JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



28 Jun 2011

ISU PENDATANG ASING : SIKAP PERLARIAN "ROHINGYA" UMPAMA TUAN TANAH

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my

Isu pelarian bukan perkara baru di negara ini kerana pada 1975 hingga 1990 negara kita pernah didatangi pelarian Vietnam. Pulau Bidong menjadi lokasi penempatan seramai 252,390 pelarian sehingga penghujung 1990 sebelum mereka di hantar pulang ke negara asal. Sepanjang tempoh mereka berada di negara ini, 4,535 kelahiran bayi direkodkan. Kewujudan pelarian Vietnam tidak pernah menjadi masalah besar kepada negara kerana mereka ditempatkan di satu kawasan dan tidak sesiapa pun dibenarkan untuk menghampiri penempatan itu, tetapi berlainan pula dengan pelarian Rohingya. Isu etnik Rohingya mula menjadi perbualan apabila ada antara mereka yang mula menunjukkan ‘sikap’ umpama merekalah ‘tuan tanah’. Kawasan Ampang umpamanya, menjadi medan untuk mereka meminta sedekah. Hingga ada yang bersikap berani tanpa segan silu dan rasa hormat mendatangi orang ramai yang sedang menjamu selera di gerai mahupun restoran.

Pernah penulis bertanya kepada anak-anak Rohingya, “Kenapa adik minta sedekah sedangkan adik orang luar,”. Tanpa berfikir panjang kanak-kanak itu menjawab, “Saya orang susah dan tidak salah saya minta sedekah sebab saya lahir di Malaysia walaupun saya orang Myanmar,” katanya.  Mendengar kepada jawapannya menjadikan penulis berfikir, kesempitan hidup menjadikan anak kecil juga sanggup melakukan apa saja demi kelangsungan hidup kerana mereka masih terlalu mentah untuk memahami kehidupan sebagai pelarian. Pengarah Eksekutif Malaysian Relief Agency (MRA), Mohd Shahrulazilan Said, berkata ada tiga kategori kedatangan warga asing ke negara ini. Antaranya ialah pelarian, sekumpulan orang yang meninggalkan negara mereka atas apa juga alasan dan untuk mereka menetap di negara lain. Kedua, adalah Internally Displace Person (IDP) perpindahan yang berlaku antara negeri dalam satu negara yang sama.

‘Asyulum Seekers’ atau status belum disahkan sebagai pelarian kerana masih belum pasti kewarganegaraan asal. “Kita sedia maklum pelarian sememangnya tidak dibenarkan untuk bekerja dan anak mereka juga tidak layak untuk menerima pendidikan di mana-mana sekolah di negara ini. Oleh itu, bagaimana mereka hendak menyara keluarga sedangkan mereka juga mempunyai tanggungan.  “Adalah menjadi tanggungjawab kita sesama saudara Islam untuk membantu mereka apa yang termampu agar mereka tidak terbiar dan jangan umat Islam negara ini mula melatah jika mereka mula meminta bantuan daripada ‘orang luar’,” katanya. Mohd Shahrulazilan berkata, kerajaan Malaysia berusaha sebaik mungkin untuk menangani isu itu, tetapi disebabkan tidak ada satu kata putus mahupun tekanan yang diberikan kepada kerajaan Myanmar menjadikan masalah pelarian kian meruncing.

Pelarian ini lari hanya kerana mereka berasakan tekanan begitu hebat di negara sendiri hingga memaksa mereka untuk melarikan diri dan mencari perlindungan di negara yang dirasakan mereka selamat daripada sebarang ancaman. “Malaysia menjadi pilihan hanya kerana majoriti penduduk negara ini beragama Islam dan kebanyakan mereka juga beragama Islam dan selain Malaysia mereka juga mendapat perlindungan di Indonesia dan keadaan mereka lebih baik di sana kerana mereka ditempatkan di kem pelarian yang keadaannya agak selesa,” katanya. Bagaimanapun penempatan mereka di negara ini berselerak dan keadaan ini menyukarkan kawalan ke atas mereka hingga timbul masalah. Tidak dinafikan mereka juga manusia yang memerlukan kehidupan seperti orang lain, tetapi tekanan yang mereka hadapi ada kalanya menyebabkan mereka bertindak di luar batasan. Antara masalah ketara yang menjadikan penduduk tempatan kurang senang dengan tindakan kumpulan pelarian ini, mereka seolah-olah memberontak kerana tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, anak mereka tidak mendapat pendidikan seperti anak warga negara ini.

