30 September 2010

KATA PENGUAT

1. KATA PENGUAT HADAPAN
Contoh kata : paling, terlalu, agak

2. KATA PENGUAT BELAKANG
Contoh kata. : sekali, benar, nian

3. KATA PENGUAT BEBAS
Contoh kata : amat, sangat, sungguh

FUNGSI KATA GANDA GOLONGAN KATA KERJA

01. MENUNJUKKAN PERBUATAN YANG SALING BERBALAS
Contoh Perkataan : bersalam-salaman, berbual-bual, berpeluk-pelukan

02. MENUNJUKKAN PERBUATAN BERULANG-ULANG
Contoh Perkataan : berulang-ulang, tersenyum-senyum, terlompat-lompat

03. MENUNJUKKAN PERBUATAN BERSUNGGUH-SUNGGUH
Contoh Perkataan : berhati-hati, bersusah-payah, merayu-rayu

04. MENUNJUKKAN PERBUATAN BERPANJANGAN
Contoh Perkataan : duduk-duduk, menyanyi-nyanyi, bersiul-siul

05. MENUNJUKKAN PERBUATAN SIFAT MENYELURUH
Contoh Perkataan : tinggi-tinggi, panjang-panjang, cantik-cantik

06. MENEGASKAN MAKSUD KATA DASAR
Contoh Perkataan : gelap-gelita, kucar-kacir, hiruk-pikuk

07. MENANDAKAN SIFAT SERUPA DENGAN KATA DASAR
Contoh Perkataan : Kebodoh-bodohan, kemalu-maluan, kebiru-biruan

08. MENUNJUKKAN CARA BERSUNGGUH-SUNGGUH
Contoh Perkataan : baik-baik, hati-hati, kemas-kemas

FONOLOGI = DIFTONG


Gabungan bunyi vokal dinamakan diftong. Diftong terbentuk apabila berlaku pengeluncuran bunyi-bunyi vokal. Satu vokal mengeluncur dari satu vokal kepada vokal yang lain. Terdapat 3 jenis diftong.


a. (ai): sampai, salai, gulai, sungai, cuai, landai
b. (au): lampau, silau, garau, surau, pukau
c. (oi): amboi, dodoi, adoi, sepoi, boikot.

INGATKAN FORMULA 3SATU

SATU puncak kelantangan
SATU suku kata
SATU hembusan nafas

FONOLOGI = HURUF VOKAL


VOKAL DEPAN SEMPIT [ i ]
- depan lidah diangkat setinggi-tingginya
- depan lidah dinaikkan hingga hampir menyentuh lelangit keras,
- sementara hujung lidah didekatkan pada gusi.

- Lelangit lembut diangkat untuk menutup rongga hidung.
- Contoh: bilik, titik, ipar, jari, cari


VOKAL DEPAN SEPERUH SEMPIT [ e-taling ]
- depan lidah diturunkan sepertiga
- contoh perkataan : epal, elok, enak

VOKAL DEPAN LUAS [ a ]
- depan lidah diturunkan serendah-rendahnya
- Lelangit lembut berkeadaan terangkat rapat ke belakang tekak
- contoh perkataan : barang, sayang, abang

VOKAL TENGAH [ e-pepet ]
- dihasilkan dengan meletakkan lidah seperti biasa di lantai rongga mulut.
- Bahagian tepi lidah dilengkungkan sedikit
- rongga mulut berkeadaan sederhana luasnya.

- Contoh: enam, empat, kenduri, gerai


VOKAL BELAKANG SEMPIT [ u ]
- dihasilkan dengan mengangkat belakang lidah setinggi mungkin ke atas
- tetapi tidak menutup ruang aliran udara. Bentuk bibir dibundarkan.

- Contoh: ubat, ulat, undang, udang, ulang



VOKAL BELAKANG SEPARUH SEMPIT [ o ]
- dihasilkan dengan menurunkan belakang lidah 1/3
- di antara tempat yang paling tinggi dan tempat yang paling rendah.
- Contoh: obor, solo, polo, toko, orang


PERSAMAAN SEMASA MENGUJARKAN SEMUA BUNYI VOKAL
1. Udara keluar melalui rongga mulut tanpa sekatan.
2. Semua bunyi vokal ialah bunyi bersuara
3. Semasa menghasilkan bunyi vokal pita suara bergetar
4. Semasa menghasilkan bunyi vokal depan, bibir berada dalam keadaan terhampar
5. Semasa menghasilkan bunyi vokal belakang, bibir berada dalam keadaan bundar




KARANGAN SPM : SENI MEMPERTAHANKAN DIRI

TAJUK
Seni pertahanan diri semakin kurang mendapat perhatian dan sambutan dalam kalangan pelajar dan ibu bapa hari ini. Berikan komen anda tentang sebab-sebab kemerosotan penglibatan pelajar dalam bidang seni tersebut.



