JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



13 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : PENDIDIKAN NEGARA AKAN DIPERTINGKATKAN



SHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan meletakkan sasaran realistik bagi membangunkan sistem pendidikan setaraf atau lebih baik daripada negara maju dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.  Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha untuk mencapai tahap sistem pendidikan setaraf negara maju bukan satu perkara yang mudah dan perubahan dalam pembangunan sistem pendidikan negara tidak boleh dilakukan terlalu drastik. Walaupun begitu perubahan tentu akan berlaku, tanggungjawab guru akan terus diperkukuhkan lagi, institusi pendidikan sedia ada akan dapat kita diperlengkapkan. Beliau berkata langkah penilaian semula sistem pendidikan negara adalah untuk meningkatkan sistem pendidikan negara supaya setaraf dengan negara maju dan bukannya dengan negara mundur atau ke belakang.  

Muhyiddin berkata, petunjuk sistem pendidikan Malaysia boleh dikatakan bagus tetapi masih belum boleh dikatakan setaraf atau setanding pada peringkat antarabangsa. Banyak orang kata sistem pelajaran kita baik, sudah pun dapat melahirkan generasi Malaysia yang dapat membantu memajukan Malaysia pada hari ini. Tidak siapa yang boleh menolak kejayaan Malaysia hari ini adalah antara lain atas sumbangan menerusi sistem pendidikan kita.  Namun harapan masyarakat di negara ini juga tinggi dan rakyat mahukan sistem pendidikan kita mesti setaraf atau lebih baik daripada sistem pendidikan di negara maju. Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat akan bersama-sama kerajaan untuk mencapai matlamat menjadikan sistem pendidikan negara antara yang terbaik di dunia.  

Katanya, mereka yang berminat dalam soal pelajaran diminta tampil mengemukakan idea dan cadangan bernas untuk digunakan sebagai asas pertimbangan dalam kajian semula sistem pendidikan yang sedang dijalankan.  Beliau berkata memandangkan ruang dialog bagi menambah baik sistem pendidikan telah disediakan, diharap tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu itu di luar platform yang disediakan.  Antara perkara pokok yang diberi keutamaan dalam kajian semula sistem pendidikan ialah mengenai kualiti guru, isu perguruan, tanggungjawab guru, beban tugas guru, peranan guru di dalam dan di luar sekolah.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Berita Minggu
13 Mei 2012

ISU FILEM : KUCH KUCH HOTA HAI TERUS DIMINATI


Johardy Ibrahim


Malam Rabu, 9 Mei 2012 yang lalu, untuk kali kedua setakat ini bagi tahun 2012, stesen televisyen TV2 menyiarkan filem ikonik lakonan Datuk Shahrukh Khan dan dua jelitawan Kajol dan Rani Mukherji. TV3 yang pertama menyiarkannya pada 12 Februari lalu mendakwa 3 juta orang menonton filem itu. RTM belum membuat pengumuman tetapi rasa-rasanya angka serupa dengan mudah diraih kerana filem yang diterbitkan pada 1998 ini, adalah filem Bollywood paling meninggalkan kesan emosi bukan sahaja di India atau Malaysia tetapi juga seluruh dunia (Bollywood memiliki pengikut yang menakjubkan di Eropah dan Amerika Selatan). Dalam erti kata lain, jika selepas ini Astro atau mana-mana stesen pula mahu menyiarkannya, ia dijamin ditonton jutaan orang. Sebenarnya, penyiaran Kuch Kuch Hota Hai yang bermaksud 'sesuatu terjadi dalam hatiku' pada Rabu lalu tidak saya ketahui. Kebetulan baru hendak berehat di rumah selepas balik dari bertugas, saya membelek Twitter dan terbaca 'Kuch Kuch Hota Hai di TV2 SEKARANG'.

Seorang demi seorang rakan dalam akaun Twitter yang dirangkaikan dengan akaun Facebook membalas pernyataan mengenai filem tersebut. Ada sebilangan yang mengaku tidak tahu atau terlintas langsung mahu menontonnya, telah 'terpengaruh' untuk berbuat demikian setelah membaca Twitter dan pernyataan Facebook yang memenuhi ruang maya antara pukul 10 malam hingga 1.30 pagi. Saya sendiri pun berbalas lebih 25 Twitter mengenai filem ini dalam tempoh tiga jam - rekod yang mengatasi 18 Twitter semasa Liverpool menewaskan Manchester United pada Februari lalu. Membelek topik trending di Tweeter Malaysia pada malam itu, tiga nama berkaitan filem ini menduduki 10 tangga teratas iaitu Kuch Kuch Hota Hai di tangga kelima, Salman Khan (ketujuh) dan Anjali (kesembilan). Tetapi entah macam mana Shahrukh Khan tidak tersenarai, walaupun pada satu ketika Miss Briganza turut ada sebelum tewas kepada Anjali. Banyak yang telah diulas mengenai filem ini sejak 1998. Ia bukan filem serius, apalagi dengan teknik fotografi ala David Cameron. Filem ini adalah gandingan keempat bagi Shahrukh Khan bersama Kajol, yang merupakan pasangan paling diminati di Bollywood ketika itu.