Lebih membimbangkan apabila ada di kalangan remaja Rohingya yang berani menunggang motosikal sedangkan mereka tidak mempunyai lesen. Baru-baru ini ketika melawat ke kawasan sekolah Rohingya penulis sendiri melihat seorang remaja belasan tahun menunggang dengan lajunya sedangkan dia tidak memiliki lesen motosikal.  Selain itu, kewujudan mereka di kawasan rumah kedai di sekitar Kepong dan Selayang menambahkan lagi kerisauan warga tempatan. Mereka adalah ‘tuan’ sebaik saja siang bertukar malam. Pelarian ini juga menjadikan pasar terbabit sebagai lubuk mahupun tempat mereka berniaga. Penduduk sekitar kawasan itu juga memaklumkan apa yang menjadi kerisauan adalah cara mereka mengawal kawasan pasar itu menjadikan mereka lupa kawasan itu sebenarnya bukan milik mereka dan tidak selayaknya mereka berniaga di kawasan itu.  Dari segi sosioekonomi pula keadaan penduduk tempatan sedikit terancam dengan kehadiran pelarian ini.

Mana tidaknya kewujudan mereka turut menggugat peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan ini sudah pasti meningkatkan jumlah pengangguran terutama dalam sektor pembinaan khususnya kerjaya sebagai buruh binaan. “Kedatangan mereka ini mengisi ruang yang satu ketika dulu diisi oleh pekerja Indonesia, tetapi kini pekerja Indonesia naik satu anak tangga berperanan sebagai penyelia maka dengan sendirinya kerja-kerja ini diisi oleh pelarian. Keadaan ini sudah pasti menyebabkan rakyat tempat tidak mempunyai peluang pekerjaan kerana ia telah diisi oleh orang luar, ”katanya yang berharap pihak berkuasa dapat menangani kemelut ini. Situasi ini juga menjadi punca kebanyakan pemaju mahupun syarikat binaan di negara ini ‘menangguk di air keruh’ dengan memberi pelbagai alasan kononnya rakyat tempatan malas bekerja dan tidak mahu menerima gaji murah walhal mereka yang sebenarnya mahu mengurangkan kos kerana mereka sedar pelarian akan melakukan apa saja pekerjaan demi untuk sesuap nasi.  

Sikap sebegini menyebabkan kita sukar untuk melangkah maju ke hadapan jika kita lebih suka mengutamakan tenaga kerja luar dengan harapan dapat mengurangkan kos lain sekalipun hasil kerja mereka tidak seberapa kerana mereka bukanlah tenaga buruh yang terlatih. “Di Jepun, kebanyakan kerja menyelia kawasan binaan dilakukan oleh rakyat tempatan dan mereka dibayar dengan gaji yang tinggi. Ini kerana integriti rakyat mereka. Tidak timbul soal gaji di sini kerana peluang pekerjaan itu sememangnya terbuka untuk rakyat mereka. Kita sedia maklum budaya orang Jepun mereka sememangnya bersih. ”katanya yang kurang setuju dengan tindakan segelintir kontraktor mahupun syarikat binaan yang mencari jalan untuk mengurangkan kos dengan mengerah tenaga pelarian umpama ‘buruh paksa’.  Kemelut ini juga tidak akan berakhir selagi kerajaan Junta tentera Myanmar tidak berusaha untuk mengubah corak sistem pemerintahan kepada demokrasi.

Mereka perlu disedarkan kerana hanya dengan mengamalkan sistem demokrasi satu kerajaan yang adil dan saksama dapat dibentuk dan pelarian ini boleh dikembalikan semula ke negara asal mereka. Selain Rohingya, etnik Islam Myanmar turut bersama melarikan diri ke beberapa negara jiran. Mereka berasa tidak selamat di negara sendiri. Persoalannya, adakah perkara ini dilakukan hanya kerana mereka Islam. Perbuatan mereka jelas satu diskriminasi kepada warga negara sendiri. Perkara ini yang sebenarnya perlu diperjuangkan oleh negara anggota ASEAN. Jangan hanya kuman di seberang laut kita nampak, tetapi gajah di depan mata kita tidak sedar kewujudannya. Kita sering memperjuangkan pembebasan Palestin, tetapi kita terlupa ada satu etnik yang agak dekat lokasinya dengan negara kita turut dinafikan hak mereka hingga akhirnya mereka terpaksa mencari perlindungan daripada negara jiran.

SUMBER
BERITA HARIAN
28 JUN 2011

ISU ANTARABANGSA : DIALOG ANTARABANGSA LANGKAWI (LID) 2011 PERTINGKAT HUBUNGAN EKONOMI

Oleh Shahrizan Salian
shahrizan@bharian.com.my

Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2011 yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini berjaya mencapai matlamat meningkatkan kepentingan dan nilai hubungan perniagaan serta ekonomi antara Malaysia dan Afrika di tengah-tengah perubahan dalam landskap sosioekonomi global.  Penganjurannya secara langsung bukan saja dapat merapatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua pihak malah membuka banyak peluang dari segi perdagangan, pelaburan dan perkongsian bestari untuk manfaat semua pihak. LID 2011 yang menekankan kepada usaha ‘perkongsian menang-menang’ berjaya memberi kesinambungan kepada usaha Pengurusan Teknologi Bagi Kerjasama Komanwel (CPTM) di bawah siri Dialog Perkongsian Bestari negara Komanwel sejak 1995 untuk mempromosikan kerjasama kreatif antara kerajaan dengan sektor dalam merangsang kegiatan ekonomi antara Malaysia dan rantau Afrika.

