JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Julai 2011

ISU UMUM : TENTERA DAN POLIS BUKTIKAN KERJASAMA JAGA KEAMANAN NEGARA

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my


Bagai ayam dengan itik disatukan dalam gelanggang sama. Bunyinya pelik dan riuh rendah yang luar biasa kerana langkah dan ragam berbeza, namun ia bukan sesuatu yang mustahil. Begitulah gambaran menggabungkan polis dan tentera dalam satu lapangan menjalankan tugas sama, malah berkongsi pula padang kawad. Kiasan itu diungkapkan Ketua Penolong Pengarah (Latihan dan Peperiksaan) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk A Paramasivam ketika memberi taklimat mengenai program latihan pasukan polis menggunakan kemudahan tentera di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson serta Pusat Latihan Asas Perajurit Muda TLDM, KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, Johor. Keputusan menggunakan kemudahan tentera itu dilihat satu usaha tepat bagi menyelesaikan kemelut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencapai sasaran kerajaan mencapai 150,000 anggota akhir tahun ini dan seterusnya dapat menjalankan aktiviti pencegahan jenayah dengan lebih berkesan.

Menambahkan impak terhadap usaha itu, PDRM dan ATM bukan saja berjaya membuktikan kerjasama itu mampu dijalinkan dengan berkesan, malah mereka turut mahu membuka mata masyarakat betapa dua pasukan keselamatan itu sudah bersedia berkongsi kepakaran dengan menyerlahkannya menerusi Perbarisan Tamat Latihan Perdana -Siri 1/2011 yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Julai ini di PUSASDA.  Ia bukan saja bakal memberikan gambaran kepada masyarakat mengenai kerjasama erat itu, malah bakal mencipta sejarah baru dalam diari dua pasukan keselamatan itu kerana tidak pernah upacara seperti itu diadakan, sekali gus menunjukkan iltizam PDRM dan ATM memastikan keselamatan dalam negara menjadi agenda utama. “Pendekatan positif ini bermula hasil mesyuarat pertama Strategi Lautan Biru Kedua (NBOS 2) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan pada Julai 2010 yang memutuskan beberapa tindakan perlu diambil perhatian oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan PDRM termasuk menggunakan kemudahan tentera untuk program latihan asas polis.

“Selain itu, dalam memantapkan perkhidmatan polis dan menambahkan anggotanya, bekas tentera dilatih untuk berkhidmat dengan PDRM serta menjalankan tugas rondaan bersama tentera dan polis. “Dalam mencapai sasaran 150,000 anggota polis pada tahun ini, diakui ia tidak dicapai kerana tempat latihan tidak mencukupi selain pembinaan pusat latihan tertangguh dan lambat disiapkan oleh kontraktor. Justeru, NBOS2 mencadangkan pusat latihan atau kemudahan tentera digunakan di samping pusat latihan polis sedia ada untuk melatih 48,842 bakal polis mulai Januari 2011 hingga awal 2015. “Pemilihan PUSASDA dan KD Sultan Ismail bagi melatih 1,500 anggota dibuat kerana mempunyai kemudahan dan kelengkapan sesuai, antaranya blok penginapan, dewan makanan, kelas, padang kawad, lapang sasar serta kelengkapan latihan fizikal lain,” kata Paramasivam. Ternyata keputusan menggunakan dua lokasi tentera itu bukan setakat mampu menambahkan anggota polis tetapi memberi impak lebih besar dalam penjimatan dana negara.

Dianggarkan, jika dua Pusat Latihan Polis (PULAPOL) baru untuk memuatkan kapasiti 1,000 pelatih seperti ruang di PUSASDA dan KD Sultan Ismail, kerajaan perlu memperuntukkan lebih RM700 juta dalam masa lima tahun. Berbeza jika pendekatan ini digunakan dengan kos melatih 1,500 pelatih dalam lima tahun hanya RM71 juta, penjimatan sehingga RM640 juta. Ini sudah mengambil kira kos melatih seorang konstabel pelatih di PULAPOL iaitu RM5,193; di PUSASDA, RM8,306 dan di KD Sultan Ismail sebanyak RM6,262. Mungkin rekod terdahulu jarang menunjukkan polis dan tentera bekerjasama erat dalam menjalankan tugas tetapi dengan strategi ini, ia membuktikan dua pasukan keselamatan ini mampu bersama menunaikan hasrat kerajaan, sekali gus mengurangkan perbelanjaan.  Di dua pusat latihan ini, polis menggunakan kemudahan tentera sepenuhnya tetapi latihan dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih PDRM membabitkan beberapa modul akademik seperti undang-undang jenayah serta prosedur, hak asasi manusia, pengurusan dan komunikasi, bahasa Inggeris, teknologi maklumat, manual prosedur kerja (amali), psikologi dan kaunseling serta agama dan moral.

