JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



07 November 2011

ISU IPT : SISWAZAH BERPENGALAMAN JADI PILIHAN

Susunan Ruhaiza Rusmin


TAMAN ZEN DI KYOTO, JEPUN

Institusi pengajian tinggi di Amerika Syarikat (AS) bagaikan menerima tamparan hebat apabila segelintir pihak industri menganggap siswazah peringkat tinggi yang dilahirkan hanya akan menyumbang kepada pembaziran dan pengangguran. Biarpun kebiasaannya, graduan dianggap sebagai aset, bagi pelabur mereka hanya bernilai apabila mampu menyumbang sesuatu untuk negara atau mendatangkan impak kepada masyarakat terutama soal ekonomi. Tanggapan itu tidak boleh dianggap sebagai ‘lawak jenaka’ kerana dikeluarkan berdasarkan senario peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan sekali gus mencetuskan polemik sistem pendidikan tinggi di negara itu boleh dipertikaikan. Meskipun ada universiti ternama dan dikenali dalam kalangan masyarakat dunia, bukan semua mampu mengekalkan standard tinggi seperti disasarkan malah sebahagian besarnya hanya berpaksikan kepada keupayaan universiti ‘biasa’ sama di tempat lain.

Pelabur yang juga penaung kepada Yayasan Thiel dan Stevans, Peter Thiel, berkata kebanjiran siswazah peringkat tinggi yang hanya mempunyai pencapaian sederhana bukan saja menyebabkan kebanjiran pencari kerja di pasaran kerjaya malah menjadikan mereka bukan pilihan majikan. Menurutnya, meskipun ada pihak menganggap mereka berkelayakan, hakikatnya, majikan mahu mencari graduan yang ‘berbeza’ serta mempunyai kemahiran luar biasa. “Status yang disandang sebagai warga universiti menjadikan masyarakat ‘buta’ dalam memberi penilaian sedangkan sebahagian besar mereka tidak mempunyai standard dikehendaki industri. Namun, kerana salah penafsiran, mereka dianggap warga istimewa dan golongan terpilih. “Hakikatnya, apa dikehendaki masyarakat sebenarnya sangat berbeza seperti dikehendaki pelabur dan industri. Kami bukan mahu mencari siswazah semata-mata, namun mereka yang mampu menyumbang ke arah pembangunan ekonomi. “Ketidakfahaman mengenai fungsi mahupun aspek sasaran akhirnya mencetuskan konflik antara satu sama lain.

Kami pelabur menyasarkan keuntungan tapi pada masa sama tidak juga menafikan hak siswazah. “Cuma bagi mendapat perhatian, mereka perlu mengikut rentak dan kehendak kami selaras apa yang sudah ditetapkan. Siswazah perlu melihat pelbagai kemungkinan dari kaca mata pelabur, barulah mereka memahaminya,” katanya. Kenyataan Thiel itu umpama amaran kepada universiti juga siswazah supaya mereka bersedia memperlengkapkan diri dengan segala kemahiran juga aspek yang dirasakan relevan bagi membantu mereka mendapatkan tempat di hati industri. Biarpun mungkin mempunyai senarai pencapaian akademik yang baik, itu bukan jaminan mereka berjaya kerana industri sudah tentu mempunyai banyak pilihan mahupun sudut pandangan berbeza mengenai kemampuan graduan. Sejarah turut membuktikan mereka yang tercicir dalam pengajian peringkat tinggi mampu mencipta nama besar dan menjadi ikon dalam industri global. Membuktikan kebenarannya, syarikat Thiel hanya menawarkan biasiswa kepada 24 siswzah yang benar- benar diperakui berpotensi dalam tempoh 15 tahun sekali gus menunjukkan dia benar- benar selektif dan cerewet.