Rata-rata delegasi yang hadir pada dialog kali ini menyatakan kekaguman mereka terhadap pelan transformasi jangka panjang kerajaan yang dirancang rapi bagi mencapai status negara maju pada 2020.  Menteri Sains dan Teknologi Mozambique, Venancio Simao Massingue, berkata konsep proses transformasi dan inovasi yang dilakukan kerajaan adalah sesuatu yang mengagumkan, sekali gus wajar dilaksanakan negara Afrika yang secara umumnya mempunyai kekayaan sumber asli hampir sama seperti Malaysia. “Proses tadbir urus yang baik seperti yang dibentangkan dalam proses transformasi itu memberi inspirasi yang menyokong sepenuhnya hala tuju pertumbuhan yang berorientasikan hasil,” katanya.  Forum perniagaan Malaysia-Afrika (MABF) yang dianjurkan sempena LID 2011 pula mencapai matlamatnya dari segi mengukuhkan dagangan dua hala antara kedua-dua pihak selain mewujudkan kesedaran di kalangan syarikat tempatan terhadap peluang yang disediakan di benua itu.

Selain itu, forum berkenaan turut berjaya meningkatkan kerjasama perniagaan antara Malaysia dan Afrika untuk membentuk peluang pasaran baru memandangkan wujudnya perubahan dalam sentimen pasaran, sekali gus menyesuaikan kedudukan semasa itu untuk menawarkan produk serta perkhidmatan yang betul ke dalam pasaran. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mengambil langkah segera dengan rancangan menganjurkan beberapa siri seminar susulan untuk terus meningkatkan kesedaran di kalangan syarikat tempatan mengenai peluang yang disediakan Afrika. Program sasaran seperti Misi Belian Masuk dan Misi Pemasaran akan dianjurkan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua komuniti perniagaan tempatan dan Afrika. Ketua Eksekutifnya, Datuk Noharuddin Nordin, berkata sebuah lagi pejabat cawangan MATRADE akan dibuka di Lagos, Nigeria untuk menggalak serta memudah cara usahawan tempatan menjalankan perniagaan di Afrika, sebagai tambahan kepada pejabat cawangan sedia ada di Kaherah, Nairobi dan Johannesburg.

“Setakat ini, sebanyak 93 syarikat tempatan beroperasi di 27 negara Afrika. Dagangan dua hala kedua-dua pihak masih rendah dengan Afrika mewakili 2.1 peratus dagangan keseluruhan negara dan Malaysia mewakili 1.6 peratus dagangan keseluruhan Afrika,” katanya. MABF turut berjaya menghasilkan rancangan membentuk kemakmuran ekonomi dengan adanya sinergi kerjasama perniagaan Malaysia dan Afrika menerusi bertambahnya minat syarikat tempatan untuk melawat serta menubuhkan operasi di benua berkenaan. Ini dapat dicapai menerusi cadangan mewujudkan perjalanan udara terus dari Malaysia ke beberapa ibu negara utama di Afrika yang dapat meningkatkan trafik antara kedua-dua pasaran, sekali gus membawa lebih banyak peluang perniagaan baru pada masa akan datang.

SUMBER
BERITA HARIAN
28 JUN 2011

ISU KENEGARAAN : KEBEBASAN BERHIMPUN ADA BATASAN

Oleh Shamrahayu A Aziz

Ekoran isu semasa mengenai perhimpunan atau demonstrasi, mungkin ramai pembaca yang sudah merujuk dan menghayati peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan asasi. Peruntukan yang paling berkaitan ialah Perkara 10(1)(b) yang menyatakan, ‘Tertakluk kepada Fasal (2), 3 dan (4), semua warga negara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata’. Fasal 2(b) menjelaskan mengenai kuasa Parlimen untuk ‘…mengenakan ke atas hak yang diberikan oleh perenggan (b) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam’. Kebebasan untuk berhimpun begitu penting di dalam amalan demokrasi. Atas dasar itulah ia dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, seperti kita lihat peruntukan di atas, kita tidak harus lupa bahawa peruntukan yang sama mengiktiraf kuasa Parlimen untuk mengenakan sekatan kepada kebebasan ini sekiranya difikirkan ‘perlu atau suai manfaat’ kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Saya amat yakin mereka yang terdidik di dalam bidang undang-undang, terutama peguam memahami peruntukan ini – sama ada mengenai hak untuk berhimpun dan kuasa Parlimen untuk membuat sekatan yang ‘perlu dan suai manfaat’ kepada kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Tetapi menerusi perbincangan dan pembacaan, saya agak sangsi sama ada mereka yang menyokong perhimpunan sebegini menghargai kuasa Parlimen dan juga maksud frasa ‘keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya’ dan ‘ketenteraman awam’. Mungkin pada mereka, kebebasan untuk menyuarakan pendapat melalui perhimpunan tidak akan mengganggu keselamatan negara atau ketenteraman awam kerana mereka berjanji akan sentiasa patuh kepada undang-undang negara. Alangkah baiknya sekiranya ini benar.  Namun begitu, adakah janji seperti ini akan dapat meyakinkan pihak yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara? Ia agak mustahil. Pihak keselamatan tidak mungkin yakin dengan janji sebegini kerana perhimpunan sebegitu besar semestinya payah untuk dikawal.

