JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



26 Oktober 2010

VARIASI BAHASA : CIRI-CIRI BAHASA BAKU

01. Tidak mempunyai penutur asli
02. Menggunakan nahu yang betul
03. Bahasa yang tersusun
04. Bukan bahasa ibunda penutur
05. Perkataan tepat dan sesuai
06. Sebutan mengikut ejaan
07. Digunakan dalam penyampaian ucapan rasmi
08. Bahasa yang formal dan bersopan
09. Situasi yang formal dan rasmi
10. Tatabahasa tepat dan sesuai
11. Tidak menggunakan unsur kependekan (Singkatan)
12. Dituturkan oleh golongan berpendidikan dalam masyarakat
13. Struktur ayat pasif berbeza

ISU BAHASA : GURU BAHASA INGGERIS DIPANTAU OLEH 370 ORANG PAKAR DARI LUAR NEGARA


Sebanyak 370 orang pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil bekerja untuk memantau pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah bagi merealisasikan pelaksanaan dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pakar tersebut akan memantau pengajaran bahasa Inggeris khususnya untuk pelajar tahun satu sekolah rendah di seluruh negara. Pengambilan pakar itu amat penting memandangkan usaha untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris agak mencabar dan mereka akan melihat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak kita dalam bahasa Inggeris.  MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.


Sumber
Harian Kosmo
26 Oktober 2010

ISU ALAM SEKITAR : PUNCA-PUNCA PENCEMARAN SUNGAI

Sukar mendapat kerjasama daripada pemilik tanah untuk membina kolam kumbahan menjadi antara masalah yang perlu ditangani oleh penyelenggara sistem pembetungan. Kebanyakan pemilik tanah enggan menjual atau menyewakan tanah mereka menyebabkan beberapa perancangan oleh syarikat gagal dilaksanakan.  Pada masa sama, kerajaan sudah membelanjakan RM1.64 juta untuk tujuan pengambilan balik tanah untuk projek pembetungan di Semenanjung. Itu adalah sebahagian daripada peruntukan 2006 dan proses ini memakan masa dan kos kian meningkat saban tahun. Menyedari pentingnya perkhidmatan pembetungan diswastakan, kerajaan menyerahkan pengurusannya kepada Indah Water Konsortium (IWK) pada 1993. Tugas utama syarikat ini ialah merancang, mereka bentuk, membina dan menyelenggara perkhidmatan pembetungan di kawasan setempat dengan kebenaran mengenakan tarif kepada pengguna.
 
Penswastaan sistem pembetungan negara hampir mengalami kegagalan kerana kebanyakan pengguna enggan membayar bil yang dianggap sebagai satu perkhidmatan yang mereka tidak boleh lihat mahupun rasa. Pada dasarnya, sistem pembetungan seharusnya disatukan dengan kitaran perkhidmatan air. Memisahkan pengurusan merumitkan urusan pentadbiran dan ini adalah antara tugas kerajaan di bawah rejim baru pengurusan air demi memastikan pengguna bakal membayar hanya satu bil saja pada masa depan. Setakat ini, projek Perkhidmatan Pembetungan di bawah RMKe-9 membabitkan 11 projek baru dan 47 projek sambungan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.012 bilion. Pada 2006, sebanyak RM754 juta dibelanjakan daripada peruntukan 2006 yang berjumlah RM759.4 juta iaitu 99 peratus untuk projek pembetungan negara.

Chin Yoong Kheong dalam bukunya, The Water Tablet Malaysian Water Reforms, mendedahkan setakat ini, 65 peratus daripada lima juta meter padu kumbahan yang dihasilkan sehari di Malaysia dihumban ke dalam sungai. Akibatnya 70 peratus daripada pencemaran sungai adalah najis manusia. Menjadi tugas IWK untuk memastikan perkara ini tidak berlaku. Namun kelemahan sistem pentadbirannya jelas apabila timbul tiga masalah utama yang dilihat mengancam kelancaran pengurusan dalam perkhidmatan itu.