PENDAHULUAN
• seni pertahanan diri – satu kemahiran dalam pertahanan diri dan menjaga keselamatan
• masyarakat Melayu terkenal dengan silat gayung, silat cekak dan silat pulut
• masyarakat Cina – wushu, karate, dan teakwando
• masyarakat India – kalaripayat dan silambam
• warisan budaya yang unik dan mengagumkan – penuh tradisi dan keaslian
• semakin dilupakan oleh generasi muda ibarat “melukut di tepian gantang”



ISI PERTAMA
• dianggap bersifat ganas dan tahyul
• latihan agak keras dan agresif – tumbukan, tendangan, hayunan tangan dan tamparan
• ibu bapa bimbang anak mereka hilang nilai-nilai kesopanan, bersikap agresif dan ganas
• sesetengah seni pertahan diri – melakukan upacara pemujaan untuk mendapatkan kekuatan
• tidak sesuai dengan kepercayaan masyarakat zaman moden
• kekuatan dan kekebalan seseorang tidak lagi dikagumi pada hari ini
• kecerdikan dan kepintaran akal lebih diutamakan



ISI KEDUA
• pelajar kekurangan masa untuk mempelajari seni pertahanan diri
• sibuk dengan hal-hal akademik, dan menghadiri kelas tuisyen di luar
• sistem pendidikan pula amat menekankan pencapaian dalam bidang akademik berbanding dengan bidang kokurikulum
• kemasukan ke universiti pula berdasarkan sistem meritokrasi bukannya kehebatan dalam seni pertahan diri
• anak-anak sudah diajar pentingkan akademik berbanding hal-hal lain
• gagal dalam pelajaran – gelaplah masa depan



ISI KETIGA
• ibu bapa melarang anak terlibat dalam seni pertahanan diri
• ibu bapa zaman ini amat menyayangi anak – ditatang bagai “minyak yang penuh”
• dibelai dan dimanja dengan penuh kasih sayang
• bimbang keselamatan anak-anak mereka
• kemalangan – kaki, tangan atau kepala mungkin tercedera
• ada yang mati akibat kecuaian ketika berlatih



ISI KEEMPAT
• pemikiran dan gaya hidup masyarakat telah berubah
• dahulu seni pertahanan diri penting untuk mempertahankan diri, menunjukkan kehandalan, dan maruah
• kepandaian dalam seni pertahanan diri – dipuja, dikagumi dan disegani
• kini masyarakat telah menjadi materalistik dan mementingkan pangkat dan kemewahan
• kejayaan dalam bidang kerjaya dan akademik dianggap penting
• kehebatan dalam seni pertahanan diri tidak menjanjikan kemewahan dan kekayaan
• kejayaan dalam pelajaran – menjamin masa hadapan yang cerah



ISI KELIMA
• sudah wujud sistem perlindungan sperti polis dan undang-undang
• tidak perlu risau dengan keselamatan diri sendiri
• polis terdapat di mana-mana untuk menjaga keselamatan orang awam
• bentuk ancaman keselamatan juga kian berbeza berbanding dahulu
• penjenayah pula semakin licik dan menggunakan senjata canggih – tidak boleh dilawan dengan silat
• undang-undang akan dikuatkuasakan untuk memastikan keselamatan masyarakat terjamin



PENUTUP
• merupakan warisan budaya yang harus dipertahankan
• lambang jati diri dan kebanggaan sesebuah bangsa dan negara
• generasi baru harus mempertahankan dan memelihara keindahan seni pertahanan diri
• Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan dan Kementerian Pelajaran Malaysia harus berkerjasama untuk menghidupkan kembali seni pertahanan diri
• mencari jalan untuk menggalakkan penglibatan pelajar
• tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan

KARANGAN SPM: MASALAH SAMSENG JALANAN


Masalah samseng jalanan di negara kita semakin meruncing dan menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat. Masalah ini tidak pernah lari daripada kamus kehidupan masyarakat dan sering menjadi hamparan majalah atau menghiasi dada surat khabar. Pendedahan demi pendedahan tentang masalah samseng jalanan dijadikan agenda penting untuk diselesaikan. Fenomena tersebut sudah lama bersarang dalam kehidupan masyarakat dan telah memberikan satu persepsi tentang kealpaan masyarakat terhadap tanggungjawab mendidik, mengasuh, dan membimbing generasi muda  kita hari ini. Sekiranya, masalah tersebut masih bermaharajalela di negara kita, nescaya keadaan ini akan meranapkan impian Malaysia menggapai hasrat dan visi kudsi Wawasan 2020.

Jenayah-jenayah yang ditimbulkan oleh masalah samseng jalanan ialah merosakkan harta benda milikan awam dan mengancam keselamatan masyarakat setempat. Samseng jalanan biasanya mereka akan mewujudkan satu kumpulan dalam melakukan aktiviti negatif mereka. Mereka suka menimbulkan kekacauan di sesuatu kawasan dengan merosakkan harta benda dan kemudahan awam yang disediakan bagi memudahkan masyarakat setempat. Kekacauan yang ditimbulkan akan menyusahkan kehidupan masyarakat menyebabkan mereka tidak dapat menikmati kemudahan yang disediakan dan perbuatan samseng jalanan juga mengancam keselamatan masyarakat setempat. Kemudahan awam yang dirosakkan memerlukan perbelanjaan yang banyak untuk membaiki pulihnya. Perbuatan samseng jalanan hanya setakat mencari keseronokan dan menunjukkan kehebatan mereka sahaja tetapi mereka tidak terfikir tentang nasib buruk yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Selain itu, kegiatan jenayah yang ditimbulkan oleh samseng jalanan juga dapat diperlihatkan melalui kegiatan mengutip wang perlindungan daripada peniaga-peniaga dan orang ramai. Sekiranya mereka yang diminta membayar wang perlindungan tidak membayar tepat pada masanya, maka mereka akan dikacau, diberi amaran malah juga dipukul oleh kumpulan samseng jalanan tersebut. Perbuatan samseng jalanan akan mengganggu perniagaan dan kehidupan seseorang sekiranya mereka tidak mampu membayar wang perlindungan tersebut. Sekiranya peniaga-peniaga tidak mampu membayar maka samseng jalanan tersebut akan mengugat keselamatan mereka dengan mengecat perkataan menggunakan cat merah di dinding kedai mereka. Hal ini akan menjejaskan perniagaan mereka serta meletakkan nyawa mereka di pintu neraka disebabkan takut dengan ancaman daripada samseng jalanan tersebut.