“Ini menunjukkan kami sebagai pelabur benar-benar mahukan calon yang terbaik yang mampu memberikan komitmen melebihi seratus peratus dalam semua aspek. Jika siswazah tidak melihatnya sebagai satu masalah kronik, mereka pasti selamanya berada di takuk lama. “Kami tidak kisah kerana masih banyak pilihan yang ada dan bebas memilih sesiapa dikehendaki. Perlu diingat, jika semua yang terbaik sudah menjadi pilihan dan mempunyai jaminan, nasib mereka yang tertinggal pasti buruk,” katanya. Bagaimanapun kenyataan Thiel meskipun ada kebenarannya menimbulkan reaksi kurang senang di kalangan pentadbir mahupun ahli akademik yang membidasnya sebagai berat sebelah. Presiden Northeastern University di Boston, AS, Joseph E Aoun menyatakan bukan senang untuk memastikan mahasiswa peringkat tinggi mempunyai nilai kualiti tanpa cacat cela kerana ia bersifat subjektif. Malah katanya, tidak ada alasan munasabah untuk menyimpulkan tanggapan Thiel bahawa siswazah itu gagal memberikan sumbangan atau inovasi kepada industri jika dibandingkan dengan siswazah peringkat sederhana atau kolej.

“Menilai potensi manusia adalah sesuatu yang mustahil untuk diterjemahkan melalui pemerhatian. Ia bukanlah bahagian yang boleh diperbetulkan sekelip mata atau berubah mengikut kehendak sesuatu. “Setiap potensi, bakat atau apa jua sekalipun bersifat subjektif dan tidak boleh dipertikaikan sewenang-wenangnya kerana menyalahi konsep kemanusiaan. Kita perlu mengakui dunia hari ini sedang bergelut dengan pelbagai krisis. “Namun, menyalahkan siswazah ini sebagai antara penyumbang merudumnya ekonomi atau pembawa masalah, cukup tidak adil kerana ia bertentangan dengan kehendak kehidupan sejagat. “Tiada sesiapapun berhak untuk mengkritik atau melabelkan seseorang itu dengan hanya berpandukan pencapaian pada sehelai kertas mahupun fizikal. Setiap manusia ada kuasa dan peluang,” katanya. Dia juga berkeyakinan siswazah peringkat tinggi masih mempunyai nilai tersendiri dan mereka boleh menyumbang secara intelek dan menjadikan golongan terbabit lebih ke depan biarpun pada masa sama mengakui, negara berkenaan sedang berdepan isu yang sangat kompleks mengenai institusi pengajian tingginya

“Masalah ini serius, namun pendidikan tinggi masih berkepentingan untuk melahirkan masyarakat berilmu, bertamadun dan berpengetahuan. Sudah tentu masih ada cara untuk mengatasinya sekali gus menjadikannya pelaburan sepanjang hayat. “Bukan mahu bersikap biadab, namun graduan peringkat tinggi seringkali ditakrifkan dengan kemampuan berfikiran matang dan wajar menjadi pilihan majikan. “Ini realiti yang perlu diterima semua pihak kerana antara pengajian peringkat sederhana dan tinggi, masing - masing ada kelebihan mahupun kekurangannya.  “Ia bukan alasan untuk menafikan hak malah sesiapa juga yang mempunyai kemampuan boleh menjadi penyumbang ekonomi yang baik biarpun tidak mempunyai latar belakang akademik baik,” katanya mengakui kombinasi kedua kelompok terbabit boleh membantu memajukan ekonomi semasa. “Negara bergantung secara kolektif bukan individu untuk meningkatkan pencapaian ekonomi dan mempromosikan kemampuan sosial. Itu makna perjuangan sebenar dan seharusnya menjadi paksi yang dipegang untuk membantu antara satu sama lain.

“Bukankah lebih baik andai kata dua kelompok ini diberi peluang menjadi antara penyumbang dan penerus kesinambu–ngan golongan pendidikan tinggi berbanding terus dilagakan antara satu sama lain. “Dunia sedang berubah dan menafikan hak universiti melahirkan golongan berpendidikan tinggi sangat kejam serta di luar dugaan. Seperti tidak percaya ada golongan yang berfikiran skeptikal lebih-lebih lagi di kalangan industri. “Biarpun perspektif berbeza, alasan menidakkan tanggungjawab pihak lain sangat tidak berasas. Masing- masing perlu melaksanakan tanggungjawab,” tegasnya.

