Oleh Muhamad Lokman Khairi - 11Julai 2023, 1:31pm
bhpendidikan@bh.com.mY
Salah silibus yang didakwa terlalu tinggi atau kegagalan pelajar memahami konsep Matematik? Dua soalan itu wajar ditanyakan susulan kebimbangan sesetengah pihak mengenai petanda kewujudan generasi buta Matematik. Ia susulan analisis keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) baru-baru ini merekodkan 24.3 peratus daripada 369,348 pelajar yang mengambil subjek itu gagal, manakala 29 peratus lagi memperoleh gred D dan E. Angka ini merosot berbanding pencapaian tahun lalu malah antara semua 95 mata pelajaran yang ditawarkan dalam SPM 2022, Matematik mencatatkan peratusan kegagalan pelajar paling tinggi.
Jadi,
adakah kegagalan itu disebabkan silibus Matematik terlalu tinggi hingga gagal
dikuasai dengan baik oleh pelajar?
Menurut
Pensyarah Matematik, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Rusliza
Ahmad, kegagalan pelajar dalam subjek itu berpunca daripada cara belajar yang
tidak berkesan. Hal ini katanya menyebabkan wujud dalam pemikiran sebahagian
pelajar bahawa Matematik adalah subjek susah. Keadaan ini disebabkan pelajar
lebih memberi penekanan kepada menghafal konsep serta jalan kerja berbanding
memahami konsep sebelum mempraktikkannya dalam setiap masalah Matematik.
Setiap
masalah Matematik mempunyai jalan kerja yang berbeza. Silapnya adalah pelajar
hanya hafal tanpa faham. Berdasarkan penelitian terhadap pelajar di peringkat
diploma, ramai yang masih lagi lemah asas Matematik, termasuk operasi mudah
seperti tambah dan tolak," katanya. Matematik bukan subjek susah jika
pelajar diajar kaedah yang betul. Paling utama asas mempelajari subjek itu
adalah memahami bukan menghafal. Antara kaedah mempelajari Matematik yang
berkesan disebut 'mnemonik' iaitu teknik mengingat. Murid sebenarnya akan lebih
ingat jika guru menggunakan diagram atau graf sewaktu mengajar. Dalam hal ini
guru perlu kenal pasti topik yang mana boleh diajar dengan teknik diagram atau
kaedah lain. Jangan ajar mereka hafal daripada buku teks semata-mata.
Berkongsi
tips melalui pengalamannya, Rusliza menyarankan pelajar mempelbagaikan teknik
untuk memahami konsep dan formula Matematik. Selain menggunakan diagram atau
graf, pelajar juga seharusnya perlu memperbanyakkan latihan kerana setiap
soalan mempunyai masalah yang berbeza dan perlu diselesaikan dengan teknik
berlainan. Kekerapan menyelesaikan latih tubi membantu otak menjadi semakin
kreatif dalam berfikir bagi mencari jawapan. Selain itu latih tubi memastikan
apa yang diajar guru di dalam kelas mudah untuk diingat. Selain itu, Rusliza
menegaskan teknik pembelajaran yang berkesan juga adalah kerap merujuk guru
atau bertanya kawan-kawan jika tidak mendapat jawapan.
Menurut
beliau, guru-guru juga wajar pelbagaikan cara mengajar kerana subjek Matematik
sangat kuat melekat dengan stigma sebagai mata pelajaran yang menakutkan dan
membosankan dalam kalangan pelajar. Dalam hal ini katanya, guru boleh mengguna
pakai teknik mengajar menerusi aktiviti permainan bagi pelajar sekolah rendah.
Menanam minat murid terhadap Matematik sejak sekolah rendah tegas beliau,
sangat penting kerana ia akan mempengaruhi minat seseorang pelajar itu apabila
dia melangkah ke peringkat menengah. Bagaimanapun jangan terlalu fokus kepada
cara menjawab soalan peperiksaan sahaja sehingga kita mengabaikan penyampaian
secara keseluruhan. Akhirnya pelajar masih gagal faham kerana guru tidak
memberi penjelasan atau gambaran terperinci mengenai sesuatu topik.
Sementara
itu, Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia, Datuk Zahar Hashim yang mempunyai
pengalaman luas dalam bidang perakaunan lebih 35 tahun, berpandangan ungkapan
'Matematik itu susah' seakan-akan sudah sebati dalam kalangan masyarakat
terutama orang Melayu. Katanya, ia selalu dijadikan alasan setiap kali
seseorang itu gagal lulus dalam subjek berkenaan tanpa mahu mengoptimumkan
usaha. Malas berfikir juga menyebabkan pelajar kurang berminat dengan
Matematik. Jadi apabila kurang minat, mereka kurang memberikan tumpuan akhirnya
subjek itu menjadi begitu 'menakutkan' dan fobia. Ada juga sesetengah ibu bapa
juga kurang merangsang anak-anak untuk memahami atau belajar angka, walaupun
mungkin permainan mudah seperti 'main angka atau main kira-kira' yang
sebenarnya boleh dibuat bersama anak dalam kehidupan kita seharian. Tambah
Zahar, kemungkinan wujudnya generasi buta Matematik memang menyedihkan namun ia
tidak boleh dinafikan.
Apatah
lagi sesuai dengan perkembangan semasa penggunaan kalkulator lebih meluas
hingga ada pelajar yang beranggapan mengira menggunakan alat sebegitu lebih
mudah. Hal ini sekali gus menyebabkan mereka tidak lagi mahu berpenat lelah
membuat kiraan meskipun hal sedemikian mampu menjadikan minda lebih kreatif. Banyak
usaha perlu dibuat oleh Kementerian Pendidikan dalam mencari jalan keluar
terbaik bagi memperbaiki keadaan ini. Apatah lagi katanya, keciciran dalam
subjek Matematik tentu saja akan memberi kesan kepada usaha kerajaan melahirkan
untuk melahirkan profesional dalam bidang berkaitan Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dan Matematik (STEM).