Di samping itu, perebutan kawasan jajahan juga wujud dalam kegiatan jenayah yang dilakukan oleh samseng jalanan. Kumpulan samseng jalanan suka memiliki dan merebut kawasan jajahan dengan kumpulan samseng jalanan lain bagi menunjukkan kehebatan mereka agar mereka ditakuti dan disanjungi oleh kumpulan lain. Biasanya, perebutan kawasan jajahan akan mencetuskan keadaan pergaduhan, pembunuhan dan sebagainya. Kegiatan tersebut dikatakan mengancam keselamatan masyarakat setempat dan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya. Perebutan kawasan oleh samseng jalanan juga akan memusnahkan harta benda disebabkan mereka ingin menakluki kawasan baru dan berlaku pergaduhan antara satu sama lain. Hal ini akan menyebabkan sesebuah kawasan tidak aman didiami dan dianggap sebagai kawasan zon merah kerana tidak selamat dalam anggapan orang ramai disebabkan oleh perbuatan samseng jalanan yang mengancam keselamatan masyarakat.

Oleh itu, siapakah yang harus dipersalah dalam hal ini? Persoalan mengapakah dan bagaimanakah tentulah tidak mudah untuk dijawab. Jadi, masyarakat haruslah berganding bahu dan memainkan peranan yang penting untuk membendung kejadian jenayah. Sekarang, bukanlah masa untuk kita menuding jari pada sesiapa. Oleh hal yang demikian, institusi keluarga haruslah memainkan peranan yang penting bagi menangani senario ini. Ibu bapa haruslah menjadi pendengar setia dan selalu bermusyawarah bersama-sama anak untuk mendengar masalah dan menyedarkan setiap perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Ibu bapa mestilah melengkapkan remaja hari ini dengan didikan agama yang secukupnya dan sempurna sejak dari kecil lagi. Hal ini boleh diumpamakan seperti ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Di samping itu, kempen-kempen kesedaran dan program berfaedah juga haruslah dijalankan oleh kerajaan bagi mengelakkan peningkatan kes jenayah yang semakin meruncing. Usaha-usaha ini akan membina motivasi dan membentuk sahsiah yang mementingkan cara hidup yang lebih bererti. Hal ini dapat dibuktikan dengan pelaksanaan Program Rakan Muda melibatkan golongan remaja dalam aktiviti yang sihat. Melalui program ini, sedikit sebanyak kita dapat mencorak keperibadian seseorang remaja memandangkan tingkah laku generasi hari ini amat mengecewakan. Oleh itu kempen seumpama ini haruslah giat dijalankan kerana remaja merupakan satu-satunya tonggak dan harapan negara dalam menerajui kepimpinan negara sesuai dengan ungkapan ‘ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’.

Media massa juga dapat memainkan peranan dalam usaha membanteras masalah jenayah yang semakin meruncing di negara kita. Media massa sepatutnya menapis segala rancangan televisyen dan bahan cetak sebelum disiarkan. Misalnya Lembaga Penapisan Filem (LPF) perlulah memainkan peranan penting dengan menapis adegan-adegan ganas yang boleh mempengaruhi minda remaja. Sebaliknya, media massa haruslah menayangkan filem-filem yang mempunyai nilai-nilai ketimuran dan berunsur pendidikan yang boleh mendidik para remaja. Selain itu, program bercorak keagamaan juga harus dititikberatkan. Oleh hal yang demikian, undang-undang harus dikuatkuasakan bagi mengawal ‘kebanjiran maklumat’ yang bersifat negatif ini kerana boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan negara kita.

Konklusinya, remaja sebagai aset penting negara mestilah berjuang untuk membebaskan diri daripada terus dibayangi oleh ‘jenayah’. Natijah daripada senario-senario ini, kerjasama yang erat, dan persefahaman yang wujud adalah penting dalam menentukan kecerahan dan kegelapan masa depan negara. Ingatlah remaja yang bakal memimpin negara ini merupakan tonggak dan harapan negara bagi mencorakkan haluan negara demi menzahirkan Wawasan 2020.

Hasil karya pelajar
Heikal Fahmy
U6A1
2007

29 September 2010

JENIS-JENIS AYAT MAJMUK PANCANGAN KETERANGAN

1. KETERANGAN MUSABAB
PENDEFINISIAN
Keterangan musabab dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan sebab berlakunya sesuatu kejadian atau perbuatan. Kata hubung keterangan musabab yang digunakan adalah seperti kerana, lantaran, dan oleh sebab.
CONTOH AYAT
a. Saya tidak dapat hadir ke sekolah kerana saya sakit perut.
b. Oleh sebab terlalu malas Ali gagal dalam peperiksaan.
c. Pelajar itu cemerlang lantaran usaha yang bersungguh- sungguh.



2. KETERANGAN AKIBAT
PENDEFINISIAN
Keterangan akibat didefinisikan sebagai unsur yang menerangkan kesan atau hasil sesuatu perbuatan. Kebiasaannya, kata hubung adalah seperti hingga dan sehingga.
CONTOH AYAT
a. Pelajar itu belajar bersungguh- sungguh sehingga ia berjaya.
b. Dia terlalu memanjakan anaknya sehingga menjadi terlalu nakal dan sukar dikawal.
c. Dia berjaja di situ dari pukul 6.30 pagi hingga 8.00 petang.