SUMBER
HARIAN METRO
7 NOVEMBER 2011


ISU UMUM : PTPTN PATUT STRUKTUR SEMULA BEBAN HUTANG


AURORA BOREALIS, ICELAND

Cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menghentikan pemberian pinjaman kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT) mulai 2013, tentunya menimbulkan kebimbangan pelajar dan ibu bapa, khususnya di kalangan keluarga berpendapatan rendah. Hakikatnya, ramai daripada golongan ini tidak mampu membayar yuran pengajian, apatah lagi dibebani pula dengan kos sara hidup yang semakin meningkat kebelakangan ini. Justeru, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kelmarin bahawa kerajaan akan memastikan PTPTN terus memberi pinjaman berkenaan, pastinya melegakan mereka. Pendirian itu tentunya amat dialu-alukan dan membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah dihadapi ibu bapa dan pelajar.

Kerajaan tidak sewenang-wenangnya akan mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan setiap pelajar yang layak, terutama yang kurang kemampuan berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi. Sikap ini sudah tentu timbul daripada kesedaran bahawa pembangunan modal insan adalah sesuatu yang tidak boleh dikorbankan, walaupun di atas alasan kesempitan wang. Berikutan itu, PTPTN tidak mempunyai pilihan selain meneruskan tanggungjawabnya untuk membiayai pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke IPT.  Berdasarkan laporan media, kita memahami bahawa perbadanan itu berdepan dengan masalah tanggungannya yang semakin meningkat. Namun sebagai sebuah organisasi berwibawa sudah tentu ia mempunyai kepakaran menstruktur semula beban hutangnya itu. Misalnya, jika hutang ditanggung perbadanan itu bersifat jangka pendek, ia harus mencari jalan untuk memanjangkan tempohnya. 


Kita yakin dengan bantuan kerajaan, PTPTN mampu mengatasi sebarang masalah beban hutang yang ditanggung bagi membolehkannya meneruskan pemberian pinjaman kepada pelajar pada kadar munasabah. Pada masa sama, pelajar yang mendapat kemudahan PTPTN pula harus bersikap lebih bertanggungjawab dengan membayar balik pinjaman apabila tamat pengajian. Menurut perangkaan PTPTN, perbadanan itu menghadapi masalah mengutip tunggakan pinjaman daripada 246,000 peminjam berjumlah RM1.3 bilion. Jumlah tertunggak yang besar ini bukan saja membebankan PTPTN, malah menafikan hak beribu-ribu pelajar lain untuk mendapat pinjaman. Sikap liat membayar balik pinjaman tidak sepatutnya berlaku dan membuktikan mereka hanya mementingkan diri sendiri. Oleh itu, kita menyokong tindakan PTPTN menyenarai hitam 132,801 peminjam berikutan kegagalan membayar balik pinjaman. Kita yakin masyarakat amnya akan menyokong jika PTPTN mengenakan tindakan lebih keras terhadap peminjam liat ini untuk mendapatkan semula wangnya.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
7 NOVEMBER 2011


ISU IPT : BENARKAH MAHASISWA BERPOLITIK BUKAN JAMINAN KEPEKAAN POLITIK

Oleh Akmal Saufi Mohamed Khaled
akmalsaufi@gmail.com


GALERI UFFIZI DI FLORENCE, ITALI  


Perubahan corak pemikiran hari ini menjadikan masyarakat berbincang dan berdebat mengenai isu berkaitan undang-undang, isu semasa serta apa saja yang boleh dilihat dengan mata kasar. Penafian hak itu akan hanya menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat, merencatkan pembangunan intelek serta mencabar kebebasan bersuara seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Kebebasan ini jika digunakan secara optimum akan memberi impak besar sekiranya masyarakat bijak dalam memperkasakan minda dengan berani mengkritik dengan kritikan bernas dan berkualiti. Bagaimanapun, perkara ini tidak semudah dijangka. Matlamat ini terlalu sukar direalisasi sekiranya ia disalah tafsir. Selepas isu penggantungan Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kini kita menghadapi satu lagi babak sukar dalam dunia akademik. Mahkamah Rayuan baru-baru ini mengisytiharkan mahasiswa dibenarkan untuk terbabit dengan mana-mana parti politik, walaupun Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) melarang sama sekali.