Pertama, kegagalan menyedarkan pengguna mengenai pentingnya mereka memahami perkhidmatan pembetungan adalah satu bentuk perkhidmatan yang tidak boleh dilihat atau dirasai. Kedua, kebanyakan pengguna tidak mahu membayar bil perkhidmatan pembetungan hanya kerana mereka berasakan tidak terbabit secara langsung dengan perkhidmatan itu. Kebanyakan pengguna tidak menyedari sistem saluran paip air bawah tanah di rumah mereka sebenarnya berhubung terus ke loji rawatan air. Pengasingan dilakukan antara sisa utama tetapi cecair tetap dialirkan ke loji rawatan air untuk dirawat. Ketiga, tunggakan bil perkhidmatan yang tidak dijelaskan oleh pengguna mengakibatkan IWK berdepan dengan masalah kewangan dan ini membantutkan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, baru-baru ini, berkata IWK sedang menangani masalah itu dan berusaha untuk memulihkan kedudukan kewangan syarikat. Katanya, rakyat sebagai pengguna mempunyai peranan besar dalam memastikan sistem pembetungan ditingkatkan dan menjelaskan bil pembetungan adalah satu kerjasama terbaik, demi memastikan alam sekitar negara tidak tercemar hanya kerana kita gagal mengurus sisa kumbahan sendiri.


Sumber
Berita Harian
26 Oktober 2010





KEPENTINGAN MASYARAKAT PENYAYANG


“Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Ungkapan ini memberikan seribu pengertian dan gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang yang perlu dipupuk dan dibenamkan dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal yang dianugerahkan oleh Tuhan. Memandangkan dunia sekarang yang semakin penuh pancaroba dan aral melintang, maka masyarakat penyayang inilah yang menjadi tulang belakang negara ke arah merealisasikan visi kudsi yang semakin mendatang kira-kira 11 tahun lagi dari sekarang iaitu wawasan 2020. Lantaran itu, kerajaan telah menggariskan salah satu matlamat dan cabaran wawasan 2020 iaitu melahirkan masyarakat penyayang bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari pelbagai aspek. Persoalannya, apakah kepentingan masyarakat penyayang kepada masyarakat kita dari dahulu, kini dan selamanya? Persoalan inilah yang perlu dirungkai supaya masing-masing membuka mata agar masyarakat sebegini akan terus menjadi amalan dan berkekalan di negara kita.

Pembentukan masyarakat yang penyayang akan memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Seperti yang diketahui umum, masyarakat penyayang menggambarkan masyarakat Malaysia yang hidup dengan berlandaskan nilai kasih sayang antara satu sama lain. Mereka saling membantu kerana ikatan ukhuwah sentiasa tertanam dalam naluri dan sanubari mereka. Contohnya, amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan berlainan agama pada musim perayaan merupakan salah satu contoh amalan yang berjaya memupuk semangat muhibah dan perpaduan kerana rakyat masing-masing memupuk nilai penyayang. Begitu juga halnya ketika rakan-rakan atau saudara-mara yang mendapat musibah, kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya dan berkongsi suka duka dengan mereka kerana masing-masing mengamalkan sikap cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Melalui nilai murni sebegini jelas terlihat mereka mengamalkan hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing. Jadi, sesuai dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan cetusan idea Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk melahirkan masyarakat penyayang yang mengamalkan konsep Satu Malaysia akan terlaksana dengan jayanya.

Selain itu, masyarakat penyayang mampu merobah paradigma masyarakat yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita lihat pada masa ini, kebanyakan warga kita sibuk mengejar kemewahan duniawi kerana bagi mereka hidup yang singkat ini perlu diisi dengan kemewahan. Mereka bekerja siang malam tanpa memikirkan peri pentingnya masyarakat penyayang kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Golongan inilah yang akan membantutkan usaha murni kerajaan ke arah mewujudkan masyakat penyayang secara bersepadu dan menyeluruh. Sebenarnya, melalui masyarakat penyayang kita akan lebih bersikap prihatin dan rasional tentang apa-apa yang berlaku dalam negara mahupun di luar negara. Sebagai tamsilnya, bencana alam yang dahsyat yang berlaku di beberapa buah tempat baru-baru ini seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, tsunami di Samoa, dan ribut taufan di Filipina memerlukan belas kasihan daripada rakyat negara kita untuk membantu kerana berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Secara implisit, masyarakat penyayang akan mengamalkan sikap saling menolong kerana tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.