3. KETERANGAN SYARAT

PENDEFINISIAN
Keterangan syarat ialah unsur yang menerangkan tuntutan yang mesti dipenuhi. Kata hubung keterangan syarat adalah seperti sekiranya, andai kata, jikalau, jika dan kalau
CONTOH AYAT
a. Sekiranya dia setuju menolong saya akan mengadakan kenduri kesyukuran.
b. Andai kata mereka berbaik-baik pasti semua kerja akan siap dengan jayanya.
c. Jika diizinkan Allah saya akan pergi lagi ke Pulau Tioman.


4. KETERANGAN WAKTU
PENDEFINISIAN
Keterangan waktu ialah unsur yang menerangkan masa sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan waktu adalah seperti sejak, semenjak, sementara, tatkala, dan ketika

CONTOH AYAT
a. Polis segera tiba setelah mendapat maklumat tentang pergaduhan itu.
b. Sementara menunggu jagung masak petani itu menanam tebu
c. Tatkala hujan membasahi bumi mereka masih di sawah.


5. KETERANGAN PERTENTANGAN
PENDEFINISIAN
Keterangan pertentangan ialah unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang berlawanan. Kata hubung keterangan pertentangan adalah seperti walaupun, meskipun, kendatipun, biarpun, walau bagaimanapun, namun, sekalipun dan sedangkan.
CONTOH AYAT
a. Sekalipun dia sudah lanjut usia, dia masih bersemangat
b. Meskipun hari sudah lewat pemuda itu masih enggan berganjak.
c. Mereka berpindah juga ke bandar sedangkan hati mereka masih di kampung.


6. KETERANGAN HARAPAN
PENDEFINISIAN
Keterangan harapan merupakan unsur yang menerangkan sesuatu perbuatan atau kejadian yang dihajati. Kata hubung keterangan harapan ini adalah seperti supaya, agar, semoga, moga- moga, dan kalau- kalau.

CONTOH AYAT
a. Kita mesti bertolak ansur agar semua pihak berpuas hati.
b. Cuba berusaha dahulu, kalau- kalau kita berjaya menyelesaikan masalah ini.


7. KETERANGAN CARA
PENDEFINISIAN
Keterangan cara dapat diertikan sebagai unsur yang menerangkan gaya atau kaedah sesuatu perbuatan atau kejadian berlaku. Kata hubung keterangan cara ialah dengan

CONTOH AYAT

a. Pemuda itu datang dengan menaiki kapal terbang
b. Dia menangkap tikus itu dengan menggunakan perangkap tikus
c. Mereka ke sekolah dengan menaiki bas



8. KETERANGAN TUJUAN
PENDEFINSIAN
Kata keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau menjadi. Kata hubung keterangan tujuan ialah untuk, demi, bagiCONTOH AYAT
a. Para pelajar berusaha bersungguh- sungguh untuk berjaya di dalam peperiksaan
b. Demi menyatukan rakyat yang berbilang kaum, semua orang harus bekerjasama.


9. KETERANGAN PERBANDINGAN

PENDEFINSIAN
Keterangan perbandingan dapat didefinisikan sebagai unsur yang menerangkan kejadian yang menjadi persamaan. Kata hubung keterangan perbandingan adalah seperti, macam, seolah- olah, seakan- akan, ibarat, bagaikan, dan bak
CONTOH AYAT
a. Ali bermain seolah- olah dia bukan lagi seorang pelajar sekolah.
b. Hidupnya amat bertuah ibarat bulan jatuh ke riba


INFO PENTING
Ayat majmuk keterangan dibina untuk pelbagai tujuan dengan menggunakan kata hubung- kata hubung yang tertentu mengikut kesesuaian penggunaannya di dalam konteks ayat.

KARANGAN STPM: TANAH RUNTUH



TAJUK KARANGAN
Masalah tanah runtuh kerap berlaku di negara ini. Kejadian tersebut bukan sahaja boleh merosakkan harta benda malah boleh meragut nyawa. Jelaskan punca yang menyebabkannya dan langkah yang perlu diambil untuk mengelakkannya.

Masalah tanah runtuh merupakan salah satu bencana alam yang biasa kita alami di Malaysia. Walaupun negara ini terselamat daripada bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami namun kita masih tidak mampu mengelak dari kejadian tanah runtuh. Hal ini membawa rasa bimbang kepada rakyat dan pihak pemaju kerana tidak ingin menanggung kos kerugian kesan daripada bencana tersebut. Oleh itu sebagai rakyat yang berpendidikan kita harus tahu bagaimana untuk mengenal pasti punsa berlakunya tanah runtuh. Pengetahuan ini penting agar kita dapat memikirkan langkah yang terbaik untuk mengatasi masalah tanah runtuh.

Dalam kebanyakan kes, faktor semula jadi yang paling besar menyumbang kepada kejadian tanah runtuh ialah faktor hujan. Malaysia terletak di garisan khatulistiwa yang menerima iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Cuaca ini menyebabkan Malaysia menerima hujan pada kadar 2600mm setahun . Air hujan yang turun menyerap ke dalam tanah dan menyebabkan perubahan kepada kestabilan tanah di samping melemahkan butiran tanah, kesannya tanah runtuh mudah berlaku. Sebagai contohnya kes tanah runtuh di KM 38 Lebuh Raya Karak- Genting Highland dan tanah runtuh akibat ribut tropika Greg di Keningau, Sabah yang berpunca daripada faktor hujan.