Bukankah ini satu berita baik buat mahasiswa? Dengan keputusan mahkamah ini, mahasiswa kini diberi peluang menyokong serta berkempen mana-mana parti politik mengikut kehendak masing-masing. Tetapi perlu diingat, perkara ini harus diteliti dan dianalisis terlebih dulu. Apakah tafsiran terhadap pendapat dunia akademik dalam hal ini pelajarnya masih berkecuali jika mereka sendiri mempunyai kecenderungan terhadap mana-mana parti politik? Bukankah ini menjadikan pandangan mereka berat sebelah? Adalah menjadi kerja gila jika matlamat pihak universiti serta kerajaan bukan untuk mempertingkatkan tahap pemikiran mahasiswa dan masyarakat secara amnya Adalah menjadi kerja gila jika matlamat pihak universiti serta kerajaan bukan untuk mempertingkatkan tahap pemikiran mahasiswa dan masyarakat secara amnya. Inilah sebab utama mengapa mahasiswa menuntut di universiti, iaitu dengan mempertingkatkan tahap pemikiran dan belajar untuk membuat keputusan termaklum. Atas alasan itu, pihak universiti seharusnya sentiasa menawarkan mahasiswa peluang menjelajahi ilmu agar mahasiswa tidak mudah diperkotak-katik pengaruh luar.

Beberapa tahun kebelakangan ini, perdebatan dan perbincangan mengenai isu banyak dijalankan institusi pengajian tinggi sering mendapat sambutan. Sebagai contoh di UIAM sendiri, perbincangan mengenai pembentangan Bajet 2012 berjaya diadakan tanpa perlu pelajar bersama dengan parti politik. Dunia akademik mampu menajamkan pemikiran mereka. Kita sedia maklum, isu yang dibangkitkan parti politik mempunyai objektif meraih sokongan politik. Sedangkan, perbincangan sebegitu rupa yang diadakan di universiti berfungsi untuk berdiskusi bagi mencari jalan penyelesaian terbaik secara ilmiah. Perbincangan di universiti bukanlah hanya retorik atau mahu memenangi perdebatan semata-mata.Mari pula kita fikirkan bagaimana jika kerajaan membenarkan penyertaan mahasiswa secara langsung dalam arena politik? Apakah batasannya? Apakah kesan terhadap integriti dan sifat berkecuali universiti? Bagaimanakah cara bagi sesebuah institusi itu mempertahankan imejnya? Kita sedia maklum bahawa sesebuah institusi pendidikan itu sewajarnya bersifat berkecuali tetapi kritikal dalam memberikan pandangan.

Namun sekiranya ada ahlinya yang cenderung ke arah sesebuah parti politik dan pandangan berkepentingan politik, bukankah ini memperlihatkan seolah-olah pandangan itu mewakili keseluruhan institusi berkenaan? Ini yang kita tidak mahu. Hal ini boleh digambarkan seperti yang terjadi dalam isu Dr Abdul Aziz, yang mana pihak universiti menjalankan siasatan mengenai kenyataan serta kritikan terbuka beliau terhadap Sultan Selangor. Adakah pandangan ini mewakili pihak universiti atau pandangan peribadi beliau? Situasi ini membuktikan bahawa suatu garis panduan bersesuaian adalah suatu keperluan. Ia harus diperhalusi dalam memahami tatacara bersesuaian bagi ahli sesebuah institusi, terutama mahasiswa. Garis panduan ini berfungsi sebagai batu asas dalam memberi pendapat dan kritikan terhadap perkara yang berkaitan dengan isu politik, agar kritikan dan pandangan itu tidak melangkaui garisan pemisah antara pandangan akademik dengan pandangan yang cenderung terhadap parti politik semata-mata. Berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini juga menyebabkan mahasiswa yang sebelum ini pendiriannya tidak kelihatan lebih menonjol.