Dalam modul latihan luar pula, pelatih didedahkan dengan kemahiran kawad, menembak, latihan jasmani, seni mempertahankan diri, asas renang dan T-baton.  “Uniknya konsep kerjasama ini ialah pelatih polis dan tentera buat pertama kali dalam sejarah menjalani latihan di pusat latihan sama, menggunakan kemudahan latihan yang sama, penginapan, makanan dan sebagainya bersama.  “Semua peraturan di PUSASDA juga digunakan kepada pelatih polis. Tidak timbul masalah double standard. Jurulatih dan staf PDRM juga dikehendaki akur kepada peraturan sedia ada di PUSASDA dan sebarang perkara berbangkit hendaklah dipersetujui bersama,” katanya.  Kerjasama mereka bukan setakat itu. Kini, bekas tentera juga diambil untuk berkhidmat sebagai polis, asalkan umur mereka tidak melebihi 45 tahun. Selepas 365 pemohon yang ditemuduga pada 13 dan 24 Disember tahun lalu, 181 layak dilantik menjadi konstabel dan konstabel sokongan. Kata beliau, kejayaan paling menyerlah dalam menonjolkan kerjasama itu pada mata masyarakat kini boleh dilihat polis dan tentera bergerak bersama menjalankan rondaan menggunakan seragam masing-masing, cuma tentera memakai jaket pantulan cahaya.

Tugas ini bukan sekadar membabitkan rondaan jalan kaki dan berkenderaan, tetapi sekatan jalan raya. Disebabkan tentera tidak mahir dalam undang-undang, setiap rondaan dan tindakan dibuat bersama dengan pemantauan polis. Kaedah ini sudah digunakan di kebanyakan negeri tahun ini. Jika dilihat komitmen ini, upacara penuh bersejarah yang akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 30 Julai ini pasti ditunggu-tunggu dan dijangka mendapat liputan meluas semua media seluruh negara. Malah, difahamkan ia mungkin disiarkan secara langsung untuk membolehkan seluruh negara menjadi saksi kerjasama erat polis dan tentera. Malah, upacara itu bukan setakat pada hari itu. Kehangatannya sudah mula terasa sekurang-kurangnya seminggu daripada tarikh itu dengan pelbagai program sudah diaturkan termasuk Upacara Perbarisan Tamat Latihan di KD Sultan Ismail yang akan disempurnakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 16 Julai 2011.

SUMBER
BERITA HARIAN
2 JULAI 2011

ISU UMUM : GAJI MINIMUM : ANTARA TEORI DAN REALITI

Oleh Mahfar Ali
mafa@bharian.com.my


Pada 28 Julai 2011, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang membuka laluan bagi pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah di negara ini. Perkembangan itu tentunya menggembirakan kumpulan pekerja terbabit, tetapi ada juga pihak terutama majikan yang kurang senang dengan pelaksanaan undang-undang berkenaan. Bagi majikan, tiga kaedah yang diguna pakai sekarang – penetapan gaji berdasarkan kuasa pasaran serta melalui Perjanjian Kolektif (CA) dan Majlis Penetapan Gaji (MPG) di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947, sudah pun memadai apatah lagi undang-undang perburuhan sedia ada memberi ruang mencukupi untuk pekerja dan majikan berunding dalam menentukan kadar gaji yang sesuai. Itu hujah majikan, tetapi bagaimana pula dengan realitinya? Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, daripada tiga kaedah itu, hanya gaji yang ditetapkan MPG adalah gaji minimum, tetapi terhad kepada subsektor tertentu bagi kumpulan pekerja yang mudah terjejas seperti pembantu kedai, pekerja di pelabuhan, hotel dan penyediaan makanan serta pengawal keselamatan.