Faktor kedua menjadi penyebab kepada tanah runtuh ialah perubahan gradien sesebuah cerun. Perubahan gradien ini biasanya berlaku disebabkan oleh aktiviti manusia di lereng bukit. Aktiviti manusia di lereng bukit akan mengakibatkan tanah menerima bebanan dan pemecahan butiran tanah dilakukan. Sebagai contohanya aktiviti pertanian dan perladangan teh di Cameron Highland menyebabkan kawasan Cameron Highland kerap mengalami kejadian tanah runtuh. Hal ini disebabkan aktiviti di lereng bukit telah memberi tekanan dan menguraikan ikatan butiran tanah dan akhirnya menyebabkan tanah menjadi tidak stabil dan akhirnya runtuh.

Aktiviti pembangunan yang tidak terancang turut menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh. Kekurangan kawasan untuk membina petempatan menyebabkan kawasan bukit menjadi pilihan terakhir untuk dibangunkan sebagai kawasan petempatan. Hal ini berlaku terutamanya di kawasan bandar yang pesat seperti di kawasan bandar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Putrajaya. Hakisan air hujan yang berterusan menyebabkan tanah di kawasan bukit dihakis. Hakisan yang berterusan menyebabkan sebahagian tanah lembut di cerun dihanyuti air. Keadaan ini menyebabkan tanah menjadi poros dan tidak mampu menampung beban di atas tanah. Sebagai contohnya, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang disebabkan pembangunan lereng bukit yang tidak terancang.

Langkah utama yang wajar diambil untuk mengatasi masalah tanah runtuh ialah melalui pelaksanaan laporan penilaian kesan alam sekeliling (EIA). Setiap pemaju telah diwajibkan untuk menyediakan satu laporan EIA sebelum, semasa dan selepas aktiviti pembangunan di kawasan tanah tinggi dijalankan. Laporan ini penting untuk memastikan setiap projek pembangunan yang dilakukan adalah menepati syarat-syarat penjagaan alam sekitar dari segi kecerunan, kawasan tadahan hujan serta pengekalan kawasan hijau. Langkah ini wajib bagi memastikan risiko berlakunya tanah runtuh dapat diminimakan bagi menjamin keselamatan penghuni bangunan dan rumah.

Langkah kedua yang boleh diambil bagi mengatasi masalah tanah runtuh ialah melalui kaedah penanaman tanaman tutup bumi. Sistem akar tumbuhan yang kompleks akan mencengkam dan mengikat butiran tanah di sesebuah cerun daripada dihakis-angkut dan diruntuhkan. Melalui kaedah ini kestabilan tanah bukan sahaja dipertingkatkan malahan lapisan daun-daun tumbuhan akan mengurangkan impak tenaga kinetik titisan air hujan yang turun dari mengenai terus ke lapisan permukaan tanah dan menghakis permukaan tanah. Langkah ini akan mengurangkan hakisan tanah terutamanya di cerun bukit.

Langkah yang terakhir yang boleh dijalankan ialah memperbaiki dan membina sistem saliran serta laluan air di permukaan cerun. Langkah ini bertujuan untuk mengelakkan air daripada mengalir dan menghakis permukaan tanah secara meluas dan terus-menerus. Pembinaan saliran dan laluan air ini penting agar air dapat disalurkan terus ke dalam longkang atau sungai. Dengan ini hakisan air permukaan dapat dikurangkan ke tahap yang minimum dan menjamin kestabilan cerun. Tambahan lagi, benteng juga boleh dibina di kaki cerun yang dikenal pasti sebagai tidak stabil dan berisiko untuk runtuh. Dengan ini kaki cerun tersebut perlu distabilkan dan diperkuat dengan sokongan buatan manusia untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh daripada berlaku.

Kesimpulannya kejadian tanah runtuh dapat dielakkan sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak terutamanya pihak pemaju. Pihak pemaju harus bersikap jujur dan amanah kerana sebarang kesilapan dalam pembinaan akan membawa bahaya kepada penghuni kawasan tanah tinggi. Pihak yang bertanggungjawab tidak harus hanya memikirkan keuntungan yang diperolehi daripada sesuatu projek pembinaan sebaliknya memikirkan keselamatan penduduk dan tidak harus bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugas. Hal ini penting agar sebarang kemalangan jiwa yang disebabkan kejadian tanah runtuh dapat dielakkan pada masa hadapan.

Hasil Kerja Pelajar
Nama : Razeela Arvina

Tingkatan : U6A1
Tahun : 2009

28 September 2010

JENIS-JENIS KATA MAJMUK

KATA MAJMUK KIASAN


Definisi
Gabungan dua atau lebih kata yang membawa maksud kiasan seperti simpulan bahasa.

Contoh :
buah hati
duit kopi
makan suap
anak emas
anak tut


KATA MAJMUK ISTILAH KHUSUS

Definisi
Gabungan kata-kata istilah dalam bidang ilmiah sahaja

Contoh :
lut sinar
kanta sentuh
pita suara
deria rasa


KATA MAJMUK RANGKAI KATA BEBAS


Definisi
Percantuman kat-kata dasar daripada mana-mana golongan kata.


Contoh :
tengah hari
guru besar
jalan raya
terima kasih
bom tangan

KATA BANTU RAGAM

KATA BANTU ASPEK (Masa)


Contoh perkataan :
telah
akan
pernah
sedang
masih
belum


KATA BANTU RAGAM (Perbuatan)


Contoh perkataan :
hendak
mahu
boleh
harus
mesti
dapat

AYAT TANYA TERBUKA DAN AYAT TANYA TERTUTUP

AYAT TANYA TERBUKA
Ayat tanya terbuka ialah ayat yang memerlukan seseorang menjawap pertanyaan dengan pelbagai jawapan.


Contohnya :
Berapa orang anak kamu sekarang?
Apakah pekerjaan isteri Cikgu Zul?
Siapakah yang meniru?
Kenapa kamu suka berkawan dengan dia?


