaitu penempatan orang-orang miskin," tegas Taslim yang dipetik sebagai berkata dalam laporan muka depan akhbar Sunday Post (edisi mingguan The Jakarta Post) keluaran 22 Januari lalu. Laporan berkenaan turut menarik perhatian kenyataan yang sama disuarakan tokoh sejarah Indonesia, J.J Rizal. Menurut Rizal, amalan perkauman semasa pemerintahan Orde Baru telah memaksa masyarakat Tionghua menarik diri daripada menikmati kehidupan bersama anggota masyarakat lain dengan memilih cara hidup yang lebih eksklusif. Dalam satu aspek lain, Rizal berkata, biarpun kaum Cina Indonesia diberi peluang menguasai ekonomi negara ini, namun kelebihan itu mencetus rasa kurang senang daripada kelompok majoriti penduduk negara ini.

RUSUHAN

Perasaan kurang senang ini dirujuk Rizal pada insiden rusuhan kaum yang tercetus pada 1998 yang menyaksikan pertumpahan darah berlaku apabila kaum Cina dibunuh dan dirogol di Jakarta dan beberapa wilayah lain di negara ini. Insiden itu meninggalkan kesan psikologi yang amat besar kepada kaum ini sehingga menyebabkan mereka enggan untuk kembali berdamping dengan masyarakat umum, tegas Rizal. Mujur kata Rizal, keterbukaan pemerintah Indonesia hari ini memperkenalkan pelbagai polisi yang menawarkan manfaat buat kaum Cina Indonesia. Bagi aktivis hak asasi manusia yang berketurunan Cina, Esther Indahyani, sistem pemerintahan kerajaan Indonesia hari ini telah membuka ruang buat kaum Cina menjalin hubungan integrasi yang baik dengan seluruh rakyat serta membenarkan penyertaan mereka di dalam perkhidmatan awam. "Sudah tidak ada banyak halangan lagi kecuali ketakutan sendiri yang mungkin dirasakan oleh mereka (kaum Cina) apabila menyertai perkhidmatan awam," sambung Esther pula.

Berikutan isu diskriminasi sudah terhakis, Esther pada masa sama menggalakkan mereka yang sekaum dengannya mengambil inisiatif untuk melahirkan sebuah komuniti yang lebih baik. "Jangan hanya bergantung dan menunggu pemerintah bekerja untuk mereka bagi melahirkan sebuah persekitaran yang baik," tegasnya. Pada masa ini, rakyat Indonesia berketurunan Cina menjangkau angka 3.7 peratus daripada jumlah populasi 237 juta penduduk berdasarkan bancian negara yang dibuat 2010. Dalam kestabilan yang sedang dinikmati di Indonesia hari ini, kemungkinan untuk tragedi Mei 1998 untuk kembali berlaku amat tipis. Keyakinan ini disuarakan oleh bekas duta Indonesia ke China, Mejar Jeneral (B) Sudradjat yang memberitahu, jaminan keselamatan terhadap kaum Cina yang diberikan oleh pemerintah akan membantu ke arah memakmurkan rakyatnya. "Tragedi Mei 1998 sesuatu yang tidak akan berlaku lagi tetapi kaum Cina harus keluar dari kepompong mereka," ujar beliau. Hal ini tegas Sudradjat amat penting untuk membantu menyedarkan kaum berkenaan apa yang dimaksudkan dengan masyarakat terbuka. "Jangan sesekali mendiskriminasikan diri anda jika anda sendiri tidak mahu didiskriminasikan oleh orang lain," tegas Sudradjat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
29 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN DISEBALIK TIRAI BESI

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
(PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad)


Tidak ramai yang tahu di sebalik bangunan yang dikawal rapi dengan dinding batu yang tinggi dan tebal serta disalut dengan kawat berduri terdapat sebuah sekolah di dalamnya. Sekolah ini dihuni oleh pelajar khas yang terdiri daripada banduan muda iaitu mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana melakukan berbagai kesalahan jenayah. Hanya ada beberapa negara di dunia ini seperti negara kita yang menyediakan kemudahan pendidikan di dalam penjara. Laporan Khas dalam Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu merupakan maklumat menarik yang lengkap dan dapat dikongsi bersama mengenai perkembangan salah satu cabang sekolah di negara kita. Kemudahan pendidikan ini menunjukkan betapa kerajaan sangat prihatin terhadap hak untuk mendapat pendidikan termasuk kepada kanak-kanak yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Walaupun berada di sebalik balik tirai besi keperluan mendapatkan pendidikan secara formal dalam kalangan kanak-kanak itu tidak diabaikan. Sekolah dalam penjara ini dikenali sebagai Sekolah Integriti yang mula beroperasi sejak 2008. Seperti kanak-kanak lain mereka juga disediakan perkhidmatan guru terlatih dan berpengalaman serta dibekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.