Gaji yang dirundingkan bersama majikan dan pekerja dalam CA pula hanya meliputi kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan guna tenaga, iaitu pekerja yang menyertai kesatuan sekerja saja, manakala upah yang ditentukan kuasa pasaran didapati tidak berkesan kerana berdasarkan kajian Bank Dunia, kadar gaji di Malaysia hanya meningkat secara purata sebanyak 2.6 peratus setahun sejak 10 tahun lalu – jauh lebih rendah berbanding peningkatan Indeks Harga Pengguna. Keadaan itu menyebabkan kuasa beli pekerja semakin menurun kerana kos sara hidup meningkat berlipat ganda. Malah, kajian Guna Tenaga Kebangsaan pada 2009 yang membabitkan sampel 24,000 majikan dan 1.3 juta pekerja, mendapati 33.8 peratus pekerja masih menerima gaji bawah RM700 sebulan. Persoalannya, apakah pelaksanaan gaji minimum dapat melindungi dan menjamin pekerja menerima upah berpatutan berdasarkan kos sara hidup dan keadaan ekonomi semasa? Mengikut Fasal 2 rang undang-undang berkenaan, gaji minimum bermaksud gaji pokok dan ini bermakna sebarang pembayaran elaun seperti elaun lebih masa yang diasaskan kepada gaji pokok akan dapat meningkatkan pendapatan keseluruhan pekerja.


Selain itu, gaji pokok juga akan dapat memastikan pekerja menerima caruman KWSP serta PERKESO yang lebih tinggi dan ini dapat menjamin masa depan pekerja serta keluarganya. Bagaimanapun, ada juga pihak bimbang penetapan gaji minimum akan menjejaskan daya saing negara hingga menyebabkan pelabur asing berpindah ke negara lain yang menawarkan kos buruh lebih rendah. Mungkinkah kenaikan upah ini juga akan menyebabkan banyak syarikat dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama di luar bandar terpaksa ditutup berikutan peningkatan kos operasi? Menjawab persoalan ini, Subramaniam dalam pertemuan dengan pengarang media menjelaskan pandangan itu cuma teori kerana Singapura, misalnya, tidak menghadapi masalah sedangkan gaji pekerjanya lebih tinggi berbanding pekerja dalam sektor sama di negara ini. “Saya diberitahu, dalam sektor tertentu gaji cuma 10 peratus daripada jumlah perbelanjaan syarikat. Daya saing bukan saja membabitkan gaji, sebaliknya kualiti pekerja lebih penting. Tidak guna jika gaji murah, tapi pekerja tidak ada kemahiran dan komitmen.


“Majikan juga sepatutnya meningkatkan penggunaan teknologi, tetapi apa yang berlaku banyak syarikat masih bergantung kepada tenaga kerja asing kerana mudah mendapat bekalan pekerja dari luar yang sanggup menerima gaji rendah hingga menjejaskan peluang rakyat tempatan mendapat pekerjaan,” katanya. Namun, adakah rakyat tempatan sanggup menjadi pembantu rumah? Ini juga mencetuskan kebimbangan banyak pihak kerana penguatkuasaan undang-undang berkaitan penetapan gaji minimum turut meliputi pekerja asing, termasuk pembantu rumah. Dalam meredakan kebimbangan ini, Subramaniam menjelaskan Majlis Perundingan Gaji Negara boleh menyarankan kadar dan liputan gaji mengikut sektor, jenis pekerjaan dan wilayah serta membuat syor bagi mengecualikan mana-mana sektor atau golongan pekerja yang tidak sesuai diliputi di bawah perintah gaji minimum. Apakah ini bermakna pelaksanaan gaji minimum tidak akan membabitkan pembantu rumah? Mungkinkah juga penetapan gaji minimum akan dibuat mengikut sektor dan wilayah bagi melindungi syarikat kecil, terutama di luar bandar? Bagaimana pula kesannya terhadap inflasi dan pertumbuhan ekonomi negara? Inilah antara isu yang mesti dipertimbangkan Majlis Perundingan Gaji Negara sebelum menentukan kadar gaji minimum kerana kita tidak mahu dalam usaha untuk membaiki kehidupan pekerja berpendapatan rendah, ada pula pihak lain yang terpaksa menanggung risikonya.

SUMBER
BERITA HARIAN
2 JULAI 2011

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : RADIOAKTIF DAN KESELAMATAN MANUSIA

Rencana ini disediakan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.


Apabila  mendengar perkataan "radioaktif", apa yang terlintas di fikiran bahawa ia adalah bahan yang sangat berbahaya, tidak boleh didekati atau disentuh. Ada mengatakan, barangkali radioaktif itu boleh meletup, menyebabkan kematian atau mengakibatkan seseorang terkena penyakit kanser. Itu adalah persepsi umum masyarakat! Bukan itu sahaja, radioaktif turut dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa hitam yang pernah berlaku di dunia antaranya letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1945, kemalangan loji kuasa nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986 dan terkini peristiwa kebocoran radiasi di loji kuasa nuklear Fukushima, Jepun akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu. Peristiwa inilah yang menyebabkan masyarakat semakin gusar kerana beranggapan radioaktif adalah punca kehilangan nyawa, kerosakan harta-benda, pencemaran alam sekitar dan mendapat kanser.