Di samping itu, masyarakat penyayang mampu membawa perubahan ekonomi negara dan melonjakkan nama Malaysia di persada dunia. Sebenarnya, masyarakat sebegini mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita yang akan membawa pulangan berbilion-bilion ringgit kepada nusa yang tercinta ini. Rakyat Malaysia keseluruhannya diseru agar bersama-sama menunjukkan nilai kasih sayang supaya pelancong berduyun-duyun datang ke negara kita. Segala perkara negatif seperti keganasan, penderaan, dan sikap hidung tinggi perlulah dibuang jauh-jauh. Hakikatnya pelancong-pelancong dari negara atas angin dan bawah angin akan datang ke negara kita untuk melihat panorama indah yang unik di samping melihat rakyatnya yang penyayang. Misalnya, kedatangan pelancong perlu diraikan dengan nilai kasih sayang daripada setiap ahli masyarakat terutamanya pekerja yang terlibat secara langsung menguruskan hal ehwal mereka. Dengan ini, masyarakat penyayang telah membawa Malaysia ke landasan yang betul dengan memberi keuntungan kepada negara dan kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara membangun malah negara maju yang lain.

Sudah terang lagi bersuluh, kepentingan masyarakat penyayang akan mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni seperti yang diidam-idamkan oleh setiap keluarga. Ikatan silaturahim bertambah erat apabila ahli keluarga memainkan peranan terutamanya ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Lagipun ibu bapa berperanan untuk mendidik anak-anak sejak kecil ibarat melentur buluh biarlah ketika rebung supaya anak-anak akan mengamalkan nilai kasih sayang kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Contohnya, amalan gotong-royong dalam sesebuah keluarga, ibu bapa meluangkan masa untuk menemani anak-anak mengulang kaji pelajaran, bermain bersama-sama anak-anak dan sebagainya dapat mempererat hubungan mesra antara ibu bapa dengan anak-anak. Situasi ini mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai, porak-peranda, bergaduh kerana semua ahli keluarga mengamalkan sikap penyayang. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang membawa perubahan yang drastik terhadap keluarga kerana keluarga bahagia, negara sejahtera.

Kesimpulannya, masyarakat penyayang banyak memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Usaha mewujudkan masyarakat penyayang dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai ras, budaya, dan agama ini memerlukan kerjasama yang jitu daripada semua pihak kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Pembentukan masyarakat penyayang perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan bukannya hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Usaha ini merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat kerana kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Dengan ini, saya mencadangkan supaya kita perlu menggembleng tenaga untuk meningkatkan usaha ke arah masyarakat penyayang bagi mewujudkan negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.



ISU BAHASA : HANYA BAHASA MELAYU MAMPU SATU PADUKAN RAKYAT


Tiada bahasa lain di Malaysia yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat negara ini selain daripada bahasa Melayu, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Hal  ini demikian kerana bahasa Melayu merupakan bahasa yang difahami seluruh rakyat negara ini dan dalam aspek menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum seperti di Malaysia penggunaan satu bahasa yang saling difahami oleh semua rakyat adalah sangat penting. Oleh sebab itu, dalam konteks negara kita Malaysia, harus kita akui tiada bahasa lain yang mampu menyatupadukan kita selain daripada bahasa Melayu. Penggunaan dan pembudayaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian tidak mustahil mampu untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di Malaysia seterusnya memberi penghayatan yang lebih mudah kepada gagasan 1Malaysia.