Cuba kita bayangkan sekiranya peserta perhimpunan ini yang mengawal keselamatan dan ketenteraman awam. Tidakkah mereka juga bimbang sesuatu yang buruk akan berlaku?  Dari kacamata siapakah kepentingan keselamatan negara dan ketenteraman awam perlu ditentukan? Siapakah sebaik-baik pihak yang patut menentukan sama ada kebebasan berkumpul ini akan mengancam keselamatan atau ketenteraman awam ataupun tidak? Sejauh mana orang awam mengetahui mengenai tahap ancaman dan juga tahap keselamatan negara. Mungkin benar orang awam boleh mengagak dan membuat andaian, tetapi mungkin tidak begitu tepat seperti mereka yang ahli. Sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal kerana perasaan fanatik peserta perhimpunan, saya percaya mereka akan menuding jari kepada pihak keselamatan negara. Sekiranya ini berlaku mungkin orang lain, terutama pihak keselamatan pula akan disalahkan.  

Mungkin perlu juga kita ketahui maksud dua frasa penting yang berkaitan. Apa maksud ‘keselamatan Persekutuan’ dan ‘ketenteraman awam’? Ini penting untuk difahami. Ia membolehkan kita membuat analisis mengenai maksud yang ingin dicapai oleh undang-undang ketika meletakkan sekatan ke atas kebebasan berhimpun. Secara umumnya kedua-dua frasa ini amat berkait rapat walaupun kita dapati tiada tafsiran undang-undang yang khusus mengenainya. Frasa ‘keselamatan negara’ menunjukkan keperluan untuk menjaga negara daripada ancaman aktiviti subversif (Black’s Law Dictionary, 1999, hlm. 821). Ketenteraman awam pula merujuk kepada keteraturan sistem kehidupan di kalangan khalayak awam untuk kebaikan mereka (reP.P Long@Jimmy & Ors[1976] 2MLJ 133, hlm. 136). Ia mempunyai maksud yang sama dengan keselamatan awam (re Tan Boon Liat [1976] 2 MLJ 82, hlm.86). Kekacauan kepada ketenteraman awam adalah berbeza daripada perbuatan melanggar undang-undang. Perbuatan melanggar undang-undang hanya membabitkan individu atau beberapa individu saja. Sekiranya perhimpunan dilakukan tanpa permit, ia adalah melanggar undang-undang.

Akan tetapi, ia berbeza dengan perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam yang bermaksud perbuatan yang menjadikan persekitaran atau patologi tidak selamat di kalangan orang awam. Ujian perundangan untuk menentukan sama ada sesuatu perbuatan itu hanya perlakuan melanggar undang-undang atau ia menjejaskan ketenteraman awam ialah, adakah perlakuan itu menyebabkan rasa tidak selamat orang awam atau kumpulan masyarakat yang berada di suatu tempat; atau adakah ia hanya membabitkan individu tertentu saja tanpa menjejaskan kestabilan atau ketenteraman awam. Sekiranya perlakuan itu hanya mengganggu seorang atau beberapa individu saja, ia hanyalah perbuatan melanggar undang-undang. Sekiranya ahli masyarakat tidak dapat menjalankan aktiviti atau rutin harian, maka perbuatan itu adalah gangguan kepada ketenteraman awam. Oleh itu maksud keadaan yang menjejaskan ketenteraman awam ialah ia mengganggu aktiviti atau rutin harian ahli masyarakat. Berdasarkan tafsiran undang-undang itu, bukankah perhimpunan seperti dirancang itu adalah ancaman kepada keselamatan negara dan keselamatan awam? Adakah mereka yang menyertai perhimpunan mementingkan diri tanpa menghiraukan hak orang lain dalam sistem demokrasi? Bukankah mencegah itu lebih baik?

Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM

SUMBER
BERITA HARIAN
28 JUN 2011