Sedangkan, pada hakikatnya dan tanpa disedari, radioaktif wujud secara semula jadi dan kita terdedah kepada sinarannya dalam kehidupan seharian. Umpamanya pendedahan sinaran dari tanah-tanih dan batu- batan yang diduduki, dari angkasa seperti kosmik, bahkan kita turut mengambilnya melalui makanan dan minuman seperti di dalam buah- buahan serta sayur-sayuran. Tubuh badan kita juga mempunyai bahan radioaktif semulajadi seperti potassium-40 (K-40). Data yang diperolehi daripada UNSCEAR 2000 (United Nation Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation to the General Assembly) menyatakan purata dedahan dos setahun sinaran semula jadi di sekeliling kita adalah sebanyak 2.4 milliSievert (mSv). Malah di dalam tanah-tanih di dunia mengandungi bahan radioaktif semulajadi (Naturally Occurring Radioactive Materials - NORM) terutamanya kandungan uranium- 238 iaitu dalam julat 16 - 110 Becquerrel/ kg[Bq/kg] (bersamaan 0.016 - 0.1 Bq/gm) dan kandungan thorium-232 dalam julat 11 - 64 Bq/kg (bersamaan 0.011 - 0.064 Bq/ kg). Di Malaysia, kandungan uranium dan thorium semulajadi ini adalah dalam julat 49 - 86 Bq/kg (bersamaan 0.049 - 0.086 Bq/gm) untuk uranium dan dalam julat 63 - 110 Bq/kg (bersamaan 0.063 - 0.1 Bq/g).

ISU LYNAS

Isu  terkini yang melibatkan bahan radioaktif di Malaysia dan heboh diperdebatkan adalah mengenai projek Lynas. Secara ringkasnya, Lynas Malaysia Sdn. Bhd. ialah syarikat subsidiari milik penuh Lynas Corporation Ltd, Australia. Perniagaannya berkaitan dengan pengeluaran serta penjualan nadir bumi. Hasil pemprosesan nadir bumi sebenarnya digunakan oleh ratusan aplikasi industri contohnya bateri bagi komputer riba, telefon mudah alih serta kereta hibrid, tiub "cathode-rays" bagi monitor TV dan komputer, wayar "fibre-optic", aplikasi aeroangkasa sehingga ke magnet bagi penghasilan tenaga dari sumber angin. Syarikat Lynas di Kuantan dijangka dapat menghasilkan hampir 30 peratus daripada bekalan dunia (di luar China) apabila mula beroperasi. Pertikaian masyarakat mengenai "residue" yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM) yang dihasilkan Punca utama kebimbangan orang awam khususnya masyarakat Pahang adalah Lynas bercadang membawa masuk bijih Lathanid dari lombong Mount Weld di Australia Barat dan bijih itu akan diproses dan diekstrak di kawasan perindustrian Gebeng. Sisa sampingan yang bakal dihasilkan daripada proses pengesktrakan nadir bumi itu menyebabkan wujudnya pertikaian ketelusan kerajaan dan agensi-agensi lain dalam menjamin keselamatan rakyat. Malah, isu ini digembar-gemburkan oleh pihak yang sebenarnya bermotifkan politik. Orang awam diberi maklumat mengelirukan sehingga mereka berfikir bahawa pemprosesan nadir bumi oleh Lynas adalah sama dengan pemprosesan syarikat Asian Rare Earth (ARE) dan peristiwa yang berlaku di itu pada awal 1980-an akan berulang.