Secara am mereka boleh dibahagikan kepada; kumpulan yang menyokong mahasiswa berpolitik, mahasiswa yang mahu mempertahankan kredibiliti dunia akademik dan mahasiswa atas pagar. Di celah kelompok mahasiswa ini juga wujud kelompok yang penuh dengan kecelaruan. Golongan ini memekik dan terlolong mengatakan bahawa parti politik dan fahamannya tidak patut menjejakkan kaki ke dunia akademik, tetapi pada masa sama, mereka jugalah golongan mahasiswa yang mahu membuka laluan mahasiswa aktif berpolitik. Jelas pendirian mereka ini ibarat lalang yang mudah ditiup ke sana ke mari. Inilah satu-satunya spesies lalang yang pergi kelas. Hujahan mengatakan mahasiswa kurang peka terhadap isu politik dilihat menjadi sebab kepada pertikaian semasa. Bagaimanapun, membenarkan mahasiswa menyertai atau menyokong parti politik bukanlah bermaksud kepekaan mahasiswa terhadap politik juga bertambah. Peningkatan tahap kepekaan isu politik semasa bergantung kepada minat, persekitaran serta pemikiran individu itu dalam membantu dan berbakti kepada negara.

Penulis ialah Pelajar Tahun Akhir Jurusan Undang-Undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
7 NOVEMBER 2011


ISU BAHASA : BAHASA MELAYU TERBUKTI BOLEH MENJADI BAHASA ILMU

Oleh
PROF. DATUK DR. HASHIM YAACOB
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya


FALLINGWATER HOUSE - 
FRANK LLOYD WRIGHT'S (1937)

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana yakin untuk memartabatkan bahasa Malaysia, di samping memperkasakan bahasa Inggeris. Beliau mahukan supaya bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Saya yakin bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa kerana bahasa itu mempunyai gedung kata yang luas dan dituturkan oleh sebahagian besar penduduk Asia Tenggara. Pernyataan ini boleh dibuat berlandaskan hujah bahawa bahasa Melayu telah berkembang dengan pesatnya sejak zaman kegemilangan Melaka dan sebelumnya. Bahasa Melayu pada masa itu banyak digunakan bukan hanya oleh keturunan Melayu tetapi juga orang asing yang datang berurusan di negara-negara Melayu. Sekiranya pernyataan berkenaan hendak mendapat kepercayaan orang ramai apatah lagi kepercayaan orang asing maka kita hendaklah menunjukkan bukti nyata bagi menyokong bahawa bahasa ini benar-benar mampu berbuat demikian.

Bukti-buktinya memang ada di dalam banyak bidang tetapi kita jarang menelitinya sehinggakan kita sendiri tidak menyedarinya. Sewaktu saya menjadi Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM) pada 1997, saya dan kakitangan fakulti itu membuktikan bahawa bahasa Melayu memang boleh menjadi bahasa ilmu yang diakui oleh masyarakat antarabangsa. Kami berjaya memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu apabila kami dianugerahkan pengiktirafan oleh United Kingdom (UK) kepada ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian (SMPP) yang kami hasilkan daripada Fakulti Pergigian UM. Fakulti pergigian ditubuhkan pada 1972 dan mula mengeluarkan doktor-doktor pergigian pada 1976 sehinggalah sekarang. Kursus ijazah SMPP ini memakan masa selama lima tahun iaitu tempoh yang sama panjangnya dengan ijazah yang serupa daripada universiti-universiti di negara Barat. Bezanya hanya dari segi bahasa pengantara pengajaran dan pembelajaran dalam kursusnya sahaja.

