JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 November 2010

ISU ALAM SEKITAR : TAPAK PELUPUSAN SAMPAH PERANGKAP MAUT


Ketika ini lebih 90 peratus daripada 176 tapak pelupusan sampah yang beroperasi secara pembuangan terbuka di negara ini dalam kedudukan kritikal, dengan kebanyakannya mempunyai jangka hayat tidak melebihi lima tahun, sebelum terpaksa ditutup.  Tapak pelupusan sampah, yang memerlukan kos pemulihan tinggi mencecah berbilion ringgit, juga membahayakan nyawa ribuan penduduk sekitarnya, selain membawa kesan negatif kepada alam sekitar dalam jangka masa panjang. 

Tapak pelupusan sampah terbuka menjejaskan kehidupan manusia melalui risiko penyakit bawaan haiwan seperti tikus, selain penyakit lebih serius jika terdedah secara terus kepada bahan toksik di tapak pelupusan. Kajian Eurohazcon pada Ogos 1998 di 21 tapak pelupusan berisiko tinggi di lima negara termasuk di United Kingdom, mendapati berlaku kesan sampingan kepada kandungan ibu mengandung yang tinggal dalam jarak tujuh kilometer dari kawasan tapak pelupusan itu. Tapak pelupusan sisa terbuka juga menyebabkan pencemaran alam sekitar menerusi peresapan air larut resapan (leachate) ke sumber air bawah tanah dan pembebasan gas metana (CH4) yang menyebabkan pemanasan global, selain menurunkan nilai hartanah di sekitarnya. Tidak kurang juga mendatangkan risiko. Insiden terkini ialah runtuhan benteng tapak pelupusan sampah Sungai Kembong, September lalu, yang nyaris menjejaskan bekalan air bersih kepada 1.2 juta penduduk di sekitarnya berikutan sisa buangan mencemarkan Loji Pembersihan Air Sungai Semenyih.

Keadaan diburukkan apabila daripada 176 tapak pelupusan aktif itu, hanya 16 tapak pelupusan atau kurang 10 peratus tapak pelupusan sanitari mesra alam yang selamat. Itupun dengan mengambil kira sembilan tapak pelupusan sanitari baru yang akan dibina dan dijangka beroperasi pada 2012. Pakar pengurusan sisa pepejal tempatan merumuskan pengurusan tapak pelupusan sampah negara adalah kritikal untuk jangka panjang jika kerajaan gagal mengambil tindakan segera, termasuk menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang tertangguh sejak tiga tahun lalu. Akta itu, jika dikuatkuasakan, akan membolehkan pengurusan sisa pepejal yang kini kurang berkesan di bawah selenggaraan pihak berkuasa tempatan (PBT) diambil alih kerajaan Persekutuan menerusi jabatan dan perbadanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Pakar pengurusan sisa pepejal Universiti Malaya, Prof Dr P Agumuthu, berkata tahap pengurusan sisa di negara ini ‘amat membimbangkan’ kerana negara mempunyai lebih 100 tapak pelupusan terbuka aktif, tidak termasuk 114 tapak pelupusan ditutup.

“Keadaan ini sebenarnya serius. Ini kerana lebih 200 tapak pelupusan sampah terbuka (aktif dan ditutup) membebaskan gas metana secara pasif melalui proses pereputan sampah di tapak pelupusan dalam tempoh tertentu. “Gas metana menyebabkan 25 kali risiko pemanasan global berbanding karbon dioksida (CO2),” katanya. Statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) menunjukkan 114 tapak pelupusan diuruskan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan 62 tapak pelupusan sampah diuruskan syarikat konsesi dilantik PBT antaranya, Alam Flora dan South Waste Management Sdn Bhd. Walaupun sebilangan tapak pelupusan itu ditingkatkan tahapnya secara berperingkat, majoriti daripadanya masih beroperasi secara pembuangan terbuka dan menunggu masa untuk ditutup sekali gus menimbulkan konflik mencari lokasi tapak pelupusan baru. Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Hassan Basri, berkata pengurusan tapak pelupusan sampah di negara ini kritikal untuk jangka panjang tetapi ramai tidak menyedari mengenainya. “Impak negatif yang dibawa adalah dalam jangka panjang. Misalnya pencemaran sumber air oleh leachate hanya akan dirasai penduduk sekitar untuk tempoh berpuluh-puluh tahun selepas itu. Begitu juga risiko penyakit dan bau,” katanya.

Tinjauan penulis ke Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar sebelum ini mendapati tapak pelupusan itu, antara lain, mempunyai tapak lapisan dasar daripada plastik berkualiti tinggi yang menghalang leachate daripada meresap ke sumber air bawah tanah. Tapak pelupusan membabitkan kos pembinaan RM120 juta dengan kapasiti melupuskan 3,500 tan sampah sehari itu juga mempunyai sistem pengumpulan dan peredaran leachate, kolam rawatan cecair bertoksik itu selain mempunyai sistem paip menyedut gas metana dihasilkan untuk dijana sebagai sumber tenaga elektrik.  Sistem paip gas itu bagi mengelakkan berlaku kebakaran seperti insiden kebakaran sampah setinggi 300 kaki di tapak pelupusan haram di Kampung Sungai Kertas, Gombak, September tahun lalu dipercayai berkaitan dengan pembebasan pasif metana. Tapak pelupusan sanitari kurang berbau kerana mempunyai penutup harian daripada tanah liat atau plastik yang digunakan menutup sampah dilupuskan untuk mengelakkan risiko bau dan haiwan seperti lalat, tikus dan gagak. 
 