AYAT TANYA TERTUTUP
Ayat tanya tertutup hanya memerlukan jawapan ya, betul, benar, tidak, dan bukan.


Contoh ayat :
Adakah kamu sudah makan?
Kamu datang ke sekolah tadi?
Ibu kamu ada di rumah?
Kamukah yang mengusik dia?
Kamu pandai bermain bola sepak?
Kamu suka dia?

KATA GANDA BERIRAMA ATAU BERENTAK

1. Pengulangan vokal atau diftong

Makna
Bunyi yang diulang ialah bunyi vokal atau diftong
a. hina - dina
b. ramah - tamah
c. sayur - mayur


2. Pengulangan Konsonan
Makna
Penggandaan berlaku pada persamaan bunyi konsonan
a. tanah - tanih
b. kayu - kayan
c. mandi - manda


3. Pengulangan Bebas
Makna
Rentak bunyi tiada ciri-ciri persamaan
a. kusut - masai
b. ipar - duai
c. haru - biru

JENIS-JENIS KATA TUGAS

1. Kata Penyambung Ayat

a. Kata Hubung Gabungan
b. Kata Hubung Pancangan Relatif
b. Kata Hubung Pancangan Komplemen
c. Kata Hubung Pancangan Keterangan


2. Kata Praklausa
a. Kata seru
b. Kata tanya
c. Kata perintah
d. Kata pembenar
e. Kata pangkal ayat


3. Kata Prafrasa
a. Kata bantu
b. Kata penegas
c. Kata penguat
d. Kata nafi
e. Kata pemberi
f. Kata arah
g. Kata bilangan
h. Kata sendi nama


4. Kata Pascakata
a. Kata penekan
b. Kata pembenda

KARANGAN SPM: KRISIS KEKURANGAN BEKALAN MAKANAN


SOALAN KARANGAN
Krisis kekurangan bekalan makanan seperti gula, beras dan sayur-sayuran selalu berlaku di negara kita.Bincangkan punca-punca dan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.



Sejak kebelakangan ini, krisis kekurangan makanan telah melanda dunia kita.Masalah ini menjadi semakin serius terutamanya kepada negara membangun seperti negara kita,Malaysia.Hal ini kerana kemelut ini mendatangkan pelbagai impak negatif kepada negara dan masyarakat.Pegarah Eksekutif Program Makanan Dunia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu,Josette Sheeran,menggunakan istilah ‘the silent tsunami’atau tsunami senyap untuk menggambarkan keadaan ini.Dengan itu, faktor berlakunya krisis kekurangan makanan dan langkah penyelesaiannya akan dibincangkan.



Salah satu punca yang memangkin kepada masalah ini ialah peningkatan permintaan terhadap bekalan makanan.Sedasawarsa ini,negara kita mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang agak pesat, iaitu 2.6 peratus setahun.Hal ini menyebabkan permintaan terhadap bekalan makanan meningkat dengan drastik.Dengan itu,peningkatan permintaan terhadap bekalan makanan yang melebihi penwaran bekalan makanan telah menyebabkan krisis ini berlaku.Dalam era moden ini,perkembangan sektor perkhidmatan terutamanya dalam bidang hotel dan restoran telan menyebabkan permintaan terhadap bekalan makanan seperti beras,gula dan sayur-sayuran semakin meningkat.Hal ini demikian kerana mereka ingin memenuhi kehendak setiap pelanggan dengan menyediakan pelbagai hidangan dalam menu.Ternyatalah bahawa permintaan yang tinggi menyebabkan kekurangan bekalan makanan.



Perubahan iklim yang ketara juga mendasari masalah ini.Saban hari, dunia kita mengalami perubahan iklim yang amat ketara.Sebagai contohnya,kejadian El-Nino semakin kerap berlaku dan banjir besar juga kerap melanda dunia kita.Baru-baru ini,kejadian El-Nino telah melanda Australia yang menyebabkan fenomena kebakaran hutan berlaku.Menurut statistik,kemarau terburuk yang melanda Australia telah menyusutkan pengeluaran gandum sebanyak 60 peratus.Fenomena ini telah menyebabkan bekalan gandum dunia berkurangan.Secara implisitnya,kejadian ini telah memberi impak kepada negara kita apabila harga gandum meningkat.Jelaslah bahawa perubahan iklim menyebabkan masalah ini berlaku.



Kemerosotan simpanan stok makanan sedunia juga menyebabkan masalah ini berlaku.Dahulunya, stok makanan adalah melebihi permintaan sedunia.Namun demikian,setiap negara termasuk negara kita mengalami kekurangan simpanan stok makanan.Menurut statistik Bank Dunia,kadar simpanan bjirin dunia adalah pada paras terendah sejak 30 tahun.Dengan itu, kekurangan bekalan stok akan menyebabkan harga makanan seperti beras dan sayur-sayuran meningkat.Sebagai contohnya,harga pasaran global secara purata telah meningkat sebanyak 75 peratus sejak tahun 2000.Hal ini amat membebankan negara membangun dan rakyatnya kerana terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang tinggi.Oleh itu,jelaslah bahawa kekurangan stok makanan mendasari masalah ini.



Setiap penyakit ada penawarnya, setiap masalah ada penyelesaiannya. Dengan itu,salah satu langkah yang boleh dijalankan ialah memajukan sektor pertanian.Sektor pertanian yang dahulunya diabaikan harus dibangunkan untuk menghasilkan bekalan makanan seperti beras dalam kuantiti yang banyak.Kerajaan haruslah mengusahakan aktiviti ini ke arah produktiviti yang berskala besar.Hal ini supaya keperluan tempatan dan eksport dapat ditampung di samping mengelakkan berlakunya peningkatan harga makanan.Perkongsian pintar dan penyelarasan operasi seperti jentera dan infrasttruktur dapat dikongsi antara petani untuk memajukan aktiviti pertanian yang diusahakan oleh mereka.Ternyatalah bahawa perkembangan sektor pertanian mampu mengatasi masalah ini.