TINDAKAN KERAJAAN SERTA AGENSI TERLIBAT

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian ARE berulang. Agensi kerajaan, antaranya Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin serta mutu alam sekitar dalam keadaan baik dan terpelihara. Orang awam mempersoalkan kredibiliti agensi-agensi bertanggungjawab yang terlibat antaranya tindakan AELB dalam mengeluarkan lesen serta sejauh mana ketelusan panel pakar bebas yang dijemput dalam memberi keputusan berhubung projek Lynas ini. Sebenarnya dalam projek melibatkan pengilangan bahan radioaktif, kelulusan pembinaan akan diberi tetapi pemberian lesen operasi hanya diberi selepas Lynas mematuhi langkah serta syarat keselamatan yang dinyatakan dalam syarat lesen dan dokumen Program Perlindungan Sinaran yang dibangunkan oleh syarikat berdasarkan keperluan dalam Akta 304 dan peraturan-peraturan subsidiarinya. Malah, kerajaan menjemput panel pakar bebas antarabangsa yang tidak mempunyai kepentingan dengan projek Lynas ini bagi menjalankan kajian dari segi aspek kesihatan dan keselamatan. Ini membuktikan kerajaan Malaysia telus dalam proses membuat keputusannya.

SEJAUH MANAKAH TAHAP SELAMAT YANG DIUAR-UARKAN ITU ADALAH SELAMAT?

Berdasarkan fakta serta analisis sampel-sampel yang dibuat oleh agensi-agensi bertanggungjawab, residue yang akan dihasilkan oleh projek Lynas adalah rendah iaitu 0.165 peratus torium [bersamaan dengan 1650 bahagian per juta [parts per million, (ppm)] iaitu bersamaan dengan 6.7 Becquerrel pergram[Bq/g] (atau 6500 Bq/kg). Ia 60 kali lebih rendah berbanding projek ARE yang mengandungi 10 peratus torium iaitu 100,000 ppm (bersamaan dengan 406 Bq/g (atau 406,000 Bq/kg). Torium dalam residue Lynas, iaitu Water Leach Purification (WLP), menghasilkan dedahan sinaran 0.002 mSv/tahun yang jauh lebih rendah dengan dedahan yang sepatutnya terdedah kepada orang awam sebanyak 1 mSv/tahun. Sehubungan itu, penduduk setempat khususnya berhampiran kilang itu tidak perlu risau kerana projek itu tidak meninggalkan kesan kesihatan kepada mereka. Tahap dedahan dos sinaran untuk orang awam adalah 1 mSv/tahun atau 0.50 microSievert/jam (uSv/j). Berdasarkan pemantauan dan kajian, orang awam yang tinggal di sekitar kawasan projek Lynas antaranya seperti di Balok, Beserah, Sungai Ular dan Sungai Karang tidak perlu khuatir kerana anggaran dos dedahan yang bakal diterima adalah 0.002 mSv/tahun.

Malah, kajian yang dilaksanakan oleh badan bebas berkelayakan menunjukkan kadar dos dedahan maksimum yang dapat diukur di sekitar Kuantan ialah lebih 0.00012 milliSievert/jam sahaja (1000 microSievert > 1 milliSievert). Kadar dos dedahan ini adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan dos dedahan sewaktu menjalani pemeriksaan CT Scan dan juga X-Ray di mana dos dedahan yang diterima sewaktu membuat CT Scan adalah 6.9 mSv/dedahan iaitu bersamaan 41.4 mSv/jam (data dari Japan Atomic Industry Forum, JAIF) manakala sinar-X untuk dada (chest X-ray) pula ialah 0.5 mSv/dedahan iaitu bersamaan dengan 18,000 mSv/jam (UNSCEAR, 2000). Bukan itu sahaja, lantai marmar, cawan atau pinggan porselin yang kita guna, tanah yang anak-anak kita bermain, batu untuk membuat rumah dan pejabat mengandungi bahan-bahan yang mempunyai unsur radioaktif seperti torium, uranium dan lain-lain. Tetapi, unsur-unsur itu hanya menyumbang dos yang sangat rendah dan tidak mengancam kesihatan manusia.

KEGUNAAN SINARAN

Sinaran sebenarnya banyak digunakan dalam industri perubatan di mana sinar Gamma dari kobalt-60 untuk membunuh sel barah dalam rawatan radioterapi dan digunakan juga untuk membunuh kuman dalam proses pensterilan alat perubatan seperti termometer, jarum dan picagari, alat pembedahan dan sebagainya. Sinaran radioaktif daripada radioisotop turut digunakan membunuh serangga perosak. Sinaran juga digunakan dalam sistem pengawalan ketebalan secara automatik dalam pembuatan kertas, kepingan plastik dan logam. Dalam industri pembungkusan makanan dan minuman, teknologi sinaran dimanfaatkan bagi mengukur kandungan tepat dan pengesanan bendasing yang boleh memudaratkan kita. Imbasan sinar-x turut mampu mengesan sebarang ketidakseragaman pada susunan lilitan keluli radial di tayar kenderaan. Di Malaysia, Lynas bukan satu-satunya yang menjalankan aktiviti pemprosesan mineral, antara syarikat lain menjalankannya ialah Petronas Cari Gali (M) Sdn. Bhd., TOR Mineral (M) Sdn. Bhd., Tioxide Hunstman (M) Sdn. Bhd. dan Samsung Corning (M) Sdn. Bhd. Selain Malaysia, aktiviti pemprosesan nadir bumi dijalankan di Afrika, India, Kanada, Vietnam, China dan Brazil. Justeru, adalah tidak adil sinaran dikatakan mendatangkan bahaya sahaja. Hakikatnya ia membawa banyak faedah kepterutamanya dalam rawatan dan diagnostik ke atas penyakit kanser.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 JULAI 2011