Kursus ijazah SMPP dari Fakulti Pergigian UM diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu, manakala kursus ijazah yang sama dari UK diajar dalam bahasa Inggeris. Ijazah-ijazah pergigian dari Perancis, Jerman, Netherland, Sepanyol, Itali dan lain-lainnya di negara-negara Barat diajar dalam bahasa negara masing-masing. UK mengiktiraf ijazah-ijazah di negara-negara Barat ini walaupun diajar dalam bahasa bukan Inggeris. UK dan dunia menganggap bahawa bahasa-bahasa Barat itu adalah bahasa ilmu. Apabila UK memberikan pengiktirafannya kepada ijazah SMPP dari UM pada 1997, pihak berkuasa negara itu yang bertanggungjawab dalam pemberian pengiktirafan itu telah membuat kenyataan mengenai nilai taraf kursus ijazah SMPP keluaran UM sebagai mencapai satu tahap kecemerlangan setanding dengan yang terbaik di dunia. Pengiktirafan ini juga bermakna pemegang ijazah SMPP dari UM diiktiraf oleh UK untuk bekerja di negara berkenaan.

Pengiktirafan tersebut dibuat atas sebab-sebab bahawa kursus ijazah SMPP keluaran UM itu dijalankan dengan cemerlang mengikut piawaian yang ditentukan oleh UK sendiri, termasuklah kewujudan infrastruktur dan kelengkapan moden, struktur kurikulum pengajaran yang mantap, kewibawaan kakitangan akademik dan professional, penyelidikan penerbitan yang dihasilkan, dan tatacara pengajaran yang dijalankan dalam bahasa Melayu. Pihak pemeriksa UK sedia maklum bahawa kursus ijazah SMPP dari UM ini dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Mereka mengakui bahawa kursus ijazah SMPP itu dapat dijalankan dengan sempurna walaupun melalui penggunaan bahasa Melayu. Mereka mengakui bahawa sudah terdapat cukup istilah dalam bahasa Melayu dalam bidang kedoktoran pergigian dan juga perbendaharaan kata am yang luas.

Pengiktirafan kepada ijazah SMPP dari UM yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sepenuhnya membawa makna bahawa bahasa Melayu sudahpun menjadi bahasa ilmu dalam bidang kedoktoran pergigian, sehingga membolehkannya mencapai tahap kecemerlangan dunia yang diakui oleh UK. Kalau bahasa Melayu sudah terbukti sekurang-kurangnya boleh menjadi bahasa ilmu dalam bidang kedoktoran pergigian, maka kita boleh bina keyakinan bahawa bahasa ini boleh juga menjadi bahasa ilmu di dalam bidang-bidang lain. Kita hanya perlu menggunakan bahasa ini dengan lebih luas dan membina istilah serta perbendaharaan kata yang bersangkutan dengan bidang-bidang ilmu yang hendak kita terokai. Sekiranya ini kita lakukan, tentunya kita akan berjaya dan bahasa Melayu akan terbukti sepenuhnya untuk menjadi bahasa ilmu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 NOVEMBER 2011


ISU SOSIAL : PETUNJUK USAHA PERANGI JENAYAH

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


GUNUNG KILIMANJORO

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Jenayah di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan antara bidang keberhasilan yang menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia yang bimbang dengan kadar jenayah di sekeliling mereka. Walaupun sebahagian besar rakyat negara ini mengakui Malaysia adalah antara tempat paling selamat untuk membina keluarga dan kerjaya, peningkatan kadar jenayah terutamanya jenayah keganasan dan kebanjiran warga asing tetap menimbulkan kegusaran anggota masyarakat. Menurut kenyataan terkini KDN, Indeks Keamanan Global (GPI) oleh Institut Ekonomi dan Keamanan di Sydney dan New York menunjukkan Malaysia kini berada pada prestasi membanggakan untuk berada di tangga ke-19 antara 153 negara paling selamat tahun ini berbanding tangga ke-22 tahun lalu dan ke-26 pada 2009. GPI dinilai dari segi kebolehpercayaan terhadap perkhidmatan polis, kesan jenayah terancang terhadap perniagaan, kesan jenayah dan keganasan terhadap perniagaan.