Di samping itu, pembangunan tanah terbiar juga menangani masalah ini.Terdapat banyak kes tentang tanah yang terbiar terutamanya di Kelantan.Jika tanah terbiar ini tidak diusahakan,maka negara kita akan menghadapi masalah kekurangan tanah untuk penanaman padi,kelapa sawit dan sayur-sayuran.Oleh itu,jika tanah inii diusahakan dengan betul,maka kawasan tersebut tidak akan menjadi kawasan yang tidak berguna.Menurut kajian,selepas usaha ini dijalankan,negeri Kelantan mengalami peningkatan lebih 1000 hektar kawasan tanaman padi.Hal ini bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran bekalan makanan,malahan mengurangkan import negara.Jelaslah bahawa pembangunan tanah terbiar mampu mengatasi kemelut ini.



Peranan pihak bank juga penting dalam mengatasi masalah ini. Pihak bank seharusnya membantu para petani dengan melonggarkan syarat pinjaman kepada mereka.Kebanyakan para petani terdiri daripada golongan miskin.Oleh itu,dengan melonggarkan syarat pinjaman,mereka mampu mempunyai modal untuk mengusahakan hasil tanaman mereka.Skim pembayaran balik pinjaman pula haruslah dilakukan pada waktu menuai kerana pada masa inilah petani memperoleh keuntungan daripada hasil tuaian.Dengan itu,para petani tidak akan terasa tertekan dengan pinjaman mereka.Bukan itu sahaja,dengan keuntungan yang diperoleh,mereka dapat membeli jentera yang canggih,seterusnya meningkatkan produktiviti mereka.Ternyatalah bahawa masalah ini dapat diatasi melalui peranan pihak bank.



Kesimpulannya, krisis kekurangan bekalan makanan sememangnya membimbangkan kerajaan dan juga rakyat.Hal ini kerana kemelut ini amat merugikan negara kita dari segi ekonomi dan sosial.Makanan seperti beras amatlah penting kepada kehidupan manusia dan negara kita.Makanan membekalkan zat kepada manusia dan menjana pendapatan kepada negara.Oleh itu,krisis kekurangan bekalan makanan haruslah diatasi secara kolektif demi kepentingan bersama.

Disediakan oleh :
Tan Mee Sing
Tingkatan Enam Atas 1
SMK Sacred Heart

26 September 2010

PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA PEMBUNUHAN DAN JENAYAH KEJAM


Kematian jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya yang dipercayai dibunuh dengan kejam sebelum dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke sungai masih hangat diperkatakan, walaupun sudah lebih dua minggu berlalu. Disebabkan kes itu juga, surat khabar laris bagai pisang goreng, mendengar laporan televisyen dan radio sudah menjadi rutin dan ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya kisah di sebalik kejadian pembunuhan kejam itu.

Secara umum, jenayah berlaku disebabkan faktor persekitaran atau keturunan (Nurture vs Nature atau Environmental vs Genetic). Di antara faktor persekitaran adalah sifat tamak seseorang. Ahli kriminologi berpendapat manusia akan sentiasa memaksimumkan kesenangan dan mengurangkan penderitaan (maximize pleasure dan minimize pain). Ia sifat semula jadi manusia yang tamak dan tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dimiliki.

Faktor pertambahan penduduk juga memainkan peranan meningkatkan jenayah. Semakin ramai penduduk, semakin kurang peluang pekerjaan. Apabila keinginan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang halal, gagal mereka memilih cara tidak halal, lalu terjebak dengan kegiatan jenayah. Kejatuhan ekonomi juga memberi kesan kepada peningkatan kadar jenayah. Ramai mengalami masalah kewangan akan mencari jalan tidak beretika bagi mendapatkan wang. Untuk mendapat habuan mudah, sebahagian terbabit kes penipuan, pecah amanah, rompak atau kadangkala membunuh bagi menutup kes daripada dihidu pihak berkuasa.

Teori merumuskan beberapa faktor seperti sosiologi, psikologi, falsafah dan agama menjadi penyebab kepada kejadian jenayah. Persoalan ini memeningkan ejen penguatkuasaan, pengkaji jenayah dan lain-lain. Apakah jenayah berlaku kerana cara individu itu dibesarkan? Terdedah kepada golongan yang tidak beretika, kurang penghayatan agama atau moral atau disebabkan faktor genetik atau ‘bad seeds’. Ada juga teori bahawa peranan penjara hanya membendung penjenayah buat sementara. Apabila keluar, mereka akan mengulangi perlakuan itu. Pengaruh televisyen (catharsis VS precipitation) juga banyak dibincangkan pakar kriminologi dan agensi penguatkuasaan di Barat. Kajian menunjukkan bahawa terdedah kepada filem ganas boleh mempengaruhi seseorang itu untuk bertindak ganas atau meniru gaya ditonton. Rumusan ini berasaskan teori ‘jenayah dipelajari’.