ISU SENI : RANGSANG INDUSTRI KREATIF NEGARA

Oleh YONG SOO HEONG


Hakikat bahawa industri kreatif boleh menjadi satu daripada teras ekonomi negara mula diterima rakyat, terutamanya mereka yang memiliki bakat dan potensi kreatif untuk melakukan perubahan besar. Menerusi pengiktirafan kerajaan bahawa industri kreatif boleh menjana pendapatan dan peluang kerja berserta dengan galakkan dan rangsangannya, terdapat kemunculan dan kebangkitan pelbagai aktiviti dalam bidang itu. Ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan, menerusi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah merumuskan 11 strategi di bawah Dasar Industri Kreatif Negara untuk menjadikan industri ini lebih selaras, tersusun dan dinamik. Dianggarkan industri kreatif menyumbang kira-kira 1.27 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) negara pada 2008 dan objektifnya ialah untuk meningkatkan lagi sumbangan itu. Kebanyakan negara maju seperti Britain dan Amerika Syarikat mencatatkan sumbangan lebih tinggi terhadap PNK iaitu masing-masing 4.5 peratus dan 6.0 peratus.

Tidak banyak tumpuan diberikan sebelum ini mungkin kerana industri itu kurang dikenali dan potensi besarnya daripada segi ekonomi masih kabur. Tetapi kini keadaan adalah jauh berbeza berikutan langkah kerajaan mengambil perhatian akan potensinya selepas melihat pendirian proaktif yang diambil oleh negara-negara lain. Ambil pembikinan filem, misalnya. Berikutan keputusan kerajaan memberikan status yang sama rata bagi insentif cukai kepada semua filem terbitan tempatan, sama ada dalam Bahasa Malaysia, Cina atau Tamil, asalkan 51 peratus hak milik filem itu dimiliki rakyat Malaysia dan 50 peratus diterbitkan atau dirakamkan di dalam negara, terdapat peningkatan dalam pembikinan filem di dalam negara. Idea di sini adalah bukan sekadar membuat filem semata-mata hanya untuk mengeluarkan filem atau untuk memenuhi impian seseorang, tetapi ia mengenai menerbitkan filem buatan Malaysia yang mencapai tahap box-office, bukan hanya di dalam negara tetapi juga di luar negara.

Pendek kata, memerlukan perubahan cara berfikir dan inisiatif mengenai bagaimana menjadikan filem dan dokumentari buatan Malaysia boleh menarik penonton, sama ada menerusi kerjasama dengan pihak asing dan seumpamanya. Beberapa langkah telah digerakkan berikutan gesaan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang tidak jemu-jemu menggalakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian, kepada agensi-agensi di bawah kementeriannya. "Perlu berinovatif dan berfikir di luar kebiasaan", merupakan ungkapan yang sinonim dengan dirinya. Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas), telah bekerjasama dengan National Geographic Channels International (NGCI) untuk menerbitkan beberapa dokumentari pada durasi 60 minit mengenai pelbagai tokoh dan pembangunan di Malaysia. Ini termasuk Becoming a King, SMART Tunnel, Fight Masters: Silat, Among the Great Apes with Michelle Yeoh dan A Leader's Legacy: Tun Abdul Razak yang memaparkan hasil kerja penerbit berbakat Malaysia.