Malah boleh dikatakan, filem ini jugalah yang benar-benar memperkenalkan Shahrukh Khan ke persada antarabangsa termasuk ke Malaysia. Jika tahun 2012 ini gegarannya dirasai 3 juta penonton di televisyen, bayangkan gegarannya ketika filem ini ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara pada 1998. Bayangkan begini: ramai yang tampil dengan jaket berwarna terang ala Rahul Khanna dan potongan rambut ala Anjali semasa di kolej. Filem Kuch Kuch Hota Hai adalah manifestasi filem Bollywood sebenar. Formulanya mudah dan sudah diduga. Mesti ada sedikit drama, mesti ada hero-heroin-antaganis, rumah harus sebesar gudang dengan tangga yang luas dan ruang dewan untuk menempatkan ratusan pelakon tambahan atau pak pacak, mesti ada lagu yang hebat dan video klip berlatar tempat yang luar biasa keindahannya.

Filem

Bagi anda yang belum menonton filem ini, secara ringkas Kuch Kuch Hota Hai mengisahkan Rahul Khanna (Shahrukh Khan) yang bersahabat baik dengan Anjali Sharma (Kajol) yang tomboy. Dalam diam Anjali menyimpan hati pada Rahul tetapi tewas kepada Tina (Rani Mukherji) yang berkahwin dengan Rahul. Anjali kemudiannya membawa diri. Selepas beranak, Tina menghadapi kesulitan dan tahu hayatnya tidak lama. Dia meminta Rahul menamakan anaknya itu Anjali, sempena kawan baik Rahul. Dalam pada itu, Tina menulis lapan pucuk surat yang akan dibaca oleh Anjali setiap satu semasa hari lahirnya. Surat terakhir iaitu pada hari jadi kelapan, Tina meminta Anjali agar mencari Anjali untuk dijodohkan dengan bapanya. Kemelut berlaku bila Anjali yang tidak lagi jadi tomboy tetapi jelitawan, sudah bertunang dengan Aman Mehra (Salman Khan). Akhiran filem ini adalah paling menyayat hati sebab Salman menangis, Shahrukh Khan menangis, Kajol menangis, semua menangis. Pengkarya filem tahu formula mudah untuk bikin penonton menangis iaitu paparkan watak filem yang menangis beria-ia, diiringi lagu koir yang mendayu-dayu. Mungkin jika watak Miss Briganza menangis, ramai tidak ikut sedih.

Satu lagi kekuatan filem ini ialah pada lagunya. Menggunakan judul sama, Kuch Kuch Hota Hai yang dinyanyikan oleh Udit Narayan dan Alka Yagnik layak dianggap lagu Evergreen sepanjang masa. Semasa majlis konvokesyen UPM tidak lama dulu, kumpulan muzik tradisional memainkan lagu tersebut ketika kumpulan siswa ijazah Komunikasi diumumkan. Ia bukan saja menyemarakkan jiwa penerima ijazah tetapi juga 'menyegarkan' tetamu-tetamu dalam dewan. Lagu ini adalah istimewa kerana iramanya yang memang pantas menangkap minat dan ungkapan Kuch Kuch yang bagi kita di Malaysia mirip bunyi loghat setempat. Tiada siapa persoalkan bagaimana latar drama di India, boleh melompat ke Scotland. Malah bagi babak awal di kolej (ingat Miss Briganza), ia adalah sebuah kolej di Mauritius. Ini kerana filem Kuch Kuch Hota Hai adalah filem yang pasti membuat anda tersenyum semasa dan selepas menontonnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Mingguan Malaysia
13 Mei 2012


ISU SOSIAL : HUTANG BOLEH MEMBANTU, BOLEH JUGA MENJERAT



KUALA LUMPUR: Pada tahun 2003, Abdul (bukan nama sebenar) telah memohon pembiayaan peribadi dari sebuah institusi kewangan di mana pembayaran balik hutang itu setiap bulan berlanjutan sehingga tujuh tahun. Bagaimanapun empat tahun kemudian, Abdul mengalami satu 'kecemasan' kewangan yang memaksa dirinya memohon satu lagi pinjaman baru dari institusi kewangan yang sama. Satu daripada terma dan syarat pinjaman baru ini mewajibkan dana yang dipinjam diguna bagi melunaskan hutang yang lama. Ini dikenali sebagai 'pinjaman bertindih' di kalangan institusi kewangan. Tetapi ansuran bulanan yang perlu dibayar beliau bagi pinjaman terbarunya adalah lebih tinggi (kerana Abdul perlu memohon jumlah yang lebih besar bagi melangsaikan pinjaman lama) dan masa pembayaran balik bagi hutang yang baru adalah selama 10 tahun. Dari satu sudut, Abdul dapat sumber dana bagi menyelesaikan masalah kewangan semasa yang dihadapi beliau tetapi dari satu aspek yang lain beliau kini dibelenggu oleh beban hutang yang baru untuk selama 10 tahun.