Hingga kini terdapat 1,650 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvenil yang sedang mengikuti pelajaran di enam buah penjara. Sekolah Integriti ini beroperasi mengikut zon iaitu di Penjara Kajang, Penjara Kluang, Penjara Marang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kuching dan Penjara Kota Kinabalu. Ini termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney di Melaka dan Keningau, Sabah yang beroperasi sejak 1950. Pertambahan bilangan pelajar di sekolah ini agak tinggi di mana jumlahnya hanya 531 tahun 2008, 531 tahun 2009 dan meningkat kepada 1,104 pada 2010. Kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penjara bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada banduan muda ini seharusnya diberi pujian. Matlamat pendidikan di sekolah ini bukan setakat menyediakan keperluan asas literasi dan numerasi kepada kanak-kanak tersebut tetapi turut menyediakan keperluan masa depan mereka. Dengan kata lain pelajar-pelajar ini diberikan kemudahan mengikuti pelajaran akademik, kokurikulum dan vokasional yang bertujuan untuk melahirkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di bidang akademik pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi melengkapkan diri aspek motivasi, pembinaan sahsiah dan kemahiran 'soft skill' turut diberikan.

Diharapkan apabila meninggalkan institusi penjara nanti setidak-tidaknya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran masyarakat. Di samping itu dapat berdikari dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang telah diterima sepanjang berada di penjara. Agak menarik adalah pencapaian akademik yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Misalnya terdapat pelajar yang memperolehi 6A dalam peperiksaan PMR dan pelajar terbaik dalam SPM memperolehi 7A dan 1B. Peratus kelulusan adalah tinggi iaitu PMR 90.1 peratus dan SPM 95.24 peratus. Kejayaan dalam bidang akademik ini sudah tentu atas usaha keras pelajar dan sokongan kuat guru-guru di sekolah berkenaan. Ini membuktikan bahawa suasana pembelajaran di penjara bukanlah menjadi faktor penghalang kepada kejayaan. Beberapa tahun lepas penulis berpeluang melawat Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan Penjara Kluang. Sebaik sampai ke sekolah tersebut jelas perasaan kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal dan pusat sumber yang kelihatan sangat kemas dan lengkap. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah dikira setanding dengan sekolah harian yang lain.

Demikian juga guru-guru yang bertugas adalah merupakan guru terlatih dan berpengalaman. Mereka dipilih khusus untuk mengajar di sekolah berkenaan selepas melalui beberapa peringkat temuduga. Dalam perbualan, guru-guru tersebut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut mereka saat yang paling menyedihkan ialah ketika hampir cuti panjang persekolahan di mana pelajar-pelajar seolah-olah tidak mahu berpisah dengan guru. Pelajar sangat mesra dengan guru dan menganggap guru-guru sebagai pengganti ibu dan bapa. Pelajar sangat patuh dan sentiasa menghormati guru-guru malah sangat suka jika guru sering berleter atau memberi nasihat panjang kerana dikatakan sama seperti sikap ibu mereka semasa berada di rumah dahulu. Langkah Kementerian Pelajaran menempatkan 102 orang guru dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap adalah suatu yang harus diberi pujian. Walaupun pelajar-pelajar pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi hak mereka untuk mendapat pendidikan yang terbaik secara format tidak harus diabaikan. Moga-moga segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi di sekolah tersebut akan dapat dimanfaatkan selepas meninggalkan bangunan penjara di suatu hari nanti.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 Januari 2011

ISU SOSIAL : 4 JUTA POLIS KAWAL 28 JUTA PENDUDUK? BELUM KIRA WARGA ASING

Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Seorang pemandu teksi, Mohd. Norpiah Harun Arashid yang mencari rezeki di ibu negara ialah rakyat biasa yang peka dalam menilai keselamatan negara di sudut orang awam. Bukan dia sahaja, malah hampir semua rakyat Malaysia mempunyai penilaian tersendiri mengenai tahap keselamatan negara ketika ini. Rakyat Malaysia pasti akan membandingkan soal keselamatan itu sepanjang mereka mula mengenali peranan dan tugas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan yang sinonim dan paling awal disebut oleh sesiapapun, jika kita berbicara tentang keselamatan negara. Bagi Mohd. Norpiah yang berusia lingkungan 50-an, beliau menganggap penglibatan anggota polis di tempat-tempat awam kini kian berkurangan. "Kelibat anggota polis kini semakin berkurangan jika dibandingkan dengan tahun 80-an, Jadi, saya rasa cadangan untuk menambah bilangan mereka amat baik," katanya ketika diminta pendapat mengenai cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambah bilangan anggota penguat kuasa dan sukarelawan di seluruh negara baru-baru ini.