Hakikat bahawa dokumentari berkenaan telah dihasilkan dengan jayanya membuktikan gabungan bakat-bakat dan kisah unik di Malaysia, suatu hakikat yang diakui oleh Naib Presiden Jualan Kandungan National Geographic Channel, Germaine Deagan. Perkataan ajaib di sini ialah kreativiti. Mesejnya amat mudah: bagaimana untuk menceritakan kisah yang baik dengan bijak dan mampu menawan hati penonton. Berikutan kejayaan Finas itu, agensi lain di bawah KPKK seperti Filem Negara (FNM) dan malahan RTM telah diminta menerbitkan dokumentari berkualiti tinggi yang boleh dieksport. Zaman sudah berlalu di mana dokumentari diterbitkan hanya untuk penonton tempatan. Malahan Aswara atau Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, agensi di bawah KPKK, mengambil inisiatif untuk menjadi institusi pendidikan tempatan yang pertama menubuhkan fakulti khusus untuk penerbitan filem animasi, kata Rektornya, Datuk Dr. Mohamed Najib Dawa. Pengambilan pertama sebanyak 20 pelajar bagi kursus diploma tiga tahun itu bermula pada 18 Julai.

Keputusan Aswara itu konsisten dengan misi untuk mengeluarkan graduan yang diperlukan pasaran, kata Mohamed Najib, yang bangga bahawa 95 peratus graduan Aswara mendapat kerja sebaik sahaja menamatkan pengajian. Dan untuk menunjukkan betapa seriusnya Aswara dalam memastikan di manakah kedudukan pelajarnya apabila mereka tamat belajar nanti, ia baru-baru ini telah menjemput Raman Hui, pakar animasi popular yang terbabit dalam pembikinan filem animasi seperti Shrek dan Kungfu Panda bagi bengkel sehari. Jika diperhatikan, tidak berlakunya kekurangan bakat dalam pelbagai bidang di negara ini. Ramai penyanyi Malaysia seperti Gary Chaw dan Ah Niu telah mencipta nama di Hong Kong, Taiwan dan China. Baru-baru ini, Wan Muhammad Hazzim Wan Muhammad Zulkifli, 17, dari SMK Datuk Dol di Melaka mengalahkan ramai pelukis antarabangsa dalam pertandingan kerja seni untuk muka depan album Irisdescent kumpulan rock Linkin Park, yang lagunya telah dijadikan lagu tema filem Transformers: Dark Side of the Moon.

Baru-baru ini pelbagai komen muncul di media dan Internet membahaskan mengenai peruntukan dana kerajaan untuk membantu industri kreatif selepas Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia), tersalah petik jumlah yang dibelanjakan bagi sambutan "Hari Seniman", majlis yang dikhususkan untuk artis tempatan. Kurang daripada RM100,000 dibelanjakan bagi majlis itu, kata Modzaki Din, Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara di KPKK, bukannya RM100 juta seperti dinyatakan. Untuk rekod, 97 permohonan bagi pinjaman berjumlah RM99.95 juta di bawah Tabung Industri Kreatif telah diluluskan setakat ini untuk membantu industri kreatif menjalankan aktiviti seperti penerbitan filem, animasi dan muzik, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPKK Datuk Ab. Ghaffar A. Thambi. Sebanyak 60 permohonan bagi pinjaman RM88.4 juta di bawah tabung yang sama sedang dinilai.

Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, tabung itu ialah untuk membantu mereka dalam industri itu supaya produk dan perkhidmatan mereka dapat ditambah baik dan dieksport untuk menjana pendapatan kepada negara. Tetapi tidak semua artis yang berjaya memerlukan bantuan kerajaan. Kalangan yang benar-benar kreatif tidak mempunyai mentaliti subsidi. Contoh terbaik ialah penyanyi kelahiran Miri, Zee Avi yang turut dikenali sebagai KokoKaina. Penyanyi itu yang nama sebenarnya ialah Izyan Alirahman telah memanfaatkan sepenuhnya saluran You Tube untuk menjadi penyanyi popular di Amerika Syarikat dan Jepun. Dengan sudah memiliki satu album yang mendapat sambutan hangat, beliau bakal mengeluarkan satu lagi album bulan depan. Seorang lagi penyanyi muda yang merupakan lulusan UiTM, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, juga memanfaatkan Internet untuk mendapatkan sokongan peminatnya. Dan dengan berbekalkan personaliti menarik dan fasih berbahasa Inggeris, beliau berjaya mendapatkan tajaan daripada beberapa syarikat besar seperti Canon, DiGi dan Malaysia Airlines untuk membiayai impiannya mengembangkan bakat nyanyiannya di luar negara.