Oleh Syed Azwan Syed Ali
Berita Harian
18 November 2010

ISU SOSIAL : TRADISI MIRING IKHTIAR MASYARAKAT IBAN ELAK DITIMPA NASIB BURUK

 
Sesiapa yang pernah ke Sarawak, tentu mengakui hakikat bahawa masyarakat Iban begitu kuat berpegang kepada adat dan budaya. Mereka berpegang kepada peribahasa, biar sesat di belantara, asal jangan sesat adat. Kaum Iban tinggal di sekitar 5,000 rumah panjang kebanyakannya di pedalaman Sri Aman, Betong, Kapit, Song, Bintulu dan Sibu, hampir sepanjang Sungai Rajang dan menyumbang sekitar 29 peratus daripada 2.5 juta penduduk Sarawak. Jika anda pernah berkunjung atau menginap di rumah panjang Iban, satu daripada upacara yang pasti akan anda saksikan ialah miring. Miring ialah upacara persembahan atau berdoa kepada tuhan atau petara bagi memberkati permintaan dan mendapat perlindungan daripada sesuatu ancaman.

Singkatnya, miring diadakan bagi memberkati penduduk, melindungi dan memberi mereka, membawa kebahagiaan, kedamaian dan keharmonian dalam masyarakat. Dalam masyarakat Iban, miring diadakan sebelum aktiviti penting diadakan atau sesudah malapetaka dan kejadian tidak diingini menimpa. Pada zaman silam, miring diadakan sebelum rombongan melancarkan ngayau atau menerokai kawasan baru serta ketika penghuni berpindah ke rumah panjang baru. Terdapat empat tahap penggunaan piring, iaitu tiga, lima, tujuh, dan sembilan. Tiga dianggap sebagai miring biasa misalnya, untuk mereka yang mengalami mimpi buruk atau apabila hendak bersawah, manakala lima piring adalah untuk mendirikan rumah panjang; tujuh piring adalah untuk aktiviti yang lebih tinggi seperti untuk berjalai atau mengembara jauh; dan sembilan piring untuk peperangan.


Dalam hubungan ini, mengikut adat tusun tunggu Iban, bagi tahap lima ke atas, babi perlu digunakan. Dalam piring dimasukkan sesaji atau persembahan kepada petara seperti nasi pulut putih, nasi pulut hitam, nasi putih, rokok apung, tembakau, telur yang dimasak, sirih dan pinang, garam, minyak masak, sagun, dan ’letup’ semua ini perlu disiram dengan air tuak.  Jika anda mahu menyaksikan upacara miring yang besar dan signifikan itu, anda mungkin dapat pergi ke muara Sungai Meratai, Baleh pada awal bulan depan, tempat asal berlakunya kejadian yang menggemparkan penduduk di Sungai Rajang.  Upacara miring itu diadakan sebagai langkah meredakan kemurkaan roh dan penduduk ekoran daripada kejadian Sungai Rajang tercekik dengan kayu, batang kayu, sampah sarap dan seumpamanya kerana hakisan tanah pada 7 Oktober lalu. Bayangkan, ritual terbesar abad ini akan dihadiri sekitar 200 tuai rumah sepanjang Sungai Baleh. Untuk upacara itu, ramai penduduk, ketua rumah panjang, dan para tetamu dijangka hadir. Sudah pasti bukan selalu anda dapat menyaksikan upacara sedemikian, apatah lagi membabitkan 10 ekor babi untuk dikorbankan dan 50 set piring sebagai bekas hidangan kepada petara.


Babi akan disembelih dan bangkainya digantung di kedua-dua belah muara Sungai Meratai. Mengikut Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk Sri Dr James Jemut Masing, ritual dikenali sebagai ’muja menua’ dalam bahasa Iban itu perlu diadakan bagi meredakan kemurkaan roh dan juga sentimen penduduk di Sungai Baleh dan Sungai Rajang. Penduduk memang marah dengan kejadian yang didakwa sebagai berpunca bukan daripada kegiatan pembalakan atau pembalakan haram, tetapi kerana cuaca.  Kehidupan penduduk semakin sukar, banyak spesies ikan peribumi termasuk empurau yang berharga RM500 sekilo mati dan mungkin pupus, kegiatan pelancongan terjejas.  Ternyata, bahawa manusia hanya akan kembali kepada tuhan apabila mereka tersepit biarpun hakikatnya, kemusnahan alam adalah disebabkan angkara kerakusan mereka. Adakah manusia baru tengadah apabila sudah terantuk?

Dr. Jeniri Amir
Pensyarah Kanan
Universiti Malaysia Sarawak

Berita Harian
18 November 2010