Cadangan itu diusul bagi menurunkan kadar jenayah dan membentuk rasa selamat di kalangan rakyat. Penambahan seramai 35,029 anggota berbanding 27,162 anggota sedia ada tahun lalu itu diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, baru-baru ini. Pendekatan komprehensif itu sejajar dengan dua inisiatif utama KDN selain melibatkan lebih ramai rakyat dalam aktiviti mencegah jenayah sebagai usaha membanteras kegiatan itu di seluruh negara tahun ini. Apabila kita mengambil kira pendapat Mohd. Norpiah itu tadi, atau rakyat Malaysia yang lain, satu harapan wujud dalam masyarakat iaitu supaya lebih ramai anggota penguat kuasa diletakkan supaya ia mampu menghadirkan rasa selamat kepada mereka. Penulis yakin, kerajaan sebenarnya mempunyai sebab kenapa bilangan penguat kuasa ini harus ditambah. Peningkatan angka penduduk Malaysia yang kini semakin menghampiri 30 juta orang (28.7 juta seperti yang dipetik daripada laman web Jabatan Perangkaan Malaysia) mungkin turut menjadi faktor kenapa kerajaan mencadangkan penambahan anggota penguat kuasa.

Ini kerana adakah mencukupi jika negara ketika ini hanya memiliki kira-kira 4 juta anggota penguat kuasa (pelbagai agensi) untuk mengawal keselamatan jumlah penduduk Malaysia yang semakin meningkat. Perlu diingat, angka 28 juta penduduk Malaysia itu belum termasuk jumlah pendatang asing di negara ini. Sekiranya dicampur dengan pendatang asing, pastinya sukar untuk penguat kuasa, baik PDRM mahupun lain-lain agensi untuk mengawal ketenteraman negara. Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 4 juta anggota penguat kuasa yang ditadbir di bawah KDN. Bilangan 4 juta ini termasuk 3 juta kakitangan tetap dan sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), 120,000 anggota dan pegawai tetap dalam PDRM, 400,000 anggota dan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 260,000 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Jumlah itu belum termasuk mereka yang sukarela menyertai agensi-agensi lain di bawah KDN antaranya Wataniah dan sebagainya. KDN baru-baru ini menyasarkan untuk mendapat penyertaan 100,000 anggota penguat kuasa daripada agensi-agensi di bawahnya untuk terlibat dalam rondaan bersama di seluruh negara bagi mengurangkan kadar peratusan jenayah menjelang Mac depan.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sehingga kini seramai 20,000 sukarelawan terdiri daripada anggota JPAM dan Rela terlibat dalam rondaan bersama itu. "KDN yakin dapat mencapai sasaran 100,000 anggota dalam tempoh tiga bulan untuk bertugas di dalam rondaan bersama," kata beliau. Malah, kata Mahmood, KDN juga telah mewujudkan sistem rondaan bersama agensi keselamatan di bawah kementerian itu sejak awal tahun lalu membabitkan beberapa lokasi tumpuan di seluruh negara. Ini termasuk Sungai Pelek di Selangor; Alor Gajah, Melaka; Kampar, Perak; Johor Bahru, Johor, Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur, selain Kluang dan Pagoh di Johor serta Pekan, Pahang. Menerusi sistem ini, kata beliau, anggota penguat kuasa daripada sekurang-kurangnya enam agensi seperti Imigresen, AADK, Jabatan Pendaftaran Negara, Bahagian Keselamatan Negara (BKN) akan menghantar wakil untuk bersama-sama melakukan rondaan. "Buat masa ini, kerajaan belum ada perancangan untuk menambah bilangan anggota dan pegawai polis, namun apa yang akan ditambah adalah bilangan penguat kuasa dan sukarelawan lain-lain agensi dalam KDN. "Kita yakin, penambahan bilangan anggota yang melakukan rondaan bersama cegah jenayah ini akan mewujudkan rasa selamat kepada masyarakat," katanya.

Kepada rakyat Malaysia seperti Mohd. Norpiah, langkah kerajaan ini sedikit sebanyak dapat mengembalikan kepercayaan mereka terhadap pasukan keselamatan yang menjadi nadi kemakmuran sesebuah negara. Tidak perlulah semua yang menjalankan rondaan itu memakai pakaian seragam polis, kerana bagi kita, asalkan ada pasukan penguat kuasa, sekurang-kurangnya rakyat akan merasa selamat dari pelbagai bentuk jenayah yang kian mencabar pada zaman serba moden kini. Cuma bagi penulis, rakyat janganlah hanya mengharapkan polis atau pasukan penguat kuasa sahaja yang muncul untuk mengawal keamanan kerana sebagai individu prihatin, tanggungjawab mencegah jenayah adalah kerja bersama.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 Januari 2011