Tiada batasan atau kekangan bagi golongan ini. Mereka tahu bahawa bakat dan kreativiti mereka mampu membawa mereka untuk menggapai impian mereka tanpa perlu bergantung kepada bantuan kerajaan. Bakat seperti inilah yang amat diperlukan oleh negara. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa senario kreatif tempatan, khususnya dalam kebudayaan dan kesenian, telah menyaksikan peningkatan aktiviti pada masa ini. Tidak perlu pergi jauh untuk melihat impaknya. Festival KL yang sedang berlangsung mengetengahkan pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan di venue seperti Istana Budaya dan Balai Seni Lukis Negara sehingga akhir bulan ini, satu lagi bukti kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan industri kreatif.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 JULAI 2011

ISU SOSIAL : JANGAN PERJUDI KESTABILAN NEGARA

Oleh Mohd. Radzi Mohd Zin


Kemakmuran dan keharmonian rakyat Malaysia adalah satu anugerah dan sentiasa diimpikan oleh negara-negara lain. Pun begitu, pada masa sama, wujud pula pihak-pihak yang iri hati dan mahu merosakkan anugerah tersebut. Antara tindakan itu adalah menggalakkan rakyat menyertai perhimpunan haram Bersih pada 9 Julai ini, yang kononnya untuk menuntut satu pilihan raya umum yang bersih. Apa yang dikesalkan, sebahagian besar yang bakal menyertai perhimpunan haram itu adalah orang Melayu dan Islam. Sudah tentu, ia akan mengundang perpecahan sesama bangsa dan agama. Islam sesuai dengan namanya adalah agama yang sejahtera. Tidak mencetuskan ketegangan, pergaduhan apa lagi sehingga boleh menggugat kestabilan negara. Malah, kitab-kitab fiqh al-siasah menjelaskan, mewujudkan suasana yang tidak stabil dalam sebuah negara yang aman damai adalah haram. Sengaja mewujudkan suasana porak-peranda seterusnya mengundang mudarat kepada orang awam hukumnya haram.

Pihak yang terbabit dengan penganjuran perhimpunan ini tidak memikirkan risikonya terhadap ketenteraman awam, bercakap bahawa ia sekadar perhimpunan, memanglah mudah. Namun, apakah jaminan di sebalik ramainya yang berhimpun itu tidak ada yang mencetuskan provokasi melampau dan boleh mengakibatkan pergaduhan besar? Sejarah membuktikan, perhimpunan- perhimpunan haram biasanya berlaku perbuatan merosakkan harta awam. Ini tidak termasuk merosakkan kenderaan polis. Orang awam terperangkap dalam kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya dan peniaga juga kerugian akibat beberapa batang jalan terpaksa ditutup. Jangan biar marah menguasai kita. Marah adalah bisikan syaitan dan ia akan membuat kita hilang pertimbangan. Ingatlah dialog satira filem Tiga Abdul antara Abdul Wahub dengan bapa mertuanya, Sadiq Sigaraga, “kalau marah nanti kena jual”.

Jangan benarkan kita diperalatkan oleh pihak tertentu bagi mencapai matlamat mereka memporak-perandakan Malaysia yang tercinta ini. Dalam hal ini, kita berpegang kepada kaedah fiqh iaitu menolak kerosakan lebih diutamakan daripada mengambil manfaat. Jika benar pun dakwaan perhimpunan Bersih itu adalah aman, tetapi kebarangkalian berlakunya mafsadah (kerosakan) adalah tinggi. Peluang inilah yang ditunggu-tunggu oleh media asing. Lebih-lebih lagi apabila polis bertindak menahan dan memberkas mereka yang terlibat. Agensi berita asing akan memanipulasi keadaan dan memaparkan seolah-olah Malaysia sedang berantakan. Bagi mereka yang berhujah mengadakan perhimpunan itu sebagai hak, cuba fikirkan pula hak majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian. Adakah wajar hak minoriti ditunaikan dengan mengetepikan hak majoriti rakyat yang tersekat kebebasan mereka untuk ke sana dan ke sini natijah perhimpunan haram yang pastinya menyebabkan kesesakan lalu lintas selain banyak jalan yang ditutup.

Kerajaan tidak pernah menutup pintu rundingan. Lalu, mengapa memilih mengadakan perhimpunan haram sedangkan ia boleh membawa perpecahan umat. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang mempunyai sistem pilihan raya. Jika tidak berpuas hati, gunakan medium sedia ada untuk memilih kerajaan. Bukannya menganjurkan perhimpunan haram. Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfaal: 46) Meruntuhkan keharmonian dan perpaduan negara memang mudah berbanding untuk membinanya. Justeru, jangan ‘sudah terhantuk baru terngadah’.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 JULAI 2011