Projek Keadilan Sejagat (WJP) pula melaporkan bahawa Malaysia merupakan negara paling selamat di kalangan 19 negara berpendapatan pertengahan serta di kedudukan ke 12 negara paling selamat di dunia mengatasi Amerika Syarikat dan Britain. Sementara itu, kaji selidik Indeks Kebimbangan Jenayah (Fear of Crime Index) melaporkan berlaku penurunan sebanyak 9.6 peratus dari segi perasaan takut terhadap jenayah, daripada 58.5 peratus pada Disember 2009 kepada 48.9 peratus pada Mei tahun ini. Pada masa sama, kaji selidik yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menunjukkan bahawa kebimbangan orang ramai terhadap jenayah berkurangan sebanyak 12 peratus iaitu daripada 33 peratus pada tahun lalu kepada 21 peratus pada tahun ini. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) pula melaporkan berlaku penurunan 9.4 peratus terhadap tuntutan kes berkaitan kenderaan antara tahun 2010 berbanding 2009.

Secara keseluruhannya, kadar indeks jenayah antara Januari hingga September tahun ini mencatatkan penurunan sebanyak 9.8 peratus, daripada 132,355 kes antara Januari hingga September 2010 berbanding 119,376 kes dalam tempoh sama tahun ini. Kadar jenayah jalanan pula mencatatkan penurunan sebanyak 40.6 peratus, dengan 29,596 kes jenayah jalanan dicatatkan antara Januari hingga September 2010 berbanding 17,591 kes dalam tempoh sama tahun ini. Ini hasil usaha gigih dan kesepaduan daripada semua pihak terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), agensi-agensi lain di bawah kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), syarikat milik kerajaan (GLC), pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat setempat. Antara pendekatan bersama yang dilaksanakan termasuk meningkatkan kehadiran polis di kawasan-kawasan 'panas'; meningkatkan penyertaan anggota dan pegawai polis dalam aktiviti rondaan serta melatih ahli-ahli Rela dan anggota JPAM sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP) untuk ditugaskan bersama pihak polis di kawasan panas.

Selain itu, bilangan balai polis bergerak dan motosikal polis di kawasan panas turut ditambah; memperbanyakkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas serta memperhebatkan penyertaan dan penglibatan anggota masyarakat dalam aktiviti mencegah jenayah melalui RakanCop, Kepolisan Komuniti, Skim Rondaan Sukarela (SRS), Program Bandar Selamat dan sebagainya. NKRA ini juga bukan hanya melibatkan usaha pencegahan dan penguatkuasaan semata-mata malahan merangkumi usaha memperkukuh sistem keadilan dan kehakiman. Ini termasuk yang melibatkan elemen pendakwaan (mahkamah malam dan J-Code untuk jenayah jalanan); hukuman di peringkat mahkamah dijalankan dengan pantas serta usaha menjayakan inisiatif pemulihan dalam penjara. Untuk 2012, sejumlah RM11.311 bilion diperuntukkan kerajaan kepada KDN untuk pembangunan dan pengurusan di samping peruntukan khas berjumlah RM200 juta untuk PDRM bagi penyediaan kelengkapan dan peralatan yang lebih moden.

Sebanyak RM249.85 juta juga disediakan untuk pembangunan bandar selamat, pengasingan laluan pejalan kaki dan laluan bermotor, sistem penggera, cermin keselamatan, pembersihan semak samun dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk pemetaan berasaskan kejadian jenayah. Selain itu, sebanyak RM7.56 juta lagi diperuntukkan oleh kerajaan bagi memperkasakan operasi Unit Khas Bergerak (UKB) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menangani masalah pemprosesan pendaftaran dan permohonan penduduk khususnya dari kawasan pedalaman dan pesisir pantai sekali gus memudahkan penduduk pedalaman mendapatkan dokumen pengenalan diri. Dengan segala usaha, inisiatif dan pendekatan yang dilakukan KDN dan pihak-pihak yang berkenaan ini, diharapkan NKRA Mengurangkan Jenayah mampu mencapai sasaran penurunan indeks jenayah sehingga lima peratus dan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang penghujung tahun ini. Lebih penting lagi, usaha tersebut diharap dapat memastikan rakyat di negara ini sentiasa berasa dan berada dalam keadaan selamat dan tenteram dalam menjalani kehidupan harian mereka.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 NOVEMBER 2011