Ada juga pendapat bahawa melihat filem ganas akan melegakan seseorang penjenayah, membuatkan mereka puas hati dan tidak akan bertindak ganas seperti dalam filem atau program televisyen. Hipotesis pertama lebih tepat dan disokong banyak pihak. Penjenayah yang licik dan memiliki kelulusan profesional seperti undang-undang atau kriminologi akan berfikir dan membuat perancangan sebelum melakukan jenayah. Memastikan semua tindakan teratur dan semua bukti dihapuskan supaya tidak dapat dikesan pihak berkuasa. Mereka kadangkala bertindak bersendirian dan oleh itu, penjenayah yang licik akan turut memastikan sesiapa saja yang mengetahui tindakannya dihapuskan supaya tiada saksi dapat memberi keterangan terhadapnya jika tertangkap dan dibicarakan nanti.

Ada juga beberapa kes di Malaysia – seorang membunuh keluarganya kerana mendapat bisikan syaitan atau ’demonoglical’ dan kes seperti ini juga sering berlaku di Barat. Ada kajian berkaitan teori ekologi bahawa wujud ‘thermic law’, iaitu jenayah keganasan meningkat di negara Khatulistiwa, manakala kelakuan seperti pemabuk serta mencuri banyak berlaku di negara beriklim sejuk. Kajian mengenai faktor keturunan juga sudah banyak dilakukan, termasuk ke atas anak kembar yang dilahirkan penjenayah. Seorang anak diberikan kepada seorang yang baik dan seorang lagi kepada bekas penjenayah. Apabila berusia 21 tahun, mereka dipertemukan dan didapati kedua-dua anak kembar itu terbabit dalam jenayah.

Masalah kecelaruan mental juga dikenal pasti antara faktor penyumbang kepada gejala keganasan, pembunuhan kejam atau rogol. Banyak kes kejam dilaporkan di negara kita seperti kes pembunuhan Canny Ong dan Norsuzaily Mokhtar. Kes pembunuhan kejam Sosilawati adalah contoh kecelaruan personaliti pelakunya yang lebih dikenali sebagai psikopatik atau sosiopatik serta mempunyai ‘split personality’. Perlu diingat, sebelum melakukan sesuatu jenayah, penjenayah sudah tentu mempunyai niat, keupayaan dan peluang. Bagi mangsa, kita tidak dapat mengelak perkara pertama dan kedua, tetapi kita dapat mengelak daripada memberi peluang kepada penjenayah. Setiap penjenayah mempunyai modus operandi yang mungkin berbeza. Ada bersifat binatang dan tidak berperikemanusiaan, sebahagian lagi sebaliknya. Kadangkala niat penjenayah mahu bunuh seorang saja, tetapi apabila mangsa datang bersama rakan, penjenayah terpaksa melakukan pembunuhan berganda bagi menutup perbuatannya.

Pelbagai alasan untuk melakukan jenayah – tamak, marah, dengki, balas dendam atau bangga diri apabila berjaya melakukan jenayah. Sebahagian penjenayah membuat perancangan sangat teliti untuk mengelak dikesan dan percaya cara itu memberi keuntungan dan kepuasan sehinggalah mereka ditangkap. Ada pula membunuh kerana takut rahsia terbongkar. Apabila seseorang membunuh, mereka akan mencari jalan supaya tiada bukti diperoleh polis, lalu semua bukti yang ada dihapuskan.

Dalam kes Sosilawati, penjenayah adalah seorang yang memiliki personaliti psikopatik atau sosiopatik yang menggunakan darjah kecerdasan, penampilan menarik, karisma serta pandai berkata-kata untuk menggunakan orang lain demi kepentingan sendiri, terutama dengan adanya kuasa dan kewangan. Penjenayah ‘split personality’ juga kadangkala menggambarkan dirinya sebagai pemurah, suka membantu dan disenangi masyarakat, selain menjalani kehidupan berprofail rendah. Saya percaya penjenayah dalam kes terbaru ini belajar daripada kes pembunuhan lain sebelum ini. Bagi mereka, membakar mayat cara paling sesuai bagi menghilangkan bukti. Namun, mereka membuat kesilapan dan rancangan menghapuskan bukti gagal kerana jumlah mereka terlalu ramai dan bukan pula penjenayah profesional. Semakin ramai terbabit dalam sesuatu kes, semakin besar kebarangkalian membuat kesilapan. Semakin banyak peraturan atau arahan diberikan dalang utama, semakin sukar ia dipatuhi sepenuhnya.

Penjenayah tidak profesional sentiasa membuat kesilapan. Perancangan menghapuskan bukti mungkin kurang teliti dan menyebabkan jenayah terbongkar. Kini suspek kes bunuh Sosilawati dalam tahanan polis. Kita perlu percaya kepada polis negara kita, antara agensi penguat kuasa terbaik di dunia. Saya yakin teknologi terkini dan ilmu forensik dapat digunakan untuk menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik ini dan rakannya, walaupun sekadar menggunakan ‘circumstantial evidence’.

Jika perlu, ujian poligraf boleh digunakan untuk mengesan sama ada seseorang itu berbohong atau tidak. Poligraf banyak digunakan di Singapura dan Amerika Syarikat dengan ketepatan 98 peratus, tetapi ujian harus dikendalikan pakar yang memiliki sijil ‘Qualified and Certified Polygraph Examiner’. Keputusan ujian poligraf akan menentukan hala tuju siasatan kes, sama ada hendak diteruskan atau tidak, mencari bukti lanjut dan sebagainya. Ujian poligraf memberi bayangan dan panduan ke arah mendapatkan bukti dan kemudian terserah kepada pihak berkuasa sama ada hendak mencari dan mengambil bukti berkenaan.

RENCANA
Menjejaki pembunuh, penjenayah

Oleh Akhbar Satar
BERITA MINGGU BERTARIKH 26.09.2010
Penulis adalah pakar kriminologi serta Pengarah Institute of Crime & Criminology, HELP University
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...