Pembiayaan Peribadi

Menurut pakar rujuk kewangan Ng Lai Wai, terdapat beberapa sebab kenapa terdapat anggota masyarakat memohon pinjaman. "Ada yang memohon pinjaman untuk membeli rumah, kereta dan memulakan perniagaan. Biasanya mereka terpaksa membuat pinjaman kerana tidak mempunyai dana untuk pembelian," kata beliau. Menurut beliau, kini terdapat banyak institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pinjaman peribadi tanpa penjamin atau cagaran. "Pemohon hanya perlu menyertakan dokumen yang diperlukan dan hanya menunggu kelulusan. Kadangkala kelulusan datang dengan cepat, tidak sampai tujuh hari bekerja dari tarikh permohonan," kata Ng. Menurut beliau, pinjaman peribadi adalah jenis pinjaman yang 'tidak bercagar' iaitu peminjam tidak perlu meletakkan apa-apa sekuriti atau cagaran bagi menjamin pembayaran balik pinjaman itu. "Disebabkan tiada jaminan atau cagaran terlibat, kadar faedah pinjaman seperti ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan pinjaman bercagar contohnya yang menggunakan rumah sebagai cagaran. Kadar faedah yang agak tinggi disebabkan tiada 'ganti' terhadap jaminan pinjaman dalam bentuk aset. Sebab itulah kadar faedah pinjaman peribadi adalah tinggi," kata beliau.

Kadar Faedah Rendah

"Kalau si peminjam memiliki rumah, beliau boleh mencari alternatif bentuk pinjaman yang menawarkan kadar faedah yang rendah seperti pinjaman ekuiti rumah. Tetapi opsyen pinjaman ini memerlukan peminjam meletakkan rumahnya atau hartanahnya yang lain sebagai cagaran. Menurut Ng, tidak kira sama ada pinjaman yang dibuat itu bercorak peribadi atau di sebaliknya, ia digunakan untuk membiayai perbelanjaan yang agak besar. Peminjam akan diberi dana sekali gus dan bersetuju membayar balik amaun bulanan pada kadar yang ditetapkan sehingga hutang itu dilunaskan. "Bayaran bulanan adalah bayaran balik jumlah prinsipal (jumlah hutang yang dipohon) serta jumlah faedah," jelas beliau. Pembiayaan peribadi mungkin adalah satu-satunya opsyen bagi peminjam yang tidak mempunyai rumah, hartanah atau aset lain yang boleh digunakan sebagai sekuriti atau jaminan. Bagi Ng, pinjaman peribadi adalah satu alternatif yang bijak bagi membantu perbelanjaan jika dibandingkan dengan penggunaan kad kredit yang mengenakan faedah yang amat tinggi.

Penyusunan Semula Hutang "Pinjaman peribadi juga boleh digunakan bagi penyusunan semula hutang sekiranya faedahnya adalah lebih rendah berbanding faedah kad kredit. "Tetapi jika anda mempunyai skor (rekod) kredit yang agak rendah, mungkin sukar untuk dapat pinjaman peribadi yang faedahnya rendah melainkan mendapatkan ahli keluarga atau orang lain bagi jadi penjamin iaitu mereka memberi jaminan membayar hutang tersebut jika anda gagal membayarnya. "Dalam situasi ini, si penjamin akan membuat bayaran jika anda gagal melunaskan bayaran bulanan, oleh itu faedah yang dikenakan bagi pinjaman boleh dirundingkan untuk lebih rendah bergantung kepada budibicara institusi kewangan yang terlibat. Jika gagal membuat bayaran, pemberi pinjaman juga berhak merampas harta yang dicagarkan," kata beliau.

Komitmen

Memandangkan pinjaman adalah satu komitmen, si peminjam perlulah berhati-hati dalam membuat keputusan. Ng juga menasihati peminjam agar memilih pemberi pinjaman (institusi kewangan) yang dirasakan betul-betul dapat membantu. "Bukan senang pilih pemberi pinjaman yang betul. Bukan hanya dengan melihat pada kadar faedah yang rendah. Haruslah diingat bahawa pinjaman yang mengenakan kadar faedah rendah selalunya mengenakan tempoh bayaran yang agak lama. "Bila pilih institusi peminjam, lihat juga sama ada ia teguh, fleksibel tentang skim bayaran bulanan dan kadar faedah yang dikenakan, kata Ng. Tambah beliau, bila seseorang itu membuat pinjaman memang ada baiknya beliau membuat penilaian terhadap kebaikan dan keburukan pinjaman terlebih dahulu. Dengan pinjaman wang, membolehkan seseorang itu mempunyai dana dan mencapai objektif. "Tetapi harus diingat setiap pinjaman perlu dibayar balik beserta kadar faedahnya sekali. "Mungkin bagi sesetengah peminjam, terdapat persepsi bahawa pinjaman kewangan boleh menyelesaikan masalah bersangkutan. Itulah sebabnya kenapa walaupun ramai peminjam mendapati kesukaran membuat pinjaman, mereka masih meneruskan niat itu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER :
BERNAMA
20 April 2012